Cerpen : Kehilangan

9 March 2009  
Kategori: Cerpen

425 bacaan Jom bagi ulasan

Nama Pena : misz azzey

Zafira mencium bunga ros putih yang ditanam oleh arwah mamanya ditaman villa mewah milik keluarganya ketika dia kecil dahulu. Memang tidak diakui, disitulah tempat untuk dia melepaskan segala tekanan dan masalah. Bunga ros putih itulah yang menjadi teman setianya sejak kecil lagi.

“Fira, jangan kau sia-siakan hidup kau semata-mata kerana bunga ros putih ini. Ingat, hidup kau masih panjang lagi. Masa depan kau bukan terletak pada bunga ros putih ini. Jangan kau mengalah pada takdir, nak. Teruskan hidup kau walaupun mama dah tiada nanti!” Itulah pesanan terakhir mamanya sebelum kembali ke rahmatullah kerana menghidap penyakit barah otak.

Sejak itu Zafira rasa keseorangan. Walaupun papanya, Dato Farid begitu menyayanginya, namun dia tetap kesunyian kerana papanya tidak pernah mempunyai masa untuk diluangkan bersama Zafira. Papanya lebih banyak berada di pejabat atau pun di luar negeri. Jika berada di rumah pun hanya untuk beberapa ketika. Selepas itu dia akan kembali ke pejabatnya semula.

Tukang gajinya iaitu Mak Mah pula jarang untuk bersamanya kerana sibuk dengan tugas-tugas mengemas rumah.

“Papa, boleh tak kalau Fira tanya sesuatu?”

“Fira, maafkan papa sayang. Papa tak ada masa sekarang ini. Tengoklah, kalau papa lapang nanti. Okey Fira, papa kena pergi outstation. Mungkin seminggu lagi baru papa balik. Nah, ini ada sikit duit kalau Fira nak guna buat sekolah. Papa pergi dulu!”

“Tapi papa..,”

“Sayang, kalau sayang sunyi, Mak Mah kan ada. Dia boleh temankan sayang. Okey sayang, papa dah lambat ni. Papa pergi dulu,” ujar Dato Farid tergesa-gesa sambil mengucup dahi Zafira.

Setelah kereta Dato Farid meluncur laju meninggalkan banglo mewah itu, Zafira menangis di dalam hati.

Sampai hati papa. Fira cuma nakkan perhatian dari papa. Tapi tak ada siapa yang faham. Kenapa? Kenapa?!! Ah, semua manusia sama. Tak pernah nak faham perasaan orang lain. Begitulah jeritan hatinyanya saban hari. Jika sedih dan tertekan, dia akan berlari keluar menuju ke arah bunga ros putih kesayangannya itu. Disitulah dia akan menangis sehingga puas.

“Mak Mah, Fira pergi sekolah dulu!” laung Zafira sambil mencapai kunci kereta Kelisanya hadiah dari Dato Farid kerana berjaya mendapat 8A dalam PMR.

Di sekolah, Zafira tergolong dalam beberapa orang pelajar cemerlang. Zafira juga seorang yang ceria dan peramah ketika di sekolah. Tetapi di rumah, dia begitu berbeza sekali kerana kehidupan di rumahnya penuh dengan kesunyian.

“Tak nak sarapan dulu. Marilah, penat Mak Mah buat ni tau,” tanya Mak Mah pula. Zafira hanya mendiamkan diri. “Kalau tak nak sarapan pun tak apalah. Tapi kalau ye pun, minumlah dulu.” pintanya lagi. Zafira tidak membantah. Dengan langkah yang lemah, dia menuju ke meja makan. Dia menghirup milo panas yang terhidang itu dan kemudian berlalu menuju ke kereta.

Setelah sampai di perkarangan sekolah. Zafira menyadarkan badannya seketika di dalam kereta. Entah kenapa tiba-tiba hatinya terasa perit. Bagai ada yang menyucuk-nyucuk hatinya ketika itu. Dia menekan-nekan dadanya dengan muka yang berkerut menahan sakit. Setelah kesakitan itu beransur hilang, dia keluar dari kereta.

Ketika sampai hadapan pintu kelas, sakit itu tiba-tiba menyerang semula. Zafira melutut di hadapan pintu kelas dengan tangan kirinya memegang dada. Terlalu pedih dan perit untuk dia menahan kesakitan itu. Rakan karibnya, Natasya yang kebetulan berada di kelas itu lantas menerpa ke arah Zafira.

“Fira, kenapa ni. Are you okey?” tanya Natasya dengan wajah yang bimbang. Zafira hanya mengangguk. Dia bangun dari melutut untuk menuju ke mejanya. Mujurlah ketika itu tiada sesiapa di kelas. “Fira, muka kau pucat. Kau tak sihat ke?” tambah Natasya lagi sambil memapah Zafira ke mejanya.

“Taklah. Cuma rasa sakit sikit aje. Kau janganlah risau. Aku dah okey dah,” jawab Zafira lalu duduk di kerusi.

“Betul?” tanya Natasya lagi. Di wajahnya jelas terpancar seribu kebimbangan. Ternyata dia ragu-ragu dengan jawapan Zafira itu.

“Yes, yes. I`am okey. Don`t worry,” jawabnya sambil tersenyum kecil.

“Fira, mari makan. Mak Mah ada masak lauk kegemaran Fira. Mesti Fira suka,” ujar Mak Mah di pintu dapur sebaik ternampak kelibat Zafira menuju ke atas.

“Mak Mah masak lauk apa hari ni?” tanya Zafira cuba mengambil hati tukang gajinya walaupun dia tiada selera untuk menjamah apa-apa makanan pun ketika itu.

“Hari ni Mak Mah masak lauk ikan asam pedas kegemaran Fira itu. Kan Fira suka,” jawab Mak Jah dengan wajah yang ceria. Ternyata tidak sia-sia usahanya untuk memasakkan lauk kegemaran anak majikannya itu. Zafira hanya mengukir senyuman yang penuh kepura-puraan lalu terus menghayunkan langkah kakinya menuju ke meja makan.

“Marilah Fira. Kita makan sama-sama. Takkan nak tengok aje lauk yang Mak Mah masak ni,” leter Mak Mah lantas mencapai dua buah pinggan untuknya dan juga untuk Zafira.

Sedang Zafira menarik kerusi untuk duduk, sakit itu tiba-tiba menyerang hatinya lagi. Mukanya berkerut-kerut menahan sakit itu.

“Fira, jom makan. Kenapa tak duduk lagi tu?” tanya Mak Mah setelah dia duduk di kerusi berhadapan Zafira.

“Mak Mah, Fira nak salin baju dululah. Nanti baru Fira makan. Mak Mah makanlah dulu ye,” Ujar Zafira lantas menuju ke arah tangga.

Ketika melangkah menuju ke tingkat atas, Zafira tidak dapat menahan lagi kesakitan itu lalu dia pun pengsan di situ. Zafira tidak sempat memaut pemegang tangga yang berada di sebelahnya, dia jatuh berguling-guling ke bawah. Mak Mah yang melihat kejadian itu teus tekejut dan panik. Dia menjerit-jerit tidak tentu arah.

“Mak Mah, Fira dekat mana sekarang?” tanya Zafira sebaik sahaja membuka matanya dari pengsan.

“Kamu ada dekat hospital. Semalam kamu pengsan. Jadi Mak Mah telefon ambulans,” jawab Mak Mah dengan suara yang perlahan.

“Kenapa muka Mak Mah nampak sedih?” tanya Zafira kembali.

“Tak ada apa-apa,” jawab Mak Mah lantas mencuba untuk tersenyum. Dia ingin menyembunyikan perkara sebenar daripada pengetahuan Zafira. Dia tidak mahu Zafira bersedih dengan berita yang mungkin akan diketahui juga nanti.

“Cakaplah, Mak Mah. Mak Mah jangan nak tipu Fira. Fira tahu ada sesuatu yang Mak Mah sembunyikan daripada Fira,”

Mak Mah terdiam. Terasa kelu lidahnya untuk diluahkan kepada Zafira. “Em.. doktor.. cakap..,”

“Doktor cakap apa?”

Mak Mah terdiam. Tiada ayat yang mampu diucapkan kepada Zafira.

“Mak Mah, doktor cakap apa. Cakaplah Mak Mah,” rayu Zafira lemah. Wajahnya penuh dengan kebimbangan.

“Mak Mah tak sampai hati nak cakap dekat kamu,”

“Mak Mah mesti cakap. Kalau tak Fira akan lakukan perkara di luar jangkaan Mak Mah,” ugut Zafira supaya Mak Mah memberitahunya perkara sebenar.

“Baiklah, baiklah. Mak Mah akan cakap. Sebenarnya doktor cakap Fira ada..,” ayat Mak Mah terhenti di situ. Dia tidak berdaya untuk terus menyambungnya.

“Mak Mah. tolonglah cakap. Kalau Mak Mah sayang Fira, Mak Mah mesti cakap,” paksa Zafira lagi. Kali ini mukanya bertukar serius.

“Doktor cakap Fira ada barah,”

“Barah. Barah apa?”

“Barah.. ha..ti,” jawab Mak Mah dengan suara teketar-ketar.

Zafira terdiam. Serta-merta seluruh badannya lemah longlai tetapi digagahi juga di hadapan tukang gajinya itu. Air mata Zafira sudah tidak dapat dibendung lagi dan akhirnya dia membiarkan air matanya merembas keluar membasahi pipi gebunya.

“Mak Mah, Mak Mah mesti janji jangan cakap cakap dengan papa. Fira tak nak dia risau,” rayu Zafira. Kali ini air matanya sudah banyak merembas keluar. Jika ditadah dengan mangkuk mungkin boleh penuh dengan cepat agaknya.

“Tapi kenapa. Bukankah dia papa kamu. Lagi pun doktor nak minta persetujuan papa kamu untuk membuat pembedahan,”

“Bukan Fira tak nak cakap. Tapi Mak Mah tengoklah sendiri. Papa sentiasa sibuk dengan kerjayanya. Dia langsung tak ada masa untuk Fira. Lagipun Fira tak nak nanti kerjaya papa akan merosot kerana hal ini,” ujar Zafira panjang lebar.

“Tapi Fira, Fira mesti cakap juga. Dia papa Fira. Dia berhak untuk tahu hal ini,” bantah Mak Mah.

“Emm.. Tengoklah nanti. kalau Fira dah bersedia,” jawab Zafira. Mukanya bertukar muram.

“Fira..,” belum sempat Mak Mah menghabiskan kata-katanya, Zafira mencelah.

“Mak Mah, Fira tak nak diganggu sekarang. Mak Mah baliklah dulu,”

“Tapi Fira,”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Tolong tinggalkan Fira sekarang,” pinta Zafira tegas lantas dipalingkan mukanya ke arah lain. Tidak sanggup rasanya hendak menatap wajah tukang gajinya lama-lama.

Dengan hati yang berat, Mak Mah meninggalkan Zafira berseorangan di bilik itu. Zafira bangun menuju ke tingkap. Dia menghirup udara segar di situ beberapa minit.

“Adakah aku harus memberitahu papa tentang hal ini. Ah, tak mungkin. Aku takkan memberitahu papa. Tapi.., betul juga kata-kata Mak Mah tadi. Ini untuk kebaikan aku. Tapi aku tak nak nanti kerjaya papa merosot kerana hal ini.” Zafira bermonolog sendiri di hadapan tingkap itu. Dia bingung untuk memilih jawapan itu. Hendak diberitahu, nanti kerjaya Dato Farid merosot. Tidak diberitahu, nanti diri sendiri menanggung derita. Dia bagaikan ditelan mati emak, diluah mati bapa. “Adakah ini ialah kali terakhir aku menghiup udara segar?” tambahnya lagi.

Tiba-tiba sedang dia sibuk memikirkan hal itu, seorang doktor dan jururawat masuk ke dalam bilik itu.

“Zafira, saya rasa awak dah tahu semuanya kan,” doktor itu bersuara sambil sibuk mengeluarkan barang-barang untuk memeriksa Zafira. Zafira hanya membisukan dirinya. Dia membiarkan doktor itu memeriksa badannya.

Setelah semuanya selesai. Doktor itu bergegas keluar dari bilik itu.

“Doktor, boleh saya tanya sesuatu?” tanya Zafira setelah agak lama mendiamkan dirinya. Lama doktor itu berfikir. Akhirnya dia mengarahkan jururawat itu keluar dahulu. Jururawat itu menurut.

“Silakan,” jawab doktor itu sambil berjalan menuju ke katil Zafira.

“Bila saya boleh keluar?”

“Selepas awak jalankan pembedahan itu,” jawab doktor itu tenang sekali.

“Boleh tak kalau saya nak keluar esok?” tanya Zafira serta-merta.

“Awak tak dibenarkan keluar dari hospital ini sebelum awak jalani permbedahan itu,” bantah doktor. Wajahnya serius sekali.

“Tapi saya tetap nak keluar. Tolonglah, mungkin ini permintaan terakhir saya. Saya nak buat sesuatu sebelum saya dimasukkan ke dalam bilik pembedahan. Tolonglah doktor,” rayu Zafira.

“Tapi..,”

“Saya janji akan datang semula ke sini untuk buat pembedahan. Tolonglah,”

Dengan muka yang serba-salah, doktor itu mengangguk perlahan. “Tapi awak mesti janji awak akan makan ubat yang saya bagi,” ujarnya.

Zafira lantas mengangguk laju. Wajahnya bertukar ceria. “Terima kasih doktor,” jawabnya sambil tersenyum riang. Doktor itu hanya mengangguk.

“Fira, kamu masih tak mahu cakap dengan papa kamu tentang hal ini?” tanya Mak Mah setelah dia dan Zafira sudah sampai di kediaman mewah mereka itu. Muka Mak Mah ternyata begitu bimbang sekali.

Zafira hanya mendiamkan diri. Dia tiada jawapan untuk menjawab pertanyaan tukang gajinya itu. Entah kenapa, sejak Zafira disahkan menghidap penyakit barah hati, tukang gajinya itu semakin rapat dengannya. Dia dapat merasainya.

“Takkan kamu tetap dengan pendirian kamu itu. Ingat Fira, ia akan membawa padah kepada diri sendiri,” nasihat Mak Mah lalu duduk bersandar di sofa empuk di ruang tamu itu akibat kepenatan.

“Entahlah Mak Mah, Fira tak tahu nak pilih yang mana. Fikiran Fira sekarang tengah bingung,” akhirnya Zafira bersuara. Tiba-tiba, telefon bimbit milik Zafira berdering memecahkan kesunyian ruang tamu itu. Lantas Zafira melihat nama yang tertera. Natasya.

“Hello,”

“Hello, Fira. Kenapa tak sekolah hari ni?” tanya Natasya di hujung talian.

“Sorry. Aku terlupa nak cakap dengan kau,”

“Fira, kau belum jawab pertanyaan aku. Aku tanya kenapa kau tak sekolah hari ni?” tanya Natasya mengulangi pertanyaannya.

“Aku rasa macam tak sihat. So, Mungkin aku ambil cuti seminggu. Tolong cakap dengan cikgu ya,”

“Teruk ke?” tanya Natasya cemas. Dia memang jenis yang begitu mengambil perhatian rakan-rakannya. Lebih-lebih lagi Zafira, teman paling rapatnya itu.

“Taklah. Aku cuma pening sikit aje. Kau janganlah risau. Okey, aku letak dulu,” jawabnya selamba lantas memutuskan talian.

Selepas itu semuanya sunyi. “Mak Mah, Fira rasa nyawa Fira dah tak panjang lagi. Fira..,” belum sempat Zafira menghabiskan kata-katanya, Mak Mah lantas manutup bibir Zafira dengan jarinya.

“Fira, tak baik cakap macam tu,” ujar Mak Mah. Itu sahaja yang mampu dikeluarkan untuk menyedapkan hati anak majikannya itu.

Air mata Zafira tiba-tiba menitis membasahi tangan Mak Mah yang masih menutup bibirnya. Dia menggelengkan kepalanya perlahan lalu menarik tangan Mak Mah dari bibirnya.

“Tapi Fira tetap rasa itu semua. Fira takut,” ujar Zafira perlahan dalam esak tangisnya.

“Fira jangan cakap macam tu lagi. Mak Mah tak nak. Malam esok papa balik. Fira cakap dengan papa ye,” rayu Mak Mah lembut.

Tanpa berfikir panjang, Zafira lantas mengangguk laju. Mak Mah tersenyum tanda berpuas hati dengan jawapan Zafira itu.

“Assalamualaikum, papa,” sapa Zafira di muka pintu bilik Dato Farid. Ketika itu Dato Farid sedang membaca buku di sofa yang terletak di penjuru biliknya.

“Waalaikum salam,” jawab Dato Farid sambil mendengus kecil. Dia menutup buku yang di bacanya. Dimukanya jelas terpancar seribu keletihan. “Nak apa?” tanya Dato Farid tidak senang.

“Papa, boleh Fira beritahu sesuatu?” tanya Zafira lembut di muka pintu. Dia langsung tidak dipelawa oleh Dato Farid untuk masuk ke bilik berhawa dingin itu.

“Em Fira, boleh tak kalau kita cakap esok. Papa penatlah. Papa nak tidur. Kita cakap esok sajalah ye,” ujar Dato Farid selamba sambil menunjukkan tanda-tanda mengantuk.

“Tapi papa, ni penting sangat buat Fira,” rayu Zafira memohon simpati daripada Dato Farid.

“Tapi sayang, papa dah penat. Kita bual esok sajalah.” Jelas Dato Farid sambil mengucup dahi Zafira lalu terus menutup pintu.

Zafira terkesima. Dia tidak manyangka yang papanya sanggup berbuat demikian kepadanya. Dengan hati yang terluka, air mata Zafira menitis.

“Tuan! Tuan!” jerit Mak Mah sambil mengetuk pintu bilik Dato Farid.

Tidak lama selepas itu, Dato Farid membuka pintu biliknya. “Kenapa ni Mak Mah. Saya tengah mengantuk ni?” tanya Dato Farid sambil mendengus geram.

“Zafira, Zafira dah hilang!” jerit Mak Mah dengan mata yang bulat.

Dato Farid yang tadinya mengantuk tiba-tiba kembali segar. “Apa, Fira hilang?”

Di sebuah perhentian bas, Zafira menangis berseorangan di situ. Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 12.05 minit malam, namun Zafira tidak merasa gementar berada di situ seorang diri. Di dalam hatinya ketika itu hanya mempunyai satu perasaan sahaja iaitu kesedihan.

“Sampai hati papa. Papa pentingkan diri sendiri. Papa memang jahat!” jerit Zafira kuat dan ketika itu petir terus sambar menyambar tanda malam itu akan hujan. “Papa, Fira Cuma nak cakap sesuatu yang penting buat Fira. Itu aje. Kalau boleh Fira tak nak kacau papa,” tambah Zafira dengan suara yang tenggelam timbul dek kerana petir dan guruh.

Akhirnya hujan yang memang dijangka akan berlaku itu mula turun. Zafira kesejukan. Namun dia tetap tidak berganjak dari duduknya. Hanya setelah hujan itu turun dengan lebat, barulah dia bangun untuk balik ke villanya yang tidak jauh daripada perhentin bas itu. Dengan badan yang sudah basah, dia berjalan menyeberangi jalan.

Tiba-tiba sebuah kereta jenama Honda Sivik dengan pemandunya yang berada dalam keadaan mabuk muncul dengan laju. Zafira yang ketika itu masih berada di tengah-tengah jalan berdiri kaku di situ. Dia kaget seketika. Dan setelah kereta itu semakin hampir dengannya, barulah keluar jeritan daripada mulut Zafira. Namun, semuanya telah terlambat. Zafira telah tercampak ke hadapan jalan dan kereta itu telah merempuh perhentian bas yang Zafira duduk tadi.

Dato Farid yang ketika itu sedang risau dengan kehilangan Zafira terkejut mendengar jeritan dan bunyi kereta merempuh sesuatu. Dia dan Mak Mah lantas keluar dari villa itu untuk melihat kejadian itu.

Dato Farid lantas mengambil payung untuk keluar melihat kejadian itu dengan lebih dekat. Dia meraung memanggil nama Zafira apabila dia mengamati betul-betul gadis yang terbaring kaku di tengah-tengah jalan. Dia lantas memeluk badan Zafira yang lemah itu dan kepala Zafira diletakkan di pangkuannya.

“Fira, Fira. Maafkan papa sayang. Papa bersalah. Papa bersalah,” ujar Dato Farid sambil mencium dahi Zafira yang dipenuhi dengan darah. “Mak Mah, cepat telefon ambulans. Cepat Mak Mah!” arah Dato Farid kasar. Mak Mah hanya menurut. Dia berlari-lari anak menuju ke villa mereka semula.

“Fira, maafkan papa sayang. Papa..” belum sempat Dato Farid menghabiskan kata-katanya, Zafira tersedar daripada pengsan.

“Pa..pa..,” ujar Zafira lemah. Nafasnya turun naik ketika itu.

“Fira anak papa, Fira dah sedar. Maafkan papa sayang,” pinta Dato Farid lalu air matanya keluar membasahi pipi.

“Papa, Fira cuma nak cakap satu perkara je tadi. Tapi, papa penat. Sebenarnya..”

Dato Farid lantas menutup mulut Zafira dengan tangannya. “Papa dah tahu, Fira. Papa dah tahu. Mak Mah dah cerita semuanya. Maafkan papa sayang. Papa bersalah dengan kamu. Maafkan papa,” rayu Dato Farid lalu terus memeluk Zafira untuk kali ke dua.

Air mata Zafira akhirnya merembas keluar walaupun mukanya penuh dengan senyuman. Senyuman yang dipaksa untuk dibuat. Zafira menarik perlahan tangan Dato Farid dari mulutnya.

“Papa, Fira rasa…. semuanya mungkin…. dah berakhir. Hidup Fira… akan berhenti sampai sini. Dan Fira…. akan jumpa mama…. di syurga nanti. Fira…. akan temankan mama sampai bila-bila. Papa, Fira…. akan tunggu papa dekat sana nanti. Fira…. takkan lupakan papa. Papa…. tolong cakap dekat Mak Mah yang Fira…. nak minta maaf kalau Fira…. pernah sakitkan hati Mak Mah.” Pinta Zafira dengan nafas yang turun naik. Dia lantas mengambil tangan Dato Farid lalu diciumnya beberapa kali. Selepas itu digenggamnya tangan itu sekuat hatinya. Dato Farid lantas membalas genggaman Zafira.

“Fira, jangan cakap macam tu, sayang. Papa masih perlukan sayang di dunia ni. Papa tak nak sayang tinggalkan papa. Papa tak boleh hidup tanpa sayang,” rayu Dato Farid lalu air matanya semakin laju mengalir keluar.

Zafira hanya menggelengkan kepalanya. Dia kelihatan tercungap-cungap diikuti dengan batuk-batuk kecil. Genggaman tangannya semakin kuat. Tidak berapa lama kemudian, Dato Farid menyuruhnya mengucap dua kalimah shahadah. Zafira hanya menurut.

Setelah Zafira menghabiskan kalimah shahadahnya, dia akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya dengan wajah yang tenang. Dato Farid menerimanya dengan tabah walaupun tanpa rela.

Dato Farid memeluk Zafira sekali lagi untuk kali terakhir dengan diikuti petir sambar menyambar. Tidak berapa lama kemudian, barulah ambulans datang untuk membawa Zafira ke hospital.

~TAMAT~




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"