
Novel : Rahsia pamela 1
Oleh : Haliza Haliz
Suasana dalam rumah banglo tiga tingkat itu sunyi sepi. Bagaikan ada kematian yang menyelubungi rumah tersebut. Sekiranya bukan kerana keadaan rumput halaman rumah itu sentiasa menghijau dan berderetnya tiga hingga empat kereta pasti ramai tidak menyangka rumah itu masih berpenghuni. Mak Timah yang sedang mengelap organ yang sudah lama tidak terusik itu menitiskan air matanya. Sudah 10 tahun berlalu. Keadaan rumah itu masih seperti dulu. Mak Timah melepaskan batuknya. Dia memandang ke arah tangga. Dia masih terbayangkan lagi wajah seorang lelaki yang tegap tubuhnya dan segak memakai kot bersiap untuk menjalankan tugasnya. Mak Timah memandang pada jam. Jika diikutkan memang mereka akan datang lagi beberapa minit. Mak Timah masih menanti dengan perasaan berdebar.
“Sudah sampai budak-budak itu?” soal Pak Azid yang datang entah dari mana.
“Belum,”
“Harap-harap semua baik-baik sahaja. Aku ini bukan apa, sudah tidak larat lagi, Timah. Kereta yang berderet itu, aku sudah tidak larat hendak uruskan. Setiap masa kena hidupkan enjinnya. Kalau ikutkan, memang aku mahu jualkan sahaja kereta-kereta itu. Tetapi, bila kenangkan bukan hak aku…..,”
“Kamu pun sudah mahu macam Raju. Raju pun sudah seminggu berhenti jadi tukang kebun. Silap-silap lagi dua tiga hari naik baliklah rumput itu,” Mak Timah melahirkan kerisauannya.
“Timah, Encik Harip beritahu aku. Sebaik mereka datang, mereka yang akan bertanggungjawab sepenuhnya pada rumah ini. Buatnya, mereka tidak perlukan khidmat pembantu rumah lagi, kamu faham bukan maksud aku,”
Mak Timah mencemik. Pak Azid memang suka menakutkan. Mak Timah yakin tidak semudah itu untuk dia lepaskan jawatan sebagai penjaga rumah itu. Rumah itu sudah bertahun-tahun malah mungkin sudah mencecah lebih tiga puluh tahun.
“Salah Tuan Besar juga, siapa suruh dihalaunya tiga-tiga anaknya. Sekarang, anak-anak pun sudah tiada,” Pak Azid yang memang suka menuduh tidak tentu hala itu kelihatan menyalakan rokok daunnya di hadapan Mak Timah.
“Ada baiknya kamu jangan tuduh sebarangan. Tuan itu baik. Anak-anaknya sahaja,”
“Alahai, perkara kecil sahaja. Tuan itu sensitifnya semacam,”
“Apa perasaan kamu kalau anak-anak kamu pun perangai macam itu? Azid, baik kamu tarik balik kata-kata kamu itu kalau tidak malu sendiri. Aku ini, kalau bukan kerana aku sayang sangat dengan tuan, puan dan rumah ini lebih baik aku balik sahaja kampung aku. Anak-anak aku, sudah bising-bising. Diorang cakap, aku ini taksub sangat dengan rumah ini. Tetapi, mereka tidak faham. Ini semua amanah, Azid. Amanah,” suara Mak Timah nyata mampu menggegarkan rumah tersebut.
“Sudahlah. Jangan layan sangat perasaan kamu itu. Aku pun redha sahaja kalau mereka datang nanti, mahu pecat aku. Aku pun mahu rehat sahaja. Sudah tua-tua begini, baik aku duduk rumah sahaja,”
“Aku tidak akan pergi. Ini amanah. Mereka kena langkah mayat aku dulu sebelum suruh aku pergi,”
“Assalamualaikum,” laung seseorang. Suara itu memang mereka cukup kenal. Kenal sangat-sangat. Mak Timah segera ke pintu.
“Encik Harip,”Mak Timah menyebut. Tangan tua Mak Timah itu disalam. Pak Azid muncul.
“Hai, tuan loyar sudah sampai,” usik Pak Azid. Encik Harip yang memang tidak canggung itu terus duduk di atas salah satu kerusi antik itu. Kuat juga kudrat Mak Timah selama ini menjaga rumah dan perkakasan rumah ini sehingga terjaga rapi. Dia sendiri pun, kalau ada rumah yang bakal runtuh lagi dua tiga tahun akan dijualnya. Buat apalah hendak simpan barang-barang buruk. Sudah lebih 10 tahun dia menjaga dokumen di tangannya. Sudah hampir kuning pun kertasnya. Tetapi, hari ini mungkin penamat segalanya. Atau mungkin juga permulaan segalanya.
“Minumlah, Encik Harip. Tidak ada apa-apa sangat. Air teh ini sahaja,” pelawa Mak Timah. Encik Harip melihat potret besar yang tidak jauh dari tempatnya.
“Baru gantung ke?” soal Encik Harip.
“Baru semalam. Kata si Timah, kalau budak-budak itu tanya macamana rupa tuan dan puan, tidak payah susah-susah hendak terangkan macamana. Tunjukkan sahaja gambarnya,”
Encik Harip senyum meleret.
“Budak-budak itu macamana perangainya?” soal Mak Timah. Encik Harip senyum sahaja.
“Ish, kamu ini Timah. Soalan begitu kamu tanya pada Encik Harip,”
“Saya bukan apa-apa. Saya sekadar mahu tanya. Yalah, mereka itu semua, kan orang Bandar. Takut juga kalau diorang tak suka masakan saya nanti, Encik Harip,”
Encik Harip faham maksud Mak Timah itu. Deruan enjin kereta menyerbu masuk ke rumah itu. Mereka bertiga menjengahkan diri ke luar. Satu tubuh tinggi lampai persis model melihat sekeliling. Tubuh itu berpusing sedikit. Rambutnya yang panjang mengurai itu berterbangan cantik. Agaknya, kalau ambil gambar mesti sesuai untuk dijadikan poster.
“Bukan ke itu pelakon terkenal Azza Natalia?” soal Mak Timah kaget. Dia pernah membaca tentang pelakon itu. Pelakon itu dikenali masyarakat kerana sikapnya yang merendah diri dan berbudi bahasa. Malah, dia banyak membuat kerja-kerja amal.
“Ya. Nama penuhnya Nur Azza Natalia Jalani. Dia anak kepada Tuan Muda Jalani iaitu anak bongsu Tuan Rahimi,”
Fahamlah Mak Timah. Jadi, Azza Natalia salah seorang yang mereka nantikan. Harap-harap apa-apa yang pernah dia baca itu bukan indah khabar dari rupa. Azza Natalia bersalam dengan Encik Harip. Mesra juga mereka berbicara.
“Mari saya kenalkan. Azza, ini Mak Timah dan Pak Azid,”
“Oh, apa khabar? Maaflah, tidak ada apa-apa sangat. Saya ada tanya juga berapa orang yang menjaga rumah ini. Harip kata, ada dua orang. Jadi, saya bawa cukup-cukup untuk dua orang. Betul ke dua orang sahaja?” ramah juga dia. Kalau dari cara Azza jelas dia merendah diri. Bahkan pakaiannya juga sopan dan berkebaya anggun. Mungkin sebab itu, cucu Mak Timah yang masih remaja itu meminati pelakon yang khabarnya berkelulusan tinggi ini.
“Dulu ada tiga orang. Dia pun mengalah sahaja. Sekarang tinggallah kami berdua,”
“Cik Azza masuklah. Duduklah dulu. Mana barang-barang Cik Azza? Boleh saya tolong angkatkan,”
“Eh, tidak apalah. Nanti, saya angkat sendiri. Saya mahu keliling rumah dahulu. Harip, kalau awak tidak kisah temankan saya sekejap,”
Encik Harip mengangguk. Mak Timah hanya memerhati sahaja keduanya berjalan ke arah ruang lain.
“Mana Zarith?” soal Encik Harip.
“Adik saya itu? Dia cakap, esok baru sampai,” Azza berkata sambil membelek buku di rak yang masih kukuh itu.
“Jadi, tidak bolehlah saya baca wasiat itu hari ini,”
“Wasiat? Huh! Apa semua ini, Harip? Saya dengan Zarith masih tidak faham apa-apa. Zarith pun macam tidak minat sahaja. Saya pun lagilah pula. Sepatutnya, saya ada pengembaraan hari ini. Tetapi, mama yang paksa saya dengan Zarith datang,”
“Cik Azza, ini amanah Tuan Rahimi,”
“Amanah? Saya seribu kali tidak ingin harta dia yang melimpah ruah itu. Dia halau papa dan pak cik-pak cik saya. Kami sekeluarga sudah cukup bahagia dengan harta peninggalan papa,”
“Tetapi, walauapa pun, Cik Azza kena tinggal di sini selama seminggu untuk selesaikan segalanya,”
“Kenapa cucu-cucu sahaja?” soal Azza tidak puas hati.
“Itu yang tertulis dalam wasiat sejak tiga belas tahun dulu. Tuan Rahimi suruh saya cari semua cucu-cucunya,”
“Macamana pak cik-pak cik saya yang lain?”
“Mereka juga sudah meninggal. Yang tinggal hanya anak-anak mereka iaitu sepupu Cik Azza,”
“Oh, saya tidak kenal lagi mereka,” Azza mengeluh.
“Datuk saya tahu tentang…..,”
“Datuk Cik Azza mula ikuti perkembangan anak-anak dan cucu-cucunya sejak tiga belas tahun lepas. Cuma dia tidak tahu mana hendak cari kerana dia sudah uzur. Sebab itu, dia wasiatkan saya cari Cik Azza dan sepupu-sepupu lain,”
“Sekarang, mana sepupu-sepupu saya yang lain?”
“Mereka belum sampai lagi,”
Azza mengangguk. Mungkin masih berfikir agaknya. Azza sebenarnya sengaja mencari alasan berjalan sekeliling rumah untuk bercakap dengan Encik Harip. Azza sebenarnya masih sangsi dengan wasiat tersebut. Papanya mati secara misteri. Nampak macam terkena serangan jantung tetapi setahu Azza papa tiada penyakit itu. Mama pun macam mulutnya dizip habis.
“Cik Azza mahu pusing lagi,”
“Tidak. Bawa saya ke ruang tamu,”
Azza berjalan ke ruang tamu. Dia memcapai majalah yang ada di atas meja itu. Mak Timah di dapur entah apa yang dibuatnya. Barangkali siapkan apa-apa yang patut. Enjin kenderaan kedengaran lagi. Azza menjengah ke luar. Bunyi Toyota Vios rupanya. Selepas itu, elok pula diletakkan di sebelah BMW Sport miliknya.
Azza diberitahu selain dia dan adiknya Zarith, dia akan tinggal di situ bersama empat lagi sepupunya. Azza masih keliru dan tidak percaya. Dia ingat lagi, setahun yang lalu dia dihubungi oleh seorang peguam bernama Harip. Pada awalnya, dia tidak percaya dan menganggap semacam mengarut. Mama pun tidak pernah bercerita banyak tentang Tuan Rahimi iaitu datuknya. Tetapi, setelah dihubungi oleh peguam itu dia terus memberitahu mama. Mama yang ketika itu berada di Jakarta terus bergegas pulang. Sudah lima tahun wanita itu menyepikan diri ke ibu kota Indonesia. Azza pun sehingga kini tidak tahu alasan mama yang mahu pulang ke negara asalnya tetapi Azza akur sahaja. Mama pesan, walauapapun, dia dengan Zarith harus bersabar dan jangan sekali-kali mengalah. Mama suruh dia bertahan di rumah itu. Ah, seorang pun dari sepupunya yang dia tidak kenal malah dia dengan Zarith pun bukan rapat sangat. Adiknya itu memang kaki sosial. Kerja pun tidak menentu. Pemuda itu sebaik tamat pengajian, tidak berusaha cari pekerjaan. Hidup yang sesingkat ini seolah dipersiakan sahaja.
Azza menjengah lagi ke luar. Dia lihat, tiada sesiapa yang keluar dari kereta itu. Apa agaknya dia buat? Lima minit kemudian, keluar seorang gadis yang berpakaian kebaya panjang seperti dirinya. Cantik dan anggun. Wajahnya persis Cina dan tetapi matanya bulat berwarna biru sedikit. Eh, mungkin kanta sentuh agaknya. Azza tidak tahu perlu ke dia bertanya kerana gadis ini semacam patung berdiri di sisi keretanya.
“Eh, nampaknya seorang lagi sudah sampai,” Encik Harip muncul entah dari mana berkata.
“Oh, ”
“Masuklah, Cik Jameela,”
“Jameela?” soal hati Azza. Dia pernah lihat wajah ini tetapi di mana agaknya? Jameela bersalam dengan Encik Harip. Kelihatannya dia kekok. Dia memandang sekilas ke arah Azza yang sedang duduk di atas salah satu kerusi yang kukuh itu.
“Duduklah. Mak Timah, Pak Azid,” jemput Encik Harip kemudian memanggil kedua –dua penjaga rumah itu.
“Senang cari rumah ini, Cik Jameela?” soal Encik Harip tatkala menatap wajah bersih Jameela. Nampaknya Jameela bukan seorang yang mudah diajak bicara. Dia kelihatan sedikit gugup dan nampak kebimbangan di wajahnya.
“Bolehlah,”
“Ada apa, Encik Harip?” soal Mak Timah. Pak Azid juga muncul di sebelahnya.
“Ini lagi seorang sampai, namanya Cik Jameela Adila Putra, iaitu anak tunggal Tuan Muda Putra anak kedua Tuan Rahimi,”
“Oh selamat datang, Cik Jameela,” kata Pak Azid. Dalam hatinya, terselit rasa kagum melihat kecantikan dan personaliti cucu-cucu Tuan Besarnya.













best!!!
