Cerpen : Pengorbanan Ayah

24 June 2009  
Kategori: Cerpen

3,429 bacaan Jom bagi ulasan

Nama Pena : Org Ganu

Aku memerhatikan gambar-gambar pada album usang itu. Pelbagai kenangan lama dari aku kecil sehinggalah dewasa tersimpam rapi di situ.Mataku terencap pada satu gambar yang sudah pudar warnanya. Kelihatan wajah seorang lelaki muda yang sedang tersenyum bahagia sambil meriba seorang kanak-kanak perempuan di samping seorang wanita yang turut tersenyum di sisinya .Hatiku tiba-tiba menjadi sebak. Air mataku mula bergenang di kelopak mata. Itulah potret mak dan ayahku ketika aku berusia 2 tahun .Gambar itu aku tatap lama .Aku tidak pernah merasa kasih sayang seorang ibu dan tidak sempat mengenalinya sejak kecil kerana ayahku kata ibuku meninggal akibat denggi berdarah ketika aku berumur 3 tahun. Semenjak itu hanya ayahlah yang menjadi tempat aku bergantung, ayahlah segala-galanya bagiku tapi aku tidak pernah menghargainya.Aku benar-benar menyesal kini kerana sering menyakiti hati ayah. Aku sering membuatkan ayah susah hati. Dengan serta-merta kenangan lama menerjah ke ruang ingatanku..

———————————–

Ketika aku berusia 5 tahun..

Aku terpegun melihat mainan Barbie milik teman sepermainanku ketika berkunjung ke rumahnya. Dia merupakan anak orang kaya. Aku ingin bermain dengan mainan itu namun temanku itu tidak membenarkan kerana dia takut aku akan merosakkannya memandangkan mainan itu baru sahaja dibeli. Aku sungguh terkilan dengan sikap temanku itu. Dengan rasa kecewa dan sedih, aku berlari pulang ke rumah yang terletak di satu kawasan penempatan setinggan di pinggir ibu kota dan terus mendapatkan ayahku yang ketika itu baru sahaja pulang dari kerja . Aku terus merengek pada ayahku supaya membeli mainan Barbie padaku. Kelihatan wajah ayah begitu runsing mendengar permintaanku. Namun,aku ketika itu masih tidak mengerti .

Ayahku menyatakan yang dia tiada duit buat masa itu untuk membeli mainan itu untukku tapi aku tidak faham kata-kata ayah.Ayah aku hanyalah bekerja sebagai buruh binaan . Gajinya hanyalah RM130 sebulan hanya cukup untuk makan dan minum kami berdua sahaja sedangkan harga mainan Barbie ketika itu berharga RM60 Tapi ,tanpa mempedulikan kata-kata ayah, aku merajuk dengan ayah apabila ayah masih enggan belikan aku mainan itu. Aku memberontak. Aku berdegil tidak mahu pergi ke tadika sekiranya ayah tidak membelikan aku mainan itu. Hampir sebulan aku begitu. Makanan yang ayah belikan langsung aku tidak sentuh .Berkali-kali ayahku memujukku namun aku tetap berdegil. Akhirnya ayah mengalah. Dia terpaksa mengikat perut selama sebulan demi untuk memenuhi kehendak aku. Akhirnya aku mendapat mainan yang aku inginkan dan aku tidak dapat bayangkan betapa gembiranya hatiku ketika itu . Ayah juga turut gembira melihat aku kembali ceria.Sumpah, ketika itu kesusahan ayah langsung tidak aku pedulikan .

——————————-

Ketika aku berusia 7 tahun…

Aku cemburu melihat rakan-rakanku semua ada kasut yang cantik dan baru, baju baru,kain baru,kotak pensel lawa-lawa dan macam-macam lagi. Aku pula, hanya ada baju sekolah terpakai dan kasut usang yang ayah beli semasa jualan lambak di pasar malam .Hanya itu yang ayah mampu beli untukku. Hari pertama persekolahan aku sangat menyakitkan hati. Aku menjadi bahan gelak ketawa rakan-rakan semasa sesi suai kenal.Puncanya ,aku memberitahu semua orang dalam kelasku yang ayahku bekerja sebagai buruh . Semua cakap yang aku ini anak pengemis jalanan apabila melihat pakaian aku yang agak lusuh, tidak seperti baju mereka yang putih bersih. Aku cukup malu ketika itu dan akhirnya aku menangis . Tidak cukup dengan itu teman sekelasku yang kebanyakannya anak orang kaya sering kali membuliku. Pelbagai macam perkara yang mereka arahkan aku buat termasuklah membersihkan kasut mereka setiap hari, membuat kerja sekolah mereka dan memberikan mereka duit 30 sen sehari sedangkan duit sakuku setiap hari hanyalah 50 sen .Kerana itu, aku hanya boleh membeli air sirap setiap kali tiba waktu rehat.

Aku sungguh terseksa tapi aku masih bersabar sehinggalah aku darjah 2. Kerana tidak tahan dengan pelbagai hinaan yang dilontarkan kepadaku, aku terpaksa meluahkan kepada ayah .Ayahku terkejut mendengar ceritaku. Dia memeluk aku erat .Aku dapat melihat mata ayah berkaca menahan sebak. Ayah menasihatkan aku supaya bersabar dengan semua itu kerana dia mengatakan Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar. Tapi aku tidak mengendahkan nasihat itu sebaliknya aku merayu-rayu supaya ayah membelikan aku baju baru, kasut baru, dan kotak pensel cantik . Aku mahu jadi setaraf dengan mereka. Aku tidak sanggup dihina lagi. Akhirnya,aku menangis di ribaan ayah .Ayah termenung panjang mendengar rayuanku .

Seperti biasa, akhirnya ayah terpaksa akur dengan kehendakku. Dia terpaksa mengambil upah mengangkat tong gas yang berat setiap petang selepas pulang dari kerja demi mencari duit lebih untuk memenuhi permintaanku .Kadang-kadang aku lihat ayah menyapu minyak ubat pada belakangnya pada waktu malam kerana sakit belakang.Tapi aku langsung tidak peduli kesakitan yang ayah alami kerana aku rasa perkara itu bagi ayah ,sudah biasa. Beberapa bulan kemudian, ayah menghadiahkan aku pakaian sekolah baru dan alat-tulis yang baru sempena hari jadiku yang ke-8. Aku bukan main seronok ketika itu apabila mendapat apa yang aku mahukan selama ini. Tetapi aku lupa tentang satu perkara..aku lupa mengucapkan terima kasih pada ayah..

———————————-

Ketika aku berusia 9 tahun..

Aku berterusan diejek oleh rakan-rakanku .Mereka kata aku ni memang tak layak datang ke sekolahku kerana aku anak orang miskin. Mana tidaknya, setiap hari ayah akan memboncengku dengan basikal tuanya .Sementara mereka pula ,mak ayah hantar dengan kereta besar. Paling kurang pun mereka mempunyai basikal sendiri yang agak cantik. Pada awalnya aku mengendahkan segala ejekan mereka kerana ayah cakap pedulikan apa orang kata, yang penting kita datang ke sekolah untuk belajar, bukan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan diri. Ayah cakap aku kena belajar sungguh-sungguh biar suatu hari nanti aku akan berjaya dan jadi kaya seperti mereka.

Nasibku semakin hari semakin malang. Semakin lama, semakin teruk aku dihina hinggakan mereka sanggup lempar batu sebesar ibu jari kepadaku setiap kali aku turun dari basikal tua ayah. Pernah ayah menengking mereka, tetapi mereka langsung tidak takut sebaliknya mereka mengatakan yang ayahku ini orang gila! Aku malu , sungguh malu! Aku tidak pernah pinta untuk dilahirkan sebagai seorang yang miskin.

Aku membentak ayah .Aku paksa ayah belikan aku basikal supaya aku tidak perlu lagi membonceng basikal buruk ayah itu dan supaya aku tidak diejek lagi. Ayah termenung lagi. Dia runsing memikirkan permintaanku. Berapalah sangat gaji ayah jika dibandingkan dengan harga basikal yang bukannya murah pada waktu itu.Harganya ternyata jauh lebih mahal dari gaji yang ayah perolehi setiap bulan. Tapi aku seperti biasa, aku langsung tidak faham akan kesusahan ayah walaupun berkali-kali ayah mengatakan yang dia tidak mampu membelinya.

Kerana aku terlalu mendesak ,ayah terpaksa berhutang dengan Along .Aku tidak tahu berapa ayah pinjam daripada mereka .Yang aku tahu, ayah membelikan aku basikal ‘racing’ untukku beberapa hari kemudian. Duniaku bagaikan penuh dengan warna warni apabila permintaanku yang satu itu dipenuhi . Namun kegembiraan itu tidak lama kerana beberapa bulan kemudian ayah dipukul oleh kuncu-kuncu Along sehingga dia dimasukkan ke hospital kerana dia tidak mampu membayar hutangnya dengan mereka. Aku meraung kuat apabila melihat ayah tidak sedarkan diri dan wayar-wayar berlikaran di sekeliling ayah. Aku benar-benar takut kehilangan ayah. Aku takut jadi anak yatim piatu kelak. Namun, Allah itu Maha Besar, ayah skhirnya sedar setelah koma selama hampir sebulan dan dia pulih sepenuhnya tidak lama selepas itu.Semenjak dari itu, aku berjanji tidak akan menyakiti hati ayah dan tidak akan memaksanya untuk memenuhi permintaanku lagi.Aku benar-benar menyesal. Kerana aku,ayah hampir maut.

Namun begitu, penyesalanku hanya bertahan sehingga aku berusia 11 tahun iaitu setelah ayahku berkahwin dengan Mak Cik Som ,jiran sebelah rumahku .Dia juga merupakan janda beranak satu. Aku benar-benar tidak boleh terima yang Mak Cik Som yang aku tidak pernah bertegur sapa sebelum ini menjadi ibu tiriku. Aku merasakan ayah sudah tidak sayangkan arwah mak lagi kerana mengahwininya, aku merasakan kasih sayang ayah terhadapku bakal berkurangan selepas ini.

Walaupun Mak Cik Som menjaga segala makan minumku dan ayah tapi itu langsung tidak mendetikkan hatiku untuk berbaik dengannya. Langsung tiada sekelumitpun perasaan sayang dalam hatiku padanya. Dia memang baik tapi aku rasa dia hanya pura-pura baik untuk menarik perhatianku. Hatiku bertambah sakit apabila duit sakuku terpaksa dikurangkan kepada 40 sen sehari apabila adik tiriku yang baru sahaja berusia 7 tahun mula bersekolah . Mulai hari itu aku jarang bercakap dengan ayah apatah lagi Mak Cik Som kerana terlalu geram dengan sikap ayah yang tidak berlaku adil! Dia melebihkan keluarga tiri daripada aku! Aku mula tidak menghormati ayah dan selalu mengingkari perintahnya .

—————————–

Ketika aku berusia 12 tahun…

Kelasku akan membuat lawatan ke Genting Highland. Aku ingatkan percuma tapi rupa-rupanya setiap pelajar perlu menyediakan wang sebanyak RM30 sebagai tambang pergi balik ke sana. Aku mulai risau, boleh ke aku pergi? Ayah ada duit ke? Bagaimana aku nak pujuk ayah ni kerana sudah lama aku tidak bercakap dengan ayah? Aku teringin sangat nak pergi ke situ kerana rakan-rakanku cakap tempat itu banyak mainan, boleh naik keretapi berpusing, boleh tengok serkas dan macam-macam lagi. Oleh itu, pulang sahaja ke teratak usangku, aku terus mendapatkan ayah . Aku tanpa segan silu merayu pada ayah supaya ayah membenarkan aku pergi ke sana dan memberi aku duit sebanyak yang diperlukan untuk ke sana. Ayahku membantah keras permintaanku kerana dia cakap tempat itu tidak elok. Membazir duit je kalau aku pergi ke sana. Aku marah ayah, aku kata ayah kejam.Ayah tak pernah nak bawa aku jalan-jalan apatah lagi ke sana. Hanya dengan lawatan ini sajalah aku dapat berkunjung ke tempat itu.

Tapi ayah tetap membantah, ayah cakap duit itu hanya cukup untuk membayar yuran peperiksaan UPSR aku yang akan berlangsung akhir tahun ini dan juga yuran persekolahan adik. Tapi, aku tidak puas hati dengan alasan ayah .Aku memaksa ayah lagi .Aku cakap ayah kedekut duit, aku cakap ayah banyak habiskan duit kerana Mak Cik Som dan adik tiriku, aku cakap ayah lebih pentingkan Mak Cik Som dari aku. Aku cakap ayah sengaja tak nak bagi aku hidup senang . Kebencianku pada Mak Cik Som bertambah-tambah. Aku merasakan kehadiran Mak Cik Som benar-benar menganggu kebahagiaan hidup kami.Kerana dia , apa saja permintaanku kini sukar dipenuhi. Bagiku, dia memang perempuan tak sedar diri!

Sebaik sahaja aku menghina Mak Cik Som, ayah menampar aku kuat. Aku terkejut dengan tindakan ayah. Kelihatan wajah ayah benar-benar marah padaku. Dalam tangis, aku berlari keluar dari rumah. Sahutan ayah langsung aku tidak hiraukan. Aku benci ayah! Ayah memang tak sayangkan aku!

Kerana kebencianku pada ayah dan Mak Cik Som, aku mula tidak memberi tumpuan pada pelajaranku dan sengaja tidak menjawab betul-betul semasa peperiksaan kerana aku rasakan sia-sia sahaja aku ikut nasihat ayah supaya belajar bersungguh-sungguh. Aku tahu tiada gunanya aku berusaha keras sekalipun kerana tiada ganjaranpun untuk itu melainkan hanya dapat menyenangkan hati ayah. Oleh kerana itu, keputusan UPSRku jatuh merudum, aku hanya memperoleh 1A,1B,2C dan 1D .Ayah begitu kecewa.Ayah begitu marah padaku sehingga menitiskan air mata. Mak cik Som hanya berdiam diri.Mungkin suka hati melihat kegagalanku. Aku langsung tidak menghiraukan kekecewaan ayah .Leteran ayah bagaikan masuk ke telinga kiri dan keluar di telinga kanan, langsung tidak berbekas di hatiku.

—————————-

Ketika aku berusia 13 tahun..

Masuk sahaja sekolah menengah yang letaknya berdekatan dengan rumahku,aku ditempatkan di kelas kedua tercorot daripada 7 kelas yang ada di situ. Di sekolah itu, aku menemui ramai rakan-rakan yang semuanya nakal-nakal dan satu kepala denganku kerana mereka juga tidak suka belajar, tidak kiralah lelaki mahupun perempuan. Aku sungguh seronok berkawan dengan mereka kerana mereka seperti sangat memahami aku .Aku sering menghabiskan masa dengan mereka setiap kali selepas habis sesi persekolahan tanpa pengetahuan ayahku . Semenjak dari itu, aku mula menjadi liar dan mula terikut-ikut dengan hampir semua benda yang mereka lakukan termasuklah cara mereka berpakaian yang agak tidak senonoh di dalam atau luar sekolah ,terlibat dalam gejala ponteng sekolah, merokok dan tidak lupa juga berpelesiran di kompleks membeli belah tanpa arah tujuan .

Status aku sebagai pelajar perempuan tidak menghalang aku untuk melakukannya. Perangaiku tidak ubah seperti lelaki kerana rakan-rakanku kebanyakannya lelaki. Aku sering pulang lewat malam ke rumah dan apabila ayah bertanya ,aku terpaksa berbohong. Aku akan menjawab yang aku pergi kelas tambahan sekolah dan kadang-kadang mengatakan aku pergi membuat kerja rumah di rumah kawan. Aku tidak mempamerkan perangai sebenar aku ketika berada diluar pandangan ayah kerana setiap kali keluar rumah atau balik ke rumah, aku akan segera menukarkan pakaianku kepada pakaian sekolah.Dengan itu, aku dapat mengaburkan mata ayahku tentang aktiviti seharianku. Ayahku ternyata mempercayai aku bulat-bulat. Aku apa lagi, semakin seronok menipu ayah.

——————————–

Naik tingakatan 2 , aku semakin berani membuat kerja jahat. Aku mula belajar mencuri. Mula-mula mencuri duit saku rakan-rakan ,kemudian mencuri duit tabung masjid dan akhirnya aku berani menjadi peragut jalanan bersama rakan-rakanku. Aku sungguh seronok apabila melihat banyak duit yang aku perolehi hasil pekerjaan baruku itu. Sebelum ini tidak pernah aku memegang duit sebanyak ini. Duit itu aku gunakan untuk membeli handphone , pakaian yang tak senonoh dan mp3 . Sekolah memang aku tidak pergi langsung kerana bagiku cikgu-cikgu di sekolah amat membosankan. Mereka hanya lebihkan kelas yang pandai-pandai je, kelas aku pula mereka mengajar gitu-gitu je .Baik tak payah belajar langsung.

Tidak cukup dengan aktiviti mencuri, aku diperkenalkan pula dengan kumpulan Black Metal . Bagiku kumpulan itu amat menakjubkan kerana setiap malam pelbagai aktiviti yang dilakukan termasuklah upacara ritual dan menari gila-gila dengan disertai alunan music hard rock daripada kumpulan Black Metal . Aku merasakan seolah-olah hidup ini aku yang punya. Arak sudah menjadi minuman tradisi kumpulanku .Pil khayal menjadi santapan wajibku. Duniaku penuh dengan warna-warni dan aku merasakan aku sedang berada di syurga dunia. Aku rasa benar-benar bebas kini.Tidak perlu lagi memikirkan soal Tuhan, agama dan pelajaran!

———————————-

Ketika aku berusia 15 tahun..

Aktiviti harianku akhirnya terbongkar jua apabila guru kelasku datang bertandang ke rumahku untuk memberitahu ayahku tentang ketidakhadiran aku ke sekolah. Ketika itu aku tiada di rumah. Ayah sungguh terkejut dengan berita yang dia langsung tidak sangka .Sebaik sahaja aku pulang ke rumah pada suatu malam, ayahku terus menghadiahkan satu tamparan hebat pada pipiku. Aku memandang ayah tajam . Hatiku panas. Tidak sangka ayah menyakitiku. Aku menengking ayah. Aku mula bercakap kasar dengan ayah.

Ayahku kemudian seperti dirasuk,dia memukulku berkali-kali sehingga aku jatuh tersungkur di situ.Ayah ingin meneruskan pukulannya tapi sempat dihalang oleh Mak Cik Som yang tiba-tiba datang di situ. Mak Cik Som memarahi ayah kerana memperlakukan aku sedemikian rupa. Kerana tidak tahan dengan kesakitan akibat pululan ayah, aku menangis teresak-esak.Badannku terasa ngilu akibat dipukul kuat. Ayah ternyata benar-benar marah denganku. Dia marah kerana selama ini aku membohonginya.Dia memaksa aku supaya menjelaskan kepadanya apa aktiviti aku yang sebenar. Ke mana aku pergi ketika waktu persekolahan . Ayah cuba merampas beg sandang di belakangku tetapi aku menghalang. Namun ternyata ayah lebih kuat, dia akhirnya dapat merampas beg itu dan terus membukanya.

Amarah ayah memuncak apabila melihat pakaian dan pelbagai barangan tidak senonoh berada dalam begku itu. Dia menolak kasar Mak Cik Som lantas meneruskan pukulannya padaku. Ayah kata aku memang anak tak guna! Ayah kata aku bukan anak dia! Ayah kata anak dia tak kan sejahat itu! Ayah kata aku anak sial! Aku tersentap mendengar kata-kata ayah. Kerana terlalu geram dengan kata-kata ayah, dengan sekuat hati aku menolak ayah sehingga ayah jatuh tersungkur di atas tangga rumah . Ayah mengerang kesakitan namun aku tidak peduli! Aku terus berlari keluar dari rumah itu .

Tangisanku semakin kuat.Aku tekad tidak akan pulang ke situ! Ayah sendiri yang kata aku ni tak layak jadi anak dia..Aku pun tak ingin ada ayah macam dia! Di tengah malam yang hitam pekat aku meraung seperti orang gila di tengah jalan. Aku kemudian berlari mendapatkan rakan-rakan seangkatan denganku dan mulai hari itu aku tinggal bersama mereka .Aku rela tinggal di rumah yang busuk dan penuh dengan sampah sarap daripada tinggal di rumah neraka itu!

Aku kini sudah tidak punya sesiapa..nasib baiklah aku ada mereka.Merekalah yang menjadi tempat aku meluahkan perasaan, merekalah segala-galanya bagiku kini .Aku lagi rela menyuntik dadah yang mereka hulurkan kepadaku, mengambil rokok yang dilemparkan kepadaku dan meminum arak yang disediakan oleh mereka. Dengan itu aku dapat melupakan segala penderitaan jiwa yang aku alami .

Setelah dua minggu aku menetap di situ ,ayah tiba-tiba muncul dengan langkah yang terhinjut-hinjut. Sebelah tangannya memegang tongkat. Rupa-rupanya kakinya patah semasa dia jatuh tersungkur tempoh hari akibat ditolak kuat. Namun, aku hanya memandang ayah kosong. Dendam di hatiku pada ayah masih membara. Ayah berkali-kali memohon maaf dan merayuku agar aku pulang namun rayuannya sedikitpun tidak menyentuh perasaanku. Aku marah ayah balik,aku tengking ayah dan aku tolak ayah sehingga ayah jatuh. Aku kata ayah tak layak jadi ayah aku, aku kata ayah macam-macam sehingga aku nampak ada air mata lelaki mengalir dari kelopak matanya. Tapi, aku tidak peduli semua itu! Ngilu pada tubuhku akibat pukulan ayah masih terasa . Kata-kata keras yang ayah lemparkan padaku masih terngiang-ngiang di telingaku.

Melihat tindakanku, rakan-rakanku yang berada di situ menambahkan lagi kesakitan ayah dengan menendang dan menumbuk ayah tanpa belas kasihan . Aku terkejut dengan tindakan mereka yang langung tidak aku duga. Aku cuba menghalang namun mereka tidak mengendahkan. Mereka kata ayah aku menyebabkan salah seorang rakan mereka dipenjarakan .Aku meraung sekuat hati apabila melihat darah pekat mengalir dari kepala ayah. Ayah tidak sedarkan diri. Aku mulai panik melihat ayah begitu, begitu juga mereka. Rakan-rakanku itu lari lintang pukang dari situ.Mereka tinggalkan aku seorang diri setelah puas dia kerjakan ayah .

Aku menggenggam erat tangan ayah yang koma, air mataku lebat membasahi pipiku. Aku benar-benar menyesal ketika itu. Inilah kali kedua ayah mengorbangkan dirinya keranaku . Kerana aku, ayah menderita . Kerana aku, ayah terseksa. Aku tidak habis-habis menyalahkan diriku atas apa yang menimpa ayah. Apa lagi apabila mendengar cerita sebenar daripada Mak Cik Som.Dia kata , ayah sangat sayangkan aku dan tidak pernah bencikan aku. Hidup dia tidak sempurna tanpa aku kerana aku adalah hasil cintanya pada arwah mak. Ayah tidak sanggup kehilangan aku, kalau boleh biarlah dia pergi dulu sebelum aku. Ayah benar-benar ingin melihat aku berjaya dalam hidup, dia tidak mahu aku mendapat nasib yang sama dan hidup miskin sepertinya .

Tangkai jantungku bagaikan direntap kasar mendengar kata-kata Mak Cik Som. Aku meratap pilu.Benar kata ayah. Aku anak tak guna! Aku anak yang tak mengenang budi! Aku tak pernah menyenangkan hati ayah. Aku memang anak yang paling teruk dalam dunia ini!

Dengan izin Tuhan, ayah masih bernafas dan sedar kembali setelah koma hampir setahun namun apa yang menyedihkan aku, ayah tidak lagi bisa bergerak seperti dulu kerana dia disahkan lumpuh kedua-dua belah kakinya akibat retakan pada tulang belakangnya yang turut mencederakan saraf tunjangnya . Semenjak dari hari itu, aku berjanji pada diriku tidak akan menyakiti hati ayah lagi dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang berjaya seperti yang ayah harapkan. Janji itu bukan lagi janji kosong seperti semasa aku berumur 9 tahun tetapi itu adalah janji yang disertai dengan keazaman yang kuat. Dengan azam itulah aku berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda perubatan dan kini berjaya mendapat gelaran doktor.

Namun, ternyata Tuhan benar-benar ingin mengujiku. Beberapa hari setelah hari konvokesyenku , ayah tiba-tiba mendapat serangan sakit jantung . Aku yang ketika itu masih mentah dalam dunia kedoktoran, mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan ayah tetapi sakit jantung ayah telah sampai tahap kritikal . Pelbagai cara aku lakukan untuk mengembalikan fungsi jantung ayah tapi sesungguhnya Tuhan lebih menyayanginya, akhirnya dia meninggal dunia di depan mataku. Aku tergamam, seperti tidak percaya yang ayahku telah tiada. Aku meraung sekuat hati seakan tidak boleh terima yang ayah sudah meninggal dan hari itu,sepanjang hari aku meratapi pemergiannya. Jauh di sudut hatikuku ,sedikit terkilan kerana ayah aku menyembunyikan kesakitannya bertahun-tahun dari pengetahuanku.

——————————–

” Maria..,” sapaan Mak Cik Som mematikan lamunanku . Aku menyeka air mataku perlahan-lahan . Mak Cik Som sedang berdiri di sebelahku kini dan memandang sayu kepadaku .Dia duduk di sebelahku lantas memeluk bahuku.

” Mak cik..Mar bersalah pada arwah ayah..,” kataku sebak. Gambar ayah aku genggam erat lalu dibawa ke dada.

” Sudahlah Maria..arwah ayah kamu sentiasa maafkan kamu.Dahla jangan fikirkan benda yang dah jadi..,” kata Mak Cik Som lembut. Aku melentokkan kepalaku pada bahunya .Aku ternyata salah sangka pada Mak Cik Som selama ini .Dia sebenarnya seorang wanita yang sangat penyayang, penyabar dan bertanggungjawab.Aku begitu menyesal kerana menuduhnya bukan-bukan sewaktu ketika dahulu. Ayah sebenarnya amat beruntung kerana mempunyai isteri sepertinya .Hanya aku yang tidak pernah menghargainya.Aku tahu ayah tentu kecewa kerana aku mensia-siakan Mak Cik Som.

” Mak cik..bagaimana Mar dapat tebus kesalahan Mar? Mar nak tebus segala kesilapan Mar pada arwah ayah..,” aku merintih lagi. Aku benar-benar terkilan kerana tidak sempat membalas kasih sayang ayah selama ni.

” Mar..doalah pada Allah banyak-banyak. Hanya Allah yang boleh membalas semua budi baik ayah kamu..Hanya Dia Mar..banyakkan bersabar ye..,” pujuk Mak Cik Som.Dia turut menangis sambil mengemaskan lagi pelukannya pada bahuku.

” Arwah ayah kamu dah cukup gembira kerana dapat melihat kejayaan kamu sebelum dia pergi..dia sangat bangga ada anak macam kamu..,” sambung Mak Cik Som lagi.Esak tangisku makin kuat mendengar kata-kata itu. Ya Allah ampunilah segala dosa-dosaku yang Allah..Walaupun sudah lebih 14 tahun peristiwa hitam berlaku namun aku rasakan bagi semalam berlaku. Peristiwa itu membawa seribu satu penyesalan dalam diriku .

” Selamat hari bapa abang…,” sepatah perkataan meniti di bibir Mak Cik Som. Baru aku sedar Mak Cik Som sedang menangis .Aku terkedu. Baru aku teringat yang hari ini adalah hari bapa. Bagaimana aku boleh lupa hari yang amat bermakna ini.

” Selamat hari bapa ayah..,” aku turut mengucapkan ucapan itu .Gambar ayah aku kucup lama dan air mataku menitis lagi.

” Terima kasih ayah..,” kataku lagi. Mak Cik Som menggosok lembut belakangku. Aku tersenyum kepadanya dalam sendu. Dalam diam, aku bersyukur kerana ayah sempat melihat kejayaanku yang tidak seberapa ini. Aku bersyukur kerana mempunyai ayah sepertinya.Kerana ayah, aku terselamat dari terus hanyut dalam dunia kehancuran. Kerana ayah, aku menjadi manusia yang berguna kini. I love you dad!!Thanks for everything!

p/s : saya menulis cerpen ini sempena hari bapa sebagai menghargai semua insan yang bernama bapa. Hargailah bapa kita..janganlah mensia-siakan kasih sayang mereka terhadap kita sementara mereka masih hidup. Marah dan herdiknya bukan bererti mereka tidak sayangkan kita, tetapi adalah untuk menjadikan kita insan yang berguna..Tiada satupun bapa di dunia ini yang tidak sayangkan anaknya..percayalah.
Di sini saya ingin ucapkan SELAMAT HARI BAPA kepada ayah saya dan semua bapa di luar sana…

wassalam




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"