Cerpen : Ayah

6 November 2008  
Kategori: Cerpen

508 bacaan Jom bagi ulasan

Nama Pena : Sangburia//Muaz

Dulu ayah tidak begitu. Ayah senang dengan kehadiran Siti Maryam. Lagipun ayah tiada anak lain selain dari Siti Maryam. Bagi ayah Maryam lah racun dan Maryam jugalah penawarnya. Lebih-lebih lagi Siti Maryam adalah tanda cintanya dengan Siti Maisarah @ Sarah, wanita Inggeris yang amat dicintainya. Namun Allah lebih menyayanginya, tetapi ayah bersyukur kerana Sarah syahid ketika mempertaruhkan nyawa untuk memberi peluang kepada Siti Maryam melihat dunia ini. Malah rindu ayah terubat dengan telatah Siti Maryam yang comel, persis wajah arwah isterinya.

Ketika Siti Maryam menginjak dewasa, ayahlah paling gembira apabila Siti Maryam melangkah ke alam perkahwinan. Ayah sendiri mewalikan puteri tunggalnya itu. Bagi ayah, perkahwinan Siti Maryam dan Hambali telah melengkapkan keluarga kecil ayah. Ayah sering mengusik anak menantunya, agar segera memberinya seorang cucu untuk mengubat kesunyiannya. Siti Maryam dan Hambali cuma senyum dan tertunduk malu.

Beberapa bulan kemudian, Siti Maryam sering loya dan muntah-muntah. Kerisauan jelas terpancar diwajah Hambali.. Namun ayah tersenyum penuh makna. Ayah bersyukur Allah telah memakbulkan doa kudusnya. Ayah pasti beberapa bulan lagi dia akan bergelar datuk.
“Maryam hamil ayah” ujar Siti Maryam pada suatu hari. “Ayah tahu sayang. Ayah bersyukur dan berterima kasih kepada Maryam kerana menyambung zuriat ayah” sahut ayah. “Hambali, jagalah anak dan bakal cucu ayah dengan baik” pesan ayah kepada menantunya. Ternyata ayah begitu gembira mendengar khabar itu sehingga airmata bergenang di pipi tuanya.

Pagi itu yang hening itu bertukar menjadi kecoh apabila Siti Maryam mula mengadu sakit perut. Ternyata pengalaman pertama 25 tahun dulu tidak mencukupi untuk ayah menangani masalah itu. Lebih-lebih lagi bagi Hambali. Ini adalah pengalaman pertamanya. Mereka bergegas membawa Siti Maryam ke hospital. Didalam perjalanan, ayah tidak berhenti-henti berdoa. Abah meminta janganlah peristiwa 25 tahun dulu berulang kembali. Kelahiran yang telah meragut nyawa isteri tersayang. “Mengucap Maryam. Semuanya akan selamat” hanya itu yang mampu ayah tuturkan untuk menenangkan hati Siti Maryam.

“Tahniah encik Hambali, anak encik perempuan” ujar jururawat yang bertahi lalat di bawah bibir itu. Cantik seperti Siti Nurhaliza.
“Terima kasih cik. Boleh kami tengok isteri dan baby kat dalam tu?” tanya Hambali. Bagaikan burung belatuk, jururawat itu segera mengangguk.
“Mari yah. Kita pergi tengok Maryam dan baby” ajak Hambali. Ayah yang memang tidak sabar-sabar itu segera bersetuju.
“Assallamualaikum Siti Maryam” ujar ayah. Siti Maryam menyambut salam ayah. “Ayah, ini cucu ayah” Siti Maryam yang masih lemah menghulurkan bayi yang berselimut putih itu kepada ayah. Ayah mengucup pipi mulus bayi itu dengan penuh kasih sayang. Selepas di iqamatkan ayah mendukungnya. Ternyata pengalaman pertama dulu menyebabkan ayah tidak kekok mendukung bayi. Malah ayahlah yang menjaga Siti Maryam semenjak Siti Maryam dilahir.Dua tangan itulah yang mendukung, memandikan dan mengasuh Siti Maryam sewaktu kecil dulu. Dialah ayah dan dialah ibu. Kini kenangan itu muncul lagi dengan kelahiran cucunya.
“Siapa nama cucu ayah Maryam?” tanya ayah.
“Siti Maisarah Binti Hambali” jawab Siti Maryam lembut.
“Siti Maisarah?!!” ayah sedikit terkejut. Mungkin terkejut kerana Siti Maryam menamakan puterinya sama seperti nama arwah ibu.
“Ya ayah. Kenapa, ayah tak setuju ke?” kali ini Siti Maryam pula terkejut.
“Tidak, malah ayah berterima kasih kerana Maryam mengabadikan nama arwah ibu untuk cucu sulung ayah”

Hari-hari tua ayah lebih bermakna dengan adanya Siti Maisarah.
Bagi ayah tiada yang lebih bahagia selain daripada menghabiskan sisa-sisa hidupnya bermain-main dengan Siti Maisarah.Pernah sekali ayah membatalkan penerbangannya ke Paris sewaktu kematian uncle Steve, adik ipar ayah semata-mata Siti Maisarah demam ketika itu. Kata ayah mengapa harus meninggalkan orang yang sakit untuk pergi ketempat orang yang sudah mati. Siti Maryam dan Hambali hanya kehilangan kata. Siti Maisarah adalah agenda utama dalam diri ayah. Siti Maisarah sering didahulukan walau apa pun yang ayah lakukan. Kadang-kala Siti Maryam mersakan kasih ayah tidak lagi tertumpu padanya. Siti Maisarah seolah-olah merampas ayah darinya. Siti Maryam cemburu melihat kemesraan ayah dengan Siti Maisarah. Hambali hanya ketawa nakal apabila Siti Maryam mengadu padanya. Di serambi Siti Maisarah tertawa riang diriba atuknya. Sesekali mulut comel itu membebel dengan bahasa yang tidak difahami. Siti Maisarah yang berusia 8 bulan itu ketawa mengekek apabila diacah oleh ayah. Ayah bermain-main dengan rambut ikal yang keperangan dan halus seperti bulu jagung itu. Betapa bahagianya mereka seolah-olah dunia cuma milik mereka.

“Ayah, Maryam dan abang Hambali bercadang nak balik kampung hujung minggu ni. Lagipun semenjak Siti lahir, keluarga sebelah abang Hambali belum melihatnya lagi. Kebetulan masa cuti sekolah ni mak dan abah abang Hambali nak buat kenduri kahwin untuk Hanafi, adik abang Hambali. Ayah ikut kami balik sekali ya” ujar Siti Maryam.
“Ya ayah. Kalau ayah ada taklah kami risaukan Siti. Kami takut Siti mencari ayah nanti. Ayah tahulah budak-budak ni” sampuk Hambali.
“Tak apalah Maryam……Hambali…….Ayah rasa eloklah kamu saja yang pergi. Ayah bercadang nak ke Paris. Dah lama ayah tak jenguk kubur arwah ibu Maryam. Sambil tu ayah boleh juga melawat keluarga mendiang uncle Steve.Ayah nak mengucapkan takziah untuk mereka. Nanti apabila Siti dah besar sikit, kita pergi sama-sama okay” ujar ayah. Namun Siti Maryam tahu ayah begitu berat hati untuk berpisah dengan Siti Maisarah.

Baru dua hari ayah di Paris, Siti Maisarah telah demam panas. Tiba-tiba suhu badannya naik mendadak. Atas nasihat suaminya Hambali, Siti Maisarah telah dibawa ke hospital.. Ayah yang berada di Paris segera dihubungi. Sudah tiga hari dimasukkan ke hospital, demam Siti Maisarah tidah juga kebah.Malah pada suatu hari Siti Maisarah tiba-tiba tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke wad ICU. Petang itu ayah sampai dari Paris. Wajah ayah sugul. Ayah menyalahkan semuanya berpunca dari Siti Maryam!! Siti Maryam hanya mampu menangis. Dia sedar bahawa satu hati telah terluka. Ayah segera menghampiri Siti Maisarah. Siti Maryam mengekori langkah ayah. Siti Maryam meletakkan tangannya di dahi Siti Maisarah, tetapi ditepis kasar oleh ayah. Sekali lagi airmata Siti Maryam tumpah. Siti Maryam berlari keluar dari bilik itu. Ayah membacakan ayat suci Al-Quran dan surah Yassin untuk diperdengarkan kepada Siti Maisarah. Ayah tidak berhenti-henti berdoa untuk cucunya. Tiba-tiba dada Siti Maisarah berombak kencang…….kemudian perlahan dan terhenti. Ayah tergamam!!
Siti Maisarah sudah pergi. Hambali dan Siti Maryam melangkah lesu menghampiri ayah. Sekujur tubuh telah diselimuti dengan selimut putih. Siti Maryam meraung. Hambali terpaku. Segalanya sudah terlambat. Siti Maisarah telah kembali kepada penciptanya. Namun disudut hati mereka terpancar nur bahagia. Siti Maisarah pergi tanpa secalit dosa dan noda dalam diri dan hatinya.
Semenjak itulah ayah tidak lagi seperti dulu. Ayah murung dan banyak termenung. Ayah hanya berkurung di dalam bilik dan sesekali keluar menziarahi pusara Siti Maisarah. Setiap hari Jumaat, pusara Siti Maisarah tidak pernah sunyi dari taburan bunga dan bacaan suci Al-Quran. Dunia ayah hanyalah untuk Siti Maisarah. Ayah juga kesal kerana bersetuju menamakan cucunya Siti Maisarah. Ayah sudah kehilangan dua Siti Maisarah dalam hidupnya.

“Siti Maryam” Siti Maryam tersentak. Tiba-tiba ayah memanggil namanya setelah beberapa bulan ayah hanya mendiamkan diri. Semenjak Siti Maisarah meninggal dunia, ayah tidak pernah bercakap dengannya. Mata ayah kembali bersinar. Pandangan ayah tidak lagi kosong. Ayah seolah-olah baru dihidupkan semula. Siti Maryam gembira dengan perubahan itu.
“Ada apa ayah? Ayah nak makan?” tanya Siti Maryam lembut.
“Tidak Maryam, nanti ayah makan. Ayah cuma nak beritahu, ayah akan pergi. Nanti ada yang datang menjemput ayah” bicara ayah menghiris hati Siti Maryam.”Kenapa berkata begitu ayah?!” rintih hati kecilnya. Siti Maryam sudah banyak kehilangan orang yang disayanginya. Semenjak kecil dia telah ditinggal oleh ibunya. Setelah dewasa dan berumahtangga, anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari itu pula pergi menyusul arwah neneknya. Masih merah tanah perkuburan si anak, suaminya Hambali pula terbunuh dalam kemalangan jalanraya dan kini ayah pula tiba-tiba hendak pergi dari sisinya.
“Ayah nak kemana?” tanya Siti Maryam.
“Entahlah Maryam. Lelaki itu tidak memberitahu ayah kemana. Tapi ramai saudara ayah menanti ayah disana” ujar ayah dan merenung jauh. “Lelaki mana ayah?” namun ayah cuma membisu. Menambahkan lagi resah si anak.
“Maryam ikut ayah. Kita pergi sama-sama” ayah berpaling dan wajah Maryam direnung dalam.
“Jangan Maryam. Biar ayah pergi seorang. Maryam masih banyak perkara yang perlu diselesaikan. Tanggungjawab Maryam sebagai anak, isteri dan ibu perlu Maryam lakukan meskipun mereka sudah tiada. Maryam jangan lupa menyiram pusara mereka yang telah tiada dan mendoakan kesejahteraan mereka seandainya ayah sudah pergi. Ayah pasti Maryam akan berkunjung ke tempat ayah suatu hari nanti. Insya-Allah.”ujar ayah sebelum melangkah ke kamarnya.
“Ayah….” tiada sahutan. Siti Maryam mengetuk pula pintu bilik ayah. Tidak ada jawapan. Tak mungkin ayah pergi tanpa memberitahunya. Siti Maryam memulas tombol pintu itu. Kelihatan ayah sedang sujud diatas sejadah. Ayah sembahyang rupanya. Padanlah tadi ayah tidak menyahut panggilannya. Tapi matahari sudah tegak diatas kepala. Mungkin juga ayah sembahyang sunat Dhuha. Takkan lama benar ayah sujud. Siti Maryam menghampiri tubuh itu dan menggoncang perlahan. Tiba-tiba ayah rebah. “Ayah!!!!!!!!!!!!”

Ditanah perkuburan itu Siti Maryam membaca surah Yassin untuk ayah, suami dan anak tersayang. Dia berjanji akan memastikan pusara-pusara itu tidak akan sepi dari taburan bunga, siraman air mawar dan bacaan suci Al-Quran walaupun ketika itu hari-harinya semakin dirundung sepi yang tak berpenghujung. Airmatanya gugur bersama sekalung doa untuk yang tersayang agar ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"