Novel : Tak Mampu Ku Hindari 18

28 December 2009  
Kategori: Novel

7,035 bacaan 24 ulasan

Oleh : Sofi

Maria membuka sepasang matanya perlahan-lahan. Terpandang jarum jam yang sudah menunjukkan angka 9, dia terkejut. Bagaimanalah dia boleh tidak sedar sehinggakan terlepas waktu Subuh?

Terkocoh-kocoh dia bangun. Segera ke bilik air, bersugi dan mengambil wudhuk. Terus sahaja bersolat, walau sudah terlewat. Nak buat macam mana? Bukan disengajakan!

Usai solat, katil dikemaskan. Sayu melihat bantal di sebelah yang tidak ada tanda-tanda Hisyam tidur di situ. Malas melayan perasaan, dia turun ke dapur. Terasa lapar kerana semalam, seharian dia tidak menjamah nasi, walau sebutir.

“Baru bangun?”

Sapaan garang itu mengejutkan Maria. Dia menoleh ke arah suara itu. Dilihat, Hisyam sedang berbaring di atas sofa. Sepasang mata itu tajam merenung dirinya.

Maria terpinga-pinga. Di benak, hati merasa tidak enak. Berbagai-bagai soalan menerpa fikiran.

Mengapa Hisyam masih di rumah? Mengapa Hisyam tak pergi kerja lagi? Tak sihatkah dia? Demamkah? Sakitkah?

Untuk bertanya, dia keberatan membuka mulut. Sudah lama mereka tidak berbual-bual. Sudah terlalu lama sehingga dia tidak tahu bagaimana harus dia bermula.

Hisyam sakit hati melihat Maria membisu. Bertambah geram bila wajahnya tidak dipandang si isteri. Malah semakin marah apabila Maria terus berlalu ke dapur tanpa mengendahkan dia. Lantas, dia segera bangun. Maria yang sedang melangkah, disentap tangannya. Kasar!

“Aduh! Apa ni, bang. Sakitlah!” Desah Maria. Pergelangan tangan yang baru dilepaskan Hisyam, diusap perlahan-lahan.

“Sakit? Hati abang ni lagi sakit, tahu! Sejak abang balik sampai ari ni, sakit kat dalam hati ni, tak boleh nak cakap. Sakit sangat dengan perangai Lia ni.” Hisyam menjerit.

Maria menjeling Hisyam.

‘Sakit hati dia aje yang dia ambil kira. Abis, hati aku ni?’ Marahnya dalam hati.

Tiba-tiba Hisyam menarik tangan Maria sekali lagi. Kali ini, dirinya ditolak untuk duduk di atas sofa. Hisyam kemudian berjalan mundar mandir di hadapannya. Lama dia berbuat begitu.

Akhirnya,

“Lia, hari ni, abang nak Lia berterus terang dengan abang. Abang dah tak sanggup hidup macam ni. Lia buat abang macam tunggul kayu! Dah dua bulan, Lia! Dah dua bulan Lia tak pedulikan abang. Dah dua bulan kita hidup macam orang asing. Jadi, hari ini abang nak tahu. Sekarang jugak, abang nak Lia bagi tau abang, apa salah abang?”

Nafas dihela perlahan-lahan. Kekuatan cuba dikumpulkan. Kekuatan untuk bersuara. Kekuatan untuk mendengar. Kerana dia pasti, hari ini, hari yang menentukan hala tuju hubungan mereka. Apakah masih ada hari esok? Ataukah, sudah tidak ada harapan lagi? Walau hati menyampah bila Hisyam bertanya bagaikan dirinya tidak bersalah, namun Maria bertekad untuk memberi lelaki itu peluang. Untuk apa? Dia sendiri tidak pasti.

“Tengok tu! Lia, abang cakap dengan Lia sekarang, tahu tak? Abang bukan bercakap dengan dinding atau dengan batu kat dalam rumah ni. Abang bercakap dengan Lia! Jadi, tolonglah! Jangan buat-buat pekak. Jangan jadi bisu! Abang tak suka!” bentak Hisyam bila Maria tunduk menekur merenung lantai.

“Agaknya, Lia marah sebab abang tak balik masa mak meninggal ari tu, ya? Tapi, siapa yang cakap kat abang, tak apa? Bukan Lia ke? Bukan Lia ke yang cakap Lia ok, Lia boleh jaga diri. Lia redha mak dengan Muaz tak ada. Bukan Lia ke yang cakap kat telefon pada abang suruh abang duduk, habiskan kerja abang di Cape Town tu? Bila abang cakap abang dah book tiket, bukan Lia ke yang suruh abang batalkan?” Bagai bertih jagung, Hisyam mengungkit.

“Ya, memang Lia yang cakap semua tu. Memang Lia yang tak bagi abang balik. Tapi, kalau abang betul-betul sayangkan Lia, abang tentu nak berada di sisi Lia, kan? Kalau betul abang cinta sangat kat Lia ni, abang pasti berusaha menenangkan perasaan Lia, kan? Tak kiralah apa yang Lia cakap, abang tak akan biarkan Lia keseorangan, betul tak?” sinis Maria memperli.

Hisyam tidak dapat mempercayai Maria sanggup mengeluarkan ayat-ayat itu kepadanya.

“Jadi, Lia sebenarnya nak menguji abang? Macam tu ke? Maksudnya, disebabkan abang tak balik, jadi Lia buat kesimpulan yang abang tak ambil berat tentang Lia? Abang tak endahkan Lia? Hah! Pening! Lia buat abang pening! How could you! You are so stupid, you know that! It has been five years that we have been married and yet, you still want to test my love for you? What nonsense! My god, I just can not believe this. You…you…”

“Cakap Melayu, bang. Lia bukan lulusan luar negeri macam Salina abang tu. Lia bukan reti cakap orang putih!” Sela Maria.

Pandangan Hisyam tajam ke arah isterinya. Hati berbolak balik antara marah, geram, sayang. Semua bercampur baur.

“Jadi, Lia asyik menangis selama ni bukan sebab Lia sedih mak mati. Tapi sebab Lia ingat abang tak sayangkan Lia, gitu?” Tuduhnya.

Maria melepaskan keluhan.

Kesabaran Hisyam sudah sampai ke puncaknya pagi ini. Dia sudah naik angin.

“Abang bosan! Lia tahu tak? Abang bosan dengan perangai Lia ni. Abang bosan bila cakap abang, satu pun Lia tak percaya. Abang bosan bila Lia asyik nak menduga abang. Apa yang Lia nak, sebenarnya? Terus terang dengan abang! Lia nak abang buat apa lagi? Bukti macam mana yang Lia nak abang tunjukkan supaya hati Lia tu tak ragu-ragu pada abang? Abang ingat, Lia ikhlas bila Lia cakap Lia ok. Lia sihat. Lia tak apa-apa. Tapi tengoklah! Ada udang sebalik batu. Konon nak tengok sejauh mana kasih sayang abang pada Lia. Lia…”

“Abang tak faham. Bukan macam tu maksud Lia. Bukan Lia..”

“Abis tu?” Hisyam meningkah. “Apa? Apa lagi Lia nak tuduh abang?”

“Tuduh? Apa yang Lia nak cakap ni bukan tuduhan, bang! Ini kenyataan. Salina…”

“Dah Salina pulak? Apa kena mengena Lin dengan hal kita?” Soal Hisyam kasar.

“Abang tentu lebih tahu!” Bisik Maria lemah.

“Tahu apa? Lia nak cakap apa sebenarnya? Terus terang dengan abang!”

“Apa yang abang buat dengan dia kat sana?” Soal Maria.

Bulat sepasang mata Hisyam.

‘Dia dah buat dah. Dia buat balik perangai lama!’

Maria tersenyum sinis melihat wajah cemberut Hisyam.

“Lia tahu apa yang abang dengan Salina buat, bang. Tak payahlah abang nak tengok Lia dengan muka tak bersalah abang tu! Ingat tak bila ayah telefon paksa abang balik? Masa ayah cakap Lia pengsan tu? Kalau abang nak tahu, Lia pengsan sebab abanglah. Sebab abang dengan Salina! Sebab Salina dengan penuh romantisnya jawab panggilan telefon Lia. Dia beritahu dia kat atas katil abang, sedang bersiap sedia tunggu abang keluar dari bilik air. Dia kata dia tengah tunggu kekasih hati dia…Aduh!”

Terpisat-pisat Maria ditempeleng oleh Hisyam. Sekali lagi, kerana Salina, Maria mendapat lima jari Hisyam di pipi. Hadiah daripada seorang suami. Hadiah yang paling mahal!

“Biadap sungguh Lia! Sedap betul mulut Lia menuduh abang? Lia ada saksi? Mana bukti Lia yang abang tidur dengan Lin? Tunjukkan! Apa bukti yang Lia ada sampai Lia sanggup menuduh abang curang? Tunjukkan! Jangan sedap-sedap mulut nak cakap!” Hisyam mengherdik. Marah benar dia. Tidak disangka Maria sanggup menuduh dirinya sampai begitu sekali. Sungguh dia tidak menyangka sama sekali.

Maria masih belum berpuas hati. Kepedihan akibat tamparan suami menambahkan geram dan sakit hati. Dia terus meluahkan apa yang selama ini terbuku di kalbu.

“Memang Lia tak nampak apa yang abang buat. Memang Lia tak ada bukti. Tapi semua tu tak penting. Yang penting Salina mengaku semuanya. Yang penting, girlfriend abang tu dah luahkan apa isi hati abang pada dia. Dia jugak dah beritahu Lia tentang abang yang tak sanggup nak cakap pada Lia yang abang dah berubah hati. Abang bersama Lia sekarang pun sebab abang kesiankan Lia! Dia cakap..”

Sekali lagi pipi Maria ditampar. Peritnya, tidak terucapkan. Menitis air mata menahan kesakitan. Bertambah sedih mendengar kata-kata Hisyam.

“Tak habis-habis! Asyik-asyik Lia dengkikan Lin tu! Asyik menuduh Lin yang bukan-bukan! Lia, Lia jangan nak fitnah Lin, tau! Dia tidak akan buat macam tu!”

Betapa hancur sekeping hati seorang isteri bila suami tidak mempercayai dirinya. Betapa kecewa bila dia pula dituduh memfitnah Salina. Betapa hampa!

Kini, dialah yang jahat di mata Hisyam. Kini, dialah yang bersalah. Salinalah yang baik. Salinalah yang berkata benar. Dialah yang menipu! Pembelaan Hisyam terhadap Salina benar-benar meremukkan sekeping hatinya. Tamparan Hisyam tadi memberi kesan yang amat memilukan.

Air mata yang cuba ditahan akhirnya turun membasahi pipi.

“Abang tak pernah percaya apa yang Lia cakap.”

Suaranya hampir tidak kedengaran.

“Sebab tuduhan Lia pada Lin tu tak berasas. Sebab Lia terlalu cemburu. Abang sangkakan Lia terlalu sedih kehilangan emak dan Muaz tapi rupa-rupanya Lia masih berprasangka pada abang. Kenapa, Lia? Kenapa masih tak percaya?”

“Lia bukan tuduh. Itu kebenaran! Memang dia yang jawab panggilan Lia. Memang dia dalam bilik tidur abang!” Maria menjerit.

“Ya ALLAH! Maria, abang tak ada apa-apa hubungan dengan Salina! Abang tak pernah tidur dengan dia. Tidak malam tu, tidak bila-bila pun. Tak ada!”

Maria seolah-olah tidak mendengar pengakuan itu. Sepasang mata yang berair dihadapkan ke arah Hisyam. Kali ini, dia memperlahankan suaranya.

“Abang, Lia dah letih dengan semua ni. Lia dah penat dengan perangai abang. Lia dah cukup sakit dengan penipuan abang! Lia benci bila abang asyik berpura-pura dengan Lia! Abang tak pernah nak mengaku yang abang cintakan dia tapi sikap abang tiap kali Lia cakap tentang Salina menunjukkan sebaliknya. Jadi, daripada abang terus buat dosa dengan dia, baiklah abang dengan dia kahwin aje.”

Hisyam terpaku tidak percaya.

“Kahwinlah dengan dia, bang. Lia tak akan halang abang. Kahwinlah!”

Dalam hiba keizinan dilafazkan.

Hisyam menggelengkan kepala. Tidak mempercayai apa yang baru didengari. Setelah lama suasana bisu di antara mereka, Hisyam akhirnya berkata, “Dalam hati abang ni tak pernah ada niat untuk menduakan Lia. Tak pernah terlintas untuk bersama Salina. Tak pernah terlintas untuk kahwin dengan dia. Dah selalu abang beritahu Lia yang kalau dialah perempuan yang abang cintai, abang tak akan kahwin dengan Lia. Kenapa masih tak faham-faham?”

“Lia ke yang tak faham atau abang yang tak mahu berterus terang?” Tanya Maria.

“Berterus terang tentang apa? Lin? Dia baik dengan abang selama ni. Dia sentiasa ada di sisi abang bila abang susah. Dia sentiasa menyokong abang. Dia tak macam Lia.”

Nafas dihembus kasar.

“Entahlah! Abang tak faham sikap Lia. Yang Lia dengki sangat dengan dia tu, kenapa? Apa dosa dia pada Lia? Apa salah yang dia dah buat sampai Lia sanggup tuduh dia nak rampas abang dari Lia?”

Bulat mata Maria merenung wajah Hisyam. Begitu beria-ia lelaki itu membela Salina. Dia asyik menafikan perasaannya kepada gadis itu tetapi tanpa disedari dia asyik membela setiap perlakuan Salina. Kalau tidak cinta, apakah itu?

“Lia nak tahu tak? Sikap Lia ni dah benar-benar mencabar ego abang! Lia nak sangat abang kahwin dengan Lin, ya? Itu ke yang Lia mahu? Yang Lia harap?” soal Hisyam keras. Tanpa dapat Maria menjawab, dia menyambung, “Ok! Kalau itu yang Lia nak! Baik! Abang akan lamar dia. Abang akan kahwin dengan dia. Mana tahu, nanti abang akan dapat anak dengan dia, kan? Anak yang selama ini tak mampu Lia beri pada abang!”

Suasana hening benar ketika itu. Maria tersandar di dinding. Dia tidak mampu bergerak lagi. Lama baru dia dapat bersuara. Itu pun, nada suaranya tersekat-sekat.

“Memang Lia tak akan halang kemahuan abang. Tapi, Lia tak mahu jadi orang ketiga. Abang kena tahu tu. Abang kena faham. Lia tak sanggup dimadu. Jadi, tolonglah! Lepaskan Lia!” Pinta dia.

“Tidak! Abang tidak akan ceraikan Lia!” Jerit Hisyam tegas.

Maria merenung sayu wajah kesayangannya.

“Lia tahu, Lia tak berhak mintak apa-apa daripada abang. Lia tahu, amat berdosa mintak cerai ni. Tapi, Lia akan hanya mengganggu hidup abang dengan dia. Salina pun tentu tak mahu bermadu. Abang kena jaga hati dia. Lia nak abang bahagia dengan dia. Buat apa nak simpan perempuan yang asyik menyusahkan hidup abang ni? Buat apa hidup dengan Lia sedangkan abang boleh bahagia dengan dia aje?”

Hisyam tidak membenarkan Maria meneruskan kata-kata. Sekujur tubuh itu dirangkul. Bibir Maria disambar rakus. Walau Maria meronta meminta diri dilepaskan, Hisyam tidak peduli lagi. Kerinduan kepada isteri menjadikan dia seperti lupa diri. Penolakan Maria menyakitkan hati dan dia tidak dapat bersabar lagi. Tindakannya semakin menggila. Tidak dipedulikan air mata Maria yang mengalir deras.

Dia gagal mengawal dirinya. Dia kalah dengan keinginannya.

Maria semakin lemah. Dia tidak mampu menahan kehendak suaminya. Dia tidak dapat menerima perbuatan Hisyam ini namun diri tidak sekuat mana. Rayuannya tidak dipedulikan. Tangisnya tidak diendahkan. Akhirnya dia terpaksa menyerah. Terpaksa merelakan.

Perasaan semakin tertekan bila Hisyam terus sahaja meninggalkan dirinya dan pergi entah ke mana.

Sepanjang malam itu, Hisyam tidak pulang.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

24 ulasan untuk “Novel : Tak Mampu Ku Hindari 18”
  1. naquiah says:

    haha..kak umi xsbr2 yea..hahha

  2. auni says:

    mintak2 c echam ni terbace curat yg c lia ni dapat :cry: :cry: :cry: :evil: :evil:

  3. Nur Dara Adalia says:

    :sad: owhh…….!! keceiwanya..huaa..nangis depat pc! chaiyok Suri!! :mrgreen:

  4. kiera radiasya says:

    ya Allah, sedihnya.. kesian kat maria.. aduh, dah nak menangis ni.. novel ni ble kuar?? x sbr nak beli..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"