Cerpen : Penipuan Yang Kau Cipta Untukku

6 March 2010  
Kategori: Cerpen

6,371 bacaan 29 ulasan

Oleh : Noraz Ikha

“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ni!!” kata-kata inilah yang semakin menghantui hidupku.

Syiling bilik ini bagai mahu runtuh dek renungan aku yang terlalu lama memanah ke arahnya. Fikiran ini juga sudah terlalu jauh menerawang entah ke mana. Bersimpang siur hingga tiada hala tuju yang pasti. Namun rasa sesak di dada ini tidak juga berkurangan. Perasaanku terhimpit antara prinsip dan sahabat.

“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ni!!” Arghh…….. kata-kata berbaur amaran itu terngiang-ngiang lagi di dalam gegendang telingaku. Semenjak dua menjak kebelakangan ini, hidup aku dipenuhi dengan lamunan yang tidak bertepian.

Sesungguhnya kini aku sedar. Aku telah membuat satu kesilapan yang amat besar di dalam hidup. Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan semenjak udara di muka bumi Allah ini aku nikmati. Prinsip yang selama ini aku pertahankan ternyata layu dek pujukan rayu seseorang bernama sahabat. Atas nama bantuan kepadanya, tidak terduga akhirnya aku yang terjerumus ke dalam kancah masalah. Penipuan yang dirancang olehnya turut mengheretku ke lembah penghinaan. Diari hitam kesayangan aku genggam dalam pelukan. Satu per satu peristiwa pahit menerjah ke dalam kotak fikiranku………

**********

Jeritan deringan telefon bimbit menyentak lamunanku yang semakin tidak berhaluan. Mujur aku berjaya kembali ke alam realiti. Pantas aku capai telefon bimbit di tepi bantal. Berderau darahku menatap nama si pemanggil. Seakan menggeletar aku menekan punat hijau telefon bimbit itu.

“Helo… Assalamualaikum!” Tegasnya suara si pemanggil membuatkan darahku berderau sekali lagi.

“Helo… Waalaikumussalam. Siapa ni ya?” aku berpura-pura tidak mengenali walaupun aku cukup tahu siapakah gerangan yang empunya suara. Inilah pertama kali dia menghubungiku. Namun, maklumat yang diberikan oleh sahabatku membolehkan aku mengecaminya.

“Saya Ikram. Ni Dilah kan?” Tanya Ikram penuh semangat.

“Betul saya Dilah,” prinsip tidak akan menipu yang menjadi pegangan mendorong aku untuk mengaku.

“Awak kenal fasha tak?” Soal Ikram persis seorang anggota polis.

“Erm…. fasha yang mana ek?” Aku berpura-pura tidak tahu lagi. Cepat-cepatlah panggilan ini berakhir. Aku tidak sanggup untuk menipu dan menyiksa diriku lagi.

“Hai…. ramai sangat ke kawan awak nama Fasha? Fasha kawan satu universiti awaklah,” Ikram cuba mengingatkan. Memang aku ingat sangat dengan Fasha. Fasha yang telah menceroboh benteng prinsipku dengan perasaan belas kasihan yang berjaya dia terapkan ke dalam hatiku. Namun akhirnya, aku yang terjerat. Dia yang berjaya membuatkan aku melakukan pembohongan paling besar. Dan hanya dia seorang sahaja sahabat aku yang bernama Fasha. Tidak ramai pun seperti yang ditanya oleh Ikram.

“Ooo….. Fasha tu. Kenallah. Kenapa ya?” aku berpura-pura tidak mengerti lagi. Benarlah kata orang, sekali menipu kita akan menipu lagi berulang-ulang kali untuk menutupinya.

“Hai…. memang tak tau ke buat-buat tak tau awak ni??” terdengar rengusan kasar di hujung suara Ikram di sebalik sindiran yang baru dihamburkannya kepadaku. Aku pejamkan mataku rapat-rapat. Oh Tuhan. Sedikit sebanyak aku mula berasa geram dengan tutur kata Ikram yang kedengaran agak kurang beretika.

“Macam nilah, awak cakap je apa yang awak nak cakap sebenarnya,” aku mula berasa bosan melayan kerenah Ikram. Aku malas bermain tarik tali lagi.

“Hari tu awak ada pergi Pulau Pangkor dengan Fasha kan?” aku tahu Ikram cuba menyiasat.

“Tak adalah,” aku cuba menyangkal walaupun hakikatnya memang benar. Ahh… menipu lagi. Aku masih cuba melindungi Fasha. Semua jawapan untuk menipu memang telah lengkap diberi oleh Fasha sekiranya ada sesiapa yang bertanyakan mengenai dirinya. Fasha memang seorang “pelakon” yang bijak.

“Awak jangan cuba tipu saya! Saya ada gambar awak dengan dia. Kamera dalam tangan saya sekarang ni,” aku dapat mendengar getaran dalam suara Ikram. Mungkin dia sedang menahan kemarahan.

“Ok… ok…. betul! Memang saya ada pergi dengan dia,” aku terpaksa membetulkan pembohongan jawapanku sebentar tadi. Bukti sudah berada di tangannya. Bagaimana kamera boleh terlepas ke tangan Ikram??

“Orang macam awak nilah yang tak boleh dibuat kawan. Sanggup menipu. Tolong kawan buat jahat. Saya kenal Fasha ni. Dia ni memang sosial tinggi. Tapi awak sebagai kawan dia kenapa tak nasihatkan dia? Tak boleh jaga dia sebagai kawan. Tak gunalah ada kawan macam awak!” marah Ikram berbau hinaan.

Berkerut keningku mendengar tohmahan Ikram. Tergamak dia memperkatakan aku teruk sebegitu. Selama ini siapa yang membantu Fasha bila kau menyakiti dia? Siapa yang berada di sisinya bila dia dalam kesusahan?

Ya…. memang Fasha sosial tinggi. Aku kerap kali menasihati dia. Tapi kaulah penyebab dia bekelakuan sebegitu. Dia memberontak. Dan kau puncanya. Kau tak sedarkah?? Aku tercabar dek penghinaan yang dilemparkan tanpa peri kemanusiaan Ikram. Adakah ini tujuan kau menelefon aku? Untuk menghina aku??

“Eh, awak ingat saya biar je ke bila dia buat benda tak elok? Saya dah banyak kali nasihatkan dia. Tapi semua perubahan bergantung pada diri dia sendiri. Dia yang perlu berubah. Awak tak payah nak marah-marah macam ni. Marah takkan boleh selesaikan masalah. Apa gunanya awak marah saya?” Aku cuba mengawal perasaan yang geram. Geram dengan Fasha…. juga geram dengan Ikram.

“Dia jumpa siapa kat Pangkor?” Ikram kembali menyiasat. Dadaku sesak kembali.

“Awak tanya la Fasha sendiri. Dia lebih tau dengan siapa dia jumpa,” malas aku mahu melayan soalan-soalan Ikram. Aku bernekad tidak akan menipu lagi…… aku masih mahu bediri di atas prinsip tidak akan menipu kecuali untuk kebaikan.

Serta merta ingatanku menerawang mengingati hal yang berlaku di Pulau Pangkor tempoh hari. Dengan perasaan girang aku dan Fasha menginjakkan kaki di pulau peranginan itu. Seronok dapat menenangkan diri dari kesibukan kota di Kuala Lumpur. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku terus setuju bila Fasha mengajak aku ke Pulau Pangkor. Kebetulan pula aku sedang mencari destinasi untuk lari dari kesesakan Kuala Lumpur.

Namun tidak ku sangka lain yang dirancang, lain pula yang terjadi. Semua ini gara-gara sahabat bernama Fasha yang selama ini aku percayai. Rupa-rupanya dia mempunyai niat lain. Dia hanya memperalatkan aku untuk mencapai tujuannya ke Pulau Pangkor itu.

Setibanya di Pulau Pangkor, aku ditinggalkan sendirian. Fasha hilang bersama kekasih hatinya. Walaupun aku berkawan baik dengan Fasha, aku tidak pernah tahu bahawa dia mempunyai kekasih di Pulau ini. Tambahan lagi, Fasha sudah bertunang.

Seawal semester pertama kami belajar di universiti ini, dia sudah bertunang dengan kekasihnya setelah menyulam cinta sejak di bangku sekolah lagi. Kini kami sama-sama berada di semester akhir pengajian. Tidak ku sangka Fasha sanggup mencari kekasih lain. Dan tidak ku sangka juga Fasha sanggup memperlakukan aku begitu.

Aku seperti boneka di Pulau Pangkor. Disuruh cakap begitu begini oleh Fasha jika tunang atau keluarga Fasha menghubungi telefon bimbitku. Tunang dan keluarga Fasha tidak tahu sama sekali kami keluar ke Pulau Pangkor.

Sebelum itu Fasha memberitahuku bahawa dia telah meminta izin keluarganya. Rupanya itu semua cuma pembohongan. Aku tidak mempunyai pilihan lain pada waktu itu. Sekiranya aku memberitahu perkara sebenar bahawa kami kini berada di Pulau Pangkor, dan ditambah lagi dengan pembohongan yang dilakukan oleh Fasha terhadap diriku sendiri, aku yakin pembongkaran ini akan mencetuskan perbalahan di antara Fasha, tunang dan keluarganya.

“Dilah, baik awak berterus terang dengan saya. Dengan siapa dia jumpa kat sana??” pertanyaan Ikram membantutkan lamunanku terhadap segala peristiwa yang berlaku di Pulau Pangkor.

“Saya tak tau. Macam mana saya nak jawab!” Memang aku tidak tahu siapakah kekasih baru Fasha itu. Tidak tahu menahu.

“Dilah, saya ni tunang dia tau. Kalau saya tau siapa lelaki tu, saya akan cari dia sampai ke lubang cacing! Betul ke awak tak tau ni? Awak tak payahlah nak tolong-tolong Fasha tu. Tak payah tolong dia menipu. Kalau saya tau awak tipu saya, siap awak ya!” Amaran yang keluar dari mulut Ikram itu membuatkan aku menelan liur. Kerasnya hati lelaki ini. Panas barannya melampau-lampau.

Ikram tiada hak pun untuk memperlakukan aku begitu. Dia tiada hak untuk mengawal tindak tandukku. Dan dia juga tiada hak untuk memberi amaran itu kepadaku. Prinsipku semakin tercabar. Sesungguhnya ini bukan masalah aku. Ini masalah Fasha. Fasha…… mengapa aku yang menjadi mangsa?

“Ikram, saya tau awak tunang dia. Saya pun tau perasaan awak bila nampak gambar Fasha dengan lelaki lain. Tapi apa saya boleh buat? Apa yang saya boleh beritahu awak? Sebab saya pun tak tahu apa-apa. Awak tanyalah Fasha,” kata-kata pembelaan yang aku berikan itu sedikit sebanyak berbunyi rayuan agar Ikram tidak lagi mendesakku.

**********

Kelibat Fasha di tempat duduk meja belajar fakulti membuatkan bola mataku membulat. Langkahku semakin pantas menghampirinya. Dengan kasar aku menghempaskan fail di atas meja yang diduduki Fasha. Ternyata Fasha terkejut dengan tindakan aku.

“Kau ni kenapa Dilah?” soal Fasha dengan kening yang berkerut.

Semakin panas hati aku mendengarkan pertanyaan Fasha . Geram kerana Fasha masih boleh buat tidak tahu seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Fasha, kau tau tak Ikram telefon aku semalam?” aku memulakan bicara.

“Tau. Dia load speaker. Aku ada dengan dia waktu tu. Nasib baik kau mengaku ada pergi Pangkor. Aku terkantoi kat dia. Dia nampak kamera aku. Thanks ek Dilah sebab tolong aku,” selamba sahaja Fasha menuturkan kata-kata.

Sudah naik tocang nampaknya Fasha ni. Hati aku panas membara, dia boleh buat selamba saja? Apa jenis kawan pula Fasha ni? Sudahlah menipu aku. Lepas itu paksa aku menipu pula. Sekarang ini tunang dia serang aku. Panassnyerr!!

“Ooo… kau tau? Load speaker? Kau dengar tak dia hina aku macam-macam? Kau ingat aku boleh sabar ke? Dibuatnya aku macam orang tak berguna. Dia ingat aku ni manusia paling teruk kat muka bumi ni ke?” lantang suara aku menahan marah. Mujur meja Fasha itu jauh sedikit dari meja lain.

“Sorrylah Dilah. Dia tu memang teruk. Dia kalau marah habis semua caci maki keluar tau. Aku pun dah tak tahan dengan dia,” luah Fasha. Perasaan tidak puas hati aku terhadap Fasha masih menebal.

“Senang je kau minta maaf ya. Aku ni malu tau. Fasha, dah lama kita ni kawan kan? Dari semester pertama lagi. Tapi perangai kau ni tak juga ubah-ubah ya? Dahlah Fasha, kau janganlah buat yang bukan-bukan lagi,” nasihat aku buat ke sekian kalinya.

“Alah… bukan salah akulah kalau aku cari lelaki lain. Dia tu cuma tunang aku je. Bukan suami aku,” bela Fasha tanpa rasa bersalah walau sekelumit pun. Telan liur aku mendengarnya.

“Aku tak faham macam mana kau boleh ada fikiran macam tu. Kau ni sebenarnya cinta tak kat Ikram?” pelik aku mendengar kata-kata Fasha. Seperti tidak berperasaan.

“Entahlah….. tapi aku sayang dia,” ujar Fasha.

“Lain kali kau terus terang je dengan aku. Macam kita pergi Pangkor tu…. aku geram lagi ni tau. Tapi mengenangkan kau ni kawan aku, aku tolong juga kau. Pandai kau masukkan aku dalam keadaan tak ada pilihan ya? Kalau aku tak tolong kau, mahunya Ikram datang bawak parang. Tapi kau pula terlepas kamera tu,” aku membebel. Masih mahu melampiaskan perasaan tidak puas hati.

“Sorryyy……. aku dah terjatuh cinta dengan Hairi lah Dilah,” Fasha meluahkan perasaan.

Aku mengetap bibir. Entah siapa-siapa entah Hairi tu. Aku tak pernah sedar pun akan kewujudan Hairi dalam hidup Fasha. Tup.. tup…. dah terjatuh cinta pula ni. Fasha pun satu, tak sedar diri sudah bertunang. Macam mana teruk pun sikap Ikram, dia tetap tunang Fasha. Lelaki yang pernah Fasha pilih untuk dijadikan tunangan.

“Opps… opps….. tadi kau kata kau sayang Ikram. Macam mana kau boleh terjatuh cinta kat Hairi pulak ni? Siap tipu aku nak plan dating kat Pangkor lak tu. Tergamak kau ya.” Keningku berkerut lagi. Tension aku dengan perangai Fasha.

“Alah…. tak payahlah sebut pasal Pangkor tu lagi. Aku minta maaf,” maaf Fasha itu juga sudah beberapa kali aku dengar. Tapi dia tak juga insaf-insaf. Ada sahaja dia nak buat kontroversi. Kalau Fasha ni artis popular, sudah heboh satu malaya ni dengan kontroversi demi kontroversi yang dicetuskannya. Suka hati kaulah Fasha. Letih aku.

“Dah.. dah… soalan aku tadi apa jawapan kau? Pasal Hairi tu. Mana kau kenal dia?” aku menyoal selidik Fasha.

“Dia ni ni handsome tau Dilah. Aku kenal dia sebab salah nombor. Dia yang call aku,” cerita Fasha bersungguh-sungguh. Bola mataku membulat sekali lagi.

“Salah nombor?? Salah nombor pun kau boleh lekat?” tinggi nada suaraku. Fasha hanya tersengih. Aku menggeleng-gelengkan kepala.

“Habis tu sekarang ni Ikram macam mana? Aku tak nak jadi mangsa lagi tau,” tegasku.

“Tulah masalahnya. Aku sayang Ikram. Tapi aku cinta Hairi,” luah Fasha lagi.

“Mana boleh macm tu Fasha. Ikram tu tunang kau kan? Kau bertunang dengan dia pun atas dasar cinta,” aku memberi ingatan.

“Memanglah. Tapi sekarang aku… aku tak tau. Yang aku tau, aku cintakan Hairi. Ikram tu suka paksa akulah,” Fasha seakan mengadu.

“Amboi… amboi, dulu masa bercinta semuanya manis. Bila jumpa orang lain, buruk je yang kau nampak ya. Tapi aku memang terkejut Ikram sanggup lempar kata-kata kesat kat aku,” kali ini aku pula yang mengadu.

“Ikram tu cemburu sangat. Aku tau dia memang setia kat aku. Dia mana ada kawan perempuan lain. Sebab dia dah janji dengan aku takkan kawan dengan perempuan lain. Dia yang berjanji. Aku tak janji pun takkan kawan dengan lelaki lain. Kawan je. Takkan tak boleh. Hidup ni kan kena bergaul. Tapi dia tetap tak boleh terima. Kalau dengan kawan lelaki, dia halang aku tak apa lagi. Ni aku keluar dengan kawan perempuan pun dia nak marah. Aku boleh keluar dengan dia je. Dengan family aku pun dia nak cemburu. Semua yang aku buat, setiap saat kena report kat dia. Kalau aku tak report apa yang aku buat, mulalah dia nak naik angin. Lepas tu, yang aku tak suka tu, dia suka cederakan diri dia sendiri,” panjang lebar Fasha meluahkan apa yang tersirat di hati. Melopong mulut aku mendengarnya.

“Kenapa dia cederakan diri sendiri?” soalku

“Sebab dia geram. Dia tak sampai hati nak pukul aku, dia pukul diri dia sendiri. Depan-depan aku. Sampai berdarah-darah. Lagi aku halang, lagi dia buat. Aku takutlah dia tu.” Fasha memandang meja.

Jelas kerisauan terpancar pada wajah Fasha. Seburuk-buruk sikap Fasha pun, aku masih ada rasa belas kasihan terhadapnya. Tapi masalahnya, Fasha suka mempergunakan rasa belas kasihan aku. Hingga aku terjerat sendiri. Nak dibiarkan tak sampai hati pula. Susah juga ada tunang yang terlalu cemburu ni.

“Ha ni lagi satu aku nak tanya, kenapa kau layan si Hairi tu? Kau tak takut kat Ikram ke?” aku betul-betul ingin tahu apa jawapan Fasha.

“Erm….. aku pun tak sangka boleh sampai ke tahap ni aku layan dia. Aku bosanlah dengan sikap Ikram. Aku tertekan. Sebab tu aku layan Hairi. Walaupun Ikram tu tunang aku, tapi aku rasa takut bila dengan dia. Aku takut dia naik angin. Dengan Hairi pula, aku rasa selamat. Dia jaga aku… ambil berat… penyabar…. dia memang baiklah,” melambung tinggi Fasha memuji Hairi. Entah macam mana rupa si Hairi tu sampai berjaya menambat hati Fasha.

Hmm…. aku mengeluh panjang. Hanya mampu menggeleng kepala mendengar luahan Fasha. Niat di hati mahu marah Fasha kerana suka memperkotak-katikkan kebaikan aku. Alih-alih….. aku pula yang rasa kasihan dengan Fasha. Sikap mudah kasihan yang tersemat di dalam diri aku memang sukar untuk dihakis.

Tanpa sengaja aku terlihat sekeping kad yang terkeluar sedikit dari dalam fail milik Fasha. Serta merta lirikan mataku menjadi tajam. Aku memang kenal dengan jenis kad sebegitu. Dengan wajah yang penuh dengan persoalan, aku memandang Fasha. Keningku hampir bertaut. Tergamam Fasha melihat reaksiku.

“Kau…. kau berhubung lagi dengan dia ya??” satu pertanyaan padu berbaur amaran aku tujukan khas buat Fasha sahabatku tersayang. Fasha menekup mulutnya sendiri sambil memasukkan bucu kad yang terkeluar ke dalam fail.

“Sorry…… dia yang bagi kad ni. Aku ambil je. Kau tau tak dilah, kalau aku kata aku tak ada duit kan, nanti dia bank in kan duit ke dalam akaun aku,” tanpa rasa bersalah juga Fasha menuturkan kata-kata itu.

Darah aku kembali berderau. Elok tadi aku merasa kasihan dengan Fasha, sekarang perasaan marah kembali bertandang dek sikap Fasha yang selalu buat aku pening kepala. Masalah Fasha yang utama, dia suka melayan lelaki lain. Paling tepat sekali suka mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain untuk kepentingan dirinya… termasuk mengambil kesempatan ke atasku. Sudah berbuih mulut aku menegurnya. Tapi sekejap sahaja Fasha sedar, lepas itu, buat lagi perangai lama. Alahai Fasha….. apalah nak jadi dengan kau ni.

Aku tahu kad itu diterima daripada Dr. Mazlan. Pensyarah di fakulti kami. Dr. Mazlan memang kaya raya. Kebetulan Dr. Mazlan tertarik hati dengan pelajarnya sendiri….. siapa lagi kalau bukan dengan Fasha yang cantik jelita. Fasha yang suka mengambil kesempatan pun melayan sahaja. Keputusan exam selalu A. Assignment A. Sukalah Fasha.

Fasha lupa diri. Dia lupa akan status dirinya. Dia lupa tunang dan keluarganya. Yang menjadi mangsanya aku. Aku yang terpaksa memendam segala rahsianya. Bodohkah aku??

“Fasha, dah berapa kali aku pesan kat kau. Jangan layan Dr. Mazlan tu. Dia pun bukannya bujang lagi. Dah tua pun. Empat puluh lebih dah umur dia. Anak dah berderet. Nanti kalau isteri dia dapat tau… habislah kau. Tunang kau lagi tu….. apa yang kau nak sebenarnya ni Fasha?” aku betul-betul tidak faham dengan perangai Fasha. Sejak akhir-akhir ini sikap liarnya semakin menjadi-jadi.

“Isteri dia dah call aku hari tu. Tanya apa hubungan aku dengan suami dia. Aku cakaplah tak ada apa-apa. Cuma hubungan student dengan lecturer. Aku dah cakap kat Dr. Mazlan, jangan tulis perkataan sayang la honey la dalam SMS dia,” bongkar Fasha. Juga dengan selambanya. Pening aku. Fasha yang buat hal aku pula yang pening.

“Kau jangan sampai Ikram call aku lagi kata aku tak pandai jaga kawan pulak. Tak pasal-pasal kena marah free,” satu lagi amaran aku berikan buat Fasha.

“Iya…. aku tak contact Dr. Mazlan lagi. Lepas ni aku akan senyap je. Kau jangan risaulah. Aku tau apa aku buat. Ok?” Pujuk Fasha.

Tajam aku memandang wajah Fasha. Ingin membayangkan yang aku benar-benar serius tidak mahu dia mengulangi kesilapan. Tapi hampeh….. aku tahu dia tidak akan berhenti. Aku faham sangat dengan sikapnya. Fasha ini ada satu kebolehan. Dia cukup pandai berpura-pura…. cukup pandai memancing simpati orang lain. Kalau jadi pelakon memang boleh menang anugerah pelakon wanita terbaik.

**********

“Dilah! Dilah! Kau kena tolong aku dilah!”

Tercungap-cungap Fasha menuturkan kata-kata. Ditambah dengan penyakit semput yang dihidapinya membuatkan keadaan Fasha kelihatan tidak terurus. Buku-buku dalam pegangan Fasha juga kelihatan senget-senget seperti mahu terlepas dari genggaman Fasha. Aku terpana seketika. Kontroversi apa lagi yang mahu dicetuskan oleh Fasha ni??

“Kenapa?” ringkas sahaja pertanyaanku.

“Aku nak minta tolong kau tidur kat rumah aku malam ni. Kalau mak aku tanya, kau jawablah nak siapkan assignment group kita. Boleh ek Dilah? Kau je lah yang boleh aku harapkan Dilah. Tolong…… please….” Fasha merayu sesungguh hati.

“Eh, mana kau pergi semalam pun aku tak tanya lagi. Kelas kau ponteng. Call tak jawab. SMS tak balas. Kau pergi mana?” aku bertanyakan soalan yang sudah lama bertapak di dalam hati.

“Semalam aku keluar dengan Hairi. Masa nak balik tu kereta dia buat hal pulak. Dah tersadai. Kena tunggu pagi ni baru boleh balik sini. Aku tak balik rumah malam tadi. Aku cakap kat family, aku tidur rumah sewa kau. Buat assignment. Ni pun aku tak balik rumah lagi. Hairi hantar aku terus ke fakulti. Please…. tidur rumah aku ya? Kalau tak mak aku tak percaya aku tidur rumah kau. Aku dah tak terfikir jawapan lain masa mak aku call malam tadi. Kalau mak aku tau aku duduk dengan Hairi satu malam… matilah aku!” Panjang lebar Fasha cuba memujuk aku.

Tengok tu…… libatkan aku lagi! Fasha ini memang suka cari pasal tau. Lepas itu heret aku sekali. Aku sudah tidak tahan dengan perangai dia lagi. Saat ini otak aku juga sudah tidak dapat berfikir alasan apa lagi yang boleh diberi kepada keluarga Fasha.

Fasha tercungap-cungap lagi. Penyakit semputnya masih ada. Kasihan aku melihat Fasha. Aku bertekad….. ini kali terakhir aku membantu Fasha. Inilah kali terakhir aku mencerobohi prinsip tidak mahu menipu. Aku harus meletakkan syarat yang lebih ketat terhadap Fasha.

Aku mahu hentikan segala dunia “lakonan” ini. Aku mahu ucapkan selamat tinggal kepada “watak pembantu” yang selama ini terpaksa aku pegang semenjak mengenali sahabat bernama Fasha. Masalah yang dialami oleh Fasha selalu sahaja memasukkan aku ke dalam situasi rasa kasihan dan rasa bersalah jika tidak membantunya. Aku amat mengenali keluarga Fasha. Mahu diganyang Fasha hidup-hidup jika mereka mendapat tahu kesalahan Fasha.

“Okey….. aku boleh tolong kau. Tapi ini kali terakhir aku menipu untuk kau. Dan kau tak boleh mengulangi kesilapan lagi. Kau kena jaga sikit tingkah laku kau tu,” ucapku penuh bersungguh-sungguh.

“Iya… aku janji… aku janji Dilah. Aku dah insaf. Aku takkan layan lagi lelaki-lelaki lain kat luar tu. Aku takkan layan lagi Dr. Mazlan. Betul ni! Aku janji!” bersemangat dan bersungguh-sungguh benar Fasha menuturkan kata-katanya. Aku harap Fasha sedar dengan apa yang baru diucapkannya.

“Kalau kau mungkir janji.. dan kalau aku tahu kau berhubung lagi dengan Dr. Mazlan… atau aku dapat tahu kau layan lelaki-lelaki yang entah siapa-siapa kat luar tu…. jangan salahkan aku kalau aku bongkarkan semuanya pada family kau. Menipu ni kerja berat tau. Tanggung dosa,” aku benar-benar meletakkan syarat itu. Aku sudah bertekad mahu menamatkan semua pembohongan yang menyiksakan jiwa ini.

“Aku janji!!” Aku menganggukkan kepala mendengar janji Fasha.

**********

Dengan berhati-hati aku memusingkan nombor pada seterika. Maklumlah bukan seterika sendiri. Pinjam seterika rumah Fasha. Seperti bermimpi, aku kini sudah berada di dalam rumah Fasha. Aku menyeterika baju yang mahu aku pakai esok, sementara Fasha pula pergi membersihkan diri di dalam bilik air.

“Dilah,” terguran halus dari muka pintu mengejutkan aku yang sedang khusyuk menyeterika baju. Pantas aku menoleh. Ohh…… Mak Cik Fatimah. Ibu Fasha. Aku tersenyum sambil menyaksikan Mak Cik Fatimah melabuhkan punggung di atas katil empuk Fasha.

“Dilah, mak cik nak tanya sikit ni,” Mak Cik Fatimah memulakan bicaranya.

“Nak tanya apa mak cik?” soal aku kembali. Masaklah aku kali ini. Terpaksalah aku berbohong lagi nampaknya. Tak apa… ini kali terakhir.

“Betul ke Fasha tidur rumah Dilah semalam?” bumm!!! Inilah soalan yang palig aku takuti. Akhirnya soalan itu menjelma jua di hadapanku. Aku tersenyum lagi. Semua ini lakonan belaka.

“Erm… betul. Buat assignment. Ni pun tak siap lagi,” aku cuba menjawab setenang yang mungkin. Gelora di hati ini Tuhan sahaja yang tahu. Maafkan aku Mak Cik Fatimah. Kalau kau mungkir janji siap kau Fasha.

“Mak cik ni bukan apa. Fasha ni suka menipu. Mak cik ni selalu ditipunya. Kata pergi kelas…. bila Ikram cari rupanya dia ada kat tempat lain,” luah Mak Cik Fatimah. Sedih wajahnya dapat aku tangkap. Kasihan….

“Ya kah…” tidak aku sangka Fasha sanggup bersikap sedemikian rupa. Rupa-rupanya Fasha banyak membuat sesuatu tanpa pengetahuan aku juga.

“Sekarang ni dia nak minta putus tunang dengan Ikram pula. Dulu masa dia nak bertunang dengan Ikram tu mak cik tak bagi. Tapi dia nak juga. Dia kata tak ada orang lain dah selain Ikram. Dia tu muda lagi masa tu. Baru masuk universiti. Degil dia ni melampau-lampau. Terpaksa mak cik setuju juga dia nak bertunang. Sekarang ni nak putus pulak. Ayah dia ni lagi pening kepala. Macam nak pecah kepala mak cik ni fikir pasal Fasha. Entah kenapa tiba-tiba nak putus tunang. Kesian mak cik tengok Ikram,” melopong mulutku mendengar luahan hati Mak Cik Fatimah.

Biar betul budak Fasha ni? Dia nak putus tunang? Tak pernah pula dia cerita kat aku selama ni…. tindakan Fasha selalu sahaja di luar dugaan orang lain.

“Ni lah nak tanya Dilah ni. Dilah tau ke apa-apa cerita pasal Fasha? Yang mak cik tak tau. Dia ada lelaki lain ke? Fasha ni susah nak berterus terang dengan mak cik. Kerja dia kalau kat rumah ni duduk berkurung dalam bilik ni. Entah apa yang dibuatnya. Kunci pintu pula tu,” soalan cepu emas sekali lagi dilemparkan kepadaku. Sesak nafas ini mahu menjawabnya. Kalau Mak Cik Fatimah tahu pasal Hairi, mahu mampus Fasha nanti. Dengan aku-aku sekali pun kena. Tak pasal-pasal aku dapat title tak pandai jaga kawan lagi.

“Erm.. setahu saya, tak ada apa-apa pula mak cik. Tapi tak tahulah kalau dia tak bagi tahu saya,” dalihku. Sesungguhnya aku amat tahu mengapa Fasha meminta perpisahan itu. Kerana dia kini mencintai Hairi. Hairi yang aku sendiri tidak kenal. Hanya Fasha yang tahu.

“Sejak akhir-akhir ini, Fasha selalu buat hal. Masa Fasha tak balik rumah, nak mengamuk ayah dia dibuatnya. Nasib baik dia tidur rumah Dilah. Dapat juga ayah dia terima alasan itu. Ini kali terakhir dia maafkan Fasha. Sebab dah banyak kali sangat dia buat perangai. Dulu….dia pernah lari dari rumah. Entah jantan mana dia ikut. Risau betul mak cik. Takut dia buat lagi,” Mak Cik Fatimah mengeluarkan segala yang terbuku di dalam hatinya.

Huh!! Dasyatnya Fasha. Pernah lari dari rumah? Ternyata aku belum mengenali Fasha yang sebenar.

“Ha… rasanya Fasha dah nak keluar dari bilik air tu. Nanti kalau Fasha ada beritahu Dilah apa-apa, cakaplah kat mak cik ya? Dilah tolonglah nasihatkan Fasha…. mak cik dengan pak cik ni dah tak tau nak nasihat macam mana lagi kat dia. Mak cik tengok Dilah ni baik orangnya. Bersopan. Bukan macam kawan-kawan dia yang lain. Selalu juga dia bawak kawan balik rumah. Macam-macam perangai dan fesyen mak cik tengok. Oh ya, jangan cakap kat Fasha yang mak cik tanya Dilah ni ya?” pinta Mak Cik Fatimah seakan merayu memohon jasa baikku. Sempat juga dia meluahkan perasaan kecewa di hujung ucapannya.

Siapa pula kawan-kawan lain yang dimaksudkan oleh Mak Cik Fatimah? Fasha…. Fasha…. Minta maaf mak cik, Dilah pun bukan baik sangat. Dilah pun dah menipu mak cik juga……. ahh… aku tak sanggup menanggung penipuan ini lagi. Ingat janji kau Fasha. Aku berkorban demi untuk kau sekarang ini. Kau sedap bersenang lenang, aku pula yang menanggung akibat perbuatan kau.

**********

Deringan telefon bimbitku menjerit-jerit minta diangkat. Berkerut keningku melihat nama yang tertera di atas skrin. Dr. Mazlan??

“Assalamualaikum,” terdengar suara pensyarah yang amat aku kenali.

“Waalaikumussalam. Ya…. Dr. Mazlan?” tegurku sopan meskipun hanya di dalam telefon.

“Dilah, saya nak tanya awak sikit ni. Awak tahu tak kat mana rumah Fasha?” lain macam sahaja soalan Dr. Mazlan ini. Nak pergi rumah Fasha buat apa??

“Erm… sebelum tu, kenapa ya Dr. Mazlan?” Pertanyaan wajib yang aku harus tahu akan jawapannya.

“Malu pulak saya nak cakap. Sebenarnya… saya betul-betul dah cinta kat kawan awak tu… Fasha. Saya bercadang nak pergi meminang dia,” jujur jawapan yang diberikan oleh Dr. Mazlan.

Seperti mahu terlepas telefon bimbit ini aku genggam. Aku bermimpi ke? Aku cubit pipi kiri…… sakit… aku tidak bermimpi. Tidakkah Dr. Mazlan tahu bahawa Fasha sudah mempunyai tunangan. Apakah sebab Fasha meminta perpisahan dengan Ikram? Disebabkan oleh Hairi…. atau disebabkan oleh Dr. Mazlan? Fasha…. apa lagi yang kau buat ni??

“Dr. Mazlan…. minta maaf saya nak bercakap dengan Dr. Mazlan sikit ya. Dr. Mazlan ni betul-betul ke cintakan kawan saya tu?” tanyaku dengan perasaan kurang puas hati.

“Betu! Saya memang cintakan dia!” bersemangat sungguh nada suara Dr. Mazlan. Aku menelan liur. Parah ni…

“Macam ni Dr. Mazlan. Yang sebenarnya, Dr. Mazlan tahu ke yang kawan saya si Fasha ni, dah bertunang sejak dua tahun lalu?” soalku penuh hati-hati. Tidak mahu ada hati yang terguris.

“Bertunang??” terdengar suara kejutan di hujung talian.

Sudah… Fasha buat hal lagilah ni. Apa tujuan Fasha? Dan disebabkan aku kawan baik Fasha, aku yang selalu dilontarkan dengan pelbagai soalan dari orang-orang di sekeliling Fasha. Orang-orang yang adakala langsung tidak aku kenali.

“Ya… Dr. Mazlan. Fasha dah bertunang,” ulangku sekali lagi. Biar terang dan jelas di cuping telinga Dr. Mazlan.

“Bila kali terakhir Dr. Mazlan dan Fasha berhubung?” Soalan peribadi aku tanyakan. Aku tidak peduli apa anggapan Dr. Mazlan terhadapku. Aku harus tahu.

“Baru sekejap tadi, sebab dia tak nak beritahu alamat. Itu yang saya telefon awak,” jujur juga jawapan Dr. Mazlan. Sesungguhnya Dr. Mazlan juga telah menjadi mangsa sikap Fasha yang suka mengambil kesempatan.

Geli geleman aku mendengar kata-kata cinta Dr. Mazlan buat Fasha. Tidak sedar diri itu juga sudah berkahwin dan punya ramai anak di rumah. Rambut sudah beruban. Ada hati mahu meminang kawan baikku pula. Fasha! Di mana janji-janji manis kau dulu???? Kau pernah berjanji tidak akan melayan Dr. Mazlan lagi. Dia suami orang. Kau tidak sedarkah, Fasha?

Kau telah memungkiri janji… aku akan bongkar semua rahsia kau. Kau belum kenal siapa aku sebenarnya Fasha. Aku bukan boneka yang boleh kau tolak dan tarik sesuka hati. Bila kau susah kau rayu aku. Bila kau senang kau lupa semuanya. Kau lupa janji! Kau mencabar prinsip aku Fasha? Akan aku sahut cabaranmu itu!

**********

“Fasha! Kenapa kau mungkir janji? Kau tau tak hati aku tersiksa sebab pembohongan yang kau ciptakan untuk aku?” Kemarahanku tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Hampir berkaca kelopak mataku menatap sepasang mata milik Fasha di hadapanku. Inikah balasan yang kau hadiahkan setelah pengorbanan aku berikan? Aku mahu kau hentikan semua sandiwara ini. Jangan kau heret aku ke dalam lembah penipuan lagi.

Sesungguhnya aku amat tersiksa dengan semua pembohongan yang aku lakukan… demi untuk kau sahabatku. Demi untuk keselamatan kau. Aku tidak sanggup melihat kau merayu simpati padaku. Aku bersalah kerana membohongi Mak Cik Fatimah. Aku telah membohongi hati seorang ibu. Aku juga tahu betapa tegasnya keluarga dan betapa cemburunya tunang kau… Ikram. Namun kini, aku menyesal kerana membantu kau.

Dengan bantuan yang aku hulurkan dan janji yang kau patrikan…… aku sangka kau ikhlas mahu berubah. Rupanya…… ahh… tiada gunanya! Aku sudah terperangkap di dalam jerat sahabat aku sendiri. Kau memang tidak pernah ikhlas Fasha….. hati ini sudah banyak kali kau permainkan… atas nama “pertolongan” yang kau pinta. Aku tidak sedar kau selalu ber”topeng” di hadapanku. Aku sudah berjaya menyingkap “wajah” kau yang sebenar. Rupanya kau tidak pernah berniat pun untuk insaf. Aku yang tertipu.

“Alah….. sikit ajelah aku mesej dia,” Fasha masih ada hati untuk membela diri. Jelak aku mendengar jawapan itu.

“Sikit kau kata? Sampai dia nak pergi meminang kau tu, kau boleh kata sikit?” marah aku lagi.

“Aku rasa kau pun kenal siapa aku kan? Aku dah tak boleh sabar lagi. Kau dah janji, tapi kau mungkir. Kau ingat lagi tak apa aku kata dulu? Aku kata kalau kau mungkir janji, aku akan bongkar semua rahsia kau kan? Kau boleh buat don’t know je dengan janji tu ya? Aku ni jenis pegang janji tau. Kau ingat aku tak berani? Kau buat aku macam boneka. Oleh kerana kau mungkir janji, aku akan bongkar semuanya!” tegas nada suaraku.

Kalau kau tidak mahu mengakhiri penipuan ini, biar aku yang mengakhirinya. Aku yang banyak melakukan pembohongan itu. Hati kecilku memberontak keras. Berubah riak wajah Fasha melihat keseriusan tingkahku.

“Janganlah Dilah! Please! Matilah aku!” aku sudah bosan dengan segala pujukan rayu simpati Fasha.

Aku sudah bosan! Bosan…… tolonglah faham. Aku tidak mahu menipu lagi… aku ingin menebus segala penipuan ini. Hari-hariku berlalu dengan ketidaktenteraman hati dek kerana penipuan. Sesungguhnya hatiku tersiksa….tersiksa…..tanpa sedar air mataku mengalir jua dek kerana rasa sakitnya hati.

“Tolonglah Dilah! Aku merayu… Janganlah bagi tahu keluarga aku. Kalau dia orang tahu satu hari satu malam aku duduk dengan Hairi…. matilah aku Dilah. Nanti dia orang ingat aku buat apa pulak sampai malam-malam bersama dengan Hairi. Aku malu Dila! Aku takut!” Fasha menjerit dalam rayuan yang panjang. Air matanya juga turut mengalir.

Malu kau sahaja yang kau fikir. Perasaan aku yang tertekan ada kau fikir?? Aku telah banyak memberi kau peluang untuk berubah. Tapi kau tak pernah hargai. Kau tidak pernah memikirkannya pun. Aku pun malu Fasha. Malu bila dihina oleh Ikram. Apa yang kau buat bersama Hairi pada malam itu Fasha? Benarkah kereta Hairi rosak? Hanya kau dan hairi sahaja yang tahu. Boleh sahaja kau menipu aku.

Minta maaf Fasha. Aku harus mengakhiri semua ini. Aku mesti menebus kesilapan. Aku juga wajib menebus semua penipuan yang telah aku lakukan terhadap ibu kau. Aku bersalah Fasha. Hati aku tidak tenteram. Hidup aku tidak tenang. Aku juga sudah terlalu banyak menipu Ikram. Tunang kau sendiri… tergamak kau Fasha.

“Sorry… Fasha…. aku tak sanggup lagi menahan siksa hati aku. Aku terlalu banyak menipu, Fasha,” aku masih tidak berganjak dari keputusanku.

Air mataku, juga air mata Fasha semakin galak mengalir. Aku kasihan melihatnya. Tapi aku juga tidak rela Fasha mempergunakan perasaan kasihan yang selama ini terlalu kerap aku berikan. Tiba masanya aku kembali menjadi diri aku sendiri. Prinsip yang telah kau cerobohi akan aku tegakkan kembali. Hidup dalam penipuan tidak akan bahagia, Fasha. Sedarlah kau.

“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ni!!” tiba-tiba Fasha menuturkan kata-kata itu. Air matanya turut berhenti mengalir serentak dengan lontaran suara itu. Adakah itu tekad Fasha?

Fasha…. kau buat aku tersepit lagi!
**********

Pap!! Bunyi sesuatu yang jatuh ke atas lantai menyentak lamunanku yang panjang. Aku menoleh. Diari hitam yang aku genggam di dalam pelukan sudah jatuh di atas lantai. Aku merenung diari itu.

“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ni!!”

Buat ke sekian kalinya kata-kata itu menghempas gengendang telingaku. Seakan Fasha berada di hadapanku. Adakah kau benar-benar bernekad, Fasha? Aku atau kau kah yang menjadi mangsa? Sesungguhnya akulah mangsa kau Fasha. Akulah mangsa cara hidup kau yang terlalu sosial. Sudah seringkali aku mengingatkan. Namun kau tidak pernah peduli.

Di saat aku cuba berdiri di atas kaki sendiri, di saat aku mahu menjadi diri aku sendiri…. sekali lagi kau berdiri menjadi penghalang di hadapanku. Mengapa Fasha? Lepaskanlah aku. Sesungguhya aku menyesal melayan rasa kasihan untuk membantu kau. Baru aku sedar bahawa rasa kasihan yang aku taburkan selama ini tidak bertempat. Kerana kau senang-senang memperalatkan perasaanku. Hingga akhirnya aku sendiri yang rasa sakitnya. Sedangkan kau bersenang lenang.

Air mataku mengalir lagi. Apa yang aku harus lakukan? Walau apa pun yang berlaku, Fasha tetap sahabatku. Bersusah senang bersama sejak di tahun satu pengajian. Hingga kini berada di tahun akhir. Tapi aku tidak sanggup menahan rasa bersalah ini lagi Fasha? Terutamanya terhadap ibu kau. Aku tidak pernah menipu seorang ibu. Ibu yang melahirkan kita ke dunia ini, Fasha.

Aku mahu membetulkan kesilapan. “Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ni!!” Ahh….. benar-benarkah kau mahu lakukan itu Fasha? Benarkah kau sanggup mati?? Bila aku bongkarkan semuanya… dan kau benar-benar menunaikan apa yang telah kau katakan itu….. adakah aku juga yang bersalah? Aku akan jadi penyebab kematian sahabatku? Ohh…. tidak! aku tidak sanggup menanggung hukuman seberat itu. Apa yang harus aku lakukan?? Fasha… aku sayang kau sebagai sahabat baikku.

Bunyi deringan SMS di telefon bimbitku memeranjatkan aku sekali lagi. Ah…. terlalu mudah aku mengkhayalkan diri. Aku tatap nama pengirim SMS di skrin telefon bimbit…….. “1 pesanan daripada Fasha”

“Dilah, aku minta maaf. Aku tau selama ini aku dah banyak menyusahkan kau. Terima kasih sebab kau sudi menjadi kawan, dan sudi membantu aku bila aku di dalam kesusahan. Aku sedar, aku manusia tidak sempurna. Aku bertuah kerana berpeluang untuk mengenali kau sebagai sahabat. Ini kali terakhir aku rayu pertolongan kau. Tolonglah jangan bongkarkan rahsia aku. Masalah keluarga, Ikram, Hairi dan Dr. Mazlan, biarlah aku saja yang selesaikan sendiri. Aku janji takkan libatkan kau lagi. Kalau ada sesiapa selepas ini yang menelefon kau, mahu bertanyakan aku…. tak payahlah kau layan. Biarkan aje. Terima kasih banyak-banyak dilah. Maaf sekali lagi. Anggaplah kau tak pernah kenal orang macam aku. Aku pun tak akan kacau kau lagi. Selamat tinggal. Halalkan segala makan minum aku”

Berjuraian air mataku membaca pesanan ringkas daripada Fasha. “Anggaplah kau tak pernah kenal orang macam aku.” Kata-kata itu amat menyentuh hati kecilku. Begitu mudahkah kau melupakan aku Fasha? Aku cuba menghubungi telefon bimbitnya. Tidak berjaya. Apakah maksud kau ini Fasha? Adakah ini bermakna putusnya hubungan persahabatan kita? Sanggupkah kau Fasha? Jika kau rasa inilah yang terbaik buat kau dan aku…… aku tidak punya pilihan lain. Aku doakan kau bahagia di sisi orang yang kau sayangi. Tapi aku nak kau ingat…. kau tetap sahabat aku… dunia dan akhirat. Aku pejamkan mataku rapat-rapat… hingga akhirnya aku terlena tanpa sedar. Melupakan segala masalah yang bertamu.

TAMAT.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

29 ulasan untuk “Cerpen : Penipuan Yang Kau Cipta Untukku”
  1. farah amanina says:

    KENAPA LAH ADA ORG CM TUH.. SANGGUP LINDUNG KAWAN… AT LEAST FIKIR DIRI SNIRIR…. TERUSKN LAG KAK NORAZ…

  2. iman says:

    kreatif….memang dasyat Fasha tu….
    truskan usaha..

  3. Noraz Ikha says:

    sebagai pelengkap cerpen ini,
    “Penipuan Yang Kau Cipta Untukku 2″
    Finish already……..tungguuu

  4. yuhana says:

    unik la cerpen ni…
    ayat pun kemas je…
    tahniah…

  5. faz says:

    sgt best crta ni..ayat2 pn smooth jer…4 star tuk writer…

  6. Wan Nur Athirah says:

    good..i like it..jalan cerita yang menarik..saya harap awak akan terus berkarya dan teruskan lagi usaha awak..

  7. wah… menarik plot ceritanya…
    gaya cerita ada rangka lengka asa penulisan… monolog, pergerakan plot dan dialog watak berjalan seiring…

    kagum dengan noraz :mrgreen:

  8. Noraz Ikha says:

    terima kasih kak riesna…. bertuahnya sy dapat kenal ramai penulis hebat macam kak riesna dan yg lain dalam penulisan2u…. x lupa juga gembira dapat kenal ramai org yang minat dlm bidang ni.. ;-) ;-) ;-) ;-)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"