Novel : Aurabidadari 7

28 December 2009  
Kategori: Novel

1,337 bacaan 2 ulasan

Oleh : Nazrina Hussin

Audra mendengus kebosanan. Kenapalah Reena terpaksa mengikut mamanya keluar hari ini? Padahal mereka sudah merancang untuk snorkelling di Pulau Manukan. Seingatnya memang Pulau Manukan sesuai untuk aktiviti menyelam dan beristirahat. Selain itu terdapat juga pulau lain seperti Pulau Sapi dan Pulau Mamutik. Kalau tidak silap rancangan yang mencabar survivor yang pertama di buat di Pulau Tiga.
Sememangnya dia berasa bahagia dapat keluar sekejap dari rumah. Menantikan hari esok cukup sengsara jika seharian berada di rumah ini.
“Bosanlah!” pekik Audra. Mak Senah bergegas masuk kerana terkejut mendengar suara Audra yang kuat itu. Apa kena dengan budak ni?
“Kenapa Audra?” tanyanya. Audra mengelengkan kepalanya. Sekali sahaja dia pekik Mak Senah sudah kelam kabut jadinya. Audra ketawa kuat melihat wajah Mak Senah seperti orang tidak keruan.
“Kenapa terpekik-pekik ni?”
“Bosanlah Mak Senah,” ucapnya. Hendak keluar tapi dia tidak tahu ke mana arah yang harus ditujuinya. Lagipun keluar seorang diri mana seronok. Ajak Mak Senah pun, orangtua itu sudah tentu menolak.
“Kalau bosan bukalah t.v tu,” Mak Senah mengelengkan kepalanya. Itulah keras kepala sangat. Kalau ikut ayahnya ke pejabat tentu dia tidak bosan macam ni. Entah apa yang ada difikirannya? Audra menuruti kata-kata Mak Senah. Mak Senah turut duduk bersama Audra. Dia turut berehat sekejap sebelum memasak. Lagipun Datin keluar, kalau perempuan tu ada di rumah jangan harap hendak melihat Mak Senah hendak bersenang-lenang walau seminit pun tapi kalau dengan Audra semua pun boleh.
Taman Kinabalu terletak 90 kilometer dan dua jam perjalanan dari bandar Kota Kinabalu. Taman ini meliputi kawasan 75,370 hektar. Pusat tumpuan Taman Kinabalu ialah Gunung Kinabalu setinggi 4,101 meter dari aras laut. Salah satu puncak yang tertinggi di Asia Tenggara. Hutan Kinabalu kaya dengan spesis tumbuhan berbunga tidak termasuk tumbuhan berbunga,lumut, paku pakis dan kulat iaitu sebanyak 2000 spesis.
“Mana tempat ni Mak Senah?” soalnya mengerutkan dahinya. Macam aku pernah dengar nama tempat ni, desisnya di dalam hati sambil mengerutkan keningnya tanda berfikir. Matanya beralih semula ke televisyen.
“Alaah, sana Ranau. Gunung Kinabalu pun Audra tidak tahu?” hendak kata minah celup ni pekak mustahil. Mata entah ke mana telinga entah letak di mana? Audra menepuk dahinya. Macamanalah aku boleh lupa dengan gunung yang tertinggi di Malaysia ni. Isk, lupalah aku!
“Sana Ranau?” Audra mengaru kepalanya. Dia bukannya tahu di mana letaknya Ranau tu. Audra melirik ke arah Mak Senah yang tersenyum itu. Eleh, hendak mengenakan akulah tu.
“Lupalah Mak Senah. Rasanya Audra pernah pergi dengan arwah emak sekali. Teruk jalannya, lubang sana sini,” Audra cuba mengingati perjalanan ke Gunung Kinabalu.
“Itu dulu, sekarang ni jalan baik.”
“Macamana Mak Senah tahu sekarang ni jalan baik?” Mak Senah ni macam tahu pula dia yang jalan ke sana sudah baik. Jangan-jangan dia ni sudah sampai ke sana.
“Itulah kalau menonton t.v tu fikiran jangan melayang. Baru sekejap tadi pengacara dalam t.v tu beritahu yang jalan ke sana dalam keadaan baik,” Mak Senah mengenakan. Audra mengetap bibirnya. Amboi, orangtua ni asyik cari kesalahan aku nampak. Audra mencebik.
“Cantiklah Mak Senah,” matanya terus melekat ke arah televisyen. Rupanya ada banyak tempat yang menarik di negerinya sendiri. Baik aku cuti-cuti dalam negeri daripada ke luar negara. Matanya terus tertumpu melihat orang yang sedang mendaki gunung.
“Memang pun cantik,” balasnya turut sama terpikat dengan keindahan yang dilihatnya.
Terdapat orang dusun dan kadazan yang percaya kepada tuhan yang dinamakan Kinorohigan yang bersemadi di dunia lain. Mereka percaya apabila seseorang itu mati roh orang itu akan pergi ke Gunung Kinabalu. Oleh sebab itu, Gunung Kinabalu dinamakan Aki Nabalu. Jampi mantera orang dusun dan kadazan banyak menyebut tentang Nabalu.
“Seram pula Audra hendak ke sana Mak Senah.” Ucapnya setelah mendengar kenyataan suara latar dalam televisyen itu.
“Memang penakut,” usik Mak Senah memandang Audra yang diam mebisu dan memandang siling rumah. Dahi berkerut, mulut terkumat-kamit mesti ada yang sedang di fikirkan anak gadis itu.
“Buat rancangan pun kenalah bagi maklumat yang lengkap. Orang lain hendak bercuti ke sana macamana hendak buat reservation? Lembab betullah…,” bebelnya tidak puas hati. Bersinar matanya apabila melihat nombor telefon yang tetera di skrin televisyen. Pantas otaknya menghafal dan mendail.
Mak Senah memerhatikan telatah Audra yang bercakap dengan bahasa yang memang sepatah pun tidak difahaminya. Sekejap Audra dilihatnya berwajah serius dan sekejap pula tersenyum manis. Mesti ada yang tidak kena dengan minah celup ni.
“Audra bercakap dengan siapa tu?” tanyanya menyibukkan diri hendak tahu.
“Audra hendak naik gununglah Mak Senah,” Audra menyanyi kecil. Kali ini dia akan pergi sendiri. Apa yang hendak dirisaukan? Semuanya pun dalam keadaan yang selamat. Tourist Guide akan menemaninya sepanjang perjalanan. Lagipun seperti yang diberitahu tadi dia akan pergi dalam kumpulan. Duit grandma beri masih ada lagi kalau tidak cukup dia akan minta dengan ayah nanti. Duit Datuk Azri banyak, dia hendak minta sikit pun janganlah berkira sangat. Muzammil tu biarlah dia menyibukkan diri menemani ayah. Kali ini biarlah dia pergi seorang diri. Yeahaaaa!!
“Audra suka sangat buat itu dan ini tanpa minta izin dengan ayah Audra.” Sikap Audra yang satu inilah yang amat tidak disukainya. Suka sangat buat keputusan tanpa meminta izin daripada ayahnya terlebih dahulu. Kecil hati Datuk nanti.
“Setakat naik gunung bukannya hendak ke mana. Lagipun ada orang lain ikut sama. Tourist guide pun ada disediakan,” giatnya nakal. Bersemangat dia hendak pergi setelah melihat rancangan tadi. Nasib baiklah tempahan minggu ini sudah penuh. Mahunya tidak kalau boleh dia akan pergi hari ini. Naik bas bukannya susah sangat.
“Tourist guide tu apa?” Mak Senah mengerutkan dahinya.
“Macam pengawal…sebelum naik gunung Audra hendak ke gym. Biar otot-otot ni kuat dan cepat sampai kalau mendaki nanti. Mak Senah temankan Audra jogging hari ni, senaman boleh membuatkan awet muda,” pujuk Audra sambil menarik tangan Mak Senah lalu digoyangkannya beberapa kali.
“Hendak ke gunung seorang diri tapi bila bab senaman ajak Mak Senah pula.”
“Kalau macam tu Mak Senah sekalilah ikut Audra. Laratkah Mak Senah hendak naik ni?” Audra menjeling manja. Kasihan Mak Senah ni, sejak dia bekerja di rumah ni entah berapa kali dia pergi bercuti. Elok jugalah Mak Senah ikut boleh buatkannya sandwic setiap hari.
“Larat agaknya,” jawabnya disusuli dengan tawanya. Audra pun turut ketawa mendengarkan jawapan lucu wanita itu.
Audra dan Mak Senah berbalas pandangan apabila mendengar bunyi kereta. Hati Mak Senah berdebar apabila mengingatkan dia belum pun memasak lagi. Kenapa dia balik awal hari ni?
“Alamak Datin balik. Mak Senah belum pun masak lagi.” Mak Senah masih lagi memandang wajah di hadapannya itu. Audra ketawa kuat lalu menarik tangan Mak Senah masuk ke dapur. Sebelum sesi soal jawab bermula baik dia menyelamatkan wanita itu.

“MAK SENAH larang tapi dia ni degil,” ucapnya separuh dalam ketakutan. Kalaulah terjadi sesuatu kepada Audra macamanalah dia hendak berhadapan dengan Datuk Azri. Ditegah tapi langsung anak itu tidak menghiraukannya. Semakin laju dia mengayuh basikal. Mak Senah pun semput hendak mengejarnya. Nasib baiklah tuan besarnya itu balik lambat hari ni.
“Mak Senah janganlah bebel tambah sakit kaki Audra ni,” ucapnya mengaduh kesakitan. Hendak menghindar daripada terlanggar kucing akhirnya dia tercampak ke dalam longkang. Muzammil geli hati mendengar ucapan Audra itu. Nasib baiklah dia yang sedang mencuci kereta ketika mendengar jeritan Audra.
“Jangan sentuhlah,” Audra memberi amaran apabila Muzammil memegang buku lalinya.
“Habis tu Audra hendak duduk di sini?” Muzammil belas melihat wajah Audra yang menahan kesakitan. Mak Senah cuba memegang bahu Audra.
“Mari Mak Senah tolong Audra berdiri” Perlahan-lahan Mak Senah membantu Audra berdiri. Namun Audra berasa kakinya sakit dan akhirnya dia terjelopok. Sakitnya, Audra menahan kesakitan. Depan Mak Senah dan Muzammil mana boleh dia tunjuk sakit.
“Mil angkat sajalah…” cadang Mak Senah. Kalau Datuk Azri melihat keadaan anak gadisnya itu dibiarkan begitu saja, tentu dia akan marah. Audra terkedu mendengarkan saranan Mak Senah itu. Tanpa membuang masa Muzammil mengangkat Audra.
“Mak oi beratnya macam gajah,” usik Muzammil. Nampak saja badan kecil tapi beratnya macam mengangkat tong drum. Mak Senah menepuk bahu Muzammil. Waktu macam ni dia sempat hendak mengusik lagi. Mengamuk nanti anak dara orang tu susah lagi.
Audra curi-curi pandang wajah Muzammil. Apabila menyedari dirinya diperhatikan Muzammil tunduk memandang wajah Audra. Merona merah pipi Audra ketika itu dan tiba-tiba degupan jantungnya berdegup kencang.
Muzammil mendudukkan Audra di sofa. Nasib baiklah jarak rumah cuma lima puluh meter. Semput nafasnya mengangkat Audra. Mak Senah muncul dengan minyak urutnya. Perlahan-lahan dia mengurut kaki Audra.
“Ouchhh, sakitlah Mak Senah,” adu Audra. Sebenarnya bukannya sakit sangat tapi sengaja hendak menarik perhatian Muzammil. Lelaki itu kalau sudah bebel mengalahkan dj di radio. Audra mengerutkan wajahnya. Biar nampak macam orang kesakitan.
“Kalau sakit sangat marilah jumpa doktor,” ujar Muzammil belas melihat keadaan Audra ketika itu. Audra tersenyum puas mendengarkan. Nampaknya lakonannya mengena hari ini.
“Sekejap lagi eloklah tu,” Mak Senah menutup tutup botol minyak urutnya. Audra menganggukan kepalanya. Nasib baiklah tidak teruk kalau tidak macam mana hendak mendaki Gunung Kinabalu hujung minggu ni.
“Audra hendak minumlah…” tiba-tiba tekaknya terasa haus.
“Biar Mil ambilkan,” katanya memandang Mak Senah. Mak Senah memandang tajam ke arah Audra yang tersengih-sengih. Memang tidak ada kerja lain minah celup ni. Masa macam inilah dia ambil kesempatan mengenakan. Perintah itu dan ini. Walhal, sakit kaki tu bukannya teruk sangat.
“Ambil kesempatan…” cetus Mak Senah. Audra meletakkan jari tunjuk ke mulutnya mengisyaratkan agar orang gaji rumah itu berkata dengan perlahan, takut didengari oleh Muzammil.
“Minum Audra atau hendak Mil tolong?” katanya ikhlas. Audra mengenyitkan mata ke arah Mak Senah. Orangtua itu mengelengkan kepala. Pasal menyakat orang serahkan saja padanya. Macamanalah Muzammil boleh tidak perasan dia sedang dipermainkan? Memang lembab Muzammil ni.

“AUDRA bangun!” Muzammil mengetuk pintu bilik. Agaknya dia belum bangun lagi. Jam tangan dikerlingnya sekali imbas. Sekarang ni sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Setengah jam lagi mereka sepatutnya berada di receiptionist caunter untuk melapor diri dan menyimpan barang-barang yang tidak perlu di bawa semasa mendaki nanti.
Audra membuka pintu dan tersenyum manis. Melihat puncak Gunung Kinabalu yang diselaputi dengan kabus di waktu pagi menyebabkan dia leka dan tidak sedar untuk mengosongkan bilik itu.
“Sudah lewat ni. Sekejap lagi bas bertolak ke Timpohon.”
“Okey,” katanya tidak lalu menuruni anak tangga dan membiarkan Muzammil di belakangnya. Tidak sabar lagi dia hendak menawan puncak Kinabalu, gunung yang tertinggi di Malaysia. Bukan senang dia hendak menyakinkan ayahnya hendak pergi mendaki. Setiap pagi dan petang dia bersenam dengan ditemani oleh Mak Senah dan Muzammil. Adakalanya dia ke gym dan mengayuh basikal di kawasan perumahannya.
“Kenapa Mil?” soal Audra melihat Muzammil membetulkan bajunya. Sekejap-kejap lelaki itu mengosok-gosokkan tangannya. Muzammil mengelengkan kepalanya, kalau pun dia memberitahu kesejukkan yang dirasainya pasti Audra akan mengetawakannya.
“Cepatlah jalan tu…” bebel Audra memandang Muzammil yang agak ketinggalan jauh.
“Selamat Pagi!” gadis yang berada di kaunter itu melemparkan senyuman ke arah Audra dan Muzammil. Setelah meninggalkan barang-barang yang tidak perlu Muzammil dan Audra menaiki bas untuk pergi ke Timpohon.
Mata Audra tidak berkelip melihat pemandangan sepanjang perjalanan. Diam seribu kata. Muzammil yang duduk di sebelahnya itu beramah mesra dengan pendaki yang lain
“Sekarang ni kita akan sudah sampai di Timpohon, tempat para pendaki memulakan perjalanan. Sepanjang perjalanan saya akan bersama dengan kamu semua. Dalam masa 15 minit lagi kita akan memulakan perjalanan. Kita akan bermalam di Gunting Lagadan dan dijangka sampai dalam pukul 5 petang. Esok pagi lebih kurang jam 4 pagi kita akan bertolak dari Gunting Lagadan dan akan dijangka sampai pada pukul 5.30 pagi Sesiapa yang ada pertanyaan sebelum kita semua naik, silakan kemukakan…” Audra khusyuk mendengarkan penerangan yang diberi oleh Tourist Guide pada hari itu.
“Mil…lamanya hendak sampai?” Audra berbisik perlahan. Muzammil tersengih, cakap bukan main bersungguh-sungguh sebelum datang ke sini. Tadi bukan main lagi Audra pantas berjalan sekarang ni macam kurang yakin saja hendak sampai ke atas tu.
“Kalau penat boleh berehat. Ada pondok rehat di sepanjang naik ke gunung ni. Kalau Audra tidak larat hendak sampai ke atas bolehlah Audra masuk dalam bakul tu,” Muzammil memuncungkan ke arah wanita yang berumur dalam lingkungan 50 tahun yang membawa bakul atau ‘wakit’ dalam bahasa Dusun. Wakit tersebut berisi tong gas yang akan dibawa naik ke Gunting Lagadan.
“Kalau Audra hendak tahu, itulah kerja perempuan tua tu setiap hari. Mengangkat bakul tu dengan muatan yang entah berapa kilogram beratnya. Audra kalau tidak larat, bolehlah masuk dalam bakul tu,” usik Muzammil.
“Elok juga cadangan Mil tu,” balasnya tidak mahu kalah. Ingat aku ni tidak terdaya hendak naik ke puncak tu? Kalau orang lain boleh buat, dia pun boleh.
Sepanjang perjalanan Audra tidak banyak bercakap. Menurut Muzammil nanti cepat penat dan menganggu flora dan fauna di sekeliling. Bunyi unggas-unggas sungguh mengasyikan Audra. Setiap tempat yang dirasakannya cantik dan menarik dia tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar.

“PUKUL berapa Mil?” tanyanya sebaik saja menjelikkan matanya, melihat Muzammil yang sedang berdiri di tepi katil itu. Audra berasakan urat saraf kakinya sedang mengembang sebaik saja sampai ke Gunting Lagadan dan dia terus merebahkan diri tanpa memperdulikan yang lain.
“Pukul 8 malam. Audra pergi bersihkan diri, Mil masakan maggie in cup. Mil tunggu di luar,” katanya mengarahkan. Audra menguap. Mencari begnya yang dilemparkannya entah ke mana tadi. Sebaik saja sampai dan terpandang tempat tidur di hostel yang terdapat di Gunting Lagadan dia terus melelapkan mata.
Audra memandang bibirnya yang kering itu. Tangannya mencari lip glos lalu mengenakan di bibirnya. Selesai mengenakan pakaiaan Audra keluar mencari Muzammil. Perutnya sudah berdendang kelaparan ketika itu. Sepanjang perjalanan hanya coklat yang dikunyahnya dan beberapa biskut chipsmore.
“Sedapnya bau…” Dia menghampiri Muzammil dan beberapa orang lain yang sama-sama mendaki dengannya tadi.
“Kepenatan sangat, aku pun baru bangun ni,” celah Ampal yang duduk tidak jauh dari Muzammil. Audra mengerutkan keningnya, dari segi pertuturan kedengarannya seperti orang kadazan.
“Orang kadazan?” soal Audra lalu duduk di sebelah Muzammil.
“Kami berdua ni memang orang kadazan. Audra ni orang mana?” tanya perempuan yang duduk di sebelah Ampal. Kalau tidak silap dia ni isteri Ampal, namanya Rupina. Masa di Timpohon tadi sempat mereka berkenalan antara satu sama lain.
“Orang sini juga. Emak saya orang Irish.”
“Kamu berdua ni suami isteri?” Muzammil tersenyum mendengarkan soalan itu. Audra ketawa kuat. Berkerut-kerut muka Ampal dan Rupina melihat Audra itu. Lucukah soalan yang ditanyanya itu hinggakan Audra dan Muzammil ketawa.
“Bukanlah!” sahut Audra sambil menyambut mi maggie daripada Muzammil.
“Bertuahnya dapat kekasih yang baik hati. Tengok tu makanan pun dia yang sediakan,” Sibuk sajalah si Rupina ni. Macam das meriam dia bertanyakan soalan. Audra angkat bahu lalu memandang Muzammil. Menikmati makanan yang ada di hadapannya memandangkan perutnya sudah berkumandang rentak jazz.
Muzammil memerhatikan Audra yang sedang makan. Langsungkah dia tidak menaruh perasaan sayang pada aku? Kalau bukan kerana sayang sungguh dia tidak akan menemani Audra mendaki gunung Kinabalu walaupun dibayar oleh Datuk Azri. Dia tersenyum mengingatkan pesanan Mak Senah agar menjaga Audra dengan baik. Pesanan yang sudah tentu akan dilaksanakan Muzammil dengan hati yang terbuka.
Malam itu Audra berasa gembira sekali. Kebosanan yang melanda selama ini terisi. Tercuit keletah pasangan suami isteri Rupina dan Ampal. Muzammil mencapai gitar yang dibawa oleh Ampal. Audra terkejut kerana tidak menyangka selama ini Muzammil pandai bermain gitar. Hati Audra tercuit apabila Muzammil menyanyikan sebuah lagu Bon Jovi, ‘Never Say Goodbye’.

“PUAS hati?” tanya Muzammil cungap-cungap keletihan mendaki Puncak Kinabalu. Audra melompat kegembiraan. Akhirnya dia berjaya naik sampai ke atas. Siapa kata dia tidak boleh melakukannya? Pendaki yang lain memandang ke arah Audra dan Muzammil. Pagi buta macam ni boleh terlonjak-lonjak kegembiraan.
“Oi, Audra apalah kau terlompat-lompat macam orang utan,” tegur Rupina. Pukul lima pagi setengah di atas Puncak Gunung perempuan itu terkinja-kinja macam kera di hutan. Muzammil menarik tangan Audra mendekati pendaki yang lain.
“Gembiralah Rupina. Akhirnya sampai juga hajat aku sampai ke puncak ni,” terpancar kegembiraan di wajah Audra.
“Dekat sana tu ada tasik. Bila matahari sudah naik nanti kau bergambarlah dengan Muzammil dan kalau gambar kamu berdua tu jadi, kira bernasib baiklah,” tambah Ampal. Ramai orang mengatakan apabila mengambil gambar di tasik itu banyak yang tidak jadi.
“Kalau gambar tu jadi maknanya ada jodoh. Kau ajaklah Muzammil bergambar dengan kau. Manalah tahu jodoh kau dengan Muzammil…” celah Rupina mengenakan. Gerak-geri Audra cukup memberitahunya yang gadis itu memang ada hati dengan Muzammil. Cuma dia ni pandai menyembunyikan perasaannya dan paling ketara sekali memang Audra jual mahal.
“Pandailah kau Rupina,” Audra mencubit lengan teman yang baru dikenalinya.
“Kau tengok tu, walaupun dia tidak kacak tapi ada gaya tersendiri,” bisik Rupina ke telinga Audra. Memang Audra mengakui Muzammil mempunyai daya tarikannya tersendiri. Namun entahlah, rasa sayang tu memang sudah wujud cuma sekarang ni menantikan kedatangan cinta di dalam hatinya.
“Audra cepat ke sini, sekejap lagi matahari hendak muncul ni,” panggil Muzammil. Pendaki yang lain turut sama menantikan matahari yang akan muncul sekejap lagi.
“Masya-ALLAH…” ucap Muzammil perlahan. Terpana melihat kejadiaan ciptaan ILAHI di hadapan matanya sendiri. Audra sendiri terkunci rapat bibirnya memandang keindahan yang tidak dapat dibandingkan dengan kata-kata. Cahaya keemasan kelihatan di awan. Ingin saja Audra mencapai dan memeluk keindahan yang terpancar itu.
“Terima kasih Mil kerana sudi menemani Audra sampai ke sini,” ucapnya memandang Muzammil yang berada di sisinya.
“Setiap kejadiaan ada hikmahnya Audra. Ketika berkesempatan dan masih berpeluang inilah sepatutnya kita mensyukuri nikmat yang diberikan. Jangan sampai terlewat dan menyesal untuk menikmati kehidupan itu Audra…” katanya lagi. Hati Audra berdetak kencang mentafsirkan kata-kata Muzammil itu. Angin bertiup lembut singgah di telinganya. Seakan-akan berbisik dan ingin menyatakan sesuatu kepadanya. Memejamkan mata dan wajah Muzammil tersenyum muncul dilayar.

DATUK Azri memandang rumahnya yang sunyi dan sepi itu. Ada anak masing-masing dengan cara sendiri. Ada isteri susah untuk didekati. Lebih ketara kebelakangan ini isterinya itu jarang lekat di rumah. Sibuk dengan mesyuarat persatuan setiap hari, majlis makan malam yang perlu di hadiri setiap malam. Nampaknya isterinya itu lebih sibuk berbanding dengan dirinya. Ada kalanya dia berasa sepi dengan kehidupan yang dijalaninya. Harapannya biarlah umur yang semakin menginjak tua ini dia dapat menikmati kasih sayang bersama anak-anak dan isterinya. Hakikatnya sekarang ini kehidupan yang diangankannya itu semakin sepi dan hanyalah sekadar bayangan di ruang matanya.
Kadangkala dia cemburu melihat keluarga orang lain yang begitu mesra. Anak-anak memeluk ayah mereka sebaik saja balik dari pejabat. Pernah menikmati kemesraan itu suatu ketika dulu. Wajah Salmah menjelma bersama Audra di sisi. Setiap kali balik daripada pejabat wajah-wajah itulah yang menantinya di muka pintu. Pipi Audra yang montel dan kemerahan itu akan menjadi mangsa ciumannya.
Dia memejamkan matanya. Kisah lama sahabatnya Kamal menyelamatkannya daripada di langgar kereta kembali terbentang. Lelaki yang selama ini tidak pernah dikenalinya walaupun sudah berpuluh tahun bekerja sebagai pengawal di syarikat miliknya. Bermulalah episod perkenalan mereka berdua. Mengenali keluarga sahabatnya dan menyebabkan dia berfikir untuk menjalin satu ikatan yang lebih akrab. Walaupun Kamal sudah tidak bekerja lagi di syarikatnya namun sehingga kini mereka masih bertemu sekiranya ada kelapangan.
Bukan hendak membalas budi tapi atas tanggungjawab sebagai insan yang mempunyai kelebihan dia membantu membiayai pelajaran Muzammil dan adik-adiknya. Sebaik saja tamat belajar Muzammil diambil bekerja di tempatnya. Memang semua ini seperi sudah direncanakan di dalam kepala. Namun apa yang dilakukannya adalah kerana inginkan Audra sentiasa berada di sisinya. Katalah kalau ada yang ingin mengatakan dia mementingkan diri sendiri. Semua yang dibuatnya ini adalah kerana Audra. Memang dia memasang angan-angan sejak dulu lagi untuk menjodohkan Muzammil dengan Audra. Harapannya kini moga semuanya berjalan dengan lancar.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Aurabidadari 7”
  1. Anis says:

    syok.. ;-) ;-) ;-)

  2. thanks…teruskan membaca

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"