
Cerpen : Cinta Terbalik
Oleh : ilysa
Ceria, Adrina, ceria! Adrina membisikkan kata-kata semangat kepada dirinya sendiri. Pandangan matanya dialihkan dari seraut wajah pilu di hadapannya. Hatinya sendiri bagai dihiris sembilu. Tapi hendak buat macam mana. Terpaksa.
“Baby..”
Adrina pantas berpaling semula ke arah manusia di hadapannya. Sayu suara itu menggugah hati nuraninya. Sesungguhnya dia juga tidak sanggup!
“Bie, apa buat muka sepuluh sen ni? Baby tak suka lah, buruk tau,” kata Adrina sambil buat-buat gelak.
“Sayang..bie taknak baby pergi tinggal bie kat sini,” lirih suara Khairul, seakan merayu gadis pujaannya.
Hampir luruh air mata Adrina. Namun hatinya dicekalkan. Wajah Khairul Adeef dipandang sepenuh kasih.
“Baby pergi bukan lama. Empat tahun je. Bila baby graduate, kita terus
kahwin, ya?”
“Baby janji dengan bie, baby balik? Baby jangan cari orang lain?”
Kegusaran melanda hati Khairul. Mengganas macam taufan. Kalau diikutkan hati, tidak ingin dia melepaskan kekasih hatinya ke luar negara. Siapa tak sayang makwe oii? Kalau melepas ke tangan orang lain, berendam dalam telaga lah jawabnya 40 hari 40 malam, kecewa. Bibirnya digigit tatkala senyuman mekar menguntum di bibir Adrina. I love you baby..
“Baby janji. Bie pun jangan nak menggatal, tau?” ucap Adrina, berbaur cemburu.
“Baby busuk, I love you sayang..”
Baru saja Adrina hendak buka mulut membalas, panggilan terakhir untuk penerbangannya kedengaran. Matanya terpaku pada Khairul. Seketika kemudian kepada papa dan mamanya yang rancak berbual dengan ibu bapa Azmi. Azmi? Matanya melilau, sehingga terlekat pada wajah lelaki yang tampak tenang di samping Nadia. Bertahan betul cinta korang, katanya dalam hati.
Adrina bingkas bangun. Dicium tangan papa dan mamanya, memohon ampun. Berjela pesanan mamanya. Pada Khairul, senyuman diberikan. Gerakan bibirnya membentuk lafaz I love you pada lelaki itu. Dengan hati yang berat, kakinya melangkah. Cita-cita mesti dicapai, tekadnya.
——————————————————————–
“Boleh tepi sikit, tak?”
Suara garau itu mengejutkan Adrina. Kepala Adrina terkalih bak spring. Serta merta matanya yang agak sepet seperti cina itu membulat.
“Awak buat apa kat sini?”
Adrina bertanya. Agak bodoh soalan itu sebenarnya. Memang pun.
“Belajar berenang.”
Mulut Adrina terlongo. Mentafsir jawapan yang diberi malaun di hadapannya tadi. Belajar berenang?
“Cik Adrina, itu seat saya. Jadi tepi sikit boleh? Saya nak masuk.”
Adrina pantas berkalih sedikit. Itulah, berangan sangat sampai berdiri di tengah jalan. Dia juga duduk di tempatnya, sebelum pramugari yang bertugas datang menawarkan apa-apa bantuan. Lelaki di sebelahnya dikerling. Kenapalah aku duduk sebelah mamat ni. Berjodoh betul. Syahril Azmi. Nama yang tidak asing dalam hidupnya. Ah, sudahlah Rina. Kepalanya digeleng-geleng.
Mata Adrina kuyu menahan kantuk. Manusia di sebelahnya sudah lama lena. Tiba-tiba matanya terbuka luas. Kapal terbang dirasakan bergegar. Perasaan aku kah? Adrina menggosok-gosok matanya. Nyata bukan sekadar mainan. Penumpang-penumpang yang mulai cemas ditenangkan oleh para pramugari. Gegaran terasa makin hebat. Adrina bingung. Pengumuman yang dibuat oleh kapten kapal terbang kedengaran sayup-sayup di telinganya. Hilang kawalan? Pendaratan kecemasan?
Matanya beralih ke wajah Azmi. Membulat matanya melihat lelaki yang sedang lena itu. Hoi, tersepit antara hidup dan mati pun boleh tidur lagi? Memang tidur mati mamat yang seorang ini. Adrina menampar bahu Azmi kuat. Mereka disuruh memakai jaket keselamatan kerana.. mereka sekarang berada di tengah lautan! Keadaan dalam kapal terbang hingar-bingar. Semua penumpang cemas.
Papa, mama, bie..maafkan Rina. Ampunkan salah silap Rina. Bie, maafkan Rina sebab tak dapat tunaikan janji pada bie. Allah..ampunkan dosa hambaMu yang lemah ini. Adrina menutup mata. Pasrah. Nafasnya hampir putus. Kapal terbang yang tiba-tiba meletup ketika penumpang dikeluarkan menyebabkan Adrina tercampak jauh ke tengah lautan. Darah pekat terasa mengalir di dahinya. Pandangannya sudah berbalam-balam, dikaburi dengan titisan jernih yang terbit dari mata beningnya. Rina pergi dulu..Erk?!
Mata Adrina terbuka sedikit. Tangannya terasa disambar seseorang. Dan dia ditarik..Dia ingin melihat siapa yang menarik tangannya. Dia ingin berkata sesuatu. Tapi kepalanya terus berpusing..dan pandangannya menjadi gelap. Kosong.
—————————————————————————————————————————-
“Adrina! Adrina, kau okay?”
Perlahan Adrina membuka matanya. Suara itu..
“Adrina, bangunlah!”
Suara itu kedengaran mendesak. Apa hal pulak, suka hati aku lah aku nak tidur, getus Adrina. Matanya tertutup sekali lagi. Tubuhnya terasa digoncang berkali-kali. Namun, matanya masih berat.
“Adrina..bangunlah. Please..”
Merayu pula suara itu. Hatinya tersentuh. Matanya dibuka juga. Kepala Adrina masih berpusing. Kabur pandangannya. Apabila matanya sudah berjaya memfokus ‘objek’ di hadapannya, Adrina terjerit kecil.
“A..Az..Azmi!”
Azmi kelihatan tersentak.
“Kenapa kau macam nampak hantu? Teruk sangat ke muka aku?”
Adrina memandang sekeliling. Tidak diendahkan soalan Azmi. Pokok kelapa? Pantai? Luasnya pantai ni..Eh, tunggu sekejap!
“Kita kat mana ni?”
Adrina bingkas bangun. Namun kepalanya terasa seperti ditikam. Dia terduduk semula sambil memegang kepala.
“Kau okay tak? Kau tak ingat apa yang dah jadi?”
Adrina menggeleng. Apa yang dah jadi? Aku kahwin lari dengan dia kah? Berbulan madu di sini? Takkanlah!
“Takkan tak ingat?”
Adrina menggeleng lagi. Apa?
“Saya kahwin lari dengan awak ke?”
Meluncur pertanyaan itu dari bibir mungil Adrina. Oops!
Azmi terdiam. Matanya memandang Adrina. Adrina gelisah. Betul ke aku kahwin lari dengan dia? Kenapa? Aku dah ada Khairul, dia dah ada Nadia. Kenapa dia dan aku..Argh! Kenapa aku tak ingat apa-apa? Tiba-tiba tawa Azmi meletus. Bersambung-sambung tawanya. Adrina bingung, tidak mengerti.
“Adrina, kau ni memang lawak. Betul kau tak ingat?”
Azmi bertanya setelah ketawanya reda. Adrina menggeleng untuk kesekian kalinya. Berapa kali mamat ni nak tanya. Haih. Azmi menarik nafas. Peristiwa mengerikan itu diceritakan kepada Adrina. Beransur-ansur ingatan Adrina kembali. Dia hampir putus nafas. Tangan yang menariknya dari ambang maut, tangan Azmi?
“Aku nampak pulau ni. Jadi aku berenang ke sini. Aku nampak manusia yang separuh tenggelam, aku tariklah. Sampai kat darat, rupa-rupanya kau.”
“Siapa lagi?”
“Aku..dan kau. Aku tercampak jauh juga. Aku tak nampak penumpang lain,” jawab Azmi.
Adrina diam. Seakan tidak percaya dia masih bernafas. Luka di kepalanya sudah tidak berdarah lagi. Dan sekarang, terdampar di pulau yang tiada penghuni..bersama Azmi. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Keluhan dilepaskan. Tiba-tiba matanya terpandang Azmi yang sedang melangkah meninggalkannya. Adrina panik tiba-tiba.
“Azmi! Tunggu!”
Adrina melangkah laju ke arah lelaki itu. Berprasangka lelaki itu ingin meninggalkannya sendiri di tengah pulau ini.
“Awak nak pergi mana? Jangan tinggalkan saya!” Laung Adrina.
Langkah kaki Azmi terhenti. Dia berpaling ke arah Adrina yang berusaha mendapatkannya. Apabila Adrina termengah-mengah di sisinya, Azmi berkata,
“Aku nak masuk hutan. Nak cari apa-apa yang boleh kita makan, sementara kita diselamatkan. Kau tunggu kat situ.”
“Tak nak. Nak ikut,” rayu Adrina. Takkan aku nak duduk seorang? Ish. Tak nak lah.
“Kau tak payahlah ikut. Dalam hutan ni bahaya.”
Adrina berdegil. Azmi mengalah juga, dengan syarat Adrina tidak pergi jauh daripadanya. Maka melangkahlah kedua-dua manusia itu ke dalam hutan.
——————————————————————————————————————–
Adrina melepaskan keluhan. Termenung jauh. Tangannya mencapai ranting kayu. Dibaling ke arah air laut yang membiru. Serentak itu, air matanya gugur. Bagaimana kesudahan cerita hidupnya? Dia rindu pada keluarganya, pada Khairul. Tempatnya yang ditawarkan di University of Manchester sudah diisi orang lainkah? Apakah pasukan mencari dan menyelamat telah menamatkan operasi mereka? Sejuta persoalan bermain-main di minda Adrina. Setiap hari mereka menunggu kalau-kalau ada sesiapa yang akan datang menyelamatkan mereka. Kapal, helikopter, UFO, apa-apa sajalah. Tapi hampa. Dua minggu telah berlalu.
“Rina..”
Adrina tersentak. Pantas air mata yang berbaki diseka. Wajahnya tidak diangkat.
“Rina, kau menangis lagi?”
Diam. Pertanyaan Azmi terbiar sepi. Sekadar dengusan lembut kedengaran. Azmi duduk di sisi Adrina.
“Dahlah. Aku rasa dah masuk waktu maghrib. Mari kita solat.”
Usai solat, Adrina berasa tenang sedikit. Mujurlah pakaiannya memang menutup aurat sepenuhnya, boleh dibawa solat. Kalau tidak? Hidupnya terasa susah. Sehelai sepinggang. Imannya benar-benar tercabar. Kalau ada rezeki, makanlah mereka. Kalau tiada apa-apa yang ditangkap Azmi, mereka terpaksa berlapar. Unggun api yang dinyalakan Azmi menghangatkan malam mereka. Suasana kelam.
Kedua-dua manusia itu membisu. Melayan perasaan masing-masing. Azmi berbaring, menghalakan pandangan kosong ke atap gua yang dihuni mereka sejak dua minggu yang lalu. Entah kenapa, badannya terasa lemah. Tenaganya terasa bagai tidak tersisa. Kepalanya berpusing. Matanya terasa berat..
“Azmi! Azmi!”
Azmi membuka matanya semula. Namun hanya sesaat. Terkatup kembali. Adrina diamuk resah. Dia mencuba sekali lagi. Azmi tetap diam. Hanya nafasnya yang beralun perlahan. Adrina tidak berputus asa, dia mencuba lagi dan lagi. Hingga akhirnya mata Azmi terbuka.
“Ada apa Rina?” Perlahan suara Azmi, seakan berbisik.
“Azmi, awak meracau tadi. Saya..saya risau.”
Adrina mendekat. Terkejut dia apabila terasa tubuh Azmi yang membahang panas. Keringat jernih mengalir di dahi lelaki itu. Adrina panik. Kelam kabut dia membasahkan sapu tangan yang masih ada padanya dengan air, lantas diletakkan di dahi Azmi.
“Rina..”
Adrina mendekatkan telinganya untuk mendengar lebih jelas butir bicara Azmi.
“Rina..kalau aku mati…tolong bagitau..Nadia..aku minta maaf.” Bersusah payah Azmi menghabiskan sebaris ayat itu. Tenaganya seperti disedut sesuatu.
Adrina menggeleng. Air matanya sudah berderai laju. Dia tidak mampu menghadapi keadaan itu. Tidak!
“Awak jangan nak mengarut! Awak tak boleh tinggalkan saya! Tak boleh! Faham tak?”
Tiada respon dari Azmi. Matanya kembali tertutup rapat. Adrina menarik-narik baju yang dipakai Azmi. Tetap tiada respon. Mata Adrina terkalih pada dada Azmi yang masih berombak. Tak mati lagi! Kelegaan meresapi sanubarinya. Tangannya mengelap bahagian tubuh Azmi yang terdedah sambil mulutnya terkumat-kamit berdoa. Agar suhu badan lelaki itu turun.
“Azmi, dengar sini. Awak tak boleh tinggalkan saya. Jangan berani tinggalkan saya, dengar tak?”
Air mata Adrina bercucuran jatuh. Macam air terjun pun ada juga. Bibirnya sudah terketar-ketar menahan tangis. Dia tidak mampu membayangkan dia hidup sendiri di sini. Kalau Azmi tiada. Adrina menggeleng lagi. Tidak! Tidak! Dan tidak!
“Azmi, awak ingat tak masa kita darjah enam? Kita satu kelas tuisyen. Dulu saya suka tengok awak. Banyak-banyak lelaki handsome kat situ, mata sepet awak jugak yang saya minat,” ujar Adrina dalam tangis. Azmi masih diam.
“Saya tak sangka kita belajar kat sekolah menengah yang sama. Masa tingkatan empat, saya selalu curi-curi pandang awak. Tapi awak dah ada Nadia masa tu, kan? Saya masih suka awak waktu tu. Saya suka awak, tapi tak ada sesiapa pun yang tahu. Sebab saya pun join sekali gosipkan awak dengan Nadia.”
Adrina tertawa dalam sendu. Sedihnya tidak tertahan.
“Tapi pelik, kan? Saya ingat selepas SPM, itulah kali terakhir saya dapat tengok awak. Tak sangka kita dapat tempat di kolej yang sama. Tapi saya tak berani nak cuba berkawan dengan awak. Kelakar betul. Padahal dah lama kita kenal. Yang lagi pelik, kita dapat universiti yang sama.”
Bicara Adrina terhenti lagi. Air matanya tidak disekat. Sapu tangan dibasahkan sekali lagi sebelum dilekapkan di dahi Azmi. Entah bila Adrina terlelap di sisi lelaki itu. Penat menangis. Tiga jam kemudian, Azmi terjaga. Berderau darahnya apabila terpandang sekujur tubuh yang terbaring di sisinya. Lantas dia beristighfar memohon ampun seraya menjarakkan sedikit dirinya dari gadis itu.
“Rina, bangun!”
Tidur Adrina terganggu. Dia memisat-misat matanya sebelum matanya membulat, sekali lagi. Aku tidur sebelah dia ke semalam? Tapi bila?
“Rina, tolong aku berwudhuk.”
Adrina mengangguk. Dalam diam dia memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi. Azmi nampak elok sedikit pagi ini.
Dua minggu setelah itu, penantian mereka berakhir jua. Sebuah helikopter yang kebetulan melalui pulau itu ternampak isyarat kecemasan mereka. Adrina yang membuat isyarat itu pada hari pertama mereka tersadai di situ. Dia mengumpulkan ranting-ranting kayu, batu dan tempurung kelapa untuk membuat isyarat S.O.S sebesar yang mungkin.
Adrina tidak sabar untuk tiba di airport. Pihak polis telah dimaklumkan tentang mereka. Maka Adrina pasti ibu bapanya juga telah diberitahu. Khairul juga pasti sudah tahu. Adrina memejam matanya. Rindunya sudah membuak-buak.
“Mama! Papa!”
Adrina meluru ke arah orang tuanya. Berpelukan mereka tiga beranak. Mamanya kelihatan cengkung. Tidak putus-putus kedua-dua orang tua itu mengucap syukur. Satu-satunya anak mereka yang disangka sudah terkorban kembali semula. Mata Adrina liar memandang sekeliling.
“Mana bie? Mama dah bagitau bie?” Gelojoh Adrina bertanya. Rindu pada kekasihnya, hanya Tuhan yang tahu.
Mama dan papanya saling berpandangan. Adrina dipeluk erat mamanya.
“Rina sihat sayang? Mari kita makan dulu. Rina dah kurus sangat.”
Adrina meleraikan pelukan. Matanya mengerling sekali imbas pada Azmi yang masih berpelukan dengan ahli keluarganya.
“Ma, bie mana?”
“Sebenarnya..”
“Rina!”
Adrina berpusing. Suara yang sangat dikenali. Sangat-sangat dirindui. Kolam air mata Adrina pecah saat matanya menjamah wajah itu.
“Bie!”
Adrina ingin meluru ke arah Khairul. Namun langkahnya terhenti. Untuk sesaat, jantungnya juga terasa seakan berhenti berdenyut. Kenapa..
“Syukur! Baby, you’re alive!”
Mata Khairul berkaca. Namun..segalanya tak akan sama seperti dulu. Adrina diam. Matanya terpaku ke wajah gadis di sisi Khairul. Wajah yang sangat dikenali.
“Nadia!” Jerit Azmi.
Azmi berlari-lari anak ke arah mereka setelah matanya menangkap wajah kekasihnya. Namun langkahnya juga terhenti. Seakan tidak percaya pada pandangan matanya sendiri. Tangan Nadia berada dalam genggaman Khairul. Kekasih Adrina. Matanya dialihkan pula pada Adrina yang diam membungkam.
Khairul berasa terseksa. Kesunyian manusia-manusia di sekelilingnya terasa mendera.
“Baby..err.Rina. Khai minta maaf. Khai ingat Rina dah..dah..”
“Mati?” Adrina memotong. Sinis. Matanya tajam memandang Khairul.
“Khai dengan Nadia..kami..”
Air mata lelakinya menitis jua. Melutut di hadapan Adrina. Nadia juga sudah terduduk. Mengongoi seperti anak kecil.
“Kahwin?”
Azmi pula yang bersuara. Dia masih tenang. Tidak seperti Adrina yang menangis sepuas hati.
Khairul dan Nadia mengangguk lambat-lambat. Adrina terasa ingin pitam di situ juga. Kabur pandangannya.
“Dasar lelaki. Cinta konon! I love you forever? Baby baru pergi sebulan, bie dah kahwin dengan orang lain?”
Adrina cuba mengawal amarahnya. Dia ketawa seperti orang gila. Mama dan papanya yang sejak tadi memerhati, bergegas menghampiri. Ingin membawa anak mereka pulang. Drama yang dimainkan empat manusia di tengah-tengah KLIA itu menjadi perhatian.
“Kenapa bie? Kenapa Nadia? Kau rampas kekasih aku? Dasar perempuan perampas!”
Perlahan suara Adrina, namun keras. Nadia dicerlungnya. Azmi tidak terkata. Sudahnya dia berlalu begitu sahaja.
“Azmi!” Panggil Nadia. Gadis itu segera mengejar Azmi.
“Bie minta maaf. Dengar dulu penjelasan bie,” rayu Khairul. Hatinya hiba. Tidak disangka semua ini akan terjadi.
“Sudahlah Rina. Mari kita balik sayang,” pujuk papa Adrina seraya menarik tangan anak gadisnya.
Adrina tidak membantah. Dia terasa ingin menjerit. Namun tiada suara yang keluar. Betapa seorang lelaki bernama Khairul Adeef telah menghancurkan hati hawanya.
————————————————————————————————————————-
Adrina melangut di taman mini mamanya. Bersendiri menghirup angin malam. Mengimbas peristiwa silam. Ah! Bie tak salah. Nadia juga tak salah. Sudah jodoh mereka. Kata mama, bie selalu menangis, bersedih. Terutamanya selepas operasi mencari ditamatkan. Setelah aku disangka sudah tiada. Hari-hari bie ke balai polis untuk menunggu berita, kalau-kalau aku ditemui. Walaupun sekadar jasad yang tak bernyawa. Nadia juga, menunggu Azmi. Cinta mereka berputik di situ. Saat masing-masing kecewa. Atas permintaan keluarga Nadia, mereka disatukan. Adrina memejam mata. Memori bersama Khairul terlayar di minda.
“Rina, buat apa sorang-sorang kat sini? Bila Rina balik sayang?”
“Baru saja mama.”
Adrina segera mencium tangan mama tersayang. Dia berkira-kira untuk berlalu masuk ke rumah. Seharian dia di rumah Adawiyah, sahabat baiknya. Bercerita tentang luka di hatinya. Namun niat Adrina terbantut. Mamanya menyabit pergelangan tangannya.
“Kenapa mama? Marilah kita masuk dalam.”
Adrina tayang muka pelik.
“Tadi masa Rina tak ada, ada orang datang ke rumah kita,” beritahu mamanya.
“Iya? Siapa?”
Adrina angkat kening. Mahu bermisteri pula mamanya yang seorang itu.
“Rombongan datang nak merisik Rina.”
Macam biasalah, mata Adrina membulat. Tak cukup dengan itu, mulutnya melongo. Terkejut benar dengan berita itu. Seminit kemudian, tawa
Adrina terhambur. Geli hati.
“Siapa yang tersesat rumah tu, mama?”
Masih tersisa ketawa Adrina.
“Tersesat rumah? Ish Rina ni. Main-main pulak dia. Betul ni. Rina terima ya, sayang?”
Nah kau Adrina. Terdiam dibuatnya. Betul-betul? Merisik? Aku? Biar betul, nanti tak payah nak diperbetul. Haha!
“Terima? Mama, kan Rina baru dapat semula offer dari universiti tu. Lagi tiga minggu Rina dah nak ke UK. Takkan dia sanggup nak tunggu empat tahun kat Malaysia ni kot baru nak kahwin?”
Mamanya tersenyum. Adrina sabar menanti jawapan mamanya.
“Itu tak payah risau. Dia stay kat UK dengan Rina, apa susah.”
Duduk kat UK dengan aku? Biar betul? Kayanya? Anak Datuk mana yang tersalah minat kat aku ni? Dahi Adrina berkerut-kerut.
“Tapi siapa, ma?”
“Um..Azmi.”
Kali ini Adrina terduduk. Melopong luas.
“Azmi? Syahril Azmi Bin Salleh?”
Mamanya mengangguk. Adrina rasa mahu pengsan.
“No! Mama, Rina masuk dulu ya.”
Adrina pantas menghayun kaki ke rumah. Masuk ke biliknya. Ada sesuatu yang perlu diselesaikan! Telefon bimbitnya dicapai. Ditekan-tekan kemudian dilekapkan di telinganya. Jarum jam menginjak ke pukul sebelas. Alamak, dah malam macam ni tak manis telefon dia. Ah! Peduli apa aku.
“Hello Azmi!” Begitu rakus sekali Adrina memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam. Ada apa yang aku boleh tolong?”
Tenang Azmi menjawab. Sempat lagi memerli Adrina. Dia ketawa dalam hati.
“Kenapa hantar orang datang merisik?”
Ambil kau Azmi. Straight to the point. Tidak berbelok-belok soalan Adrina. Kedengaran Azmi ketawa kecil.
“Sebab nak kahwin dengan kau lah.”
Begitu selamba jawapan Azmi. Juga tidak berkias-kias. Adrina geram. Sakit hatinya kerana terasa dipermainkan.
“Azmi, awak ingat perkara ni main-main ke? Awak dah gila? Saya tahu awak kecewa. Saya pun kecewa jugak. Tapi tak payahlah sampai macam ni.”
“Aku tak main-main.”
Adrina menggigit bibir geram. Memang gila mamat ni! Nak balas dendam pada Nadia agaknya. Kemudian nak gunakan aku? Jangan harap!
“Cukuplah Azmi. Hentikan kerja gila ni. Mama saya expect saya terima, awak tahu tak?”
Sekali lagi Azmi ketawa. Sabarlah wahai Adrina, bisik hatinya.
“Bagus. Maksudnya aku calon menantu pilihan. Esok aku suruh mama aku datang meminang.”
Adrina terkedu. Mamat ni tak faham bahasa ke? Tidak sempat Adrina menjawab, Azmi memintas, “Aku mengantuk. Tidur dulu. Selamat malam.” Klik! Talian diputuskan. Adrina mendengus. Azmi memang benar-benar dah gila, fikirnya.
Seperti yang dijanjikan, keluarga Azmi benar-benar datang membawa rombongan meminang. Siap berbalas pantun. Kononnya mahu memetik bunga yang tengah mekar sekuntum di taman buat sang kumbang. Huh! Kumbang gatal. Aku tak ingin masuk campur dalam komplot membalas dendam dia. Dia bukan sayang pada aku. Hati Adrina berkata-kata. Maka dengan selamba Adrina menolak pinangan tersebut.
Lamunan Adrina berkecai tatkala telefon bimbitnya berdering. Cepat-cepat dia menekan punat ‘Answer’ tanpa melihat siapa pemanggilnya.
“Hel..”
“Kau tolak pinangan aku, Rina?”
Azmi pantas memotong. Adrina tidak sempat pun nak cakap hello. Gelojoh benar. Dahi Adrina berkerut. Cepatnya berita sampai ke telinga dia?
“Kan saya dah kata, jangan buat kerja gila. Saya tak ingin bersubahat dengan awak.”
“Bersubahat apa pulanya?” Azmi pelik.
“Komplot balas dendam awak tu lah. Biarlah Nadia hidup bahagia. Saya pun dah boleh terima.”
Azmi menepuk dahi. Bingung dia dibuat Adrina.
“Apa yang kau merepek ni Rina? Bila pula aku jadi mastermind komplot balas dendam ni?”
“Habis tu buat apa nak kahwin dengan saya?”
“Kenapa kau tak mahu kahwin dengan aku?”
Pulak dah. Giliran Adrina terdiam.
“Awak tak sayang saya. Buat apa nak seksa diri sendiri? Yang lepas biarlah lepas. Saya yakin kita akan jumpa jodoh kita nanti.”
Tiada jawapan dari sebelah sana. Sepi mengisi suasana. Adrina masih menanti.
“Kalau aku kata..aku cintakan kau, Rina?”
Telefon Adrina hampir terlepas dari tangannya. Tidak percaya apa yang didengarinya.
“Awak memang dah gila, Azmi!”
Azmi ketawa dengan tuduhan itu. Gilakah dia?
“Gilakan kau.”
Adrina bengang. Dia memutuskan talian. Gila! Syahril Azmi dah gila! Sekarang dia nak ajak aku jadi gila bersama dia pula. Adrina mendengus.
“Rina! Rina!”
Adrina terbangun dari katil. Terkejut. Bergegas Adrina turun ke ruang tamu, tempat papanya berada.
“Ya papa. Ada apa?”
“Ada orang nak jumpa kamu. Ada dekat luar tu. Papa dah ajak masuk, tapi katanya lebih selesa di luar. Pergilah. Elok-elok ya,” pesan papanya sambil tersengih-sengih. Papanya enggan memberitahu siapa gerangan tetamu tersebut. Hendak tidak hendak, Adrina keluar juga setelah menutup kepalanya. Dan terkejut beruk Adrina.
“Azmi! Bila masa awak datang?”
“Tadi aku datang juga. Aku tunggu dalam kereta.”
Patutlah cepat sahaja dia tahu berita penolakannya. Adrina ketawa
kuat. Tetapi dalam hati saja.
“Ada apa nak jumpa?”
Adrina melabuhkan punggung di bangku. Matanya memandang pokok-pokok bonsai yang ditanam mamanya. Suka dia pada pepohon yang menghijau itu.
“Kenapa kau tak nak terima aku?”
Adrina mengeluh. Untuk apa Azmi? Aku tak nak disakiti lagi. Cukup sekali lelaki menghancurkan hati aku.
“Saya tak ingin perjudikan hati dan perasaan saya. Kalau nak kahwin pun, biarlah dengan orang yang benar-benar mencintai saya.”
Azmi duduk berhadapan Adrina. Tak boleh jadi ni, aku mesti beritahu dia, bisik hati Azmi.
“Rina, kau dengar sini elok-elok. Aku nak jadikan kau milik aku yang sah. Aku tak nak tunggu lagi. Alang-alang kita dapat universiti yang sama, memang cantik lah.”
“Gila.”
“Adrina, kau nak kata aku gila pun aku tak kisah. Memang aku dah gilakan kau. Sekarang, tolong terima pinangan aku.”
Azmi membuka kotak cincin. Dihulurkan cincin tersebut kepada Adrina. Tanpa diduga, air mata Adrina mengalir. Azmi panik.
“Rina, jangan menangis. Kenapa ni?” Lembut suara Azmi, memujuk.
Adrina menyeka air mata yang menodai pipi putihnya.
“Awak memang dah gila Azmi,” ujar Adrina tanpa mengangkat wajahnya.
“Aku gila? Aku tak kisah. Asal kau sudi jadi milik aku.”
“Kenapa Azmi? Kenapa tiba-tiba? Bila masa awak sayangkan saya?”
Adrina mengangkat wajah. Mata mereka bertentangan. Hanya sebentar.
Adrina menunduk semula.
“Kau tak ingat? Kau ugut aku supaya jangan berani tinggalkan kau, kan?”
Terkedu Adrina. Sangkanya Azmi tidak mendengar pada waktu itu.
“Sekarang, aku berikrar untuk berada di sisi kau sampai nafas aku yang terakhir. Dengan syarat, kahwin dengan aku.”
Melihat Adrina yang terus membisu, Azmi mengangkat punggung. Ingin berlalu.
“Kau fikirkanlah. Aku harap, aku akan dapat jawapan yang menggembirakan. Baca ni,” kata Azmi sambil meletakkan sampul surat ungu di riba Adrina bersama cincin tadi. Kemudian dia berlalu pergi.
Perlahan Adrina membuka sampul surat itu. Sekeping kertas dikeluarkan.
Adrina Natasya,
Aku bukan lelaki yang pandai bermadah bicara. Aku juga tak pandai bermulut manis. Ikhlas aku katakan, kau memang dah menawan hati aku. Aku kecewa kerana Nadia tinggalkan aku, tapi sesungguhnya aku amat berterima kasih padanya. Kalau tidak, hati aku tak akan terbuka untuk kau.
Maafkan aku kerana tidak pernah menghargai kehadiran kau. Tapi sekarang aku sedar, kau adalah takdir aku. Yang hadir untuk melengkapkan diri aku yang tak sempurna. Seperti kau, aku juga sering tertanya-tanya, kenapa dalam setiap peringkat hidup aku ada kau. Boring aku.(Gurau saja. Hehe.) Sekarang aku dah dapat jawapannya Rina. Alhamdulillah, hijab itu terbuka jua.
Beri aku peluang untuk mengubati hati kau. Aku berjanji aku akan melindungi kau dengan nyawa aku sendiri. Aku akan bagi kau anak-anak yang comel. Percayalah Rina. Aku cintakan kau..
Orang gila yang mencintai kau, Syahril Azmi.
pS: Aku tahu surat ni langsung tak puitis. Maaf. Kau ajar aku lepas kita kahwin ya? Hehe.
Tergelak Adrina membaca surat itu. Benar-benar terharu dengan keikhlasan Azmi. Pantas tangannya mendail nombor lelaki itu. Berdebar pula rasa hatinya.
“Assalamualaikum.” Adrina memberi salam.
“Waalaikumussalam.”
Adrina gigit bibir. Malu pula rasanya mendengar suara garau milik Azmi.
“Rina, aku..aku minta maaf sebab paksa kau. Tapi..”
“Tak apa. Saya tahu.”
Senyap. Hanya deruan nafas kedengaran.
“Azmi, awak tak main-main kan?” Terluah juga pertanyaan itu.
“Rina..percayalah cakap aku. Aku ikhlas. Aku betul-betul nak kau jadi isteri aku,” luah Azmi penuh perasaan.
“Kalau awak mungkir janji, siaplah..”
Azmi ketawa terkekeh. Lucu dengan ugutan manja Adrina. Hatinya berbunga riang.
“Tapi aku tak nak kau jadi baby, tau. Aku nak kau jadi mama pada anak-anak aku..anak-anak kita.”
Giliran Adrina menghambur tawa. Sempat lagi Azmi mengenakannya. Zaman percintaan dia dan Khairul dah lama tamat.
“Jadi kau terima pinangan aku, kan Rina? Kita kahwin, kan?”
Adrina tergelak kecil. Desperate betul lelaki ini. Tidak disangka jodohnya bersama Syahril Azmi. Dahulu dia sering mengangan-angankannya. Sekarang sudah jadi realiti. Kelakar. Bercinta dengan orang lain, kahwin dengan orang lain. Cinta terbalik. Adrina tersenyum bahagia.














simple tp mnarik…
mgkn btl ada sesetengah org ckp kita akn bertemu dgn org yg salah sblm bertemu dgn jodoh kita yg sbnrnya…
cnta pertama boleh dijdkn pengalamn dan pengajarn…
truskan usaha ok!
best la cita nie..
keep it up..
bagus..good..saya suka..jangan putus asa..jalan ceritanye pun bagus..good luck
menarik !
sgt menarik !
mmg kdg2 kite sebok cri jodoh kite
padahal jodoh tu kt dpn mata je
btw, u’re good writer
best, congrates writer
jln cerita dan plot tersusun,tak meleret-leret
penggunaan bahasa pd sy amat bagus
cuma pemilihan tajuk sy rs kurg sesuai…mungkin boleh cari tajuk yg bila org baca tajuknya saja, org tu dah teruja utk baca keseluruhan cerpen awak
keep up the good work
Nak letak tajuk ape ya?
Hi dearie,
kenapa you cakap tak ok pulak? oklah… Vee suka penggunaan ayat yang you guna. Tersusun… and cerita ni mula2 Vee baca macam cliche but dah baca semakin ke penghujungnya rasa lain dr yg lain…
Creative! Keep it up sayang!
With Love,
Vee Violet
ceritanya mmg kreatif,diluar jangkaan pembaca…
sampai terdampar kat pulau,mati hidup semula…huhuhuhu mcm-mcm…
cerita mcm ni membuatkan pembaca lagi bertambah minat utk baca sampai kesudahan cerita…
tahniah utk penulis…
harap terus berkarya….
really lurv this story….

unik sangat…
teruskn lg wat cte2 camni…
mgkin nmpk xbpe logik terdampar smpi sebulan cuma dpt demam je…
tp overall mmg best…leh dpt 5star…heeehee~
jln cter biaser..
pnah dgr…
tp,
cter ni comei larh…