Novel : Cerita Tentang Kita 1

4 January 2010  
Kategori: Novel

3,794 bacaan 7 ulasan

Oleh : Allianora

PROLOG

20 APRIL 2007

Jumaat, 6.05 petang

SEORANG gadis berlari meredah hujan lebat. Derap langkahnya pantas. Payung yang dibawanya masih tidak mampu untuk melindungi tubuhnya daripada terkena titisan air. Slack hitam yang dipakainya basah kuyup. Dipeluknya erat beg sandang berwarna coklat, hadiah daripada kakak iparnya yang sedaya-upaya cuba dilindungi dari terkena air hujan. Rambut ikalnya yang agak panjang mengerbang ditiup angin.

Pintu rumah lantas dibuka. Dia pantas masuk. Payung berwarna hijau terang itu segera ditutup dan disangkutkan di tepi pintu. Hatinya sedikit lega kerana telah selamat sampai di rumah. Sandal yang dipakai disandarkan di tepi dinding.

Ketika itu seorang gadis berambut pendek muncul dari dapur dan menyapanya. Di tangannya terpegang sebatang sudip.

“Tasha, kau dah balik?”

Gadis yang sedang duduk di depan pintu itu ketawa. Dengan selamba dia berkata, “Habis tu kalau aku belum balik macam manalah aku boleh ada kat depan kau ni pulak.”

“Betul jugak.” Rakannya tergelak kecil. “Heh.. Kenapa kau tak tumpang Dayah aje?”

“Dia rushing nak buat part time. Jadi takkanlah aku nak tumpang dia. Kesian pulak kalau dia lambat.”

“Oh.. dia kerja pulak ke?” Gadis itu mengerutkan dahi. “Hujan lebat ni. Ei.. Natasha. Habis baju kau lenjun kena hujan. Kau tak pakai payung ke?”

“Pakai payung pun basah jugak,” balas Natasha ringkas. “Hujan lebat betul. Bas pun penuh. Geram betul aku sebab aku terpaksa berasak-asak dengan orang lain. Habis semua basah. Kalau kau ada tadi kan Emmy, mesti kau pun rasa geram,” rungutnya lagi.

Mereka berdua tinggal menyewa di rumah pangsa ini bersama empat lagi rakan yang lain, namun Natasha lebih rapat dengan Emmy. Empat lagi rakan mereka mengambil kursus yang berlainan dan agak jarang berada di rumah.

“Hah, kau tu cepat pergi mandi nanti demam pulak. Kalau kau demam siapa yang susah nanti? Aku jugak yang susah kena jaga kau.”

“Good friends are willing to do anything for others, you know that? So, tak boleh merungut-rungut tahu,” kata Natasha selamba.

Emmy mencebik. “Yelah, yelah. Aku tahu. Eh, Tasha. Aku tengah masak nasi goreng ni. Aku nak buat ala-ala nasi goreng kampung. Resepi baru ni aku belajar dari Fieza,” ujar gadis tersebut. Semerbak bau nasi goreng kegemaran Natasha menyelubungi seluruh rumah kecil itu. Baunya yang harum membuka selera.

Natasha senyum sebelum membalas, “Aku memang nak mandi pun. Aku dah basah kuyup ni. Laparnya.. aku harap menjadi la resepi baru kau tu Emmy.”

Emmy tersengih bangga.

“Aku nak mandi kejap. Nanti pening pulak. Silap haribulan boleh demam ni.” Dengan segera, dia menuju ke bilik mandi setelah meletakkan beg dan barang-barangnya di atas meja. Emmy hanya bersiul riang sebelum bergegas semula ke dapur.

Rintik-rintik hujan merembes laju membasahi jendela. Hujan yang sedari tadinya lebat masih belum reda walau tiada angin ribut yang mengiringi. Natasha masih lagi berteleku di meja kerjanya setelah selesai mandi. Dia melontarkan pandangannya keluar tingkap. Waktu hujan-hujan begini selalu mengingatkannya pada peristiwa di tengah sawah dulu. Waktu itu dia bersama orang-orang yang amat disayanginya bercuti ke kampungnya di Kedah.

Natasha mengukir senyuman lebar. Terasa masa begitu pantas berlalu. Laci meja ditarik perlahan. Sebuah diari tebal berwarna putih lantas dikeluarkan. Agak lama juga dia tidak mengisi diarinya dengan coretan-coretan harian. Mungkin disebabkan kesibukan menyiapkan tugasan dan lebih-lebih lagi, dia bakal menamatkan pengajiannya dalam tiga minggu lagi.

Dia mengulum sebuah senyuman. Ingatannya terlempar seketika pada abangnya yang sudah lama tidak ketemu. Khairil sudah lama tidak datang melawat. Mungkin abangnya itu terlalu sibuk dengan projek-projek terbaru. Begitu juga dengan ibubapanya. Sibuk barangkali. Dia sendiri juga agak jarang balik ke rumah.

Diari tersebut pantas diselak, namun seketika kemudian, beberapa keping gambar dan sekeping kad berwarna merah hati terjatuh keluar. Natasha tersentak. Hatinya mula tersentuh. Fotonya bersama Hedri hampir empat tahun yang lalu merentap perasaannya.

Hatinya disayat sayu. Kalaulah masa itu boleh diundurkan, alangkah bahagianya. Natasha merenung lama gambar-gambar tersebut. Masih jelas tergambar senyuman mesra Hedri dan senyuman gembira Natasha ketika itu. Sajak ringkas yang tertulis di dalam kad kecil itu dibacanya berulang kali. Jika dikenang kembali, lelaki itu hadir dalam hidupnya dengan tiba-tiba. Tanpa dirancang dan tanpa dipinta. Sungguhpun begitu kehidupan Natasha dulu benar-benar bahagia.

“Hedri…” ucapnya lirih. Pemuda inilah cinta pertamanya. Pemuda yang pernah suatu ketika dulu hadir dalam hidupnya walaupun hanya untuk seketika.

Pandangannya dilempar jauh ke luar jendela seraya tangannya erat menggenggam sepasang cincin perak yang tergantung di lehernya. Seiring dengan titisan hujan yang semakin menggila di luar sana, seiring itu jugalah otaknya ligat memutar semula kenangan lama. Dia cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku hampir empat tahun yang lalu…

—————————————–

BAB 1

5 JANUARI 2003

Ahad, 5.25 petang

NATASHA menghalakan muncung paip air ke arah abangnya, Khairil yang sedari tadi tidak habis-habis mengusiknya. Terasa geram juga dia mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Khairil tadi. Abangnya yang satu itu sentiasa mempunyai idea untuk menyangkal kata-kata yang terbit dari mulutnya.

“Abang ni nak basuh kereta, basuhlah betul-betul. Tasha tak nak tolong nanti, padan muka buat sorang-sorang. Ini nasib baik Tasha ada masa lapang. Kalau tak, tak nak Tasha tolong basuh kereta abang yang macam hidup segan mati tak mahu ni,” ujar Natasha lantang dalam nada bergurau.

Khairil membaling span yang sarat berbuih ke arah adiknya. Sipi sahaja. Langsung tidak mengena sasaran. “Hei, cakap baik-baik sikit ye. Proton Waja ni tau! Bukan sebarangan kereta. Kereta ni dah banyak berbakti pada abang. Abang bawak je ke hulu ke hilir. Mana abang pergi, abang bawak kereta ni. Cuma kotor sikit je. Kotor sikit je kan, sayang.” Khairil mengusap-usap kereta tersebut. Natasha geli hati melihat gelagat abangnya itu.

“Kotor sikit apanya… berlumpur habis. Abang mandikan kereta ni dengan lumpur ke? Itulah, lain kali carilah seorang girlfriend. Boleh keluar jalan-jalan dengan dia, bukan dengan kereta ni je. Lelaki sikit-sikit dengan bola, kereta. Tak ada benda lain,” ngomel Natasha sendirian.

“Apa dia? Hei, tolong sikit. Lelaki dengan perempuan lain tau. Kalau perempuan tu, asyik bergosip, bersolek, bershopping. Itu jelah yang dia tahu,” sindir Khairil pula.

Panas telinga Natasha mendengar sindiran tersebut. “Abang ni cakap baik-baik sikit. Bukan semua perempuan macam tu. Tasha lain ya. Abang tak takut ke kalau kutuk-kutuk perempuan macam tu, silap haribulan awek abang yang macam tu. Nak ke?”

Khairil hanya mencebik. “Tak mungkin abang dapat yang macam tu…”

Suasana kembali sunyi. Hanya kedengaran bunyi siraman air dari muncung hos yang dipegang Natasha dan bunyi Khairil mencelup-celup span di dalam baldi. Aktiviti mereka hari itu adalah menolong Mak Siti mengemas rumah dan membersihkan halaman. Semua kerja telah pun dibereskan, yang tinggal hanyalah kereta Khairil yang kotor sedikit di bahagian tayar dan belakang akibat terkena lumpur ketika melawat sebuah tapak pembinaan semalam.

Natasha mengintai Khairil dari belakang kereta. Dilihatnya Khairil sedang khusyuk memberus bahagian tayar. Terhenjut-henjut badannya ketika itu. Natasha cuba menahan gelak. Dia mengulum senyuman nakal. Serta-merta terlintas difikirannya untuk mengenakan Khairil. Diangkatnya muncung hos tinggi, sebelum membuka pili air.

“Hei, apa ni Tasha?!” pekik Khairil apabila terkena air yang memang sengaja dihalakan kepadanya. “Membazir air je. Ingat kita ni orang kaya ke?” Khairil pantas memercikkan air sabun ke arah Natasha. Natasha ketawa besar apabila sasarannya tidak mengena.

“Nah, ambik ni!” jerit Khairil lalu membaling span yang dipegangnya.

‘Puk,’ Span tersebut mengenai belakang Natasha yang tidak sempat mengelak. “Apa ni? Mana boleh macam ni!” Natasha mencebik. Dia membalas dengan menjirus air membasahi Khairil. Khairil cuba mengejar, tetapi dia terjatuh akibat tanah yang licin. Natasha tergelak besar. Namun tawanya tidak lama apabila Khairil tiba-tiba membaling span ke arahnya. Mereka sama-sama ketawa apabila masing-masing terduduk dan bersandar pada badan kereta dengan pakaian yang basah kuyup.

“Ya ALLAH… apa kamu berdua buat ni?” soal Mak Siti, pembantu rumah yang tiba-tiba muncul di laman. Mereka berdua menoleh. Natasha nampak seorang pemuda yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini ada bersama Mak Siti. Terkulat-kulat mereka berdua bangun sambil tersengih-sengih.

“Tasha ni, jirus Khairil dulu. Eh, Hedri. Kenapa datang? Ada apa-apa hal ke?” soal Khairil kepada pemuda tersebut.

Pemuda yang berambut sedikit panjang dan berkaca mata itu hanya tersenyum. “Tak ada apa-apa. Saja datang nak tanya khabar kau hujung minggu macam ni. Lagipun dah lama aku tak datang rumah kau, kan? Lagi satu, aku nak pulangkan fail kau yang aku terbawa balik semalam. Takut kau nak guna, aku hantar sekali.”

Natasha memerhati penuh minat. Susuk badannya kurus dan agak tinggi. Matanya bundar dan bibirnya pula merah dan agak nipis.

“Eh.. kalau tak silap, ni Natasha kan?” soal Hedri dengan wajah berkerut.

“A’ah. Tasha, kenalkan inilah kawan baik abang, Hedri. Rakan kongsi abang untuk firma arkitek kami tu. Hedri, ini adik aku Natasha. Dia baru habis STPM. Sekarang tengah ‘tanam anggur’ sementara tunggu result UPU. Pemalas ni.” Selamba Khairil membalas.

Natasha pantas mencubit lengan abangnya.

“Aduh, sakitnya.” Khairil spontan mengaduh.

Hedri hanya ketawa melihat telatah mereka sementara Mak Siti hanya mampu menggeleng.

“Natasha.. sedap nama tu.” Pujian Hedri membuatkan Natasha tersenyum bangga.

“Kau ingat lagi tak kat dia? Adik aku yang macam gengster tu.. yang selekeh waktu kecik-kecik dulu..” Sekali lagi satu cubitan hinggap di lengannya. Natasha menjeling abangnya tajam.

“Hedri.. macam pernah dengar nama tu. Eh, Hedri yang tinggal kat Kajang dulu kan?” ujar Natasha sedikit teruja.

“Ha.. betullah. Dulu kita berjiran tapi setahun je. Tu pun waktu kita orang sekolah rendah. Tasha pun tak sekolah lagi waktu tu.” Khairil menyampuk. Hedri sekadar tersenyum lebar.

Natasha menepuk dahi. “Oh, Hedri yang selalu menangis tu?”

“Hoi! Suka hati dia aje kata kawan abang selalu menangis. Dia tu apa kurangnya?” Khairil sempat meluku kepala adiknya.

Wajah Hedri berubah bila Natasha berkata begitu. Natasha cepat-cepat tersedar. “Opss.. Sorry..”

“Natasha… Selamat berkenalan semula.” Hedri menghulurkan tangan. Wajahnya menunjukkan yang dia benar-benar ikhlas.

Natasha teragak-agak seketika sebelum menyambut salamnya. Dia memerhati Hedri dari atas ke bawah. Lelaki di hadapannya ini nampak baik dan peramah. Matanya redup, hidungnya sederhana mancung, berkulit cerah manakala bibirnya pula merah.

Tak sangka pula, rupa-rupanya Khairil mengenali Hedri dengan agak rapat. Selama ini, dia tidak pula menyangka Hedri yang selalu diceritakan abangnya dan juga Hedri jiran lama mereka dulu adalah orang yang sama.

“Hedri makan malam kat sini sekalilah ya? Mak Siti tengah masak sup tu,” ajak Mak Siti. Kata-katanya pantas disokong Khairil. “Yalah Hedri. Makan kat sini ajelah. Kau bukannya ada hal lain, kan? Lagipun, rumah ni cuma ada kami bertiga je. Kau kan tahu mak dengan abah aku pergi Sarawak.”

Hedri menggeleng. “Tak apalah. Susahkan Mak Siti je.”

“Tak susah pun. Makan sinilah,” kata Mak Siti, cuba memujuknya.

“Saya seganlah Mak Siti.”

“Dah lama kau kawan dengan aku, segan lagi ke?” Khairil mencelah.

“Yalah. Apa salahnya kalau makan sini malam ni?” Natasha pula bersuara. Segan juga dia untuk mencampuri perbualan mereka tapi ditebalkan juga mukanya. Lagipun pemuda dihadapannya ini begitu tampan sekali. Berlainan sekali dengan wajah keanak-anakannya dulu.

“Peluang datang hanya sekali. Siapa yang lepaskan memang rugi. Eh, macam pantunlah pulak.” Natasha berkata spontan.

Kata-kata itu membuatkan Hedri ketawa. “Kalau semua dah ajak, tak dapat saya nak tolak.”

Khairil senang hati dengan jawapan tersebut. Bahu Hedri ditepuknya. “Jom masuk dalam. Kau duduk dululah ya sementara aku mandi sekejap. Tolong-tolong Mak Siti ke..”

“Hisyh.. ada ke patut suruh Hedri tolong Mak Siti. Tak apa, Mak Siti boleh uruskan apa yang patut kat dapur tu,” juih Mak Siti.

Khairil sekadar tersengih. “Khairil saja je nak nyakat Mak Siti. Hm.. habis basah baju Khairil ni. Ni semua Tasha punya pasal. Hah, Tasha! Simpan baldi tu. Jangan malas. Tu span dengan syampu tu simpan dalam stor sekali. Lepas tu tolong Mak Siti kat dapur.” Khairil masih sempat mengarah. Natasha hanya menurut dengan wajah tidak puas hati.

“Ceh, sesedap rasa aje dia suruh orang. Dia tu tak buat apa-apa pun.” Ngomelan Natasha tidak dipedulikan Khairil yang lantas menarik Hedri yang kelihatan serba salah masuk ke dalam rumah. “Jomlah Hedri. Jangan pedulikan orang gila tu. Aku tak tahan nak mandi sangat ni. Panas betul.”

Natasha mencebik terutama bila Khairil sengaja menekan perkataan ‘orang gila’.

“Er.. ya.” Hedri hanya menurut. Sempat juga dia berpaling sekilas memandang Natasha yang kelihatan tidak puas hati sedang membongkok mengambil baldi.

SELEPAS selesai makan malam dan bersolat Isyak berjemaah, Khairil dan Hedri duduk di ruang tamu sambil membincangkan sesuatu. Natasha pula menolong Mak Siti mengemaskan meja. Ketika Natasha sedang membasuh pinggan di dapur, dia terdengar bunyi enjin kereta. Tergesa-gesa dia keluar, hanya sempat melihat Hedri melambai kepada mereka dan kemudian memandu pulang.

“Kenapa cepat sangat dia balik? Tak sempat Tasha nak jumpa,” tanya Natasha.

Khairil hanya tersengih sebelum membalas, “Dia ada hal sikit. Tiba-tiba mak cik dia call. Kenapa? Salah ke? Atau Tasha tak puas tengok muka dia lagi? Abang tahulah muka abang ni tak sekacak dia, tapi muka abang yang comel ni tak ada siapa boleh challenge.”

“Ceh, perasan!” Cepat-cepat Natasha menggeleng. Soalan Khairil tadi memang laser betul. Macam tahu-tahu aje. “Tak ada apa-apa. Saja tanya. Em… sekurang-kurangnya rumah kita ni meriah sikit, ada orang datang. Tasha pun bosan duduk rumah lama-lama. Lagipun, mak dengan abah bukannya ada. Pergi Sarawak dua minggu pulak tu. Abang pun kerja. Nasib baik Mak Siti ada. Kalau tak, mati kebosananlah Tasha kat rumah ni.”

Khairil tergelak mendengar kata-kata Natasha. “Kalau macam tu, Tasha carilah kerja. Tak adalah boring sangat. Dapat duit jugak.”

Natasha mencebik. “Kat sini tak ada vacancylah. Penat Tasha cari. Kalau ada, dah lama Tasha kerja.”

“Tasha serius ke nak kerja ni? Tak nak ambik lesen kereta dulu ke?” tanya Khairil sambil memandang wajahnya tidak percaya. Dia dengan sengaja mengerutkan keningnya. Macam susah pulak nak percaya adiknya itu benar-benar mahu bekerja. Maklumlah, sebelum ini pernah juga Natasha bekerja sambilan di beberapa tempat namun semuanya hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja. Paling kurang pun, dua minggu.

“Tasha tak ada duit lagilah nak ambil lesen. Baik kerja dulu. Kenapa? Tak percaya ke dengan kemampuan Tasha ni?”

“Bukan tak percaya, tapi…. hisyh, susah la nak cakap. Boleh percaya ke?” Khairil mengangkat keningnya.

“Abang ni, orang serius dia main-main pulak.”

Khairil tergelak. Entah apa pula yang lucunya. Natasha hanya mampu merungut dalam hati. Khairil nampaknya berpuas hati dapat menyakat dan mengusik adiknya.

“Okeylah. Kalau Tasha nak sangat kerja, Up Town Cafe ada vacancy tau. Azri beritahu yang dia nak pakai orang,” beritahu Khairil.

“Betul ke?” Bulat mata Natasha mendengarnya.

Khairil diam seketika sebelum menyambung. “Pagi tadi Azri telefon. Kitorang ada berborak pasal family dia, family kita…. Banyak lagilah. Dia ada tanya abang Tasha buat apa sekarang ni. Dia kata kalau Tasha tak ada apa-apa rancangan, kerjalah kat kafe dia. Tapi abang harap Tasha jangan berhenti tiba-tiba lagi macam dulu. Azri tu sepupu kita. Jangan malukan keluarga kita ya.. Dia betul-betul perlukan orang sekarang ni. Macam mana? Nak tak? Dia kata kalau nak, telefon dia malam ni jugak.”

“Oh… abang dah tahu tapi tak nak beritahu Tasha awal-awal ya? Sekarang tengok ni dah pukul berapa?” Natasha memukul lembut belakang Khairil.

“Abang saja tak nak beritahu. Nak Tasha mati kebosanan dulu, baru abang beritahu.”

“Kalau Tasha dah mati kebosanan, macam mana pulak abang nak beritahu? Abang memang dengki.” Natasha lantas memukul Khairil dengan kusyen yang dijahit sendiri oleh ibu mereka, Puan Nora. Khairil sempat mengelak, lantas dia berlari menuju ke tingkat atas sambil ketawa terbahak-bahak. Senang hatinya dapat membuli adiknya lagi.

“Dia pesan telefon dia lepas Isyak!” jerit Khairil dari tingkat atas.

“Tasha nak telefonlah ni! Dengki betul!” balas Natasha dengan suara yang kuat. Dia ketawa riang. Jauh di sudut hatinya, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang abang yang penyayang dan terlalu mengambil berat akan dirinya. Walaupun kadang-kala mereka berperangai seperti kanak-kanak kecil, mungkin kerana mereka tiada adik-beradik lain dan sudah biasa bergantungan sesama sendiri, namun Khairil selalu menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh amanah.

Sempat juga dia teringatkan Hedri seketika sebelum menelefon Azri. ‘Seronoknya kalau dapat couple dengan dia!’ jerit hatinya penuh nakal. ‘Tapi.. agaknya tak mungkin semudah itu jika ia benar-benar kenyataan.’

Dirinya sendiri tidak pernah sekalipun berpacaran dengan mana-mana lelaki. Dia sendiri tidak pasti jika dia benar-benar sudah bersedia untuk menerima kehadiran seorang lelaki yang begitu istimewa dalam hidupnya ini.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

7 ulasan untuk “Novel : Cerita Tentang Kita 1”
  1. snow.angel. says:

    permulaan yang menarik xD

    elok bahasanya, tersusun saja. senang hati nak baca =)

  2. liya says:

    interesting,,, :razz:
    seronok kn bl ad abg cam khairil tuh…
    hope citer neh akn lbh menarik ;-)

  3. bewokhidup says:

    boring arr…tp bila da start baca,,nk tau gak cerita selanjutnya..
    hope the next entry will be better than this..

  4. Siti Soleha Yahaya says:

    Natasha ngan Hedri bercinta ker….
    nak bc bab seterusnya…. ;-)

  5. saya says:

    ermmm..agk bgos cerita ni..trtnya2 psl hedri..ingin baca yg selanjutnya..

  6. kora says:

    hermm not bad..mule2 kt prolog tue cm bosan skit but bile dah msuk bab abg khairil n hedri tue cm fun skit!!!gud job

  7. Mastura says:

    Seronok pulak baca..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"