
Cerpen : Apalah Ertinya Cinta
Oleh : Riza Saffiya
Fahim terbongkok-bongkok menyudahkan kerja mencuci simen porch rumahnya. Ada dua ekor kucing jantan bergaduh di situ tadi sehingga mengeluarkan najis mereka dek terlampau marah dan terlalu menahan sakit agaknya. Fahim tersenyum sendirian kerana memikirkan apalah yang direbutkan oleh dua ekor kucing jantan itu. Pastinya merebut kucing betina. Lumrahnya hidup, Allah jadikan setiap makhluknya yang hidup mahukan pasangan. Lelaki memerlukan perempuan dan sebaliknya. Begitu juga si jantan memerlukan si betina dan sebaliknya. Lelaki dan perempuan, jantan dan betina merupakan pelengkap antara satu sama lain. Bagai irama dan lagu andai tiada irama, pincanglah lagu. Hehehe apa yang aku melalut nie.
Fahim, seorang teruna yang kuat pegangan agamanya. Walidnya seorang guru agama, begitu juga umminya. Sejak kecil lagi dia sudah dititikberatkan tentang suruhan dan larangan Allah swt. Lantaran itulah dia tidak terdedah dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Sehinggalah usianya meningkat remaja, dia tidak pernah punya hati untuk memberi dan menerima cinta biarpun ketika dia belajar di institusi pengajian tinggi di Johor, peluang tersebut pernah hadir untuk beberapa kali.
Pada Fahim, dia bukan mencari teman wanita tetapi dia mencari seorang perempuan bergelar isteri. Dia mahu seorang isteri yang mampu menegurnya tatkala dia alpa. Dan yang paling penting seorang isteri yang boleh melahirkan zuriatnya, mengasuh bakal-bakal mujahid yang rindukan ubun-ubun syahid yang saling redha berkorban dan dikorban buat menyemarakkan Islam di akhir zaman. Sememangnya Fahim mengimpikan watak seorang isteri yang tidak terbelenggu jiwa keperempuanannya iaitu memiliki sembilan nafsu. Dia mahu bakal isterinya merdeka dari kepentingan peribadi… rumahtangga adalah syurga… wadah suburnya cinta ketuhanan. Akal yang tunggal tidak dibiarkan hanya berlaga di celahan periuk belanga dan di sebalik lipatan lampin anak. Sebaliknya mampu menjadi pentadbir di sebalik tabir, menjadi tulang belakang seorang suami yang diadun peribadinya dengan kelembutan agar menjadi teman sejati, sahabat setia seterusnya penyejuk mata.
************
Dia mula mengenali Marissa ketika dia sama-sama bertugas di sebuah organisasi yang sama. Pada Fahim, Marissa terlalu istimewa. Marissa amat mengambil berat tentang auratnya. Itulah perkara pertama membuatkan dia amat tertarik kepada gadis itu. Marissa seorang yang amat berhati-hati dalam mengatur butir bicaranya. Tidak pernah pula Marissa ke mana-mana tanpa berteman. Dia melihat Marissa seorang mukminah solehah yang amat menjaga peribadi dan maruah dirinya walaupun tanpa bertudung labuh. Namun dia tidak pernah berpeluang hendak bercakap-cakap dengan Marissa. Apabila dia dengan Marissa, dia menjadi amat pemalu dan amat menjaga. Bagi dia, itulah wajah seorang wanita yang dia dambakan selama ini. Marissa mampu mengingatkan orang lain dengan hanya menjaga dirinya, tanpa perlu berkata-kata walau sepatah pun. Sungguh aku tidak pernah mengerti, inikah yang dinamakan cinta.
************
Marrisa melangkah dari kamarnya menuju ke ruang tamu. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat Maghrib. Dicapainya kitab suci Al Quran lalu mengalunkan bacaan dengan suara yang amat merdu. Marissa anak seorang peniaga kedai runcit kecil-kecilan memang seorang anak gadis yang mendengar kata. Sejak dari usianya kanak-kanak lagi dia sudah menampilkan dirinya sebagai seorang muslimah sejati. Mungkin juga kerana dia mengikuti jejak langkah ibunya. Sudah terbiasa benar dia dengan tudung. Andai tidak disarung, rasa amat janggal sekali. Begitulah fikirnya walaupun ketika itu dia baru berusia 10 tahun. Biarpun dia seorang anak yang baik dan cerdik, namun kesempitan kewangan yang ditanggung keluarganya membuatkan dia tidak dapat meneruskan pelajarannya ke tempat yang lebih tinggi. Kasihan dia pada ayahnya yang perlu menanggung perbelanjaan untuk 6 lagi adik-adiknya yang masih bersekolah. Memperolehi Sijil Tinggi Agama Persekolahan sudah begitu berbaloi baginya. InsyaAllah, ada rezeki… mudah-mudahan nanti dia boleh menyambung kembali pelajarannya.
************
Hari itu hari Jumaat. Fahim segak berbaju melayu berwarna ungu muda. Sambil mengatur langkah menuju ke biliknya, matanya mencuri-curi memandang ke arah tempat Marissa. Hatinya berbunga riang. Buah hati pengarang jantungnya ada di situ, tidak menyedari kelibatnya melintasi ruang itu kerana terlalu tekun menjalankan tugas-tugasnya. Memang bijak benar Fahim merahsiakan hal perasaannya. Tiada seorang pun rakan-rakannya yang perasan akan perubahan sikapnya sejak akhir-akhir ini. Perubahan apa yang dimaksudkan ek? Hehehe, perubahan sikap orang yang mabuk cinta la.
Tetapi hati yang berlagu riang tidaklah lama. Di atas mejanya ada senarai pertukaran staffnya ke jabatan lain malah ada juga yang dipindahkan ke daerah lain. Bertambah tersentap jantungnya bila terlihat nama Marissa tercatat di situ untuk dipindahkan bertugas ke daerah lain.
Fahim merasa kecewa yang amat sangat. Selepas ini tiada lagi peluang untuknya menatap seraut wajah yang mula dikasihinya secara diam itu. Memang teruk aku ni, detiknya sendirian. Inilah penangan orang yang tidak pernah mengenali perempuan… apatah lagi bercinta dengan perempuan. Fahim menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum sendirian. Tengok! Senyum sorang-sorang. Sah macam orang dah tak betul aku ni, hatinya berbisik lagi.
************
Di rumah, Fahim masih melayan perasaan kecewanya. Sambil berbaring, dia merenung ke arah siling biliknya. Dia teringat lagi bagaimana kali pertama dia terpandang Marissa. Ketika itu Fahim baru saja meletakkan keretanya di lot tempat letak kereta pejabatnya. Saat dia mahu menaiki lif menuju ke arah pejabatnya di aras 8, saat itu jugalah Marissa berlari-lari anak mahu menaiki lif yang sama. Fahim melihat Marissa dari hujung tepi matanya al maklumlah memandang sekali perempuan… hukumnya sunat, hehehe kalau pandang lebih sekali dah jadi maksiat… huhuhu. Manakala Marissa hanya menundukkan muka ke bawah memandang lantai lif itu. Mereka hanya membisu kerana Marissa tidak mengenali siapa Fahim ketika itu. Hari itu adalah merupakan hari pertama Fahim bertugas di situ.
Fahim tersenyum-senyum lagi bila mengingati detik pertama kali dia terpandang Marissa. Wajah yang begitu tenang rautnya… tanpa calitan alat solek… bersih air mukanya. Sepasang mata yang dimiliki Marissa benar-benar cantik baginya. Anak matanya besar membulat, hitam warnanya. Yer, itulah sepasang mata anak melayu jati. Bukan anak mata yang berwarna keperangan, kebiruan dan yang paling menakutkan kehijauan… seolah-olah anak mata ‘Hulk’ yang sedang kemarahan pula aku tengok, semuanya gara-gara kanta mata… hehehe Fahim tersenyum lagi. Farid membayangkan lagi wajah Marissa. Hidungnya cantik… mancung tapi mancung orang Melayu lah… bukan mancung yang dibuat-buat oleh pembedahan plastik tu. Begitu juga bibirnya, bak kata pepatah… bibir merah umpama delima merkah… aduhhhh aku benar-benar tertawan dan gila dibuatnya. Namun khayalannya terhenti apabila terdengar suara umminya di luar biliknya. Owh, ummi mengajaknya makan. Tetapi kenapa kenyang benar perutnya hari ini. Sedikit pun tidak terasa lapar. Ummi tetap menyuruhnya makan, bimbang perut anak teruna tunggalnya itu diisi angin jika tiada di alas apa-apa sepanjang malam.
Ketika di meja makan, Fahim sekali lagi tersentak dengan pertanyaan yang diajukan oleh walid dan umminya. Sungguh terperanjat benar dia, bagaimana kedua orang tuanya itu dapat menghidu perasaannya yang sedang bergelora dan tidak keruan itu. Yelah, sejak dia jatuh hati pada Marissa… dia dah jauh berubah… paling ketara dia kerap tersenyum sendirian dan adakalanya bercakap sendirian pun pernah dilakukannya. Melihatkan perubahan itu, umminya merasa bimbang juga. Dia kenal benar dengan walid dan umminya yang tidak suka anak-anaknya bercinta. Tetapi jangkaan Fahim silap. Ummi tidak menghalang tetapi ada kata-kata ummi yang membuatkan dia tidak mampu membalasnya…
“Ummi tidak nampak apakah Islam membenarkan apa yang kamu lalui sekarang ini. Ummi juga tidak melihat apakah cinta sebelum kahwin itu perlu. Jadi, ummi mahu tahu apakah perhubungan yang sedang kamu jalinkan ini. Ummi mahu mendengarnya dari mulut kamu sendiri…”
Fahim terkedu. Dia tidak mampu membahasnya kerana semua yang dikatakan ummi itu benar. Dia tahu kebenaran itu sudah lama dahulu tetapi dia tidak mampu untuk melawan kehendak nafsunya sendiri. Dia akui, dia tertipu dengan apa yang dipanggil fitrah dan apa yang dipanggil sebagai keperluan manusia. Dia terleka dengan perasaan cintanya kepada Marissa. Cinta tidak membawa ke mana… andai cinta itu bukan di dalam lingkungan yang Allah swt redhai. Namun ada seketika dia tidak mampu untuk menundukkan kemahuan hatinya. Dan kata-kata umminya benar-benar memberikan dia kekuatan untuk bangkit kembali dari kesilapannya yang memuja Marissa.
Di depan walid dan umminya, Fahim mengakui tentang perasaan suka dan cintanya terhadap Marissa. Tetapi dia tidak pasti apakah cintanya ini akan berbalas kerana selama ini Fahim sendiri tidak pernah menyatakan isihatinya kepada Marissa. Dia bimbang jika dia menyatakan dalam masa yang terlalu awal, Marissa mungkin menolaknya. Aah, tidak sanggup Fahim menanggung risiko sebegitu. Hasrat hati ditolak? Pedihnya, pasti lebih pedih dari luka kerana tertusuk sembilu. Sembilu? …sembilu halus jer. Lebih pedih dari luka yg ditusuk pedang samurai… yer, itulah gambaran yang lebih tepat.
***************
Perpindahan Marissa ke daerah lain memberi ruang kepada Fahim untuk lebih tenang kerana tiada apa yang menggusarkan hatinya lagi. Dari teman rapat Marissa, Fahim memperolehi alamat baru tempat tinggal Marissa. Dia merelakan perpisahan sementaranya dengan Marissa. Bagi Fahim, saat inilah untuk dia bermuhasabah dan memperbetulkan segala kesilapannya. Inilah juga saat untuk dia mengejar kembali cita-cita iaitu menjadi seorang yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi. Dia percaya, inilah kebaikan buat dirinya dan Marissa. Harapannya semoga ada jodoh antara mereka, insyaAllah…DIA akan menemukan kembali dalam keadaan yang lebih baik dari sekarang.
************
Di daerah itu Marissa menjalani rutin harian hidupnya seperti biasa. Ke tempat kerja… ke rumah…ke tempat kerja… hanya itulah laluannya. Seketika ibu dan ayahnya mendesak juga bertanyakan bila Marissa akan mengakhirkan zaman solonya, namun Marissa hanya mampu menyakinkan mereka dengan mengatakan jodoh pertemuan di tangan Tuhan… ada jodoh pasti tidak akan ke mana… namun usaha perlu juga dan bukan berserah… dia mengerti itu. Namun apalah daya dia sebagai bunga hendak menyunting si kumbang pula.
Suatu ketika Marissa menerima panggilan telefon dari ibunya. Ibunya mengatakan ada rombongan peminangan akan tiba pada hujung minggu ini. Marissa hanya menyerahkan segala urusan tersebut kepada ibunya. Baginya apa yang baik pada ibu dan ayahnya, baik jugalah pada dirinya. Memang di dalam hatinya, dia juga mempunyai pemuda impian untuk dijadikan suami. Namun Marissa akur… impian cumalah impian. Bagaimana dia akan mampu memiliki suami sebaik Saiyidina Ali seandai dirinya tidak sebaik Fatimah. Dia percaya bahawa lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik. Lantaran itu jugalah dia berusaha sedaya upaya membentuk peribadinya menjadi seorang anak yang baik milik ibu ayahnya, menjadi isteri solehah milik suaminya dan ibu mithali milik anak-anaknya suatu hari nanti.
Marissa merenung jauh… terkenang kembali akan pemuda idamannya. Pemuda yang hanya hadir di dalam angannya. Bukan rupa tampan yang dicarinya, tetapi dia memerlukan lelaki yang boleh membimbingnya ke jalan Allah. Namun seingatnya tiada pernah seorang lelaki pun yang singgah di hatinya. Dengan erti kata yang lebih mudah, Marissa tidak pernah bercinta. Bukannya tiada lelaki yang cuba merapatinya tetapi… entahlah! Dia takut pada cinta. Dia takut dia terlalai… hanya kerana cinta dunia, kecintaannya pada yang SATU akan berkurangan. Bimbang zikir yang selalu membasahi bibir comelnya itu akan beransur kering dek terlalu menzahirkan bahasa cinta atau madah untuk sang kekasih sebagai tanda kasih sayang yang berterusan. Owh, tak sanggup Marissa menggadaikan imannya demi kasihnya sesama insan.
************
Fahim melihat jarum jam tangannya sudah menunjuk ke angka 1. Dia mahu menyiapkan kerja-kerjanya. Semenjak ketiadaan Marissa, Fahim perasan pada dirinya yang kerinduan. Hahaha! Dah pandai merindu. Sakitnya merindu. Sesekali bila rasa itu datang, kekuatan Fahim tercabar juga. Fahim melepaskan keluhan. Sesungguhnya, pencariannya untuk seorang calon isteri telah berakhir. Insan seperti Marissa… mana mungkin dia melepaskan apa yang amat berharga yang pernah hadir dalam hidupnya. Dia juga sentiasa diingatkan, seandainya seseorang itu telah ditemukan dengan seorang insan yang amat mulia…janganlah lepaskannya kerana kita tidak akan tahu bilakah lagi kita akan bertemu dengan insan seumpamanya.
************
Di kampung, Marissa membantu ibunya di dapur. Hatinya masih tertanya-tanya siapakah gerangan yang hendak merisiknya petang nanti. Cuma menurut ibunya, orang dari keturunan yang baik-baik. Kita tidak perlu menolaknya. Marissa cuma akur dengan pesanan ibu. Padanya pilihan orang tua lebih baik daripada memberinya peluang untuk memilih calon pasangan hidup. Sungguh Marissa tidak tahu. Bimbang tersalah pilih, niaya nasib seumur hidup. Tambahan dunia sekarang yang penuh dengan 1001 macam kepalsuan. Walau bagaimanapun, debaran tetap terasa di hati perempuannya. Jangan lelaki ini memperdayakan kedua ibubapanya, sudah. Marissa merasa amat celaru dan keliru!
Namun kecelaruan dan kekeliruannya terjawab sudah. Debarannya sudah beransur tenang. Ketika Marissa menatang dulang berisi minuman ke arah keluarga yang datang itu, semuanya sudah sedia terjawab. Marissa amat mengenali lelaki itu. Ya Tuhan! Fahim menyukai aku selama ini rupanya. Tetapi kenapa dia tidak pernah memberitahu aku tentang isihatinya malah berani pula terus meminangku! Kalaulah aku di pinang dulu oleh lelaki lain sebelum engkau… tidak kah naya. Hehehe…Marissa melemparkan senyuman ke arah tetamu yang memandangnya namun cepat-cepat beredar semula ke dapur sambil menahan rasa malunya apabila Fahim asyik sangat merenungnya tadi.
-Â Â Â Â Â Â Â TAMATÂ -














tahniah wat penulis cite nie..
sy sngat tertarik dgn setiap penjiwaan y diterapkan dalam cite nieh…
ayt2 nyer seperti menyentuh hati sy…
sememangnye, kisah ini penuh dgn nasihat2 dalam membentuk jati diri..
tapi msih ada beberapa perkara lg y msih blh diperbaiki…
mngkin penulis boleh memperbanyakkan lg bentuk dialog dlm sebuah cerita…
moga ada lg cite2 menarik y bkal datang dari penulis…
BESTYE………
cite ni menyedarkan saya apa yg telah sy lupa dan alpa….
thanks kpd penulis krn menerapkan unsur2 agama dlm cerpen ni…
semoga kita sbg manusia sentiasa ingat akan cinta kpd Allah…