
Novel : Pelukan Cinta 11, 12

Oleh : Amisha Dania
BAB 11
Armand cuba melelapkan matanya. Penat menjadi pengapit Zaki masih terasa lagi. Apa yang dilakukan oleh Zulaika agaknya ketika ini. Armand tersenyum sendiri. Masih terdengar-dengar lagi usikan rakan-rakan mereka. Ada yang gatal-gatal mulut mengatakan kedua-dua pengapit pun dah layak untuk disandingkan. Masih ternampak-nampak lagi pipi Zulaika yang merona merah apabila diusik. Pengantin dengan set pakaian berwarna oren dan mereka pula mengenakan set pakaian berona peach lembut. Paling tidak dapat Armand lupakan bila pak Imam mengusik Armand.
“Ni….pak cik nak bagitahu sikit….biasanya, lepas jadi pengapit, kena jadi pengantin pula, kalau tak, pak cik yang tangkap pengapit perempuan tu….” Usikan pak Imam disambut dengan gelak ketawa hadirin yang ada dalam masjid untuk majlis akad nikah hari itu.
“Jangan macam tu Imam. Pengapit tu memang untuk saya dah. Kalau dapat kat Imam, lenguh kepala nak bercakap dengan dia…” Armand mengusik Imam yang memang agak rendah jika dibandingkan dengan Zulaika dan dirinya sendiri.
Mengkekeh-kekeh Imam ketawa. Sedar dirinya dikenakan oleh Armand. Bukannya apa, Imam sekadar bergurau, hendak menghilangkan gemuruh Zaki.
Armand mencapai telefon bimbitnya. Nombor Zulaika didailnya. Agak lama barulah panggilannya bersahut.
“Ermmm” Zulaika menjawab lemah.
“Sayang dah tidur ke?” Armand bertanya lembut.
“Ermmm…Ika terlelap. Letih lah abang.”
“Nak keluar jalan-jalan tak?” Armand membuat cadangan. Peluang yang ada tidak ingin dibazirkan. Bukan senang dia dapat bersama Zulaika. Kesibukan kerja selalu sahaja membataskan masanya.
“Nak pergi beli baju mama dan papa ke?” Zulaika tiba-tiba teringat pesanan papanya tempuh hari.
“Tiga dalam satu lah tu.” Armand menjawab.
Setelah menetapkan masa, mereka bersiap-siap untuk keluar. Mereka menuju ke pasar Payang. Tetapi tidak membeli apa-apa pun kerana hari telah petang. Banyak kedai telah ditutup. Akhirnya mereka ke Butik Arfa. Batik sutera yang begitu eksklusif rekaannya menarik minat mereka.
“Rasa nak juling mata Ika tenguk corak-corak yang menarik ni..” Bisik Zulaika ke telinga Armand. Armand tersenyum. Tipikal perempuan.
“Berkenan?” Armand bertanya kembali.
Zulaika menggangguk-angguk kepalanya. Dia mengasingkan beberapa helai sutera yang berkenan dimatanya.
“Abang, dua pasang ni tuk mama dan papa, okey tak?” Zulaika memilih warna hijau lumut dan biru firus untuk mama dan papanya. Dia meminta pandangan Armand. Armand memuji di dalam hati. Cantik corak yang dipilih oleh Zulaika. Tidak terlalu penuh.
Matanya tertancap pada sepasang sutera berwarna merah hati yang berada dilengan Zulaika. Sangat menyerlah warna itu dengan kulit Zulaika yang putih.
“Tu untuk siapa?” Armand memuncungkan mulutnya. Merujuk pada sutera yang berada dilengan Zulaika.
“Untuk kita, okey tak? Abang pakai batik kan?” bulat mata Zulaika memandang Armand. Takut Armand tidak berkenan dengan warna pilihannya.
Armand merenung Zulaika. Hatinya sangat tidak keruan ketika itu. Zulaika seolah-olah seorang isteri yang sedang mencari pakaian untuk suaminya menghadiri majlis rasmi. Armand memaut bahu Zulaika, menariknya kedalam pelukan Armand. Mata yang memandangnya didalam butik tersebut tidak dihiraukan. Armand menepuk-nepuk bahu Zulaika. Tidak terluah apa yang ingin diucapkannya.
BAB 12
Dua minggu selepas ke Terengganu barulah Armand berpeluang pulang ke Seremban. Dia membawa ole-ole untuk mummy dan daddynya. Titipan dari dia dan Zulaika. Mummynya sangat seronok mendapat ole-ole yang mahal itu. Tersenyum-senyum mummy membelek sutera berwarna coklat itu. Sedondon dengan daddynya.
“Kenapa alang tak cakap nak pergi Terengganu? Kalau mummy tahu, mummy kirim beli songket.” Mummy Armand menyuarakan.
“Pergi sekejap aje mummy, kawan kahwin. Mummy nak buat apa dengan songket? ” Armand sengaja tidak memberitahu mummynya tentang rancangannya ke Terengganu. Banyak pula soalnya nanti.
“La….songket, nak buat apa lagi, nak pakai la. Tanya pulak.” Mummy menjawab agak keras.
Armand diam. Malas hendak menjawab cakap mummynya. Songket daddy dah melambak-lambak, tak terpakai lagi dah. Hendak menambah koleksi baru ke mummy ni? Armand mengumam dalam hatinya.
“Alang, duduk sini kejap, mummy nak bincang dengan alang ni..” tiba-tiba mummy memanggil Armand. Nada suara mummy yang keras begini sangat tidak disenangi Armand. Dia cukup kenal dengan nada suara mummynya. Apa lah agaknya hal yang hendak dibincangkan oleh mummy hari ini. Aduh….silap haribulan ke aku balik ni?
Armand duduk diatas sofa sebelah dengan mummynya. Hatinya rasa cuak.
“Ada apa mummy?” Armand teragak-agak bertanya. Kering rasa tekaknya.
“Minggu lepas mak long kamu datang. Dia hendak menjodohkan kamu dengan Asilah, anaknya. Kamu ingat Asilah kan?” mummy memulakan bicaranya. Matanya tajam merenung Armand.
Armand kegelisahan. Masak betul ni. Kelu lidahnya hendak menjawab. Cakap-cakap mummy bukan calang-calang orang boleh mematahkannya.
“Mummy….alang minta maaflah mummy. Mak long tu kan kakak mummy. Auntie alang tu. Asilah dah macam adik beradik dengan alang. Alah mummy, tak berkembanglah family kita. Alang tak nak lah mummy. Lagipun, alang belum terfikir lagi nak berkahwin….” Pening kepala Armand nak memikirkan alasan yang sesuai untuk menolak permintaan mummynya itu.
“Asilah cantik apa? Kahwin sepupu apa salahnya? Lagipun, harta kita tak jatuh ketangan orang lain.” Datin Rozni memberi alasannya pula.
Armand menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Berbincang soal jodoh dengan mummy merupakan perkara yang cuba dielakkan oleh Armand. Bukan dia tidak kenal Asilah, sepupunya itu. Malah Armand cukup masak dengan perangai Asilah. Kerjanya sebagai peramugari seolah-olah lesen besar baginya untuk berlagak. Macam lah besar sangat pangkatnya itu. Cuma lebihnya, sebagai peramugari dia telah pergi merata-rata tempat. Pengalamannya agak luas. Bila berkumpul dengan sepupu-sepupunya, dia mulalah bercerita tentang tempat-tempat yang telah dilawatinya. Melopong-loponglah mulut sepupunya yang lain itu. Almaklumlah, bukan senang nak melihat negeri orang. Dapat pula bergambar dengan mat-mat salih yang entah dari mana-mana dijumpanya itu.
Mak long sangat bangga dengan anak gadisnya itu. Segala perhiasan yang dibeli oleh Asilah, akan ditunjuk kepada mummynya. Tunjuk pada mummy okey lagi lah. Mummy dah biasa tenguk, tapi kalau tunjuk pada Acu Ramlah, atau Ateh Hamidah ? Terkulat-kulatlah mereka.
“Mummy kenen kat ateh lah. Alang belum nak kahwin lah mummy.” Armand menjawab lembut.
“Tapi mak long berkenan pada kamu. Bukan ateh…apa masalah kamu ni? Budak lawa macam tu kamu tak berkenan lagi?” suara Datin Rozni sudah mula tinggi. Sebenarnya dia pun berkenan dengan anak kakaknya itu. Dimatanya Asilah cukup sempurna. Orangnya hitam manis. Bentuk badan sangat menarik. Peramugarilah katakan.
“Mummy…pleaselah. Hati kalau dah berkenan, tak kira lawa atau pun tidak mummy. Masalahnya, alang belum terbuka hati lagi.” Armand mula gabra. Mummy kalau dah naik angin, alamatlah kena cuci telinga nanti.
“Kamu dah ada orang lain ke alang?” Datin Rozni bertanya lagi. Sakit hatinya bila Armand tidak berkenan dengan pilihannya.
Terkulat-kulat Armand. Serba salah dia. Macam mana hendak dijawab soalan mummy ini? Memanglah dia ada Zulaika Husna, tetapi janjinya dengan Zulaika kena difikirkan juga. Zulaika belum bersedia untuk disunting lagi. Tapi kalau bertunang dulu boleh kut? Kena bincang dengan papalah dulu. Armand membuat percaturan di dalam benaknya sendiri.
“Alang, kamu berangan apa ni?” Tiba-tiba Armand disergah oleh Datin Rozni.
“Alang dah ada kawan, tapi kami belum fikir lagi soal kahwin ni…” Armand cuba berterus terang. Dalam hati Tuhanlah tahu betapa kecutnya dia. Janganlah mummy membantah, Armand berdoa.
Datin Rozni memandang Armand. Tajam pandangannya membuatkan Armand tertunduk. Di pejabat, Armand seorang yang tegas. Sangat serius. Dia jarang bergurau, kerana sudah terbiasa dengan didikan keluarganya. Tetapi dirumah, mummynya adalah bos besar. Cakap mummy sahaja yang betul.
“Bawak dia kerumah, mummy nak tenguk bagaimana pilihan kamu itu.” Akhirnya mummy bersuara.
Armand mengangkat mukanya. Mencari pandangan mummynya. Hendak melihat rona wajah mummy. Mummy marah ke apa ni? Hatinya rasa gementar. Mummy hendak menilai pilihan aku?
“Mummy….alang belum bersedia nak bawak dia kerumah kita lah mummy.” Armand bersuara lembut. Dia tidak mahu hubungannya putus dek mulut bisa mummy. Zulaika lembut orangnya. Buatnya hati Zulaika terguris, bagaimana? Aku juga yang melepas nanti.
Armand pernah ada kawan perempuan semasa menuntut di UK dulu. Bila pulang bercuti ke Malaysia, Armand jemput Hanani ke rumahnya untuk berkenalan dengan keluarganya. Armand tidak tahu apa yang dibualkan Hanani dengan mummy dan mak longnya, tetapi apabila pulang ke UK semula, hubungan mereka mula renggang dan akhirnya putus. Sejak itu Armand serik berkawan dengan perempuan. Dia menumpukan perhatian pada pelajarannya dan pulang dengan degree lebih awal dari rakan-rakannya. Dia terus membuka syarikatnya sendiri.
“Kalau kamu serius dengan pilihan kamu ini, bawa dia. Kalau tidak, mummy akan meminang Asilah untuk kamu.” Datin Rozni bangun dan terus masuk ke biliknya. Ketegasannya membuatkan Armand rasa terpanggang.
Armand melurut-lurut rambutnya yang agak panjang. Pening kepalanya. Hajatnya hendak bermalam dirumah mummynya dibatalkan sahaja. Lebih lama dia dirumah mummynya, lebih banyak ceramah ‘free’ yang terpaksa didengarnya nanti. Armand mencapai kunci keretanya. Malas menunggu lebih lama lagi.














pulak..habis la u armand..cantik ape pramugari..tapi spupu bah kan..x best..

komen:wow kak amisha,nice story la..xsangka ada bakat rupanya,,,
konflik nak kne jodoh dgn bukn pilihn sndri ni dh biase bace la kak amisha..lebih2 lagi kalau bab mumy yg masuk campur..
tapi xpe kite nak tengok mcm mna kak amisha gaul2 cite ni..mgkin kak amisha boleh tambah cili yang pedas sikit.tapi jgn lupe sdiakan air sejuk cepat2…kalau pedas sampai kluar air mata pn x pe,yg penting cepat minum air sejuk 2,bia rasa lega akhirnya..
kak amisha pasti fhm mksd ummi kn..hehehehe..
mummy nih kacau daun la…
menciiii
a’ah lh..


kacau daun btol tp slh armard gak sbb x kasi tau awal2 dier dh berpunya..
aduh…
pepun..best citer nih