
Novel : Tak Mampu Ku Hindari 22

Oleh : Sofi
Ke mana harus pergi? Ke mana harus dituju? Agar Hisyam tidak lagi dapat mencari. Agar bersama pemergiannya ini, nama itu terus dapat dilenyapkan daripada ingatan. Agar luka di hati mampu disembuhkan?
Di Puduraya, Maria tidak mahu berlama-lama. Dia bimbang kalau-kalau Hisyam akan mencarinya di situ walau dia tahu kemungkinan itu hanyalah 0.001%. Lantas dia segera membeli tiket. Dari KL ke Butterworth. Entah mengapa dia memilih untuk ke utara, dia sendiri tidak tahu.
Sebaik sampai di stesen bas Butterworth, Maria kelihatan bingung. Merenung dari satu papan tanda ke satu papan tanda yang lain. Macam-macam nama tempat yang dibaca. Ada Kuala Muda, Sungai Petani, Baling, Taiping tapi akhirnya dia terus sahaja memilih untuk menaiki bas menuju ke bandar yang bernama Kulim. Satu tempat yang terlalu asing baginya! Namun di sinilah dia berada kini. Di Rumah Anak Yatim Darul Sakinah. Sebuah rumah banglo tua yang usang, terletak di suatu lorong di atas sebuah bukit.
Ketika dia menapak menaiki anak tangga, hari telah pun gelap. Pada masa itu barulah Maria merasakan dirinya terlalu penat. Langkah kakinya terlalu lemah. Dia benar-benar letih! Dan oleh kerana keletihan yang teramat, dia pengsan sebaik memasuki ruang pintu bertulis ‘PEJABAT’.
Lewat tengah malam itu, barulah Maria terjaga. Matanya liar memerhati sekeliling. Lama dia cuba mengingati di manakah dia berada. Lama dia cuba mengembalikan ingatannya sebelum menoleh ke arah dua orang perempuan.
Maria cuba bangun namun kepalanya terlalu sakit. Mata dipejamkan semula.
“Cik ni mai dari mana?” Salah seorang wanita itu bertanya.
Maria segera memandang ke arah suara itu. Seorang wanita separuh abad yang hanya berbaju Kedah dan berkain batik itu tersenyum kepadanya.
“Saya….saya datang dari Teluk Intan. Saya minta tolong pada seorang pemandu teksi supaya menghantar saya ke sini tadi.”
“Nama cik apa? Awat mai sini? Cari siapa?” Perempuan itu bertanya lagi.
Maria akhirnya berjaya juga mendudukkan dirinya. Sambil menghulurkan tangan untuk bersalam, dia berkata, “Nama saya Maria. Panggil Lia aje. Saya mintak maaf kalau mengganggu tapi.. boleh tak kalau saya nak tumpang tinggal kat sini?”
“Hang ni muda sangat. Laghi daghi ghumah ka?” Wanita kedua bertanya tanpa berselindung. Iyalah, dah keadaan Maria macam tu.
Maria tunduk mengumpul nafas. Dia faham, bukan mudah untuk dirinya diterima menetap di situ.
“Kalau boleh, saya nak tumpang tinggal kat sini. Saya janji, saya tak akan susahkan sesiapa. Saya cuma nak,” Wajah perempuan itu ditatapi. Perlahan dia menyambung ayat yang terputus, “Saya cuma nak beri tempat berteduh kepada anak yang dalam kandungan saya ni.”
Bila dilihatnya kedua-dua orang perempuan itu mendiamkan diri, dia berkata lagi dengan sedih, “Izinkanlah saya tinggal di rumah ini. Saya sanggup buat apa sahaja kerja, asalkan saya dibenarkan tinggal di sini. Tolonglah!!!”
Entah kerana kasihan, atau kerana sikapnya yang berterus terang, pengetua rumah anak-anak yatim itu, Mak Bedah, terus menerima kehadirannya. Dan kepada perempuan yang seorang lagi, Kak Timah namanya, Maria disuruh mengikutnya untuk dibawa ke bilik dan berehat.
“La ni, memang ghamai budak peghempuan macam hang ni. Sayang boyfriend punya pasai, habih seghah semua. Hah, ni tengok la! Bila dah mengandung, siapa susah? Ada boyfriend hang tu mau nak bertanggungjawab? Tak mau dia!! Hang lah yang tanggung sendighi. Ni, mak bapak hang mana? Depa tak tau ka? Hang tak habaq kat depa ka?”
Maria membiarkan sahaja tuduhan itu. Tidak dijawab sepatahpun. Buat ketika itu, dia hanya ingin membaringkan diri di atas katil. Walau tilam itu kelihatan terlalu lusuh, dia tidak peduli. Langsung diri direbahkan.
“Eeii..geghamnya aku! Cakap aku sikit tak dijawab. Tu la budak sekaghang. Kan tau nak hormat oghang tua.” Kak Timah menjeling tajam. Dek kerana Maria tidak memberi respon, dia terus membaringkan diri di atas katil di sebelah.
……………………………………………………………
“Mak, jangan pergi, mak. Jangan tinggalkan Lia. Jangan tinggalkan Lia sorang-sorang. Jangan, mak! jangan!”
Sayup-sayup kak Timah terjaga dari tidurnya. Suara yang sangat sedih itu terasa begitu dekat dengannya. Pandangan terarah kepada sekujur tubuh di atas katil di sebelah. Rupa-rupanya gadis itu sedang bermimpi.
Kak Timah bangun untuk mengejutkan Maria. Bagaimanapun, langkah kakinya terhenti. Hati diserbu rasa sayu mendengar nada suara gadis itu.
“Mak, abang tak sayangkan Lia. Sebab itu Lia kena pergi. Sebab itu Lia tak boleh ada dekat dia. Dia dah kahwin dengan Salina. Dia dah lupakan Lia. Lia bukan sesiapa pada dia lagi, mak!”
Terkejut Kak Timah mendengar. Hatinya jatuh kasihan demi melihat titis-titis air mata yang menuruni pipi.
“Abang, maafkan Lia. Lia sayang abang tapi Lia tak sanggup jadi orang ketiga. Lia tak sanggup dimadu. Semoga abang bahagia dengan dia!”
Lama wajah itu ditatap. Rasa kasihan berubah menjadi sesalan. Menyesal kerana menuduh yang bukan-bukan tadi. Memang, kalau bercakap ikut sedap mulut, inilah padahnya. Diri dimarahi.
…………………………………………………………….
Maria terjaga sebaik azan Subuh berkumandang. Maha Suci ALLAH. Kini dia tahu bahawa dia berada di tempat yang betul. Dia telah sampai ke destinasinya. Dia harus membina hidupnya semula. Dia harus memulakan kembali. Sendiri! Tanpa Hisyam!
Selepas solat, Maria pergi ke dapur. Dia ingin menolong apa yang patut. Dilihatnya, kak Timah sedang sibuk menyediakan sarapan dengan dibantu oleh beberapa orang kanak-kanak perempuan. Sebaik melihat dirinya, kak Timah tersenyum. Gadis-gadis kecil itu nyata kehairanan malah ada yang kelihatan malu-malu asam.
“Dah lama bangun?” Kak Timah bertanya. Ketika itu, tangannya ligat memotong sayur. “Kak nak masak mi goreng.” Kata Kak Timah lagi bila menyedari Maria asyik merenungnya.
Maria menyembunyikan rasa terkejut. Sikap kak Timah berlainan berbanding malam tadi. Tiada riak marah malah lembut bicaranya. Dia terus sahaja membantu apa yang patut. Pagi itu dia yang membancuh air kopi dan membubuh mi ke dalam pinggan.
Mulai hari itu, Maria mula diterima oleh masyarakat kecil di rumah anak-anak yatim Darul Sakinah. Sikapnya yang mudah mesra amat disenangi. Kisah hidupnya sudah diketahui tetapi tidaklah Maria menceritakan semua. Apa yang mereka tahu, dia sudah berkahwin. Dia sedang mengandung dan dia keseorangan.
Hubungan Maria dan kak Timah semakin rapat. Kak Timah ramah orangnya dan cepat mesra. Bersamanya, Maria sudah boleh ketawa semula.
Pada suatu subuh yang hening, dalam Maria sedang cuba menahan sakit kepala yang berat, dia merasakan tekaknya loya tiba-tiba. Dia berlari-lari ke bilik air. Segalanya dimuntahkan di situ. Tidak lama kemudian Kak Timah datang menghampiri. Diurutnya belakang Maria perlahan-lahan. Disapunya minyak angin ke hidung. Lega sebentar. Kemudian Maria muntah lagi. Berkali-kali sehingga berair matanya.
“Dah berapa bulan?” Kak Timah bertanya.
“Baru nak masuk dua bulan, kak.” Dia memberitahu sambil menggosok-gosok perutnya. Rasa bangga kerana bakal menjadi seorang ibu. Gembira sangat!
Kak Timah memerhati perlakuan Maria. Dalam hati, dia tertanya-tanya juga. Bagaimanakah seorang suami sanggup berlaku curang pada seorang isteri seperti adik angkatnya itu? Maria seorang perempuan yang serba lengkap pada pengamatannya. Maria cantik. Tutur katanya lembut. Orangnya berpekerti mulia. Cukup sempurna! Apa lagi yang kurang?
“Selama ini saya ingat saya tak boleh mengandung, kak. Dah lama kami kahwin tapi masih juga tak dapat anak. Hampa sangat rasanya. Saya tahu, suami saya pun mesti sedih tapi dia tak pernah tunjukkan.” kata Maria.
“Maksud Lia, Lia nak balik jumpa suami? Nak bagitau dia?” Kak Timah bertanya.
Maria menggelengkan kepala.
“Habih tu? Tadi Lia kata, suami dok sedih sebab tak ada anak. La ni, Lia kan dah mengandung? Kan baguih kalau Lia pi habaq kat dia? Dia mesti seghonok!”
Maria sebenarnya kurang faham dengan loghat yang baru pertama kali didengarinya ini namun dia boleh mengagak. Meneka maksud kata-kata kak Timah itu.
“Masa Lia dapat tau Lia mengandung, berkobar-kobar Lia nak beritahu dia. Tapi, dia rupa-rupanya ada perancangan lain. Jadi, Lia fikir, biarlah rahsia. Lagipun, tak ada maknanya, kak.”
“Tak baik hang buat lagu tu! Kalau dia tau, dia mesti maghah. Itu anak dia. Lagi pun, hang tak kesian ka dekat anak hang ni? Kalau dia tanya pasai ayah dia, apa hang nak jawab?” Melihat Maria masih membisu, kak Timah bertanya lagi, “Betulkah laki hang tu dah tak sayangkan hang, Lia? Hang tak silap? Manalah tau, kut-kut salah faham aja?”
Maria tiada jawapan untuk soalan itu. Memang Hisyam asyik mengatakan bahawa dirinya masih disayangi. Tapi, bagaimana dengan Salina? Bolehkah seorang lelaki mencintai dua wanita dalam masa yang sama? Di dalam hatinya, memang dia masih mengharapkan agar segala yang suaminya katakan adalah benar namun mengenangi kecurangan Hisyam, perasaan dan harapan dibuang jauh-jauh.
Maria menggelengkan kepalanya. “Semuanya dah berakhir antara kami, kak. Dia tentunya sedang berbahagia sekarang. Lia tak mahu fikirkan lagi. Yang penting, Lia ada anak ni. Pengubat luka Lia. Satu hari, Lia akan beritahu anak Lia ni tentang ayahnya. Kalau masa tu nanti dia nak gi cari abang Hisyam, Lia tak akan menghalang. Itu hak dia.” Rintihnya perlahan.
“Tak apalah, Lia. Jangan nangis. Lia ada Kak Timah sekarang. Yang penting, Lia jaga kesihatan diri. Jaga kandungan tu! Lia sayangkan anak Lia, kan? Lia tentu tak sabar nak tunggu dia lahir.” Kak Timah menarik tangannya sambil berkata lagi, “Dah, jom kita pi masak! Nanti budak-budak tu semua bangun tentu depa lapaq! Lagi pun kan semalam depa kata nak makan nasi goreng kampung yang Lia masak? Dah, jangan sedih-sedih lagi.”
……………………………………………………………
Pada suatu hari, kira-kira sebulan kemudian, rumah usang itu gempar. Sebuah lori yang sarat membawa perabut tiba. Beberapa orang pekerja kelihatan sibuk menurunkan segala peralatan yang dibawa.
Anak-anak kecil keriangan. Tiada lagi bantal dan tilam yang buruk. Sofa yang luntur atau almari yang dimakan anai-anai. Semua sudah berganti baru.
“Siapa yang pemurah sangat ni, kak?” Soal Maria kepada kakak angkatnya.
Kak Timah menjungkit bahu.
“Syarikat orang Melayu kat Penang, kata budak-budak tu tadi.” Mak Bedah memberitahu. “Siapa pun dia, syukur Alhamdulillah. Dah lama tak dak siapa sedekah apa-apa kat budak-budak ni.”
Esoknya mereka menerima barangan dapur pula. Siap dengan peti ais yang besar lagi untuk memuatkan barangan basah. Di hujung minggu pula, tidak berhenti-henti kunjungan diterima. Malah ada sukarelawan yang datang semata-mata untuk mengecat rumah tersebut. Sistem pendawaian juga telah diperbaiki. Kini, bilik bacaan dilengkapi dengan sistem penghawa dingin.
“Kak Timah musykil, Lia. Semua ni kami dapat sejak hang mai sini. Sebab hang ka kita dapat suma ni?” Kak Timah memuntahkan soalan yang berlegar di fikirannya.
Maria tergelak kecil mendengar soalan itu. “Kak Timah, Lia baru aje datang sini. Mana Lia kenal sape pun.”
“Dak la.. kut-kut…?”
Maria mengerutkan dahi. Wajah kak Timah direnung dalam-dalam. Tidak memahami apa yang bermain di fikiran wanita berumur 35 tahun itu.
“Tak kan kut!” Kak Timah menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
Maria terpinga-pinga.














novel yg sgt menarik…ape kesudahannye?
dah keluar ke belum novel ni???