Cerpen : Di Remang Keinsafan

28 February 2010  
Kategori: Cerpen

2,254 bacaan 17 ulasan

Oleh : Riza Saffiya

Terboyot-boyot Zarina mengusung perutnya pergi membuang sampah. Mengandungkan anaknya yang ketiga ini, Zarina mudah merasa penat sedikit. Mungkin faktor umur agaknya. Ketika mengandung anaknya yang pertama dan kedua dulu, segar saja dia. Masa tu umurnya 24 dan 27. Sekarang umurnya dah mencecah 40. Kehamilan yang dia sendiri tidak duga. Bukan tidak mahu menerima pemberian Allah swt… cuma Zarina dan suaminya, Kamal tidak menjangkakannya. Namun mereka tetap bersyukur berbanding pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak langsung.

“Abang, tolong Ina bang…”

“Alahhh! Tolong apa pulak ni. Aku tengah baca paper , kau tak nampak ke?” jawapan Kamal itu telah membantutkan niat Zarina hendak meminta pertolongan dari suaminya. Memang suaminya macam tu. Liat benar hendak membantunya melakukan kerja rumah. Bukan sehari dua Zarina mengenali suaminya malah tahun ni genap 17 tahun usia perkahwinan mereka. Memang Zarina banyak bersabar dan beralah dengan suaminya. Padanya, dia menerima suaminya itu seadanya. Walaupun agak malas membantunya tetapi dari segi yang lain, Kamal seorang suami yang baik. Tidak pernah dia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan ayah kepada anak-anaknya.

************

Malam itu Zarina masuk awal ke kamar tidurnya. Penat benar dia hari ini. Sesekali terasa sakit yang mencucuk-cucuk di bahagian pinggang dan belakangnya. Anak di dalam kandungan pula amat lasak… asyik menendang-nendang dinding perutnya membuatkan Zarina sesekali mengaduh. Tiba-tiba urat kakinya terasa kejang… aduhhh, kerap benar dia diserang ular-ular. Jangan terkena masa bersalin nanti, sudah. Mana nak tanggung sakit bersalin, mana nak tanggung kejang dek ular-ular. Begitulah perempuan. Bukan mudah menjadi perempuan kan?

Perempuan yang Allah swt cipta dari tulang rusuk lelaki. Tulang rusuk yang bengkok itu memang mudah patah jika berkasar dengannya. Namun Zarina selalu berdoa, moga bengkok tulang rusuknya itu ada manfaatnya. Dia mahu menjadi tulang belakang suaminya. Membantu dan berkongsi apa sahaja dengan suaminya ketika susah dan senang.
Lamunan Zarina terhenti. Pintu bilik terkuak. Kamal rupanya.

“Cepat awak nak tidur?” Kamal menyapa isterinya.

“Saya penat sikit hari ni, bang”.

“Aaahh, awak tu memang. Penat! Penat! Penat! Orang lain pun mengandung juga”.

Terhiris hati Zarina mendengar kata-kata Kamal. Kenapalah Kamal tidak pernah hendak memahami keadaannya yang tengah sarat itu. Kalaulah Zarina dapat merasakan jari jemari kasar Kamal itu mengurut betisnya yang kejang ini… mungkin cepat sembuhnya. Namun apalah daya. Dia terpaksa menanggung keperitan itu sendirian sedangkan anak yang dikandung ini anak mereka bersama. Kenapa mesti Zarina yang menanggungnya seorang? Kenapa tidak Kamal juga? Mana sumpah janji 17 tahun yang lepas…janji hendak susah dan senang bersama?

“Eh, abang nak ke mana pula tu”, tanya Zarina bila dilihatnya Kamal bersiap-siap seperti mahu keluar.

“Aku nak keluar. Bosan kat rumah ni”, suara Kamal macam membentak. Sekelip mata, Kamal hilang dari pandangannya. Mudahnya jadi lelaki. Terasa bosan di rumah, boleh keluar bertemu kawan-kawan melepaskan rasa tertekan. Tetapi orang perempuan? Zarina malas hendak memikirkan hal suaminya itu. Perlahan-lahan dia meluruskan tubuhnya… mukanya berkerut sikit menahan tendangan nakal anak di dalam perutnya itu.

************

Entah jam berapa Kamal pulang ke rumah malam tadi, Zarina tidak sedar. Sarapan semua sudah tersedia. Memang Zarina lebih suka menyediakan sendiri sarapan pagi untuk keluarganya sejak dari dulu lagi. Dia sanggup bangun awal pagi semata-mata hendak menggoreng nasi atau mihun atau pun menyediakan nasi lemak hatta hanya menggoreng jemput-jemput sekali pun. Hatinya lebih puas menjamah hidangan sarapan buatannya sendiri daripada membelinya di kedai. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 6.40 pagi. Kamal masih tidak bangun menunaikan solat subuh. Terkial-kial Zarina meniti anak tangga mahu mengejutkan Kamal.

Sampai di bilik…

“Abang…” Zarina menggoyang perlahan tubuh Kamal seraya mengejutkan untuk menunaikan solat subuh dan bersiap ke pejabat.

“Errmmm…” Kamal mengeliat seperti anak kecil hendak bangun pagi.

“Dah pukul berapa ni?”, tanya Kamal .

“Pukul 6 lebih, bang. 6.45 dah…”

“Hahhh? Alaaa awak ni selalu macam ni lah. Kenapa tak kejut saya tadi. Ni dah lewat ni”, komplen Kamal. Dia memang hanya suka membengkeng saja. Itulah Kamal. Kesabaran yang ada pada Zarina sahaja yang mempertahankan keharmonian rumahtangga mereka. Bingkas Kamal bangun terus mencapai tuala lantas menuju ke bilik mandi. Zarina pula mengemas katilnya.

Setelah Kamal bersiap, dia cepat-cepat menghidupkan enjin kereta.

“Abang. Abang tak jamah sarapan ni dulu ke?” pelawa Zarina.

“Tak payah! Aku dah lewat ni! Cepat sikit kalau awak nak naik kereta ni”, laung Kamal. Kasar benar kata-katanya. Tanpa berlengah, Zarina melangkah pantas mengunci pintu lalu menaiki kereta suaminya yang sudah tidak sabar-sabar hendak ke pejabat. Sepanjang perjalanan, Kamal dan Zarina diam menyepi. Begitu kut keadaan pasangan yang sudah melebihi 10 tahun usia perkahwinannya. Kalau dulu, sebelum berkahwin macam-macam hal hendak diperkatakan. Perjalanan jauh pun rasa macam dekat jer.

Kamal memberhentikan keretanya. Zarina turun di hadapan bangunan pejabatnya.

“Abang, hari ini temankan saya jumpa doktor. Temujanji pukul 2 petang nanti. Boleh yer, bang?”

“Eh, awak ni kenapa hah?? Dah tak reti nak pergi sendiri ke? Selalunya kan awak pinjam kereta si Julia tu?” tinggi sahaja nada suara Kamal bila berbicara dengan isterinya. Tak pernah sepicing pun dia mahu bercakap lembut. Zarina hanya diam. Dia faham Kamal tidak mahu menemaninya ke hospital petang ini. Kereta Kamal meluncur laju selepas tangannya dikucup Zarina.

************

Petang itu Zarina bersendirian lagi ke hospital. Temujanjinya dengan Dr. Mimi pukul 2, tapi jam 1.50 dia sudah terpacak menunggu. Ramai juga ibu-ibu mengandung yang lain sedang menunggu giliran masing-masing. Ini adalah temujanjinya yang kedua akhir sebelum tiba tarikh dia dijangkakan bersalin. Dijangkakan seminggu lagi hendak melahirkan. Tidak sabar rasanya Zarina hendak menimang cahayamatanya yang ketiga itu. Dia tidak kisah lelaki atau perempuan. Yang paling utama, anaknya lahir dengan sihat dan sempurna. Itu yang selalu dipohonnya setiap kali menunaikan solat. Dia juga mengamalkan surah Yusuf dan surah Mariam. Sepanjang mengandung, dia melipatgandakan masanya dengan mengaji Al Quran.

Anak-anaknya yang dua orang lagi juga tidak sabar hendak menerima kehadiran adik baru mereka. Anaknya yang sulung dan kedua, masing-masing berada di asrama. Yang sulung, lelaki. Yang kedua pula perempuan. Syukur ya Allah… lengkap rasa bahtera rumahtangganya kerana dikurniakan sepasang anak yang comel dan bijak. Dan kini yang ketiga… hatinya berdebar-debar. Seperti orang hendak bersalin anak sulung pula debarannya. Mungkin kerana sudah lama berehat dari melahirkan… itu yang membuatkan Zarina merasa serba tak kena. Rasa takut, gembira, resah, gelisah… semua bercampur baur. Namun kepada siapa hendak dia adukan perasaannya itu. Segalanya Zarina pendamkan sendiri. Setelah pemeriksaan dilakukan, semuanya berada di dalam keadaan yang baik. Zarina bersyukur kerana dia dan bayi di dalam kandungannya sihat. Dia kemudiannya pulang semula ke pejabat.

“Tuttt… tuttt…” deringan telefon bimbit Zarina. Tertera nama abang, bermakna suaminya yang membuat panggilan.

“Assalamualaikum bang”, Zarina menjawab panggilan itu.

“Waalaikumsalam. Eh, aku tak dapat ambik kau petang ni. Kau balik sendiri nanti”, Kamal memberi pesan atau mungkin lebih mudah difahami, memberi arahan.

Belum sempat Zarina menjawab, talian telah diputuskan. Zarina sedikit hampa kerana Kamal langsung tidak bertanya tentang pemeriksaannya dengan doktor tadi. Petang itu Zarina menaiki bas pulang ke rumah. Penat yang dirasakannya tidak terkira.

Malam itu Zarina menanti kepulangan Kamal. Dia memandang ke jam di dinding ruang tamunya. Lagi sepuluh minit hendah menjejak ke angka 12. Zarina semakin resah… dia risaukan Kamal. Berkali-kali Zarina cuba menghubungi telefon bimbit Kamal, namun hampa. Telefon bimbit Kamal dimatikan. Mungkin kehabisan bateri agaknya, Zarina berfikir positif. Dia tidak mahu buruk sangka terhadap suami kesayangannya itu. Akhirnya dalam keresahan itu, Zarina terlena.

“Kringgg….kringggg….” sayup kedengaran deringan telefon. Zarina bingkas bangun lalu menjawab panggilan itu.

************

Zarina berada di hospital. Bukan kerana dirinya hendak melahirkan tetapi kerana melawat suaminya, Kamal. Kamal terlibat dalam kemalangan jalanraya. Bukan itu saja, Kamal didapati memandu dalam keadaan mabuk. Zarina duduk di sisi pembaringan Kamal di hospital itu. Airmatanya tak henti-henti mengalir. Sambil itu Zarina juga tidak lupa memohon kepadaNya supaya diselamatkan suaminya itu. Kecederaan yang dialami oleh Kamal agak teruk juga. Kakinya patah dan tengkorak kepalanya retak. Kamal masih tidak sedarkan diri…sedangkan anak-anak dan isteri serta keluarganya di kampung sudah sampai mengelilingi, terpaku melihat keadaan Kamal yang parah itu.

“Kak, pegilah balik berehat. Biar kami yang tunggu abang Kamal di sini”, adik bongsu Kamal bersuara.
Zarina masih tersedu-sedan menahan sebak dihatinya. Tidak sanggup dia hendak meninggalkan Kamal di situ walaupun ada saudara kandung dan ibu ayah yang menemaninya. Zarina mahu turut menemani Kamal di hospital juga. Dia mahu berada di sisi Kamal. Dia mahu apabila Kamal sedar nanti, dia turut berada di situ. Tidak henti-henti hatinya berdoa akan kesejahteraan Kamal. Zarina tidak mahu kehilangan Kamal. Sungguh tidak mahu! Perlahan-lahan dia membisikkan doa yang biasa diamalkannya setiap kali selepas solat. Secebis kertas yang agak lusuh yang tertulis doa itu berada di tangan Zarina…terketar-ketar suaranya apabila melafazkan doa itu.
“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, kau ampunilah dosaku yang telah ku buat. Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas. Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal. Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan. Kau peliharakanlah lidah aku dari kata-kata nista. Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu ini. Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan. Ya Allah… sekiranya suamiku ini adalah pilihanMu di Arash, berikanlah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya. Sekiranya suami ku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titianMu, kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya. Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untuk ku di JannahMu, limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya. Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu, peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya. Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu maka berikanlah aku kesabaran untuk menghadapi segala karenah dan ragamnya.
Tetapi Ya Allah… sekiranya suamiku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang, kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu. Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan duniaMu, limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Sekiranya suamiku tunduk pada nafsu yang melalaikan, kurniakanlah aku kekuatanMu untuk aku perbetulkan keadaannya. Sekiranya suamiku menyintai kesesatan…kau pandulah aku untuk menariknya keluar dari terus terlena.
Ya Allah…Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku. Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku. Sekiranya aku tersilap membuat keputusan, bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai. Sekiranya aku lalai dalam melunaskan tanggungjawabku sebagai isteri…Kau hukumlah aku di dunia ini tetapi bukan di akhiratMu. Sekiranya aku ingkar dan derhaka…berikanlah aku petunjuk kearah rahmatMu.
Ya Allah…kuatkanlah hati dan semangatku…tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu. Jadikan aku isteri yang disenangi suami. Bukakan hatiku untuk terus menghayati agamaMu. Bimbinglah aku menjadi isteri solehah. Hanya padaMu Ya Allah…ku pohon segala harapan kerana aku pasrah dengan dugaanMu kerana aku sedar hinanya aku…kerana aku insan lemah yang kerap keliru…kerana aku leka dengan keindahan duniaMu…kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaranMu…kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu. Ya Allah Ya Tuhanku…aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati…isteri yang dikasihi…isteri yang solehah…isteri yang sentiasa dihati. Amin, amin Ya Rabbal Allamin…”
Tiba-tiba Zarina terasa genggaman tangan Kamal. Airmata Kamal mengalir perlahan di hujung kelopak matanya yang tertutup.

“Ina…. Ina….” , tiba-tiba Kamal bersuara lemah.

Ya Allah! Kamal sudah sedar! Zarina melafazkan ucapan kesyukuran. Allah telah mendengar permintaannya. Dia benar-benar bersyukur.

“Yer, abang. Saya di sini… bang. Abang rehat yer… jangan banyak sangat bergerak”, Zarina menggenggam tangan Kamal. Dia kemudian memanggil jururawat yang bertugas memaklumkan tentang keadaan Kamal yang sudah sedar. Di dalam hatinya berkali-kali melafazkan kalimah pujian Allah. Zarina benar-benar bersyukur, Allah telah selamatkan nyawa suaminya. Anggota keluarga yang berada di luar wad dan juga di rumah sudah dimaklumkan. Lega berkongsi berita kegembiraan itu.

Seketika, Zarina merasakan perutnya lain macam. Ada rasa sakit yang sekejap-sekejap. Rasa sakit itulah yang pernah dirasakan ketika hendak melahirkan 2 orang anaknya yang sebelum ini. Zarina mengetap bibirnya menahan kesakitan itu. Dia tahu, waktu jangkaan bersalinnya sudah tiba. Dia sendiri ke kaunter jururawat yang bertugas. Bergegas jururawat tersebut menghantar Zarina ke bilik pemeriksaan. Kalutnya keadaan ketika itu.

************

Macam cerita kartun jer tapi itulah yang berlaku ke atas Zarina. Saat keluarga berada dirumah tadi sampai di hospital… mereka amat gembira… selain daripada melihat Kamal sudah sedar… Zarina pula telah selamat melahirkan anak perempuan mereka. Kamal dimaklumkan tentang berita kelahiran ahli keluarganya yang baru itu. Syukur! Kamal mengalirkan airmata kegembiraannya. Tapi dia tidak dapat menatap wajah anak kecilnya kerana keadaan dirinya yang tidak mengizinkan itu. Kepalanya berbalut, terasa amat merimaskan, manakala kakinya tergantung bersimen. Azabnya hanya Allah yang tahu.

Melihat kepada keadaan dirinya sendiri, Kamal mengundurkan ingatannya pada masanya yang lalu. Teringat kembali bagaimana dia memperlakukan Zarina, isterinya. Kamal akui memang Zarina seorang isteri yang baik dan teramat penyabar. Tidak pernah dia melihat isterinya marah-marah. Jauh sekali hendak mengomel, membangkang dan mengingkari arahannya. Diam-diam airmata Kamal menitis perlahan-lahan. Kejamnya perlakuan dia terhadap isterinya. Dia benar-benar kesal. Selama ini pun Zarina amat menjaganya dengan baik. Makan pakainya tersedia. Zahir batin terjaga. Tetapi Kamal tidak pernah hendak menghargainya. Ucap terima kasih pun tidak, jauh sekali hendak memberi hadiah apabila tiba hari bersejarah seperti harijadi atau pun hari ulangtahun perkahwinan mereka. Kamal terasa dirinya kejam… amat kejam… memang teruk.

Balasan yang diberinya hanyalah herdikan, bentakan dan kata-kata yang menghiris perasaan isterinya. Airmata Kamal yang semakin laju mengalir, disekanya perlahan. Ada lelehan hingus di hidungnya. Aduhai… Kamal benar-benar kesal. Kamal terkenang lagi, satu ketika dulu pernah beberapa kali tangannya naik menyentuh anggota badan Zarina. Ketika itu tiada langsung perasaan belas kasihannya. Zarina di terajang, terperosok di celah sofa. Sebabnya hanya kerana Zarina bertanyakan ke mana dia pergi hingga lewat malam baru pulang.

Kamal menekup mukanya… hibanya makin menjadi-jadi. Dia terbayang bagaimana Zarina bangun perlahan-lahan mengesat darah di dahinya yang terhantuk di bucu almari di ruang tamu rumahnya. Ya, Tuhan… lelaki jenis apa aku ini. Patutlah Kau siksa aku dengan keadaan sebegini. Aku terima, Ya Allah. Lama sudah aku tidak sujud padaMu. Lama aku melupakanMu. Aku lupa bahawa rezeki yang Kau anugerahkan itu adalah atas hasil doa isteri dan anak-anak ku jua. Ya Tuhanku, ampunkan aku ya Allah. Aku hampiri minuman yang kau haramkan itu. Hasilnya bila aku mabuk, aku sudah tidak kenal lagi isteriku lalu aku perlakukan dia seperti binatang saja. Kamal meneguk air liur sendiri apabila dia teringat akan perlakuan-perlakuan kejamnya terhadap Zarina.

Namun begitu, Zarina memang seorang isteri yang sangat sabar… amat tabah. Tidak pernah sedikit pun Zarina melawannya… apatah lagi hendak melemparkan kata-kata nista terhadap Kamal. Malah Zarina hanya berdiam diri. Layanannya terhadap Kamal sedikit pun tidak pernah berubah seperti awal perkahwinan mereka dahulu. Kasihnya tidak beranjak. Sayangnya tetap utuh. Itulah Zarina. Kesabaran yang sememangnya jarang ada pada manusia biasa.

“Encik… masa makan ubat encik”, jururawat itu menghulurkan ubat pada Kamal. Kamal merenung jururawat itu. Wajahnya saling tak tumpah wajah Zarina, isterinya. Kamal tersenyum memandang jururawat itu. Matanya terus merenung sambil mendengar beberapa penerangan dari jururawat yang semanis Zarina itu. Tidak lepas matanya merenung…

“Encik…encik….”, jururawat itu menyedarkan Kamal dari lamunannya.

“Errr…errr….” Kamal terkejut lalu tersedar dari lamunannya.

Owh, jauh angannya sehinggakan jururawat itu disangkakan Zarina. Lain benar wajah jururawat itu. Lawa lagi isterinya…Kamal berbisik. Kamal benar-benar rindukan Zarina.

************

Pagi itu Zarina sempat melawat Kamal. Kebaikan berada di hospital yang sama… hanya wad saja yang berbeza. Hari itu Zarina sudah dibenarkan pulang ke rumah. Jadi, dia mengambil kesempatan itu untuk menjengah suaminya yang tersayang.

“Abang… saya discaj tengahari ini. Saya dah boleh balik ke rumah. Tapi nanti saya tak dapat lah nak melawat abang sebab abang faham-faham jela… saya kan dalam pantang… masuk workshop kata orang”, sempat lagi Zarina bergurau.

Kamal tersenyum mendengar gurauan Zarina itu. Jari jemarinya menggenggam erat jari jemari Zarina. Hatinya berbunga bahagia. Kasihnya seolah-olah baru mekar semula. Anak matanya merenung anak mata Zarina.

“Kenapa abang….”

“Ina… abang nak minta maaf…selama ini abang….”

Cepat-cepat Zarina menekup mulut suaminya dari meneruskan kata-katanya itu. Zarina menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sudah abang…jangan teruskannya lagi… saya sentiasa memaafkan abang… saya sayang abang sepenuh hati saya macam kita mula-mula bercinta dulu…abang jangan lupa tu yer…” terus Zarina mengucup tangan suaminya berkali-kali. Airmata sepasang suami isteri itu tumpah sebagai saksi betapa kasih sayang mereka terus utuh…

“Terima kasih, Ina. Abang pun sayangkan Ina. Tetapi abang tidak menjalankan amanah yang Allah pertanggugjawabkan pada abang. Abang tak jaga Ina dengan baik selama ini. Itu yang abang minta Ina maafkan abang. Masa abang koma, abang terdengar bisikan doa Ina tu. Abang rasa abang dapat semangat dan dengan segala kekuatan dariNya abang sedar sayang.”

“Mohonlah maaf padaNya, abang. Jangan lupakan Dia lagi yer…” pesan Zarina pada Kamal.

Kamal mengangguk-anggukkan kepalanya sambil mengesat deraian airmatanya yang semakin laju mengalir. Terasa berdosa benar dia bila terimbas kenangan sebagaimana dia memperlakukan isterinya yang baik itu. Kenangan yang berlegar-legar di kepalanya seolah-olah satu penyiksaan terhadapnya. Tapi Kamal menginsafinya…terlalu insaf dan paling bersyukur bila Allah masih mahu memanjangkan usianya… dan dapatlah dia bertaubat… dia mensyukuri itu kerana Allah masih menyayanginya.

“Ina, baik2 balik nanti yer. Ashraf yang akan hantar Ina nanti. Abang dah minta adik abang tu tolong hantar Ina dan anak kecil kita ke rumah. Mak abang akan menjaga Ina seminggu dua ni.”

“Terima kasih, abang. Hanya keluarga abang yang Ina ada”. Zarina anak yatim piatu… iyer, dia tiada ayah dan ibu. Adik beradik lain pun tiada. Hanya keluarga Kamal tempatnya mengadu dan menumpang kasih.

“Bagaimana keadaan baby kita? Meragam macam ayahnya atau baiknya macam ibunya…?” Kamal pula bergurau.

Zarina tersenyum… “Baby ok bang. Harap-harap anak kita tu mewarisi sikap yang baik-baik dari kita”.

Beberapa minit di situ, Zarina meminta diri. Berkali-kali tangan Kamal dikucupnya. Begitu juga Kamal. Dia mengucup dahi isterinya sambil berpesan supaya Zarina tidak perlu risau tentang keadaannya dan meminta Zarina menjaga diri baik-baik sepanjang tempoh pantang selama 44 hari itu.

************

Kamal memerhatikan Zarina pergi. Dalam hatinya berbisik…

“Pergilah sayangku. Abang sentiasa mendoakan yang terbaik buat isteri abang yang terlalu mulia ini. Abang teramat menginsafi dengan aral yang melanda abang sekarang ini tetapi abang menerimanya sebagai satu pengajaran atas kesilapan yang pernah abang lakukan. Cuma abang pohon sokongan moral darimu sayang… agar abang akan memperolehi kekuatan untuk berubah. Yang pasti sekarang ini hati abang sudah benar-benar insaf. Abang tidak mahu menyakitimu lagi sayang. Tidak sabar abang hendak sihat seperti sediakala… abang mahu sujud ke hadratNya… menangisi kesilapan dan dosa-dosa abang yang lampau.”

Kamal benar-benar menginsafi kesilapannya yang lalu.

- TAMAT -


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

17 ulasan untuk “Cerpen : Di Remang Keinsafan”
  1. Riza Saffiya says:

    Terima kasih kepada semua yang membaca dan meninggalkan ulasan…

  2. nurul khusna says:

    cerita y best dan senang di fahami
    bnyk pengajaran y boleh diamabil dlm cerita ni
    teknik penceritaan y baik
    satu y penting dlm cerita ni syrga bagi seorg isteri
    terletak di telapak kaki suami d isteri tidak membantah setiap
    apa y diperkatakan dan perlakukan suami kecuali semua sesat dalm duniawi dn harus dinasihati :razz:

  3. ummi says:

    lain dari yang lain…suk sangat ngan citer ni…
    betul ke kalo umah tangga camtu geloranya kalo dah lebih 10 thn???

  4. billynain says:

    pujian sy buat penulis…tahniah
    cerita yg amat berat temanya tapi berjaya disampaikan dgn amat baik
    penggunaan ayat yg mudah difahami dan dialog yg berkesan
    tahniah
    teruskan bakat menulis anda

  5. bungaraya says:

    ala hai… hari ni asyik baca cerita sedih jer…. :cry:

  6. tukang komen says:

    sabar ye bungaraya..i2 tandanya kau akn bahagia..hehe

  7. lizarazzu_03 says:

    nice story.. :lol: lain dr yg lain… banyak pengajaran… :-) i like… hehehehe:::::::::: :P

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"