Cerpen : Skrip malam keinsafan

18 February 2009  
Kategori: Cerpen

3,219 bacaan 3 ulasan

Nama Pena : Hati Emas

Ini adalah skrip yang telah saya reka untuk program Malam Penghayatan Tiga Rasa, MSR June 2007. Program ini bermula selepas isyak di dataran asrama kolej. Bermula dengan nyanyian berbalas pantun (rasa riang ria) diikuti dengan penyerahan nota amanah pelajar kepada kem komandan (pelajar diberi sehelai kertas dan diminta menulis apakah amanat ibu dan ayah ketika menghantar mereka ke kolej) untuk sesi rasa marah. Sesi ini akan memainkan dua peranan.

Kem komandan akan sengaja memarahi pelajar dengan menyatakan, bahawa pelajat adalah anak yang tidak bertanggungjawab. Amanah ibu bapa walaupun di atas sehelai kertas masih tidak mampu dijaga. Mudah diberikan kepada orang lain. Jika ada pelajar yang bangun untuk mendapatkan semula kertas tersebut, peranan pertama bermula.

Kem komandan akan menyatakan, ‘Saya tak arahkan kamu bangun! Duduk!’ Tetapi jika pelajar senyap dan tidak memberi sebarang respon, kem komandan akan memanggil seorang pelajar untuk bangun, dan bertanya ‘ Adakah kamu tidak puas hati dengan saya?’

Ketika ini peranan kedua bermula. Jika pelajar tersebut menjawab ‘Tidak’, maka hamburannya ialah ‘kamu hipokrit.’

Jika pelajar menjawab ‘Ya’, kem komandan akan mengucapkan terima kasih dan hamburannya ialah ‘saya suka kamu. Kamu seorang yang jujur.’

Sesi rasa sedih dan keinsafan bermula secara perlahan-lahan. Kem komandan akan mula menenangkan pelajar dan memberitahu apakah motif berbuat demikian. Nasihat turut diberikan sebelum bacaan skrip dan penghayatan diberikan kepada biro yang tertentu untuk melengkapkan tugas malam penghayatan.

Lalu skrip berikut mula dibaca, diiringi oleh alunan lagu-lagu yang telah disusun…

*ALUNAN BUNYI OMBAK YANG DAMAI DIMAINKAN*

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Assalamualaikum adik-adik yang dikasihi sekalian… Alhamdullillah dapat kita sama-sama berkumpul pada malam yang indah ini… duduk bersama menikmati nikmat kebesaran Ilahi… lihatlah pada bintang-bintang di angkasa… pandanglah bulan yang menerangi langit malam… betapa indahnya ciptaan Allah… Subhanallah… adik-adik… sekarang… pejamkanlah mata kalian… hilangkan segala kekusutan yang ada dalam diri… tarik nafas dalam-dalam… hembuskan dengan perlahan… tarik nafas sekali lagi… hembuskannya…

*MULAKAN SENTIMENTAL ALUNAN SERULING KIARO ATAU PIANO LAGU FIRST LOVE (PILIH SALAH SATU)*

Rasailah angin yang bertiup lembut… umpamakan seperti bayu yang bertiup… bayangkanlah kalian berjalan di persisiran pantai… berjalan memijak butiran-butiran pasir halus… gulungan-gulungan ombak berlari-lari menyentuh jari jemari kaki… damainya rasa hati… di sebalik rimbunan pepohon yang menghijau… unggas-unggas terbang berkicauan di langit biru yang terbentang luas… indah… sungguh indah… Maha suci Allah yang menciptakan setiap kejadian alam mengikut kehendak-Nya…

Adik-adik yang dirahmati Allah sekalian… tahukah kalian… betapa bertuahnya kamu dapat menikmati kebesaran Allah ini… beruntungnya kamu di lahirkan untuk menikmati hidup di dunia yang indah seperti ini…

*HENTIKAN ALUNAN SENTIMENTAL, MAINKAN ALUNAN OMBAK DAN LAGU PERMAIDANI OLEH ARIS ARIWATAN SERENTAK*
(untuk memainkan dua lagu serentak, buka winamp dan window media player sekali. Volume suara juga memainkan peranan penting. Mulakan dari perlahan seterusnya kuatkan sedikit untuk mendapatkan penghayatan sambil membaca skrip)

Semuanya kerana kasih dan sayang ayah dan ibu… betapa besarnya kasih sayang ayah dan ibu kepada kamu semua… pernahkah kamu melihat… gembiranya wajah mereka tatkala mendapat berita bahawa mereka akan menimang cahaya mata… kasih sayangnya bermula walaupun kamu hanya segumpal daging dalam dinding rahim seorang ibu… kamu tidak akan tahu semua itu… kerana kamu belum dilahirkan… walau peritnya mencengkam… cinta mereka pada anak yang bakal dilahirkan tidak pernah padam… terlalu banyak rintangan yang ditempuh… hanya kerana kamu yang bergelar anak, wahai adik-adik…

Dalam keriangan ingin menyambut kelahiran seorang anak… ayah dan ibu tetap terus berusaha… bersengkang mata… mengerah kudrat… melakukan pelbagai kerja selagi terdaya… agar anak yang bakal dilahirkan tidak merasai keperitan hidup yang penuh pancaroba…

Bayangkanlah… ayah… tetap masuk ke hutan dengan luka pada kakinya… mencari rebung untuk dibuat jualan… sedang ibu berjalan ke seluruh kampung menjaja kuih… walaupun kala itu kamu sudah berusia 7 bulan dalam kandungan…

Saat yang dinanti telah tiba… ketika itu hujan turun renyai-renyai di waktu malam… dalam kedinginan malam… ibu bertarung nyawa untuk melahirkan… ayah dalam resah menghantar ibu dengan motor buruknya… meredah hujan… hampir saja beberapa meter dari pintu masuk hospital… ibu dengan tiba-tiba terjatuh dari motor… betapa peritnya rasa yang mencengkam sehingga ibu tidak mampu bertahan… sehingga ayah mencampakkan motornya lalu berlari mendapatkan isteri tercinta… dalam basah hujan yang kian lebat… guruh dan kilat sabung-menyabung… ayah mengendong ibu sehingga ke wad kecemasan… mengendong ibu… dengan lelahnya… tercungap-cungap ayah…

*HENTIKAN NYANYIAN LAGU PERMAIDANI SECARA PERLAHAN-LAHAN*
(kawalan volume lagu permaidani sahaja. Biarkan alunan ombak terus dimainkan)

Dan kamu… selamat dilahirkan melalui pembedahan… ayah yang menunggu dengan penuh debar di luar tersenyum gembira… bersyukur setelah mengetahui kamu selamat dilahirkan ke dunia ini…

Air mata gembira menitis membasahi pipi… melihat anak yang telah dilahirkan menangis di pangkuan… tanpa berlengah laungan azan seorang ayah bergema di telinga kamu…

*ALUNAN AZAN MENDAYU OLEH FASILITATOR DIIRINGI OLEH SUARA TANGISAN BAYI BARU LAHIR DI WINAMP*

Selepas saat itu… kamu ditatang bagaikan minyak yang penuh… seekor nyamuk pun tidak dibenarkan menghampiri kamu… kamu kian membesar… hidup kamu memang tidak mewah dengan harta… makan minum serba kekurangan… ada ketikanya kamu sekeluarga terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga… sebagai anak yang masih kecil.. kamu sering merungut. Tapi ibu segera memujuk. Ketika makan ibu sering memberikan bahagian nasinya kepada kamu… sambil memindahkan nasinya ke pinggan kamu… dia berkata…

(SUARA FASILITATOR sebagai ibu)

Makanlah nak… ibu tak lapar…

*ALUNAN SENTIMENTAL SERULING ATAU PIANO*

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Kamu tahu ibu berbohong… kerana kamu nampak ibu berkongsi nasi dengan ayah… tapi kamu tetap tidak peduli… asalkan perut kamu terisi… asalkan kamu mendapat apa yang kamu mahukan… selepas selesai makan terus kamu turun untuk bermain dengan kawan-kawan… meninggalkan pinggan dan nasi yang bersepah untuk ibu kemaskan…

Saat kamu riang bermain… datang seorang kawan membawa permainan barunya… katanya hadiah dari ayahnya… kamu rasa teruja… kamu pun mahukan permainan dari ayah kamu… kamu berlari pulang ke rumah… merengek-rengek minta dibelikan permainan baru…

Esoknya… ayah dengan lelahnya yang semakin teruk… batuk tidak berhenti… tetap turun pada awal pagi ke hutan mencari rebung lebih untuk dibuat jualan… hasilnya dapatlah digunakan untuk membeli permainan baru kamu… sedang kamu, terus bersuka ria bermain dengan kawan-kawan…

(SUARA KEM KOMANDAN)

Tahukah kamu ayah kamu telah pergi?
Tahukah kamu?
Tidak! Kamu tidak tahu!
Kerana kamu asyik memancing dan bergembira dengan kawan-kawan!
Kamu bergelak ketawa adik-adik!
Sedangkan ibu…
Berlinangan air mata menangisi pemergian suami tercinta…

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Dan ketika kamu mendapat tahu berita itu… kamu bukan menangis kerana pemergiaannya seorang ayah… kamu menangis bukan kerana menyesal… tetapi kamu menangis kerana ayah pergi tanpa sempat memberikan kamu sebarang permainan… itulah kamu… itu kamu… kamu…

*PERLAHANKAN ALUNAN SENTIMENTAL, MAINKAN LAGU AIR MATA IBU NYANYIAN SITI NURHALIZA*

Setelah pemergian ayah, ibu mengambil tugas ayah kepada keluarga. Ibu mengambil upah menjahit, mengambil upah ke kebun, membuat penyapu lidi selain rutin hariannya membuat kuih agar kamu dan adik-beradik kamu tidak terus kelaparan.

Tapi… apalah sangat kudrat seorang ibu… kehidupan kamu semakin susah dan susah. Melihat keadaan kelurga kamu… seorang pakcik yang baik hati dan berjiran dengan kamu datang menghulurkan bantuan… malangnya ibu kamu menolak… jiran-jiran kamu pula seringkali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang menjaga ibu dan mencarikan wang untuk kamu sekeluarga. Ibu tetap dengan keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Kata ibu…

(SUARA FASILITATOR sebagai ibu)

Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki lain dalam hidup saya… saya hanya perlukan anak-anak saya…

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Lihatlah… ibu berbohong lagi… kemudian hari permulaan kamu di sekolah rendah bermula… sungguhpun kehidupan kamu tidak semewah mana… ibu masih mampu untuk membayar yuran persekolahan kamu… kamu dihantar ke kelas… ibu pula setia menemani di luar… ketika loceng menandakan waktu rehat telah habis… ibu pun ingin berganjak pulang… kamu menangis… menangis kerana takut ditinggalkan… namun… seperti biasa… ibu cepat memujuk kamu… untuk tinggal di sekolah dan belajar sehingga menjadi orang yang berjaya… supaya besar boleh menjadi harapan keluarga… kamu akur… kamu mulakan sesi pembelajaran kamu sehingga kamu beroleh ramai kawan dan sering mendapat pujian dari guru-guru…

Hari demi hari berlalu… bulan silih berganti… kini tiba saat kamu menduduki peperiksaan UPSR… kamu sering mengulangkaji pelajaran di hadapan ibu kamu… sehingga akhirnya kamu terlena dalam dakapan buku-buku…

Tika dinihari… lebih kurang pukul 2 pagi… kamu terjaga dari tidur. Kamu melihat ibu sedang membuat kuih bertemankan pelita di hadapannya. Beberapa kali pula kamu lihat ibu terhangguk kerana terlalu mengantuk. Tetapi… sebaik terpandang kamu memerhatikannya… ibu terus berkata…

(SUARA FASILITATOR sebagai ibu)

Tidurlah nak… malam lagi… esok nak ke sekolah…

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Ibu berkata demikian sedang dirinya tidak lelap sehingga ke pagi… begitulah keadaannya… sehingga sebulan sebelum UPSR menjelang tiba… ibu giat berdoa… melakukan solat hajat minta urusan kamu lancar… segala yang kamu baca lekat di fikiran… Alhamdullillah berkat doa ibu kamu berjaya dengan cemerlang… girang hati kamu kerana berjaya menunaikan hasrat ibu… berbekalkan keputusan yang cemerlang itu kamu meneruskan pembelajaran kamu di sekolah menengah… masa kian belalu pergi… kamu mula berjinak dengan dunia luar… belajar melakukan sesuatu mengikut kata hati… kawan merokok kamu pun ikut sama merokok! Kamu mula melawan cakap ibu yang bertanyakan hal kamu! Kamu mula liar! Resah hati ibu melihat kamu berubah… pun begitu… hati kecil seorang ibu tetap memahami… mungkin kamu baru hendak mengenali dunia luar… dan ibu terus berdoa…

(SUARA FASILITATOR sebagai ibu)

Ya Allah ya Tuhanku… berikanlah cahaya hidayah kepada anakku… lindungilah anakku dari segala macam bahaya yang ada… ya Allah yang Maha Esa… berkatilah ilmu di dada anakku… agar dia menjadi orang yang berguna suatu masa kelak…

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani kamu pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan PMR… ketika hari menginjak siang… terik panas matahari mula menyinari… ibu terus sabar menunggu kamu di luar dewan… ibu seringkali tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa agar kamu lulus peperiksaan ini dengan cemerlang…

*MAINKAN LAGU SYURGA DI TELAPAK KAKI IBU NYANYIAN AISYAH*

Setelah peperiksaan selesai… ibu segera menyambut kamu dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang di bawanya… tetapi kamu tidak tidak tahu bahawa kopi kental itu tidak langsung dapat menandingi hati ibu yang jauh lebih kental… kerana kamu dengan perasaan ego hanya memandang cawan tersebut yang masih berada di tangan ibu kamu…

(SUARA KEM KOMANDAN)

Kamu suruh ibu kamu balik!
Kamu katakan yang kamu malu terhadap kawan-kawan kamu!
Kamu aibkan ibu kamu di depan kawan-kawan…
Kamu aibkan ibu kamu!

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Tidak setanding rasanya pengorbanan seorang ibu untuk anak yang menderhaka seperti kamu! Kamu hancurkan hatinya… entah kenapa… ajaib sekali… ibu tidak pernah menyalahi kamu… ibu menyalahi dirinya sendiri… ibu kata pada dirinya bahawa anaknya sudah dewasa… sudah pandai menjaga diri… namun malang datang lagi setelah keputusan PMR kamu ternyata mendukacitakan… sedangkan rakan-rakan lain terus cemerlang dalam hidup mereka… begitu pun sekali lagi ibu tidak menyalahi kamu… pada ibu mungkin kamu belum bersedia lagi…

Hidup ini terlalu mengasyikkan… kerana itu kamu terus-terusan enjoy dan enjoy tanpa menghiraukan pelajaran kamu… tanpa menghiraukan ibu yang mengharapkan perubahan dari kamu… sehinggalah kamu meningkat naik ke tingkatan 5… masa yang akan menentukan ke mana hala tuju kamu… di mana masa depan kamu… setiap hari adalah hari yang mendebarkan bagi ibu… dalam pada itu segala kemahuan… kehendak kamu… ibu turuti dengan harapan dapat menaikkan semangat kamu untuk belajar…

(SUARA KEM KOMANDAN)

Tapi kamu ENJOY!!!

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Sudahlah pulang di tengah malam… pelajaran entah ke mana… ibu menegur kamu melawan… kamu menjerit pada ibu… kamu kata…

(SUARA KEM KOMANDAN)

Diamlah!
Jangan menyibuk hal orang!

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Kamu masuk ke bilik lalu menghempas pintu… ibu pula terdiam tanpa kata… sungguhpun kamu calari hati tuanya… ibu tetap duduk bermohon kepada Tuhan setiap malam agar kamu menjadi anak yang soleh dan solehah seperti mana harapan dia dan arwah suaminya yang tercinta sewaktu kamu dikandungkan suatu masa dulu… dan bila tiba masanya kamu menduduki peperiksan SPM… ibu masih mendoakan kejayaan untuk kamu…

Syukur alhamdulliah… berkat doa dan kasihnya seorang ibu… kamu berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Kamu sangat gembira… sayang seribu kali sayang… kamu tidak terus pulang mendakap ibu, mengucup pipinya tanda terima kasih. Kamu meraikannya dengan rakan-rakan di restoran KFC… Pizza Hut… Mc Donald… kamu bergembira dengan kekasih kamu… umpamanya kamu adalah anak orang kaya… sedangkan itu duit titik peluh ibu yang bersengkang mata setiap hari… duit sakit pinggangnya melakukan kerja tanpa sedikit pun keluhan yang lahir dari bibir… kamu berpesta… tanpa kamu sedari ibu sedang menanti kamu dengan debarnya di rumah… sejak dinihari hingga ke waktu senja… mengharap keputusan yang akan kamu bawa pulang ke rumah tidak mengecewakan dirinya…

Benar… keputusan yang kamu bawa pulang tidak mengecewakan dirinya… tetapi tingkah laku kamu yang telah mencarik hatinya. Pulang di kala lewat tengah malam. Pulang tanpa mencari ibu. Pulang dan terus mengunci dalam bilik, menyalin pakaian dan TIDUR!!! Ibu datang mengetuk bilik untuk bertanyakan keputusan kamu… tapi kamu…

(SUARA KEM KOMANDAN)

KAMU MELENTING!!!
KAMU MARAH IBU YANG MENGGANGGU LENA TIDUR KAMU!
KAMU CAMPAK SLIP KEPUTUSAN ITU…

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Slip keputusan itu jatuh di kaki ibu… ibu yang tunduk mengutipnya… anak-anak/sahabat-sahabat… mengapa begitu kelakuan kamu… menitik air mata ibu… dalam ria terpalit duka… dalam sendu hatinya menangis hiba…

Tidak lama kemudian datang pula tawaran untuk kamu menyambung pelajaran… kamu gembira bukan kepalang. Kamu akan sama-sama berjaya seperti rakan-rakan kamu yang lainnya. Kamu beria meminta ibu untuk mendaftarkan kamu di sini. Kamu tahu pendaftarannya memerlukan wang yang banyak. Seperti biasa kamu tidak peduli sama ada ibu mampu untuk menunaikannya atau tidak. Kerana kamu tahu sesusah mana sekalipun ibu, demi insan yang bergelar anak… untuk masa depan insan ini… untuk kejayaan insan yang bergelar ANAK ini… ibu talah menghantar kamu ke INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SWASTA iaitu————— ini… kamu tahu ibu pasti akan memberikan yang terbaik buat kamu… di sini kamu bergelak ketawa bergembira dengan kawan-kawan sedangkan ibu berusaha lebih gigih dari rutin biasanya hanya untuk kesenangan kamu… kesusahannya tidak pernah diceritakan pada kamu… hatta dirinya berlaukkan nasi dan telur ayam… berbeza dengan kamu yang setiap hari bersuap juadah enak dan mahal… bayangkanlah anak-anak/sahabat-sahabat… betapa daifnya kehidupan ibu di kampung…

(SUARA KEM KOMANDAN)

TAPI KAMU EGO!!!
BONGKAK!!!
BERLAGAK SEPERTI ANAK ORANG KAYA!!
KAMU ANAK YANG TAK SEDAR DIRI!!!

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Sejak dari mula kamu disini… tidak sekali kamu pulang ke kampung menjenguk ibu dan adik-adik… kamu terus-terusan hanyut dengan dunia kamu… bila kehabisan duit… kamu hanya perlu memberitahu ibu… dan ibu akan segera memasukkan wang ke dalam akaun kamu tanpa kamu tahu duit itu untuk persekolahan adik-adik kamu… kamu tidak pula berterima kasih… sebaliknya mendesak untuk mendapatkan duit lebih… sehinggalah suatu hari… kamu mendapat berita dari adik kamu… bahawa ibu sedang sakit tenat di rumah… kamu yang ketika itu enak menjamu selera tidak segera pulang… kamu habiskan saki baki makanan kamu… sedang ibu di rumah sudah terbaring lemah… adik-adik yang duduk mengelilingi menangis melihat ibu yang tercinta kian nazak… orang-orang kampung kamu hadir untuk membacakan yassin…

*MAINKAN BACAAN YASSIN OLEH IMAM ALGHAMIDI DENGAN PERLAHAN*

(SUARA KEM KOMANDAN)

Kamu masih di gerai berbual dengan rakan!
Menghabiskan puntung rokok yang terakhir dalam kotak!

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Kamu beredar setelah puntung rokok yang terakhir habis menjadi abu… sebaik kamu memasuki halaman rumah… kamu dapati orang ramai berkumpul di rumah kamu. Kamu bergegas naik tanpa mengucapkan salam… kamu lihat ibu yang terbaring nazak menunggu saat menghembuskan nafas… ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah kamu dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan kamu senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya… betapa penyakit ibu telah memamah dirinya sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus… saat itu baru kamu merasai sebak didada… air mata berlinangan di pipi… kamu mencium tangan ibu… kemudian kamu kucup pula pipi dan dahinya…

(SUARA KEM KOMANDAN)

Untuk apa!
Dah tak ada gunanya!
Kamu terlalu banyak menyakiti hati ibu!
Kamu calari jiwanya!
Untuk apa kamu menangis?
Hentikan lakonan kamu!

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Hentikan lakonan kamu… kerana kamu tidak mungkin memperolehi apa-apa kerana ibu tidak berharta… dalam saat akhir hidupnya… ibu masih mampu tersenyum dan berkata…

(SUARA FASILITATOR sebagai ibu)

Jangan menangis nak… ibu tak sakit…

(SUARA BIRO sebagai narrator)

Setelah mengucapkan pembohongan yang terakhir… ibu menutup matanya tanpa memcelikkannya lagi… ibu telah pergi menghadap Ilahi… kamu lihat adik-adik kamu yang teresak-esak menangis di hadapan kamu…
(bacaan al fatihah yang mendayu mengiringi)

*MAINKAN LAGU BUATMU IBU*

Mahukah kamu teruskan hidup kamu seperti selalunya? Membiarkan adik-adik kamu kelaparan… dahaga keperluan dan kasih sayang… sanggupkah kamu melihat adik kamu bertarung nyawa melawan seekor anjing di belakang sebuah gerai… semata-mata berebutkan seketul daging… untuk mengisi perut yang lapar? Tegarkah perasaan kamu? Melihat adik-adik kamu dipisahkan… dijaga oleh orang lain… kemudian didera…

Mahukah kamu… semua ini terjadi pada diri kamu? Mahukah kamu merasai keperitan hidup sebegini? Mahukah kamu? Ingatlah anak-anak/sahabat-sahabat… setiap perbuatan kita pada ibu dan ayah akan kembali jua pada diri kita… andai baik yang kita sua pada mereka maka baiklah nanti kehidupan kita… andai buruk yang kita suakan… tidak di dunia pasti diakhirat Allah membalasnya…

Wahai adik-adik yang diberkati Allah… kamu bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah… kamu masih boleh memeluk dan mencium mereka… masih boleh mengadu, dan bergurau senda… anak-anak/sahabat-sahabat yang disayangi… peliharalah akhlak kamu… tekadkan azam di hati kamu… sematkan amanah mereka erat-erat… genggamkanlah tangan kamu… tarik dan bawa ke dada… lafazkanlah ikrar kamu…

Ayah… ibu…
Diri ini adalah anakmu
Dengan ini berjanji!
Sesungguhnya
Aku akan berpegang pada agamaku
Aku akan ingat dan genggam amanahmu
Biar pahit yang harus ditelan
Aku akan cuba sedaya upaya
Menjadi manusia yang berjaya
Di dunia dan di akhirat
Aku berjanji!
Kerana aku adalah juaramu, ayah, ibu…

Moga-moga ikrar ini sentiasa mekar dan subur di hati kamu… bayangkan wajah ibu dan ayah yang jauh dari mata… telefonlah mereka selepas ini… pohonlah kemaafan pada mereka… andai ada keterlanjuran kamu dalam bersuara… andai ada kekasaran kamu dalam tingkah laku… ingatlah bahawa syurga itu ditelapak kaki seorang ibu… pohonlah kemaafan kepada mereka… agar hati kamu akan tenang… sentiasa…

~~~~~ Ini adalah karya pertama saya di sini. Harap ada feedback dari pembaca. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Tuhan dan yang silap itu datang dari diri saya sendiri. Insya-Allah selepas ini akan ada karya lain yang menyusul. Wassalam…




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Cerpen : Skrip malam keinsafan”
  1. haminia says:

    terima kasih banyak kerana berkongsi ilmu dalam membantu membangunkan sahsiah anak bangsa…semoga keikhlasan diberkati Allah..:)

  2. rubbyati says:

    Tahniah! skrip ini sangat menyentuh hati..saya nak mohon untuk menggunakan skrip ini pada malam penghayatan di sekolah saya malam ini. semasa saya praktis tadi pun mencurah-curah air mata, baris ayat yang sesuai dan indah…saya pasti akan dapat menjayakan malam penghayatan pada malam ini dengan bantuan skrip ini. terima kasih..

  3. zulkifli bin mohd ghazali says:

    terima kasih kepada penulis… karya ini banyak memberi manfaat kepada hati saya yang dah terlalu keras dalam menyedari diri sebagai seorang anak.. alangkah baiknya jika dapat saya sebarkan penulisan ini kepada setiap insan yang bergelar anak untuk dijadikan santapan bagi menginsafkan diri….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"