
Novel : Pucuk 2
Oleh : Shaz Johar
Bab 2. Jatuh cinta.
Falling in love is not an extension of one’s limits or boundaries; it is a partial and temporary collapse of them – M Scott Peck
Faireen termenung jauh sepanjang perjalanannya ke lapangan terbang di Sepang. Bas yang baru bergerak dari stesen KL Sentral itu hampir penuh diisi oleh manusia yang ingin ke destinasi yang tidak diketahui. Dia mula berteka-teki. Barangkali pasangan orang putih yang duduk di kerusi hadapan itu hendak ke Bali. Wanita indo dan rakannya di kerusi belakang pula mungkin hendak pulang ke kampung. Peramugari berseragam merah yang sibuk menyapu bedak di muka sambil memeriksa jam tangannya selang lima minit ini berkemungkinan besar telah lambat ke tempat kerja. Dan lelaki cina yang tidur di sebelahnya ini tidak pula diketahui ke mana hala tujunya dan mengapa dia memilih untuk duduk di situ. Faireen menggigit jari.
Matanya menjeling memerhatikan saja lelaki cina yang lena di sebelahnya itu. Sekali-sekala apabila bas semakin bergerak laju, tengkuk lelaki itu bagai patah terlentok ke bahunya. Faireen rimas lalu menggeliatkan tubuhnya sedikit. Hendak dikejutkan lelaki itu, dia seperti malu-malu pula. Hatinya geram. Bagaikan bayi yang baru didodoi, makin jauh perjalanan, makin enak pula lelaki itu dibuai mimpi. Sesekali terdengar dengkuran halus di telinga. Jauh dia terlena nampaknya, entah ke manalah dia merantau dalam mimpinya itu, katanya di dalam hati.
MP3 kecil jenama Sony yang terselit dalam poket seluar jeans hadiah harijadi dari kekasih tersayang dimainkan. Lagu “Aku dan Dirimu” dendangan Ari Lasso dan Bunga Citra Lestari mula berputar lembut ke corong telinga. Tiba-tiba saja bibir halusnya mengukir sebuah senyuman. Itu lagu kiriman kekasihnya sebulan selepas mereka bertemu dulu. Sebentar lagi dia akan ke Medan untuk berjumpa dengan jejaka bertuah itu. Faireen girang kerana sudah seminggu mereka tidak bersua. Alasan kekasihnya seminggu yang lalu, dia terpaksa keluar negara atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Sama dengan alasan Faireen kepada ibunya sebelum dia melangkah keluar rumah awal pagi tadi.
Ibunya berleter panjang lebar. Orang tuanya itu mengingatkan bahawa adiknya Faisal bakal pulang dari luar negara petang nanti tetapi Faireen buat endah tak endah saja. Bukan kerana dia tidak setuju dengan cadangan ibunya supaya mereka duduk berkumpul sekeluarga hari itu tapi hatinya sendiri sudah tidak sabar untuk bertemu dengan kekasihnya itu di negara lain.
Dulu kata Rozi, rakan baiknya di pejabat, dia dan adiknya Faisal ibarat belangkas. Ke hulu ke hilir ke mana saja, mereka sering saja berdua. Tapi semenjak pemergian adiknya itu, Faireen merasakan belangkas itu sudah semakin kehilangan seri. Mujurlah dia tidak mengambil masa yang lama untuk bersedih. Sebulan dua selepas itu dia berjumpa pula dengan belangkas yang baru. Orangnya kacak, bernama Syafiq.
Faireen ingat lagi kali pertama dia bersua muka dengan lelaki bernama Syafiq itu. Hari itu hari Sabtu, minggu terakhir umat Islam berpuasa. Kebetulan, petang itu dia tidak bekerja dan masa yang ada diluangkan untuk bersantai sambil membeli-belah sedikit. Kononnya untuk persiapan akhir menyambut satu syawal. Petang itu dia keseorangan. Rozi yang berjanji ingin bertemu dengannya masih belum lagi menampakkan wajah. Dia sudah sebati dengan janji yang lahir dari mulut rakannya itu. Tiada banyak bezanya dengan janji orang melayu yang lain. Akhirnya lama menunggu, dia membuat keputusan untuk berjalan sendirian. Keluar masuk satu kedai ke kedai yang lain mencari-cari jika ada pakaian yang berkenan di hati.
Fikirannya jauh terkenangkan Faisal waktu itu. Jika dia ada bersama, sudah pasti tangannya sudah penuh menjinjing dua tiga keping beg kertas penuh berisi pakaian. Mereka dua beradik ibarat langit dengan bumi. Berbeza sungguh. Faisal memang gila berbelanja, bergaya, dan sering mementingkan penampilan diri. Rambutnya yang terpacak sentiasa dipastikan rapi walau ditiup angin sekencang manapun. Pakaiannya berjenama kemas tersusun penuh di dalam almari. Jika dilihat Faireen terlupa untuk menjaga keterampilan diri, mulutnya lancang menegur.
Katanya lagi, Faireen seorang yang pemalas. “Orang perempuan kalau malas lambat laku,” sindirnya. Faireen tersenyum. Betul agaknya teguran adiknya itu. Usianya kini sudah mencecah 29 tahun. Setahun lagi dia melangkah ke 30. Kata Mak Long di kampung pula, anak dara jika dibiarkan tidak berlaki, boleh keras juga isinya. Faireen tahu ibu saudaranya itu menyindir tapi dia kuat mengatakan wanita moden tidak perlukan lelaki untuk hidup lagi di zaman ini.
Lagipun dia belum puas hidup bersendirian.
“Opps!” dalam sibuk mengelamun, kakinya tersadung satu benda keras. Dia terjelepok lalu tersembam ke tengah jalan.
“Are you okay?” Tegur anak muda tinggi lampai berkulit cerah sambil menghulurkan tangan untuk menyambut. “I am so sorry, I shouldn’t put it there,” sambungnya. Kotak besar berisi set pinggan mangkuk yang diletakkan di depannya tadi ditarik ke tepi.
“It’s okay, I am fine!” Faireen bingkas bangun. Malu tuhan saja yang tahu.
Orang ramai yang membanjiri kompleks membeli belah petang itu semua memerhatikannya. Tak ada seorang pun yang bersimpati malah dia ditertawakan lagi. Waktu itu Faireen terasa dirinya baru saja melakukan aksi stunt bergenre komedi seperti badut. Wajah lelaki yang tercegat di depannya itu langsung tak dipandangnya. Dia mengutip isi kandungan beg tangan yang jatuh bertaburan. Selesai mengemas diri, dia terus beredar. “Bye!” Ucapnya sebelum pergi.
Faireen mengerut dahi. Bye? Soalnya. Bas yang bergerak laju kini memasuki daerah Dengkil. Tak lama lagi sampailah dia ke terminal tambang murah di Sepang itu. Lelaki cina di sebelahnya kini sudahpun membuka mata. Entah bila agaknya dia terjaga dari tidur tidak pula Faireen sedari. Jam di pergelangan tangan kanannya ditilik tetapi kesan parut di celah jari hantu yang menarik perhatian. Sekali lagi dia terimbas kenangan insiden tersembam di kompleks membeli belah pada bulan puasa lalu itu. Kepalanya bingung memikirkan sehingga kini mengapa dengan mudah dia mengucapkan perkataan bye selepas kotak besar lelaki itu menghalang laluannya.
Kerana kotak itu jarinya terluka bergeser di lantai simen. Begitu juga lutut keringnya, habis bengkak dua tiga hari. Lama juga sendi-sendinya lemah. Telefon bimbit yang baru dibeli juga habis pecah berderai. Minyak wangi yang diberi Faisal entah ke mana penutupnya pergi. Mujur botolnya keras jika tidak habis satu beg berbau harum.
Peliknya dia langsung tidak marah waktu itu. Mulutnya cuma terucap perkataan bye walaupun hakikatnya di dalam hati menyembur-nyembur sumpah seranah. Lelaki tinggi lampai berkulit cerah itu ditinggalkan saja di belakang. Kalau boleh dia tidak mahu menoleh lagi. Suara-suara gelak ketawa dirasakan bagai menyucuk-nyucuk di dada. Dia terus berlari.
Dua tiga hari selepas insiden itu, telefon bimbitnya yang masih bercalar kesan jatuh tempohari telah berdering. Sambil mengurut-urut lutut yang masih bengkak, dia menjawab panggilan yang diterima.
“Hello, Faireen Iqram?” suara parau lelaki memberi salam.
“Ya?”
“I am Syafiq. We met by accident,” lelaki itu memperkenalkan diri.
“Accident?” Faireen makin bingung. Mat saleh mana pula yang berspeaking malam-malam ni? “Syafiq who?” Soalnya berspeaking juga.
“You tripped and fell in front of me three days ago in Pavilion, remember?”
Ha! Faireen terkejut. Masakan dia boleh melupakan kejadian itu. Langsung tidak disangkanya mereka berdua akan berbicara lagi. Apatah lagi bertukar nombor telefon. Bomoh manakah yang lelaki ini jumpa? Dia tertanya-tanya. Dahi yang semakin berkerut dipicit. Lutut yang masih bengkak juga diurut perlahan. Jika diikutkan hati, mahu saja dia menamatkan perbualan yang tak diingini itu tapi entah kenapa makin lama mereka berbicara, dia makin terleka. Ada sesuatu pada perbualan yang sedang berlangsung waktu itu yang berjaya mencuri hatinya.
Dia biarkan dirinya terus terpukau.
Sepanjang perbualan, Syafiq tidak putus-putus meminta maaf. Faireen pula tidak lekang dengan senyuman. Katanya waktu itu dia kepenatan berpusing seluruh bangunan pusat membeli belah itu untuk mencari set pinggan mangkuk yang diminta oleh ibunya. Pesan ibunya lagi, set yang dibeli harus sama dengan katalog yang dikirim. Syafiq akui, ibunya agak cerewet sedikit. “Pinggan mangkuk itu untuk ditayang kepada tetamu yang datang beraya nanti. Mak saya kan bekas isteri ADUN. Kalau tak berlainan dari orang lain kat kampung tu, tak bercerita lah orang kat sana nanti pasal pinggan mangkuk barunya,” ulasnya ringkas. “Maaf ya, kerana kotak besar tuh awak terjatuh…”
Faireen yang tetap kekal dengan senyuman membiarkan saja lelaki itu membuka pekung di dada. Dia peduli apa dengan kisah perempuan tua dengan set pinggan mangkuk itu. Setahunya, set pinggan mangkuk itu jugalah yang menjadi punca pertemuan mereka.
Kata Syafiq lagi, sejurus selepas Faireen pergi, dia terjumpa sekeping kad nama yang terpelanting di hujung kaki. Dia mencuba nasib. Jika benar kad itu kepunyaan perempuan yang terjatuh di depannya tadi, dia ingin menebus kesilapan yang berlaku.
“Mungkin dah jodoh kita agaknya,” balas Faireen pula.
“Mungkin. Kalau awak rasa nak makan ayam masak merah dengan set pinggan mangkuk baru, datanglah beraya di kampung saya nanti,” Syafiq mempelawa.
Alat MP3 yang masih berputar dimatikan sejurus selepas bas berhenti. Dia bergegas turun terus ke balai berlepas. Pesawat Air Asia akan berlepas ke Medan dalam masa dua jam lagi. Cukup untuknya bersarapan dan berpusing-pusing di dalam terminal tambang murah itu. Faireen sudah semakin hilang sabar. Kerana Syafiq dia ke sana. Dari sana, mereka berdua akan bercuti bersama ke Danau Toba. Kata orang tasik besar itu cantik. Sangat sesuai untuk pasangan yang ingin berbulan madu.
Bulan madu? Aku belumpun kahwin dengan lelaki itu lagi!
Faireen menghela nafas panjang. Kalau ibu bapanya tahu dia ke sana dengan lelaki yang bukan muhrim, tentu kepalanya habis dicantas kali ini. Apa nak jadi dengan aku ni? Apa ilmu yang lelaki ni pakai? Apa tak takutkah aku pada dosa jika bersedudukan dengan dia nanti? Satu demi satu persoalan timbul di dalam kepala. Memang benar dia belum arif dengan lelaki bernama Syafiq itu. Sering terlintas di fikiran, bagaimana insan yang bernama Syafiq itu sebenarnya dan benarkah juga dia masih belum berpunya.
Ah, aku wanita moden! Mungkin percutian tiga hari ini dapat digunakan untuk mengenali hati budi masing-masing. Aku pasti, jika ada jodoh tak akan ke mana…
Tapi cepat saja fikirannya berubah.













Saya suka baca cara penulisan awak. Tutur bahasa dan cara perjalanan cerita teratur dan ayat yang digunakan tidak mengelirukan. Saya pasti jika plot cerita ini semakin hebat, novel ini akan dibukukan. Teruskan cerita ini dengan terbaik dan jangan berjenti di tengah jalan… saperti ada penulis novel yag lain, suma hangat pada mula2 sahaja tapi bila sampai di tengah2 cerita, terus diam atau plot cerita terus mati…