Cerpen : Kepulangan

21 December 2009  
Kategori: Cerpen

3,189 bacaan 33 ulasan

Oleh : ElyndaIzan

1

“Tahun ni macam mana?  Nak ikut aku tak?”  Shafina mengeluh.

“Entahlah..” jawabnya acuh tak acuh”  Firza mengerutkan dahinya.  Dah kenapa pula dia ni! Nak raya kat kl lagi ke?

“Kalau tak ikut aku, kau nak pergi mana raya nanti? Takkan nak duduk kl lagi kot?”  soal Firza bertubi-tubi.  Tangannya masih ligat mengemaskan barang-barang yang baru dibeli dari pasar tadi.

Shafina bangun membuang pandangan keluar tingkap dapur.  Hatinya gundah gulana.  Sudah hampir lima tahun dia tidak pernah lagi pulang ke kampung halamannya.  Semuanya kerana gara-gara peristiwa itu walau bagaimanapun saban bulan dia tak pernah lupa menghulurkan duit untuk kedua orang tuanya.  Setiap bulan pasti dia memasukkan sejumlah wang kedalam akaun Abah.  Mujur juga dia masih menyimpan slip pengeluaran duit dalam akaun BSN ayahnya sewaktu menemaninya mengeluarkan wang pencen lama dulu.

“Fina, kau ni kenapa? Lately dalam seminggu ni kau muram aje apsal? Pulak tu asyik mengeluh aje, hairan aku.  Kalau ada apa-apa masalah cerita dekat aku”  Firza mendekati sahabatnya dan memeluk erat bahunya.

“Aku….aku rasa nak balik kampunglah tahun ni..tapi aku takut.  Ayah aku…ah..entahlah aku buntulah.  Kebelakangan ni aku asyik termimpikan mereka berdua aje..”  Firza mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Aku rasa kau baliklah, dah 5 tahun kau jadi pelarian ni Fina.  Dah lama tentu ayah kau tak marah lagi.  Kesian mak ayah kau tentu diaorang rindukan anak diaorang yang degil tak terbendung ni..” ujar Firza bergurau namun tiada secalit senyuman pun di wajah Shafina.

“Aku rasa bersalah sangat sebab tu tak berani nak balik..kau pun tahukan.  Sejak ayah halau aku keluar dari rumah dan tak mengaku aku ni anaknya aku terus bawa diri dan tak pernah balik lagi.  Kau rasa mereka boleh terima aku lagi ke?”  airmatanya sudah bergenang di kelopak mata hanya tunggu masa untuk gugur.

“InsyaAllah Fina”  Firza memegang erat tangan Shafina untuk memberikannya lebih kekuatan.

“Kau seorang saja anak mereka Fina, dah lama sangat rajuk kau ni.   Tiap tahun pun aku suruh kau balik tapi kau tak nak.  Baliklah…”

“Tengoklah macam mana nanti….”  Firza menggelengkan kepalanya.  Kau ni memang degil!

“Terpulanglah, eh malam ni berbuka nak masak apa? kita ada sotong, udang, ketam, daging dengan ikan.  Engkau nak makan apa hari ni?”  Firza mengubah tajuk perbualan dia tak mahu Shafina sentiasa diburu rasa tertekan.

“Ayam kau tak beli ke?”  soalan Shafina membuatkan Firza mencebikkan bibirnya.

“Tak,  malas nak beli dalam seminggu dua.  Harganya bukan main lagi asyik berubah je sejak bulan puasa ni.  Suka-suka hati je diaorang nak naik nak turunkan harga.  Apa salahnya sesekali kita cuba boikot sikit, ajar sikit diaorang ni!”  ujar Firza dengan nada geram.  Telefon bimbitnya kedengaran menjerit nyaring.  Firza pantas mengangkatnya.

“Assalamualaikum  Along,  ya..aa’aah ada ni…apa?  nak berbuka kat sini?   Eh..eh boleh..apa ingat orang orang tak boleh masak ke?..hehehe….ajak Qayyum sekali? Ok lah nanti Firza call dia…abang datang dengan Kak Arina kan?  kawan sekali? Oklah..so see you…waalaikumusalam”  Fiza menekan butang off pada telefon bimbitnya.

“Kenapa?”  Shafina mengangkat kening meminta penjelasan.

“Along, semalam dia balik dari kampung, mak ada kirim barang nak hantar sini.  So dia nak berbuka dengan kita,.   Dia nak jumpa Qayyum sekali.  Ermm..kita ada 4 orang tetamu hari ni..kena masak special sikitlah”  Firza membuka peti ais meneliti barang-barang yang perlu  dikeluarkan.

“Empat? Siapa lagi?”

“Along, Kak Rina, Qayyum dan kawan along.  Ha, empat oranglah.  Dah meh tolong aku fikir nak masak apa untuk berbuka ni?”  Shafina terus mendekati Firza.

“Ok macam ni kita masak ketam masak cili api, daging goreng, sambal udang dengan sup sayur campur.  Amacam?”  Shafina memberi cadangan.

“Yes! Kau memang full of idea lah kawan.  Tapi tang gulai lemak tu kau masak ye..aku tak pandailah..”  Firza tersengih-sengih.

“Tak pandai kena belajar.  Nanti kalau dah kahwin dengan si Qayyum tu dia minta makan macam-macam..baru kau tahu”  Shafina mengeluarkan daging.

“Apa susah aku telefonlah kau minta resepi”  Firza ketawa.

“Ha, sebut pasal Qayyum, kau dah call dia belum?”  Firza pantas menepuk dahi.

“Ya Allah, nasib baik kau ingatkan”  pantas dia mengambil telefon.

Shafina menggeleng saja melihat gelagat temannya itu.  Dia sudah arif benar dengan tingkah laku Firza.  Mereka bersahabat sejak dari menuntut di Universiti lagi.  Di sana juga mereka mengenali Qayyum.  Dari bersahabat kini temannya itu sudahpun bertunang.   Tahun depan bakal melangsungkan perkahwinan pula, dan  dia masih lagi sendiri.  Sejak melukakan hati kedua orang tuanya dengan menolak pinangan keluarga Rizal  beberapa tahun lepas dia seolah tak mahu memikirkan tentang itu lagi.  Seketika fikirannya melayang pada peristiwa lima tahun lalu.

*******************************************************************

5 tahun lalu..

“Abah, Fina tak nak kahwin dengan dia!!!”

“Abah tak kira aku dah terima pinangan keluarga dia, dua bulan lagi kau akan bernikah dengan Rizal, suka atau tak abah dah berjanji sejak dulu lagi dengan Haji Kassim yang Rizal akan jadi suami kamu!”

“Tapi bah..”

“Tak ada tapi-tapi, ikut aje apa kata abah!”  Shafina terpaku ditengking ayahnya.

Petang itu tanpa membuang masa dia terus ke rumah Rizal yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya.  Perhitungan perlu dibuat.  Hatinya geram bila mengingatkan tentang Rizal.  Dia tak mahu menyerahkan jiwa dan raganya untuk lelaki yang telah banyak merosakkan hati gadis-gadis lain.  Bukan dia tak kenal siapa Rizal, mereka belajar di sekolah yang sama dan juga di takdirkan belajar di Universiti yang sama.

Segala perilaku Rizal, cerita tentang kasanova itu dia simpan kemas dalam hatinya tetapi apabila mendengar saranan abah beberapa hari lalu dia jadi tak senang duduk.  Shafina yakin semua ini tentunya atas usul Rizal sendiri.  Sedari dulu lagi dia giat menggodanya cuma Shafina sahaja tak mahu melayan.

“Assalamualaikum…Assalamualaikum…”  Shafina memberi salam.  Agak kuat sambil matanya melingas memerhatikan rumah Rizal dari luar.

“Waalaikumusalam..eh Fina, meh masuk dulu.  Makcik kat dapur ni ha..”  Shafina tersentak.  Dilihatnya Hajah Ramlah sedang melambaikan tangannya.  Hendak tak hendak dia bergerak juga.

“Makcik, saya datang ni nak jumpa Rizal,  dia ada?” tanya Shafina tanpa berselindung.  Shafina tahu kedatangannya dengan kasar pasti mengundang tanda tanya di hati Hajah Ramlah.

“Ada, marilah masuk dulu minum-minum air”  Hajah Ramlah masih mengajak bakal menantunya.

“Tak apalah makcik, sekejap aje ni”  Hajah Ramlah yang mengerti terus naik ke atas memanggil anak bujangnya yang baru saja pulang dari menamatkan pengajiannya.

“Hai Fina, malam tadi mimpikan saya ke?”  gurauan Rizal membuatkan Shafina semakin meluat.

“Tak ada masa mimpikan kau!  Aku nak jumpa kau esok tapi bukan kat sini tapi kat pekan.  Penting!.  Aku tunggu kau depan maybank pukul 10 pagi”

“Kenapa? Nak cakap kat sini pun boleh..jom lah masuk dulu minum-minum”  Rizal masih tersenyum-senyum.

“Aku nak cakap tu aje…ok aku balik dulu.  Makcik saya balik dulu”  Shafina melaung seraya terus mengangkat kakinya tanpa menoleh walaupun namanya dipanggil Rizal beberapa kali.

Esoknya seawal pagi dia sudah bersiap, mujur emak tidak banyak bertanya apabila dia katakan mahu ke pekan mencari buku.  Abah pula awal-awal sudah keluar kemana perginya dia tak tahu.

Jam hampir menunjukkan ke angka 10 pagi, namun bayang Rizal masih juga tidak kelihatan.  Hampir jam 10.30 pagi baru dia ternampak sebuah proton bewarna hitam berhenti betul-betul berhadapan tempat dia menunggu.  Hatinya semakin geram dan menyampah.  Dah janji pukul 10 tapi 10.30 baru nak muncul!.  Matanya menjeling Rizal sekilas.  Rizal keluar dari kereta,  memang tidak dapat dinafikan dia seorang yang kacak.  Tetapi kacak saja tidak cukup untuk menjamin kebahagian hidup.  Shafina sudah masak benar dengan sikap lelaki kasanova yang memang terkenal di Universiti itu.

“hai, lama tunggu?”  sapa Rizal tetapi Shafina mendiamkan diri saja malas hendak melayan.

“Kita ke warung tu, aku ada hal nak cakap sikit!”  Shafina mendahului Rizal untuk melintas jalan tetapi secepat kilat tangannya disambar Rizal dari belakang.

“Eh apa ni?”  Shafina menyentap kuat pergelangan tangannya.  Hatinya geram panas membara.

“Alah aku tolong pimpin tangan kau lintas jalan aje” jawab Rizal selamba menambahkan sakit hati Shafina.

“Kau jangan samakan aku dengan girlfriend-girlfriend kau yang lain!”  keras suaranya memberi amaran ketika mereka mula duduk di gerai makan itu.  Amarannya hanya dibalas dengan senyuman sinis.

“Aku tak nak buang masa, aku ajak jumpa kat luar sebab tak mahu kita bercakap pasal benda ni kat rumah”  Shafina menarik nafas dalam-dalam.

“Aku tak nak kahwin dengan kau dan aku mintak supaya kau batalkan rancangan perkahwinan kita!”  walau dengan nada perlahan suara Shafina penuh ketegasan.

“Kenapa?”  soal Rizal pendek.

“Kau sendiri pun faham kenapa!”  Shafina geram.  Siapalah yang hendak memperjudikan nasib mengahwini seseorang yang sudah jelas sifat peribadinya.  Huh dasar buaya tembaga!

“Aku tak boleh nak cakap apa-apa, ini semua kerja orang tua kita.  Lagipun apasalahnya kahwin dengan aku?”  mata nakalnya tak lepas-lepas daripada memerhatikan wajah ayu si gadis pujaan.

“Aku tetap dengan keputusan aku!  Aku takkan kahwin dengan lelaki macam kau.  Kau ingat aku tak kenal Syarifah, Nurul, Ashikin, Liza ah ramai lagilah malas aku nak sebut.  Asal saja ada freshie baru engkau yang jadi hantu menyambar!

Lagipun tentu kau masih ingat dengan kawan baik aku Surinakan? Kerana engkau dia jadi macam tu.  Kerana engkau juga dia jadi tak semangat nak teruskan pengajian akhirnya? Kena tendang dari U.  engkau sukalah kan? aku takkan sekali-kali lupa!”  Shafina menggengam kedua belah tangannya.

“Jangan salahkan aku.  dia yang syok sendiri siapa suruh”  selamba saja Rizal menjawab soalan Shafina yang bertubi-tubi.  Merah padam wajah Shafina menahan rasa marah.

“Syok sendiri kata kau? Kalau tak kau…”  Shafina tidak jadi meneruskan kata-katanya.  Lama dia terdiam sebelum memulakan bicaranya semula.

“Aku datang sini bukan nak bincang pasal tu semua.  Aku cuma nak kau beritahu pada mak ayah kau yang kita tak boleh berkahwin!”

“Aku tak boleh buat apa-apa, kalau kau nak batalkan kau beritahu sendiri pada mak ayah kau dan mak ayah aku sendiri!”  Rizal berlalu pergi.

“Kau jangan nak cabar aku Rizal!”  desis hati kecilnya.

Pulang saja ke rumah dia terus memerap di dalam bilik.  Hatinya jadi libang libu memikirkan jalan penyelesaian.  Hendak mengadu pada emak, tak boleh kerana emaknya memang menyokong penuh keputusan abah.  Semua orang tak percayakan dia.  Semua orang dalam rumahnya ini menyanjung Rizal.  Bila dia mula bercerita keburukan Rizal ada saja alasan yang menyangkalnya.   Satu cara saja yang difikirkannya dari tadi tapi cukup beranikah hendak bertentang mata dengan Haji Kassim dan Hajah Ramlah?.  Hendak tak hendak aku kena pergi juga!

Shafina nekad, beberapa minggu sebelum rombongan mereka sampai dia terlebih dahulu muncul di hadapan rumah mereka.  Hajah Ramlah menjemputnya naik kerumah.  Haji Kassim yang pada ketika itu turut berada di beranda rumah turut terkejut menerima kedatangannya.  Rizal saja yang tidak ada.  Ah peduli apa dia ada atau tak yang penting misi aku mesti di laksanakan hari ini juga.

“Maaf pakcik, makcik saya tahu kedatangan saya ni menganggu tapi saya tak boleh menunggu lagi hal ni perlu diselesaikan cepat”  jantungnya tak henti-henti berdegup kencang.

“Kenapa ni Shafina?  Macam ada masalah besar aje?”  soal Hajah Ramlah.

“Biar saya berterus terang saja.  Sebenarnya saya tak nak kahwin dengan Rizal.  Tolonglah jangan paksa saya”  katanya separuh merayu membuatkan mereka berdua berpandangan sesama mereka.

“Tapi kenapa?  Kata Rizal kamu berdua memang dah bercinta dekat U tu? Lagipun persiapan dah hampir siap.  Kamu ni dah gila agaknya….”  soal Hajah Ramlah agak kuat.  Haji Kassim menepuk bahu isterinya supaya bersabar.

“Rizal bohong!  Kami tak pernah bercinta.  Saya tak mahu berkahwin dengan dia sebab dia..dia..dia kaki perempuan..hidupnya dah….”  tersekat-sekat suaranya.  Sebenarnya dia tak mahu menceritakan perihal buruk Rizal tetapi dia terpaksa demi untuk masa depan dia sanggup.

“Huh dah kau tak nak kan dia, kau katalah dia macam-macam kan?” tempelak Hajah Ramlah tanpa sempat dia menerangkan sebabnya.

“Maafkan saya makcik, pakcik tolonglah faham..dia mesti bertanggungjawab pada kawan  saya!”

“Shafina!!! Kurang ajar punya anak.  Sanggup kau malukan aku ye?”  Shafina tersentak tanpa sempat dia menerangkan sebabnya.  Degupan jantungnya terhenti apabila melihat abah di hadapan muka pintu dengan wajah bengis.  Di belakangnya Rizal sedang tersenyum sinis.

“Balik!”  Shafina rasa lututnya semakin lemah hendak berdiri pun tak mampu lagi.  Hatinya kecut mendengar jeritan abah.

“Aku kata balik, balik!!!.  Degil ya!”  abah menampar pipi Shafina sekuat hati.  Terpelanting dia kebelakang dan abah terus mengheret tubuhnya.  Airmata Shafina berderai sakitnya bukan kepalang tetapi dia tak berani hendak berkata apa-apa.

“Anak kurang ajar.  Aku tak sangka kau malukan aku dengan mak kau sampai macam ni!”  tubuh Shafina di tolak masuk ke dalam kereta.

“Sabar Safuan, tak baik buat anak kau macam tu”  Haji Kassim meluru ke arah abah.

“Sabar kata Haji? Taulah saya nak mengajar dia balik nanti!”  abah terus menghamburkan amarahnya di dalam kereta.  Sebaik saja sampai sekali lagi tubuhnya diheret hingga ke rumah.  Emak yang terkejut melihat keadaan diri Shafina terus menerpa ke arahnya.

“Kenapa ni bang?”   Shafina menangis teresak-esak.

“Awak tanya anak awak sendiri.  Dia bukan anak saya, anak saya takkan sanggup memalukan mak bapak dia sendiri!” sekali lagi Shafina tersentak.

“Abah…sampai hati abah cakap Fina macam tu..”  hatinya merintih.

“Sampai hati? engkau lagi smapai hati malukan kami!”  abah menamparnya sekali lagi.  marah sungguh abah petang itu. Wajahnya merah padam menahan rasa malu berhadapan dengan Haji Kassim sekeluarga tadi.

“Abang???”  emak mengoncang bahu abah minta penjelasan.

“Anak awak tu pergi rumah Hj Kassim dan batalkan sendiri perkahwinan dia.  Anak jenis apa tu.  Mana saya nak letak muka saya ni lagi Munah??”   emak terjelepuk disisi abah.  Shafina mengagahkan juga dirinya menghampiri emak.

“Mak ampunkan Fina, bukan Fina sengaja nak buat macam tu Fina terpaksa mak…”  tangan emak cuba diraihnya tetapi emak pantas mengelak.

“Sampai hati kau buat kami macam ni Fina…”  emak menangis.  Hatinya sedih mana hendak diletakkan mukanya lagi.  Tentu saja orang kampung tak berhenti-henti mengata.  Berita perkahwinan anaknya sudah tercanai.  Mujur juga tetamu masih belum dijemput tetapi ah..orang kampung, tentu saja berita itu sudah heboh diperkatakan mereka.

“Aku tak mahu tengok muka kau lagi.  kau bukan anak aku.  berambus dari rumah aku!!”  abah menolak dirinya.

“Abah………..abah jangan buat Fina macam ni.  Ampunkan Fina, ampunkan Fina.  Fina sanggup ikut kata ayah..Fina sanggup…”  Shafina melutut di kaki abah.

“Kau ingat senang? Dah kau ludah lepas tu kau nak jilat balik?  Ingat Hj Kassim sekeluarga tu nak terima penghinaan ni?”  abah terus-terusan menghamburkan marahnya.  Emak hanya menangis tak henti-henti.

Malam itu adalah malam yang paling sepi dalam hidup Shafina.  Tak pernah dia sesunyi itu.  Abah buat tak tahu saja di depan televisyen manakala emak hanya terperap dalam rumah.   Shafina kembali masuk kebilik setelah pelawaan makan untuk abah dan emak hanya di sambut dingin.

Setelah berfikir panjang, malam itu jam dua pagi dia mengemas apa yang patut termasuk semua sijil-sijilnya.  Alamat Firza, teman sekampusnya yang tinggal di Kuala Lumpur itu turut dibawanya.  Hatinya nekad, dia perlu keluar dari kampung itu.  Shafina menangis lagi.  Matanya sudah bengkak, bibir yang pecah akibat ditampar berulang kali petang tadi diusapnya lembut.   Jam lima pagi dia keluar dari rumah.  ditinggalkannya sepucuk surat untuk emak dan abah.   Hanya  linangan air mata saja yang mengiringi kepergiannya.

*******************************************************************

“Ya Allah, Shafina..apa halus benar siang bayam tu? Dah macam nak bagi baby makan aje…eh kata tadi nak masak sup sayur, yang kau pergi siang bayam buat apa?”  lamunan Shafina serta merta hilang mendenar suara nyaring Firza.  Bayam ditangannya diperhatikan.  Astarafirullah halazim…jauh betul aku mengelamun.

“Kenapa ni?  kau berangan ye?”  usik Firza.   Tangannya lincah memotong carot untuk sup sayur.

“Tak delah”  Shafina membawa bayam yang hendak dicuci ke sinki.

“Mata kau berair, menangis lagi ke?” bahunya disentuh lembut oleh Firza.  Pantas dia menggeleng.  Firza masih memerhatikannya.

“Sudahlah tu..banyakkan bersabar”  Shafina melemparkan senyuman manis.  Dia tak mahu Firza berasa susah hati kerananya.   Firza sudah banyak membantu sejak mula dia sampai ke Kuala Lumpur ini lima tahun lalu.  Dia dan along yang menjemput Shafina di perhentian bas dan menumpang di rumah along sehinggalah keduanya mendapat pekerjaan dan menyewa rumah lain yang lebih berdekatan dengan tempat kerja masing-masing.  Dia memang banyak terhutang budi pada gadis baik ini.

Tanpa buang masa, Shafina terus ligat di dapur.  Dia menggulai masak lemak ketam, selepas itu dia menumis sambal udang pula selesai semua masakan berat dia terus menyediakan sup sayur.  Manakala Firza hanya menggoreng daging tetapi kelam kabutnya mengalahkan dia yang masak semuanya.

Jam lima petang mereka selesai menyediakan hidangan.  Shafina masih mengemas dapur manakala Firza menyediakan meja makan.  Walaupun masih awal, dia sengaja mahu bersedia awal kerana Qayyum akan menjemputnya sekejap lagi.  Mereka hendak ke Pasar Ramadhan untuk membeli sedikit kuih muih.

“Fina, Qayyum dah sampaila.  Aku pergi dulu yek”  laung Firza..

“Ok, tapi jangan beli banyak sangat kuih yang mengarut nanti tak habis membazir pula”  Shafina menghantar Firza keluar.

“Ok, aku pergi dulu.  kau tu pergi mandi dulula.  Dah bau masam..hahaha”  Firza bergurau serentak dengan itu lengannya dicubit Shafina.

“Pandai mengata aku ye..”  Shafina membulatkan matanya.

“Ok, gurau je..bye”  Shafina melambai.

“Fina tak nak joint pergi sekali ke?”  pelawa Qayyum.  Shafina menggeleng saja.  Sepeninggalan Firza, Shafina mengemas ruang tamu sebelum ke bilik air membersihkan diri.  Setelah solat asar dia terus ke dapur menghidang apa yang patut.  Jam menunjukkan ke angka 6.30 petang.  Baru saja dia hendak memetik suis cerek letrik kedengaran orang memberi salam.  Lekas-lekas dia menyahut salam dan membuka pintu rumah. Tersenggul along dan isterinya Kak Arina.  Shafina bersalaman dengan mereka dan menjemput mereka masuk.

“Masuklah long, Kak Arina”  Arina menghulurkan plastik-plastik bungkusan makanan kepadanya.

“Amboi banyaknya, kita dah masak banyak ni”  mereka ketawa serentak.

“Fina masak apa hari ni?”  Along bertanya sebaik menuruti isterinya ke dapur untuk menolong Shafina membancuh air.

“Banyak, tapi along ngan Kak Rin kena habiskan siapa suruh beli banyak-banyak lagi ni.  Firza belum balik ni, tah apalah dia beli lagi tu agaknya”  Shafina mengangkat air diaturnya gelas.  Mujur meja makan mereka cukup untuk enam orang.

“Assalamualaikum…” Firza memberi salam.  Dia menjinjit air soya di tangan.

“Waalaikumusalam, masuk Qayyum”  Along berbual-bual dengan Qayyum di anjung rumah.  Manakala Shafina, Firza dan Arina sibuk berhidang.  Hampir jam 7.00 malam mereka berehat sambil berbual kosong saja di dapur.  Telefon bimbit berbunyi nyaring.

“Along punya phone tu, dia tinggalkan kat sini?”  Arina memberi telefon bimbit itu kepada suaminya.

“Assalamualaikum…ha mana kau ni aku dah dekat ½ jam sampai kau tak muncul-muncul lagi.  ha, betullah tu. Ok aku tunggu depan rumah sekarang”  Firza dan Shafina hanya memandang kehairanan.

“Siapa kak?”  soal Firza.

“Shafiq, kawan along.  Along ajak berbuka kat sini sekali.  Bolehkan?”

“Oh tadikan ada along bagitau..boleh apa pulak tak bolehnya kan Fina”  Shafina hanya membalas dengan senyuman.  Beberapa minit kemudian, kawan Along, Shafiq muncul di hadapan rumah mereka.  along menjemputnya masuk.

“Masuk Shafiq, jangan malu-malu.  Ini bakal adik ipar aku Qayyum, ini adik aku Firza.  Engkau pernah jumpa dia kot masa dinner company kita last year dan yang ni pulak kawan Firza merangkap adik angkat aku Shafina”  Shafiq bersalaman dengan Qayyum dan cuma mengganguk apabila diperkenalkan kepada Firza dan Shafina.  Matanya tertancap kepada seraut wajah mulus Shafina.  Hatinya tiba-tiba jadi berdebar-debar.

“Ehem…kot iye nak berkenan dengan adik angkat aku ni janganlah pandang dia sampai macam tu sekali…” gurauan Along mencetuskan gelak ketawa mereka yang lain, cuma Shafina saja yang sudah merah muka.  Lekas-lekas dia minta diri ke dapur.  Beberapa minit kemudian, Azan maghrib berkumandang.  Mereka berbuka alar kadar dan terus menunaikan fardhu margrib.  Usai solat barulah mereka menghadap nasi.  Sambil makan mereka berbual cuma suara Shafina saja yang kurang kedengaran dia lebih suka mendengar dari menyampuk tambahan pula kehadiran orang lain membuatkan dia berasa segan.

“Sedap betul masakan ni semua..boleh bukak restoran..ni mesti Fina yang masakkan?”  puji Kak Arina. Diakui oleh mereka yang lain.

“Kitaorang berdua kak, bukan Fina sorang”  kata Shafina, Firza hanya tersenyum simpul.

“Fina dah lah..Along bukan tak tahu adik along tu bukannya reti masak sangat..”  kata Along menyakat Firza.   Firza selamba saja.

“Alah orang dah kahwin nanti, pandailah..tak pun kita makan kedai aje kan Qayyum?”  Qayyum tergelak kecil.

“Mana boleh..orang nak pikat suami kena pikat perutnya dulu tau”  Kak Arina menyambung.

“Betul tu..” disokong pula oleh Along.

“Yelah, yelah..nanti 2 bulan sebelum kahwin orang berguru dengan Fina dengan akak ye”  Kak Arina mengangguk.

“Shafiq, tambah nasi?.  Selera betul aku tengok kau makan gulai lemak ketam tu diam tak terkata nampaknya? Macam tengah test masakan bakal isteri aje”  along mengusik, mengundang tawa mereka.  Shafiq hanya tersenyum simpul.  Malu ditegur begitu.

“Eleh malu-malu pulak, Fina tambahkan nasi dekat Shafiq tu nak ambil sendiri dia segan”  Shafina tersentak, dia mengangkat muka tidak disangkanya Shafiq turut sama sedang memerhatikan dirinya lantas cepat-cepat dia mengangkat mangkuk nasi yang berhampiran dengannya lalu dihulurkan kepada Shafiq.  Malu-malu Shafiq mengambilnya.

Selesai makan mereka berehat di ruang tamu.  Sengaja Shafina menyibukkan diri di dapur mengemas apa yang patut.  Nescafe yang dibancuh diletakkan di sebuah meja bulat di ruang tamu.

“Jemputlah minum”  kata Shafina sambil menuangkan air tersebut kedalam cawan.

“Duduklah Fina, dari tadi Akak tengok tak berhenti-henti kau dekat dapur tu.  Joint us borak-borak”  Kak Arina mengesot sedikit memberi ruang kepada Shafina duduk di sebelahnya.

“Fina memang macam tu, dia rajin bab-bab masak, kemas ni semua”  Shafina menjeling ke arah Firza yang dirasakan seperti sengaja mempromosikan dirinya.  Siap kau nanti Firza!

“Memanglah, along tau adik along ni yg malas.  Asyik-asyik dok buli Fina aje.  Dah kahwin nanti jangan malas lagi tau.  nanti kesian Qayyum hari-hari kena makan kedai”  Qayyum mengangguk tanda setuju.  Kelat wajah Firza di perli abangnya.

“Alah along ni, mana ada..nanti orang taulah” rengek Firza manja.  Kelakuannya itu mengundang gelak ketawa mereka.

“Shafina, sebenarnya Abang Shafiq ni lah bestfriend Along yang selalu along cerita tu.  Kami kenal dekat Lincoln University masa belajar kat Canterbury, New Zealand dulu..tapi dia ni balik ke Malaysia lambat..konon-konon rasa nak kerja kat negara orang dulu.. “  Shafina mengangguk.  Memang dia ingat along kerap juga ceritakan tentang sahabat baiknya itu kepada mereka.  Cuma baru hari ini dia berkesempatan mengenali lelaki itu.

“Dia pun orang Jerantut tau, sama macam Fina”  sambung Along lagi.  Shafina terkejut.

“Oh, Fina orang Jerantut juga ye? Kat mana tu?”  soal Shafiq.  Bila teringatkan kampung halamannya hati Shafina dipagut rasa pilu tetapi sehabis baik dia cuba untuk menutupinya.

“Dekat taman LKNP”  jawab Shafina perlahan.

“Eh samalah, rumah Shafina peringkat berapa?”  Shafina terkejut lagi.  Satu kampung rupanya.

“Peringkat 1, awak?”  Shafiq mengangguk sambil tersenyum.

“Rumah mak ayah saya di peringkat dua.  Tapi tak jauhkan..”  Shafina mengangguk.

“Dulu kami tak tinggal di sana sebab ayah saya anggota Polis.  Bila dia pencen dalam 10 tahun lepas baru kami balik kampung.  Waktu tu saya baru habis SPM duduk Jerantut itupun tak lama dalam setahun lebih dapat tawaran ke New Zealand pulak”  terang Shafiq panjang lebar.

“Shafina, mak dengan ayah ada lagi?”  pertanyaan itu kembali menyentak tangkai hatinya.

“Ada..”  Firza memandang simpati.  Mereka semua kecuali Shafiq mengerti kemelut dirinya dan keluarga.

“Eh borak aje, minumlah.  Sejuk nanti tak sedap.  Macam mana esok? nak terus ke tapak ke?”  Along sengaja mengubah tajuk perbualan apabila dia menyedari wajah sayu Shafina mula kelihatan.  Beberapa minit kemudian Shafina meninggalkan mereka untuk menunaikan solat ishaq.

“Fina, dah siap? Jom keluar, diaorang semua dah nak balik”  Shafina yang baru saja selesai melipat sejadah mengangguk.  Sebelum keluar dia membelekkan wajahnya di hadapan cermin.  Tadi sewaktu berdoa hatinya semakin pilu lalu tanpa sedar airmata mengalir laju bila mengingatkan kedua orang tua yang ditinggalkannya.  Entah kenapa kebelakangan ini hatinya mudah sahaja tersentuh.  Ingatannya semakin kuat mengingati kedua orang tuanya.  Mak dan Abah sakit kah?  Hatinya tertanya-tanya.   Setelah memastikan keadaan dirinya baik dia segera keluar tak mahu orang lain menyangka yang bukan-bukan.

“Maaf lambat sikit” kata Shafina sebaik saja keluar daripada bilik.  Mereka semua tersenyum memerhatikannya.

“Akak balik dulu, nanti senang-senang datang rumah tau”  Shafina bersalaman dengan Arina.  Pipi wanita itu diciumnya kiri dan kanan.  Arina sudah dianggapnya seperti saudara sendiri.

“Along minta diri dulu, jangan sedih-sedih ye”  bisik along tetapi sempat didengar oleh Shafiq yang berada betul-betul di belakangnya.

“Saya balik dulu Shafina,  nanti bolehlah balik kampung sekali yek?” ujar Shafiq bergurau.  Shafina tersenyum saja. Mengiakan tidak, menidakkan pun tidak juga.

“Terima kasih kerana sudi datang”  katanya lembut.

“Sama-sama”

“Amboi romantiknya” pinggang Shafina dicucuk dari belakang sejurus selepas mereka semua masuk kedalam kereta masing-masing.  Terkejut bukan kepalang dia dibuatnya.   Firza direnungnya bagaikan mahu ditelannya hidup-hidup.

“O…tadi bukan main promote kan aku ye? Sekarang ni kau terimalah pembalasannya”  tanpa membuang masa Firza terus melarikan diri tapi lengannya sempat di capai Shafina.  Pipi gebunya jadi sasaran Shafina untuk dicubit.  Mengaduh kuat dia dibuatnya dan Shafina tergelak melihat telatah Firza.

“Ha, tu lah pandai-pandai up aku tadi apsal?”  kata Shafina menghabiskan sisa tawanya.  Firza mengurut-urut pipinya yang perit dicubit Shafina.

“Alah, apa salahnya.  Lagipun Abang Shafiq tu nampak macam berminat aje dengan kau.  Tengok tu bersinar mata dia tengok engkau masa along kenalkan tadi”  Firza membela diri.

“Abang?” Shafina mencebik.

“Yelah, betul apa..dia kan dah 30 tahun.  Sebaya along, kenalah panggil abang”  Shafina buat tak layan saja dengan usikan Firza.  Malas dia nak fikir perkara yang kurang penting.  Hatinya kini satu saja, samada ingin pulang atau tidak beraya di kampung tahun ini.  Dia sudah mula berfikir tentangnya sejak awal puasa lagi.  kini hanya tinggal dua minggu saja untuk dia membuat keputusan.  Along, Kak Arina, Firza mahupun Qayyum sudah berbuih mulut menasihatinya supaya pulang, tapi cukup kuatkah dia menempuhi?

*******************************************************************

“Aku dah buat keputusan, raya kali ni aku nekad nak balik kampung Firza”  kata Shafina.

“Ye ke? Alhamdulillah, akhirnya hati kau terbuka juga nak balik”  Firza memeluk Shafina erat.

“Petang ni teman aku pergi beli tiket ye kat Pekeliling”  kata Shafina separuh mengharap.

“Boleh aja. Raya tinggal lagi 4 hari saja..engkau dah beli baju ke kuih raya ke untuk parents kau?”  Firza bertanya.  Shafina tersenyum saja, dia terus membuka almari pakaiannya.  Dia keluarkan sebuah beg kertas yang agak besar bentuknya itu dan dihulurkan kepada Firza.  Pantas Firza mencapai.  Segala isi perut yang ada di dalam beg itu dikeluarkan.  Matanya memandang tidak percaya.

“Baju-baju tu semua aku beli sejak 5 tahun lepas.  Setiap tahun aku beli kemudian aku simpan dalam almari ni.  Nak balik..aku tak punya kekuatan”  kata Shafina sebak sebelum sempat Firza bertanya.

“Aku gembira dengar keputusan kau kali ni”  tak semena-mena Firza mengalirkan air mata sebak dengan nasib diri sahabat baiknya itu.

“Lah, kata gembira yang engkau pulak menangis ni kenapa? Aku okey lah”  Shafina tersenyum kecil.

“Yelah aku sedih, sebab teringat tiap tahun kau raya sorang-sorang kat rumah kita ni..ajak balik kampung aku, kau tak nak”  Shafina menghampiri Firza.  Bahu rakannya itu diraihnya.

“Aku harap abah dan mak masih terima aku sebagai anak mereka”  kata Shafina penuh mengharap.

“Insyaallah”  Firza mengangguk.

Petang itu mereka ke Perhentian bas Pekeliling.  Malang sungguh nasib Shafina kerana semua tiket sudah kehabisan.  Tiket bas tambahan juga sudah kehabisan.  Wajahnya penuh kehampaan.  Dia menyesal kerana terlambat buat keputusan.

“Macam mana ni?”  suara Shafina kedengaran lirih.  Firza memandang simpati.  Dia juga buntu memikirkannya.  Disuruh bawa keretanya saja pulang ke kampung dia tak mahu, tak berani nak bawa katanya.  Firza tak kisah kerana dia akan pulang beraya bersama dengan Along, jadi keretanya tiada siapa yang guna.  Kalaulah perjalanan mereka sehala tentu aja dia menghantar Shafina tapi kampungnya nun di Perlis.  Dah diusulkan kepada Shafina supaya menyewa teksi pun gadis itu tak mahu juga.  Takut pula katanya.  Firza menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.  Wajah keruh Shafina ditatap lagi.

“Tak apalah, kita balik dulu fikir macam mana nak buat.  Dah, jom kita pergi cari tempat nak berbuka.  Dah pukul 6.00 petang.  Tempat ni pun dah makin sesak.  Jom”  Firza menarik tangan Shafina.

Sepanjang berada di dalam kereta Shafina diam saja.  Firza menggelengkan kepala.  Itulah kalau buat keputusan awal-awalkan senang.  Rungutnya dalam hati saja tak mahu diluahkan bimbang pula Shafina merajuk.

“Kita nak makan kat mana ni?”  soal Shafina tiba-tiba.

“Aku ingatkan mulut tu dah kena kunci.  Dari tadi dok diam aku pun naik rimas”  Shafina tersenyum mendengar bebelan Firza.

“Aku rasa nak makan masakan kampung la hari ni….”  Firza tersenyum.

“Ha, ni aku nak bawak kau pergi restoran Chef Ismail le ni.  Restoran Rebung, amacam? Orait?”  kata Firza girang.

” Ok”

Sesampainya di restoran itu,  jam sudah menghampiri 7.00 petang.  Mujur juga masih adalagi tempat kosong.  Sejurus selepas azan berkumandang mereka berbuka puasa dengan penuh selera.

“Ayam kampung tadi tu best betullah”  kata Firza sebaik keluar dari restoran untuk menuju ke surau.

“Kata nak boikot?”  Shafina tersenyum perli.

“Ayam kampung tak apa..tak ada kena mengena dengan ayam bandar”  jawab Firza sambil ketawa.

“Ayam bandar? Ada-ada je kau ni..”

“Eh, Firza…Fina”  serentak kedua gadis itu menoleh.

“Buka puasa kat sini ke?”

“A’ah, Abang Shafiq pun berbuka kat sini juga? Tak nampak pun tadi”  ujar Firza.

“Abang dok kat ceruk sana dengan officemate.  Nak balik dah ke?”  soal Shafiq.

“Tak, nak pergi surau depan tu, solat maghrib dulu.  Lepas ni nak pergi Jalan Tuanku Abdul Rahman”  laju saja Firza memberitahu rancangan mereka.  Shafina mengetap bibir geram.

“Abang pun nak pergi solat juga ni..jomlah”  Shafiq berjalan mendahului mereka berdua.

Ketika menuruni tangga surau setelah selesai solat Shafina terkejut melihat Shafiq sudah menunggu mereka.  Shafiq mengajak mereka minum-minum sambil berbual.  Cepat saja Firza menyetujuinya.

“Memang sengaja nak berbuka kat luar ke hari ni?”  tanya Shafiq selepas menghirup sedikit Nescafe panasnya.

“Tadi pergi pekeliling cari tiket” sahut Firza.

“Cari tiket?”  soal Shafiq seraya memandang ke arah Shafina.  Shafina mengangguk.

“Ni lah minah ni last minute baru nak cari tiket, mana nak dapat lagi.  Sold out!.  Tak tahu nak balik dengan apa..suruh bawak kereta Firza dia tak mahu, takut pulak katanya.  Suruh naik teksi pun penakut gak..kalau ada flight pergi kampung dia tu kita dah suruh dia naik, Abang Shafiq..”  Firza membebel.  Dalam hati Shafina nak tergelak juga melihat mulut Firza yang dari tadi tak reti diam.   Shafiq tergelak kecil.

“Tak pelah, besok nak try cari tiket keretapi”  kata Shafina selamba.

“Buat apa susah-susah, kenapa tak contact saya?  Bukanke kita sekampung? Boleh balik sekali”  Shafiq mengusulkan cadangan.

“Ha’ah, apsal lah tak terfikir dari semalam nak call Abang..ish yelah Fina balik dengan Abang Shafiq je lah..”  Shafina serba salah.  Hatinya meronta nak balik tetapi perasaannya segan pula.  Takkanlah nak tumpang orang yang baru kenal?

“Eh, tak pelah..-”  kata-katanya terhenti bila Shafiq terus menyampuk.

“Tak apa..Fina fikir dulu, bila-bila call aje saya.  Saya balik petang sehari sebelum raya sebab tak dapat cuti awal”  terang Shafiq.  Akhirnya Shafina mengangguk.

“Lega, sekurang-kurang tak adalah kawan kita ni malam karang menangis sorang-sorang…” Firza ketawa.   Kaki Firza ditendangnya kuat tetapi tanpa sangka dia tersalah tendang pula.

“Aduh”  Shafiq tertunduk mengurut kaki.

“Aa..sorry.. sorry… sorry”  hampir terjerit dia dibuatnya.

“It’s okey”  Shafiq tersenyum geli hati.  Garang jugak rupanya.

Firza yang menyedari kejadian itu menghamburkan ketawa.

“Ha, padan muka kau, tu lah berdosa dengan aku..haha”  Merah padam muka Shafina dibuatnya.    Malu…macam mana boleh tertendang kaki dia pulak ni..aduh  mana nak letak muka ni..menyorok bawah meja boleh tak?

*******************************************************************

3

Oleh kerana tiket keretapi pun sudah habis dijual,  Shafina terpaksa memberanikan dirinya menghubungi Shafiq.  Dengan senang hati pemuda itu berjanji akan mengambilnya selepas asar petang esok.  Berkobar-kobar dia mengemas apa yang patut.  Baju raya untuk abah dan mak.  Biskut-biskut raya yang diborongnya dengan Firza malam semalam hampir satu kotak sederhana.  Siap berkemas, dia terus membersihkan diri dan menunaikan solat asar.  Dalam doanya, tak putus-putus meminta kepada Allah S.W.T agar melembutkan hati mak dan abah agar sudi menerima dirinya semula.

“Tu dia, mak aii konon tak mahu tumpang orang tu, alih-alih sampai 2,3 beg dia angkut.  Macamlah dah tak nak balik sini lagi”  tegur Firza yang muncul dimuka pintu bilik setelah dia selesai bersiap.  Teguran Firza dibalas dengan senyuman sahaja.  Firza yang masih berdiri di depan pintu bilik melangkah keluar apabila terdengar suara orang memberi salam.  Firza meninjau dari celah tingkap ruang tamu.  Dilihatnya Shafiq sedang berdiri diluar pintu pagar,  Firza lantas membuka pintu rumahnya.

“Abang Shafiq masuklah, kejap Firza panggilkan Fina”   Shafiq mengangkat tangan dan mengangguk.

“Cik kak, Prince Charming kau dah sampai”  Shafina bingkas bangun mengheret begnya.

“Pandai-pandai aje kau ni, mulut tu cover sikit kalau dengar dek dia tak ke malu aku dibuatnya.  Sudahlah menumpang orang, nanti dia kata aku lebih-lebih pulak”  bebel Shafina.  Firza tergelak sinis.

“Ala apa salahnya, aku tengok dia pun macam minat je dengan kau”  usik Firza lagi.

“Ish, sudahlah tu..tang merepek engkaulah yang nombor satu.  Nah tolong angkat kotak ni ye..terima kasih”  Firza tanpa buang masa terus mengangkat kotak yang dimaksudkan.

“Uihh beratnya, kau bawa balik batu ke kayu ni?”  Shafina tergelak.

Shafiq yang berada diluar rumah membantu memasukkan beg kedalam Toyota RAV4 Sport miliknya.

“Ok,  aku pergi dulu Firza, doakan kitaorang selamat pergi, selamat pulang ye”  Shafina memeluk erat Firza.

“Tenangkan hati, jangan fikir yang bukan-bukan.  Selamat Hari Raya Fina, maafkan segala salah silap aku ye, 0-0 kan?”  usik Firza dan Shafina tersenyum.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri Firza, aku pun nak minta maaf dengan kau..jangan lupa datang kampung aku nanti tau, alamat aku dah letak kat atas meja kau tadi.  Kirim salam dengan Along, Kak Rin dan mak ayah kau sekali ye”  Firza mengangguk.  Sekali lagi dia memeluk sahabatnya itu.

“Firza balik kampung pukul berapa ni?”  soal Shafiq yang sedari tadi hanya memerhatikan gelagat dua sahabat itu.

“Kejap lagi Along datang ambil.  Abang Shafiq, Selamat Hari Raya.  Bawak kereta tu baik-baik tau jangan laju-laju.  Bawak anak dara orang tu..”  sempat lagi dia mengusik.  Shafiq tergelak.

“InsyaAllah..jangan risau.  Kalau abang terbawak laju mesti ada orang tegur nanti.  Selamat Hari Raya, kitaorang pergi dulu ye.  Assalamualaikum”  kata Shafiq sambil mengangkat kening.  Shafina buat selamba saja.

“Waalaikumusalam” jawab Firza yang masih tersenyum-senyum melihat mereka berdua.

Shafina melambaikan tangan ke arah Firza.  Rasa hatinya bercampur baur antara gembira, sayu dan bimbang.  Dia lebih banyak mendengar celoteh Shafiq daripada menyampuk, cuma sesekali saja kedengaran suaranya bercerita.  Radio yang dipasang turut menjadi teman mereka sepanjang perjalanan.  Walaupun kereta agak banyak namun perjalanan mereka masih lancar.

“Lagu raya saja dari tadikan, rasa tak sabar nak sampai kampung.  Saya dah hampir dua bulan tak balik..asyik kena pergi site je..”  kata Shafiq.  Shafina memandang sekilas dan tersenyum.  Dia pun rasa begitu, rasa tak sabar nak peluk dan cium kedua orang tuanya tapi cukup kuatkah? .  Apapun kali ini dia sudah bertekad,  dia akan sujud di kaki kedua orang tuanya memohon kemaafan.

Shafiq yang baru dua bulan tidak berjumpa dah rasa tak sabar apatah lagi dia yang dah lima tahun meninggalkan kampung.  Agaknya macam manalah perubahan kat sana.  Fikir Shafina.

“Saya kalau dah pergi site bukan boleh duduk sana sehari dua, selalunya 3/4 hari.  Semua dah okey baru senang hati nak balik”  Shafiq menyambung kata.

“Kat mana tapak projek awak tu?”  tanya Shafina berminat.

“Sekarang ada 2 projek tengah jalan serentak.  Satu kat Johor Baharu satu lagi dekat Penang.  Itu yang bergilir dengan Firhan.  Letih juga tapi nak buat macam mana dah tugas”  terang Shafiq lagi, Shafina mengangguk setuju.  Shafina tahu juga serba sedikit kerana Firhan, abang Firza itu sering kali menghantar isterinya yang sedang mengandung itu ke rumah mereka tiap kali dia ke luar daerah.

“Eh, saya suka lagu ni.  Rasa sayu je kan..”  Shafina mengiakan kerana lagu ini memang kena benar dengan dirinya.   Mereka masing-masing terdiam menghayati bait-bait lagu daripada penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza itu.

Sayu… hati ini makin sayup
Rindu… terkenangkan desa permai
Wajah ayah bonda bermain di mata
Mengajak ku pulang ke desa
Di hari bahagia hari raya

Lama kutunggu
Bertemu di pagi mulia
Namun tidak kesampaian
Airmata jatuh berlinangan

Kuingin berulang manisnya bersama
Menyambut hari bahgia
Jarak memisahkan rindu pertemuan
Bilakah hasrat jadi nyata

Jam sudah hampir ke angka 6.45 petang, mereka mengambil keputusan untuk singgah ke Temerloh dulu untuk berbuka dan solat maghrib.  Shafiq memberhentikan keretanya di sebuah restoran.  Restoran itu agak penuh tapi masih ada ruang untuk mereka berdua.  Mereka memesan makanan yang sama iaitu Nasi Beriani dengan Ayam masak merah serta Air Sirap Bandung.

Sementara menanti waktu berbuka mereka berbual lagi.  Serba sedikit Shafina mula mengenali pemuda dihadapannya ini kerana Shafiq jenis orang yang suka bercerita.  Mula-mula Shafina segan juga tapi lama kelamaan dia rasa biasa kerana sifat Shafiq yang ramah membuatkan dia rasa selesa.

“Nama ayah Fina siapa?  Manalah tahu saya kenal ke?”  Shafina terdiam.

“Safuan Abdullah”  jawabnya pendek.

“Erm..Safuan Abdullah?..ermm tak perasan pulak..tapi tak apa kejap lagi saya kenal juga”  kata Shafiq tersenyum.  Shafina membalas senyumannya.

“Saya ni kalau balik, ikut ayah ke masjid besar tu mesti jumpa dengan sorang pakcik ni.  Dia suruh saya panggil dia Pak Wan aje.  Baik orangnya, selalu nasihat saya macam-macam.  Kalau balik tak jumpa dia memang rasa tak sah, dia pun memang rapat dengan ayah saya.  Selalu pergi memancing sama-sama, bila saya balik saya joint juga, kalau x mincing kitaorang pergi Lata Kasah, mandi air terjun.  Itu yang secara tak langsung saya jadi rapat dengan dia.

Saya pernah tanya mana anak dia, sebab tiap kali saya ke rumahnya tak pernah pulak nampak anak-anak dia ada bila tanya dia terus senyap.  Ayah saya pun tak bagi saya tanya macam-macam.  Entahlah mungkin diaorang tak nak ungkit kisah lama.  Tapi saya kesian dengan orang tua-tua macam tu, anak dia tak tahulah pergi mana.  Kita ni walaupun duduk di bandar kena juga sekali sekala tengok mak ayah di kampung.  Ini tidak sesetengah tu langsung tak menjenguk bertahun-tahun.  Dah tak ingat asal usul lagi..betul tak Fina?”   Shafina rasa terpukul laju saja dia mengangguk.  Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Sesungguhnya dia kehilangan kata-kata.  Dadanya terasa sempit,  sebak menyelubungi diri.

“Saya minta diri ke bilik air kejap”  Shafina bangun.

“Fina okey ke? Pucat je tu”  Shafina mengangguk.  Dia berjalan pantas. Terasa ada air hangat di tubir mata.   Entah kenapa dia terasa benar dengan kata-kata Shafiq walaupun tahu pemuda itu sudah tentunya tidak tahu sejarah hidupnya.

Dia bukanlah anak yang tak mengenang budi, bukan juga anak yang lupa pada asal usulnya.  Dia pergi kerana kecewa, dia pergi untuk mencari harga diri.  Lima tahun satu jangka masa yang agak lama.  Bukan dia tak mahu pulang tetapi hatinya masih belum cukup kuat.  Tetapi kini dia sudah tidak peduli lagi tentang tohmahan orang mahupun marah emak dan abah pada dirinya.  Apa yang penting ialah memohon keampunan.  Shafina kuatkan diri, dia memandang dirinya di depan cermin.  Air mata di seka perlahan.  Setelah yakin baru dia melangkah keluar.  Aku harus kuat!

“Awak okey ke?”  tanya Shafiq sebaik saja dia duduk.  Shafina mengangguk dan tersenyum.  Shafiq perhati wajah Shafina yang agak murung sejak tadi.  Walaupun dia sentiasa tersenyum tetapi Shafiq perasan riak wajahnya yang muram cuma dia tak mahu bertanya kerana bimbang gadis ini berkecil hati.

Apabila azan berkumandang, mereka berbuka puasa.  Sebelum meneruskan perjalanan pulang mereka singgah di Masjid Temerloh untuk bersolat maghrib.  Jam menunjukkan pukul 8.00 malam ketika mereka memulakan perjalanan semula.

Sepanjang perjalanan Shafina hanya berdiam diri.  Shafiq tidak pula mengganggunya mengelamun.  Mungkin ada sesuatu yang disorokkannya.  Kata hati Shafiq tetapi tidak berniat mahu mencungkilnya.  Biarlah dia tenang fikirannya dulu.

“Kenapa senyap je Shafiq?  Dah tak sudi nak berbual dengan saya ke? Shafina mengusik.  Soalan Shafina memecah kesunyian.  Shafiq yang terkejut tergelak kecil.

“Saya tak berani nak cakap apa-apa tengok muka awak tu serius aje, macam nak makan orang”  ujarnya berseloroh.  Segaris senyuman terlakar di bibir Shafina.  Cantiknya dia.  Senyumlah lagi…kata hati Shafiq, nakal.

“Kalau awak selalu senyum macam tukan bagus”  Shafina menjeling kemudian mencebik.

“Kalau awak tak ada cerita, saya nak ceritakan pada awak satu kisah..awak nak dengar tak?”  kata Shafina tiba-tiba.  Kening Shafiq berkerut.

“Nak, ceritalah”  jawab Shafiq berminat.

“Kisah ni kisah lima tahun lalu tentang sorang gadis yang……”   Shafina bercerita sehingga tiada satu pun episod yang tertinggal.  Shafiq yang mendengarnya langsung tidak menyampuk.  Apabila keretanya hampir sampai di Masjid besar Jerantut barulah Shafina selesai bercerita.

“…….dan gadis itu ialah…………….. saya,  Shafina binti Safuan.  Pak Wan yang awak kenal tu tentunya abah saya…………..”  Shafina menutup ceritanya dengan mata yang berair.  Shafiq yang mendengarnya tergamam.  Lama dia terdiam sebelum bersuara, Shafina juga dilihatnya melayan perasaan.

“Sabarlah Fina, saya yakin mereka tentu akan terima awak semula”  Shafina mengangguk.  Hatinya rasa lega, kerana sudah meluahkan apa yang terbuku di dada.

Shafiq membelok ke kiri, mereka kini hampir sampai ke destinasi yang dituju.  Shafina menunjuk arah rumahnya.  Dari jauh Shafina lihat lampu di ruang tamu dan dapur terpasang.  Hatinya yang rawan tambah berdebar.

“Selawat banyak-banyak”  pesan Shafiq dan Shafina mengangguk.  Kereta Shafiq berhenti betul-betul di dalam kawasan perkarangan rumah Shafina.  Keadaannya masih sama seperti dulu, bersih dan menyamankan.  Pokok-pokok bunga kertas yang pelbagai warna menghiasi lorong sepanjang ke rumah mereka.  Ah, Abah memang seorang yang rajin.  Sempat juga dia bermonolog.

Debaran jantungnya makin laju.  Mereka keluar dari kereta,  Shafina tertinjau-tinjau.  Dalam samar kelihatan seseorang keluar dari arah pintu dapur dan menjenguk.  Tanpa menunggu Shafiq, dia terlebih dahulu berlari ke pintu dapur.

“Mak…mak”

Mak Munah yang tergamam, turut keluar berlari mendapatkan anaknya yang sangat dirinduinya selama ini.

“Ya Allah,  Fina ke ni?”  Shafina terus memeluk emaknya erat.  Tiada kata yang mampu diucapkan.  Hanya linangan airmatanya saja penganti bicara.

“Ampunkan Fina mak, ampun kan Fina…”  Shafina merintih pilu.  Mak Munah memeluk anaknya erat.  Dia segera membangunkan Shafina yang sudah rebah memegang lututnya.

“Fina tak salah, tapi mak dan abahlah puncanya.  Sudahlah tu nak.  Akhirnya tergerak juga hati kau nak balik”  dalam sedu sedan dia bersuara.

“Shafina?  Shafina anak abah”  Safuan menuruni anak tangga dengan laju.  Airmata yang mengalir di pipi dibiarkan saja.  Shafina dipeluknya erat, seakan tak mahu melepaskannya lagi.  Ya Allah aku bersyukur ke hadrat mu kerana masih memberi peluang kepadaku untuk menatap wajah anakku sebelum aku menutup mata.  Safuan berdoa di dalam hati.

“Abah…….ampunkan Fina…ampunkan Fina, Abah…..”  hatinya terlalu rawan melihatkan penerimaan kedua orang tuanya.  Shafina mengucup tangan abah berulang kali.  Rasa bersalah bertindan-tindan di dalam hati.

“Abah…mak ampun Fina…”  kali ini dia memeluk kaki abah pula.  Cepat-cepat bahunya diraih oleh abah.

“Dah lama abah ampunkan, sebenarnya kamilah yang bersalah..lepas seminggu kamu pergi, kawan kamu Surina dan keluarga dia datang.  Keluarga Surina paksa juga Rizal supaya bertanggungjawab seperti yang kamu ceritakan dalam surat yang kamu tinggalkan tu. Akhirnya kenduri yang sepatutnya untuk kamu dengan Rizal dah bertukar pasangan.

Apapun kami lega kerana dia tak jadi menantu kami, tapi kesal kerana kami, kamu melarikan diri Fina”  kata abah penuh hiba.  Mereka tiga beranak berpelukan.  Tiada kata yang mampu diluahkan hanya memanjat kesyukuran dan berdoa agar kebahagiaan yang diberi Allah S.W.T kali ini tidak akan terselit titik hitam dalam hidup mereka lagi.

Pertemuan syahdu itu membuatkan naluri hati Shafiq berasa sayu.  Dia berasa kasihan dengan Shafina, dalam masa yang sama dia juga kasihan dengan kedua orang tua Shafina.  Dalam hal ini dia tidak menyalahkan sesiapa.  Semua yang berlaku ada hikmah yang tersirat disebaliknya.  Shafiq berdoa di dalam hati semoga selepas ini keluarga Shafina akan terus kekal bahagia.  Dia membuka bonet kereta untuk mengeluarkan barang-barang Shafina.

“Sudah mari kita naik, malu tengok dek orang menangis depan laman macam ni, moh naik”  ujar abah, sempat berseloroh.

“Eh, Fina balik dengan siapa tu?”  tegur Mak Munah.  Baru dia perasan ada seorang pemuda yang berdiri disisi keretanya memerhatikan mereka tadi.  Abah turut memerhatikan pemuda yang sedang mengeluarkan beg dari bonet keretanya itu.

“Ya Allah, lupa nak kenalkan”  Shafina berlari anak memanggil Shafiq.

“Eh, itu Shafiq anak Haji Arshad”  kata abah.

“Assalamualaikum Pak Wan, makcik..apa khabar?”  Shafiq bersalaman dengan Safuan.

“Waalaikumusalam..Ya Allah, betullah Munah, ni anak Haji Arshad, Shafiq….eh macam mana boleh balik berdua pulak ni”  soal abah kelihatan keliru.  Shafiq tersenyum.

“Abah, Fina tumpang Shafiq balik..nanti Fina ceritalah macam mana boleh kenal,  Shafiq mari masuk minum air dulu”  kata Shafina.  Shafiq tersenyum menggeleng.  Jam di tangan di kerlingnya.  Sudah hampir jam 9.30 malam.  Tentu mak dan ayah risau.

“Tak apa Fina, Pak Wan, makcik rasanya biar saya berangkat dulu.  Mak dengan ayah tentu dah ternanti-nanti risau pulak diaorang nanti.  Saya balik dululah.   Jemput datang ke rumah esok ya, Assalamualaikum..”

“Waalaikumusalam..jangan lupa datang ke rumah esok Shafiq..bawa mak ayah kamu sekali..terima kasih banyak sebab bawa balik Shafina dengan selamat.”  Shafiq tersenyum mengangguk sebelum beredar.  Shafina mengekori Shafiq hingga ke kereta.  Dia mengambil tas tangan yang tertinggal di tempat duduk hadapan.

“Terima kasih banyak Shafiq kerana hantar saya pulang dengan selamat dan terima kasih jugak kerana bagi saya semangat..”  Shafina curi-curi menatap wajah Shafiq.  Sekilas Shafiq tersedar dirinya diperhatikan lalu Shafiq membalas renungan itu dan Shafina pantas melarikan pandangannya.

“Sama-sama…saya pun nak ucapkan terima kasih sebab sudi menemankan saya balik kampung.  Selama ni asyik balik sorang je.  Selamat Hari Raya Shafina”  Shafiq memandang Shafina lagi.  Seolah-olah sukar meninggalkan gadis yang mula mendapat tempat dihatinya itu. Tak mengapalah..esok masih ada.  Shafiq tersenyum lagi.  Teruk betul aku ni, kalau ayah dengan mak tahu…

“Selamat Hari Raya Shafiq”  suara lembut Shafina menyapu telinganya lantas tersentak dari lamunan.

Shafina menghadiahkan senyuman manis sebelum melangkah pergi.  Entah kenapa tiba-tiba hatinya bagaikan terselit suatu perasaan indah yang sukar dimengertikan.  Dia tersenyum sendirian.  Kakinya pantas mengorak langkah menuju ke arah kedua orang tuanya yang sedia menunggu di muka pintu.  Harapannya kali ini hanya satu, bahagiakan kedua orang tuanya selagi masih ada hayat.   Shafina menoleh ke belakang sekali lagi.  Shafiq masih disitu memerhatikannya.  Tangannya di lambaikan dan Shafiq membalas seraya tersenyum.   Hatinya berbunga riang.

TAMAT


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

33 ulasan untuk “Cerpen : Kepulangan”
  1. hayeem says:

    sweet!! ;-)

  2. aiza says:

    seronok baca sbb nampak jerantut, taman lknp dan lata kasah.. :smile:

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"