Novel : Entah Bila Cinta Bersemi 14

13 November 2009  
Kategori: Novel

3,069 bacaan 2 ulasan

Nama Pena : Amauni

BAB 14

SASHA berjalan perlahan-lahan di perkarangan sebuah restoran makanan segera KFC. Matanya galak memerhati menu yang ditayangkan di cermin restoran berkenaan. Asyik sekali dia memerhatikan menu-menu tersebut sambil menelan liur.

Lapar benar dia hari ini kerana seharian tidak makan. Semuanya gara-gara bosnya yang menyuruhnya membuat kerja lebih masa. Perut Sasha berkeroncong sambil matanya terus memerhatikan menu. Lalu..

“Sha..” tegur satu suara lelaki dengan tiba-tiba membuatkan Sasha terkejut beruk. Dia menoleh dengan wajah yang berang. Ikutkan hati, ingin sahaja dia pelempang wajah entah siapa-siapalah yang berani menegur dia begitu. Mata Sasha tiba-tiba terbuntang melihat seraut wajah murung dihadapannya.

“Saiful?!!” teriak Sasha dengan wajah tidak percaya. Lelaki itu kelihatan muram dan tidak terurus. Sasha berasa simpati. Ini mesti kerana tidak dapat melupakan sahabatnya Nazifa.

“Sha, kau sihat?” soal Saiful dengan nada tidak bermaya namun mulutnya tetap dihiasi senyuman ikhlas. Sudah agak lama dia tidak bertemu Sasha, sejak berakhirnya majlis graduan pada hari itu, kira-kira sebulan yang lalu.

Majlis graduan yang sepatutnya diraikan dengan perasaan kegembiraan, namun pada hari itu segala impiannya bagaikan punah kerana kehilangan Nazifa. Mana tidaknya, Nazifa adalah sebahagian dari impian hidupnya selain dari impiannya menjadi seorang Jurutera. Kehilangan Nazifa ibarat sesuatu yang sekaligus meragut kebahagiaan hidup Saiful.

“Hmm..aku sihat. Kau?” Sasha cuba bersikap selamba setelah Saiful tiba-tiba terdiam.

“Aku? Macam ni laa..apa yang kau nampak sekarang, ni laa aku..”

“Lama betul tak jumpa kau..eh, kau buat apa kat sini? Tak sangka pulak boleh jumpa kau kat sini! Aku dengar, kau pergi lanjutkan pelajaran kat luar negara..tapi, kenapa kau ada kat sini pulak?” Sasha mengerutkan dahi.

Memang dia pernah dengar cerita mengenai tawaran untuk Saiful melanjutkan pelajarannya ke luar negara tempoh hari. Tetapi kini, mengapa lelaki itu berada disini? Mungkinkah dia menolak tawaran itu? Sasha berteka-teki sendiri.

“Aku malas nak pergi jauh..lagipun, mak ayah aku dan adik-beradik perlukan aku kat sini..maklumlah aku ni bukanlah orang kaya, Sha..aku kena kerja untuk sara keluarga aku..” jelas Saiful. Sasha terdiam sebentar.

“Kalau tak silap aku, bukan ke kau dapat biasiswa yang ditanggung penuh oleh MARA? Kau boleh pergi tapi kenapa kau tak pergi? Kau jangan tipu aku, Saiful..?” tanya Sasha serius. Matanya memandang tajam Saiful yang menundukkan wajah.

“Sha..kau tahu kenapa aku tak pergi..bukan sebab family aku aje..ade sebab lain, Sha..” perlahan Saiful menjawab. Matanya berkaca. Sasha terkedu dengan pernyataan itu.

“Takkanlah sebab..”

“Iye, Sha..aku tak boleh jauh dari Ifa..” suara Saiful mulai bergetar. Sasha berasa simpati mendengarkan ayat Saiful itu.

“Tapi kau kena ingat yang dia tu dah jadi isteri orang! Sedar sikit, Saiful!” Sasha cuba mengembalikan kesedaran Saiful bahawa Nazifa sudahpun selamat menjadi hak orang lain.

“Aku tahu, Sha! Tapi aku tak boleh berada jauh dari dia..biarlah aku tak dapat dekati dia tapi aku boleh tengok dia dari jauh..aku rindukan dia, Sha..aku tak dapat lupakan Ifa..” kata Saiful sambil menahan airmatanya dari tumpah. Hanya matanya sahaja yang digenangi air.

“Tapi, kau tak rasa yang dia langsung tak pedulikan kau ke? Kau nak lagi simpan perasaan kau pada dia setelah apa yang dia buat pada kau? Aku rasa, ramai lagi gadis yang cantik dan baik dari Ifa..kau kena lepaskan Ifa jugak, Saiful..” nasihat Sasha penuh simpati.

“Aku percaya, tentu ada sebab kenapa dia buat aku macam ni..Ifa bukan seorang yang kejam, Sha..sebab tu aku still berharap yang dia akan kembali ke pangkuan aku..” kata Saiful lagi dengan wajah penuh harapan. Sasha menggeleng-geleng.

“Saiful, kau kena terima kenyataan bahawa Ifa bukanlah untuk kau buat masa sekarang ni. Kau kena teruskan hidup kau demi keluarga kau, Saiful..bukanlah jadi mayat hidup macam ni!” ujar Sasha seraya menggeleng lagi. Dia sungguh kecewa dan simpati melihat keadaan Saiful yang begitu teruk.

“Aku cintakan dia, Sha..kau ingat senang-senang aku nak lupakan segala kenangan aku dengan Ifa? Kau takkan faham, Sha..kau..” belumpun sempat Saiful menghabiskan ayatnya, Sasha tiba-tiba merengus kuat. Sakit hatinya mengenangkan Saiful yang tidak makan saman dengan semua nasihat-nasihatnya.

“Kau sebagai lelaki dan anak sulung dalam keluarga kau! Kau ada banyak tanggungjawab! Kau tak boleh jadikan Ifa sebagai alasan untuk kau sia-siakan harapan keluarga kau pada kau! Selama kau hidup ni, berapa lama kau kenal keluarga kau dari kau kenal Ifa?! Mak ayah kau pelihara kau dari kecik, Saiful!

Adik-adik kau perlukan kau sebagai contoh yang baik! Kenapa kau langsung tak mahu fikirkan perasaan keluarga kau?! Kau lebih pentingkan perasaan kau sendiri?! Selfish!

Sebab seorang perempuan, kau nak hancurkan hidup kau sendiri! Mak ayah kau bela kau dari kecik semata-mata untuk lihat kau jadi tak tentu arah begini ke, haa?! Kau fikir sendirilah sebab kau tu dah besar panjang. Lelaki haruslah kuatkan hati. Cekal dan tabah! Lelaki jenis apalah kau ni, sebab perempuan aje kau nak menangis setiap hari?!” bentak Sasha dengan wajah berang. Memang dia bengang.

Sebagai seorang lelaki, sepatutnya Saiful tidak boleh menjadi selemah itu! Tambahan pula, Saiful merupakan anak sulung dan merupakan harapan keluarga. Begitu mudah sekali dia ingin hancurkan harapan keluarganya sendiri? Sungguh pentingkan diri! Bentak Sasha didalam hati.

Saiful tergamam dengan kata-kata Sasha yang banyak benarnya itu. Serta-merta hatinya bagaikan terpukul dengan ungkapan Sasha sebentar tadi. Mindanya seakan terbuka luas. Saiful terdiam seribu bahasa dan kepalanya ditundukkan.

Ya, sungguh dia malu dengan gadis itu. Memang benar kata Sasha, dia masih perlu memikul banyak tanggungjawab. Dan sebagai lelaki, dia tidak boleh menjadi lemah kerana seorang perempuan!

“Sha..” panggil Saiful lembut membuatkan Sasha merengus lagi. Bengang sungguh rupanya gadis itu. Dada Sasha berombak kencang. Saiful terdiam, tidak berani meneruskan kata.

“Aku mintak maaf kalau aku terkasar bahasa. Tapi memang betul pun apa yang aku kata tadi. Aku pergi dulu! Assalamualaikum..” getus Sasha laju tanpa sempat Saiful berkata apa-apa. Sasha terus berjalan pergi dengan tergesa-gesa.

Saiful memandang langkah Sasha. Serta-merta hatinya terasa berdebar-debar. Wajah Sasha yang sedang galak memarahinya tadi terbayang semula di ruangan mata. Ada perasaan halus yang tersuntik ke sanubari Saiful. Saiful sendiri tidak tahu apakah perasaan itu. Yang pastinya, perasaan itu bukanlah suatu perasaan yang tidak baik..

FARIS menghenyakkan punggungnya ke sofa. Dia memicit kepalanya dengan wajah tertekan. Otaknya ligat berfikir cara untuk memujuk Nazifa setelah apa yang dia sudah lakukan pada malam perkahwinan mereka seminggu yang lepas.

Selama seminggu, Nazifa tidak pernah menegurnya. Malah, gadis itu sedaya-upaya mengelak dari bertemu dengannya. Faris sudah buntu mahu memikirkan masalah ini.

“Kenapa dengan kamu ni, nak? Macam ada problem aje?” soal Datin Sharifah Rosmah dengan tiba-tiba. Entah bila ibunya berada di sofa bersebelahannya, Faris juga tidak sedar. Wanita tua itu meletakkan secawan kopi dihadapan anak lelakinya. Selepas itu, dia menghirup pula kopi yang dipegangnya.

“Tak ada apa-apalah, mummy..” Faris tersenyum pahit. Dia mencapai cawan kopi dihadapannya lalu meneguk sedikit kopi. Segar dirasakan tekaknya ketika ini. Kopi yang dibuat oleh Datin Sharifah Rosmah memang menjadi kegemaran Faris selalu.

“Mummy tahulah anak mummy..dah bela dari kecik tau? Sejak dari tapak kaki kamu tu sebesar dua jari mummy ni, tau?” sengaja Datin Sharifah Rosmah berkata begitu untuk menjerat anak lelakinya supaya bercerita.

“Betullah, mummy..tak ada apa-apa..” Faris tersenyum simpul. Geli hati melihat wajah penuh muslihat yang sedang dibuat oleh ibunya. Tentu ingin mengorek rahsia. Hilang seketika kegusarannya tentang Nazifa.

“Bini kamu mana? Kenapa duduk sorang aje kat sini? Ifa tak suka ke kalau mummy ada?”

“Tak adalah! Mummy ni suka-suka aje buat andaian sendiri, tau!” potong Faris laju.

“Habis tu? Mana dia? Mummy jarang nampak dia sejak mummy balik dua hari yang lepas..asyik berkurung aje dalam bilik tu..mentang-mentanglah mummy balik kampung beberapa hari aje kamu berdua dah bergaduh, ya? Mummy dah bagi chance untuk kamu berdua ‘berbulan madu’ dulu sebelum pergi bulan madu secara official nanti, tapi gaduh pulak. Lagi satu, menantu perempuan ni, kalau boleh kenalah rajin dan ramah dengan mentua..” leter Datin Sharifah Rosmah.

Dah mula membebel, habislah Faris jawabnya! Selagi dia tidak cabut lari, selagi itulah ibunya akan berleter. Faris hanya tunduk sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal selepas mendengar bebelan ibunya. Bertambah runsing pula kepala otaknya.

Iyalah, bagaimana dia mahu menjelaskan perkara sebenar? Takkanlah dia mahu memberitahu yang sebenarnya dia sudah buat bermacam-macam perkara buruk pada Nazifa sehingga gadis itu membencinya? Tentu ibunya terkejut dan jatuh sakit lagi. Dia tidak mahu ibunya sakit. Pernah sekali dia menyakiti hati ibunya sehingga ibunya dimasukkan ke hospital kerana terlalu tertekan. Sudah tentu dia tidak akan ulangi perkara itu!

“Mummy! Ris rasa laparlah! Mummy masak apa hari ni?” Faris cuba mengalihkan tajuk perbualan. Datin Sharifah Rosmah mencemik membuatkan Faris ketawa kecil.

“Ubah topik?! Mummy tengah cakap pasal kamu dengan isteri kamu, Ris..tolong beri perhatian serius!” tiba-tiba pula suara wanita tua itu berubah tegas.

“Ala, mummy ni..Ris tahulah apa nak buat..mummy janganlah risau sangat..apa kata kalau mummy risaukan apa nama yang sesuai mummy nak berikan pada cucu mummy nanti!” pancing Faris. Datin Sharifah Rosmah berubah wajah teruja tiba-tiba. Tetapi hanya seketika kerana wajahnya tiba-tiba berubah mimik wajah pelik.

“Eh, takkanlah seminggu kahwin dah dapat tau pregnant kot?” soalan Datin Sharifah Rosmah itu membuatkan Faris ketawa terbahak-bahak.

“Mummy..mummy..Ris maksudkan nanti-nanti laa..masa akan datang..maybe lagi sebulan dua mummy akan terima berita baik kot?” kata Faris seraya memeluk bahu ibunya.

“Kamu ni pandai betul ubah topik, ya? Itupun topik yang menarik..”

“Biasalah..macam tak kenal Ris..mummy kan bela Ris dari tapak kaki Ris ni sebesar dua jari mummy..” getus Faris lembut sambil mencium dahi ibunya.

Datin Sharifah Rosmah rasa terharu dan tersentuh dengan perlakuan anak lelakinya yang begitu menyayanginya. Bahagia dirasakan olehnya kerana mempunyai anak penyayang seperti Faris.

NAZIFA menarik nafas dalam-dalam. Betulkah apa yang baru sahaja didengari olehku tadi? Soal Nazifa pada dirinya sendiri. Dadanya berombak tiba-tiba. Berdebar-debar rasa hatinya. Baru tadi dia mengintai dan mencuri dengar perbualan Faris dan Datin Sharifah Rosmah.

Anak? Faris benar-benar serius atau main-main? Bersyukurlah yang aku tidak mengandungkan anak lelaki itu setelah apa yang berlaku di hotel hari itu. Entah bagaimana dia boleh tidak hamil, menjadi tanda tanya buat Nazifa namun dalam masa yang sama dia bersyukur kerana tidak perlu hamilkan zuriat jantan tak berguna itu.

Tetapi, bagaimana jika Faris memaksanya selepas ini? Bagaimana jika dia dirogol lagi? Jika dia diperdaya lagi? Bukannya boleh percaya sangat jantan gila itu!

Tapi, kalau dia nak rogol aku, dah lama dia buat masa malam pertama perkahwinan kami hari itu. Namun mengapa dia berhenti setelah aku tidak berdaya melawan dan menyerah diri padanya? Berbagai-bagai persoalan menerjah ke benak Nazifa. Dalam masa yang sama dia takut jika Faris memaksanya semata-mata kerana inginkan seorang anak untuk ibu mentuanya itu.

Wajah Nazifa yang putih bersih itu tiba-tiba dibasahi peluh dingin. Gementar dan takut dirasai silih berganti dengan suatu perasaan halus. Perasaan yang dirasai ketika melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Faris terhadap Datin Sharifah Rosmah.

Entah mengapa, sikap yang ditunjukkan oleh Faris ketika itu amat menyentuh hati wanitanya. Melihatkan sikap penyayang Faris itu, serta-merta perasaan damai bagai membelai-belai jiwa Nazifa buat seketika namun setelah tersedar, dia segera menafikan segala-galanya yang baru dirasai.

Tidak mungkin lelaki itu begitu penyayang! Dia hanya berlakon! Jantan keparat itulah yang memusnahkan hidup kau, Ifa! Jangan kau lupa..sampai bila-bila pun, kau kena ingat jantan itu tak berguna! Nazifa berperang dengan perasaannya sendiri. Antara benci dan dendam. Semuanya membalut hati Nazifa supaya menjadi sekeras batu.

“Ifa?” tegur satu suara membuatkan Nazifa tersentak dari lamunan yang panjang. Datin Sharifah Rosmah mengelus lembut bahu menantunya yang kelihatan terkejut.

“Buat apa kat sini sorang-sorang? Jom pergi siapkan minum petang sama-sama..nanti kita minum kat taman sambil berborak, okey?” Datin Sharifah Rosmah tersenyum mesra. Nazifa membalas senyuman wanita tua itu dengan ikhlas dan penuh sopan.

“Ifa saje lepaskan penat kat sini sekejap..tadi penat mengemas bilik tidur..” bohong Nazifa. Wajahnya yang berpeluh dilap perlahan. Senyuman halus yang terpaksa diukir membuatkan dahi Datin Sharifah Rosmah berkerut.

“Betul?” kali ini tangan Datin Sharifah Rosmah sudah berada di rambut ikal Nazifa lalu dielus-elus olehnya lembut. Sifat keibuan ibu mentuanya itu mengingatkan Nazifa pada ibunya Datin Hazwani. Serta-merta airmata Nazifa bergenang.

“Kenapa pulak ni?” tangan Datin Sharifah Rosmah mendarat didagu Nazifa lalu kepala gadis itu didongakkan sedikit. Hairan dia melihat sikap Nazifa.

“Tak ada apa-apalah, mummy..ingatkan mama Ifa aje..rindu sangat kat family Ifa..” beritahu Nazifa lembut bersama senyuman kelat. Sungguh dia rindukan ibubapa serta adiknya Nazira.

“Dahlah tu..nanti kita pergi jumpa dia orang, okey? Jom kita pergi ke dapur..” ajak Datin Sharifah Rosmah sambil memaut bahu Nazifa.

Nazifa sebak apabila ibu mentuanya itu menyebut perihal berjumpa keluarganya. Kalaulah mummy tahu yang Ifa sudah terputus hubungan dengan keluarga Ifa sebab Faris, tentu mummy tahu mengapa Ifa terlalu sedih disini..bisik hati Nazifa sayu.

FARIS memandang wajah Nazifa yang muram. Tiada segarit keceriaan langsung pada wajah isterinya itu. Kini mereka berada di taman halaman rumah banglo tiga tingkat milik keluarga Faris.

Datin Sharifah Rosmah berlalu ke dapur sebentar untuk membawa sedikit buah-buahan sebagai pencuci mulut setelah mereka selesai memakan kuih-muih. Nazifa menawarkan diri untuk ke dapur tetapi tidak dibenarkan. Ingin memberi ‘peluang’, kata Datin Sharifah Rosmah sebelum berlalu.

“Dah kenyang makan?” soal Faris memecah keheningan antara mereka. Nazifa pura-pura tidak dengar. Dia masih membungkam seribu bahasa.

“Still marahkan abang?” tanya Faris lagi apabila soalan pertamanya tadi tidak berjawab. Namun Nazifa masih diam. Tubuhnya kaku dikerusi. Pandangannya dihalakan ke arah lain sejak tadi.

Faris menarik nafas panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan. Cuba bertenang dan bersabar dengan kerenah isterinya. Matanya tertancap pada gelas kaca yang berisi limau ais. Tiba-tiba sahaja dia mendapat idea untuk mengenakan Nazifa. Fikiran nakal tiba-tiba datang.

“Ifa tak nak maafkan abang ke? Kalau boleh, cakaplah sepatah perkataan pada abang. Kesian tau abang ni..hari-hari merayu pada Ifa..” getus Faris lembut, sengaja membuat suara sedih. Nazifa tetap tidak mahu melayan. Tiba-tiba..

“Makkkkkkkk!!” tersentap jantung Nazifa apabila terasa seperti wajahnya dibaling oleh sesuatu yang berair dan sejuk. Ketulan kecil ais yang dibaling oleh Faris itu tiba-tiba terjatuh ke pahanya membuatkan bulu tengkuk Nazifa meremang hebat. Kali ini dia terlompat pula ke arah Faris lalu memaut lengan baju suaminya itu dengan wajah geli geleman. Tindakan yang amat spontan!

“Apa ni? Kau ni memang tak habis-habis nak susahkan aku aje! Nasib baik mummy ada. Kalau tak, aku dah siat-siat kau dengan garpu ni tau?!” bentak Nazifa dengan wajah merah padam. Segera dia melepaskan lengan baju Faris dengan wajah mencuka. Sakit betul hatinya melihat senyuman nakal Faris yang seakan mengejeknya.

“Terubat sudah rasa rindu abang kat suara Ifa tu..terima kasih sebab sudi bercakap walaupun marah-marah. Tapi muka marah sayang tu memang cute tau?” sengih Faris meleret. Nazifa menarik nafas dalam-dalam, cuba bertenang. Berani betul dia kenakan aku?! Pantas Nazifa terdiam. Berniat tidak mahu berkata apa-apa lagi.

“Amboi! Bukan main lagi nak siat la apa la mummy dengar tadi?” tiba-tiba pula Datin Sharifah Rosmah datang. Tangannya menatang dulang berisi buah-buahan yang sudah dipotong. Bibirnya menguntum senyuman mesra.

“Biasalah, mummy..mummy kan tinggalkan kami berdua untuk beri peluang ‘bermesra’? Mesralah tu..kan sayang kan?” Faris sengaja ketawa kecil sambil mengangkat-angkat kening ke arah Nazifa.

Wajah isterinya itu merah padam menahan malu. Nazifa sekadar diam dan angguk sedikit membuatkan Faris tersenyum kecil diikuti Datin Sharifah Rosmah yang turut mengukir senyum. Nazifa memaksa untuk angguk kerana ibu mentuanya ada bersama. Kalau tidak, jangan haraplah!

Tak guna punya jantan! Aku akan pastikan yang selepas ini kau takkan dapat kenakan aku lagi! Bodoh! Bentak Nazifa didalam hati. Sakit hatinya meluap-luap saat melihat jelingan yang konon-kononnya manjalah dari Faris yang sesekali menyapa wajahnya.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Entah Bila Cinta Bersemi 14”
  1. Anonymous says:

    best..
    cpt2 lar smbung…
    x sbr nak tau episod sterusnya.

  2. zaitackey says:

    kikiki..srnok nye gduh2 manje ni,haha

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"