Novel : Aurabidadari 8

21 January 2010  
Kategori: Novel

1,742 bacaan 22 ulasan

Oleh : Nazrina Hussin

Pagi itu Audra bangun awal. Selalunya waktu macam ni dia masih lagi bergumpal dengan selimut. Jam di dinding dipandangnya menunjukkan pukul sepuluh pagi. Bagaikan tersedar daripada mimpinya Audra bergegas masuk ke dalam bilik mandinya. Setelah siap berpakaiaan Audra turun ke bawah dengan berharap Muzammil ada.
Minggu ni dia sibuk dengan Reena hinggakan dia tiada masa hendak berbual-bual dengan Muzammil. Kalau bukan kerana Reena ada urusan penting agaknya dia sudah pun keluar berjalan dengan perempuan tu.
“Mak Senah…Mil mana?” tanyanya melihat pembantu rumah itu sedang menyiang ikan.
“Seminggu ni dia sibuk menghantar Datuk ke pejabat,” beritahu Mak Senah melirik ke arah anak gadis tuannya. Dilihatnya Audra membuka peti sejuk. Agaknya anak majikannya itu kelaparan. Selalunya, Audra makan di luar apahal pula hari ni dia ada di rumah.
Audra menuang jus oren ke dalam gelasnya. Tangannya mencapai plastik yang berisi roti, terletak di atas meja dapur itu. Pantas tangannya menyapu jem dan mentega di atas roti itu.
Tidak susah hendak menyediakan makanan Audra. Cukuplah dengan adanya roti dan jus oren untuk sarapan anak gadis itu. Sudah menjadi rutinnya untuk membeli roti dan jus oren setiap kali keluar ke supermarket. Mak Senah membiarkan Audra menikmati sarapannya.
“Datin ke mana Mak Senah?” Selalunya masa macam ni wanita itu ada di rumah. Cuma dia hanya akan keluar untuk menghantar dan mengambil anak-anaknya di sekolah.
Mak Senah tersenyum mendengar perkataan ‘datin’ yang diucapkan oleh Audra itu. Dia tahu Audra tidak sebulu dengan mama tirinya. Biasalah tu kalau seorang anak tidak dapat menerima kehadiran isteri baru ayahnya.
“Agaknya dia ada mesyuarat persatuan hari ni,” jawab Mak Senah. Audra menganggukan kepalanya dan tidak bertanya dengan lebih lanjut lagi. Hal perempuan itu dia tidak akan menyibukkan diri hendak mengetahui hal Datin Suhaidah.
Telefon kedengaran berdering. Mak Senah bergegas menuju ke arah telefon yang terletak tidak jauh darinya.
“Audra panggilan telefon untuk Audra…” Audra mengerutkan mukanya, jarang ada orang menelefonnya waktu begini. Lagi pun hanya Reena seorang temannya yang tahu nombor telefon rumahnya ini. Agaknya Datuk Azri tak? Dia mengelengkan kepalanya. Tidak mungkin!
“Mil…” Mak Senah memberitahu.
“Yes Mil. Mil hendak apa?” tanyanya terus-menerus tanpa ada mukadimah lagi.
“Assalamua’alaikum sayang…” Muzammil tersengih mendengar pertanyaan Audra itu. Belum apa-apa lagi dia terus bertanya dia hendak apa. Aku hendakkan kau!
“Audra buat apa tu?” tanya Muzammil lembut. Audra tergelak apabila mendengar pertanyaan Muzammil. Sejuk hatinya mendengarnya, ternyata pemuda itu begitu prihatin dengan hal-ehwal dirinya.
“Lepas sarapan. Mil apa khabar? Lama Audra tidak jumpa Mil?” tanyanya.
“Alhamdulillah Mil sihat. Yalah kalau Audra selalu tidak ada di rumah macamana hendak jumpa. Lagi pun Mil seminggu ni sibuk jadi drebar datuk,” bohongnya. Sekali-sekala aku berbohong. Bohong sunat!
“Audra…” panggil Muzammil apabila tidak mendengar suara Audra.
” Mil cakaplah Audra dengar ni.”
“Malam ni Mil hendak belanja Audra. Mil baru dapat gaji ni. Selalu sangat Audra belanja Mil malam ni Mil pula belanja Audra. Amacam?”
“Kejap, Audra hendak fikir dulu. Ermm…memandangkan Audra free malam ni, bolehlah Mil belanja.” Putus Audra setuju. Duduk di rumah pun dia hendak buat apa? Mengadap muka yang tidak disenanginya adalah.
“Kalau macam tu pukul lapan malam nanti kita keluar.” Kata Muzammil sebelum menamatkan perbualan. Audra tersenyum simpul mengingatkan dia ada date dengan Muzammil malam ini. Baju apa yang patut aku pakai? Kalau keluar dengan Reena dia tahulah baju apa yang harus aku pakai. Ini keluar dengan Muzammil. Audra tidak mahu Muzammil mengomel melihat penampilannya malam ni.
“Mil ajak Audra keluarlah Mak Senah. Agaknya baju apa yang patut Audra pakai?” tanyanya meminta pendapat.
Ohh..hendak keluar dengan Muzammil patutlah muka berseri-seri.
“Pakai yang sopanlah. Mil tidak berkenan kalau Audra keluar dengannya, Audra jangan pakai baju macam keluar dengan kawan Audra siapa tu?”
“Reena… Namanya Reena, Mak Senah,” Audra ketawa kecil.
“Banyak lagi Mak Senah hendak masak? Mari Audra tolong kupaskan bawang tu,” dia menawarkan perkhidmatan. Bukannya selalu dia rajin menolong di dapur ni. Terkejut Mak Senah mendengarnya. Akukah yang tuli atau Audra yang buang tabiat? Tidak pernah anak majikannya itu hendak menolongnya di dapur selama ini tapi hari ni anak itu tunjuk rajin pula.
Mak Senah menghulurkan pisau kepada Audra. Habis mengupas bawang, dicapainya pula sayur kacang yang hendak dipotong. Kalau hari-hari macam ni kan baik.
“Audra…” sapa Mak Senah lembut. Audra berhenti seketika daripada membuat kerjanya. Dia memandang ke arah Mak Senah. Pelik! Tiba-tiba pula orangtua itu memanggil lembut namanya. Mesti ada sesuatu yang diinginkannya.
“Ada apa Mak Senah…?” balasnya lambat.
“Kalau Mak Senah cakap, jangan ambil hati tau,” soal Mak Senah ragu-ragu. Manalah tahu kalau tiba-tiba anak itu melenting. Dia sudah masak dengan perangai Audra yang ada pasang surutnya.
“Kenapa Audra dingin dengan ayah Audra?” soalnya teragak-agak.
“Kisah silam yang tidak mungkin dapat dilupakan. Biarlah ia menjadi sebahagian rahsia hidup Audra. Tidak perlulah orang lain mengetahuinya,” ucap Audra tenang. Nasib baiklah Mak Senah yang bertanya kalau orang lain sudah lama Audra angkat kaki. Apa yang terjadi di antaranya dan ayahnya adalah terlalu sensitif untuk ditanyakan.
“Itu ayah Audra. Tidak baik menghukumnya,” cetus Mak Senah. Audra sudah macam anaknya. Walaupun baru mengenali beberapa bulan. Dia tahu dalam kekerasan gadis itu masih lagi terselit sifat lembutnya. Kalau tidak masakan anak itu balik ke rumah ini.
“Biarlah keadaan yang menentukannya Mak Senah,” kedengaran ada getar suara Audra. Mak Senah tidak jadi bertanya apabila melihat Audra mendiamkan diri. Biarlah dulu, esok-esok ada masa dia akan bertanya lagi.

AUDRA perlahan-lahan menuruni anak tangga. Matanya langsung terarah melihat ayah, mama tirinya serta adik-adiknya sedang menonton telivesyen. Muzammil pun turut sama. Audra memasamkan mukanya.
“Hah…Kak Audra sudah siap pun.” Suraya menyedari kehadiran kakaknya itu. Cantiknya dia, getus hati Suraya yang memandang Audra yang memakai skirt dengan jaket daripada jeans itu.
“Kalau keluar jangan balik lewat Mil,” pesan Datuk Azri.
“Abang ni biarlah mereka berdua keluar. Bagi peluanglah pada budak-budak tu,” sampuk Datin Suhaidah. Lapang hatinya melihat Audra keluar dari rumah itu. Perasaannya tidak tenang setiap kali memikirkan Audra turut berada di dalam rumah itu. Sama sekali Datin Suhaidah tidak mahu bertembung dengan anak tirinya itu.
“Ehem…ehem abang Mil,” usik Suhaila.
“Kak…jangan lupa belikan Ari coklat yang macam Kak Audra belikan hari tu,” pesan Ari sedangkan matanya melekap menonton wayang.
“Kerja sekolah sudah siapkah ni? Kalau kerja sekolah belum siap kak Audra tidak mahu belikan untuk Ari.”
“Sudah siaplah kak.” Balasnya.
“Saya pergi dulu Datuk. Audra…”Muzammil memanggil. Sambil memandang Audra yang cuma berdiri mematungkan diri. Dia hanya memerhatikan ketertiban Muzammil yang meminta izin ayahnya untuk membawanya keluar.
Audra cuma mendiamkan diri. Sepatah pun dia tidak bercakap di dalam kereta. Apa ni ajak date tapi dia sendiri mendiamkan diri? Dia menggaru kepalanya. Sejak masuk ke dalam kereta hingga kini Muzammil diam membisu. Audra mendengus. Bosan menghadapi situasi semacam ini.
“Kenapa Audra?” soal Muzammil.
“Apa hal bawa Audra keluar ni?” Malas hendak berbasi-basa Audra lancar bertanyakan kepada Muzammil. Muzammil angkat kening. Sengaja hendak mengusik rasa gadis itu.
“Tunggulah sampai dulu sayang. Nanti Mil akan beritahu semuanya.”
“Okay. Suka hatilah janji bahagia,” balasnya acuh tidak acuh. Matanya tertumpu melihat langit yang gelap itu. Bulan tiada, bintang lagilah tiada bertaburan. Agaknya hujan hendak turun malam ni, dia menafsirkan keadaan malam itu.
Hembusan angin begitu menyenangkan. Kerlipan lampu samar-samar mendamaikan hati memandangnya. Dipandangnya ke arah laut yang luas nan terbentang. Di hadapan sana tidak jauh dari tempat itu kelihatan sebuah pulau.
“Inilah Anjung Senja,” beritahu Muzammil. Audra tersengih. Macamlah dia tidak pernah datang ke sini. Harapkan Muzammil alamat berkaratlah Audra menanti. Nasib baiklah ada Reena yang sudi membawanya berjalan-jalan.
“Audra macam tidak sudi keluar dengan Mil? Kalau macam ni baik kita balik,” terusik hatinya melihat Audra yang hanya duduk membisu tanpa bercakap sepatah pun. Selalunya kalau berjumpa mesti ada bahan yang hendak dibualkannya.
Meledak ketawa Audra mendengarkan kata-kata Muzammil itu. Tanpa memperdulikan orang di sekeliling Audra terus ketawa. Dia bercakap salah, tidak bercakap salah. Langsung tidak bercakap lagilah salah.
“Ishhh, perempuan tidak elok ketawa macam tu. Jagalah kesopanan, inikan tempat orang ramai.” Muzammil memandang tajam Audra yang masih ketawa itu. Kalau ibunya nampak bakal isterinya itu ketawa macam tu alamatlah ibunya tidak mahu bermenantukan Audra. Ketawa tu kontrol la sikit. Ini depan orang ramai pun Audra boleh ketawa sesuka hati.
“Masa Audra bertanya disuruh diam tapi bila senyap macam-macamlah komen Mil. Mil cakaplah apa yang hendak Mil cakap, Audra ni cuma mendengarkannya,” petah mulutnya berbicara. Ajak date setakat hendak komen cara aku ketawa baik jangan. Baik lagi dia terperap di dalam bilik sambil menonton vcd.
“Seminggu ni Mil langsung tidak nampak muka Audra. Mil sarapan pun duduk seorang-seorang. Telefon ke rumah Mak Senah kata belum bangun lagi. Perempuan tidak elok keluar malam dan balik ke rumah waktu hari hendak menjelang subuh. Audra perempuan, tidak elok keluar sesuka hati macam tu. Ini Malaysia Audra bukannya Ireland. Mil tahu cara hidup di sini tidak sesuai dengan Audra tapi kenalah sesuaikan diri dengan cara hidup keluarga Audra di sini. Mil kecewa dengan sikap Audra yang tidak perdulikan dan berdendam dengan ayah sendiri.”
Audra memandang tajam ke arah Muzammil. Menusuk ayat-ayat Muzammil itu di telinganya. Ditahannya amarah yang menguasai diri. Silap haribulan kalau hilang kawalan diri, kena penampar juga Muzammil olehnya.
“Sudah habis ceramah Mil tu?” Audra mengawal nada suaranya.
“Listen to me Ahmad Muzammil. Hal Audra dan Datuk Azri adalah hal kami berdua dan Mil tidak berhak untuk masuk campur dan kalau Mil ajak keluar setakat hendak membebel hal Audra dan Datuk Azri baik kita balik sahaja.” Ucap Audra marah. Kenapa Muzammil suka sangat mengungkit hal dirinya dan ayahnya? Audra mengalihkan pandangannya. Dia tidak mahu memandang wajah Muzammil ketika kemarahannya sedang meluap-luap.
“Okey…okey, Mil minta maaf kalau menyakitkan hati Audra. Mil cuma menegur sikap Audra” Muzammil memberanikan merenung tajam muka yang kelihatan tegang itu. Marahkah dia? Bukan niatnya hendak menyakiti hati Audra cuma sekadar sedikit nasihat.
“Mil siapa hendak menegur Audra? Audra punya sukalah hendak buat apa saja asalkan tahu menjaga maruah diri. Mil, bertahun Audra tinggal di luar negara tapi Audra masih tahu batas-batas pergaulan,” balasnya tidak mahu kalah. Berubah air muka Muzammil. Dia tidak menyangka Audra begitu berani membalas kata-katanya tadi. Tidak pernah didengarnya Audra begitu berani berkata sedemikian kepadanya. Hilang kelembutan dan tiada lagi tutur bicara manjanya.
“Maafkan Audra,” pintanya menyedari kesalahan yang dibuatnya.
“Mil sayangkan Audra sebab tu Mil rasa patut menegur Audra,” katanya berani menyuarakan apa yang terpendam di hatinya.
“Sayang konon…” Audra ketawa lagi. Seolah-olah mengejek akan pengakuan yang diberi oleh Muzammil. Sayang? perkataan itu sudah hilang daripada dirinya setelah kematian emaknya. Sayang yang dilimpahkan oleh arwah emak memang tiada siapa dapat menandingi.
“Sudahlah Mil. Mil jaga diri sendiri dan Audra jaga diri sendiri. Jika tidak serasi di bumi kelahiran sendiri, Audra sudah membuat keputusan untuk balik ke Ireland. Di sana Audra lebih tenang dan bebas.”
“Maka sebab itulah Mil berhasrat untuk menjaga Audra. Menjaga Audra seumur hidup Mil.” Muzammil memberikan senyuman mengoda. Terkesima Audra memandangnya. Silap haribulan boleh cair leleh dengan senyumannya itu.
“Jangan hendak berguraulah Mil” Audra seakan tidak percaya.
“Mil tidak akan bergurau sekiranya ianya melibatkan soal hati dan perasaan Audra,” Muzammil menyeluk poketnya dan mengeluarkan sesuatu. Terpinga-pinga Audra dibuatnya. Ada cincin pula tu. Terasa pula macam berlakon drama ketika ini.
“Sekiranya Audra sudi, Mil ingin memperisterikan Audra?” Muzammil menarik jemari Audra lalu memakaikan cincin itu ke jari manis Audra. Lahhh…rupanya Muzammil hendak melamarnya. Apalah dia ni? Tiba-tiba saja Audra berasa sebak.
“Sudikah Audra menjadi isteri Mil hingga ke akhir hayat? Mil sedar siapalah diri ini berbanding dengan kekasih Audra yang lain, yang punya segalanya serta wang ringgit. Mil ni hanya umpama debu-debu yang hanya menanti desiran angin yang berlalu pergi dan ianya tidak akan kembali” ucap Muzammil inginkan kepastian. Melopong mulut Audra mendengarkannya. Karat…karat…karat apalah nasib dapat bakal suami yang karat macam Muzammil ni. Air mata bergenang di kelopak matanya. Keikhlasan Muzammil benar-benar menyentuh perasaannya.
“Andainya Audra tahu siapa diri Mil yang sebenarnya janganlah kekesalan menyelubungi hatimu kerana diri Mil yang serba kekurangan ini. Mil bukanlah wajah indah yang layak bermain di mata Audra dan jauh sekali menganggap Mil sebagai perwira Audra. Audra…sejak bila jadi bisu ni?” usik Muzammil sebaik saja tidak melihat reaksi gadis itu. Menolak pun tidak, mengiakan pun tidak. Berdebar hatinya menantikan jawapan kasih itu. Muzammil bukan main lagi mengarang kata yang romantis tapi Audra buat tidak tahu saja.
“Mil jangan cakap macam tulah. Yerghhhh geli dengar ayat-ayat bunga bahasa ni.”
“Audra…”panggil Muzammil. Tanya sepatah tapi balasannya berpatah-patah perkataan. Perempuan sekarang macam inilah, diajak bercakap bukannya mahu mengaku kalah. Ada saja balasan yang hendak didengar.
“Berilah masa Audra untuk memikirkannya. Ini soal kebahagiaan perkahwinan selamanya Mil. Berilah masa Audra berfikir seminggu atau sebulan atau setahun.”
“Audra ni…main-main pula. Kenapa tidak minta seribu tahun lagi? Betul Audra minta tempoh untuk memikirkannya?” Muzammil serius dibawa gadis itu bergurau pula. Memanglah Audra ni jenis yang suka mengharu-birukan perasaan orang.
Audra menjeling. Dia cakap dengan jelas dan terang. Muzammil tidak faham pula. Ini soal kebahagiaannya mestilah terlebih dahulu dia hendak berfikir semasak-masaknya.
“Audra fikirkanlah…” ucap Muzammil.
“Audra tahu Mil akan membahagiakan Audra. Berilah masa untuk Audra memikirkan tentang ini. Ini soal kebahagian seumur hidup. Andai ada jodoh Audra pasti akan jadi isteri Mil. Audra yakin bahawa ketentuan itu sedari azali lagi…” ujar Audra. Andai memang Muzammil adalah miliknya sudah pasti dia akan menerima lelaki itu sebagai teman hidupnya hingga ke akhir hayat.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

22 ulasan untuk “Novel : Aurabidadari 8”
  1. Ahmad muaz mohd iszeham says:

    good……………

  2. Ahmad muaz mohd iszeham says:

    insyaalah awak akan berjaya..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"