
Novel : Ku Relakan Segalanya 5
Oleh : Puteri Selendang Biru
BAB 11
Wes mempercepatkan langkahnya. Farahymma yang berada di depannya dikejar. Farahymma mula berlari-lari anak namun langkahnya dapat diatasi oleh Wes. Wes menahannya dari terus melangkah pergi.
“Please Emma, please!” Wes memegang kemas pergelangan tangan Farahymma. Farahymma cuba menarik tangannya namun hampa.
“Lepaskan saya!” Dia terus memberontak.
“Berilah saya peluang. Kita perlu berbincang sayang….” pujuk Wes. Kata-kata sayang dari bibir Wes membuatkan Farahymma berhenti memberontak. Dia memandang Wes sebentar sebelum pandangannya beralih ke bawah memandang kaki bukit.
Wes yang melihat tindak balas dari Farahymma terus melepaskan genggamannya. Dia menarik nafas panjang untuk mencari kekuatan berhadapan dengan gadis itu.
“Emma…..”
“Untuk apa awak datang sini lagi?!” tanya Farahymma keras.
“Saya datang mencari awak. Saya nak minta maaf pada awak. Saya……”
“Awak tak perlu minta maaf dari saya. Saya dah lupakan perkara lepas. Saya dah terima dengan hati yang terbuka. Segala-galanya saya dah lupakan.”
“Segala-galanya?” Wes seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Farahymma. “Termasuk kenangan dan cinta kita?”
“Ya,” balasnya tegas. “Untuk apa saya ingat semua tu? Perlukah saya masih seperti dulu sedangkan awak sedang bahagia dengan kehidupan baru awak.”
“Emma……awak dah salah faham. Sebenarnya…..”
“Look…saya tak nak dengar dan tak berminat nak tahu apa-apa pun tentang awak. Antara saya dengan awak dah tak de apa-apa. Bagi saya awak dah tak bermakna dalam hidup saya!” Farahymma terus berlalu meninggalkan Wes tanpa menoleh ke arahnya.
Wes terdiam kaku mendengar setiap butir kata-kata yang terkeluar dari bibir Farahymma. Dia tidak menyangka Farahymma begitu tega mengeluarkan kata-kata yang amat pedih.
Dia menarik nafas panjang. Cuba mententeramkan diri. Mungkin Farahymma tidak bermaksud untuk berkata begitu. Hatinya telah terluka sejak dia ditinggalkan. Dia tidak bersalah. Malah Wes yakin dan pasti, Farahymma masih menyayangi dirinya.
Wes berjalan memasuki perut kereta dan termenung sebentar. Dia menguakkan rambutnya ke belakang sambil menghembuskan keluhan yang panjang. Dia tidak sangka akan bersua dengan Farahymma di situ. Sedang asyik dia melihat keindahan pelangi, dia terlihat kelibat Farahymma di sana.
“Emma…… kenapa kau tak beri peluang untuk aku jelaskan?” Wes bicara perlahan.
Tiba-tiba matanya terarah kepada seorang gadis yang sedang merenungnya tajam. Dengan jelingan yang kurang menyenangkan gadis itu berlalu pergi.
‘Siapa dia?’ Wes tertanya sendirian.
BAB 12
Puan Suria yang sedang asyik menyapu halaman rumah mengalihkan pandangannya kepada Maya yang sedang melangkah masuk ke dalam. Dia merasa hairan. Sejak bila Maya keluar dari rumah sikit pun dia tidak menyedari.
“Kau dari mana Maya?” soalnya apabila Maya melintasinya. Maya menghentikan langkahnya seraya memandang ke arah Puan Suria.
“Ambil angin kat atas bukit,” ujar Maya terus berlalu meninggalkan Puan Suria. Sampai saja dia di ruang tamu, terus tangannya mencapai remote control lalu skrin televisyen pun terbuka. Dia mengeluh sebentar. Tiada satu yang menarik.
Sudahlah tadi ketenangannya di ganggu dek pertengkaran sepasang kekasih sewaktu dia bersiar-siar di atas bukit. Di rumah pula tiada apa-apa yang menarik untuk dilakukan. Dia mencebikkan mukanya.
‘Apalah yang dilakukan Zila sekarang.’ Fkirannya mula teringatkan sahabatnya yang sedang berbulan madu di Cameron Highland. ‘Mungkin dia sedang bersiar-siar dengan Johan sekarang.’ Dia mengeluh lagi mengenang nasibnya yang keseorangan.
“Maya.” Kedengaran suara yang memanggilnya. Maya berpaling.
“Kenapa mak?” tanyanya. Puan Suria melabuhkan punggungnya di sisi Maya sebelum bersuara.
“Pagi tadi Mak Ngah telefon, katanya Fauzan baru sampai dari Australia,” beritahu Puan Suria. Maya kelihatan riang mendengar berita itu.
“Fauzan dah balik?!” dia bertanya meminta kepastian dari ibunya. Puan Suria mengangguk. Lantas dia berlari menuju mencapai ganggang telefon. Tak sabar rasanya untuk berjumpa dengan sepupunya itu.
“Hello…Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam,” jawab suara di corong telefon.
“Mak Ngah ye? Maya ni,” beritahu Maya.
“Ah….Maya. Ada apa?” tanya Puan Marsila.
“Fauzan dah balik ye Mak Ngah. Maya nak bercakap sekejap dengan dia,” pintanya.
“Fauzan tidurlah Maya. Letih agaknya baru sampai. Nanti kalau dia bangun Mak Ngah beritahu Maya telefon cari dia.”
“Tidur?” Maya hampa mendengarnya. “Tak pelah Mak Ngah. Assalamualaikum.” Maya meletakkan ganggang telefon. Dia berpaling ke belakang.
Matanya terpaku pada susuk tubuh seorang lelaki yang berdiri di belakangnya. Maya memandang dari bawah dan terus ke atas. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat lelaki di hadapannya.
“Fauzan?!” dia menjerit. Kini dia tahu dirinya telah dipermainkan. Mak Ngah, ibunya dan Fauzan ternyata telah berpakat untuk mengenakannya. Dia mengetap bibir. Lelaki di hadapannya dipandang tajam.
Fauzan yang dapat menangkap tindakan Maya selanjutnya mengundur ke belakang beberapa tapak apabila Maya mula mendekatinya. Kemudian dia terus berlari mengelilingi ruang tamu apabila Maya terus mengejarnya.
Fauzan terus mengusik Maya dan mengajuknya apabila gadis itu tidak berjaya mendapatkannya. Maya terus mengejar sepupunya itu sambil mulutnya terkumat-kamit memarahi Fauzan kerana mempermainkannya.
Puan Suria menggeleng kepala melihat kedua-dua mereka yang saling berkejaran dan mengusik antara satu sama lain. Jauh di sudut hatinya amat menyenangi keakraban yang terjalin antara Fauzan dan Maya. Sejak kecil lagi hubungan kedua-dua orang muda itu memang rapat. Inilah yang diinginkan oleh Puan Suria.
Suasana yang bingit tadi menjadi sunyi apabila Maya dan Fauzan menyambung aktiviti kejar-mengejar mereka di halaman rumah. Lantas Puan Suria bangun menghampiri telefon dan tangannya mula mendail menghubungi Marsila adiknya. Tak sabar rasa di hati untuk berbincang dengan Marsila tentang rancangan mereka. Dia juga bertekad untuk berbincang dengan suaminya malam ini.
BAB 13
“Bang….” panggil Puan Suria lembut seraya matanya mengamati susuk tubuh suaminya melalui cermin besar.
“Hmmm….” lambat-lambat Tuan Malik mengangkat mukanya memandang isterinya yang sedang menyisir rambut. Tuan Malik memusing kepalanya ke kanan dan ke kiri. Terasa sengal lehernya. Kemudian jari jemari kanannya memicit lengan tangan kirinya yang terasa lenguh.
“Apa pendapat abang tentang perkara tu?”
Tuan Malik tidak menjawab pertanyaan Puan Suria. Bantal di hujung kepalanya ditepuk-tepuk lalu meletakkan kepalanya dan berbaring. Badannya terasa benar-benar letih mungkin kerana terlalu banyak masa dihabiskan di pejabat walaupun A2-M Sdn. Bhd telah diserahkan kepada anak lelaki tunggalnya yang juga merupakan anak sulungnya.
Ariff masih mentah, dia perlu banyak belajar kerana itu Tuan Malik sering memerhatikannya di pejabat.
“Abang…..saya tanya abang ni.” Puan Suria mengalihkan badannya mengadap Tuan Malik.
“Budak-budak tu dah besar Suria. Biarlah diorang tentukan hidup sendiri. Tak payahlah kita nak memaksa diorang tu,” ujar Tuan Malik yang telah tahu persoalan yang ditanya Puan Suria.
“Saya bukan nak memaksa, abang. Tapi sekurang-kurangnya kita usahakan mereka bersatu.”
“Tak perlu buat semua tu. Kalau dah jodoh mereka bersama, semuanya akan jadi sendiri. Kalau dah tak de jodoh, awak buat macam mana pun takkan jadi,” balas Tuan Malik. “Dari awak sibuk-sibuk soal Maya dengan Fauzan tu, ada baiknya awak cari menantu yang baik untuk Ariff. Anak awak yang sorang tu dah gila kerja. Langsung tak fikir umurnya yang dah meningkat.”
“Abang ni….” Puan Suria merungut. Ada nada rajuk dalam suaranya.
“Saya bukan tak suka dengan cadangan awak tu. Tapi kita kena fikir juga hati mereka. Nanti kalau jadi apa-apa, kita pulak yang disalahkan,” balas Tuan Malik. “Dahlah tu. Baik awak lupakan niat awak.” Tuan Malik mengeliatkan tubuhnya. “Bila kita nak pergi melawat Marsila?”
“Esok malam,” ujar Puan Suria ringkas lantas bangun mematikan lampu.
‘Merajuklah tu. Dah tua-tua pun merajuk lagi,’ bisik hati Tuan Malik.













terlalu byk kata ajuk..haha..kureng menarik pade sy..hihi..sowi
cerita yg x bgt menarik.penyampaian cerita x sampai
jadikan cerita yg dpt memberi suatu kelainan kpd pembaca.
cerita yang di sampaikan tak sampai kepada pembaca…kurang menarik….
perlukan usaha yang lebih lagi
Layan jew la..bsmbung
tak fham la crita nie..perlu dibaiki lg.
x brape fhm mcg yg nk disampaikan…huhu
apaon..plezz try again later….tut..tutt..ttutt
Tidk begitu best. -,-