Novel : Cintaku satu 7

19 January 2010  
Kategori: Novel

2,682 bacaan 3 ulasan

Oleh : Sofi

Taufik melangkah masuk ke dalam rumah dengan wajah yang cukup ceria. Keriangannya dapat dirasai oleh seluruh penghuni rumah yang sedang berada di dapur. Ketiga-tiga wanita itu sedang memandang wajahnya dengan penuh persoalan. Penuh tanda tanya. Terpegun!

Taufik memang terkenal dengan sikapnya yang serius. Dia seorang yang terlalu komited dengan kerja. Hampir sebahagian besar daripada waktu 24 jam sehari dihabiskan di pejabat. Ketegasannya, keseriusannya, menyebabkan dia sukar dihampiri.

Namun berlainan sungguh tingkahnya hari ini. Senyumannya yang menghiasi bibir sungguh menawan. Wajah yang tampan kelihatan semakin berseri. Sepasang mata galak bercahaya. Terpancar sinar bahagia di dalamnya.

Puan Rohani tidak lepas-lepas memandang wajah anaknya sejak Taufik mula melangkah masuk sehinggalah kini Taufik sedang berdiri di hadapannya.

“Fik bawak berita gembira untuk umi!” Katanya sambil mencium pipi ibunya bertalu-talu.

Hai, tentulah dah nak kahwin agaknya anakku ini. Alhamdulillah! Siapalah agaknya gadis yang bertuah tu?

“Fik nak kahwin?” Duga Puan Rohani. Wajah jelas menunjukkan perasaan tidak sabar-sabar bila Taufik seolah-olah sengaja hendak melambat-lambatkan perkhabaran itu.

“Itu dan ada satu lagi!” Kata Taufik girang.

Tina, pengasuh ibunya dan mak Ton, tukang masaknya yang sedang turut memasang telinga terjerit kecil.

“Fik nak kahwin?”

“Abang Fik nak kahwin?”

Serentak ke dua-dua soalan berbunyi.

“Bila?” Tina bertanya lagi.

“Hisy, menyibuk aje! Ini hal orang-orang tua, ok. Budak kecik macam awak pi main jauh-jauh!” Sergah Taufik menyebabkan Tina menarik muka yang sudah bertukar kelat.

“Ala, orang nak join pun tak bagi. Nyampah!”

Taufik ketawa kecil melihat gelagat gadis cilik berumur 18 tahun itu. Tina ialah anak saudara Mak Ton. Dari kecil, Mak Ton memeliharanya. Seorang yang bodoh-bodoh alang. Sewaktu arwah Roslan masih hidup, Tina agak rapat dengannya. Dia dan Roslan boleh berlawak. Bagaimanapun, dia tidak begitu berani hendak mengusik Taufik. Baginya Taufik seorang yang tidak mesra alam.

“Jadi betullah anak umi ni nak kahwin. Tapi dengan siapa?” Soal Puan Rohani bersungguh-sungguh.

“Satu-satulah, umi!” Pinta Taufik sambil menolak kerusi roda ibunya ke ruang tamu. “Ok, yang mana umi nak dengar dulu?” Soalnya.

Puan Rohani tergelak kecil. “Dua-dua pun berita gembira, kan? Jadi, mana-mana pun boleh.” Jawabnya.

“Pilihlah, umi!” Taufik merengek, manja dan keanak-anakan.

Puan Rohani ketawa melihat telatah anak lelakinya itu. Umur sudah tua tetapi lagaknya bagaikan seorang anak kecil. “Berita yang kedua dulu!” Dia memilih.

Taufik tersenyum. Segera dia mengambil tempat untuk duduk di hadapan uminya.

“Pukul 9 pagi tadi, ada seorang gadis masuk ke pejabat Fik. Dia datang bawak satu berita yang selama ini disembunyikan oleh keluarganya daripada pengetahuan kita.”

Dahi Puan Rohani sudah berkerut-kerut. “Berita apa tu, Fik?” Soalnya pantas.

Taufik menggenggam jari-jemari ibunya lantas memberitahu, “Umi, budak perempuan tu….. Dia adik Liyana, umi. Adik ipar Lan. Nama dia Nurul Hana.”

Mencerlung mata Puan Rohani mendengar nama Liyana disebut. Nama yang sangat dibencinya itu!

“Hah! Umi dah jangka dah! Dari dulu lagi umi dah cakap. Budak Liyana tu pisau cukur! Pengikis! Ni, Lan dah tak ada, kan! Dia ingat dia nak hak dia lah tu! Dasar perempuan…..” bagai bertih jagung mulut Puan Rohani mengomel. Wajahnya kemerah-merahan. Marah benar dia kepada Nurul Liyana.

“Umi, dengarlah dulu apa Fik nak cakap ni!” Taufik cuba mencelah.

“Apa halnya, Fik? Kenapa budak tu datang? Dia nak apa? Umi rasa, bukan apa tu. Si Liyana tu sebenarnya takut. Tu fasallah, disuruhnya adik dia datang jumpa kamu.”

Taufik menggaru-garu kulit kepala yang tidak gatal. Dalam hati terasa geram dengan sikap ibunya yang tidak sudah-sudah ingin mencari kesalahan Nurul Liyana. Hendak ditegur, tidak sampai hati pula. Ini ibunya. Bimbang kecil pula hati umi nanti. Dia tidak mahu dianggap menderhaka.

“Adik Liyana? Mesti perangainya sama dengan perangai kakak dia, kan? Mengada-ngada! Gatal pulak tu!” Puan Rohani menuduh.

Tersentap tangkai hati Taufik. Terasa sakit apabila umi menuduh Nurul Hana begitu. Ingin sahaja dia menyangkal tuduhan itu. Dia yakin bahawa gadis itu tidak seperti yang ibunya katakan. Bukan sahaja yakin, malah dia tahu, Ana budak baik.

Sikap gadis itu kembali ke ingatan. Ketegasan ketika berbicara, kelembutan ketika membelai Irfan malah perbuatan berani gadis itu memarahinya tadi tentu sahaja membuktikan bahawa Ana bukan daripada spesies yang ibunya katakan. Seorang gadis yang ingin menggoda pasti akan penuh dengan kepura-puraan. Arghhh, memang nyata, Nurul Hana berbeza.

“Hai, kenapa senyum pulak tu? Dah kena sampuk ke?”

Soalan bersama jegilan mata ibunya mengembalikan Taufik kepada dunia realiti semula. Dia berdehem kecil sebelum memberitahu, “Umi, umi janganlah marahkan Liyana lagi, ya. Dia dah meninggal!”

Berita itu sedikit sebanyak memberi kejutan kepada Puan Rohani. “Dah meninggal?” Soalnya tidak percaya.

Taufik mengangguk. “Liyana meninggal tujuh bulan selepas kematian Lan, umi. Dia meninggal dunia seminggu selepas melahirkan anak mereka!”

Bulat mata Puan Rohani menatap wajah anaknya. Keseriusan wajah Taufik membuktikan bahawa cerita yang baru didengari adalah cerita sebenar. Bukan rekaan! Namun ada rasa tidak percaya juga.

‘Liyana dah mati? Betul ke? Rasa macam tak percaya pulak. Tapi…aku ada cucu! Ya Allah, aku ada cucu! Anak Lan! Syukur, ya Allah. Syukur!’

“Betul ke, Fik? Betul umi dah dapat cucu? Anak Lan?”

“Betul, umi. Fik dah tengok semuanya. Surat nikah, sijil mati diaorang. Surat beranak Irfan…”

“Irfan?”

“Cucu umi! Nama dia sempoi aje! Irfan bin Roslan.” Beritahu Taufik sambil tergelak-gelak.

Puan Rohani turut ketawa tetapi tidak lama. Ada sesuatu mengganggu fikirannya.

“Fik, kenapa baru sekarang dia orang tu nak bagi tahu kita tentang Irfan? Kenapa selepas tiga tahun? Kenapa tidak masa Irfan dilahirkan dulu? Apa motifnya, beritahu sekarang?” soalnya bertalu-talu.

Ya, pagi tadi itulah juga soalan yang bermain-main diminda. Kenapa baru sekarang hendak diberitahu? Kenapa tidak semasa Irfan dilahirkan? Namun mengenangkan perbuatan keluarganya terhadap Liyana, dia akur. Tentu sahaja keluarga adik iparnya itu berburuk sangka terhadap mereka.

“Umi, biarkan aje! Tak penting untuk kita fikirkan semua tu. Yang penting sekarang, umi dah ada cucu. Tapi kan, umi…cucu umi tu sakit. Nurul Hana tu datang minta tolong pada Fik!”

“Cucu umi sakit? Dia sakit apa, Fik?” Puan Rohani tidak sabar ingin tahu.

“Irfan sakit jantung, umi. Dia ada kat IJN sekarang. Lagi lima hari nak kena operate!” Taufik menjelaskan.

“Sakit jantung? Kecil-kecil lagi? Betul ke ni, Fik?”

Lemah dirasakan seluruh anggotanya ketika itu. Dia tidak menyangka bahawa dia ada cucu dan lebih tidak menyangka kini cucunya itu sedang sakit jantung pula. Hendak dibedah lagi!

“Kenapa baru sekarang mereka beritahu kita, Fik?” Puan Rohani amat kesal dengan sikap keluarga Liyana. Menyembunyikan tentang kehadiran cucu dari pengetahuannya dah satu hal kini satu kenyataan yang merisaukan sedang dialami.

“Entahlah, umi. Ana tak beritahu apa-apa.” Taufik menyembunyikan hakikat. Dia tidak mahu ibunya berkecil hati.

“Agaknya Liyana tu cerita yang buruk-buruk tentang umi. Mesti dia beritahu yang umi bencikan dia ke, apa ke! Budak tu… huh, macamlah dia tu baik sangat!” kemarahan Puan Rohani datang semula.

“Umi, yang lepas tu, biarlah. Yang penting sekarang kita dah tahu yang Lan ada anak, umi ada cucu dan Fik ada anak saudara. Tadi, Fik dah jenguk dia di hospital. Memang dia cucu umi. Mukanya sebijik macam Lan!” Taufik bercerita dengan riang.

“Macam mana pulak mereka boleh terfikirkan kamu?” Mata Puan Rohani bulat merenung wajah Taufik. Dia sudah dapat menghidu sesuatu. Melihat Taufik berpura-pura tidak mendengar soalannya, dia menekankan suara, “Hah, jadi itulah sebabnya? Mereka tak mampu nak bayar kos perubatan tu, kan? Betul tak, Fik?”

Taufik membiarkan sahaja soalan itu.

“Berapa kos pembedahan tu, Fik?”

“RM20,000.00, umi.”

“Jadi, tadi kamu pergi ke hospital sebab nak jelaskan bayaran tu? Hisy, geramnya, umi! Memang dasar mata duitan. Senang-senang aje mintak duit orang!” Kata Puan Rohani. Dia benar-benar marah. Liyana dan keluarganya memang menyusahkannya dari dahulu. Sakit hatinya.

“Umi, jangan macam ni! Janganlah marah! Kita kena fikir jugak yang dia orang tu orang susah. Bukan senang nak cari duit sebanyak tu! Tentu dah tak ada cara lain, sebab tu dia orang cari kita. Lagipun, Irfan bukan orang lain. Dia anak saudara Fik. Memang tanggungjawab Fik pada dia!”

Bisu seketika.

“Lagipun………”

Puan Rohani menjungkitkan kening.

“Lagipun, Fik ada perjanjian dengan Nurul Hana.” Ujar Taufik ceria. Wajah cerahnya kemerah-merahan. ‘Blushing, gitu!’

“Aik, lain macam aje bunyi tu? Perjanjian apa pulak ni?” Tanya Puan Rohani resah.

“Dia janji akan bayar balik hutang itu kepada Fik!”

“Macam mana?”

Puan Rohani ketawa. “Ya? Macam mana cara dia nak bayar duit tu? Ingatnya, RM20 ribu tu sikit?”

Taufik membetulkan kedudukannya.

“Sekarang, kita masuk perkara yang kedua tadi.” Tangan ibu digenggam erat-erat. “Fik nak kahwin dengan dia, umi. Fik nak kahwin dengan Nurul Hana!” Ujarnya tegas sambil menunggu reaksi ibunya.

Puan Rohani terkejut. Benar-benar terkejut. Sepasang matanya buntang. Marah benar dia.

Apakah sumpahan yang telah dikenakan kepada anak-anak lelakinya? Mengapakah mereka mesti jatuh cinta kepada adik beradik itu? Si adik jatuh cinta dengan si kakak dan kini, anak sulungnya pula menyuarakan hasrat hendak berkahwin dengan adik si Liyana. Gadis yang bernama Nurul Hana itu. Mengapakah ini yang berlaku?

“Kamu jangan nak buat kerja gila, Fik. Umi tak suka!”

Taufik menarik nafasnya panjang-panjang. Kemarahan ini sudah dijangka. Namun ada sesuatu yang ibunya perlu tahu.

“Umi, umi pernah tanya pada Fik tentang gambar seorang perempuan yang Fik abadikan dalam bilik Fik, kan?”

Puan Rohani merenung wajah anak terunanya. Masakan dia boleh lupa. Gambar itu berada di hujung kepala katil anaknya. Gambar seorang gadis yang sedang menangis sambil tangannya menyeka air mata yang mengalir. Gadis yang walaupun sedang bersedih tetapi masih nampak cantik. Sudah hampir tiga tahun gambar itu berada di situ. Tiap kali ditanya tentang gadis itu, Taufik akan menjungkitkan bahu. Tanda dia tidak ada jawapan bagi setiap soalan yang dikemukakan.

“Gadis tu… Nurul Hana, umi. Tarikh pada sijil mati kakaknya sama dengan tarikh Fik tangkap gambarnya dulu. Masa tu, kami di atas feri.” Kenangan itu menerpa. Dalam senyum, Taufik meneruskan cerita, “Sebelum tu, dia terlanggar Fik. Fik marah dia tapi dia tak dengar pun. Rupa-rupanya dia tengah sedih. Mungkin dia baru dapat telefon tentang kakaknya. Sepanjang dalam feri tu, Fik asyik tengok dia. Fik tahu, Fik dah terpikat pada dia. Tapi Fik biarkan dia pergi. Masa tu Fik ingat dia menangis sebab dia ditinggalkan kekasih.”

“Pelik kamu ni! Punyalah ramai yang hendakkan kamu, yang kamu tak kenal itu pulak kamu suka?” Marah puan Rohani.

“Entahlah.. Fik dah cuba lupakan dia, tapi tak boleh!”

“Macam mana nak lupa kalau gambar dia terpampang besar-besar dalam bilik tidur kamu?”

Ketawa Taufik lepas. “Nak buat camne, umi. Ini kan soal hati? Umi, sekarang, Fik dah jumpa dia semula. Fik tak boleh lepaskan dia pergi. Fik mahu dia dalam hidup Fik, umi!” Manja dia berbicara.

“Tapi, dia tu adik Liyana!”

“Watak dia orang tak sama, umi. Fik yakin, bila umi jumpa Ana nanti, umi pasti berkenankan dia!”

“Macam mana kalau umi tak suka? Kamu sanggup tinggalkan dia? Sanggup kamu lupakan dia?” Tekan Puan Rohani kepada anaknya.

“Ya, demi umi, Fik akan lakukan itu. Fik cuma nak umi gembira.” Jawab Taufik lemah.

Puan Rohani tidak dapat berkata apa-apa lagi. Wajah Taufik dipandangnya dalam-dalam. Anak sulungnya ini adalah anak kesayangannya. Dari kecil sikap mengambil berat dan bertanggungjawab sudah sebati dengan dirinya. Wajah itu sudah keruh disebabkan oleh soalannya tadi. Keriangan yang terpancar sudah tiada. Sanggupkah dia membiarkan anaknya bersedih hanya kerana dia bencikan satu nama itu. Nama dan orang yang sudah mati.

Puan Rohani betul-betul susah hati. Dia tidak mahu mengecewakan anaknya. Ini satu-satunya kesayangannya yang tinggal. Tidak mungkin dia akan membuat anaknya sedih. Lagipun Taufik kata, sikap adik dan kakak berbeza. Aduhai, mereka baru sahaja bertemu. Mana mungkin Taufik tahu apa sebenarnya yang diingini oleh perempuan yang dipanggil Ana itu?

Tetapi….. tidak salah kalau mereka dibiarkan bersama. Taufik lelaki. Taufik tegas. Berpendirian! Tentu Taufik boleh mendidik Ana supaya menjadi seorang isteri yang baik, fikirnya. Taufik bukan Roslan yang lemah. Yang asyik menurut kata-kata isteri tanpa berfikir.

“Dia dah tahu Fik nak kahwin dengan dia?”

Soalan si ibu mengganggu khayalan Taufik. Pemuda itu terpinga-pinga.

“Hah?” Tanya dia sambil matanya bulat memandang wajah ibunya.

Puan Rohani ketawa. “Hai, belum kahwin dah berangan panjang? Umi tanya, dia dah tahu ke rancangan kamu nak kahwin dengan dia?” Soalnya.

Taufik menggelengkan kepala.

“Habis tu?” Ibunya bertanya dengan penuh perasaan hairan.

“Tentulah Fik nakkan restu umi dulu. Kalau umi dah tak izinkan…..”

“Hai, pandai merajuk juga anak umi ni rupanya!” Kata Puan Rohani sambil menampar lembut pipi anaknya. “Kamu sungguh-sungguh sayangkan dia nampaknya. Hai, macam cerita Hindustan pulak! Sekali jumpa dah berkenan!” Usiknya.

“Hanya dia yang dapat buat perasaan Fik jadi gila macam ni, umi!” Jawab Taufik, manja.

“Hmm, umi nak tengok sangat macam mana rupa orang yang dah buat anak umi sasau begini. Okey, apa kata kita buat perjanjian dulu. Petang ni, Fik kenalkan dia pada umi. Kalau umi berkenan…”

“Umi kena beritahu Fik cepat-cepat sebab Fik dah janji nak bawak dia pergi makan malam dengan Fik!” Taufik memintas kata-kata ibunya.

Puan Rohani tergelak. “Hai, memang umi dah agak dah. Kamu ni pandai, ya! Dengan cara halus kamu kenakan umi. Merajuk konon! Tapi tak apalah. Umi pun memang nak sangat supaya kamu berkahwin. Dan umi pun memang teringin sangat nak tengok cucu umi tu. Bila kita nak pergi ni?”

Taufik ketawa sambil memeluk tubuh uminya penuh kasih sayang. Mendapat restu seorang ibu, itulah yang dia mahu. Ana? Hmmm, dapatkah gadis itu mengelak?

“Terima kasih, umi. Insya-ALLAH, selepas umi tengok dia, umi pasti sukakan Ana. Tapi kita makan dululah. Fik dah lapar ni!” Ujarnya sambil menuju ke tangga. Dia ingin naik ke biliknya.

“Hah, itu nak ke mana pulak tu? Kata, lapar?”

“Fik nak naik ke bilik. Nak cium gambar Ana untuk umi. Boleh?” Balas Taufik selamba.

Puan Rohani ketawa kecil. “Amboi-amboi….! Nak kena cubit?”


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Cintaku satu 7”
  1. fatiah says:

    hahhaaa.. nvl nie agk lwak ar…

    sporting jgak umi dye 2 ek..

    tpi simple sngt ar.. enoy tpi cpt sngt tmt n ringkas aje…

    4 pnlis.. lps nie hraikn lbh pnjg… n klo keluar dlm bentuk nvel bctak, xmstahil dapat smbutan… pnlis try ar tlis dlm bntuk nvel bctak lak… hehehe..

    nk bca sngt, mcm nie xbest sngt,… episode

  2. farah amanina says:

    suka cita ni… best sangt… sedih pon ada… tapi lawak tu yg plaing best.. slumber jer.. ahhahahaah

  3. Siti Soleha Yahaya says:

    cam ner nasib Hana ngan Taufik nnt yer….
    suspen….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"