Cerpen : Kerja Bertangguh Tak Menjadi

18 January 2010  
Kategori: Cerpen

4,005 bacaan 6 ulasan

Oleh : fatihi razali

Malam yang indah. Bintang yang berkelip-kelip serta bulan yang mengambang penuh menerangi waktu malam setelah matahari puas memancar sinarnya di kala siang untuk dimanfaatkan sejuta umat manusia. Begitu besar kekuasaan Yang Maha Pencipta yang kasih akan hamba-hambaNya. Jutaan umat basah bibirnya mengucapkan syukur sebagai tanda terima kasih bertaraf hamba kepada Yang Maha Pencipta. Keindahan malam yang perlu direnung setiap hambaNya, adakah hari ini lebih baik daripada semalam. Adakah hari ini semuanya telah disiapkan mengikut waktunya tanpa bertangguh menunggu esok?

“Im, asyik tengok TV je. Dah habis study ke? SPM dah dekat. Kan, last minute, baru nak study.”nasihat seorang ibu kepada puteranya,Naim.

Naim masih ingat kata-kata ibunya sewaktu di alam persekolahan dahulu. Nasihat itu masih terngiang-ngiang di kelopak telinganya. Gemersik suara itu seakan memukul kembali gegendang telinga sehingga otak membuka kembali fail lama yang tersimpan dalam memori. Sepatutnya Naim sedar, nasihat yang berguna daripada ibunya dijadikan panduan baginya dalam meneruskan kehidupan di alam kampus. Sekarang tiada apa yang mampu Naim lakukan melainkan terpaksa menambah satu lagi semester hanya kerana tidak lulus dalam projek tesis. Projek tesis diwajibkan oleh setiap pelajar untuk melayakkan diri tamat pengajian dan seterusnya bergelar graduan.

Naim merebahkan diri di katil dan lengannya disilangkan menutup dahi sambil mengimbas kembali perjalanan projek tesisnya. Kitab sejarah lepas yang perlu dimuhasabah dengan hati yang tenang.

“Assalamualaikum Prof. Boleh saya berbincang dengan Prof?”Tanya Naim sambil melemparkan senyuman.

“Waalaikumussalam. Hah Naim, apa yang boleh saya bantu?”Tanya Prof.Kamil

“Hmm….saya dapat tahu Prof ada tajuk untuk projek tesis semester ni. Kalau boleh saya ingat nak jalankan projek tesis berdasarkan tajuk yang prof cadangkan.”kata Naim dengan nada yang semangat.

“Hmm…maaf la Naim. Semuanya dah ada pelajar yang ambil,”jawab Prof. Kamil.

“Semua dah penuh? Tolonglah Prof, bagi saya satu tajuk. Dah banyak lecturer saya cari. Tapi semuanya penuh. Tinggal Prof je. Kalau tak, tak grad la saya kalau tak buat projek tesis,” Naim merayu dengan penuh harapan sambil kedua tangannya disilang memohon belas kasihan.

“Hmm….saya ada satu tajuk. Tapi saya takut awak tak mampu buat. Sebab ianya memerlukan fokus yang betul. Perlu pandai menguruskan masa. Tajuk ni belum pernah saya offer lagi. Tapi Insyaallah, kalau komitmen yang jitu tanpa bertangguh melakukannya, Insyaallah berjaya”jawab Prof Kamil.

“Tajuk apa tu Prof? Saya harap saya dapat lakukannya,” tanya Naim dengan penuh minat.

Prof Kamil pun mencadangkan kepada Naim tajuk untuk projek tesisnya. Naim gembira akhirnya kerana mendapat tajuk untuk menjalankan projek tesisnya dan seterusnya melengkapkan jam kreditnya untuk bergelar graduan. Bergelar graduan adalah hadiah bermakna buat ibunya di kampung. Naim mengimpikan senyuman ibunya yang lebar terukir di wajah saat kakinya melangkah naik ke pentas konvokesyen untuk menerima sekeping pengiktirafan dunia yang bergelar ijazah sarjana muda.

“Im, kat U nanti, belajar rajin-rajin. Jangan bertangguh. Mak risau dengan kau Im. Asyik bertangguh je nak buat sesuatu. Selalunya kerja last minute tak sempurna hasilnya,” pesan ibunya sebelum menjejakkan kaki di kota ilmu yang penuh dengan perlumbaan mengejar masa yang subjektif pengertiannya. Cabarannya besar dan berbeza ketika berada di taman ilmu dimana cikgu-cikgu mempunyai banyak masa untuk membantu.

Biarpun ibunya tidak berpelajaran tinggi, tetapi setiap insan yang berjuang mengerti akan kerja bertangguh selalunya tak menjadi. Apatah lagi, seorang ibu dapat membaca dan memahami setiap hati, perasaan dan sikap anaknya sejak anaknya diizinkan Allah SWT, lahir ke dunia untuk menjadi khalifah di muka bumi. Fitrah seorang ibu yang dicampakkan naluri yang suci ke dalam hatinya. Maka, wajib akan seorang anak itu taat dan patuh akan perintahnya.

Selepas Naim mendapat tajuk projek tesisnya, Naim berlari riang ke hostel. Setiap langkah bagaikan kuda yang berlari kencang dan penuh bertenaga. Naim mula merencana rancangan untuk menjalankan projek tesisnya. Jadual untuk menyiapkan projek tesisnya dilekatkan di dinding supaya mudah matanya melihat apa yang perlu dibuat. Suatu langkah yang betul dan berjaya.

“Wah! Im, dapat tajuk tesis nampak. Siap dengan jadualnya sekali. Bagus. Jangan jadual tu jadi pameran dah la. Jadual entah ke mana, tesis entah ke mana,” kritik Aiman, rakan sebiliknya di hostel dan juga rakan sekuliahnya.

“Alah, aku akan buat sedaya upaya aku ikut jadual ni. Lagipun ni sem terakhir aku,” jawab Naim.

“Ye la. Aku doakan. Aku ni sebagai kawan kau, cuma nasihat je. Kau tu selalu je bertangguh nak buat kerja,” kata Aiman.

“Itu baru kawan bro… Eh, apsal bau orang kentut je ni? Kau kentut ek?” Tanya Naim sambil memicit hidungnya yang tidak tahan bau kentut seakan bau ammonia di dalam makmal.

“Sedap-sedap je tuduh aku. Tapi memang aku pun…..hahaha…tak sengaja bro,”kata Aiman sambil tersengih ketawa.

“Tak guna kau Man. Sesuka hati kau je kentut dalam bilik ni. Nah, amik!’ kata Naim sambil membaling bantal ke arah Aiman. Mereka memang selalu saja bergurau sejak mereka mula-mula berkenalan sewaktu memasuki kota ilmu.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Naim masih belum memulakan projek tesisnya. Naim juga jarang berjumpa dengan Prof Kamil untuk membincangkan perkembangan projek tesis. Hari-hari yang berlalu sunyi dengan keghairahan menyiapkan tugasan sedangkan tarikh akhir untuk projek tesis dihantar semakin hampir.

“Im, aku tak nampak lagi kau sibuk dengan projek tesis kau. Setahu aku tarikh nak hantar tak lama lagi kan?” Tanya Aiman.

“Alah, nanti aku buat la. Lambat lagi la nak hantar. Lagipun, tajuk aku bukan susah sangat pun. Kalau nak, satu hari aku boleh siapkan,”jawab Naim sinis sambil mengemaskan barang-barang ke dalam beg.

“Suka hati kau la Im. Takut nanti last minute mula la gelabah. Siap tu memang la siap. Tapi sekadar melepaskan batuk di tangga,” balas Aiman.

Naim tidak menghiraukan kata-kata Aiman. Dia terus keluar bilik dengan membawa beg galasnya. Tiada lagi kata-kata yang keluar dari lidahnya. Hanya reaksi muka yang mencebik memandang sinis nasihat rakannya. Naim adalah seorang pelajar yang pintar. Setiap semester Naim mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir. Tetapi, dalam menyiapkan projek tesis, Naim leka dan merasakan dapat menyiapkan projek tesis dalam masa yang singkat. Berbuih mulut rakannya menasihati Naim supaya memulakan projeknya tetapi hanya melekat di cuping telinga, tidak sampai turun ke hati, naik tiba ke otak.

Projek tesis memerlukan penumpuan yang betul. Ianya memerlukan rujukan yang banyak dan betul untuk menyokong fakta-fakta yang dikemukakan. Setiap perincian ada hujahnya. Tidak boleh mengemukakan teori tanpa sokongan bukti yang betul. Tidak semudah yang disangka. Projek tesis berbeza dengan peperiksaan. Seorang pelajar yang pintar dalam menjawab peperiksaan tidak semestinya pandai dalam menyiapkan projek tesisnya. Ianya memerlukan usaha dan pengkajian yang berterusan. Paling penting, semangat untuk terus berusaha dan meninggal jauh kalimah putus asa.

Naim terus leka tanpa risau akan projek tesisnya sehingga pada suatu hari Naim tersedar dari lamunan. Naim teringat kembali pesan ibunya sewaktu mula-mula melangkah kaki ke kota ilmu.

“Man, hari ni berapa haribulan?” Tanya Naim.

“Aih, sampai tak ingat haribulan dah. Hari ni 15 haribulan.” jawab Aiman.

“Hah, 15 haribulan. Alamak, tesis aku! 30 haribulan ni kena submit. Tinggal dua minggu lagi?” kata Naim sambil menggaru-garu kepala dan matanya memandang jadual yang dilekatkan pada awal semester dulu.

“Aku ingat 29 haribulan baru nak buat,” perli Aiman sambil sibuk menulis nota.

“Dah la perli aku Man. Aku tau aku salah. Dah la, aku nak gi perpustakaan. Cari rujukan,” jawab Naim. Naim bergegas mengambil begnya dan menuju ke perpustakaan.

Naim mula sedar tentang kesilapan dirinya. Dua minggu sahaja lagi untuk menghantar projek tesisnya. Sedangkan projeknya baru sahaja dimulakan. Projek yang sepatutnya cukup untuk satu semester disiapkan, disia-siakan Naim. Dua minggu, tidak cukup untuk menyiapkan projek tesis dengan sempurna. Naim mula gelabah menghadapi situasi ini.Timbul perasaan gelisah dan resah jika projek ini tidak dapat disiapkan,maka semester baru terpaksa ditambah. Perbelanjaan juga bertambah untuk membayar yuran pengajian, hostel dan makan minumnya di kampus. Biasiswanya hanya menanggung pengajian sehingga semester yang terakhir seperti yang termaktub dalam perjanjian. Segala perbelanjaan untuk semester yang ditambah memerlukan pembiayaan sendiri.

Naim mula teringatkan susah-payah ibunya di kampung. Naim tidak sampai hati meminta wang daripada ibunya untuk menampung perbelanjaan semester baru semata-mata tidak lulus hanya kerana satu projek tesis yang bertangguh untuk disiapkan. Naim tidak menghiraukan semua itu. Naim berusaha sedaya mungkin menyiapkan projek tesisnya. Hidupnya penuh dengan tekanan. Tiada lagi masa untuk berhibur. Apatah lagi masa untuk membersihkan diri. Perpustakaan menjadi tempat dirinya bertapa. Naim juga tidak dapat fokus untuk subjek-subjeknya yang lain. Pembahagian masa untuk mengulangkaji subjek dan menyiapkan projek tesis sudah tidak teratur.

Pada waktu ini, Naim mudah naik angin. Jika ada cucukan jarum gurauan, maka balasannya ialah hamburan kata-kata kesat yang menguris hati. Tiada lagi ruangan untuk berkomunikasi antara rakannya. Setiap masa Naim hanya fokus untuk menyiapkan projek tesisnya.

“Im, saya dengar awak sekarang stress. Betul ke?”Tanya Husna setelah menelefon Naim.

“Awak jangan call saya. Saya sibuk sekarang ni,”jawab Naim sambil terus mematikan panggilan.

Husna rasa terkilan. Tidak pernah Naim berkelakuan seperti ini. Husna kenal dengan perangai Naim yang suka bergurau dan ketawa. Husna dan Naim adalah pasangan kekasih. Mereka mula kali pertama bertentang mata sewaktu terlibat dalam aktiviti persatuan. Sejak dari itu mereka mula berkawan rapat sehingga membuahkan bibit-bibit cinta. Terkadang, Naim juga berasa bersalah kerana sudah bercinta semasa masih lagi dalam pengajian. Waktu untuk menumpukan sepenuhnya perhatian pada pelajaran, bukannya memadu kasih di celah-celah lipatan buku cinta. Husna juga senang berkawan dengan Naim yang sentiasa suka menolong jika Husna memerlukan bantuan. Tetapi Naim silap, dia tidak dapat membantu dirinya sendiri untuk berubah supaya tidak menangguhkan sesuatu kerja.

Husna tahu di mana hendak mencari Naim. Perpustakaan. Ya, tepat jangkaan Husna. Kelihatan Naim yang sedang sibuk membelek-belek buku yang bertimbun di atas mejanya. Himpunan buku-buku di atas mejanya membuatkan pelajar sekeliling kagum dengan ketekunan Naim. Lagaknya seperti seorang professor muda yang sibuk dengan kajiannya. Naim tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Dalam hatinya tidak kisah dengan sindiran orang asalkan projek tesisnya siap. Jari-jemarinya menari asyik di atas papan kekunci laptop, mencatat segala maklumat yang ditemui, dan kadang kala mengeluh sendirian apabila tersalah menaip. Naim yang hanyut dalam dunianya yang tertekan mengejar masa untuk menyiapkan tugasan yang bertangguh.

“Baik aku kenakan Naim. Dulu dia pernah kenakan aku time macamni la. Kita tengok siapa yang kena,”getus hati Husna.

“Waa…….,”sergah Husna sambil mencuit pinggang Naim.

Naim yang tengah hanyut dengan dunianya terperanjat lalu timbul rasa geram dan marah.

“Eh, Awak! Time macamni pun nak bergurau ke. Tak nampak ke saya tengah sibuk. Kan tak pasal-pasal buku ni melekat kat muka awak!” sergah Naim sambil memegang buku semacam hendak membaling buku ke arah Husna. Pelajar sekeliling berpaling memandang Naim kerana terkejut mendengar suara Naim menjerit memarahi Husna. Husna berasa sangat malu dan terus berlari keluar. Air mata Husna mula bergenang di kelopak matanya. Dia cuba tahan sehingga sampai di tandas, air matanya jatuh membasahi pipi. Husna berasa sedih dan menangis sendirian. Gurauannya menyebabkan dirinya dimarahi Naim di depan pelajar lain. Husna menangis dan bertanya kenapa Naim sanggup memarahinya di depan pelajar lain sedangkan sebelum ini mereka bergurau begitu tanpa ada sedikit pun rasa marah. Naim yang dulunya suka bergurau berubah menjadi seorang yang serius dan cepat melenting.

Naim duduk semula sambil tidak memperdulikan pelajar di sekeliling. Projek tesisnya tinggal dua hari lagi untuk dihantar. Pecutannya diteruskan. Tiada lagi masa untuk menghiraukan orang sekeliling. Apatah lagi memperdulikan dirinya sendiri. Makan, mandi, tidur sudah tidak teratur. Bagi Naim, hanya dua hari lagi dirinya perlu berkorban.

“Husna, kenapa ni? Kenapa menangis ni?” Tanya Aina, rakan sekelas Husna ketika ternampak Husna menangis di dalam tandas perpustakaan. Kebetulan Aina mencari buku di perpustakaan. Husna tidak menjawab pertanyaan Aina dan terus memeluk erat sambil menangis teresak-esak menanggung sedih.

“Ok.Ok. Takpa. Takpa. Kita balik hostel dulu. Kat hostel kita cerita. Dah. Dah. Jangan menangis. Tak baik menangis lama-lama kat sini. Ambil kain ni, cuci muka. Aku temankan kau balik hostel. Jom,” kata Aina dengan nada memujuk dan mententeramkan Husna. Husna hanya mengikut kata-kata Aina.

Sampai di hostel, Husna menceritakan segala yang telah berlaku di perpustakaan tadi. Kebetulan Aina ialah sepupu kepada Aiman, rakan sebilik Naim. Aina pun menceritakan apa yang terjadi antara Naim dan Husna kepada Aiman agar Aiman dapat menasihati Naim. Aiman faham akan keadaan yang berlaku dan cuba untuk menasihati Naim.

Akhirnya, Naim dapat menyelesaikan projek tesisnya. Dia berasa lega. Segala bebanan yang ditanggung selama dua minggu akhirnya hilang setelah laporan projek tesisnya dihantar kepada Prof Kamil untuk dinilai. Di bilik, Naim merebahkan diri ke katil dalam keadaan meniarap. Mukanya disembam ke bantal. Dia mahu melupakan segala keperitannya menyiapkan projek tesis dalam masa yang singkat.

“Im…,” tegur Aiman.

“Aaa…,” jawab Naim sambil mukanya terus disembamkan ke bantal. Matanya rasa begitu berat tanda mahu lena merehatkan diri.

“Aku nak cakap sikit. Harap kau tak marah,” kata Aiman.

“Apa dia?” Tanya Naim sambil mengangkat muka berpaling ke arah Aiman.

“Aina ada bagitau aku. Kau dengan Husna bergaduh,” jawab Aiman.

“Gaduh kecik je. Biasa la tu. Kau tak yah amik tau la,” kata Naim.

“Tapi Husna tiap hari nangis. Tak nak makan. Kau kena cakap dengan Husna. Aina banyak kali bagitau aku,” kata Aiman.

“Biar la. Orang perempuan memang camtu. Nak kena pujuk,”jawab Naim selamba.

“Tapi Im, kau tak……..,”Aiman tak sempat menghabiskan kata-katanya.

“Eh, yang kau sibuk pasal hal peribadi aku ni kenapa? Aku tak pernah pun tanya hal peribadi kau kan?” pintas Naim.

“Ye la. Kita kan dah lama kawan. Lagipun….,” jawab Aiman.

“Dah. Dah. Cukup. Aku nak tidur. Dah berapa hari aku tak cukup tidur. Kalau kau nak membebel, kat luar ok,” bentak Naim.

Aiman diam seribu bahasa. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Dia faham dengan perangai Naim, kalau begitu katanya, begitulah. Tiada lagi persoalan. Titik noktahnya tidak memberi peluang orang lain bercakap.

Keesokan harinya, Prof Kamil memanggil Naim kebiliknya. Naim mula kecut perut. Dia menjangkakan ada masalah dengan projek tesisnya. Kakinya digagahi juga melangkah ke bilik Prof Kamil.

“Naim, kamu tahu kenapa saya panggil kamu. Cuba kamu tengok balik projek tesis kamu. Metodologi kajian tidak kemas. Keputusan dan kesimpulan kamu tidak mengikut objektif kajian. Mana dia data-data sokongan untuk menyokong teori kamu. Semuanya saya nampak semacam tidak lengkap. Saya rasa masa satu semester cukup untuk menyiapkan projek tesis ni. Lagipun saya tahu kamu salah seorang pelajar terbaik setiap semester. Kemana pergi kredibiliti seorang pelajar terbaik dalam menyiapkan projek tesis ini?” Tanya Prof Kamil.

“Saya sebenarnya hanya menyiapkan projek tesis ni dalam dua minggu terakhir. Segala keperluan yang Prof sebutkan tadi tak sempat saya buat. Maafkan saya Prof. Saya bertangguh dalam menyiapkan projek tesis ni. Saya tidak mulakan pada awal-awal semester. Saya harap Prof beri satu lagi peluang,” kata Naim dalam nada merayu.

“Pihak jawatankuasa telah menutup tarikh menghantar laporan projek tesis. Saya tidak dapat meluluskan projek tesis kamu ini memandangkan keputusannya tidak mencapai markah untuk lulus. Jadi kamu terpaksa ulang semester depan,” jawab Prof Kamil.

“Tapi Prof, ni semester terakhir saya. Rugi kalau saya terpaksa menambah satu semester lagi. Tolonglah Prof,” Naim merayu lagi.

“Maaf Naim. Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya juga harus professional dalam menjalankan tugas. Suka saya nak ingatkan kamu, jangan bertangguh melakukan sesuatu. Padahnya, hasil yang tidak sempurna. Kata orang, kerja bertangguh tak menjadi. Jadikan kesilapan ini sebagai pengajaran kamu untuk masa depan. Saya yakin, kamu boleh berjaya,” nasihat Prof Kamil.

“Baiklah Prof. Terima kasih atas nasihat dan peluang yang telah Prof berikan. Saya hargai. Saya sedar, saya perlu berubah.,” kata Naim tunduk menyesal.

Saat Naim bermuhasabah kitab sejarah yang lepas, Naim teringat kembali kepada kekasihnya, Husna. Dia menyesal kerana telah menguris hati orang yang dicintainya akibat tertekan dengan keadaan waktu itu. Naim sedar, akibat bertangguh, semuanya tak menjadi. Dalam lubuk hatinya, timbul rasa insaf yang mendalam. Naim nekad untuk berubah dan membuang jauh sikap suka bertangguh. Dia juga akan pergi memohon maaf kepada Husna atas kesilapan yang lalu. Tidak lupa juga kepada rakan sebiliknya,Aiman yang sentiasa menasihatinya.

Insan yang bergelar jurutera, arkitek, pengurus, ahli perniagaan dan sekalian manusia, seakan mengerti kerja bertangguh, merugikan begitu banyak wang dan peluang. Apatah lagi seorang doktor, jika bertangguh, korban nyawa menjadi catatan dalam sejarah kerjanya. Lebih dashyat, anak bangsa terkapai kelemasan lantaran guru dan pendeta bertangguh untuk mendidik. Di sinilah lahirnya sekalian banyak manusia mendengar madah guru dan pendeta. Kayuhan pasti perlu diteruskan dengan bergaya. Tanpa perasan, semangat juga turut sama berkayuh.

Ketika pahat berbunyi, tukul menjadi teman yang akrab. Momentum pukulan tukul berupaya melawan inersia pahat. Perlanggaran ini, maka lahirlah sebuah teratak yang berdiri megah, namanya masyhur merentas abad. Semuanya bekerja diiringi bunyi detikan masa yang pantas dan cemburu. Semuanya tidak mahu tertangguh dengan virus malas, yang mana vaksinnya disuntik semangat mahu terus maju dan maju.

Masa begitu cemburu dengan kehadiran kekasih siap sempurna. Firman Allah dalam surah Al-Asr “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”. Nah, hayati sabda Nabi saw yang masyhur, ingat lima perkara sebelum lima perkara. Hujjatul Islam al-Imam Ghazali pernah berpujangga, hari kelmarin adalah suatu yang paling jauh. Maka, benar frasa agung yang berbunyi, kerja bertangguh tak menjadi.

Fatihi Razali
16 Januari 2010


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Cerpen : Kerja Bertangguh Tak Menjadi”
  1. abang yaya says:

    jalan cerita mendatar
    kalau ditambah konflik-konflik yang membuatkan jalan cerita nampak menarik,lagi cun..selitkan lagi scene-scene yang menjadikan Naim lagi kelam kabut…..

  2. far says:

    sbuah karya yg dpt mmberi pngjrn kpd students ipt yg sntiasa mmpunyai assignment & final project……. ;-)

  3. qamarus salikin says:

    jln crt relaks tp ada input yg amat berguna

  4. hida says:

    :lol: kerja bertanggung x menjadi..mngingtkn kelemahn diri ini..kpd penulis caiyok..

  5. don says:

    mcm cite ak.. tapi betul jugak.. kalo dah msk nak belajar fokus serta tujuan mesti straight foward.. takde istilah last minute done get 4 flat.. tapi ok die insaf.. ade gak insan yg terus menerus mengulang… nak buat camne,,,

  6. HANA says:

    jalan cerita ok lh..tp tlalu bnyak ulangan ayat yg sma..klu blh pnjngkn ckit cerita ni..skurng2nya bgtau apa yg jd pa naim seterusnya..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"