Cerpen : Sepasang Kurung Putih

9 April 2009  
Kategori: Cerpen

609 bacaan 1 ulasan

Nama Pena : MASPAUN B

” Sudahlah tu, nak. Mari kita balik..” Kedengaran suara Mak Jah memanggil gadis yang masih lagi duduk bersimpuh di situ dengan esaknya yang masih terurai. Ayu antara dengar dan tidak. Panggilan ibu saudaranya hampir tenggelam dalam esak tangisannya yang semakin menjadi-jadi. Hatinya begitu sayu sekali kerana tiada terlintas langsung di benaknya segalanya akan berlaku secepat ini dan pada hari yang ingin diraikan dengan penuh gembira. Bukan dengan kesedihan yang bertali-tali.
Ayu tidak menyahut panggilan Mak Jah, menoleh pun tidak. Matanya yang sudah bengkak merah, berladung air mata kesedihan tidak ingin beralih tumpuan ke tempat lain. Apa yang terpaku di depan matanya kini adalah sebuah tanda yang akan mengingatinya kepada sesuatu yang tidak akan dilihatnya lagi dalam pandangan zahiriah. Betapa dia tidak mengerti mengapa perkara itu perlu berlaku?
* * * *
” Mak Usu…mak usu, bila lagi kita nak beli baju baru untuk Anja? Anja dah tak sabar lagi nak jalan-jalan dengan kawan-kawan kat sebelah rumah tu. Karang kalau Anja tak pergi dengan baju cantik, tak bestlah. Anja tentu nampak tak cantik…” Suara manja anak saudaranya itu menggentel copeng telinganya. Jemari lembutnya begitu mesra sekali menguli adunan kueh di dalam balang pasu tanah di atas meja. Ayu menjeling ke arah gadis kecil itu. Betapa dia begitu serupa dengan wajah abangnya. Putih kulitnya tidak terbakar oleh matahari, hidungnya yang mancung kejap-kejap pasti akan menjadi tempat persinggahan jari sepit orang di rumah itu. Dia tidak pula marah, sebaliknya akan berasa bangga sekali.
Kelihatan Anja nampak lebih aktif daripada biasa. Dia begitu gembira sekali sambil menepuk-nepuk tangan kecilnya apabila melihat rumah jiran sebelah-menyebelah terang benderang berpasangan api warna-warni. Dia akan berlari berkeliling memandangkan dalam keluarga ini Cuma ada dia seorang sahaja manusia paling kecil semuda dan sementah itu. Anak sulung abang Long dan kak Long. Tetapi dia lebih akrab dengan mak usunya. Dia tahu memilih siapa yang dapat menjadi kawan. Tidak sebarangan. Kemudian dia kembali ke ruang dapur, mendapatkan Ayu yang ternyata masih sibuk menyiapkan juadah untuk esoknya juga.
” Mak Ucu, cepatlah kita pergi beli baju kurung untuk Anja. Karang Anja tak sempat nak pergi ngan kawan-kawan esok..” Rengeknya dengan manja sambil-sambil tangannya menarik baju mak usunya. Mahu tak mahu Ayu mengalah juga.
” Anja sayang…, mak ucu tengah buat kueh kegemaran Anja,tau. Nanti kalau kerja mak ucu dah siap…kita pergilah kat bandar. Kita beli apa saja yang Anja nak. Bukan setakat baju kurung tu saja tau..apa saja..” Pujuk Ayu sambil merenung jauh ke dalam anak mata jernih gadis kecil manis itu. Begitu sayang sekali hatinya terhadap anak saudaranya itu. Tak ubah dia anggap seperti anak kandung sendiri biar pun masih belum berkahwin lagi. Kerana dia masih ingin belajar dalam pada dia sudah menjawat jawatan sebagai pegawai bank di ibu kota. Mendengar kata-kata janji Ayu, Anja terus mencium tangannya. Ayu sedikit tersentak. Tidak pernah pula dia berbuat begitu sebelum ini. Tetapi..dia amat gembira sekali kerana anak kecil itu begitu sayang sekali terhadapnya.
Dari perkarangan masjid yang hanya terletak beberapa puluh meter sahaja dari rumah mereka, sudah kedengaran suara imam mengalun azan masuk waktu Maghrib. Ayu masih di situ. Kemudian membasuh tangan sebentar kerana kewajipan yang terlebih utama baginya sebagai hamba Allah S.W.T sudah membuat seruan. Di dalam bilik solat, baru saja dia hendak mengangkat Takbiratul Ihram, tiba-tiba anak matanya tertangkap kelibat seseorang berdiri di hadapannya dalam senyuman yang begitu manis sekali. Dia semacam tidak percaya. Niatnya terkubur sebentar, namun tawakalnya untuk solat masih lagi utuh di jiwa. Seorang kanak-kanak perempuan, tak ubah seperti wajah anak saudara kesayngannya sedang berdiri di depannya dalam pakaian baju kurung warna putih. Dia masih kaku di situ, kemudian melambai-lambai tangannya seolah-olah hendak meninggalkannya pergi. Baru saja dia hendak menyapa, kelibat gadis kecil itu terus hilang.
” Anja!” Panggil Ayu dengan suara yang agak lantang sedikit. Dia tersentak. Kemudian bangun. Rupa-rupanya dia terlelap sebentar di atas katil dalam keadaan masih bermini telekung putih itu. Suara azan baru berlalu. Ayu beristighfar panjang lebar. Rupa-rupanya dia cuma bermimpi.
” Subhanallah..! Mimpi rupanya. Tetapi anak kecil itu tak ubah seperti..” Ayu cuba mengingati mimpinya tadi.
” A’uzubillahiminasyaitannirrajim…” Ayu sedar dia terlelap ketika hendak mengadap Tuhan. Dia sedikit lalai. Ayu menerkup wajahnya yang terasa dingin. Entah mengapa dia berasa lain benar malam itu. Seolah-olah ada sesuatu yang kuang elok bakal berlaku. Ayu segera membuang jauh-jauh prasangka itu dari lubuk hatinya. Selesai bersolat, dia terus mendapatkan anak saudaranya.
Di luar sana Anja nampak gembira sekali bermain dengan Dayang, anak jiran sebelah rumah. Dia main kejar-kejar, kemudian bila dah dapat tangkap temannya itu
Dia akan ketawa terbahak-bahak. Ayu tumpang gembira. Sebaik saja melihat kelibat Ayu, Anja terus meluru ke arahnya.
” Mak ucu..jomlah kita main bunga api. Anja teringin nak main bunga api. Cepatlah. Kita beli kat bandar. Mak Ucu dah janji nak bawak Anja ke bandar, bukan?” Anak kecil yang baru menjangkau usia 5 tahun setengah itu mula menagih janji. Ayu tersenyum. Dia tahu benar perangai anak saudaranya. Tak pernah lepas janji mahupun tagih janji. Apa yang dia nak, memang dia ingin. Tetapi dia tidak terlalu mendesak. Cuma kalau dia betul-betul inginkan benda tu dia akan cuba sedaya upaya dapatkan dengan pelbagai bujuk rayu.
” Baiklah-baiklah. Cepat salin baju. Mak Usu bawak pergi beli baju kurung yang Anja nak tu, ya?” Ajak Ayu ikhlas. Anja nampak girang. Hajatnya hampir tercapai.
” Anja nak bunga api macam abang tu main,”
” Anja tak boleh main. Nanti tangan terkena, sakit tau!” Ayu cuba mengalih minat anak kecil itu daripada terus mengimpikan bermain bunga api yang merbahaya. Sedangkan dia sendiri tidak berani untuk terlalu khusyuk bermain benda itu. Biar pun nampak cantik, tetapi bahayanya lebih dahsyat lagi. Ayu tidak ingin apa-apa berlaku pada anak saudara kesayangannya itu. Setelah sudah, Ayu terus meminta izin abang long dan kak longnya serta isi rumah untuk membawa anak mereka ke bandar. Membeli sepasang baju kurung yang diidamkannya dulu.
Suasana malam ini juga begitu aneh sekali. Tidak pernah pula begitu meriah, sehinggakan anak-anak muda juga yang lebih suka meliar di bandar-bandar membeli-belah ataupun paling tidak ke masjid sekadar untuk mengisi perut dengan hidangan berbuka puasa, waktu ini berada di jalanan bermain mercun dan bersembang-sembang mengatur rancangan hendak kemana tujunya keesokan hari selepas pulang bersolat raya. Ayu tersenyum sendiri. Teringat pula dia masa kecik-kecik dulu. Masa arwah ibu dan ayahnya masih ada. Sudah pasti waktu begini suara ibunya akan terlontar tinggi memanggil mereka dua beradik daripada terus bermain bunga api. Apabila ternampak kelibat ayah, bertempiaranlah mereka dua beradik lari bersembunyi di belakang pokok buah mangga di laman rumah. Sungguh nakal juga masa kecilnya dulu. Sepanjang perjalanan menuju ke bandar, tidak lekang suasana kegembiraan menyambut hari raya bersama anak saudaranya itu kelak terbayang-bayang di ruang matanya.
Alangkah seronoknya dia duduk di atas kerusi sambil anak saudaranya berdiri di depan matanya dengan berbaju kurung pilihannya sendiri, sambil menguntum senyuman secantik bunga mawar putih yang kembang segar mewangi. Tangannya pasti dikucup dengan mesra sekali, lalu dia akan menghulurkan sekeping sampul hijau yang pasti akan membuatkan anak saudaranya melompat riang. Dia sudah pastinya akan heboh seluruh rumah, bangga dengan pemberian itu. Dan dia juga sudah semestinya akan tersenyum lebar sambil memberitahu bahawa Anjalah satu-satunya cahaya dalam kehidupannya.
Lamunannya kembali semula ke alam realiti, sebaik sahaja Anja memanggil namanya beberapa kali. Ayu tersentak, lalu memandang wajah manis itu. Kereta diperlahankan. Pasaraya Sogo berdiri megah di depan mata. Ayu memberhentikan keretanya, lalu membawa anak saudaranya itu mengunjungi pasaraya itu yang sudah siap berhias lampu kelip-kelip berwarna-warni. Sederet..dua deret kedai menjual pakaian kanak-kanak dilawatinya, namun tiada juga yang berkenan di hati. Ayu hanya membiarkan saja Anja memilih sedikit kerana Hari Raya tahun ini adalah untuknya. Biar dia berbelanja lebih sedikit.
Di sebuah kedai butik, pelbagai macam pakaian kanak-kanak sehinggalah ke dewasa pamer di situ. Ayu pula berkenan dengan baju kurung warna merah jambu bersulam di bahagian pergelangan tangan dan dadanya. Pantas dia masuk dan terus membeli untuk diri sendiri. Sepasang lagi untuk kak long kerana saiz mereka tidak kurang bezanya dan dibeli untuk kak longnyanya warna kuning cair. Warna kegemarannya. Untuk abang long pula, dia belikan kain songket warna hijau daun pisang, sesaui dengan baju melayu yang ditempah oleh kak longnya. Sementara Anja..! Ayu mencari kelibat anak saudaranya. Hatinya berdebar-debar kerana Anja tiada berada di sampingnya waktu ini.
Ayu bagai nak gila, mencari dan terus mencari. Dia berasa kesal kerana terlalu asyik memilih pakaian sendiri sehinggakan dia terlupa tentang anak saudaranya yang paling diutamakannya. Tiba-tiba dia terdengar suara manja memanggilnya dari arah kedai menjual baju raya. Anja berada di dalam kedai itu. Ada seorang wanita muda bersamanya, sambil tersenyum pada Ayu. Ayu segera mampir. Barulah lega rasa hatinya kerana berjaya menemui semula anak saudaranya yang seorang itu.
” Mak ucu…Anja nak baju kurung tu..”
” Yang mana satu Anja? Biar mak ucu ambilkan. Yang ini cantikkan?” Ayu menunjukkan kepadanya sepasang kurung berwarna ungu berbunga-bunga kecil Tentu manis sekali bila tersarung ke tubuh mongel itu kelak. Fikir Ayu yang sudah membayangkan kegembiraan pada tirai wajah anak saudaranya itu menerima pemberiannya.
” Tak nak. Anja nak yang itu..” Sambil menunjukkan ke arah sepasang kurung putih yang tergantung tinggi di atas sana. Cahaya bajunya begitu suci sekali. Ada corak bunga-bunga ros putih. Ayu juga nampak berkenan dengan baju pilihan Anja. Entah mengapa dia seperti pernah melihat baju seperti itu sebelum ini. Namun, dia tidak peduli. Yang paling penting, Anja sukakannya. Setelah membuat pembayaran, mereka berdua pun bergegas ke tempat lain. Membeli sepasang kasut. Ternyata Anja gemar dengan tema warna putih pada tahun ini. Sepasang kasut berwarna putih menjadi pilihan hatinya. Sepadan dengan baju kurung putih yang dipilihnya tadi. Aku hanya mampu menggelengkan kepala.
Setelah habis bershopping, Ayu membawa Anja membeli hadiah. Namun dia tidak ingin Anja tahu apakah hadiah yang ingin diberikannya kelak. Surprise! Itulah yang ingin dilakukannya. Buat buah hati intan payungnya itu. Anja sudah nampak letih. Namun cahaya matanya bersinar-sinar malam ini. Lebih manis daripada biasa. Sudah tentu sudah tidak sabar untuk memakai baju barunya itu. Kemudian mereka pun pulang saja ke rumah. Ayu sengaja tidak singgah ke kedai jual bunga api kerana dia tidak mahu anak saudaranya ingat semula akan permintaannya tadi.
Setibanya di rumah, Anja terus menunjukkan baju barunya kepada seisi rumah, terutama sekali dengan Mak Jah dan Pak Mail. Ibu saudara Ayu, saudara ibunya. Mak Jah tumpang gembira menerima pemberian daripada Ayu. Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain. Yang paling gembira sekali ialah Anja yang nampaknya sudah bertukar pakaian. Baju kurung putih itu disarungkannya ke tubuhnya itu. Sepatu putih manjadi padanannya. Cukup sempurna.
” Nak ke mana tu, Anja?” Panggil ibunya apabila melihat Anja berlari menuju ke depan pintu. Kurung putih itu masih lagi dipakainya. Anja tidak menjawab, sebaliknya terus meluru ke arah laman rumah.
” Wah! Cantiknya bunga api tu. Anja suka sangat…” Kedengaran riang sorak suara Anja dari laman rumah. Sudah tentu sedang melihat Daim dan Hafiz bermain bunga api.
” Anja sayang, jangan ikut main bunga api, ya. Lihat saja sudahlah..” Tegur Ayu. Masih lagi kedengaran gelak ketawa anak kecil itu gemar melihat budak-budak lain bermain bunga api yang memercik warna-warni merah, kuning dan hijau. Sesiapa saya pasti terpesona. Ayu dan isi rumah yang lainnya sibuk membuat persediaan terakhir. Tidak lama kemudian, kedengaran suara-suara bertakbir dari masjid. Pasti sudah memang esok Aidilfitri menjelma. Ayu begitu seronok sekali. Dia berlari anak untuk mendapatkan Anja, anak saudara kesayangannya. Belum pun sempat kakinya menjejak ambang pintu, tiba-tiba kedengaran bunyi letupan besar berlaku datangnya dari laman rumah. Sudah tentu budak-budak nakal bermain mercun buluh. Serentak dengan itu terdengar suara riuh dari depan rumah mereka. Ayu tidak sedap hati. Tiba-tiba saja perasaan gembiranya bertukar kocak gusar. Tangannya terasa dingin sekali. Hatinya mula berdebar-debar.
” Kak Ayu…Mak Jah…” Panggil jiran dari laman rumah. Ayu dan isi rumah yang lain bergegas menuju ke halaman rumah mereka yang sudah dikerumuni banyak orang. Ayu semakin diamuk perasaan cemas. Dia melilau. Matanya liar mencari kelibat Anja.
” Anja..dimana dia? Anja!!” Seru Ayu berkali-kali. Tiada juga sahutan. Hatinya sudah leler dan cemburu tentang sesuatu. Tiba-tiba dia ternampak sebelah kasut putih yang baru dibelinya tadi berada tidak jauh dari tempat orang ramai berkerumun. Jiwanya semakin cemas. Entah tanpa disedarinya..air matanya laju sekali menitis dari kolam matanya. Kasut yang dibelikannya tadi untuk padanan kurung putih Anja. Dia terus memecah kelompok manusia itu. Perlahan-lahan, dia sudah dapat menangkap suara tangisan kak long dan saudara-maranya. Tangisan itu untuk siapa? Untuk siapa? Hatinya ditujah pertanyaan. Hatinya diamuk resah. Sebak di dadanya mula terasa. Menebal.
Dia merapati tubuh kaku berlumuran darah mencacatkan putih kurungnya. Ayu tidak dapat menahan sebak di dadanya. Wajah anak kecil itu yang selalu dipuja-pujanya melecur dan seluruh tubuhnya yang bersalut kurung putih itu cemar dengan darah merah yang masih segar. Dia sudah kaku. Dingin terasa seluruh tubuhnya. Ayu tidak percaya apa yang baru dilihatnya. Dia memejamkan matanya dan mula beristighfar lagi. Mungkin dia terlelap lagi sebelum masuk solat Isya’. Fikirnya. Namun, ketika matanya dicelik kembali…keadaan masih serupa. Orang ramai dalam wajah yang sayu dan suara tangisan kak long dan abang long serta jiran tetangga berbaur suara takbir yang bergema dari arah masjid. Ayu terus rebah, tidak sedarkan diri.
* * * *
” Ayu…mari kita pulang,nak. Jangan terlalu diikutkan perasaan tu. Kita sayangkan Anja. Tetapi Allah lebih menyayanginya. Bersabarlah..” Pujuk Mak Jah sambil menepuk anak bahunya. Ayu masih menahan sedu-sedan. Surah Yassin yang dibacanya tadi seperti mimpi untuk anak saudaranya, Anja.
” Mengapa tinggalkan mak usu, Anja? Mengapa?” Hatinya menangis lagi. Pusara yang masih segar merah dengan wangi bauan bunga-bunga mawar itu diramasnya lagi. Hatinya tidak ingin mempercayai apa yang berlaku.
” Patutlah Anja pilih baju kurung putih untuk sambut raya tahun ni. Rupa-rupanya, Anja nak jadikannya sebagai kain kafan dan Anja tinggalkan mak ucu seorang diri…” Ayu terus menangis dan menangis di dalam hati. Hakikat yang terlalu sukar untuk dia terima. Anak kecil yang belum tahu apa-apa. Belum puas memandang luas dunia ini. Akhirnya bersemadi di perut bumi. Ayu menggenggam erat kurung putih yang sempat menjamah tubuh mulus anak saudaranya itu.
” Semoga kau berada di sampingNya yang yang ternyata lebih menyayangimu, Anja sayang. Semoga kau tidak lupakan mak usu biar pun berada jauh di sana..” Doanya di dalam hati. Takbir raya terus bergema. Sepasang kuurung putih…pasti akan menjadi ingatan dan sejarah di setiap Aidilfitri.
Baru saja dia hendak meninggalkan kawasan perkuburan yang masih mewangi dengan haruman segar air mawar putih di atas pusara anak saudaranya, tiba-tiba anak matanya sempat menangkap seperti bayangan anak kecil berdiri tidak jauh dari tempatnya berdiri itu. Ayu menyelak sedikit kerudung yang menutup pandangannya. Ternyata benar. Seorang anak kecil berbaju kurung putih corak bunga ros halus, berkasut putih, sama sekali dengan milik arwah Anja, anak saudara kesayangannya. Anak kecil itu tersenyum ke arahnya, kemudian wajahnya kelihatan murung. Dia seperti menggelengkan kepala.
” Anja..!” Jerit hati kecilnya. Ayu mula melangkah menuju ke arah anak kecil itu. Namun semakin dia ingin mendekati, semakin anak kecil itu berada jauh daripadanya.
” Mak Ucu…mak ucu…” Seru anak kecil itu dengan sayu sekali.
Ayu bagaikan orang gila. Ke sana sini dia mengejar anak kecil mirip anak saudaranya. Berkali-kali nama Anja diserunya.
” Anja..tunggu mak Ucu. Mak Ucu sayang Anja. Tunggu mak Ucu, sayang…” Ayu terus mengejar dan mengejar tanpa berhenti. Semua orang yang ada di sekitar tanah perkuburan itu berasa hairan melihat tingkahnya begitu. Ayu sudah kelihatan seperti orang sasau. Mak Jah menggelengkan kepala langsung mengejar anak saudaranya dari belakang. Pun begitu, belum sampai separuh jalan dia mengejar, tiba-tiba gadis itu rebah terkulai tersembam ke bumi. Semua orang menjadi kelam-kabut. Masing-masing ambil peranan, lalu menghulurkan bantuan kepada sanak-saudara Ayu.
* * * * *
ALLAHUAKHBAR….ALLAHUAKHBAR…..ALLAHUAKHBAR
LAILAHAILLALLAHUWALLAHUAKHBAR
ALLAHUAKHBAR WALILLAH’ILHAMD
Gadis berkurung putih bunga-bunga halus itu membuka matanya perlahan-lahan. Pandangannya samar-samar. Kepalanya masih berdenyut. Jiwanya terasa sesak sekali. Sesekali kedengaran sedu-sedannya kedengaran. Ayu memandang sekeliling. Wajah-wajah itu memandang ke arahnya dalam pandangan yang pelbagai firasat. Ada yang menggeleng kepala dan ada yang ikut terkejut. Ayu terasa benar keperitan yang dialaminya. Perlahan-lahan dia bangkit. Baju kurung putih yang dipakainya, masih nampak elok. Di celah-celah asakan orang ramai itu, tersembul wajah seseorang yang membuatkan Ayu terkilan dan mengingati dirinya tentang apa sebenarnya yang telah berlaku. Ayu menggeleng kepala.
” Ayu…mengapa dengan awak ni?” Suara itu menegur. Ayu masih tidak bersuara. Namun jelas kedengaran di corong telinganya takbir raya bergema. Ditatapnya satu-persatu wajah-wajah itu.
” Sa..saya kat mana ni?”
” Eh..eh..budak ni. Mengapa pulak dengan kamu ni, Ayu? Kan sekarang kita tengah dalam perjalanan balik ke kampung awak kat Utara. Awak ni mengingau lagi,ya?” Encik Shahrin mengingati gadis manis itu. Ayu mengerut dahi. Setiap wajah yang ada di situ ketawa lagi. Semuanya adalah teman-teman sekuliahnya. Nana..Miah, Rozie, Iman, Ajak, Lee, Iskandar dan banyak lagi. Semuanya dia kenal. Teman-teman yang akan mengikutinya pulang beraya ke kampung sempena program anak angkat yang dianjurkan oleh UNIMAS.
” Kenapa awak panggil nama Anja? Siapa Anja tu?” Sapa teman yang seorang.
” Hek..eleh..kamu ni pun. Pakwe dialah tu. Anja..singkatan kepada ‘Manja’!” Mereka semua terus menderaikan tawa. Ayu mengelengkan kepalanya. Dia masih terasa akan mimpinya tadi. Seperti baru saja berlaku. Ayu beristighfar panjang lebar. Mungkin dia terlalu ikut perasaan. Dia sedar, Anja sudah lama meninggalkannya. Anak saudaranya yang paling disayanginya itu. Sebab itulah setiap kali pulang beraya, dia pasti teringatkan peristiwa yang benar-benar menyentap jiwanya.
Ayu duduk lagi, sambil mendengar lagu ‘Dendang Perantau’ yang berkumandang di radio. Encik Shahrin hanya membiarkan sahaja gadis itu. Ayu membuang pandangannya ke luar tingkap bas yang mereka naiki. Kampung halaman yang tidak lama lagi akan dijejakinya semula. Ayu mengamati baju kurung putih yang yang disarungkannya. Kemudian mengambil bungkusan yang satu lagi. Sepasang kurung putih khas untuk anak saudaranya untuk setiap tahun. Ayu menangis lagi. Dia benar-benar tidak dapat menerima kenyataan itu sampai bila-bila pun.
“ANJA…” Serunya di dalam hati. Bas terus meluncur laju membelah malam yang semakin menjalar.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

Satu ulasan untuk “Cerpen : Sepasang Kurung Putih”
  1. miakatrina says:

    ok.mudah dfahami

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"