
Cerpen : Gerhana yang kelam
Oleh : S.Hana Ak
Benarlah kata orang. Orang kota tetap orang kota. Intelek, bergaya, ego. Orang desa tetap orang desa. Tunggul, pegun, kolot dan berbudi. Aku berani menyatakan demikian kerana aku pernah mengalaminya. Pernah menikmati kepahitannya. Dan yang penting aku sendiri anak desa. Mahukah kamu mendengar jika aku menceritakan sesuatu? beginilah ceritanya tapi aku harap kamu yang mendengar ceritaku akan menjadi hakim yang setia.
Sudah setahun anaknya Yazid tidak balik kampung. Pak Kassim berasa rindu. Anak yang lain seramai lima orang semuanya perempuan. Yazid anak kedua bongsu. Bermakna Pak Kassim ada seorang anak lagi yang tinggal bersamanya. Seorang puteri namanya Zaharah. Gadis sunti berumur enam belas tahun. Tiga tahun yang lalu selepas tamat STPM Yazid meminta izin dan restunya untuk merantau ke kota. Dan dia mengizinkanya kerana sebagai seorang ayah pak Kassim tidak mahu mengongkong arus hidup anaknya. Hasrat hatinya mahu melihat anaknya berjaya ke universiti tapi apakan daya hasratnya tidak kesampaian bila mengetahui hasrat anak lelakinya itu. Biarkanlah. Yazid sudah dewasa. Tapi dia tetap memberi syarahan kepada anaknya itu panjang lebar lagak seorang ibu. Maklumlah isterinya Rahimah sudah tidak mendampingi mereka lagi. jadi tugas seorang ibu secara rasmi menjadi haknya.
Hidup di kota ini memang banyak cabaran. Memang memerlukan kebijaksanaan, kayakinan serta keimanan. Walaupun kota itu bukanlah diiktiraf kota metropolitan namun semuanya sama. Asalkan ada bangunan tinggi, lebuh raya, kereta dan ragam manusia itulah kota fikirnya. Hanya tempat duduknya sekarang bukanlah dinamakan kota tetapi desa ataupun kampung. Kawasan yang jauh di pedalaman, elektrik entah ada tak ada itulah kampung. Tetapi Yazid anak kesayangannya itu memilih tempat di kota metropolitan, Kuala Lumpur. Berbekalkan nasihat serta keputusan STPM yazid membimbing bagasi besar sebagai seorang anak perantau menuju ke ibu kota itu.
Di Kuala Lumpur Yazid mendapat pekerjaan sebagai kerani di sebuah syarikat kereta. Mungkin dilihat dari segi kelulusanya. Enam bulan kemudian Yazid dinaikkan pangkat menjadi penolong pengurus. Mungkin dilihat dari prestasi kerjaya. Walaupun hidup mewah Yazid tetap menyara hidupnya serta adik bongsunya di kampung. Tiap bulan Yazid akan menghantar dua ratus ringgit kepadanya. Jika ditambah dengan duit anaknya yang lain purata pendapatannya sebulan hampir lapan ratus ringgit. Dia sudah boleh duduk senang lenang dengan duit sebanyak itu. Tak payah mengerat tulang di bendang. Tak payah mencari peluh pergi ke hutan mencari rotan, kayu api dan sayuran. Hanya duduk di rumah. Puteri bongsunya Zaharah pun sudah besar. Tidak lama lagi akan meninggalkan dirinya sendirian pergi ke universiti atau kerja dia tak kisah. Baginya yang penting gadis perawannya itu pandai menjaga diri nanti. Cuma kadang-kala rasa terkilan menguasai jiwa tuanya. Yazid jarang balik ke kampung sejak menjawat jawatan tinggi itu. Pak Kasim terlalu merindui anak lelaki tunggalnya. Walaubagaimanapun, pak Kassim tetap bangga dengan sikap Yazid. Walaupun sudah bergelar anak kota Yazid tetap tidak melupakan asal usulnya. Sikapnya tetap seperti dulu iaitu sebelum menjadi orang Bandar. Alangkah bangga hatinya punya anak satria seperti Yazid. Senyumannya meleret-leret apabila teringatkan kenangan itu. Segala-galanya adalah untuk anak-anaknya.
Dia masih teringat dulu ketika Yazid pulang pertama kali setelah bertahun di rantau orang. Pakaiannya mengikut fesyen pemuda sekarang. Malah dia hampir tidak mengenali ketika anaknya itu menyalami tangannya. Kepulangan Yazid anaknya itu bukanlah disambut meriah dari orang kampung kerana anaknya itu mungkin sudah menjadi pemuda yang ke seratus berhijrah ke kota. Cukuplah mereka dua beranak yang memeriahkan kepulangannya.
” Bapak.”
Yazid anaknya itu dijamu dengan makanan kampung. Dimakan. Senyuman Pak Kassim tambah melebar.
” bapak.”
” ya. Kenapa.”
Sekarang Yazid sudah jarang menjengguknya semenjak menjawat jawatan besar itu.
” ada surat pak.”
Mungkin anaknya itu sibuk berkerja. Yazid kata pengurusnya seorang wanita.
” dari siapa.”
” abang Yazid pak.”
Kata Yazid nama wanita pengurusnya puan Zubaidah. Sudah bersuami, punya anak tiga orang. Suaminya berkerja di bidang lain.
” dah dibaca. Apa katanya.”
” abang Yazid kirim salam sama bapak.”
” waalaikum salam.”
Pengurus Yazid itu memang baik orangnya. Yazid sungguh beruntung, dia terhutang budi dengan wanita itu kerana menggambil anaknya sebagai pekerja.
” abang nak balik hujung minggu depan pak.”
” lagi apa katanya.” Ditenungnya muka jernih persis arwah Rahimah di sebelahnya kini.
” itu saja pak.”
” emm. Hari berapa Yazid tu nak balik.” Soalnya lagi. Zaharah menggelengkan kepala menandakan tidak tahu. Pak Kassim terdiam.
” Yazid..Yazid. kau balik nak. Bapa rindu dengan kau nak…” bisik pak Kassim sendirian. Hatinya lega mendengar kata-kata Zaharah tadi. Bibir tuanya tersenyum mesra. Kopi di tangan diteguknya walaupun sudah tidak berasap. Dalam hati dia sudah mengira-ngira kedatangan anaknya bila balik nanti.
” Zaharah…” panggilnya kepada Zaharah. Zaharah yang berada di bilik tersembul kelur.
” ada apa pak.”
” bila Yazid balik?” Soalnya untuk mendapatkan kepastian. Zaharah mengulangi jawapannya tadi. Melihat ayahnya sudah tidak bertanya lagi dia masuk semula ke bilik.
” Yazid mungkin balik dengan perempuan.” Fikir Pak Kasim. Entah kenapa dia tiba-tiba terfikirkan perkara itu. Seorang perempuan kota. Mungkin anak pengurusnya. Bukankah Yazid pernak menyatakan anak puan Zubaidah kesemuanya perempuan. Sofiah, Hasnah dan Shamsinar. Siapa di antara mereka yang menjadi pendamping anaknya nanti. Sofia! Dia tidak pernah mendengar anaknya itu menyebut tentang gadis itu. Hasnah. Juga tidak pernah. Mungkin Shamsinar. Yazid selalu menyebut kisah gadis itu kepada adiknya dan Zaharah akan memberitahu perkara itu kepadanya. Ah, kalau dia…
Pak kassim melihat sekeliling. Satu-satu sudut rumah diperhatikan. Kalau-kalau ada dinding yang berlubang atau rosak akan dibaikinya. Sudut yang bersarang akan disuruhnya Zaharah membersihkanya walaupun dia sudah maklum Zaharah tiap hari mengemas rumah. Pak Kassim mendongak ke atas siling. Beratapkan zink. Kalau-kalau ada zink yang bocor. Kalau ada dia akan membeli penampalnya esok. Setelah pasti tidak ada matanya beralih kearah perabot-perabot yang dibelinya dahulu. Dia sayang dengan perabot-perabot yang dibelinya dulu. Almari, meja, serta kerusi rotan sudah lusuh benar. Ah, benda-benda ni tak payah diganti kerana masih boleh digunakan. Sayang. Katanya sendirian. Kemudian dia pergi ke luar rumah.
Ketika itu Zaharah keluar dari biliknya. Dia melihat ayahnya berjalan mundar-mandir sambil mencari-cari sesuatu. Kemudian ayahnya keluar dengan tergesa-gesa. Zaharah berasa pelik lalu mengekori pak Kassim keluar. Ketika sampai di muka pintu dia bertembung dengan ayahnya.
” apa yang bapak cari.” Tanyanya. Pak kassim tidak menjawab. Dia terus mengambil parang panjang yang tergantung di penjuru dapur.
” aku nak tebas rumput panjang di belakang tu. Yazid pulang dengan perempuan.” Kata pak Kassim tiba-tiba. Dahi Zaharah berkerut mendengarnya. Dari mana pula ayahnya mendapat berita abangnya pulang dengan perempuan kota.
” pak.”
” Zah. Petang nanti kau pergi beli barang dapur di kedai.” Kata pak Kassim lagi sebelum menghilang di balik dinding luar rumah. Zaharah hanya memerhatikan ayahnya dengan seribu kehairanan.
Awal pagi itu Zaharah bangun awal. Walaupun cuti sekolah dia sudah biasa bangun awal. Telinganya mendengar bunyi ketukan di dinding. Dia pergi melihatnya di tingkap.
” pak. Apa yang bapak buat?” zaharah ternampak ayahnya di luar. Pak kassim tidak menjawab. Zaharah keluar ke beranda.
” pak. Bapak nak baiki rumah kah?” tanyanya lagi apabila melihat Pak kassim menanggalkan sekeping papan yang menjadi dinding rumah mereka. Ayahnya tidak terus menjawab.
” Issh…orang tua ni. Tak nak jawab sudah.” Gertu hati kecil Zaharah apabila melihat gelagat ayahnya. Zaharah balik semula ke bilik. Kemudian muncul semula sambil membawa tuala dan alatan mandian.
Pak Kasim tersenyum bangga. akhirnya dinding rumah yang rosak itu dapat dibaikinya. Yazid tentu suka membawa calon menantunya kelak. Ah..harap-harap calon menantunya itu berhati mulia. Bisiknya.
” pak…”
Kalau Yazid dapat meminangnya dengan cepat kan bagus. Dia boleh sediakan wang belanja perkhawinan anak kesayangannya itu.
” pak. Dari mana bapak tahu abang nak bawa perempuan.”
” bapak Cuma agak saja. Mana tahu abang kau tu betul-betul nak bawa budak tu.” Jawabnya tanpa memandang anaknya. Zaharah sudah selesai membasuh muka. Kelihatan manik-manik air di penjuru dahinya.
” kenapa bapa buang papan tu. Kan masih elok lagi.”
” saja. Rimas bapak tengok. Ganti baru senang mata memandang.” Katanya berbohong tanpa memberitahu tujuan asalnya. Zaharah masuk ke dalam.
Pak kassim duduk di bangku panjang bawah pokok mempelam depan rumahnya. Sawah padi terbentang luas. Bukit Merak berdiri megah. Kelihatan embun menyelimuti puncak bukit tersebut. Dia sengaja membuat bangku panjang yang menghadap pemandangan kampung itu. Dia hanya buat apa yang difikirnya baik. Bangku ini adalah tempat penginapan yang kedua selepas rumah. Dia suka tengok matahari jingga yang menghilang di balik bukit merak itu. Anak-anaknya sudah maklum perangainya. Tak kisah. Tapi bangku ini pun kadang-kadang tempat budak – budak kampung berhenti rehat dan bermain. Paling banyak pada musim buah-buahan. Aku tak ingin bercerita lebih lanjut kisah Pak Kassim dengan bangku ini.
Dia teringatkan Rahimah isterinya. Kemudian anak perempuanya. Akhir sekali anak lelaki tunggalnya Yazid. Mudah-mudahan anak lelaki tunggalnya itu tetap seperti mula-mula datang dahulu. Bergaya, segak, sopan dan tidak lupa makanan kampung. Kalau Yazid balik akan dibuatnya kenduri kesyukuran untuk anaknya sekali kepada arwah isterinya yang pergi dulu meninggalkannya.
” pak..”
Rumah kecil di depan direnungnya. Kali ini bila Yazid balik akan disuruhnya dia membesarkan rumah yang banyak menyimpan kenangan bersama isterinya.
” pak. Dah siap tu.”
Nanti bila Yazid dan Zaharah khawin taklah cucunya tidur di atas lantai ruang tamu nanti. Dulu selepas anaknya yang ketiga khawin, cucunya tambah ramai. Terpaksalah dia menambah bilik lain.
” pak. Apa yang bapak menungkan tu. Sarapan dah siap.” Suara lembut Zaharah menghentikan lamunanya. Dia bangun dan berjalan masuk ke rumah. Sempat lagi kepala tuanya dipanjangkan ke luar mana tahu kalau-kalau Yazid balik pagi itu. Siapa tahu matahari pagi membuka tabir mutiaranya.
” bapak nak ke mana pula tu.” Tanya Zaharah kepadanya apabila dia memakai baju batik hijau. Baju batik ini adalah hadiah Yazid ketika dia pulang yang ketiga kali dahulu. Dia sayang dengan batik itu. Corak yang menarik menambahkan minatnya. Yazid memang pandai membeli untuknya.
Zaharah semakin pelik dengan sikap ayahnya. Sejak akhir-akhir ini ayahnya berkelakuan agak aneh. Ada-ada saja yang dibuatnya. Kejap baiki rumah. Kejap mundar- mandir sambil mencari sesuatu. Kelmarin dulu dia terlihat ayahnya duduk sendirian sambil bercakap seorang diri. Petang itu pergi ke hutan. Semalam pula ayahnya pergi ke hutan. Kerja yang belum pernah dilakukannya seorang diri. Kalau ayah masuk hutan pasti seorang dua anak kampung akan dibawanya. Maklumlah nak pergi berburu. Tup-tup hari ni pula pakai baju batik bercorak elegan. Fikirnya ayahnya itu nak ke pekan. Dibiarkan saja tapi Pak Kasim tidak berganjak dari cermin. Siap dengan gelegatnya. Kepala yang sedikit beruban disapu dengan minyak jelly. Entah bila ayah membelinya. Kemudian ayah mencapai sisir lalu menyikatnya. Ditunggunya lagi ayah tidak keluar. Sudah setengah jam ayah menghias diri. Hendak dikatakan nyanyuk ayah belum mencapai tahap itu. Ayah baru enam puluh tahun. Gila, ishh… ayah masih waras. Cakapnya masih betul. Masih kenal dirinya. Jalannya tak seperti orang gila. Cuma perangainya yang pelik seminggu ini menghairankan dirinya. Mungkin bapa jadi begitu bila mendengar abang Yazid balik. Zaharah pasti sebab ayah berubah bila nama abangnya disebut. Namun keyakinan dan kepastian masuk bercampur dengan keraguan. Zaharah terfikir perkara yang…
” Nauzubillah, mudah-mudahan bapaku tak begitu.” bisiknya.
Pagi itu dia tidak buat apa-apa. Sejak seminggu lalu dia sudah kerjakan tugasnya. Sekarang dia ingin menunggu kepulangan anaknya. Dia tahu Zaharah pasti hairan melihatnya kerana sejak akhir-akhir ini pun gadis perawannya itu kerap benar memerhatikan gerak-geriknya. Biarkanlah. Tadi pun anaknya itu bercakap di telefon.
” Zah tak tahulah kak…” diam sekejap.
” ya, entah..memang pelik.” Kata Zaharah di telefon. Suasana sepi. Dia terus mendengar perbualan anaknya.
” kadang-kadang bapa tu ..” dia tidak lagi mendengar suara Zaharah selanjutnya.
” ish, taklah. Zah pasti bapa tak nyanyuk. Ya..Zah pun fikir begitu.”
” ya..bapa pakai baju hadiah abang.”
” Duduk kat bawah pokok mempelam tu hah…tak tau.”
” tengah tunggu abang mungkin. Zah pun hairan dengan sikap bapa.”
” Zah tak tau… bapa kata abang bawa perempuan kota..”
” ha. Ya..ya.”
” waalaikumsalam.”
Dia tidak mendengar apa-apa selepas itu. Dia tidak terkilan jika anak-anaknya menyatakannya nyanyuk. Yang penting fikirnya anak lelaki tunggalnya Yazid. Dia yakin Yazid akan pulang menemuinya hari ini.
” mungkin dia dalam perjalanan.” Fikirnya. Kadang kala dia tersenyum melihat Zaharah mengintip gerak – gerinya. Terhendap-hendap di bilik. Betul-betul macam mata-mata gelap. Kadang kala dia juga ingin sekali menunjukkan kebijaksanaanya seperti pak Belalang lalu dia pun sengaja tak perasaan walaupun matanya dapat melihat.
” bapak…bapak.” Panggil Zaharah dari dalam apabila mendengar suara ketawanya. Mungkin Zaharah fikirkan dirinya. Zaharah mendekatinya yang sedang duduk di bangku.
” pak. Bapa tunggu abang Yazid ya.” Tanya Zaharah sambil duduk di sebelahnya.
” ya.” Pendek jawapannya.
” pak. Tak payahlah tunggu abang kat sini. Tunggu kat dalam tu..”
” bapak nak sambut abang kau tu.”
” matahari dah nak panas tu. Petang sajalah bapa duduk kat sini lagi.”
” tak payah. Kan masih teduh lagi ni.” Jawapnya lagi.
” bapa yakin abang Yazid datang hari ni?” soal Zaharah lagi.
” ya.”
” suka hati bapalah. Kalau ada apa-apa jangan salahkan Zah.” Ujar Zaharah terkilan dengan sikap ayahnya. Zaharah berjalan masuk ke dalam. Kedengaran bunyi telefon berdering. Seketika kemudian dia terdengar bercakap.
” tengah tunggu abanglah…abang tu sampai hari ni pun tak pernah telefon.
‘ dah tapi tak nak dengar..kesian pula Zah tenggok.
” apa. Ya..ya…waalaikumsalam.” Zaharah meletakkan telefon. Zaharah tak habis-habis bercakap dalam telefon. Entah siapa yang berbual dengannya.
” Zah. Hari ini hari berapa.”
” rabu. Bapa nak ke mana. Nak tunggu abang yazid lagi?”
” ya. Bapa yakin hari ni abang kau tu nak balik. Petang karang bapa nak buat kenduri.”
” betul ke pak. Kelmarin bapa tunggu tapi abang tak datang-datang pun.”
” bapa tak tunggu kat situ. kata Zaharah apabila melihat ayahnya tidak duduk seperti biasa di bangku tersebut.
“emm. Bapa kat sini ajelah. Bapa malas.” Jawabnya. Zaharah senyap kemudian ke dapur.
” ada-ada sajalah bapa ni. Kejap luar. Kejap kat dalam. Lepas tu entah ke mana duduknya.” Kata Zaharah pelahan tetapi tetap didengar olehnya. Dia tersenyum simpul mendengarnya. Dia teringatkan Zaharah. Anaknya yang bongsu ini asyik memerap kat bilik. Jarang sekali keluar. Kalau adapun ketika menyediakan makanan. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang dibuat. Kalau dikatakan belajar takkanlah sampai dekat sehari asyik belajar. Naik jem otak. Dulu dia juga bersekolah jadi tahulah dia sedikit tentang pelajaran ni. Dia tidak mahu memikirkan pasal itu.
” itu haknya. Aku pun senang anak aku begitu. Tak macam anak orang lain. Merayau-rayau ke sini sana. Tak tentu pasal.” Bisiknya dalam hati. Gembira dengan sikap anak bongsunya itu.
Jam di tangan sudah menunjukkan sembilan pagi. Pak Kassim tetap setia di kerusi malasnya. Telinganya menangkap bunyi kereta di halaman rumah. Dia bingkas bangun.
” Yazid dah balik.” Katanya.setelah memerhatikan pakaian batiknya dia berjalan ke muka pintu. Sebuah kereta Mercedes berwarna merah saga berhenti di laman rumah. Dia melangkah ke beranda. Kecerian jelas terpancar di wajahnya. Zaharah juga sudah keluar menyusulnya.
Pintu kereta terbuka kemudian tidak lama Yazid keluar dari dalam. Dia melihat Yazid semakin berubah. Yazid memakai baju T sendat dengan seluar jeans biru. Anaknya itu kelihatan segak bergaya. Rambutnya yang hitam disikat dengan kemas. Yazid juga sudah pandai menyimpan kumis nipis. Yazid melangkah ke arahnya. Zaharah juga mungkin perasaan perubahan abangnya.
” Assalamualaikum pak..”
” Waalaikum salam. Kau dah balik nak.” Katanya sambil menuruni tangga. Yazid menyalami dan mencium tanganya. Mereka berpelukan. Seketika kemudian Zaharah datang menyusul dan menyambut tangan abangnya.
Pak Kassim memandang kea rah kereta. Yazid yang menyedari gelagat pak Kassim menjadi hairan. Zaharah memberitahu abangnya. Yazid yang mendengar penerangan Zaharah ketawa besar. Pak Kassim terkejut mendengar. Selama ini Yazid tidak pernah ketawa seperti hilang akal lakunya. Zaharah juga terkejut dengan sikap abangnya.
” pak. Dari mana pula bapa tahu Yazid bawa awek.” Tanya Yazid masih dengan tawanya yang belum reda Cuma tidak kuat. Pak Kassim mengaru kepalanya.
” bapa Cuma agak saja. Siapa tahu hari ni kau bawa budak perempuan tu. Ehh..siapa namanya. Shamsinar ke.” Jawabnya.
” emm. Yazid memang tak berhajat nak bawa dia balik pak buat masa ni. Eh..Zah, baik-baik bawa beg tu. Ada benda di dalam. ” pak Kassim memandang kearah Zaharah yang sedang sibuk mengangkat beg-beg besar abangnya.
” emm. Bapa fikir kau nak bawa perempuan tu Zid.” Terang Pak Kassim. Zaharah yang sedang berada di kereta menjeling kea rah bapanya.
” masuklah pak. Abang…” ujar Zaharah sakan mendahului dua beranak itu ke dalam rumah.
” sengaja pak. Tak nak susah-susahkan bapa.” Kata Yazid. Tangannya menyibarkan bajunya yang ketat.
” kenapa” dia hairan.
” panas.” Pendek jawapan Yazid.
” alah..maklumlah tak ada kipas. Bukan macam kat Bandar ada penghawa dingin.” Ujarnya lagi.
” Yazid bukannya tak nak bawa Shamsinar, tapi tak ada masa. Lagipun dia anak kota pak. Tak biasa duduk kampung. Nanti bila bapa dan Zah dah bersedia Yazid akan bawa.” Pak Kassim diam. Kalau Yazid nak bawa dia sudah lama bersedia. Sudah seminggu dia buat persedian semata-mata untuk Yazid dan Shamsinar. Jika nak dikata dia tak bersedia tak juga. Kalau Zaharah, mungkin dia belum bersedia. Fikirnya.
Dia merenung teh di depannya. Yazid menyuruh Zaharah membancuh teh yang dibawa olehnya dari kota. Jadi beg besar yang diangkat Zaharah tadi adalah barang-barang makanan dari kota. Beg pakaian Yazid hanya muat untuk beberapa helai baju. Belum pernah dia merasa teh orang kota. Tidak macam kopi. Bancuh dalam bekas besar, Cuma taruh dalam cawan. Tuang air panas dan bancuh di situ juga. Lucu juga bila teringatkan Zaharah mahu membancuh serbuk teh tadi ke dalam jag. Yazid menunjukkan cara-cara membuat. Zaharah yang tidak tahu apa-apa hanya mengikut perintah abangnya. Disuruh ambil cawan, Zaharah mengambilnya. Suruh mengambil air panas Zaharah mengikut saja. Suruh smbil sudu dan talam, Zaharah tidak membantah walaupun berulang kali ke dapur.
Dia pula hanya memandang mereka berdua. Zaharah tidak pernah melihat serbuk minuman itu. Cara orang kota yang lebih mudah. Zaharah tidak pernah ke kota. Keluar rumah jarang sekali. Inikan pula nak ke kota. Pergi pekan pun sangat terhad. Kalau tiada urusan Zaharah tidak akan pergi. Dia lebih suka memerap di bilik. Jadi bila nampak benda baru terkulat-kulat tak tahu nak buat apa walaupun benda itu mudah untuk membuatnya.
” bapa nak buat kenduri malam ni untuk kau sekali untuk emak kamu.” Terangnya pada Yazid. Yazid tidak membantah kerana merasakan dia lebih tahu pasal itu.
Pak Kassim memandang jauh orang kampung yang pulang selepas kenduri sebentar tadi. Yazid yang sudah naik masuk ke dalam setelah melayan tetamu yang pulang. Zaharah pula ke dapur mengemas barang. Dia berasa lega kerana kenduri yang dijalankan berjalan lancar.
” masuklah tidur Yazid. Bapa tengok kau penat saja.” Katanya bila melihat Yazid terbaring lesu di kusyen. Dia berasa kasihan melihat anak kesayangannya itu. Yazid tidak menjawab terus masuk ke bilik. Pelahan.- lahan dia berasa terkilan dengan anaknya. Dia teringatkan Yazid ketika makan tadi agak canggung menggunakan tangan. Masa makan tengah hari tadi Yazid makan dengan sudu. Katanya dah biasa walhal dulu anaknya itu membesar dengan tangan kanan. Tetapi dia tidak ambil kisah tentangnya. Walauapapun perbuatan Yazid, Yazid tetap anak lelaki yang diasayangi dan dirinduinya.
” pak. Abang dah berubah Zah rasa. Bapa perasaan tak.” kata Zaharah kepadanya.
” berubah macam mana pula.” Dia pura-pura tidak tahu.
” abang dah tak pakai tangan masa makan. Lepas tu masa mandi pun Zah nampak abang tak pakai telaga. Abang mandi dengan air paip tu campur dengan air panas.”
“emm itu saja. Itu bukan berubah namanya Zah. Biarkanlah dia. Kan di kota tu dah biasa agaknya. Makan pakai sudu. Mandi …abang kau tu kesejukan. Inikan kampung bukan KL. Selagi tak tinggal tikar sembahyang abang kau tu tetap seperti dulu.” Pak Kassim tetap mempertahankan Yazid.
” hah. Tak usahlah difikirkan sangat pasal tu. Dah siap kemas pergilah tidur.” Sambungnya lagi.
” bapak.”
” bapa belum mengantuk.”
” suka hati bapalah..Assalamualaikum.”
” Waalaikum salam.”
” bukan macam itu, hah macam ni. Satu pakai sudu. Tangan ni pakai garpu. Kalau nak potong daging. Letak ni, potong pakai pisau. Yang ni jangan dilepaskan. Hah begini…nampak tak.
” bapa tak tahu nak potong daging ni.
” belajar pak…Zah dah tahu kan. Tunjuk bapa.”
” yang ni nak buat apa pula.”
” napkin pak. Nak lindungi pakaian daripada kotor masa makan.” Pak Kassim mengangguk.
” kau nak buat apa tunjuk kami berdua ni Yazid.”
” Yazid nak bawa Shamsinar balik sini pak. Jadi sebelum tu Yazid nak ajar bapa dan Zah cara ni. Taklah kekok sangat masa dia datang. Shamsinar tu orang KL pak. Tak biasa duduk kampung. Kalau makan mesti pakai sudu.” Terang Yazid panjang lebar.
” kalau macam tu bapa kena tambahkan sudu dan pisau dalam rumah ni ye bang.” Zaharah berkata tiba-tiba. Menyindir sikap abangnya. Pak Kassim tidak perasaan. Yazid tidak mempedulikan ataupun berpura-pura tidak faham sindirannya.
” ya, begitulah agaknya.” Kata Yazid.
” lepas ni nak belajar apa pula bang?”
” kita belajar ni dulu.”
” kak Sham tu tentu cantik kan bang. Kulitnya putih melepak, pakaian yang mahal berjenama. Emm, tentu tudungnya pun mahal-mahal. Orang kaya katakan.” Sindir Zaharah lagi.
” Zah apa yang kamu cakap ni.”
” kak Sham tu sama tak dengan kak Nora bang. Sopan, baik…hormat orang tua.”
” Zah.”
” kak Sham tu tentu berpendidikan tinggi. Masuk u keluar u. lepas tu masuk balik.”
” betullah tu Zah..”
” Zah tak baik kau cakap gitu. Siapa ajar kau biadap sangat.” Tanya pak Kassim tidak senang dengan sikap Zaharah. Zaharah berlalu sambil mencebik bibirnya. Dia tidak suka dengan sikap abangnya. Kenapa mereka pula yang harus belajar cara hidup orang Bandar. Kalau orang Bandar nak masuk sini sibuk buat itu ini. Sedia sini sana. Semestinya yang nak masuk sinilah yang harus belajar cara hidup orang kampung. fikirnya.
” kasihan bapa, bapa tak tahu perkara itu. Bapa tidak sedar dirinya dijadikan boneka hidup-hidup..” malam itu Yazid dan Pak Kassim berbincang lagi.
” biarkanlah benda-benda ni duduk kat sini Yazid. Lagipun masih elok digunakan.”
” tapi perabot ni dah lama bapa. Dah buruk. Tak manis dipandang.”
” ini kampung Zid. Orang kampung tak pandang ni semua. Kalau kau nak ganti bapa tak setuju. Lagipun barang-barang ni semua bapa dan emak kamu yang beli dulu. Tunggulah bila bapa dah tak ada.”
” pak. Kalau kak Zainab, kak Farah, kak Sofia tu dengar niat saya mereka pun tentu setuju pak. Perabot ni bukannya kita buang. Kita beri pada orang lain.
” kau nak ganti apa kerusi, almari dan meja ni.”
” perabot yang baru pak. Lebih cantik.”
” tambahkan ajelah. Tak payah buang.”
” tak boleh pak. Mesti ganti semua. Kalau tak ganti semua yang buruk tu cacatkan pandangan.
” emm..”
” Sham tak suka semua ni pak. Dalam rumahnyanya semuanya cantik. Kalau buruk macam ni tak mainlah.” Kata Yazid sambil memegang dinding kerusinya.
” kau bawa ajelah dia tu kat sini. Biar dia rasa suasana kampung macam mana.”
” issh..malu pak.”
” kenapa.”
Selepas itu tidak kedengaran lagi perbualan dua beranak itu. Masing-masing membatukan diri. Sesekali kedengaran keluhan kecil keluar dari bibir tuanya. Yazid memandang ayahnya.
” Zid. Bapa tak halang kalau kau nak khawin. Bapa juga tak halang kalau kau nak bawa budak tu kat sini. Bukan bapa tak setuju kalau kau nak baiki rumah ni. Memang itu hajat bapa. Kau nak beli perabot baru bapa tak kisah. Tapi bapa rasa kalau kau nak ubah semua kat sini pun kerana nak jaga hati dia baik tak payah.” Kata pak Kassim kemudian. Yazid hanya membisu mendengar penjelasan lanjut darinya.
” kita tak payah nak jadi orang lain. Kita tak payah ikut cakap orang. Kalau kau nak bawa Shamsinar tu jumpa bapa dia mesti bersedia menerima keadaan ini. Suasana orang kampung. Kita orang kampung Zid. Bukan orang kota. Walauapapun kau nak lakukan kat kampung ni ia tetap tak berubah.” Terangnya lagi. Entah dari mana dia dapat kekuatan untuk menyatakannya. Dia sudah mula kesal dengan sikap anaknya. Dia mula sedar dengan perubahan yazid.
” jadi..”
” jadi..bapa tak kisah kau nak bawa dia atau tidak. Cukup.” Dia juga tidak tahu dari mana dia dapat ketegasan seperti itu.
” bapa ni kolot betullah. Tak nak buat perubahan langsung. Macam mana nak maju. Tak jadilah aku nak bawa calon menantu lagi bapa tu kat sini.” Yazid berkata dalam hatinya. Pak Kassim sudah tiada lagi.
Pagi-pagi lagi Yazid sudah mengemas begnya. Dia juga sudah siap berpakaian kemas. Zaharah dan pak Kassim menjadi hairan.
” kau nak ke mana Zid/”
” balik pak.”
” hah..” pak Kassim terkejut sakan. Baru kelmarin dia pulang takkanlah dia balik awal. Zaharah hanya memandang abangnya yang sedang bersarapan.
” awal sangat nak balik.” Kata Pak Kassim berbasi-basi. Kepulangan anaknya sekarang amat berlainan daripada dahulu. Kejutan demi kejutan dibawa oleh Yazid. Belajar cara hidup kotalah. Kemudian mahu beli barang untuk Shamsinar, calon menantunya kalau dapat. Hari ni nak balik padahal baru dua hari. Itupun yang sehari tu tak penuh.
” merajuk ke dia ni.” Suara hatinya berkata. Nasi goreng yang dimakannya terasa sukar untuk sampai di kerongkong.
” lain kalilah pak. Sebenarnya Yazid ada kerja nak buat. Yazid ambil cuti ni pun dalam keadaan terpaksa.”
Sekali lagi dia terasa kerongkongnya tersendat. Cepat-cepat tangannya mengambil gelas berisi air kemudian meminumnya. Dia tidak mahu anaknya menyedari kepayahannya. Selera makannya hilang. Kenapa Yazid sanggup buat begitu. Dia tidak pernah meminta anak lelakinya itu pulang menemuinya. Malah Yazid sendiri yang menyatakan dia akan pulang ke kampung.
” kenapa abang ambil cuti dengan terpaksa. Bukannya kami mahu.” Zaharah amat marah dengan sikap abangnya. Dia merasakan mereka berdua telah dipermainkan.
” atau abang malu tinggal lebih lama kat sini.” Zaharah membidas abangnya lagi. Sakit hati melihat abangnya.
” sudahlah. Kan abang dah terangkan tadi.”
” Zah tahu abang marah dengan bapa atau abang tak dapat lupakan kak Shamsinar buah hati abang.” Soal Zaharah lagi terus menerus.
” cukup… tak payah bergaduh. Zid kalau kau nak balik. Baliklah. Bapa dah batalkan semua rancangan tu.” Pak Kassim bersuara lantang menghentikan pertengkaran anak-anaknya. Yazid dan Zaharah merenungnya.
Sejak kepergian Yazid pagi itu pak Kassim sering termenung. Bangku panjang di bawah pokok mempelam yang sudah lama tidak dijejaki semenjak kepulangan Yazid kini dijadikan penginapan keduanya. Matanya merenung jauh di puncak bukit Merak.
” abang dah balik.”
” dua hari je.”
” apa.”
” bapa kecil hati.”
” perempuan kota tu Shamsinar.”
” ya..Insya Allah…Zah tak akan lupa.”
” Waalaikum salam.” Zaharah meletakkan telefon. Zaharah mendapatkan ayahnya.
” pak.” Tiada jawapan.
” pak.” Pak Kassim tidak menjawabnya. Dia teringatkan Rahimah. Kalaulah Rahimah ada tentu dia tidak keseorangan. Kemudian dia teringatkan anak-anaknya.
” pak.”
Dia teringatkan Yazid. Anak kesayangannya. Yazid sudah berubah. Kampung sudah bukan baginya. Hati anaknya itu sudah dibawa bersama arus kota. Yazid bukan lagi manusia kampungan. Cara hidupnya sudah sebati dengan cara hidup orang kota. Dia tidak pernah tahu cara hidup orang kota. Bila Yazid anaknya itu pulang baru dia mengetahuinya. Cara makan mesti lengkap kedua-dua tangan dengan sudu dan garpu. Benarkah begitu. Kalau mandi, mandi dengan air suam. Cuma di kampung ini masak air panas dulu kemudian tuang dalam besen. Campur air sejuk. Kalau pasal perabot rumah. Tiap tahun harus berganti. Sebelum ini dia hanya tahu serba sedikit pasal manusia kota.
” pak. Masuk Pak. Hujan dah nak turun tu.”
Dia cuba membayangkan wajah calon menantunya, Shamsinar. Wajah cantik, bertubuh langsing., bajunya berjenama mahal. Sendat. Tak bertudung menampakkan rambut yang hitam mengurai. Dia juga terbayangkan cara berjalan. Kemudian cara bercakap. Lembut kemudian kasar.
” angin kuat ni pak. Nanti bapa sakit.”
Kemudian dia juga membayangkan keadaan Shamsinar bila Yazid membawanya ke kampung ini. Sumbang, kekok dan macam-macam lagi. Dia memejamkan matanya lama-lama. Cuba menyenangkan perasaan dan fikirannya.
Sekarang dia tidak mahu memikirkan tentang Yazid dan Shamsinar. Kerinduannya kepada Yazid sudah hilang. Kebanggaannya terhadap Tazid sudah luput dalam dirinya. Baginya Yazid sama seperti anak-anaknya yang lain. Dia bingkas bangun.
” pak.”
” jangan bimbang. Bapa tak kisah ada Yazid tak ada sama saja.” Katanya memutuskan kegusaran Zaharah. Dia melangkah masuk ke dalam.
Zaharah hanya memerhatikan pak Kassim dengan hairan. Ayahnya bila-bila sahaja boleh tersenyum meriah padahal tadi wajah ayahnya agak murung.
” pelik..mesti beritahu kakak ni…” bisiknya pelahan. Zaharah melangkah masuk ke dalam mengikut ayahnya yang lebih dulu daripadanya.
Begitulah kisahnya. Sejak kejadian itu Pak Kassim sudah tidak memikirkan Yazid lagi, anaknya yang disayangi melebihi kasih sayang terhadap anaknya yang lain.
Begitukah kehidupan Kota? Aku hairan kenapa orang begitu mengagungkan orang kota. Adakah namanya sahaja yang begitu agung lalu orang kampung memandang tinggi dengannya. Kenapa orang memandang rendah pada orang kampung seperti aku. Walhal semua kelukaan dan kedukaan datang dari kota. Lihat sahaja di mana-mana media massa. Kes jenayah dari kecil sehingga yang besar semuanya datang dari kota yang katanya syurga kepada dunia. Ah, sebenarnya kota bukannya syurga tapi neraka dunia.
Di manakah letaknya penjara, makhamah? Kalau bukan di kota. Semua kemudahan itu tidak diperlukan di desa. Dalam erti kata yang sebenar kampunglah syurga di dunia. Tapi orang lain buta hati. Tidak tahu menilai intan dengan permata. Kampung hanya dijadikan penginapan yang terakhir. Begitu hina sangatkah yang dikatakan kampung. Namun yang pasti orang kota tetap akan menjadi orang kampung suatu hari nanti.
Hak cipta Terpelihara:
S. Hana Ak














apa punya ank daa!!
lpa daratan plk da…
hohoohoh..
apekah>
x faham…~
jgn terlalu menghukum..org desa mungkin jakun bila ke kota, tp mcm mana pula ngan org kota yg jijik dgn kehidupan di desa???? manusia sama saja
perempuan mcm shamsinar tu x payah dijadikn isteri…..
buat susah orng je perempuan tu,,,,,
sedih ,,,,
erm…

bley ar thn…
ak skong dgn cerpen nie…
jgnlah kte lupa dri ble kte kat kota ke kat mne ke…
jgn lupakn asal usul kte…
ok!!!
truskn bkarya…
chayok2!!!!
org mana2 pun sma jah…