Cerpen : Berperang Dengan Hantu Askar Jepun

1 January 2009  
Kategori: Cerpen

805 bacaan 3 ulasan

Nama Pena : Qaiszar Fazzamy

Langkah Mahat dan Munir cukup teratur dan kemas. Setiap gerak mereka seolah-olah mengikut rentak siulan wisel yang ditiup oleh sarjan Malik Rambo. Sesekali kedengaran suara sarjan separuh umur itu menjerit-jerit garang. “Woii.. Mahat..!! Kenapa lembab sangat?.. cepat jalan tu..!! Lagi dua puluh pusingan..!!”, jeritnya. Mahat merengus dalam hati. Terasa menyesal kerana mengikut pelawaan Munir yang mengajaknya keluar dari kem untuk berhibur di pekan. Dia berpaling pada Munir yang sedang berpeluh-peluh. Geramnya pada Munir masih belum padam. Kalau dia tahu akan jadi begini, dia tak ingin langsung untuk mengikut Munir malam tadi. “Ini semua kau punya pasal..!! Tak pasal-pasal dengan aku-aku pun terbabit sama..”, bisik Mahat pada Munir sambil termengah-mengah mengatur nafas. “Alah..!! Benda dah jadi.. aku nak buat macammana?.. Mana aku tau nak jadi macam ni..!! Selama ni aku buat elok je..”, balas Munir. Mahat menjeling pada Munir.

“Woii..!! Aku tak suruh korang berborak..!! Aku suruh kawad..!! Kau orang nak aku tambah lagi lima puluh pusingan ke?..”, sarjan Malik Rambo menengking. Kelam-kabut kedua-dua pelatih tentera itu berpaling ke hadapan. Sudahlah terpaksa berkawad mengelilingi kawasan kem itu sebanyak lima puluh kali, mereka terpaksa mengangkut kayu balak yang sudah dipotong menjadi sepanjang lima kaki bersama. Kalau sarjan Malik Rambo mengarahkan mereka untuk menambah bilangan pusingan kawad lagi, alamatnya jatuh pengsanlah. Mahat dan Munir tak mahu menjadi bahan ketawa rakan-rakan yang lain. Bahang matahari yang kian terik membuatkan kulit mereka terasa sedang terbakar. Namun mereka tiada pilihan lain. Sarjan Malik Rambo memang terkenal dengan ketegasan dan sifat garangnya oleh semua pelatih-pelatih di kem itu. Dengan badannya yang besar dan otot yang berketul-ketul di sana-sini, ditambah pula dengan kumis lebatnya yang membuatkan wajah sarjan itu kelihatan menggerunkan, sarjan Malik Rambo amat ditakuti di kalangan mereka. “Lain kali kalau kau orang buat perangai lagi, aku suruh kau orang kawad pakai seluar dalam je..!! Dah.. pergi bersihkan diri..!! Jangan lupa taklimat malam ni.. ada briefing pasal taktikal untuk esok..!!”, ujar sarjan Malik Rambo yang kemudiannya beredar meninggalkan mereka berdua yang kelelahan.

“Latihan taktikal untuk esok akan ditunda kepada sebelah malam.. Saya harap semua para pelatih memberi kerjasama dengan tidak ‘tuang’ latihan..!! Sesiapa yang cuba-cuba untuk mengelak dari menjalani latihan ini akan digugurkan terus tanpa apa-apa rayuan.. Faham semuaa?..”, Brigadier Jeneral Jailani memberikan ucapan. “Faham tuann..!!”, balas semua pelatih termasuk Mahat dan Munir yang berdiri di barisan yang paling hujung. Setelah itu kesemua mereka pulang ke bilik masing-masing. Mahat menukar pakaiannya. Munir pula sibuk bermain daun terup bersama Ajis Rimau, Husin Loyang dan beberapa lagi teman sebilik di dalam gelap kerana takut sarjan Malik Rambo datang menyergah. Setelah menyalin pakaian kepada baju T putih dan berkain pelikat, Mahat menghampiri kumpulan itu. “Eh.. kau orang tau kenapa dia orang panggil sarjan Malik tu Malik Rambo?..”, Mahat bertanya. Mereka berpandangan sesama sendiri. “Kau tak tau ke?.. sarjan Malik Rambo tu dapat nama dia pasal kes pelik dia kat hutan simpan di Pahang.. semua orang tau pasal ni..!!”, Munir menerangkan sambil tangannya ligat menyusun daun-daun terupnya mengikut turutan. “Kes pelik?..”, Mahat bertanya lagi. “Yelah..!! Pasal kes dia kehilangan dua puluh orang pelatih di bawah jagaan dia.. kata orang dia dan batalion dia bertempur dengan puaka hutan..!! Tapi tak ada sesiapapun yang tau cerita sebenar..!!”, Munir menjawab. Mahat duduk bersila di hadapan Munir dengan perasaan ingin tahu yang meluap-luap.

“Sarjan Malik masa tu bawak sekumpulan pelatih meredah hutan simpan kat Pahang tu untuk belajar tentang ilmu taktikal.. dia dengan kumpulan dia.. sarjan Sujak dengan kumpulan dia..!! Malam tu satu batalion sarjan Sujak dapat dengar bunyi tembakan bertalu-talu dari arah timur tempat kumpulan sarjan Malik berada.. Sin..!! Kau tolong ambikkan bekal air aku kat atas katil tu kejap..!!”, kata Munir. Husin Loyang bingkas bangun untuk mengambil bekas air kepunyaan Munir yang diletakkan di atas katil berhampirannya. Setelah mendapat bekas air itu, Munir terus meneguknya untuk menghilangkan rasa perit di tekak. “Lepas tu?..”, ujar Mahat yang tidak sabar untuk mengetahui dengan lebih lanjut. “Sarjan Sujak dengan lima orang pelatih jagaan dia terus pergi ke tempat tu untuk menyiasat.. Apa yang dia orang jumpa memang mengerikan..!!”, cerita Munir terhenti. “Janganlah cerita tersekat-sekat macam tu..!! Cepatlah..!!”, jerkah Mahat yang rimas menunggu sambungan cerita Munir. “Sabarlah..!! Aku nak ceritalah ni..!! Lepas dia orang sampai kat tempat tu, kau tahu apa yang dia orang nampak?.. Mereka nampak sarjan Malik tengah mengamuk sambil memegang senapangnya yang dah tak berpeluru lagi sambil meraung-raung..!! Kat sekitar kawasan tu pulak penuh dengan mayat-mayat pelatih sarjan Malik.. semuanya mati sebab ditembak pasal ada banyak luka kesan peluru kat badan mereka..!! Sarjan Sujak terus terkam sarjan Malik yang sedang meraung menangis macam orang gila..!! Mulut sarjan Malik tak berhenti-henti menyebut ‘Dia orang bunuh anak buah aku.. aku nak balas dendam..!!’.. Semua pelatih-pelatih sarjan Malik meninggal dunia kat situ jugak..!! Hanya sarjan Malik seorang je yang terselamat.. lepas kejadian tu Jeneral Jailani yang mula-mula sekali panggil sarjan Malik dengan nama Malik Rambo..!!.

Mahat tercengang mendengar cerita Munir. Susah untuk dia mempercayai tetapi semua yang ada di situ mengiyakan cerita Munir. “Sarjan Malik Rambo berperang dengan siapa?..”, tanya Mahat lagi. “Semua orang pun tak tahu..!! Sarjan Malik cuma pernah cakap dengan Jeneral Jailani yang mereka semua berperang dengan askar musuh.. padahal masa sarjan Sujak sampai kat situ, tak ada sebarang kesan musuh pun yang ada kat situ..!! Mereka syak sarjan Malik Rambo yang bunuh semua pelatih jagaan dia.. tapi forensic jumpa benda yang lagi pelik..!! Peluru yang tertanam kat semua mayat pelatih tu bukan dari kelengkapan senjata yang mereka bawak tapi peluru yang dah tak ada kat Malaysia ni..!! Peluru tu dari zaman peperangan dengan Jepun dulu.. sampai sekarang kes tu tak ada penyelesaian..”, terang Munir lagi. “Aku tau semua ni pasal aku dengar cerita dari Jeneral Jailani sendiri.. dia tu kan pakcik aku..!!”, Munir berkata sambil menghirup air kosong yang berada di tangannya sejak dari tadi. Tiba-tiba pintu terbuka dengan kuat. Kelam-kabut mereka semua memanjat katil yang berhampiran kerana tahu suara itu adalah milik sarjan Malik Rambo yang membuat rondaan untuk memastikan tiada lagi aktiviti selepas waktu yang ditetapkan. “Apa lagi terhegeh-hegeh kat situ?.. Pergi tidur..!!”, jerit sarjan Malik Rambo. Semua yang berada di situ membatukan diri. Munir yang menyorok di bawah katil Basron menarik nafas lega setelah melihat kelibat sarjan Malik Rambo melangkah meninggalkan bilik itu.

“Sebentar lagi kamu semua akan diajar tentang ilmu tempur taktikal dan mengadaptasi suasana perang sebenar.. Saya akan menyebutkan nama-nama pelatih mengikut kumpulan masing-masing.. Kumpulan pertama akan mengikut sarjan Zuhairuddin ke arah barat dan kumpulan kedua yang diketuai oleh sarjan Malik akan menghala ke arah tenggara..!!”, Brigadier Jeneral Jailani memberi arahan dan kemudiannya memanggil nama-nama pelatih untuk mengikut ketua masing-masing. “Eh.. kau satu kumpulan dengan akulah..”, bisik Munir kepada Mahat. Mahat mengukir senyum tawar kerana dia terpaksa mengikut sarjan Malik Rambo. “Hutan Pahang yang kau cerita malam tadi tu kat mana?”, tanya Mahat. “Aku tak tau.. hutan tempat kita nak pergi ni agaknya..”, Munir berkata sambil menaikkan keningnya pada Mahat yang berasa gusar. “Dah..!! Siapa-siapa yang bernasib malang kerana berada dalam kumpulan saya, ikut saya sekarang..!!”, sarjan Malik Rambo meninggikan suara untuk menarik perhatian semua pelatih yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Mereka semua kemudiannya berjalan meninggalkan kawasan itu menghala ke arah tenggara. Mahat mengerling pada kumpulan sarjan Zuhairuddin yang bergerak ke arah barat. “Malang betul nasib aku..”, bisiknya. Dia memandang ke langit yang kian gelap menandakan hari sudah senja. Mahat belum pernah lagi merasai keadaan di dalam hutan tebal pada malam hari.

“Eh?.. kita bukan menghala ke tenggara ni..!!”, bisik Munir yang sedang melihat kompas pada hulu pisaunya. Walaupun keadaan di dalam hutan itu gelap dan menyukarkan pandangan, Munir masih boleh melihat dengan jelas jarum pada kompasnya yang menunjukkan mereka sedang bergerak ke arah utara. Mahat membeliakkan mata. “Kemana pula orang tua ni nak bawak kita?..”, balas Mahat dalam keadaan separuh berbisik. Tiba-tiba pisau di tangan Munir ditepis oleh seseorang hingga terjatuh ke tanah. Wajah sarjan Malik Rambo yang menyinga terpacul di hadapan mereka berdua. “Siapa suruh kau orang berborak?.. Saya kata ikut tu ikut sajalah..!!”, jerkah sarjan Malik Rambo. “Tapi ‘Jan’.. kami diarahkan untuk pergi ke arah tenggara.. bukan ke arah timur..!!”, ujar Munir yang berani-berani takut. Sarjan Malik Rambo menjegilkan mata pada Munir yang menikus. “Dan arahan untuk kamu semua juga ialah supaya mengikut saya kan?.. Jangan mempersoalkan cara saya.. Kalau tak mahu ikut, pergi balik duduk dengan makbapak..!! Disini tempat untuk orang yang kuat sahaja..!!”, tengkingnya pada Munir dan Mahat yang terkulat-kulat. Pelatih-pelatih yang lain hanya mampu mendiamkan diri. Mereka juga tahu arah yang dibawa oleh sarjan Malik Rambo adalah berlainan dengan arahan Jeneral Jailani. Namun mereka tak mampu untuk melawan.

“Kita dah sampai.. semua bersedia..!!”, sarjan Malik Rambo bersuara sambil meniarap ke tanah. Mahat, Munir dan semua pelatih yang mengikutinya sejak dari tadi terpinga-pinga. ‘Pangg..!’, bunyi tembakan yang datang dari jarak tak sampai dua puluh meter berhampiran mereka mengejutkan semua orang. “Semua tundukk..!! Tembakk..!!”, jerit sarjan Malik Rambo sambil menarik picu senapangnya untuk membalas bidikan musuh yang tidak kelihatan. Masing-masing menyorok di sebalik pokok-pokok yang berhampiran. Tembakan pertama sebentar tadi rupa-rupanya mengenai dengan tepat dada seorang pelatih. “Ya Allah..!! Munir..!!”, jerit Mahat yang melihat tubuh Munir tersembam ke tanah. Mahat segera memeluk Munir yang sedang nyawa-nyawa ikan ke ribanya. “Munir..!! Bersabar Munir.. kau akan selamat..!!”, jerit Mahat yang ketakutan melihat keadaan Munir. Mulutnya menghamburkan darah merah pekat. Pada dada kirinya terdapat satu lubang kesan peluru yang semakin hilang ditenggelami darah yang deras mengalir keluar. Mahat berpaling ke hadapan. Bagaikan tidak percaya bila melihat satu-persatu rakan-rakannya gugur dalam peperangan tersebut. Mahat menjerit sambil memangku tubuh Munir yang sudah tidak bernyawa lagi. Suara sarjan Malik Rambo yang ketawa berdekah-dekah bagaikan menaikkan lagi amarah dalam hatinya. “Hahahahaa..!! Aku datang nak balas dendam..!! Ambil ni..!! Ambil ni..!!”, jerit sarjan Malik Rambo sambil terus-menerus menembak ke serata arah. Alangkah terkejutnya Mahat bila bebola matanya dengan samar-samar melihat segerombolan manusia berpakaian seperti tentera Jepun zaman dahulu menghampirinya. Kesemuanya berupa tengkorak yang masih bersisa kulit terlerai di sana-sini.

Mahat segera mengambil senapangnya dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah gerombolan askar Jepun tersebut tetapi usahanya itu hanya sia-sia. Semua peluru-peluru yang dilepaskannya menembusi setiap askar Jepun di hadapannya bagaikan menembak sesuatu yang tidak berjasad. Sehinggalah peluru yang terisi di dalam magazine senapangnya itu kehabisan, Mahat masih menarik picu senapangnya sambil menggigil ketakutan melihat kemaraan tentera ghaib itu. Dia mengerling ke arah sarjan Malik Rambo yang telahpun kecundang namun masih bersisa nyawa. Ngeri apabila melihat sarjan Malik Rambo menjerit meraung tatkala tubuhnya disiat-siat dengan pisau oleh askar Jepun itu. Mahat tak sanggup untuk melihat lebih lama. Gerombolan lembaga askar Jepun itu sudahpun berada di hadapannya sambil bertutur dalam bahasa yang tidak difahami. Mahat hanya melutut sambil mendongak ke arah lembaga berpakaian lusuh di hadapannya yang menghalakan senapangnya tepat ke dahinya. Seketika kemudian Mahat tidak sedar lagi. Pandangannya gelap dan tubuhnya terasa sejuk tatkala peluru senapang lembaga itu menembusi kepalanya.

“Woii..!! Kat sini ada lagi..!! Apa dah jadi ni?..”, Ajis Rimau memanggil rakan-rakannya yang lain serta sarjan Zuhairuddin untuk menunjukkan tempat dimana sebilangan lagi mayat batalion arwah sarjan Malik Rambo berada. Sarjan Zuhairuddin terduduk melihat pemandangan sebegitu. “Apa yang terjadi?.. Kenapa latihan taktikal biasa ini boleh bertukar menjadi medan pertempuran ngeri sebegini?.. Dengan siapakah mereka berperang?.. Dan mengapa kumpulan arwah sarjan Malik Rambo datang ke sini?.. Bukankah mereka diarahkan untuk pergi ke arah tenggara?..”, bisiknya. Kesemua pelatih-pelatih di bawah arahan arwah sarjan Malik Rambo menemui ajal dengan cara yang kejam. Termasuklah sarjan Malik Rambo sendiri. Apa yang mereka semua tidak ketahui ialah malam tadi kesemua mereka telah gugur di medan perang kerana bertempur dengan hantu askar jepun yang mendiami hutan itu.

Sekian…




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Cerpen : Berperang Dengan Hantu Askar Jepun”
  1. shuraz says:

    Best

  2. alnan says:

    Best..yg xbestnye xde yg dpt jwb soalan itu, dn hantu2 jepun tu tetap berleluasa..

  3. amir says:

    memang best, saya pernah menonton filem ‘DEAD MINE’jalan citernya sama tapi ia mengisahkan sekumpulan ahli arkeologi ke hutan riau utk mencari emas Yamashit..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"