Cerpen : Takdir Penentu Segala

7 March 2010  
Kategori: Cerpen

5,849 bacaan 43 ulasan

Oleh : Riza Saffiya

“Terima saja, Lia. Ibu tak kuasa nak bertegang leher dengan abah kamu tu. Kamu bukan tak faham perangainya. Kalau putih katanya, putihlah. Kalau hitam katanya, hitamlah”.

“Senangnya ibu cakap. Ini soal masa depan Lia, ibu. Lia hanya ada ibu untuk membela nasib Lia ni”, hati Lia terus merintih.

Baru sekejap tadi ada orang masuk melamar Lia. Semuanya diatur oleh abahnya tanpa meminta persetujuannya dahulu. Kenapalah abah sanggup buat Lia macam ni, abah. Tak kasihankah abah pada anak dara abah yang hanya seorang ini. Hati Lia terus merayu. Airmatanya dari tadi tak henti-henti mengalir. Sedih benar dia bila diperlakukan begitu. Bukan soal hendak melawan kata abah, tapi ini soal kehidupan. Kalau boleh… dia tidak mahu jodohnya diaturkan sesiapa. Lukanya yang dahulu masih belum terubat lagi.

“Ibuuuu…” Lia segera menarik kain batik yang dipakai oleh ibunya. Ini membuatkan langkah Hajah Mahani terhenti. Hatinya benar-benar tak sedap. Tidak sampai hatinya melihat airmata anak perempuan tunggalnya itu apatah lagi mendengar esakan yang mendayu-dayu menusuk ke gegendang telinganya.

“Lia merayu pada ibu… tolonglah Lia, ibu. Tak kan ibu tak kasihankan Lia, kan?”

Hajah Mahani lantas memeluk erat Julia. Mereka berdua saling teresak-esak menangis.

“Yelah, Lia. Ibu cuba ya… tapi ibu tak janji sama ada ianya berjaya atau tidak”. Kata-kata Hajah Mahani itu serba sedikit mampu menyenangkan hati Julia. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya. Dalam hatinya, dia berharap sangat segala-galanya akan selesai. Dia tidak bersedia untuk menjadi isteri sesiapa. Apatah lagi menjadi isteri kepada orang yang tidak dikenalinya…atau lebih tepat, menjadi isteri kepada orang yang tidak dicintainya.

************

“Apa???” bentak Tuan Haji Mail.

Tahap kemarahannya mula memuncak bila mendapat tahu anaknya, Julia ingin menolak pinangan semalam.

“Awak pun sama. Dah budak tu tak mahu, awak ikut saja pulak. Pujuklah sikit” Tuan Haji Mail mula membebelkan isterinya.

“Bapaknya… saya ni nak minta maaf. Saya nak cakap sikit. Budak-budak zaman sekarang mana mahu jodohnya diatur orangtua. Bapaknya kena faham tu…”, puas Hajah Mahani mengumpul kekuatan untuk mengeluarkan ayat sebegitu terhadap suaminya, Tuan Haji Mail.

“Apa bezanya dahulu dengan sekarang?? Cuba awak terangkan pada saya!”

Kecut isi perut Hajah Mahani. Dia rasa sedikit berpinar bila disoal sebegitu. Umpama pesalah ditanya polis… begitulah ketarnya. Tapi dia tak salah. Orang kata, orang yang tak salah…tak perlu takut. Tapi…Hajah Mahani bukan takut…dia cuma ketar sebab tak sanggup nak melawan suaminya. Malas dia hendak bertekak dengan suaminya itu kerana dia tahu, kesudahannya memang suaminya akan menang. Tetapi kerana memikirkan kepentingan anak perempuan tunggalnya yang merayu meminta tolong itulah dia sanggup berdebat dengan suaminya kali ini.

“Sudah! Saya tak mahu mendengar apa-apa alasan lagi. Pinangan itu sudah saya terima. Julia mesti patuhi kata-kata saya kalau dia rasa saya ni abahnya. Awak sampaikan sikit pada dia. Awak faham??” aduh mak, kata-kata berupa ugutan pula yang dikeluarkan oleh Tuan Haji Mail kali ini. Hajah Mahani benar-benar tersepit. Tersepit antara suami dan anak. Bak kata pepatah, diluah mati emak… ditelan mati bapak.

************

Julia duduk di tepi sawah terbiar… tempat permainannya bersama kawan-kawannya sewaktu kecil dulu. Kering… rumput pun seolah-olah menjerit kepanasan dibakar sinar mentari. Mata Julia sedikit mengecil kerana menahan terik matahari petang itu. Biarpun dilihatnya jam sudah menunjukkan angka 5 petang namun bahang yang dirasakan seolah-olah baru pukul 1 tengahari. Julia mengesat peluhnya yang memercik di dahi. Esok dia akan pulang semula ke daerah tempatnya bertugas. Cepat benar masa berlalu… dua hari bercuti di kampung terasa macam dua jam saja.

Julia masih memikirkan tentang lamaran yang telah diterima oleh ayahnya semalam. Kejamnya dunia… mengapa hukum aku sebegini. Perlahan-lahan Julia mengundurkan ingatannya pada kenangan yang teramat pahit yang pernah berlaku di dalam hidupnya. Peristiwa yang telah berlalu selama dua tahun itu terasa masih segar di ingatannya. Belum pudar langsung.

Dua tahun lalu, Julia pernah dilamar oleh seorang jejaka yang telah berjaya menawan hatinya. Jejaka yang memang memenuhi kehendak nalurinya. Jejaka yang terlalu baik, terlalu menyayangi dan terlalu mengambil berat akan dirinya. Bagaimana harus dia melupakan semua itu. Nama Shamsul masih tidak mampu dipadamkan dari ingatannya. Apatah lagi rasa kecintaannya terhadap Shamsul.

Julia masih ingat lagi… ketika itu hari pertunangannya dengan Shamsul. Tengahari itu Julia telah disiapkan dengan cantik sekali. Berbaju kebaya labuh lace berwarna kuning lembut bersama tudung yang sedondon warna dengan bajunya. Ramai tetamu yang memuji kecantikan Julia pada hari itu. Memang pun wajahnya sangat berseri-seri. Maklumlah hari yang bahagia baginya. Senyuman tidak lekang dari bibir.

Namun sampai satu ketika, Julia mula merasa tidak sedap hati. Jam ditangannya sudah menganjak ke pukul 3 sedangkan rombongan pihak lelaki dijangka tiba pada pukul 2 petang. Pukul 1 tadi, dia ada menerima sistem pesanan ringkas dari Shamsul – ‘Sayang, tak sabar nak bagi cincin ni sebagai tanda ikatan pertunangan kita’.

Abah dan maknya juga sudah tertanya-tanya. Mereka meminta Julia menelefon Shamsul. Namun tiada jawapan dari Shamsul. Telefon bimbitnya tidak dijawab walaupun lebih dari 10 kali Julia mencubanya. Namun dalam rasa yang serba tidak kena itu, akhirnya ada sebuah kereta tiba di perkarangan rumah keluarga Julia. Berita dikhabarkan… ibu Julia jatuh terduduk di lantai. Rupa-rupanya kereta yang dinaiki oleh Shamsul telah terlibat di dalam kemalangan. Kereta Shamsul telah bertembung dengan sebuah lori yang sarat membawa muatan kayu balak menyebabkan Shamsul menemui ajalnya di tempat kejadian itu juga.

“Astaghafirullah… kau kuatkanlah iman aku, ya Allah”, Julia menyeka airmatanya. Memang setiap kali apabila dia terkenangkan arwah Shamsul… hatinya pasti hiba. Julia melihat semula jamnya, owh sudah hampir 7 malam. Dia mahu balik. Lebih lama dia melayan perasaannya di tepi sawah terbiar itu, lebih sebak jadinya. Dia juga tidak mahu ibunya risaukan dia. Anak dara merayap waktu senja begini.

************

Setiba di rumah, ibu Julia sedang sibuk di dapur menggoreng sayur untuk juadah makan malam nanti.
“Assalamualaikum, ibu”, Julia menyapa ibunya.
“Waalaikumsalam. Kamu dari mana Lia?” tanya Hajah Mahani.
“Tak ke mana, ibu. Lia duduk-duduk jer tepi sawah sana tu”, Lia membuka peti ais lalu menuangkan air ke dalam gelas dan meneguknya. Tekaknya amat haus. Cuaca panas betul hari ini.
“Pegilah mandi. Sekejap lagi dah nak maghrib”, Hajah Mahani bersuara.
“Baik, ibu”.

************

Di meja makan, Julia merasakan tekaknya amat pahit untuk menelan makanan. Abahnya perasan tingkahlaku Julia yang hanya meramas-ramas butir nasi di pinggannya itu.
“Kenapa kamu tak makan?”, tanya Tuan Haji Mail.
Julia agak terperanjat disapa sebegitu. Sergahan abahnya membuatkan dia terhenti dari mengelamun.
“Tak baik berangan waktu makan, Julia. Mengadap rezeki biar dengan rasa penuh kesyukuran dan bukannya termenung macam tu. Pantang orang tua”, Tuan Haji Mail mula bersyarah.
“Errr…errr… baik abah. Maafkan Lia”, Julia menyuakan suapan yang pertama. Suapan yang terpaksa sedangkan tekaknya menolak-nolak suapan tersebut. Dia benar-benar tidak lapar.
“Sudahlah tu Lia. Jangan paksa-paksa pulak kalau selera tak ada”, Hajah Mahani cuba menyelamatkan keadaan. Dia faham anaknya itu tiada selera. Sebagai ibu, dia juga amat merasakan naluri anaknya yang dalam kerisauan gara-gara pinangan semalam. Julia bangun mahu mencuci tangan di sinki dapur…
“Tunggu abah di ruang tamu. Abah ada perkara nak cakap sikit dengan kamu”, Tuan Haji Mail berpesan.
“Baik abah”, Julia terus menuju ke dapur. Dalam benaknya berputar seribu satu macam persoalan dan teka teki. Tapi dia dapat mengagak, mesti abahnya itu mahu membincangkan sendiri hal peminangan semalam. Mungkin selepas mendapat tahu dari ibu yang Julia ingin menolak pinangan tersebut.

************

Diruang tamu, Julia menanti dengan resah. Dia bersiap sedia untuk sesi soaljawab dengan abahnya. Dia mahu benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan abahnya yang memang terkenal bijak berkata-kata itu. Tidak salah lagi abahnya dilantik sebagai Ketua Kampung.
“Abah dapat tahu, kamu nak menolak pinangan itu”, Tuan Haji Mail memulakan bicara.
Julia yang sedang mengelamun jauh, tersentak menerima kehadiran abahnya yang muncul tanpa ucapan salam itu.
“Lia belum bersedia, abah,” jawab Julia ringkas.
“Apa maksud kamu tak bersedia??”, terbeliak mata Tuan Haji Mail mendengar jawapan selamba yang diberikan oleh Julia itu.
Julia sendiri sudah mula kecut melihat anak mata abahnya membulat merenungnya dengan renungan yang amat tajam. Cepat-cepat Julia mengalihkan pandangannya. Dia tidak sanggup membiarkan anak matanya bertembung dengan anak mata abahnya itu.
“Abah… Lia tidak bermaksud nak melawan kata abah. Sebelum ini pun Lia tidak pernah mengingkari segala kata-kata abah,kan. Jadi Lia harap abah faham. Lia tidak bersedia nak kawinlah abah”, berbelit-belit Julia mengatur ayat agar abahnya itu faham akan maksud tak bersedianya itu.
“Abah tak faham maksud tak bersedia kamu tu. Umur kamu pun bukannya muda lagi. Kamu dah ada pekerjaan yang baik. Abah rasa kamu mampu mengimbangi antara kerja dan keluarga apabila kamu dah berkahwin nanti”, Tuan Haji Mail mula berhujah.
Julia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal itu. Dia seakan mati akal bila berhadapan dengan abahnya. Entah ilmu apa orang tua ni pakai, Julia sendiri tak tahu tetapi yang pasti… bila berhadapan dengan Tuan Haji Mail… sesiapa pun pasti mati akal.
“Biar lah dia yang buat keputusan, abahnya…”, sampuk Hajah Mahani sambil menating dulang berisi teko dan cawan untuk mereka tiga beranak minum sambil acara perbincangan itu berlangsung.
“Eh, awak ni. Menyampuk pulak. Saya mahu anak kita ni kawin. Saya tak mahu dia terus melayan rasa lara dia tu. Dah dua tahun, Julia. Dah wajar sangat kamu meredhakan semua itu. Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti. Itu lumrah kehidupan”, keluar madah Tuan Haji Mail.
“Lia faham abah. Tapi…”, kata-kata Julia terhenti di situ. Dia tercari-cari perkataan apa yang lebih sesuai yang hendak diluahkan terhadap abahnya itu bahawa perkahwinan itu perlukan cinta. Sekarang dia hendak berkahwin dengan orang yang tidak pernah dia cintai. Macam mana tu?
“Abah tak mahu kamu terus terikat dengan peristiwa sedih yang dah lama berlalu. Percayalah cakap abah… tak ada mak bapak yang tidak mahu melihat anaknya hidup bahagia. Abah harap dengan kehadiran Azman nanti, kamu akan dapat melupakan arwah”, terang Tuan Haji Mail panjang lebar.
“Tapi, tak semestinya abah terima lamaran tu. Kenapa abah tak bagi masa untuk Lia kenal-kenal dulu dengan dia”, Julia membela nasibnya.
“Abah terima lamaran saja. Dalam tempoh pertunangan, kamu boleh kenal-kenal kan. Rasanya tak jadi masalah. Abah kenal keluarga Azman tu. Azman pun abah tahu perangainya macam mana. Abah tahu pilihan abah ini tidak akan menghampakan kamu”, pujuk Tuan Haji Mail lagi.
Julia berpandangan dengan ibunya. Hajah Mahani dari tadi senyap sepi hanya mengangguk-anggukkan kebenaran kata-kata suaminya itu. Manakala Julia kehabisan modal hendak berhujah dengan abahnya.

************

Malam itu susah benar Julia hendak melelapkan matanya. Terkebil-kebil dia memandang ke arah siling sambil melihat kipas siling berputar. Ingatannya mula menerawang. Julia kembali ke alam percintaannya dengan arwah Shamsul.
“Abang…”, panggil Julia lembut. Ketika itu mereka sedang duduk menikmati makanan di sebuah restoran yang telah menjadi tempat biasa jikalau mereka keluar bertemu.
“Yer sayang. Ada apa…”, jawab Shamsul lagi lembut.
“Abang sayang Lia tak?”, soalan jenis apa yang tiba-tiba terpacul dari mulut comel Julia.
“Tak sayang laa…”, Shamsul mengusik Julia dengan jawapan nakalnya itu.
“Alaaa…tengok tu. Sampai hati abang tak sayangkan Lia”, Julia seakan merajuk.
“Sayang pun satu. Pegi tanya abang soalan macam tu pula. Kenapa? Dah tak percaya abang ke?”, Shamsul pula membuat mimik muka merajuk.
Julia ketawa kecil. Sengaja dia bertanyakan soalan bodoh sebegitu. Kononnya nak bermanja. Adat orang bercinta… mesti nak manja-manja mengada. Kalau merajuk pun pada yang sayang. Bermanja pada yang sudi. Betul ke?
“Yela, Lia tahu abang sayang Lia. Sajalah Lia tanya sebab kalau betul-betul abang sayangkan Lia, silalah masuk meminang. Nanti ada orang lain pinang Lia dulu, melepas abang… baru padan muka”, Julia menyakat Shamsul lagi.
“Owhhh… bagi ‘hint’ kat abang lah ni yer supaya masuk meminang”, giliran Shamsul pula ketawa menyeringai menampakkan giginya yang tersusun rapi itu. Shamsul memang mempunyai rupa paras yang baik. Menjawat jawatan yang baik. Ditambah pula dengan perangainya yang disenangi ramai… itu merupakan pakej lengkap seorang lelaki idaman. Bertuah Julia dapat memiliki hatinya.
Julia menunduk malu. Merah padam mukanya. Kiasan yang diberikan menjadikan dia malu sendiri. Macam perigi mencari timba pula, bisik hatinya. Julia pun apa kurangnya. Gadis idaman juga. Memiliki rupa paras yang menawan membuatkan pasangan itu bagai pinang dibelah dua jika duduk bersaingan. Mereka memang pasangan yang amat padan.
“Sudah tu…jangan nak malu-malu pulak. Nanti balik ni, abang akan terus cakap dengan mak suruh hantar wakil meminang Lia. Seminggu lepas merisik, kita bertunang. Bertunang pun tak nak lama-lama. Sebulan dua, kita nikah. Abang pun tak tahan nak berjauhan dengan buah hati abang ni”, usikan Shamsul memerahkan lagi muka Julia. Dia langsung terdiam tapi jauh di dalam hatinya, rasa nak melompat-lompat kegembiraan. Tidak sabar hendak melalui hari bahagia seperti yang mereka rancangkan.
Tetiba Julia menjerit kecil. Seekor cicak terjatuh di atas badannya membuatkan segala khayalannya itu terputus setakat itu saja. Julia mengibaskan selimutnya supaya cicak tersebut pergi darinya. Terkejut benar dia. Perlahan-lahan dia merebahkan badannya semula, lantas melelapkan matanya kerana esok dia akan pulang ke rumah sewanya. Lusa dia akan berkerja seperti biasa.

***************

Julia sudah bersiap-siap untuk pulang ke daerah tempatnya bertugas. Macam-macam yang Hajah Mahani bekalkan untuk anaknya itu… pisang, pucuk ubi, keledek dan entah apa-apa lagi.
“Sudahlah tu, ibu. Banyak sangat ni”, Julia menegur ibunya yang dari tadi ulang alik dari dapur sambil membawa beberapa bungkusan untuk diletakkan di dalam kereta Julia.
“Nanti Lia berikan pada jiran-jiran. Mereka semua mesti sukakan sayur-sayur kampung ni. Kat bandar susah nak dapat ni semua”, Hajah Mahani terus membantu Julia menyusun barang-barang tersebut di dalam kereta.
“Yelah ibu. Nanti Lia panjang-panjangkan sedekah ibu ni ya…”, jawapan Julia benar-benar menyenangkan hatinya.
Selesai berkemas menyusun semua barang-barang di dalam kereta, Julia bersalaman dengan ibunya. Memeluk sambil mencium pipi ibunya berkali-kali seolah tidak mahu melepaskan diri dari dakapan ibunya itu. Kemudian Julia menghampiri pula abahnya.
“Abah, Julia minta diri dulu…”, Julia bersalaman dengan abahnya lalu mencium tangan Tuan Haji Mail itu.
“Tapi jangan lupa. Minggu depan kamu kena balik. Ayah dah janji dengan keluarga Azman untuk mempertemukan kamu berdua”, Tuan Haji Mail mengingatkan Julia. Julia mengangguk-anggukkan kepalanya lalu masuk ke dalam kereta. Sekejap sahaja keretanya sudah meluncur laju lalu hilang dari pandangan Tuan Haji Mail dan Hajah Mahani.

************

Petang itu sebelum senja Julia sudah sampai di rumah sewanya. Seperti yang diminta oleh ibunya, Julia mengagih-agihkan hasil tanaman Tuan Haji Mail kepada jiran-jiran terdekatnya. Pucuk ubi diberikannya kepada Makcik Siah, empat sisir pisang nipah dihulurkan kepada Kak Pora, cilipadi dan daun kesum diserahkan kepada Puan Alang. Julia puashati dapat menunaikan permintaan ibunya. Memanjang-manjangkan sedekah… itulah yang kerap disebut Hajah Mahani. Hasil tanaman Tuan Haji Mail tidak habis dimakan sendiri selain separuhnya dijual di pasar. Maka selebihnya eloklah disedekah pula.
“Bila balik kampung, Lia?”, tanya Kak Pora yang tinggal disebelah rumahnya.
“Petang Jumaat lepas, kak. Dari pejabat saya terus saja bertolak ke kampung”, terang Julia.
“Owh, tergesa-gesa jer… ada hal kat kampung ker”, Kak Pora mula mengorek cerita. Julia tersengih-sengih memandang Kak Pora tapi dia tidak berhasrat nak berkongsi hal yang amat merumitkan yang berlaku di kampung dua hari lepas.
“Hal biasa jer kak. Ibu dan abah kalau seminggu saya tak menjengah mereka, mulalah suruh saya balik”, Julia menutup kisah sebenar kenapa dia dipanggil pulang ke kampung.
“Yelah, Lia. Orang tua memang macam tu. Nanti kalau kita dah tua, macam tu jugak lah”.
“Betul tu, kak. Eh, saya nak minta diri dulu yer kak. Nak masuk ke dalam. Nak berkemas-kemas sikit barang-barang ni.”
“A’ah lah Lia. Yelah, akak pun nak masuk jugak ni”.

************

Dalam pukul 8 pagi, Julia sudah sampai di pejabat. Dia menyemak kerja yang mana perlu dilakukan segera. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdendang menandakan ada orang yang memanggilnya. Tertera nama Marzuki di skrin telefonnya. Marzuki adalah kawan baik arwah Shamsul.
“Assalamualaikum…”, Julia menjawabnya.
“Waalaikumsalam Lia. Kat mana tu…”, Marzuki bertanya.
“Lia kat pejabat. Kenapa awak?”, Julia membalas dengan pertanyaan.
“Awal pulak. Saya ingat Lia tak keluar lagi. Saya nak ambik Lia kat rumah aje sebab petang ni terasa nak ajak Lia keluar lah”, Marzuki menyuarakan perancangannya yang tidak menjadi.
“Kenapa tak cakap awal-awal? Kenapa dah pagi ni baru cakap?”, wah macam ada lampu hijau jer dari Julia atau memang sebab tak dapat keluar Julia berani berkata begitu.
“Tapi…kita masih boleh keluar petang ni kan?”, Marzuki memancing kata-kata Julia sekejap tadi.
“Errr…errr…”, Julia tergagap-gagap. ‘Statement’ beraninya itu tadi memerangkap dirinya sendiri. Bukan dia tidak sudi nak keluar dengan Marzuki tapi dia merasa tidak selesa apabila sejak akhir ini, Marzuki menunjukkan riak yang sedikit lain macam. Marzuki seolah-olah mahu memikat Julia. Macam-macam hadiah diberikannya apabila mereka keluar berdua.

Sebenarnya Marzuki adalah teman rapat arwah Shamsul. Memang Julia sudah lama mengenali Marzuki. Kalau berlaku salah faham antara Julia dan Shamsul, Marzuki lah yang menjadi orang tengahnya untuk mendamaikan mereka berdua. Hanya selepas kepulangan Shamsul ke rahmatullah, Marzuki dan Julia menjadi rapat.

************

Petang itu selepas waktu kerja, Julia tidak menghampakan Marzuki. Tepat jam 5.30 Julia sudah sampai di tempat yang dijanjikan. Julia memakir keretanya tidak jauh dari restoran tersebut sambil memanjangkan lehernya mencari-cari Marzuki. Masih belum sampai lagi. Lebih kurang 10 minit kemudian, Marzuki sampai. Dia memakir keretanya di belakang kereta Julia lalu menghampiri Julia yang mengelamun di dalam keretanya itu. Tingkap cermin kereta Julia diketuk perlahan oleh Marzuki.
Julia tersentak, lantas tersenyum. Pantas dia keluar dari keretanya.
“Kenapa lewat? Memang nak kena denda ni…”, kata Julia kepada Marzuki.
“Maaf lar wahai cik adik. Tidak disengajakan. Faham-faham jer kalau waktu macam ni… memang jalan sibuk di mana-mana pun”, Marzuki memberi alasan.
“Sekarang kita nak ke mana…?” tanya Julia. Dia tidak kisahkan pun pasal kelewatan Marzuki tadi. Alasan kesibukan jalanraya memang sudah terlalu biasa untuk di dengari.
“Jom, kita makan kat restoran sana tu. Saya belanja”, sambil menudingkan jarinya.
Mereka berjalan seiringan ke restoran tersebut. Kemudian memilih tempat di satu sudut di restoran itu. Marzuki memesan makanan dan minuman. Manakala Julia masih lagi termenung jauh.
“Oiii cik adik…!” sergah Marzuki. Terkejut Julia. Terhenti lamunannya.
“Fuh, awak ni. Terbang semangat saya tau”, Julia menempelak tindakan Marzuki menyergahnya tadi.
“Kenapa ni…. termenung pulak. Lia ada masalah ke…?” pertanyaan Marzuki seolah-olah memberi jalan untuk Julia menceritakan masalahnya. Memang semenjak ketiadaan Shamsul, Marzuki menjadi tempat Julia meluahkan segala masalah. Adakala kerinduannya pada arwah Shamsul datang menyerbu, Julia akan berjumpa dengan Marzuki untuk meluahkannya. Ini adalah kerana Marzuki memang seorang pendengar yang baik. Dia tidak rimas dengan masalah yang dihadapi orang lain malah hatinya sentiasa terbuka untuk berkongsi segala apa jua masalah pun.
“Sepatutnya Lia yang tanya awak sebab awak yang ajak Lia keluar petang ni.”
“Saya ajak Lia keluar bukan sebab saya ada masalah. Kalau ada pun, masalahnya ialah…”, kata-kata Marzuki terhenti di situ. Dia tersenyum simpul memandang Julia.
“Masalahnya apa, awak? Cakaplah. Beritahu Lia”, Julia menunjukkan riak cemas.
“Masalahnya saya ajak Lia keluar petang ni ialah saya rindukan awak…”, Marzuki menyampaikan rasanya telus kepada Julia. Pengakuannya itu membuatkan muka Julia merah padam. Julia merasa malu yang amat sangat.
“Eh, sudah…sudah. Ke situ pulak awak ni”, Julia memintas Marzuki daripada terus merapik meraban. Julia benar-benar tidak selesa.
“Ok, ok…maafkan saya. So, apa masalah Julia tadi? Ceritalah…saya tunggu ni”, Marzuki mula berbicara dengan waras semula. Dia tidak mahu menganggu emosi Julia dengan kata-kata berbau rindunya tadi. Tetapi memang benar dia merindukan Julia. Hampir dua minggu mereka tidak keluar. Maka bagai diterjah-terjah perasaan rindunya terhadap Julia. Rindu mahu menatap wajah ayu Julia. Melihat sepasang matanya yang cantik memang menyejukkan perasaannya.
“Hujung minggu lepas Lia balik kampung…”, Julia memulakan bicaranya.
“Ok…kemudian…?”, Marzuki menyampuk apabila Julia terdiam seketika.
“Abah Lia… telah menerima lamaran dari seseorang yang tidak Lia kenal…”, Julia menundukkan muka ke bawah. Tangannya menguis-nguis sehelai tisu yang berada digenggamannya.
Situasi terganggu dengan kehadiran pembantu kedai membawa makanan dan minuman yang mereka pesan sebentar tadi. Situasi emosi Marzuki lagi terganggu berikutan aduan yang baru diterimanya dari Julia tadi. Gugur jantung dirasakannya. Tiba-tiba seleranya hilang begitu saja. Mahu saja dia menjerit waktu itu. Peluangnya dirasakan makin tertutup. Memang Marzuki akui…dia mulai mencintai Julia secara diam. Belum ada kesempatan untuk dia meluahkan secara terbuka kepada Julia. Marzuki tidak mahu terburu-buru. Dia mahu memilih masa yang betul-betul sesuai, barulah dia akan meluahkan rasanya itu terhadap Julia. Lagi pun Marzuki tahu, cinta Julia kepada arwah Shamsul tidak pernah padam walaupun sudah dua tahun peristiwa pahit itu berlaku. Marzuki juga memahami keadaan Julia. Dia juga tidak mahu memaksa Julia dalam hal perasaan. Segalanya biar terbuka. Setelah segala luahan Julia didengari Marzuki, mereka kemudiannya beransur pulang. Marzuki cuba mententeramkan Julia. Tetapi bagaimana pula dia hendak mententeramkan dirinya sendiri.

************

Hari yang merimaskan bagi Julia sudah menjelma. Pesanan abahnya meminta dia pulang ke kampung lagi minggu ini wajib dipenuhi… demi menjaga nama baik keluarga… semuanya kerana abahnya telah berjanji dengan keluarga Azman. Kalau tidak kerana janji abahnya, memang berat hati Julia hendak pulang lagi ke kampung. Malas dia hendak bertemu muka dengan Azman. Tiada langsung niatnya hendak berkenalan dengan Azman.

Tepat pukul 7 malam, Julia sudah sampai di rumah keluarganya itu. Ibunya menyambut di muka pintu. Julia menghulurkan tangan bersalaman dan mencium tangan suci ibunya.
“Ibu sihat…?”, Julia bertanya khabar.
“Sihat, Alhamdulillah. Lia dari pejabat terus ke sini ke?” Hajah Mahani bertanya lagi.
“Ya, ibu. Eh, abah mana?” Julia bertanyakan Tuan Haji Mail.
“Dia dah ke masjid. Hah, apa lagi yang kamu tercegat tu? Dah senja ni. Masuklah”, Hajah Mahani menonong masuk menuju ke dapur.

************

Selepas kedua-dua beranak itu selesai makan malam, mereka duduk bersembang di ruang tamu. Terdengar suara Tuan Haji Mail memberi salam. Hajah Mahani dan Julia menyahut salam itu. Segera Hajah Mahani membuka pintu untuk suaminya.
“Ermmm, Julia…” Tuan Haji Mail menegur Julia. Bingkas Julia bangun lalu berjabat tangan dengan ayahanda tercintanya itu.
“Bila kamu sampai?”, tanya Tuan Haji Mail lalu duduk di kerusi di ruang tamunya itu.
“Pukul 7 tadi abah”, Julia menjawab ringkas. Hatinya sekarang ini tidak tenang. Dia masih memikirkan tentang hari esok. Dia masih memikirkan bagaimana dia hendak melayani Azman dan keluarganya. Aduhai… Julia benar-benar buntu.
“Abahnya nak makan tak?” suara Hajah Mahani mengejutkan lamunan Julia.
“Eh, nak makan la. Saya belum makan malam lagi”, jawab Tuan Haji Mail lalu bangun mengekori Hajah Mahani menuju ke dapur.
Julia menarik nafas lega. Dia malas nak bersoaljawab dengan abahnya sekarang. Hatinya benar-benar tak tenang. Bercelaru. Julia menekan butang off pada televisyen lalu beredar menuju ke bilik tidurnya. Perlahan-lahan dia menutup pintu bilik lalu membaringkan tubuhnya di atas katil. Aah, lega rasanya dapat meluruskan tulang.
Julia membelek-belek majalah yang dibelinya siang tadi. Lama kelamaan huruf di majalah tu seolah-olah bersambung-sambung di antara satu sama lain. Sah mata Julia dah mengantuk. Beberapa kali dia menguap lebar. Akhirnya Julia mengalah. Dia perlu tidur…

************

Sayup-sayup kedengaran kokokan ayam. Julia mengesat-ngesat kelopak matanya. Segar rasanya kerana tidurnya malam tadi amat sempurna. Selepas dia melelapkan matanya malam tadi, terus dia tak sedarkan diri. Dibuai mimpi indah agaknya, dia sendiri tidak mengingati apa mimpinya malam tadi. Pagi ini baru dia terjaga. Dilihatnya jam sudah menunjukkan angka 6 pagi. Ibu dan abahnya mesti dah bangun. Abahnya mesti sudah ke masjid. Manakala ibunya mesti sibuk di dapur menyiapkan sarapan. Julia mengeliat…aduhai, sedapnya. Lega rasa. Dia bangun lalu mengemaskan katilnya dan kemudian keluar menuju ke dapur.
“Ibu… buat apa tu?” Julia menyapa.
“Ibu nak goreng pisang ni. Dah nak masak pisang nipah ni. Lia suka,kan?”, pantas tangan Hajah Mahani mengupas kulit pisang itu dari isinya. Kemudian dicelup dengan tepung lalu digoreng di dalam minyak yang panas.
“Ermmm…sedap tu, bu. Kat bandar…orang jual pisang goreng cepat kaya tau bu. Mahal. Kalau mintak seringgit, dapat lah 3 ketul… itu pun besar jari Lia ni”, Julia mengadu perihal penjual kuih pisang goreng di tempatnya di bandar.
“Memanglah mahal. Pisang yang mereka goreng tu, mereka bukan tanam sendiri. Kena beli. Kena bermodal. Eh, Lia… ibu nak Lia masak untuk makan tengahari ni ya. Kan Azman dan keluarganya nak datang…”, Hajah Mahani membuat cadangan.
“Ehhh…ehhh…tak nak buuu. Lia tak mau masak. Ibu dan abah yang ajak mereka kan, jadi ibu dan abah lah yang masak. Lia tak tahu dan Lia tak mau… maaf ya Puan Hajah Mahani…”
Julia tersengih-sengih lalu beredar meninggalkan ibunya. Dia mengambil tuala lalu mandi untuk menunaikan solat subuh. Sejuk bukan kepalang air paip di kampung. Julia mandi dengan cepat sekali. Dia tidak sanggup menahan lebih lama kedinginan air yang menyentuh seluruh tubuhnya itu.

***************

Waktu yang dinanti telah tiba. Semua lauk pauk yang sudah dimasak telah sedia terhidang. Cuma menunggu tetamunya sahaja. Julia sudah mandi untuk kali kedua. Tadi dia berkecah di dapur membantu ibunya memasak. Berpakaian baju kurung dan berkain batik… Julia kelihatan amat ayu sekali. Tetapi dia sekali-kali tidak bermaksud untuk memikat Azman. Langsung tidak. Kalau boleh dia mahu berlakon jadi gila. Biar Azman takut padanya.
Kedengaran enjin kereta dimatikan di halaman rumah keluarga Julia. Tuan Haji Mail menjenguk ke luar. Sebuah kereta Toyota Wish berwarna hitam sedia terparkir. Sudah sampai tetamu yang dinantikan.
“Assalamualaikum…”, Encik Wahab memberi ucapan salam.
“Waalaikumsalam… ehhh, jemput naik. Sila-sila…”, pelawa Tuan Haji Mail penuh budi bahasa.
“Aniii… tetamu dah sampai ni…”, Tuan Haji Mail memanggil isterinya yang masih sibuk di dapur.
“Yer banggg, saya datang…”, sahut Hajah Mahani.
“Jemputlah duduk…”, Tuan Haji Mail memetik suis kipas di dinding. Cuaca memang panas. Kemeja yang dipakainya sudah mula dibasahi peluh.
“Assalamualaikum Anum. Maaflah, saya di dapur tadi. Tercari-cari pula mana diletakkan tudung tadi”, Hajah Mahani bersalaman dengan ibu Azman.
“Waalaikumsalam Hajah. Ehh, apa yang sibuk sangat ni… tak payah susah-susah”, Puan Anum membetulkan kedudukannya di kerusi.
“Eh, mana Azman?” tanya Tuan Haji Mail kepada Encik Wahab.
“Ada… tuu di keretanya. Tadi dia menjawab panggilan telefon. Sekejap lagi naik lah tu.”
Kedua-dua pasangan ibubapa itu rancak berbual. Bertanya khabar dan bercerita tentang kenangan lama dua sahabat itu iaitu Tuan Haji Mail dan Encik Wahab. Bekas guru yang mengajar di sekolah yang sama.
Manakala senario di bawah rumah lain pula. Azman yang tadi sibuk menjawab panggilan telefon masih tidak naik ke serambi rumah. Dia terpaku melihat seorang gadis yang sedang mengambil jemuran di ampaian. Gadis itu amat cerah. Berbaju kurung, berkain batik. Masih ada lagi gadis yang sebegini di zaman moden ini. Itulah Julia. Anak gadis tunggal Tuan Haji Mail dan Hajah Mahani. Gadis yang dikenenkan dengannya.
“Man…Man…”, tiba-tiba kedengaran suara Encik Wahab memanggil anaknya yang dari tadi masih tidak naik ke rumah berjumpa dengan bakal bapa dan mak mertua.
“Err…er…saya, ayah. Man nak naik ni”, gagap Azman menyahut panggilan ayahnya. Pantas dia menanggalkan kasutnya lalu diletakkan di tepi tangga. Fikirannya masih memikirkan tentang gadis yang dilihatnya sebentar tadi. Setelah Azman bersalaman dengan Tuan Haji Mail dan Hajah Mahani, ketiga-tiga anak beranak itu dipelawa untuk menikmati hidangan tengahari. Ketika inilah Julia muncul untuk makan bersama. Tapi sebelum itu Julia bersalaman dan mengucup tangan ibu Azman. Ketika makan, Azman asyik memandang Julia menyebabkan Julia menjadi geram. Meluatnya dia dengan renungan nakal Azman terhadapnya. Bergantang sumpah seranah di dalam hati. Julia hanya makan sedikit saja.
“Eh, Julia. Dah sudah ke?” Puan Anum perasan yang Julia sudah berhenti makan.
“Owh… ya, makcik. Makcik tambah lagi ya… ini nasinya”, Julia mengangkat mangkuk nasi lalu dihulurkan kepada Puan Anum.
“Sedap sungguh masakan hari ni. Tentu Julia yang masak ya…?” Puan Anum meneka.
“Ehh, ibu yang masak. Saya hanya membantu saja…”, Julia menjawab lurus. Matanya terpandang Azman yang sejak tadi macam terpukau memandang ke arahnya. Sesekali Julia menjeling tajam ke arah Azman. Kalau kedua orangtua mereka tiada, pasti Julia akan menjelirkan lidahnya. Meluat benar dia dengan Azman.

************

Malam itu semasa ketiadaan Tuan Haji Mail, Julia berbincang dengan ibunya. Julia memberitahu ibunya bahawa dia memang tidak berkenan dengan Azman. Perilaku Azman langsung tidak menarik hatinya untuk mengenali lebih dekat.
“Ibu, Lia tak berkenanlah dengan Azman tu”, Julia memulakan bicaranya.
“Kenapa? Tak kacak ke budak Azman tu?” ibunya mengusik.
“Bukanlah buuu. Jiwa Lia tak sesuai la dengan Azman tu”, Julia mencemekkan bibirnya. Sukar dia hendak menerangkan kepada ibunya bahawa dia memang tidak mahu berkahwin dengan Azman.
“Lia kenal dululah dengan dia, macam yang abah cakap hari tu…”, pujuk Hajah Mahani.
“Alaa ibu ni. Dulu kata nak tolong Lia lepaskan diri dari masalah ni. Sekarang ibu dah sama macam abah pulak. Apa ni buuu…”, rengek Julia. Dia mahu Hajah Mahani menyebelahi dia. Dia mahu ibunya menyokong dia supaya abahnya turut memahami mengapa dia tidak suka dengan Azman. Teringat Julia bagaimana Azman merenung nakal kepadanya siang tadi. Gatal…getus hatinya.

************

Hari berganti hari… minggu berganti minggu… hari yang dirancang tiba jua. Julia yang selama ini selalu merintih agar dirinya tidak dikahwini Azman akhirnya terpaksa akur dengan kemahuan Tuan Haji Mail. Yang lebih benar adalah akur dengan ketentuan Ilahi. Demi Allah, Julia memang langsung tidak mencintai Azman. Sepanjang tempoh pertunangannya, boleh dikira dengan jari berapa kali mereka keluar berduaan. Jauh di sudut hati Julia, dia amat berdukacita di atas apa yang menimpa dirinya. Namun segera dia berastaghafar. Julia tidak mahu menyalahkan kedua orang tuanya. Baginya, pilihan mereka ini adalah yang terbaik buat dirinya. Dia juga sedar bahawa jodoh pertemuan, ajal maut adalah ketentuan Allah swt. Ramai pasangan yang berkahwin dengan pilihan keluarga. Mereka juga bahagia hingga ke anak cucu cicit malah sehingga akhir hayat. Julia tekad mahu menjadi seperti itu juga.

Tengahari itu Julia disolek oleh mak andam yang telah ditempah khas oleh Hajah Mahani. Wajahnya tampak berseri-seri. Seri pengantinlah katakan. Ramai tetamu yang memuji-muji kecantikan Julia sebagai pengantin hari ini. Menyarung busana dari kain lace berwarna putih krim menaikkan lagi seri wajah Julia. Namun semua itu hanya luaran. Dalaman Julia dia masih lagi merintih….meraung…namun tiada siapa yang mendengar. Hanya Allah Maha Mengetahui bagaimana peritnya melalui hari bahagia yang tidak bahagia. Mindanya ligat berputar memainkan berbagai peristiwa lama. Teringat kepada arwah Shamsul…teringat juga kepada Marzuki. Rasa berdosa mengecewakan Marzuki. Tetapi pada Marzuki juga hati Julia tidak menaruh apa-apa rasa. Marzuki memang seorang sahabat yang baik dan tidak lebih dari itu. Tetapi syukurlah Marzuki memahami.

Menerima Azman juga tidak bermaksud Julia menyintai. Julia pernah menerangkan kepada Marzuki bahawa segalanya demi abah dan ibunya. Julia memberitahu Marzuki yang dia tidak mahu mengecewakan orang tuanya itu. Baginya biarlah dia yang kecewa asalkan Tuan Haji Mail dan Hajah Mahani senyum melebar hari ini dan sampai bila-bila pun. Memang pun…di luar, Tuan Haji Mail gembira bukan kepalang lagi. Berbaju melayu lengkap bersampin dan bersongkok menyerlahkan keceriaan bapa pengantin. Al maklumlah majlis pernikahan dan persandingan anak perempuan tunggalnya. Majlis dibuat secara besar-besaran. Memang meriah. Ada persembahan pencak silat, ada persembahan tarian zapin, ada berzanji dan marhaban. Hajah Mahani mengalahkan pengantin. Baju ditempah sehingga 5 pasang. Ketiga-tiga abang kesayangannya juga turut pulang bagi memeriahkan hari yang penuh gemilang ini. Melihat semua itu sudah cukup untuk mengubati kedukaan hati lara Julia.

Saat yang penuh debaran telah tiba. Upacara akad nikah sedang dijalankan. Azman yang berbaju melayu sedondon warna dengan Julia kelihatan amat kacak sekali. Senyum terukir di bibirnya. Sekarang Azman duduk berhadapan dengan Tuan Imam. Tuan Haji Mail berwakil walikan Tuan Imam untuk menjalankan upacara akad nikah itu. Manakala Julia yang ditemani pengapit dan ibunya dibawa duduk berhampiran Azman. Dengan hanya sekali lafaz, sah Julia menjadi milik Azman. Doa dibaca tanda kesyukuran. Tiba acara membatalkan air sembahyang pula. Pengantin lelaki dibawa menghampiri pengantin perempuan untuk menyarungkan sebentuk cincin juga menyerahkan mas kahwin. Julia menundukkan kepalanya. Tidak sanggup dia hendak menatap wajah Azman. Hatinya tidak menyintai Azman. Ya, Tuhan… aku tidak menyintainya walaupun dalam tempoh pertunangan selama 3 bulan itu aku belajar untuk mengasihi dan menyayanginya namun aku tidak mampu. Soal hati dan perasaan memang tidak boleh dipaksa. Julia mengadu di dalam hatinya. Ketika cincin disarung ke jari manis Julia, ada titisan airmata menitik di tangan Azman. Azman terkedu. Selepas Julia bersalaman dan mengucup tangan suaminya, Azman pula mengucup dahi Julia. Terpandang olehnya airmata Julia yang semakin laju berjuraian.

Azman tahu penerimaan Julia terhadap dirinya hanyalah kerana orang tuanya. Malah Azman juga tahu apa penderitaan yang Julia tanggung sebelum ini. Namun Azman tekad untuk menjaga Julia sebagai isterinya sebaik mungkin. Bukan saja akan melimpahkan kesenangan dan kemewahan, malahan akan membahagiakan hati surinya itu. Sabarlah sayang… yang pahit akan manis akhirnya…detik hati Azman.

- TAMAT -


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

43 ulasan untuk “Cerpen : Takdir Penentu Segala”
  1. putri says:

    wah..ape cer ni..
    tlg ar smbg..hepi ending bru syok..ni bru smpai klimax dh tamat..

  2. nisa_lailee says:

    such a nice story..
    tp klu continue wif epy ending lg mnarik..
    =))

  3. noraniluz says:

    ending die tak berape kena r….tergantung je

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen


k l i k  i k l a n  m e n a r i k