Cerpen : Cintaku Pilihan Ibu

30 November 2009  
Kategori: Cerpen

12,692 bacaan 46 ulasan

Nama Pena : Ungu Ranger

Aku terkedu. Suara ibu cukup lembut di pendengaranku. Tetapi aku tahu itu suatu arahan. Barangsiapa yang ingkar, padah menanti. Selama aku bergelar seorang anak, sedayaku, aku cuba untuk tidak mengingkari sebarang arahannya. Mungkin kerana aku satu-satunya puteri dalam keluarga ini. Atau mungkin kerana aku anak bongsu. Atau mungkin kerana aku tidak tega untuk menyakiti ibu yang kehilangan suami, ayahku.

Hari yang ibu rancangkan tiba. Anak teman lamanya, yang ingin dijodohkan denganku, sekadar aku pandang sekilas. Tidak berminat untuk menjamu mata yang kukira sudah kenyang dengan wajah sepertinya. Pertemuan lapan mata, hanya dipenuhi suara ibuku dan ibunya. Dia kelihatan sibuk. Sibuk dengan teman telefon bimbitnya.

“Arman, senyap saja. Lisa?” suara ibunya tiba-tiba menyapa kami. Tanganku yang sedari tadi bermain dengan pengalas meja restoran tiga bintang ini tiba-tiba terhenti. Aku mengangkat wajah. Terasa tegang leherku. Terasa uratku kembali betul.

Senyum kuukir. Tawar. Tapi hanya itu yang mampu. Aku menatap mata ibu. Kukirimkan pesanan bosan melalui mataku. Namun, cahaya kegembiraan yang terlukis di wajah ibu, memadamkan pesananku.

Sudah lama sinar itu tidak kulihat di mata beningnya. Sejak ayah meninggalkan ibu dua tahun lalu, seolah cahaya itu sudah malap. Samar. Suram. Namun hari ini kembali bercahaya. Hanya kerana dia berjaya melihat aku bergandingan dengan bakal menantu pilihannya, meskipun sekadar di kerusi jati.

“Man nak tanya Lisa apa-apa?” suara ibunya kedengaran lagi. Aku masih menatap sinar di mata ibu. Indah.

Ekor mataku menjamah sisi wajah lelaki itu. Memang kacak, namun tak sudi mataku untuk memandang lebih lama. Muka sepertinya sudah terlalu klise aku lihat. Kulihat dia menggeleng kecil. Meja berkayu jati berukir mewah ini sedikit bergegar apabila telefon tangannya yang dia letakkan di atas meja, bergetar. Menandakan ada pesanan masuk.

“Begitulah Lisa. Sibuk memanjang saja si Arman ni. Harap Lisa tak kisah.” suara ibunya menampan telingaku. Aku mengalihkan pandangan. Menjamah wajah ibunya dengan mataku.

Aku tersenyum. Masih tawar. Sekadar membalas senyuman ibunya.

“Lisa kerja apa?” soalan ibunya kujawab sopan. Begitulah soalan-soalan yang seterusnya. Konklusinya, ruang percakapan didominasi ibunya dan ibuku. Aku hanya menjawab apabila perlu, senyum apabila kurasa lucu dan dia… ibarat patung bernyawa.

Enam bulan berlalu begitu pantas. Jika hari itu aku bertemu dengannya sekadar untuk berkenalan, kini aku sah menjadi bidadarinya. Ah, agakku, aku hanya bidadari di rumah sahaja. Di luar sana, pasti ramai lagi pari-pari yang mengejarnya.

Agakanku tepat. Muka lelaki sepertinya memang kena pada jangkaanku. Pandanganku terhadapnya sama sekali tidak salah. Lelaki kacak, berduit dan berjawatan sepertinya, betina mana yang tidak kejar?

“Aku harap kau faham. Buat masa sekarang, aku belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami. Kau jaga dirimu seperti dulu, begitu juga aku.” di malam pernikahan, inilah ungkapan yang suamiku hadiahkan buatku.

“Sampai bila?” soalku perlahan, sekadar memohon kepastian.

“Sampai aku bersedia.” ringkas jawapannya sebelum dia menghilang ke kamar mandi. Mungkin mahu menanggalkan baju melayu cekak musang yang menabalkannya sebagai raja sehari hari ini.

Aku pandang kurung moden berlabuci berwarna senada dengan baju melayu Arman yang aku gantung di belakang pintu. Kurung moden yang menjulangku sebagai ratu sehari. Namun kini maruahku yang sepatutnya dijaga dia dengan baik, dia sendiri yang memijaknya.

Aku pantas membaringkan diri di kamar peraduan berhias indah. Jika tadi aku hatinya berdebar, kini jiwaku bergetar. Menahan tangis.

Bukan ini masjid yang ingin kubina. Bukan begini mahligai yang ingin aku tapakkan di dalam syurga. Aku kepingin punyai imam yang bisa aku berpegang. Pemimpin yang boleh melindungiku dalam pelukannya. Ketua yang mampu memadamkan riak kesedihan di qalbuku. Suami yang mapan mengukir peta kebahagiaan di jiwaku. Namun aku harus redha.

Sebulan berlalu. Kami masih suami isteri yang sah. Aku sudah membiasakan diriku sebagai seorang isteri yang hanya pada nama. Pandanganku dijaga, ikhtiladhku dipelihara, akhlakku dipulihara demi meningkatkan martabatnya sebagai suamiku, meski hanya pada pandangan mata kasar.

Aku rela begini. Meski aku terikat dengan gelaran seorang suri kepada lelaki, meski bukan dalam erti kata sebenar dialah mahramku, namun aku rela.

Secara izharnya, kehadirannya di rumahku tidak memberi makna apa-apa. Dia kuanggap cuma teman sebilik yang berubah jantina. Meskipun kata-katanya tak pernah gagal menanam belati di hati, aku bersyukur tangannya tidak pernah mengasari tubuh badanku. Cukuplah.

Makan pakainya tetap kujaga. Kebajikannya kupelihara. Ibu senang sekali melihat kami, meskipun wajahnya hanya akan kelihatan apabila jam menunjukkan 10 malam. Arman menantu kesayangan ibu. Satu-satunya menantu lelaki tunggal ibu. Menantu bongsu ibu. Menantu yang diharap dapat menjagaku jika dia meninggalkanku selama-lamanya.

Kami berkongsi kamar, tapi bukan bermakna kami berkongsi ranjang. Dia memilih untuk beradu di sofa, atau di karpet. Pernah juga dia terlena di beranda. Aku pula sudah terbiasa tidur tanpa teman. Pernah juga kupelawa dia melenakan diri di katil, namun kata-kata kasarnya menyentak hati. Salahkah aku mahu memberi dia keselesaan? Tidak aku meminta dia menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami kerana kesudiannya tinggal di rumah ibuku sangat aku hargai.

Malam ini dia pulang lambat. Ibu yang biasanya menunggu menantunya untuk makan malam, akhirnya mengalah Kesihatannya tidak mengizinkan ibu terus berjaga menanti menantunya sebelum malam-malam kebiasaannya. Namun aku isterinya, tetap menunggu suamiku pulang. Sekadar mahu dia melihat, bahawa aku menghargai kehadirannya di rumah ini.

Lenaku diganggu dengan bunyi sesuatu. Seseorang terjelupuk di ruang tamu. Kusangka ajnabi yang menyusup mahu mencuri, namun bukan. Suamiku. Terjelupuk di ruang tamu, dengan pakaian pejabat masih tersarung ditubuhnya. Dia kelihatan kusut. Segera hidungku mencium bau masam dari bibirnya. Mabukkah suamiku? Aku tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan bertanyakan soalan kepadanya. Dia sekadar kupapah naik ke kamar kami bersama mutiara yang tak mampu kutahan.

Kubaringkan dia di tempat biasanya sebelum aku membawa pijamanya. Dia sekadar menukar baju. Seluar kerjanya dibirkan di tubuhnya. Aku sekadar menghulurkan dua tablet putih yang dia pinta bersama segelas air. Pening katanya. Buat pertama kalinya dia meminta aku memicit kepalanya. Meski pelik dan kekok, aku akur atas nama dia suamiku. Kepalanya jatuh di ribaku. Sekian lama, kepalaku jatuh di bahu sofa. Terlena.

Lenaku diganggu lagi. Dari deringan telefon yang menyentak telinga. Telefon Arman. Wajahnya yang tidur pulas aku tatap. Dengan bersusah-payah, aku mengambil telefon bimbit di poket seluarnya. Nama seseorang tertera di telefon canggih itu. Angka-angka di skrin kupandang sekilas. Angka jam. 3.45 pagi dan seorang pemanggil bernama ‘Bella’ sedang menunggu talian disambut.

Dengan ketar, aku menyambut panggilan itu. Sekadar menekan butang hijau, Tanpa bersuara.

“Arman sayang, maafkan I. Berikan I peluang sekali lagi. I janji, perkara ni takkan berulang lagi. Ini yang terakhir! Sayang, dia cuma kawan I dari London dan dia pulang untuk bertunang. Sayang, you segala-galanya untuk I. I tak perlukan sesiapa lagi, selain you. Sayang…?” suara manja menggoda menjamah telingaku. Aku terjeda seketika.

“Arman sayang, you tak marah I kan?” sekali lagi suara itu merengek. Aku tersedar,

“Arman tidur.” sekadar itu jawabku sebelum aku mematikan talian.

Tujuh mesejnya tanpa sengaja diselongkar oleh jari dan mata. Air mata isteri mana yang tidak menitis, melihat senarai nama ‘Bella’ itu memenuhi peti mesejnya? Dengan pesanan ringkas yang merobek hati, aku menelan liur. Baru kutahu hal sebenar. Arman pulang dalam keadaan kusut-masai hanya kerana terlihat Bella bermesraan dengan lelaki lain di ranjang apartmen Bella. Bella yang ketahuan menjelaskan segaa-galanya di dalam mesej-mesej berkenaan.

Wajah lelaki di ribaku aku renung. Polos. Namun tiada satu pun yang aku tahu mengenai kehidupan malamnya. Perokokkah dia? Sudah punya kekasihkah dia? Siapa Bella? Dan bermacam lagi tanda tanya timbul di minda. Ibu, ini menantumu… Suamiku.. Aku berdesis sendirian.

Kepalanya kuangkat lembut, sebelum kualas dengan bantal, menggantikan ribaku yang terasa berat. Hatiku yang kusut tiba-tiba ini perlu ditenangkan. Aku mengadu padaNya. Ingin sekali aku mengetuk kamar ibu dan bercerita kepadanya seperti biasa aku lakukan sebelum menjadi isteri Arman, namun aku tahu itu mustahil. Justeru, hanya padaNya aku boleh bercerita, mengadu dan memohon.

Pagi itu, badan Arman panas. Ibu menawarkan diri mahu merawat Arman dengan rawatan yang sama dilakukannya kepadaku. Mendemah kepala dengan air asam jawa. Aku yang sudah terlewat ke tempat kerja, sekadar mengangguk. Aku tahu Arman tidaklah seteruk mana, kerana dia mampu bangun awal pagi tadi mengangkatku yang terlena dalam marhana ke kamar sebelum berbaring di sisiku.

Sungguh mindaku bercelaru. Sepatutnya aku tidak berperasaan sebegini aneh, kerana kewujudan wanita lain dalam hidupnya memang dalam pengetahuanku. Namun aku tidak menyangka sebegini teruk penangan yang Bella hadiahkan kepada suamiku. Untuk apa Arman ke apartmennya, jika bukan untuk memadu kasih?

Mahu sahaja aku melarikan diri ke hujung dunia. Tidak sanggup berhadapan dengan lelaki yang bergelar suamiku, namun berdemam diri hanya kerana melihat kecurangan wanita lain. Ingin juga aku bertemu Bella, melayangkan tahniah buatnya kerana aku yakin, Arman akan lebih rela kehilanganku berbanding Bella.

Namun memikirkan ibu yang tidak sihat yang harus menjaga Arman, sedangkan Arman suamiku, aku kuatkan hati untuk menapak pulang. Demi ibu. Demi melihat sinaran di mata ibu yang sentiasa bercahaya setiap kali dia berbicara dengan Arman di meja makan.

Namun ibu menyambutku dengan mata yang sembap. Matanya tidak lagi bercahaya. Matanya malap. Suram. Seperti hari dia kehilangan suaminya, ayahku. Soalanku tidak ibu jawab. Dia sekadar memelukku erat sebelum menyuruhku segera bertemu suamiku. Aku kian gusar apabila ibu bergegas melarikan diri ke kamarnya. Teragak-agak, aku menapak ke bilik.

Arman ketiduran di katil, tempat biasa aku membaringkan diri. Nafasnya berombak tenang. Mukanya kian bersih. Tidak seperti semalam. Aku sekadar meletakkan tangan di dahinya, merasa suhu badannya. Masih hangat. Kemudian aku ke kamar mandi, membersihkan diri dan berwudhu’. Usai solat, kulihat Arman sudah duduk di birai katil. Aku menapak ke sofa. Bertukar tempat dengannya.

“Sihat?” ringkas aku bertanya sambil hatiku mengalunkan zikir Ma’thurat di dalam hati.

“Baik. Terima kasih.” lembut suaranya menyapa telingaku. Tidak kasar seperti dulu. Tidak tegang seperti kebiasaannya. Aku tenggelam dalam dunia zikir. Cintaku, kuserahkan semuanya untuk Dia. Tamat mengalunkan Doa Rabithah, aku meletakkan naskhah Ma’thurat Sughra itu di meja sisi. Belum sempat aku bangun, Arman datang. Duduk di sebelahku.

“Duduk dulu, Lisa.” buat pertama kalinya selepas akad nikah, bibir suamiku ini sudi menyebut namaku. Masih dia ingat nama isterinya ini rupanya. Aku cuma akur. Menundukkan wajah sambil memintal renda marhana. Memberi peluang dia bercakap.

“Semalam, Bella telefon…”

“Maaf, saya jawab tanpa kebenaran awak. Saya tak cakap apa-apa, cuma beritahu dia yang awak tidur.” laju sahaja bibirku memotong percakapannya. Hatiku mulai berdetak laju. Marahkah dia?

“Mesej semalam…”

“Maaf, saya terbuka dan terbaca. Tak sengaja. Refleks.” sekali lagi bibirku memotong kalamnya. Kali ini, mataku sudah berair. Tiba-tiba syahdu menusuk hati tatkala bait-bait pesanan itu terulang di mindaku.

“Ada nak cakap apa-apa lagi?” Arman memberi peluang kepadaku untuk terus berbicara. Tawarannya kusambut baik. Entah mengapa, segala yang terpendam memohon untuk dilepaskan.

“Saya tahu saya tak patut buat semua tu. Jawab panggilan Bella. Baca mesej yang dia hantar pada awak. Rasa nak marah pada awak. Geram pada Bella. Tapi saya kagum jugak dengan Bella sebab dia berjaya buat awak sampai demam semata-mata kantoi dengan awak…” lancar aku bersuara.

“Lisa…” panggilan Arman tidak kuhirau.

“Saya tak faham dengan diri saya. Kenapa saya harus rasa berbaur macam ni, sedangkan siapalah saya untuk rasa semua tu. Bella tu hak awak. Suka hati awaklah nak berkawan dengan siapa. Macam yang awak cakap…”

“Lisa…” Arman memanggilku buat kali kedua.

“Macam awak cakap hari tu, saya jaga diri saya. Awak jaga diri awak…” kalamku kini bersulam tangis.

“Lisa…” Arman masih memanggilku.

“Kenapalah saya sibuk-sibuk nak jaga hal awak, kan…”

Bibir Arman di bibirku berjaya menghentikan mulutku yang begitu fasih mengeluarkan butir bicara. Sebentar cuma, namun sudah cukup untuk membuatkan aku terdiam. Tindakan sebegitu memang tidak pernah terlintas di mindaku untuk Arman lakukan padaku, kerana selepas aksi di majlis nikah kami, dia jarang menyentuhku. Sekadar menyambut salam yang kuhulurkan saban pagi sebelum aku keluar dari kepompong seorang suami.

“Lisa, dengar dulu.” lembut suara Arman singgah di pendengaranku. Namun aku tak mampu. Bersama marhana yang masih melekat, aku melepaskan pegangannya di bahuku sebelum keluar dari kamar.

Ibu, Lisa tak sanggup lagi untuk semua ini. Rindu terhadap ayah yang begitu memahamiku mencengkam membuatkan aku lari ke air terjun buatan ayah di sudut rumah. Langit kian kelam. Unggas memenuhi dada langit, mencari jalan pulang ke sarang masing-masing. Tangisku masih mengalir.

Teringat segala kata nistanya dulu. Teringat penolakannya untuk tidur di katil. Teringat penolakannya untuk kupakaikan dasi pada kemejanya. Teringat penolakannya untuk aku menolongnya membawa beg kerjanya. Kasar!

Terbayang segala mimik mukanya. Terbayang segala ton wajahnya. Terbayang segala ejekannya. Terbayang wajah sinisnya. Terbayang raut menjengkelkannya. Menyakitkan hati!

“Lisa…” teguran ibu aku sambut dengan tangisan yang tak mampu kutahan lagi. Di pelukan ibu aku menangis, kuhambur segala yang berbaki di hati. Pun begitu, setiap kali aku mengetap bibir, terasa hangatnya wajah. Peristiwa bibirnya menyapa bibirku terlayar di ingatan.

“Kenapa tak bagitahu ibu, sayang?” suara ibu juga bersulam tangisan.

“Lisa tak mahu ibu sedih. Lisa bahagia kalau ibu bahagia.” dalam esak, aku menjawab. Ibu sudah tahu!

“Kalau bukan Arman yang bagitahu tengah hari tadi, sampai bila pun ibu takkan tahu, anak ibu menderita selama ni…” luah ibu. Aku kian sebak.

“Lisa bahagia kalau ibu bahagia…” ngongoiku.

“Habis, Lisa ingat ibu bahagia lihat Lisa macam ni? Kalau diikutkan hati, mahu saja ibu patahriukkan Arman. Tapi ibu percayakan dia. Ibu percaya dia dah berubah. Ibu percaya dia yang terbaik buat Lisa.” pujuk ibu. Aku mendengus.

“Dia dah buat macam-macam pada Lisa, bu dan ibu masih boleh kata dia yang terbaik buat Lisa?” soalku tidak percaya.

“Lisa, Arman melutut di kaki ibu, mohon maaf dengan ibu. Lisa, beri dia peluang sayang.” pujuk ibu lagi. Aku menggeleng.

“Lisa… semua orang buat salah. Arman juga. Tak salah Lisa beri dia peluang.”

“Lisa, berbaiklah dengan Arman.” putus ibu. Itu satu keputusan! Ibu bukan memujukku! Tapi membuat keputusan untukku!

“Pergi naik. Dah maghrib. Arman masih tak sihat. Kata doktor yang datang rumah pagi tadi, dia tertekan sangat. Tapi bukan sebab perempuan tu. Sebab kerja, sayang.”

Aku akur dalam terpaksa. Aku berlagak biasa. Seolah tsunami yang melanda hati dan merosakkan segala-galanya, sudah dibaikpulih. Marhana kutanggalkan sebelum aku ke kamar mandi untuk berwudhu’. Membersihkan segala kotoran. Arman yang menatap bintang di dada lagit tidak kuhirau.

Usai Maghrib, aku kembali turun. Memasak untuk makan malam yang terlewat dari kebiasaannya. Sekadar masakan ringkas. Azan Isya’ berkumandang selesai aku menghidangkan lauk.

“Arman mungkin kepenatan. Bawa makanannya ke atas.” arahan ibu kusambut dengan senyum tawar, tanda terima kasih kerana memaklumi. Sepuluh minit kemudian, aku naik sambil menatang dulang berisi makan malam untuk Arman.

Dia masih di beranda. Aku tanpa lengah menunaikan solat Isya’ sementelah wudhu’ku masih berbaki meski sejadah sedikit berubah posisinya. Usai solat, kulihat makan malamnya masih tidak berusik. Aku mengeluh. Jika tidak memikirkan dia kurang sihat, tidak ingin aku mengendahkannya. Aku sendiri aneh. Perlukah aku semarah ini?

Perlahan aku merapatinya di beranda. Kepala turut kudongak ke dada langit. Bintang-bintang berkerlipan indah memagari bulan penuh yang begitu indah.

“Makan?”

“Abang dah putus dengan Bella.” nyatanya. Abang… Kuajuk di hati. Jelik.

“Dah makan ubat?” soalku selamba.

“Hampir-hampir ibu tampar abang tadi. Tapi mungkin tak sanggup.” sayu suaranya.

“MC berapa hari?”

“Susah jugak pujuk ibu, tapi lagi susah nak pujuk anak ibu.” suaranya kian dekat. Aku menelan liur.

“Nanti makan ya..” pesanku, berura-ura mahu meminta diri.

“Kenapa marah sangat ni?” suaranya memang dekat. Di telingaku!

“Ngantuklah. Tidur dulu, ya.” aku cuba mengundurkan langkah ke belakang. Namun pautannya di pinggang cukup untuk memakukan langkahku untuk terus berada di situ. Peluh dingin mula muncul.

“Syarikat papa kehilangan tender besar petang kelmarin. Sebabnya abang bergaduh dengan pengurus besar kontraktor. Dia hina Bella. Dia kata Bella wanita murahan. Papa marah sangat, sebab ni hal peribadi. Tapi membabitkan kerja.

Jadi buat pertama kalinya abang pergi apartmen Bella, nak berkongsi masalah macam biasa. Tapi biasanya kami jumpa di kelab atau restoran.

Mungkin Allah nak tunjuk… dalam keadaan rumah tak berkunci, abang boleh masuk apartmen dia dan nampak dia tengah berasmaradana di ruang tamu. Di atas sofa. Lelaki tu… Pengurus kontraktor tu.

Malam tu, abang ke kelab. Buat pertama kalinya lepas kita nikah, abang minum balik. Tak tahu kenapa, tapi abang terbayangkan muka Lisa je. Mungkin Allah nak peringatkan abang tentang dosa abang pada Lisa.

Abang sempat pandu balik, walaupun dalam keadaan separa sedar. Tapi sampai kat rumah, abang tak sedar apa-apa dah. Cuma abang tahu, pukul dua lebih, abang tersedar, abang tidur di riba Lisa dan tangan Lisa di dahi abang.

Kemudian, abang lena balik. Pukul 3 abang sedar lagi, Lisa tengah menangis dalam solat. Abang terlena sambil dengar apa yang Lisa doa. Pukul 6 abang sedar, Lisa dah tertidur atas sejadah.

Sungguh! Tiba-tiba abang rasa berdosa sangat pada Lisa, pada ibu, pada papa. Abang seksa Lisa dengan ego abang. Kalau abang tolak cadangan ibu, mesti Lisa tak menderita macam ni, kan?

Masa abang angkat Lisa ke katil, tiba-tiba abang yakin, Lisa memang untuk abang. Abang solat sunat dan solat Subuh. Abang nak kejutkan Lisa, tapi abang terasa nak peluk Lisa.

Peluk Lisa, lain sangat rasanya dengan peluk Bella. Dengan Bella, paling teruk pun abang peluk dia masa menari di kelab. Demi Allah, Lisa.. Abang tak pernah terlanjur dengan dia. Akhirnya abang terlena sambil peluk isteri abang yang sah.

Tengah hari tadi, abang cerita segala-galanya pada ibu. Nyaris ibu nak tampar abang. Tapi mungkin dia teringatkan abang ni anak kawan lama dia. Abang sempat berlutut pada ibu, minta maaf dengan ibu sebab buat anak gadis dia macam ni.

Hampir setengah jam ibu diam sambil nangis, cukup untuk buat abang rasa macam ibu abang yang menangis. Rasa berdosa sangat.

Tak lama kemudian, ibu tepuk bahu abang. Dia kata, dia rasa dia boleh percayakan abang dan dia bagi peluang terakhir untuk abang bahagiakan anak dia. Dia janji akan bantu abang pujuk Lisa.

Tapi dia sempat ugut, kalau abang kecewakan Lisa lagi, dia cakap dia ada 5 anak lelaki untuk kerjakan lelaki yang menyakitkan hati seorang adik kepada 5 abang.

Hari ni abang solat penuh. Tenang rasanya. Tiap-tiap kali lepas solat, abang minta Allah lembutkan hati Lisa untuk terima abang…” penerangan Arman yang panjang lebar merungkai segala apa yang ingin aku ketahui.

Pautannya di pingangku semakin kemas. Aku sudah banjir dengan air mata.

“Lisa… Lisa dah menangis lebih lima minit daripada ibu.” kata-kata Arman tiba-tiba mengundang tawa halusku. Pantas Arman memusingkan tubuhku menghadap tubuhnya.

Aku masih lagi tersenyum. Senyum yang cukup manisnya semenjak aku bergelar isteri. Namun seperti biasa aku tunduk. Enggan menatap matanya.

“Lisa…” dua jari Arman mengangkat wajahku. Matanya menjamah mataku.

“Maafkan abang, atas segalanya?” syahdu dia bersuara di telingaku.

Bagaiku suatu kuasa magis dikenakan ke atas diriku, aku mengangguk. Cuma mengangguk, namun sudah cukup untuk Arman membawaku ke pelukannya. Menangis di dada suamiku, lain rasanya menangis di dada ibu.

Lama kami begitu. Aku memeluk pinggangnya. Tangan kanannya di pinggangku, tangan kirinya di belakang kepalaku dan dagunya di ubun-ubunku. Tenang. Sungguh, aku tenang.

“Laparlah…” cetusku perlahan. Terasa kepalaku kian ringan apabila dagu Arman membebaskan ubun-ubunku. Dia menatap wajahku dengan senyuman manis.

“Jom makan!” ajaknya. Belum sempat aku bergerak, dia masuk lalu kembali dengan dulang di tangan. Senyum masih tersungging di bibirnya. Dia duduk bersila. Selesai silanya dibuat, tanganku ditarik untuk turut duduk. Aku akur.

Di beranda yang luasnya sekangkang kera itu, kami bersila berhadapan, dengan dulang makanan di tengah. Lauk yang biasa, terasa begitu lazat apabila Arman menyuapkan ke mulutku. Arman juga berkata begitu.

“Abang bukanlah sempurna Lisa…” syahdu suaranya.

“Lisa juga. Tapi kita akan saling melengkapi…”

“Banyak yang Lisa tak tahu pasal abang.” cetusnya tiba-tiba.

“Suka bangun lambat, suka balik lambat, suka tidur lambat, suka mandi lama-lama, suka basuh kereta, suka pakai boxer, suka daftar masuk Facebook di telefon, suka buat kerja pagi-pagi buta… Erm, tak cukup lagi?” usikku.

Arman ketawa. Dan ketawa itu kedengaran merdu di telingaku.

“Lisa, nak…” dia meminta aku menyuapinya lagi. Mulutnya sedia ternganga. Segera aku suapkan nasi.

“Nah.” sesuap nasi di hadapan mulutku. Pantas aku nganga. Namun hanya angin yang masuk. Suapan itu masuk ke mulut Arman sendiri.

“Nakal!” pantas aku menumbuk bahunya lembut. Dia ketawa. Aku juga. Merdu sekali gabungan suara kami.

“Lisa, nak lagi.”

“Abang bagi Lisa ayam sikit. Sayur je lebih.”

“Kenapa mulut Lisa kecil?’

“Abang makan banyaklah!”

“Lisa masak sedap..”

Sungguh! Meskipun makan malam itu hanyalah sedikit seorang, di tempat yang sempit dan suram, namun itulah makan malam yang paling indah buatku. Malam itu menyaksikan ikatan antara kami dikukuhkan lagi dengan tawa dan canda.

Dan sungguh! Takkan kulupa malam ini, selama-lamanya. Meskipun ibu banyak mendominasi percaturan hidupku, namun aku puas. Suami seperti Arman yang menjadi pilihan ibu, dan aku redha.

Semoga Arman istiqamah hatinya dalam mencintaiku. Insya-Allah.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

46 ulasan untuk “Cerpen : Cintaku Pilihan Ibu”
  1. nutdeeya says:

    bez bangat!!!!!

  2. Adriyana Shahrizal says:

    Cinta yg hadir selepas nikah
    SANGATTTTTTT INDAH … 4 ****=)

  3. ifzam says:

    senang2 je maafkan org..cb la bg pngajaran sikit..

  4. nurshafikah romzie says:

    emm .. btul3 .. cinta itue dtang nya dry aty .. btul karyh ..!!!

  5. xiie c'ledaksz outshit['x says:

    bleh mngalirkan air mta 2 .. simple tpie mantapppppppppppp ..!! blehh trus cmpaii d ati .. emm so swett ..???

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"