Cerpen : Zani Pencuri Rambutan

24 October 2009  
Kategori: Cerpen

815 bacaan 5 ulasan

Nama Pena : Lada Hijau

Tiada tempat lain lagi dituju Zani selain belakang rumah Tok Akob setiap kali pulang dari sekolah. Kalau tidak berteman, dia akan menyelusup ke sana seorang diri dan memanjat pokok rambutan yang selalu menjadi sarang pilihannya membuat nakal. Suka betul dia bertenggek atas dahan pokok rambutan yang satu itu walaupun terdapat empat batang pokok rambutan lagi di dalam dusun kecil Tok Akob. Mungkin kerana pokok yang satu itu paling dekat dengan pagar dan kawasan rumah beberapa penduduk kampung. Senang untuk dia lari kalau-kalau terlihat dek Tok Akob. Mungkin juga kerana pokok itu paling lebat buahnya. Daun-daunnya yang rimbun dapat meneduhkan Zani daripada terkena tembakan sinar mentari yang pastinya terik di kala tengah hari.

Selain pokok-pokok rambutan, ada lima batang pokok durian, empat batang pokok mangga, empat batang pokok manggis, tiga batang pokok cempedak, dan tiga batang pokok nangka di dusun kecil itu. Masing-masing masih berbuah dan sesetengahnya mengikut musim tetapi hasilnya tidak serancak masa Tok Akob muda dan tengah kuat. Dulu Tok Akob boleh jaga sendiri dusun kecilnya itu dan hanya menggaji orang untuk menjaga sepenuhnya bila dia keluar bekerja berbulan-bulan lamanya. Tapi setelah bersara sebagai Kapten kapal, Tok Akob terpaksa mengupah sahaja dua-tiga orang pemuda kampung membersihkan sekitar kawasan dusun kecilnya. Itu pun seminggu sekali.

Bagi Zani, dia lebih suka menghabiskan dua hingga tiga jam masanya di atas pokok kerana tiada siapa yang menunggunya di rumah. Yang ada cuma nasi dan lauk-lauk sejuk yang terhidang bawah tudung saji. Dihidang ibunya sebelum keluar bekerja. Ayah Zani adalah seorang pegawai perubatan yang berkhidmat di klinik desa sementara ibunya membuka kedai jahit. Dua orang kakaknya pula bersekolah di sebelah petang. Seorang di tingkatan satu dan seorang lagi di tingkatan dua.

Kenakalan Zani di usia sebelas tahun semakin hari semakin menjadi-jadi. Dengan lengkap berpakaian sekolah dia ligat memanjat pokok kegemarannya itu. Rambutan-rambutan yang bergayutan dan masak ranum dipetiknya satu-satu. Setelah isi masuk ke mulut, kulit dan biji dibuang ke bawah. Bertaburan di sekitar pangkal pokok. Sudah kerap kali dia ditangkap Tok Akob. Mulut ayah dan ibunya pun sudah berbuih-buih memesan agar tidak menceroboh dusun Tok Akob namun langsung tidak diendah Zani. Hari ini kena tangkap, esok dia datang dan panjat lagi. Tak pernah serik. Pening ayah dan ibu Zani memikirkan sikapnya itu. Walaupun marah dan geram, ayah dan ibunya belum sampai lagi ke tahap memukul. Habis ikhtiar, mereka berdoa. Agar satu-satunya anak lelaki mereka itu berubah.

Bukan kemanisan buah rambutan sebenarnya yang Zani gilakan tapi kedamaian yang dinikmatinya semasa berada di atas pokok itu. Tenang. Sesekali terhibur juga dengan pelbagai ragam tingkah-laku jiran tetangganya yang Zani dapat lihat dengan jelas. Dari pandangan atas, Zani dapat curi tengok kegiatan dua orang remaja yang sedang asyik bercinta. Kak Odah dan abang Bari. Sudah masuk minggu kedua kak Odah dan abang Bari berjumpa senyap-senyap di belakang balai raya. Bergurau-senda melepas rindu dendam setiap kali kelas menjahit manik yang kak Odah hadiri tamat. Zani juga tahu siapa yang mendajalkan Mak Irah. Meninggalkan najis yang masih panas di bawah tempurung betul-betul depan anak tangga paling bawah di bahagian dapur. Sampai mulut Mak Irah berkicau-kicau marah bila tersepak tempurung yang berisi itu. Bukan orang lain pun. Burhan, cucu Mak Irah sendiri yang baru berusia empat tahun yang punya kerja. Dari atas pokok rambutan itu juga, Zani terkekek-kekek ketawa melihat lurah punggung Pak Salam bila orang tua berbadan gempal itu terbongkok-bongkok membersih kawasan reban ayamnya yang bersebelahan dengan dusun kecil Tok Akob.

Bila penat mengendap, Zani duduk di atas dahan dengan kedua-dua kakinya berjuntai. Kadang-kadang sempat juga dia membaca komik di atas pokok itu. Pernah juga dia hampir-hampir terlena tetapi sedar semula bila Tok Akob menjerit-jerit menghamunnya di bawah pokok. Bukannya nak takut, sebaliknya dibaling-balingnya Tok Akob dengan putik-putik rambutan. Bertubi-tubi mengenai kepala orang tua yang berusia tujuh puluh tiga tahun itu. Dan Zani terhibur di atas pokok dengan perlakuan nakalnya sendiri. Dia sudah masak sangat dengan perangai Tok Akob. Bila dah penat marah-marah nanti, orang tua itu akan beredar pergi sambil mengomel. “Pencuri rambutan! Nanti kau… nanti kau!” Dalam terkengkang-kengkang bertongkat, mulut Tok Akob tak henti-henti memarahi Zaini. Bila Tok Akob sudah jauh meninggalkan kawasan dusun, barulah Zani turun dari pokok dan pulang ke rumah dengan berbekalkan lima-enam biji rambutan untuk dimakan dalam perjalanan.

Tok Akob terkenal dengan sikap perengus dan kedekutnya dikalangan penduduk Kampung Pahat. Dia tinggal seorang diri setelah kematian isterinya lima tahun lalu akibat sakit tua. Keadaan Tok Akob pun tidak berapa sihat. Jalannya bertongkat dan badannya selalu sakit-sakit. Banglo kayu yang dihuni sejak dulu dah tak terlarat lagi hendak dijejak Tok Akob keseluruhannya. Dia hanya menghabiskan masa di ruang tamu hadapan yang dekat dengan bilik tidur dan dapurnya sahaja. Ruang-ruang lain di rumahnya itu sudah lama terbiar tidak berkemas. Punca belanja hariannya pula dari duit pencen, hasil jualan buah-buahan kepada pemborong dan duit tabungannya semasa sihat. Pendek kata Tok Akob bukan orang susah tetapi kehidupannya sunyi. Sunyi akibat dari perbuatannya sendiri yang gemar memarahi orang-orang kampung yang mendekati dusun kecilnya tanpa kebenaran. “Tau mintak je. Tanam sendiri malas!” Itulah ayat yang dirungutkan Tok Akob tiap kali ada orang kampung datang meminta sedikit hasil dusun kecilnya itu. Bukannya dapat sebaliknya dimarahi Tok Akob. Dan sekarang hidup Tok Akob tak senang sejak dusun kecilnya itu didatangi penceroboh licik bernama Zani.

Hari berganti hari. Zani tetap bertengek di atas pokok rambutan. Tidak pernah jemu. Kawan-kawan sekepalanya sudah seminggu tidak ikut sama kerana telah dimarahi orang tua masing-masing. Cuma Zani sahaja yang liat. “Oii, budak! Turun kau… turun! Tak kembung-kembung ya perut kau curi buah aku hari-hari. Kau turun cepat… kau turun cepat… cepat!” Tok Akob berteriak di bawah pokok. Mengengkang kedua belah kaki Tok Akob menyeimbangkan badan sambil tongkat di tangan di angkat dan di acah-acahnya. Teriakan Tok Akob di balas Zani dengan ejekan. “Alah, Tok… wakaf jelah pokok ni kat Zani. Tok kan banyak pokok lain.” Zani menyakat. Ranting-ranting pokok digegar-gegar Zani menyebabkan beberapa biji rambutan jatuh berguguran menimpa kepala Tok Akob. Terketar-ketar orang tua itu mengelak. “Kau tak tau ke mencuri ni berdosa?!” Jerkah Tok Akob bila kepalanya tak dihujani putik dan buah rambutan lagi. “Tau… kedekut pun berdosa jugak Tok!” Zani petah menjawab. “Bertuah punya budak! Kalau nak, kau mintaklah. Buat apa curi?” Tok Akob mengetap-ngetap gigi menahan geram. “Mintak? Ek’elleh… macam dapat…,” sindir Zani.

Kali ini Tok Akob bertekad. Tidak mahu mengalah. Kepalanya menoleh kiri dan kanan mencari sesuatu. “Baik kau turun cepat! Kalau tak, aku baling dengan bruti ni.” Ugut Tok Akob sebaik dia memungut seketul kayu reput. Zani bertindak memanjat ke dahan yang lebih tinggi. Bersedia kalau-kalau kayu reput itu dibaling ke arahnya. Melihatkan tindakan Zani yang tidak mahu mengalah, Tok Akob tidak teragak-agak lagi dengan keputusannya. Ugutan tadi akan dilaksanakannya. “Allah!” Belum sempat dilontar kayu reput itu, Tok Akob tiba-tiba jatuh melutut sambil memegang dada sebelah kiri. Kayu reput serta-merta terlepas jatuh ke rumput. Zani yang memandang dari atas pokok tertanya-tanya bila melihat Tok Akob dalam keadaan melutut sambil kepala tertunduk. Aik… takkan sembahyang lak orang tua ni. Zani kehairanan. “Tok… ooo Tok!” Zani cuba memanggil. Tok Akob masih tunduk tanpa jawapan. Ish… ni mesti taktik nak suruh aku turun ni. Hati Zani mengagak. Dari satu dahan ke satu dahan dia memijak turun dengan hati yang was-was sambil tangannya sempat memetik dua-tiga biji rambutan. Buat senjata kalau-kalau dia diserang mengejut oleh Tok Akob bila turun nanti.

“T… t… tolong. Ubat… a… atas TV… ru… ru… ruang tamu.” Pinta Tok Akob sejurus Zani melompat turun dari pokok. Tanpa banyak soal Zani terus berlari menuju ke rumah Tok Akob. Arahan orang tua itu diturutinya. Dia terus menuju ke peti televisyen sebaik masuk ke ruang tamu Tok Akob. Ada sebungkus plastik mengandungi beberapa botol ubat di atas peti televisyen itu. Tak tahu Zani botol yang mana satu. Lantas diangkut kesemuanya. Dibawa berlari mendapatkan Tok Akob yang sedang berpeluh-peluh menahan sakit di dada. Tok Akob duduk bersandar pada batang pokok rambutan setelah menelan beberapa biji pil. Botol-botol ubat yang bertaburan atas rumput dikutip Zani satu persatu. Bertaburan kerana digeledah Tok Akob yang panik mencari ubat lemah jantungnya. Sesekali Zani menoleh ke arah Tok Akob yang sedang mengatur nafas di bawah pokok.

“Tok tak apa-apa?” Tegur Zani. Tangkai plastik mengandungi botol-botol ubat disimpulnya sebelum diserahkan kepada Tok Akob. Zani duduk mengadap Tok Akob. Tuala putih yang tersangkut di bahu Tok Akob di tarik Zani perlahan-lahan. “Tok tak apa-apa ke? Nak Zani panggilkan Pak Salam?” Tanya Zani. Dahi dan pipi Tok Akob dilap-lapnya dengan tuala putih tadi. “Zani panggil Pak Salam tolong Tok ya?” Zani bingkas bangun tetapi ditahan Tok Akob. “Tak payah… tak payah… tolong pimpin aku je. Aku nak masuk rumah.” Tok Akob cuba bangun sambil berpaut pada tangan kiri Zani. Cepat Zani memeluk dan memapah orang tua itu. Tongkat Tok Akob dipungut Zani sekali sebelum dia dan Tok Akob melangkah perlahan-lahan menuju ke rumah.

“Dah, kau pergi balik. Jangan datang dan curi buah kat dusun aku lagi.” Rupanya marah Tok Akob belum hilang. Dalam keadaan lemah, Tok Akob memberi amaran sejurus dia berbaring di atas katil dalam bilik tidurnya. Terkebil-kebil mata Zani mendengar amaran itu. Dah macam ni pun nak kedekut lagi. Kang aku tebang pokok rambutan tu baru tau. Zani melawan dalam hati. “Dah, pergi. Aku nak rehat. Sebab kau aku jadi macam ni.” Tok Akob menghalau Zani yang masih tercegat berdiri di sebelah katilnya. “Tutup pintu depan tu bila keluar nanti.” Suruh Tok Akob bila Zani melangkah keluar dari bilik tidur. Zani mencebikkan bibir. Meluat dengan sikap Tok Akob yang tidak tahu berterima kasih. Zani sempat mencuri pandang keadaan ruang tamu sebelum keluar dari rumah Tok Akob. Hatinya tersentuh tatkala melihat sisa makanan di atas meja makan Tok Akob. Ikan kering dan nasi tinggal separuh di dalam pinggan. Dalam mangkuk pula, ada lauk asam rebus peria. Juga tinggal separuh kuahnya. Biar betul. Takkan ni je lauk orang kaya kedekut tu? Bisik hati Zani.

Keesokan harinya Zani ke dusun kecil Tok Akob lagi. Tapi kali ini dia tidak terus memanjat pokok rambutan. Sebaliknya dia menuju ke rumah Tok Akob. “Assalammualaikum! Tok ooo Tok!” Zani berteriak memberi salam. Hari ini keadaannya lain sedikit. Dia tidak berpakaian sekolah seperti selalu kerana dia telah pulang ke rumahnya terlebih dahulu sebelum datang ke rumah Tok Akob. “Apa kau nak hah? Kan aku da bilang jangan datang lagi? Kau nak kena betul-betul dengan aku ya?” Salam Zani dijawab dengan gertakan. “Relaks arr Tok… Zani datang nak melawat je. Ni, Zani bawak makanan skali untuk Tok.” Zani tersenyum sambil menunjuk mangkuk tingkat keluli di tangan kanannya. Belum dipelawa, Zani terus naik ke beranda rumah Tok Akob. Berkerut dahi orang tua itu. “Mana pulak kau curi makanan-makanan ni?” Tok Akob bersangka buruk. “Ish… Tok ni. Zani pencuri rambutan je. Makanan ni Zani tak curi. Ibu Zani yang masak. Selalu Zani makan sensorang je kat rumah. Hari ni Zani bawak sini. Kita makan sama-sama ya.” Jelas Zani. Tanpa segan-silu, dia menarik tangan Tok Akob masuk ke dalam rumah. Terpinga-pinga Tok Akob diperlakukan Zani sedemikian rupa. Biasanya orang yang datang ke rumahnya atas alasan hendak meminta itu dan ini. Tetapi berbeza pula dengan hari ini. Dia didatangi seorang budak yang membawa makanan.

“Erkkk!” Zani sendawa sambil bersandar dan menggosok-gosok perut. Tok Akob yang masih melayan selera hanya menggeleng kepala. “Besar rumah Tok ni. Tak takut ke duduk sensorang? Rumah besar macam ni selalunya ada han…,” belum lagi habis ayat Zani, pipi kirinya pantas ditunjal telunjuk Tok Akob. “Mulut tu jaga sikit. Kang aku jolok dengan tongkat ni.” Tok Akob bersuara setelah nasi di dalam mulutnya melepasi kerongkong. Zani memegang pipinya yang ditunjal sambil menjeling. Tok Akob menyambung makannya semula. Biarpun tidak selesa dengan kehadiran Zani diterataknya itu namun makanan yang dibawa Zani menggoda nafsunya.

Zani bangun. Berjalan mengelilingi ruang tamu Tok Akob. Dia leka mengamati setiap gambar lama yang tergantung di dinding. Satu-persatu diamatinya. Kebanyakannya gambar kenangan Tok Akob semasa bekerja sebagai Kapten kapal. Juga dua-tiga bingkai gambar arwah isteri Tok Akob. Kemudian pandangannya beralih pula pada gambar-gambar di atas almari hias Tok Akob. Zani mengangkat salah-satu daripadanya. Perlakuan Zani dapat dilihat Tok Akob dari meja makan. “Letak balik! Jangan usik barang-barang aku!” Jerkah Tok Akob. Tangan kanannya dicelup ke dalam sebuah mangkuk berisi air sebelum mencapai tongkat dan bangun. “Dah… dah… pergi balik! Bawak bekas kosong tu sekali. Lepas ni jangan datang lagi!” Bingkai gambar ditangan Zani dirampasnya sebaik mendekati budak nakal itu. Bingkai gambar tadi tegak kembali di atas almari hias setelah diletak oleh Tok Akob. Zani meluat melihat perlakuan Tok Akob. Bukannya dia hendak memecahkan bingkai gambar itu. Dia cuma hendak tengok dengan dekat gambar disebalik kaca bingkai tersebut. Tidak pernah dilihatnya lelaki di dalam gambar itu. “Ini gambar anak Tok Akob ya?” Tanya Zani.

“Aku kata pergi balik! Aku nak tidur!” Tok Akob berdalih. Bahu Zani ditolak-tolak. Memaksa budak itu keluar dari rumahnya. “Ish, Tok ni. Baru makan dah nak tidur. Tak elok untuk kesihatan tau.” Tegur Zani. Bahunya yang ditolak-tolak Tok Akob dikeraskannya. Berdegil tidak mahu pergi. “Aku dah tua. Memang dah sakit pun. Bila-bila boleh mati!” Tok Akob terus menolak. “Tak baik cakap macam tu Tok. Tuhan marah…,” Zani menjawab. Membuatkan marah Tok Akob membuak-buak. “Aku pukul kau dengan tongkat ni kalau kau tak pergi. Bawak balik bekas-bekas kosong tu sekali!” Kali ini kepala Zani ditunjalnya. “Pergi! Pergi! Jangan datang lagi!” Tok Akob mula mengamuk menjerit-jerit. Zani yang tidak mahu keadaan menjadi semakin buruk pantas menuju ke meja makan. Menyusun semula mangkuk-mangkuk tingkatnya sebelum keluar dari rumah. Dia bengang dilayan sebegitu rupa tetapi enggan melawan kerana tidak mahu Tok Akob diserang sakit jantung seperti semalam.

“Assalammualaikum!” Esoknya Zani datang lagi. Dengan mangkuk tingkat yang sama. “Assalammualaikum!” Zani memberi salam lagi bila salamnya yang pertama tidak berjawab. “Assa…,” Zani menghentikan salamnya. Dia tidak mahu memberi salam yang ketiga kerana dia kena beredar dari situ kalau tidak dijawab Tok Akob. Itu yang di ajar ibunya. Kalau tiga kali beri salam orang tak jawab, jangan tunggu lagi. Balik saja. Zani tidak mahu balik jadi Zani bertindak masuk ke dalam rumah terus. Kebetulan pintu tidak berkunci. “Tok… ooo Tok.” Zani menjengahkan kepalanya dibalik daun pintu. “Tok… ooo… Tok.” Langkahnya dipanjangkan hingga ke muka pintu bilik Tok Akob bila Zani terdengar batuk kecil orang tua itu. “Eh, Tok sakit ke?” Tanya Zani yang berdiri di ambang pintu bilik tidur. Tok Akob yang baring mengiring di atas katil tidak menjawab. Batuk kecilnya semakin menjadi-jadi. Tanpa disuruh Zani masuk dan duduk atas katil. Di sisi Tok Akob. Mangkuk tingkat ditangan diletaknya di atas meja sebelah katil. “Tok dah makan ubat?” Tanya Zani sambil mengurut-ngurut dada Tok Akob. Cuba untuk menghilangkan batuk orang tua itu.

“Kenapa kau datang lagi? Kan aku dah bilang jangan datang.” Lemah sahaja suara Tok Akob. “Zani bosanlah makan kat rumah sensorang.” Zani memberi alasan. “Zani hidangkan makanan untuk Tok ya.” Belum sempat Tok Akob menolak, Zani pantas keluar dari bilik sambil membawa mangkuk tingkatnya menuju ke dapur. Sepuluh minit kemudian dia kembali dengan sepinggan makanan dan segelas air kosong. “Tok makan ya.” Pinggan dan gelas diletak Zani di atas meja. Dia cepat membantu Tok Akob bangun dan duduk di atas katil. Sebiji bantal ditegakkan Zani pada kepala katil. Buat alas belakang Tok Akob supaya tidak sakit bila bersandar. “Tok makan dulu ya. Zani pergi ambik nasik Zani dulu.” Sekali lagi Zani keluar dari bilik sebelum sempat dibalas Tok Akob. Dan dia kembali lagi dengan pinggan dan gelas yang berisi. Sebuah bangku kecil di tepi dinding bilik ditarik Zani dengan kakinya. Diseret ke tepi katil lalu dia duduk. “Naper tak makan lagi Tok?” Tanya Zani sambil menyuap nasi ke dalam mulutnya sendiri. “Mak kau masak tak sedap!” Tok Akob mengutuk masakan ibu Zani. “Memang tak sedap pun… ehehe,” akui Zani. Terangkat-angkat bahunya gelak seorang diri. Tok Akob pelik memandang budak yang seorang ini. Sudah dikutuk pun boleh gelak lagi. “Tapi… kalau makan sama-sama… jadi sedap. Masuk mulut… kunyah… telan. Masuk mulut… kunyah… telan.” Zani membuat demontrasi sambil bercakap. Serentak itu tawa Tok Akob terhambur keluar. Tercuit dengan kata-kata dan muka selamba Zani. Makan Zani terhenti. Aik… gelak pulak orang tua ni. Zani kehairanan. “Kau ni tak tau ke orang tengah marah kau?” Tanya Tok Akob setelah baki tawanya habis. “Laa… Tok tengah marah Zani ke tadi?” Tanya Zani kekaburan. Tok Akob tergelak kecil. Perlahan tangannya mencapai pinggan berisi makanan yang diletak Zani di atas meja sebelah katil tadi.

“Zani balik dulu ya Tok.” Pinta Zani setelah selesai mencuci pinggan-pinggan dan gelas-gelas kotor di dapur. Bekas-bekas mangkuk tingkat turut dicucinya sekali. “Botol-botol ubat ngan air minum Zani dah letak atas meja tu. Tok jangan gerak-gerak sangat kalau rasa pening. Nanti jatuh.” Nasihat Zani. Macam dia pula yang lebih tua dari Tok Akob. Memandangkan tiada riak balas dari Tok Akob, Zani tidak menunggu lama lagi. Dia pergi meninggalkan Tok Akob seorang diri di dalam bilik. “Nanti.” Tok Akob tiba-tiba menahan. Pantas Zani berundur ke belakang. Berdiri di ambang pintu bilik semula. Tok Akob melambai. Memberi isyarat supaya Zani duduk di bangku kecil sebelah katilnya itu. “Kau selalu sangat datang sini. Curi buah kat dusun aku tu. Kat rumah kau takde orang ke?” Tok Akob mula berkata-kata setelah lama berdiam. “Ibu ngan ayah kerja. Kakak-kakak Zani sekolah petang. Malam baru semua ada kat rumah.” Jawab Zani. “Dulu kau bawak kawan-kawan kau. Kenapa sekarang kau curik sorang-sorang?” Tok Akob mula rancak bertanya. “Diaorang takut kena marah ngan mak bapak.” Terang Zani. “Mak bapak kau tak marah ke?” Tanya Tok Akob. Kening sebelah kanannya terangkat. Zani memandang wajah orang tua yang sedang memandang sinis ke arahnya. “Marah gak…,” perlahan sahaja nada suara Zani. “Habis tu, kenapa kau curik jugak?” Tok Akob terus menekan Zani dengan soalan sinis. “Alah… bukannya curik. Zani ambik je. Bukan habis satu pokok pun.” Zani mempertahankan perbuatannya yang terang-terang memang salah.

Tok Akob berhenti menyoal. Dia termenung seketika. Seperti mengenangkan sesuatu. “Buah-buah kat dusun tu untuk anak aku. Kalau kau tak habis-habis mencuri, dah takde apa yang tinggal bila anak aku balik nanti.” Tok Akob menuturkan kata-katanya tanpa memandang Zani. “Laa… kan dalam dusun Tok tu ada banyak pokok lain. Manalah habis Zani makan semua Tok oii…,” Zani menepuk dahi. Tok Akob diam tunduk. Tidak dapat menafikan kebenaran yang terkandung di dalam kata-kata Zani tadi. “Tapi… anak Tok tu pergi mana? Zani tak pernah nampak pun.” Zani memberanikan diri bertanya. Mengengsot sedikit punggungnya dari bangku supaya lebih dekat dengan Tok Akob. “Penyibuk!” Rengus Tok Akob. Zani mencebik muka. “Kalau macam tu Zani balik dulu jelah.” Zani bingkas bangun. “Ada ke aku suruh kau balik?” Tok Akob menyoal. Mukanya masih dalam riak sinis. Mata Zani terkebil-kebil. “Duduk.” Arah Tok Akob. Seperti budak mamai Zani menurut. “Kau tanya macam-macam kat aku ni sebab nak cerita kat mak bapak kau kan? Nak cerita kat kawan-kawan kau kan? Biar satu kampung ni tau pasal aku kan?” Lagak Tok Akob tak ubah seperti seorang peguam menyoal si tertuduh di kandang salah. Badan Zani terundur-undur ke belakang mengikut urutan soalan. Namun duduknya masih kemas di bangku.

“Sama je macam yang lain-lain. Bukan aku tak tau. Semua orang kampung cakap macam-macam pasal aku. Macamlah diaorang tau semua benda!” Tok Akob terus membebel. Bertemu kedua-dua pangkal kening Zani ditengah-tengah bila dahinya berkerut ketat. Tak tahu biji butir yang dibebelkan Tok Akob. Apsal Tok ni? Aku tanya salah. Aku nak balik tak kasi. Menurun ke orang tua ni? Hati Zani berdegup laju. Tiba-tiba Tok Akob berhenti membebel. Matanya tajam merenung mata Zani. Menambahkan lagi kelajuan degupan jantung Zani. Alah Tok, janganlah buat Zani takut camni. Kang tak pasal-pasal Zani lak kena serangan jantung. Zani merayu dalam hati. Lidahnya kelu untuk menutur sebarang kata. Tok Akob mematahkan renungan matanya pada Zani bila tangan kanannya menyapu muka. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan satu bunyi keluhan. “Tok tak apa-apa ke?” Zani memberanikan diri bertanya lagi. “Anak aku pun benci kat aku.” Lain disoal lain yang dijawab. Cepat Zani memasang telinga. “Kalau aku tak marah dia dulu, mesti dia tak pergi.” Suara Tok Akob tenggelam timbul menahan sebak. Kena marah pun nak lari ke? Aku ni hari-hari kena marah. Tak lari pun. Sempat hati Zani berkata-kata dalam dia memasang telinga.

Tok Akob sebenarnya ada seorang anak lelaki bernama Yusran. Sudah tiga puluh lima tahun anak Tok Akob pergi meninggalkannya. Waktu itu umur anaknya baru lapan belas tahun. Merajuk membawa diri entah ke mana. Tak tahan dipaksa dan dimarahi Tok Akob. Gara-gara kedegilan Tok Akob yang mahu satu-satu anak lelakinya itu mengikut jejaknya sebagai Kapten kapal. Sedangkan anaknya lebih suka berniaga. Langkah pertama Yusran berjinak-jinak dalam bidang perniagaan waktu itu ialah dengan menjual sendiri hasil-hasil dusun Tok Akob. Tetapi Tok Akob kerap mempersendakan usaha anaknya itu. Dia lebih senang menjual sahaja hasil-hasil dusun kecilnya itu kepada pemborong yang datang dari pekan tiap kali musim buah tiba. Baginya hasil yang diperolehi dari dusun kecil itu tidak seberapa. Tidak layak untuk dijadikan punca utama pendapatan. Bagi Tok Akob, kerja makan gaji sepertinya lebih mewah. Tidak perlu bersusah-payah dengan usaha yang belum tentu membuahkan rezeki. Tok Akob tidak pernah memberi peluang pada anak lelakinya itu untuk membuktikan kebolehan. Sebaliknya perancangan anaknya untuk menambah keluasan dusun dan membuat itu dan ini ditolak Tok Akob bulat-bulat. Sehingga sampai satu tahap anak lelakinya itu hilang sabar bila disabotaj ayah sendiri yang tidak mahu mengalah.

“Kalau aku tak sogok pemandu-pemandu lori tu semua supaya jangan angkut buah-buahan dari anak aku, mesti dia ada di sini dan jaga aku sekarang ni.” Sebak Tok Akob bertukar tangisan sesal. Terlopong mulut Zani dengan rentetan cerita dari mulut Tok Akob. Kejam orang tua ni. Mintak-minta ayah aku tak macam ni. Hati Zani tidak dapat mengelak daripada membuat andaian sebegitu rupa. Geram ada kasihan pun ada. “Dah… dah… pergi! Tak guna kau ada kat sini. Buat aku sedih je!” Fikiran Tok Akob mula bercelaru. Dia bertempik menghalau Zani yang masih duduk melopong. E’eh… suka-suka dia je nak halau. Tadi aku nak balik tak kasi. Apa bendalah. Zani bengang. Dia bangun dari bangku dengan muka yang masam. Keluar dari bilik meninggalkan Tok Akob menangis seorang diri. Kali ini pergi Zani tidak dihalang orang tua itu.

Sudah tiga minggu Zani tidak ke rumah Tok Akob. Ke dusun kecil orang tua itu pun tidak. Tok Akob tidak kisah walaupun kadang-kadang dia terkenangkan Zani. Selama tiga minggu itu jugalah Tok Akob tidak dapat marah-marah. Amalannya untuk menghilang rasa sunyi. Mungkin dia sudah terbiasa begitu. Sifat marah-marah itu seperti sudah sebati dalam dirinya. Tak mungkin dapat dikikisnya sifat buruk itu dalam usia senja begini. Sejak Zani tidak datang mencuri lagi, Tok Akob menghabiskan masanya dengan merenung pokok rambutan sarang Zani bertenggek. Di atas pokok itu jugalah anaknya Yusran pernah bertenggek masa kecil-kecil dulu. Tak turun-turun selagi tak dicari arwah isterinya. Gurau-senda dan gelak-tawa arwah isteri dan anaknya terngiang-ngiang di telinga. Gambaran dua-beranak itu bermain-main semula dalam renungan khayal Tok Akob. Membuat orang tua itu tergelak tanpa sedar. Rasa bersalah pada arwah isteri dan anaknya silih berganti menghentak hati Tok Akob. Terfikir juga dibenaknya agar dihentikan sahaja detak jantungnya yang lemah itu. Tidak mahu hidup dalam keadaan di benci semua orang lagi. Mungkin kerana ego Tok Akob sudah semakin pudar mengikut bilangan usia tuanya.

“Assalammualaikum!” Tersentak Tok Akob. Salam seseorang mengejutkan Tok Akob dari lamunannya. Perlahan Tok Akob menoleh ke belakang. Seorang lelaki berpakaian kemas tegak berdiri di hadapan. Tok Akob menggosok-gosok kedua-dua matanya. Berkerut-kerut dahinya cuba mengecam wajah lelaki itu. “Tok…,” lelaki tadi melutut bersalam dan mencium tangan Tok Akob yang sedang duduk di atas sebuah pangkin usang. Serentak itu, jelas dipandangan Tok Akob beberapa orang lagi sedang menyusun langkah menghampirinya. Mereka semua datang dari arah hadapan terataknya. Ada tiga orang perempuan bertudung, dua orang lelaki dan beberapa orang kanak-kanak yang tak dapat dikira Tok Akob dengan tepat. “Kau ni siapa? Apa kau orang semua nak datang ramai-ramai ni.” Tanya Tok Akob bila pandangannya kembali pada lelaki yang masih berlutut itu. “Tok… saya Yusdan,” lelaki itu mengenalkan diri. Belum sempat Tok Akob berkata apa-apa, dia diterjah pelawat-pelawat yang asing bagi dirinya itu. Seorang demi seorang melutut menghulur salam termasuk anak-anak kecil yang mengikut. Baru Tok Akob dapat mengira bilangan tepat kanak-kanak itu semua. Lima orang kesemuanya. Terdongak-dongak Tok Akob bila tetamu-tetamu asingnya berdiri kembali. Dia masih kabur.

“Ini Yuslah… ini Yusman. Kami bertiga anak Yusran… cucu Tok.” Yusdan mengenalkan adik-adiknya. “Ini isteri saya dan yang itu isteri Yuslah. Yang kecil-kecil ni anak-anak saya dan Yuslah. Cicit-cicit Tok.” Yusdan terus memperkenalkan setiap orang yang datang bersama-samanya. Membuatkan Tok Akob tergamam. “Y… y… yang itu…,” suara Tok Akob tenggelam timbul. “Ini mak saya… isteri Yusran… menantu Tok.” Yusdan memperkenalkan wanita yang berusia lima puluh dua tahun itu kepada Tok Akob. Suasana sepi seketika. “Y… Y… Yus… Yusran mana?” Suara Tok Akob bergetar. Air mula bergenang di kedua-dua birai mata. Cepat Tok Akob kesat. “Ayah dah takde Tok. Dah meninggal dua tahun lepas. Sakit jantung.” Jelas Yusdan. Terus pecah tangisan Tok Akob. Air mata yang ditahan-tahannya dari tadi mencurah membasahi pipi. Yusdan menggosok-gosok belakang Tok Akob. Cuba menenangkan kesedihan datuknya. “Macam mana kamu semua dapat cari aku?” Tanya Tok Akob setelah tangisannya reda sedikit. “Saya terbaca dalam suratkhabar ni. Tok cari ayah. Baru kami semua tahu yang arwah ayah masih ada keluarga. Selama ni arwah ayah tak pernah cerita pada kami pasal Tok.” Yusdan menunjukkan keratan akhbar yang dihulur isterinya kepada Tok Akob. Tertera pada keratan akhbar itu tentang seorang bapa yang sedang sakit merayu supaya anaknya pulang. Jelas nama Tok Akob dan Yusran dicetak dengan huruf tebal.

“Saya telefon nombor yang disertakan tu. Encik Adnan yang jawab. Dia yang tunjukkan kami semua jalan ke mari.” Terang Yusdan bila dilihat datuknya merenung keratan akhbar itu dalam keadaan bingung. “Tu dia Encik Adnan. Tengah tunggu dengan isteri dan anaknya kat depan tu.” Perlahan Tok Akob mengangkat kepala. Memandang ke arah yang ditunjukkan Yusdan. Baru Tok Akob perasan ada tiga susuk tubuh sedang berdiri tidak jauh dari tempat dia dikerumuni keluarga anak lelakinya yang telah lama menghilangkan diri. Terketar-ketar Tok Akob bangun dari pangkin. Bertongkat mengatur langkah. Menghampiri tiga susuk tubuh yang sedang menanti. “Macam mana gambar Yusran boleh ada dalam ni?” Tanya Tok Akob bila dia berdiri betul-betul di hadapan tiga susuk tubuh yang tidak asing lagi bagi dirinya. Keratan akhbar ditangan ditunjukkannya pada Encik Adnan. “Err… err… Zani amik senyap-senyap gambar yang kat almari Tok tu.” Zani yang berdiri di antara ayah dan ibunya mencelah. Tolong jawab bila ayahnya teragak-agak. Mata Tok Akob beralih arah. Memandang tepat ke arah Zani. Habislah. Mesti orang tua ni nak hamun aku lagi. Ya Allah, selamatkanlah hambamu yang hina-dina ini. Zani berdoa dalam hati. Dia tak senang bila Tok Akob merenungnya tajam. Biarpun dia sudah biasa direnung begitu. “Kamu curi?” Pantas bahu kanan Zani di tepuk ayahnya. “Kamu bagi tau ayah, Tok Akob yang bagi gambar tu. Mintak tolong kita iklankan dalam suratkhabar!” Marah ayah Zani. “Kenapa dengan kamu ni Zani? Nak ibu ngan ayah pukul kamu teruk-teruk ke baru kamu faham? Dahlah mencuri… menipu pulak lagi!” Ibu Zani mencelah sambil menepuk-nepuk bahu Zani. Kali ini bahu sebelah kiri. Zani terperangkap. Tidak berani hendak menjawab. “Siap kamu balik nanti.” Bahu Zani dicubit-cubit ibunya. Mengeliat Zani menahan bisa.

“Maafkan kami Tok Akob. Kalau saya tahu si Zani ni tipu saya, taklah saya pandai-pandai iklankan semua ni di akhbar.”Ayah Zani merendah diri meminta maaf. Rasa bersalah menyelubungi dirinya kerana masuk campur dalam hal orang tua itu tanpa kebenaran. “Mintak maaf cepat!” Bahu Zani ditolak ibunya. Mendorong Zani ke depan. “Tok… Zani mintak maaf. Nanti Zani pulangkan balik gam…,” ayat Zani terhenti bila dia dipeluk Tok Akob. “Maafkan Tok…,” Tok Akob diam sekejap. Cuba menyusutkan rasa hiba di hatinya. “Maafkan Tok ya Zani.” Dakapan Tok Akob semakin erat. Zani kaku. “Kamu memang budak baik. Tok yang jahat. Selalu marah-marah kamu. Maafkan Tok.” Tangisan Tok Akob semakin jelas ditelinga Zani. Budak baik? Ehehe… tau takpe. Gembira hati Zani. Tambah pula, Tok Akob tidak lagi beraku engkau dengannya. Ayah dan ibu Zani bertukar pandangan. Hairan. “Dahlah Tok. Jangan nangis-nangis. Tak hensem cicit-cicit Tok tengok nanti.” Zani berseloroh. Sebenarnya dia mahu dilepaskan kerana sudah mula lemas dalam dakapan orang tua itu. Seloroh Zani menyebabkan Tok Akob, ayah dan ibunya tergelak kecil. “Bertuah kamu ada anak macam Zani ni.” Tok Akob memuji sambil memandang Encik Adnan. Ayah Zani yang sebak dengan pujian itu hanya mengangguk sambil tersenyum. Tok Akob menggosok-gosok rambut Zani sebelum berpatah-balik menuju ke arah keluarga yang sedang menunggunya.

“Tok!” Teriakan Zani menghentikan langkah Tok Akob. “Pesan cucu-cucu ngan cicit-cicit Tok, jangan habiskan rambutan-rambutan tu. Tinggalkan Zani sikit.” Zani tidak bergurau. Dia serius dengan kata-katanya itu. Tok Akob tersenyum. “Pokok rambutan yang satu tu dah jadi milik kamu. Tok hadiahkan.” Beritahu Tok Akob. Terbeliak mata Zani. “Eh, betul ke Tok?” Zani inginkan kepastian. Kedua-dua bahu Zani ditunjal ayah dan ibunya serentak. Tok Akob mengangguk. “Kalau Zani bawak kenkawan skali Tok tak marahkan?” Zani bertindak berani. “Suka hati kamulah.” Balas Tok Akob sebelum menyambung langkah. Tiada apa yang hendak dirugikan bila Tok Akob menghadiahi Zani pokok rambutan yang satu itu. Budi Zani padanya tidak mampu dibayar kalau dihadiahkan dengan sedusun buah-buahan sekalipun. Itu Tok Akob pasti dan tidak akan lupa. Sepanjang hari senyuman tidak pernah lekang dari bibir Tok Akob. Wajahnya mencerminkan kesyukuran. Tidak disangka cucunya yang bongsu bernama Yusman adalah seorang Leftenan Muda dalam Tentera Laut Diraja Malaysia. Sementara Yusdan dan Yuslah pula menyambung usaha arwah Yusran dalam bidang perladangan. Dalam kegembiraan Tok Akob melayani keletah cicit-cicitnya, wajah Zani tidak putus-putus bermain dibenak fikiran. Hatinya juga tidak henti-henti berterima kasih pada si pencuri rambutan yang licik itu. Senyap-senyap Tok Akob memanjatkan doa buat Zani. Memohon kepada Tuhan agar dipelihara hati murni anak itu dari dinodai orang-orang yang keras hati sepertinya.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Cerpen : Zani Pencuri Rambutan”
  1. Anonymous says:

    bagus2..!!
    cter y mmbwa msej y baek skali..~~

    ~selendangputih~

  2. i is me says:

    wah.suka cite ni..p syg dia tak jumpa anaknya.

  3. eliya halim says:

    nice

  4. Miz Lonely says:

    Nice story…suka sgt2..

  5. Araii says:

    Bagus…
    Terharu bacany,,,

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"