Novel : Cerita Tentang Kita 7

10 March 2010  
Kategori: Novel

968 bacaan 20 ulasan

Oleh : Allianora

BAB 8

KHAIRIL mengeluh. Sebelum dia melangkah masuk, sempat juga dia menyusun kata-kata di benaknya. Apa tidaknya, kalau sebelum ini dia pulang ke rumah Tok Wan bersama Natasha dan ibubapanya, kali ini dia muncul bersama Natasha dan Hedri, dan yang paling utama tentulah Saffiya.
Gadis itu tentu akan menarik perhatian semua orang, dan Khairil sudah mengagak ibunya tentu telah menghebahkan perihal tersebut. Jangan-jangan habis satu kampung dah tahu.
“Assalamualaikum, Tok Wan, Nek Wan,” ucap Khairil. Di belakangnya Natasha dan Saffiya terkial-kial menanggalkan kasut, manakala Hedri pula sedang sibuk mengeluarkan bagasi mereka dari belakang kereta.
Seorang wanita berumur dalam pertengahan 40-an mengintai dari celah tingkap yang terbuka luas. “Waalaikumsalam. Dah sampai budak-budak ni. Naiklah. Ayah, cucu-cucu ayah dah ada kat luar ni,” panggil wanita tersebut.
Natasha memandang wajah wanita tersebut yang memang dikenalinya. Ibu saudaranya, Mak Su masih seperti dulu. Dia masih kelihatan muda walaupun anak tunggalnya sudah menjangkau dua puluh lapan tahun. Suaminya telah meninggal dua puluh tahun yang lalu akibat kemalangan jalanraya dan sejak itulah dia tinggal bersama Tok Wan dan Nek Wan, memerah keringat mengambil upah menjahit baju demi membesarkan Azri. Walaupun kini Azri mampu menyara ibunya, Mak Su berkeras mahu tinggal di kampung, menjaga kedua-dua ibubapanya. Setiap bulan duit yang dikirimkan Azri disimpan cermat di dalam bank.
Seorang lelaki berusia dalam 60-an keluar dengan senyuman yang terukir di wajah tuanya. “Khairil, Natasha. Baru sampai? Tok Wan kat dapur tadi, tolong nenek kamu masak. Hari ni kita makan asam pedas ikan pari, kegemaran kau, kan? Ha…ni mesti kawan kau si Hedri. Yang cantik manis ni mesti Saffiya. Ala…mak kamu tu… kamu tahulah. Dia dah beritahu Tok Wan dulu,” ujar Tok Wan panjang lebar. Khairil sudah bersedia untuk membuka bicaranya apabila Natasha dengan pantas mencelah, “Ha’ah Tok. Dua-dua kawan abang tapi kak Saffiya ni lebih sikit.”
“Macam tu lah nampaknya, Tok Wan,” Hedri pantas menyokong.
‘Oh…kenakan aku, ye? Tak apa. Ada ubi ada batas….’ bisik hati kecil Khairil seraya menjeling sinis ke arah Hedri dan Natasha yang tersengih-sengih memandangnya. Saffiya pula tersipu-sipu. Dia hanya mampu merenung Khairil. Entah bila, mata mereka berdua saling bertentangan.
“Em…ya. Memang macam itulah agaknya,” ujar Khairil tersekat-sekat.
Tok Wan senyum lagi. “Yang kamu semua ni tercegat kat luar ni kenapa? Masuklah. Malu-malu pulak.”
“Yalah Tok Wan, lapar ni. Bolehlah Saffiya dengan Natasha tolong Nek Wan kat dapur tu. Natasha pun dah lama tak masak kat rumah. Asyik abang je yang masak, Tasha tau makan je,” spontan Khairil berkata. Dia sudah terbiasa mengusik adiknya.
“Bertuah betul kamu Saffiya. Si Khairil ni pandai masak. Bila raya, dia jugak yang sibuk-sibuk tolong anyam dengan rebus ketupat. Nanti dah kahwin nanti tak payahlah kamu takut tak cukup makan,” celah Mak Su yang tiba-tiba muncul di ruang tamu. Semua orang ketawa, termasuk Khairil yang sebenarnya ‘rimas’ dengan telatah semua orang yang tidak sudah-sudah menyakat.
‘Ai…terlepas cakaplah pulak,’ rintih hati kecilnya.
Natasha dan Saffiya bergegas mengikut Mak Su menuju ke dapur. Khairil dan Hedri pula, selepas bersalam dengan Nek Wan, duduk di ruang tamu untuk berbual bersama Tok Wan.
“Jadi, Hedri ni rakan kongsi kamulah? Arkitek jugak?” Tok Wan memulakan bicara. Khairil mengangguk. Hedri juga.
“Saya cuma bantu apa yang patut untuk memudahkan lagi kerja Khairil. Lagipun, kami sama-sama curah idea untuk konsep projek tu. Pemiliknya pun serahkan reka bentuknya pada kami bulat-bulat,” jelas Hedri.
“Kami sekarang tengah giat jalankan projek Amber tu. Kalau siap, ahli perniagaan yang ternama di Malaysia ni, Dato’ Syahir Idrus yang akan rasmikannya. Amber ni pun projek besar syarikat dia. Lagipun, Amber resort yang akan mempunyai taman botani sebesar Kew Garden kat London tu. Resort ni bertaraf lima bintang dan ada pelbagai jenis taman. Walaupun bukannya ada pokok sakura atau tumbuhan sejuk, tapi ada taman orkid, bougainvillaea, ros, lili, helicornia dan banyak lagilah. Ada jugak pusat konservatori dan rumah hijau. Doakan moga projek Amber ni berjaya, Tok.” Khairil kelihatan lebih bersemangat.
“Insya-Allah. Kamu berdua memang berbakat. Tok Wan yakin dengan kemampuan kamu.” Tok Wan berkata penuh bersemangat walaupun dia sebenarnya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan bougainvillaea atau helicornia. Manalah dia tahu spesis tumbuhan bunga. Tapi dia dapat mengagak ianya mungkin sejenis tumbuhan. Buat-buat faham sudah..
“Terima kasih, Tok Wan,” Hedri tersenyum bangga.
“Macam mana dengan Azri? Tasha adik kamu tu? Saffiya?” soal Tok Wan. “Tok Wan nak tahu juga apa cerita kamu berdua ni.”
Khairil mengetap bibirnya. “Azri baik. Dia kirim salam. Kafe dia tu boleh tahan jugak. Tasha pulak, harap-harap dia dapat masuk universiti, ambil ijazah dulu. Dia kata hari tu dia dah mohon kursus berkaitan business. Harap-harap dapatlah. Saffiya pulak… susah Khairil nak cakap.” Kata-katanya putus di situ. Reaksi wajahnya cepat diketahui Tok Wan.
“Tok Wan tahu. Tapi, kau cubalah. Saffiya tu nampak baik budaknya. Cantik, manis bertudung, lulusan luar negara pulak tu. Emak kamu tu kalau pilih mestilah yang padan dengan kamu,” nasihat Tok Wan panjang lebar. Kata-katanya cepat-cepat disokong Hedri. “Betul tu Khairil. Lagipun kita dah lama kenal Safi tu. Dia okey.”
Khairil diam, seketika kemudian, dia berkata, “Hm.. betul juga kata-kata kau tu. Orang kata, tak kenal maka tak cinta, manalah tahu satu hari nanti kami berdua ditakdirkan bersama. Nak buat macam mana kalau dah jodoh, ya tak? Jadi, Khairil akan cuba.”
“Ha.. sejuk hati Tok Wan dengar.” Hedri mencelah, spontan membuatkan ketawa mereka pecah bersama.
“Khairil rasa dia tu boleh tahan juga orangnya. Saffiya tu kami dah kenal sejak sama-sama di sekolah lagi. Dulu dia tak macam sekarang, dah berubah penampilan sejak belajar di luar negara. Biarlah masa yang menentukan semuanya. Khairil ikut ketentuan takdir.” Nada suaranya sedikit mendatar, sambil dahinya sengaja dikerutkan. Kata-katanya dibalas dengan anggukan daripada Hedri dan Tok Wan.
Seketika kemudian Khairil menyambung lagi, “Cerita kami berempat dah habis dah rasanya. Tok Wan pula macam mana? Tok Wan, mak asyik risaukan Tok Wan saja. Kerja keras di bendang tiap hari, kesihatan pun kena jaga Tok Wan. Ikut kami tinggal di KL sajalah. Mak dan abah mampu sara Tok Wan. Kadang-kadang mak risaukan kesihatan Tok Wan. Tok Wan tahulah perangai mak tu macam mana. Kesihatan perlu diutamakan, Tok.”
Tok Wan menghela nafas panjang. “Nora tu tak habis-habis risaukan Tok Wan dengan Nek Wan ni. Kami cuma tak nak susahkan dia. Lagipun kalau bendang tu tak diusahakan, terbiar je, siapa nak jaga? Bendang serelung tu sahajalah harta tinggalan nenek moyang kau. Biarlah Tok Wan kerjakan bendang tu selagi Tok Wan masih hidup.”
Khairil diam, sementara Hedri pula tidak berani menyampuk. Namun dia yakin Khairil pasti akan segera mengalah, lebih-lebih lagi dia tahu Khairil tidak akan mendesak Tok Wan. Akhirnya, Khairil bersuara, “Kalau Tok Wan rasa baik, baiklah agaknya.”
Ungkapan itu ternyata berjaya mengubah suasana. Tok Wan dengan pantas membalas, “Nanti balik beritahu mak abah kau jangan risau. Tok Wan tahu apa yang baik.”
“Yalah Tok, ikut suka Tok lah.”
Hedri lega, sedikit gembira kerana isu itu tidak lagi dipanjangkan. Segan juga dia, kalau bukan Khairil dan Natasha yang beriya-iya mengajaknya, sudah tentu dia tidak mahu mengikut mereka pulang ke Kedah. Apatah lagi, dia juga mahu merasa suasana dan pengalaman di kampung. Berbeza dengan hidupnya selama ini. Dibesarkan di kota tetapi terpaksa hidup dalam keadaan rendah diri yang teramat sangat. Dia sedar dia lahir dengan ketentuan Ilahi namun kehadirannya dalam keluarga yang agak berada membataskan nilai-nilai hidupnya. Mujur ibu kandungnya dan ayah tirinya begitu baik kepadanya, walaupun semua itu hanya untuk sementara waktu.
Hati kecilnya kerapkali merintih. ‘Alangkah bertuahnya jika hidup aku seperti Khairil…bebas tanpa perlu terikat dengan maruah keluarga…’
“Abang, Tok Wan, Hedri, lauk dah siap. Marilah makan sama.” Suara Natasha menghentikan lamunan Hedri. Seketika kemudian, ketiga-tiga mereka menuruti langkah Natasha menuju ke dapur.

NATASHA ketawa riang. Basikal yang dipinjam dari jiran Tok Wan dikayuh laju menuruti langkah Khairil yang sudah jauh kehadapan. Pada mulanya hanya dia dan Saffiya yang berbasikal, namun kini dia dan Khairil pula yang sedang berkayuh. Dia menoleh, memandang Hedri yang menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya seraya berjalan beriringan bersama Saffiya. Natasha senyum juga sebelum berpaling semula ke hadapan. Dilihatnya Khairil sedang leka memerhati pemandangan sekeliling.
Basikalnya dikayuh agak perlahan, mungkin mahu menghayati suasana petang di tengah-tengah sawah. Natasha gembira lebih-lebih lagi dia tahu dia senantiasa berada dekat dengan Hedri.
Hedri hanya memerhati Natasha melalui ekor matanya. Dia tahu Natasha juga benar-benar menyukainya. Hatinya kini semakin pasti. Dia dapat melihatnya melalui tindak-tanduk gadis tersebut.
“Apa yang awak tengok tu? Oh.. Tasha ya? Ada apa-apa ke? Dia tu cantik juga. Tak terpikat ke?” Saffiya melirik ke arah Hedri, cuba memancing perhatiannya.
Hedri senyum. “Saya tak ada apa-apa. Awak dengan Khairil tu yang ‘ada apa-apa’. Tell me more Safi.” Hedri cuba mengubah tumpuan Saffiya tanpa sedar. Dia tidak mahu memberitahu sesiapa sebelum tiba masanya.
“Well.. as everybody know..” jawab Saffiya. “Saya betul-betul sukakan dia. He’s so charming, you know.” Saffiya menambah lagi, sambil itu matanya sengaja dilirikkan ke arah Khairil di hadapan.
“Saya akan buat dia jatuh cinta pada saya. Cinta itu boleh dipupuk, bukan? Saya yakin saya boleh. Awak berdua dah kenal sangat saya ni, kan? Saya akan berusaha mencapai apa saja yang saya inginkan.”
Hedri senyum nipis. Memang dia kenal sangat siapa gadis di hadapannya ini. Saffiya memang tidak mudah mengalah. Apa sahaja yang diinginkannya pasti akan cuba diperolehinya.
“Sebab itulah saya pun rasa awak berdua ni memang sesuai. Perangai kamu berdua ni memang lebih kurang sama. Tapi tak sangka pulak yang Mak Cik Nora dah ‘buka laluan’ untuk awak. Agaknya dia pun tahu awak memang sukakan anaknya sejak awal lagi, kan?” duga Hedri.
Saffiya hanya ketawa. Lesung pipitnya yang dalam kelihatan ketara, sama seperti Khairil. “Agaknyalah,” balasnya pendek. Hedri pernah terfikir jika mereka berdua sudah berkahwin kelak, tentu anak-anak mereka akan cenderung mewarisi lesung pipit mereka.
“Safi, nak bonceng tak?” Khairil tiba-tiba menjerit. Saffiya dengan senang hati berlari anak lalu duduk di belakang Khairil. Tangannya sengaja memeluk pinggang Khairil, yang seperti merelakan Saffiya berbuat demikian.
“Aku macam mana?” celah Hedri. Apa yang dia nampak ketika itu hanyalah basikal Natasha. ‘Peluang ni!’
Khairil mengetap bibirnya, tanda sedang berfikir. “Kau bonceng Natasha je. Kita lumba, siapa kalah kena drive balik nanti.” Serentak itu, Khairil dengan pantas terus mengayuh basikalnya di celah-celah beting sawah.
“Ceh, tak mainlah macam ni!” jerit Hedri. Namun, Khairil sudah semakin jauh di hadapan mereka.
Hedri memandang Natasha yang sekadar mampu memandang Khairil berlalu begitu sahaja. “Biar saya kayuh,” cadang Hedri. Mereka segera bertukar tempat. Natasha tersipu-sipu. Dia sememangnya teringin membonceng basikal bersama Hedri, namun dia takut Khairil pula yang akan menjelingnya tajam. Apabila Hedri mula mengayuh, Natasha sedar tentang perbezaan umur mereka. Dia mula bersuara.
“Kita ni nampak macam abang dan adik pulak.”
“Iya ke?” balas Hedri pendek. Dia sedikitpun tidak menoleh ke belakang, sebaliknya terkial-kial cuba mengimbangi basikalnya melalui jalan yang agak berbatu.
“Saya rasa macam tak padan pulak dengan awak.”
“Hisyhh.. apa pulak tak padan. Bukan ke macam pinang dibelah dua? Saya tak kisahlah.”
Natasha ketawa kecil. “Awak ni betul tak kisah?”
Hedri mengangguk. “Iya, tak percaya? Tengok ni.” Hedri segera menunjukkan tangan kanannya kepada Natasha. Cincin perak pemberian Natasha sebulan yang lalu masih setia terpakai di jari manisnya. Kemilau cahayanya dek dipanah mentari petang.
“Kenapa tak pakai di tangan kiri? Biasanya kan orang pakai di tangan kiri?” soal Natasha kehairanan. Sebenarnya sejak mula lagi pada malam tersebut dia hairan melihat Hedri memakai cincin tersebut di tangan kanan, cuma tidak terlintas difikirannya untuk bertanya.
“Tangan kanan yang terima, jadi tangan kananlah yang berhak pakai. Lagipun, semua benda dibeli dengan tangan kanan, tapi tangan kiri pula yang pakai, tak adillah. Contohnya, macam jam tangan. Biasanya dipakai di tangan kiri. Jadi, kalau semua benda dipakai di tangan kiri, tangan kanan nak pakai apa? Betul tak? Lagi satu, saya ‘simpan’ tangan kiri ni untuk cincin tunang nanti,” balas Hedri selamba.
“Kanan kiri, kanan kiri, pening kepala saya. Kalau macam tu, saya pun pakai kat tangan kananlah. Biar serupa. Sekarang kita samalah ni. Em.. amboi.. jauhnya awak fikir. Belum apa-apa dah fikir pasal tunang. Siapa yang nak bertunang dengan awak?” Natasha menepuk belakang Hedri selepas menukar kedudukan cincin peraknya.
“Dengan siapa lagi? Mestilah dengan Natasha Adriyana binti Amir Rasyid. Ala.. yang kat belakang ni..”
Natasha tergelak. Walhal hatinya sudah berbunga riang. “Awak ni kayuh lambatlah. Pecutlah sikit. Saya tak nak kalah dengan abang Khairil. Takkan awak nak drive sepanjang perjalanan balik nanti?”
“Kalau macam tu, pegang kuat-kuat. Saya nak pecut ni!” Hedri mula mengayuh laju. Natasha memegang erat basikal tersebut, walau jauh di sudut hatinya dia teringin memeluk pinggang Hedri seperti kakak Saffiya tadi.
“Natasha, jaga-jaga!” Teriak Hedri apabila tiba-tiba sahaja dia melepaskan handle basikal. Bergoyang-goyang basikal tersebut.
“Hedri, janganlah!” Natasha cepat-cepat memegang bahu Hedri erat. Hedri hanya ketawa melihat telatah Natasha.
“Peganglah kat sini.” Hedri tiba-tiba menarik sebelah tangan Natasha melingkari pinggangnya. Natasha terkedu. Seketika kemudian, tangan kirinya pula mengikut langkah yang sama, merasakan bahawa saat itulah yang paling indah dalam hidupnya….
“Hedri, saya sukakan awak….” Kata-kata itu tiba-tiba terluncur laju dari bibir Natasha. Kata-kata yang ikhlas yang lahir dari hati.
“Saya juga cintakan awak, Natasha. Sepenuh hati saya,” balas Hedri.
Natasha senyum. Hatinya berbunga riang. Dia bersyukur kepada ALLAH kerana dapat mengenali Hedri, walaupun dia tahu Hedri tidak sesempurna orang lain, namun dia tidak kisah.
‘Manisnya cinta.. Betapa indahnya dunia…’ Hati kecil mula bersorak riang.
Sementara itu, Khairil dan Saffiya sudah semakin jauh di hadapan. Khairil tidak menoleh ke belakang. Dia juga tidak memandang Saffiya, cuma dia terasa seolah-olah ada sesuatu yang mula menguasai hatinya. Perasan senang, tenang, dan aman.
‘Cintakah aku pada dia?’ Hanya ungkapan itu yang mula bermain di benaknya. Pelukan Saffiya semakin erat, dan pelukan tersebut tidak pula membuatkannya terasa tidak selesa. Dia sedar ada satu perasaan mula tumbuh dalam taman hatinya.
Khairil mula membuka bicaranya, “Safi, tengok sana. Cantik, kan?”
Saffiya berpaling. Matanya mengekori telunjuk Khairil. “Em…” Saffiya hanya mengangguk.
“Khairil, saya nak awak jadi imam saya suatu hari kelak.” Tiba-tiba sahaja Saffiya bersuara, antara dengar atau tidak. Serta-merta dia menyandarkan kepalanya di belakang Khairil. Tindakan pasif Khairil yang langsung tidak bersuara tidak sedikit pun menyinggung Saffiya. Dia hanya memejamkan matanya cuba menghayati situasi tersebut.
Burung-burung pipit bercicitan terbang melintasi mereka. Seolah-olah turut berkongsi kegembiraan tersebut. Dari tengah-tengah sawah, mereka nampak beberapa orang kanak-kanak bermain riang. Ada yang saling mengejar satu sama lain, dan tidak kurang juga yang sedang sibuk menurunkan layang-layang masing-masing, mungkin kerana awan mendung mula berarak tiba.
“Nampak macam nak hujan je. Alamak, basah kuyuplah kita kalau terpaksa meredah hujan. Jauh lagi ni. Lebih baik kita cepat.” Hedri memandang langit gelap. Dia segera mempercepatkan lagi kayuhannya. Rangkulan Natasha tadi dilonggarkan dan dia tidak lagi memeluk pinggang Hedri. Bimbang juga hatinya jika mereka terpaksa meredah hujan di tengah-tengah sawah begini.
“Alamak! Hujanlah!” kedengaran suara Khairil sayup-sayup di hadapan mereka. Hedri mendongak. Titis-titis hujan jatuh ke pipinya. Kayuhan mereka semakin pantas.
“Best jugak kalau hujan. Dah lama tak main hujan!” jerit Hedri cuba menggamitkan suasana.
“Hujan tak hujan, siapa kalah kena drive jugak!” Khairil menyahut.
Mereka saling berlumba bila hujan mula turun. Ketika itu, kedengaran satu bunyi yang menderam di belakang mereka. Bunyi motor Tok Wan membuatkan mereka berpaling. Tergelak-gelak Tok Wan bila dia semakin hampir dengan mereka.
“Weh, zaman sekarang orang dah tak pakai basikal dah! Orang pakai motor!” Sengaja Tok Wan menjerit bila dia melintasi mereka. Khairil dan Hedri tergelak besar.
“Kalau macam tu kita lumbalah Tok Wan! Kita tengok siapa sampai dulu,” balas Khairil. Tok Wan hanya senyum lebar. Sengaja dia membunyikan hon dan sesekali membrek mengejut.
Namun, akhirnya kayuhan mereka makin perlahan juga apabila hujan mula membasahi pakaian mereka manakala Tok Wan dengan senang hati dan tanpa bersusah payah menunggang motornya laju meninggalkan mereka. Mujur cuma hujan lebat, tanpa guruh dan kilat. Sempat juga mereka bermain hujan. Senja itu mereka berempat pulang ke rumah Tok Wan dengan pakaian yang lenjun dan sebuah memori manis yang bakal kekal dalam ingatan…


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

20 ulasan untuk “Novel : Cerita Tentang Kita 7”
  1. Ahmad muaz mohd iszeham says:

    cite ni sangat menarik..

  2. Ahmad muaz mohd iszeham says:

    cite ni sangat menarik..teruskan lagi..good luck

  3. Emira says:

    Teringat kat kampung… :oops:
    Saffiya sgt confident!

  4. Siti Soleha Yahaya says:

    simple tp best…… ;-) ;-) ;-)

  5. Ross says:

    saya suka… ;-)

  6. kora says:

    suke!!!!! :razz:

  7. liena says:

    wow!! best ar part ni

  8. Ross says:

    suka baca part ni…. teringat kenangan lama… :oops:

  9. hafizi says:

    sejak baca part ni, saya pakai jam kat tgn kanan hihihi :mrgreen:

  10. Fizz says:

    terbaekkkk

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen


k l i k  i k l a n  m e n a r i k