
Novel : Cerita Tentang Kita 2
Oleh : Allianora
BAB 2
NATASHA tekun menyelesaikan kerja-kerjanya. Sesekali matanya melirik ke arah satu sudut yang agak tersorok di kafe tersebut. Pandangannya difokuskan ke arah seseorang yang agak dikenalinya.
‘Nampak macam Hedri. Betul ke Hedri tu? Ala, buat selamba aje la. Kalau silap orang aku jugak yang malu nanti,’ ujarnya sendirian sebelum menyambung semula kerja-kerjanya. Namun, sesekali sempat juga dia cuba mengintai Hedri. Siapa yang takkan terpikat pada pemuda seperti itu?
“Tak.. bukan macam tu Saffiya.” Natasha terdengar suara Hedri. Tanpa sedar, dia sudah semakin menghampiri meja Hedri. “Awak kan tahu Khairil tak bermaksud macam tu. Mungkin dia busy kebelakangan ni. Dia kan, workaholic sikit.”
Gadis di hadapannya diam membisu. Hedri menyambung lagi bila tiada kata-kata yang keluar dari bibir gadis itu.
“Kat office dia memang busy sikit. Ada banyak appointment, meeting lagi. Takkanlah dia sengaja tak nak jawab bila awak telefon dia. Hari tu saya ajak lunch pun dia tak nak. Banyak kerja katanya. Sudahlah. Jangan risau. Lagipun, bukan ke korang berdua dah setahun bersama. Mesti ada sebabnya tu,” pujuk Hedri panjang lebar.
Seorang gadis bertudung yang agak bergaya di hadapannya hanya menggigit bibir. Sesekali Natasha nampak gadis tersebut mengangguk-angguk. Natasha sedar, Hedri bukan keseorangan. Gadis ayu yang bersamanya tampak seperti rapat dengannya. Apatah lagi, sedari tadi mereka berdua seperti sedang berbual mesra. Tapi.. kenapa nama Khairil pula yang disebut? Seketika kemudian, Natasha nampak gadis tersebut bangun.
“Saya pergi dululah, Hedri. Dah lambat ni. Thanks for your advice. Balik nanti kirim salam pada Khairil.”
“Saya tahu,” balas Hedri pendek.
“Thanks sebab secara tak langsung awak jadi orang tengah antara kami berdua. Tell him that I’m waiting his call. Jangan lupa tau.” Dengan kata-kata itu, gadis yang dipanggil Saffiya itu tersenyum simpul. Dia nampak berpuas hati.
“Baiklah cik Saffiya binti Abdul Halim. Saya tak lupa. Anyway, I’m okey with that. Bukan senang dapat jadi orang tengah ni tau. Lebih-lebih lagi dengan dua orang kawan baik saya,” usik Hedri sambil tersengih.
“Awak ni, buat lawak pulak. Okeylah. I’m leaving first,” ujar Saffiya sebelum berlalu pergi. Sempat juga dia melambai kepada Hedri yang turut sama melambai kembali kepadanya. Natasha pula cepat-cepat berpaling. Dia tidak mahu mereka terperasan yang dia mencuri dengar perbualan mereka.
Sisa-sisa kopi yang masih tinggal sempat diteguk. Hedri bangun. Dia juga mahu beredar. Waktu rehat tengah hari hampir tamat. Masih ada kerja yang perlu disiapkan di pejabat dan dia tahu, tentu Khairil sedang menunggunya. Tergesa-gesa dia berjalan, sehingga tidak menyedari Natasha sedang tekun mengelap meja ketika dia lalu disebelahnya.
“Err.. maafkan saya. Saya tak perasan. Maaf, maaf.” Natasha kaget. ‘Siapa pulak yang aku langgar ni?’ getus hati kecilnya. Takut juga dia jika terlanggar pelanggan yang pemarah seperti kelmarin. Mujur Azri tidak mudah melenting.
“Maaf encik, saya… eh, Hedri!” ujar Natasha separuh menjerit. Hedri berdiri betul-betul di belakangnya. Semua mata di dalam kafe tersebut memandangnya.
“Tak apa. Tak apa. Maaflah. Saya yang salah. Jalan tak pasang mata. Natasha rupanya. Saya tak tahu pun awak kerja kat sini,” balas Hedri. Ada riak terkejut di wajahnya dengan pertemuan yang tidak diduga itu.
“Saya baru mula hari ni. Maaflah. Saya tengah khusyuk lap meja tadi. Tak sengaja terlanggar awak pulak. Maaf, maaf.”
Hedri senyum sendiri. Natasha dilihatnya sedikit kelam-kabut. Gadis ini sedikit sebanyak menarik perhatiannya semenjak hari pertama mereka berjumpa semula. ‘Tak seperti Khairil. Khairil lebih tenang,’ bisiknya sendirian.
“Tak apalah. Bukannya apa-apa pun. Buat kerja betul-betul tau. Jangan terlanggar orang lagi. Bye.. Nanti kalau ada masa kita jumpa lagi.” Sempat juga Hedri mengusiknya.
“Er, ya.. ya.” Natasha terkulat-kulat sendirian. Dia hanya mampu melihat Hedri berlalu pergi dengan ekor matanya. Dia sedar, lelaki seperti Hedri tidak mungkin akan dapat didekati dengan mudah.
“MISS, bagi yang itu, ya? Saya nak blackforest tu. Bagi yang kanan sekali tu ya.” Natasha menunjuk ke arah potongan kek blackforest yang diletakkan di dalam peti sejuk. Gadis cina itu lantas membuka pintu peti sejuk tersebut sebelum mengambil keluar sepotong besar kek yang nampaknya memang sangat sedap dan disapu dengan krim dan jem blueberry.
“You nak satu saja ke?” tanya gadis cina itu.
“Satu cukuplah. Jaga badan.” Selamba sahaja Natasha menjawab pertanyaannya.
“Haiya… you makan banyak pun tak boleh gemuk punya. Sudah cukup kuruslah ni.” Tergelak Natasha mendengar omelan penjual kek yang ramah itu.
Setelah selesai membayar harga sepotong kek tersebut, Natasha lantas berjalan keluar. Tergesa-gesa dia berjalan, cadangnya mahu pulang ke rumah segera. Malam ini dia mahu berehat secukupnya, lebih-lebih lagi hari ini dia bekerja separuh hari. Atas sesuatu sebab, Azri hanya membuka kafenya sehingga jam 4.30 petang. Mujur juga. Dapatlah dia berehat malam ini.
Sambil melangkah, sempat juga dia melarikan pandangannya pada beberapa helai suratkhabar dan majalah yang bergantungan di sebuah gerai. Langkahnya terhenti apabila tiba-tiba dia sekali lagi terlanggar seseorang yang sedang leka membelek senaskah akhbar.
“Maaf, tak sengaja.” Natasha mengeluh. Dia segera berpaling untuk melihat siapakah gerangan manusia yang dilanggarnya lagi hari ini selepas Hedri.
“Alamak! Hedri lagi!” Spontan kata-kata itu terluncur keluar dari mulutnya.
Hedri memandangnya sambil menggeleng. “Memanglah saya lagi. Apasal awak ni? Hari ni dah dua kali awak langgar saya. Itulah. Gelabah lagi. Nak cepatlah tu. Baik-baik sikit cik Natasha. Awak tu main langgar je. Tak padan dengan badan kurus awak tu,” perli Hedri penuh sinis.
Natasha tidak mempedulikan teguran Hedri itu. Dia lebih tertarik dengan kehadirannya di situ ketika ini. “Awak buat apa kat sini? Tak kerja ke?”
“Hari ni kan hari Sabtu. Half-day. Lupalah tu.”
“Ha’ah la.” Natasha menepuk dahi.
“Apa yang awak baca? Dari tadi khusyuk aje.” Matanya terarah pada akhbar yang dipegang Hedri.
“Tak ada apa. Cuma… sekarang ni banyak betul kes buang bayi ya?” Hedri meletakkan semula akhbar tadi ke tempat asal tetapi kemudian jari telunjuknya terlekat di salah satu tajuk yang dihitamkan.
Natasha membaca apa yang tertulis sekali imbas sahaja. Dia juga sedikit geram dengan kelakuan manusia yang tidak bertanggungjawab membuang bayi yang tidak berdosa di dalam lubang tandas awam. Bayi itu bernasib baik kerana masih hidup ketika ditemui. Hina sangatkah bayi itu hingga sanggup dibiarkan mati begitu sahaja?
Apa yang mendukacitakan, ibubapa bayi itu tergamak melakukan kerja-kerja terkutuk itu namun bila sudah termengandung, barulah mereka biasanya akan menggelabah. Si perempuan yang terpaksa menanggung sakitnya. Akibatnya bayi yang dilahirkan terus dibuang. Di dalam sungai, di tandas awam, di masjid, hatta tong sampah sekalipun tidak diambil kira. Si lelaki pula mengambil jalan mudah. Perempuan juga yang ditinggalkan terkontang-kanting mengalas beban.
“Orang yang buang bayi ni memang kejam. Sanggup mereka buang anak macam tu aje. Dahlah azab nak lahirkan seorang bayi. Senang-senang aje mereka ambil jalan selamat. Tak nak bertanggungjawab,” bebel Natasha.
Hedri merenung gadis di sebelahnya itu. Pandangannya telus menusuk.
“Apa pendapat awak tentang anak luar nikah tu pulak?” soalnya ingin tahu.
Natasha memeluk tubuh. “Hm.. saya takkan salahkan anak tu. Mereka tak berdosa. Perspektif masyarakat kita ni kadang-kadang menjengkelkan. Pandang serong pada anak luar nikah padahal yang berdosa tu adalah ibubapa mereka. Kanak-kanak ni insan yang paling suci. Tak semestinya mereka akan mengulang semula kesilapan ibubapa mereka tu. Lebih-lebih lagi kalau anak tu ditinggalkan atau dibuang. Kita dah dikira berdosa tau kalau kita hina anak yatim. Jadi, didikan yang sempurna sangat penting supaya perkara macam ni dapat dibendung. Kesian budak-budak tu.”
Terpegun Hedri mendengar hujah Natasha.
“Itu pendapat sayalah. Tak tahulah orang lain. Lain orang lain fikirannya. Tapi saya kesian dengan anak luar nikah ni. Bukan salah dia orang pun. Mereka pun tak minta dilahirkan begitu.”
Hedri tersenyum mendengar kata-katanya.
“Alamak, apa kena la saya hari ni. Banyak pulak yang saya repekkan. Okeylah Hedri, saya nak balik ni. Saya pergi dululah ya?” Bagai tersedar, Natasha melangkah dengan tergesa-gesa.
“Nanti dulu, Natasha.” Hedri tiba-tiba menarik lengannya. Terkejut Natasha. Seumur hidupnya, inilah kali pertama ada lelaki yang berani memegang tangannya. Sudah tentulah selain dari Khairil!
“Kenapa?”
“Awak naik bas ke?” soal Hedri. Pegangan tangannya tadi segera dilepaskan.
“Yelah. Kenapa awak tanya?”
“Saya pun naik bas hari ni. Kereta saya ‘sakit’. Masuk ‘wad’.”
“Wad?” Natasha mengerutkan dahinya, kurang faham dengan kata-kata Hedri.
Hedri tergelak. “Kereta saya masuk workshop. Awak tak kisah ke kalau kita balik sama?”
“Awak tak tumpang Khairil ke?” Natasha mengangkat keningnya. Tentulah kereta import seperti kepunyaan Hedri mengambil masa untuk dibaiki. Nak cari spare part pun bukannya senang. ‘Tapi… siapa suruh dia pakai kereta import, kan?’ Hatinya tercuit lucu.
Hedri menggeleng. “Dia kena pergi site tadi. Tak sempat balik office.”
“Tak kisahlah,” balas Natasha. Dia mula melangkah menuju ke perhentian bas yang berhampiran, diikuti Hedri yang mengekori rapat dibelakang.
Di dalam bas, mereka terpaksa berdiri di belakang kerana tiada tempat duduk. Hampir sesak nafas Natasha kerana terpaksa berhimpit-himpit ketika menaiki bas Rapid KL tadi.
Ramai pula orang hari ini. Beberapa orang lelaki yang berdiri di sebelah mereka semakin menganjak ke belakang menyebabkan Natasha terpaksa merapatkan dirinya dengan Hedri.
“Awak.. sini sikit.” Bagaikan memahami, Hedri memberi isyarat dengan menarik hujung baju Natasha agar rapat dengannya. Natasha hanya menurut sahaja. Berada bersama pemuda ini sedikit sebanyak menyelitkan rasa selamat dalam hatinya.
Sementara itu, Hedri pula cuba berdiri stabil. Dia asyik terdorong ke depan dan ke belakang mengikut momentum bas itu. Bukannya selalu dia menaiki bas. Amat jarang-jarang sekali terutama sejak dia mula bekerja. Cuak juga rasanya. Apa yang mampu dilakukan adalah berada berdekatan Natasha. Setidak-tidaknya jika dia memerlukan bantuan, gadis itu ada untuk menolongnya.
Natasha terkebil-kebil. Matanya sudah mula mengantuk. Diikutkan hati kalau terpaksa tidur berdiri pun dia pasrah. Apa nak jadi, jadilah. Dia memang sudah tidak dapat menahan rasa mengantuk lagi tetapi ditahannya jua.
Mereka berdua hampir tidak bercakap sepanjang perjalanan. Mereka melayani fikiran masing-masing. Tiba-tiba bas tersebut membelok mengejut. Natasha yang mengantuk tadi serta-merta tertolak ke tepi. Entah bagaimana, dia terdorong ke dalam rangkulan Hedri yang sedari tadi cuba mencuri-curi pandang halaman majalah yang dibaca seorang penumpang. Rasa mengantuknya tadi kini berganti dengan rasa malu yang teramat sangat. Segar serta-merta matanya yang tadi makin kuyu.
“Ops.. sorry,” ucap Natasha.
“Ngantuk lagi ke Pinocchio? Dari tadi asyik tersengguk-sengguk.” Hedri dengan selamba menanyakan soalan tersebut. Merah muka Natasha apabila diusik begitu.
“Dah tak ngantuk dah.” Natasha hanya sekadar cuba berbasa-basi. Kala itu dia sempat menyalahkan diri sendiri kerana mengantuk ketika berdiri. Mujur ketika itu bas berhenti dan seorang penumpang yang duduk di sebelah mereka turun.
“Awak duduklah. Lady’s first.” Hedri memberi laluan kepada Natasha.
Natasha hanya menurut. “Best jugak jadi perempuan ni. Semuanya lady’s first,” gumamnya sendiri manakala Hedri tersenyum lebar dengan kata-katanya.
Dia duduk di kerusi yang sudah dikosongkan itu. Perutnya berbunyi kuat tiba-tiba. Sempat juga Natasha memandang kiri dan kanan, manalah tahu kalau-kalau ada yang terdengar. Mujur bunyi bising enjin bas agak memekakkan telinga. Matanya tiba-tiba tertancap pada plastik kecil berisi kek yang dibelinya tadi. Dibukanya bungkusan itu untuk mengeluarkan kek tadi dan satu sudu plastik.
“Nak sikit?” Natasha mempelawa Hedri.
“Awak makanlah dulu. Blackforest ke?” soal Hedri. Dilihatnya kek tersebut ada lapisan krim berisi beri. Natasha mengangguk. Terasa nikmat kelazatan kek tersebut dalam mulutnya.
“Macam sedap je saya tengok awak makan. Nak rasa sikit.”
Terpana Natasha seketika apabila Hedri dengan selamba mengambil sudu dari tangan Natasha dan menyuapkan sedikit kek ke dalam mulutnya. Selama ini hanya Khairil sahajalah yang selalu berbuat begitu terutama ketika mereka menonton televisyen sambil menikmati kesejukan aiskrim. Berkongsi sudu yang sama.
Renungan Natasha yang kehairanan tidak dipedulikan Hedri.
“Sedap jugak kek ni ya?” ujar Hedri. Natasha terkebil-kebil. Dia sekadar memerhati sahaja tindak-tanduk pemuda itu. Sudunya kembali dihulurkan. Natasha menyambut namun dia kemudian menghulurkan sehelai tisu dari beg kecilnya.
“Tisu?” pelawa Natasha.
“Hm??” Kening Hedri terangkat. Dia tidak memahami maksud Natasha.
“Tu…” Natasha tergelak kecil manakala jari telunjuknya diletakkan di hujung bibir. Hedri teragak-agak. Dia meraba hujung bibirnya sendiri. Secalit krim nyata terlekat di situ.
“Oh, thanks.” Dia terus mengukir senyuman.
Natasha hanya mengangguk sambil memandang kosong Hedri yang terus berdiri disebelahnya, tidak sedar pemuda itu sedang memikirkannya. Memikirkan tentang dirinya.
Hedri tersengih sendiri. Perlahan-lahan, dia mula terpikat dengan sikap gadis itu. Itulah saatnya dia mula menyedari Natasha mempunyai suatu tarikan yang tiba-tiba menarik minatnya untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat lagi.
BAB 3
MALAM mula merangkak tiba. Unggas-unggas berterbangan mencari jalan pulang. Jalan agak lengang dan tidak kelihatan walau sebuah teksi mahupun bas. Hari ini dia bekerja sehingga jam lapan malam. Dia mula risau.
Ketika sedang mundar-mandir keseorangan, Natasha menyedari ada sebuah kereta menghampirinya perlahan-lahan. Hatinya mula berdegup kencang, bimbang jika ada orang yang berniat tidak baik terhadap dirinya.
‘Kalaulah itu peragut, atau perompak…. naya aku. Bertenang, jangan takut Natasha.’ Dia cuba menenangkan dirinya. Acapkali dia menarik nafas panjang sambil tidak putus-putus dia berdoa agar dijauhkan dari sebarang bencana. Kalau terpaksa, dia akan membuka langkah silat yang agak berterabur.
Tika pemandunya memandu semakin hampir dengan Natasha, barulah Natasha dapat mengecam. Kereta Audi Insur berwarna silver itu memang mudah dikenali.
‘Hedri!’ getus hati kecilnya. Hedri yang memang memerhati gelagat Natasha sejak tadi hanya tersenyum simpul. Dikerlingnya Natasha dengan ekor matanya. Kali ini, tiada pula kaca mata berbingkai biru yang biasa dipakainya.
“Dah habis kerja ke? Naiklah. Saya boleh tumpangkan. Waktu-waktu macam ni susah nak dapat teksi tau. Mari saya hantar sampai rumah awak,” ujar Hedri.
Pintu keretanya segera dikuak. Namun, melihatkan Natasha sedikit teragak-agak, Hedri pantas bersuara, “Jangan takutlah. Takkan saya nak culik awak pulak. Tapi kalau awak takut jugak, biar saya telefon Khairil. Kejap ye.”
Cepat-cepat Hedri mengeluarkan telefon bimbitnya apabila tiba-tiba Natasha mencelah. “Tak payah, tak payah. Saya naiklah ni.”
Segera dia melabuhkan punggungnya di sebelah Hedri sebelum menutup pintu keretanya.
“So, macam mana kerja kat situ? Susah tak? Saya tengok tadi awak kerja tak adalah sesusah mana. Just to gain experience, right?”
“Em.. bolehlah tahan. Cuma kaki ni kena tahan berdiri lama-lama. Cantik kereta awak ni. Hari tu rosak, kan? Harga kereta ni mesti mahal kan?”
“Baru tadi. Kereta ni saya beli dengan usaha saya sendiri.” Hedri merendah diri.
“Er… saya naik kereta awak ni, girlfriend awak tak marah ke? Dia cantik jugak. Pandai awak pilih,” duga Natasha. Sebenarnya, dia teringin tahu siapa gadis ayu hari itu. Baginya gadis itu amat sepadan dengan Hedri.
“Hah?! Girlfriend? Saya ada girlfriend? Apa awak cakap ni? Dari mana pulak awak dapat tahu? Awak silap orang agaknya. Saya mana ada yang special lagi. Tak ada siapa pun yang nakkan saya ni.” Bagai peluru berpandu setiap kata-kata itu keluar dari mulut Hedri.
“Habis hari tu yang kat kafe tu siapa? Perempuan cantik yang bertudung tu kakak awak ke?”
Hedri pelik. “Kakak? Saya mana ada adik-beradik lain. Takkan awak dah lupa?”
Dahi Natasha berkerut. Manalah dia ingat perkara berbelas tahun dulu. Apatah lagi ketika itu mereka masih kecil. Tanpa sedar dia menyedari pemuda itu sedikit sebanyak mula berkongsi perihal dirinya.
“Siapa ya… em… kafe? Oh, awak maksudkan Safi? Kat kafe hari tu? Eh, awak tak kenal dia ke?” soal Hedri semula. Natasha pelik. Entah apa jenis soalan pula yang ditanya Hedri.
“Siapa kenal siapa ni? Dia siapa sebenarnya?” Natasha mula keliru.
“Eh, saya ingat awak kenal dia. Khairil tak beritahu ke? Khairil tak kenalkan Safi pada awak? Dia tak beritahu apa-apa? Takkan awak tak kenal Safi tu siapa?” balas Hedri, membuatkan Natasha semakin bertambah keliru.
“Apa kena-mengena dia dengan Khairil pulak? Hisyh… apa ni? Senang awaklah yang cakap. Dia tu siapa sebenarnya?”
“Baiklah, kalau awak nak tahu, nama dia Saffiya. Dia barulah girlfriend Khairil. Kalau tak silap, dah nak dekat setahun mereka bersama.” Spontan kata-kata itu meluncur laju dari mulut Hedri, membuatkan Natasha terkejut bukan kepalang.
“Kenapa awak diam? Khairil tak beritahu ke? Sudahlah tu. Jangan difikirkan sangat. Forget about it. Banyak lagi perkara lain yang awak nak fikir, betul tak?”
Natasha masih lagi terdiam. Dia sedikit tersinggung. Mengapa tiada siapa yang memberitahunya tentang Saffiya?
“Kita tukar topik lainlah. Balik nanti awak boleh tanya Khairil. Just ask him, okey? Habis cerita. Sekarang, kita cerita pasal hal kita pulak.” Hedri senyum lagi. Natasha lihat senyuman dia kali ini seperti ada maksud yang tertentu.
“Nak cerita apa?” soal Natasha seperti kebingungan. Hujung bajunya dipintal-pintal keresahan. Berdua dengan pemuda ini menggetarkan hatinya.
Hedri tergelak. “Awak ni cepat gelabahlah. Bertenang. Em… ceritalah pasal apa-apa pun yang awak nak cerita.”
Wajah Natasha jelas berkerut. “Saya tak tahulah nak cerita apa.”
“Tak apa. Take your time.” Ketika itu Hedri memasukkan sekeping cakera padat ke dalam pemacunya. Natasha hanya memerhati sahaja. Tentu itu adalah cakera padat kegemarannya.
“Macam sunyi je kan malam ni. Macam tak banyak kereta,” ujar Natasha sebaik telinganya sayup-sayup terdengar irama perlahan mula berkumandang.
“Yalah. Rasa-rasanya malam ni memang sunyi sikit.” Lantas, Hedri menguatkan volume. Buat seketika mereka sama-sama terdiam, cuba menghayati suasana malam.
“Awak minat lagu Jepun ya?” soal Natasha, seakan cuba membangkitkan mood berbual. Dia tidak betah duduk berdiam diri bersama dengan pemuda ini.
Hedri mengangguk. “‘First Love’.” Tanpa ditanya, Hedri memberitahu tajuk lagu yang sedang dimainkan. “Hm.. it means cinta pertama. Saya minat sangat Utada Hikaru ni. Lagunya sedap-sedap. Orangnya pun lawa.”
“Kalau lawa je baru awak nak minat ke?” ujar Natasha selamba sambil membetulkan rambutnya yang ditiup angin. Hedri tidak menjawab sebaliknya dia hanya tergelak kecil.
Kereta dipandu perlahan. Suasana agak tenang. Angin malam berhembus kuat. Pokok-pokok di sepanjang jalan bergoyang-goyang ditiup angin. Seperti ada sesuatu yang menyenangkan yang menyelubungi mereka dan sekaligus menyebabkan Natasha hampir terlena. Namun, cuba ditahan juga matanya agar terus segar. Pemandangan sekeliling diperhati penuh minat. Entah mengapa, masa terasa begitu lambat berlalu walaupun jarak dari Up Town Cafe ke rumah Natasha hanyalah dua puluh lima minit.
“Hedri, nampak macam nak hujanlah. Awak tak risau ke? Kalau hujan lebat mesti lambat sampai,” ujar Natasha perlahan. Difikirannya cuma terbayang wajah Khairil. Menyesal pula rasanya bila bersetuju menumpang Hedri tadi.
“Kenapa? Jangan risaulah. Saya pandu perlahan ni. Tak laju pun. Kereta ni takkan terbang. Haha…” Hedri ketawa tiba-tiba.
Natasha diam. “Awak ni saya serius, dia ketawa pulak.” Bibirnya dimuncungkan sedikit tanda tidak berpuas hati.
“Saya main-main jelah. Kita mesti sempat sampai. Awak jangan takut.”
Natasha mengangguk lemah.
“Err.. Natasha. Saya nak tanya sikit boleh?” Suara Hedri tiba-tiba mengisi suasana yang sepi. Sedari tadi hanya kedengaran bunyi enjin kenderaan sayup-sayup di telinga mereka.
Natasha gugup. “Hah? Awak nak tanya apa?”
“Natasha, awak sudi tak berkawan dengan saya? Saya tak punya ramai kawan selama ni. Hanya Safi dan Khairil sajalah kawan saya. Khairillah satu-satunya kawan yang paling rapat dengan saya.” Hedri nampak sedih. Nada suaranya hanya mendatar menuturkan baris-baris kata. Serta-merta, Natasha merasa simpati. Dia menghadiahkan seukir senyuman manis.
“Saya tak kisah. I trust you. Lagipun, kita memang dah kenal. Kalau setiap orang menetapkan satu garis batasan pada persahabatan, hidup kita ni takkan dipenuhi dengan bunga-bunga tawa. Betul tak?” balas Natasha. Dia senang bersama Hedri. Hedri lelaki yang takkan mengambil kesempatan. Hedri memang murah dengan senyuman. Dia ada sifatnya yang tersendiri.
“Terima kasih. So, we start to be friends again tonight?” soal Hedri. Senyuman jelas terukir di wajahnya. Wajah yang selama ini dihiasi sekeping kaca mata kini berubah. Tampak lebih kacak dan segak tanpa kaca mata berbingkai biru itu. Matanya pula.. aduhai… memang cantik. Rupa-rupanya di sebalik cermin mata, kornea si pemakai memang kelihatan lebih menarik. Mungkin kerana selama ini keindahan matanya tersembunyi.
“Err.. err.. ya.” Serta-merta Natasha tertunduk malu. Agak segan juga dia kerana sempat juga dia mengelamun tadi.
“Thanks. Okey.. nama saya Hedri Emir bin Abdullah. Selamat berkenalan.” Hedri berlagak seolah-olah mereka baru berjumpa.
Natasha tergelak. “Nama saya Natasha Adriyana binti Amir Rasyid. Nice to meet you too.” Dia juga turut memperkenalkan diri, mengajuk perlakuan Hedri tadi.
Hedri senyum kepadanya. Gadis itu diperhatikan dengan ekor matanya. Dia suka melihat senyuman gadis itu. Seakan ada sesuatu yang menggetarkan sukmanya. Manis, peramah, dan bersahaja. Itulah sifat yang disukainya. Yang penting, dia tahu gadis itu telah dididik dengan baik.
Natasha pula tersipu malu. Dia juga cuba menjeling Hedri di sebelahnya. Tika itu, satu perasaan yang aneh muncul menyelubungi hatinya. Darahnya tiba-tiba tersirap. Jantungnya mula berdegup kencang. Sesuatu yang pelik, yang dia sendiri tidak pasti. Ditambah pula dengan irama lagu perlahan yang mengisi suasana, keadaan agak suram.
Degupan jantungnya ternyata lebih kuat terutama ketika terlihat rambut lebat Hedri yang agak panjang disisir lembut oleh bayu malam. Buat pertama kali, dia dapat melihat ketampanan pemuda disebelahnya dengan begitu asyik sekali. Hanya berdua, tanpa ada sesiapa yang mengganggu.













sweet jek..mmm..;)
beshh2…
not bad..
Hedri.. hm..
Best…..
i like…;)
Start sini baru ok n best sket.. baru nak start baca hehehe
suka time dalam bas tu. leh pulak hedri tu selamba kongsi sudu ngan tasha
nie ksah tntng ape yer??
ad kna kawen pakse ke x???
ni kiseh aneh?
sebab awa tak pernah ngalamin nyee
but, good !!!