
Novel : Mr & Mrs BFF 6
Oleh : kak tyea
Sambil menyelam, minum air?
Mak Biah ralit menabur nasi yang sudah basi ke laman belakang. Anak-anak ayam pelbagai rupa datang menyerbu. Mematuk apa saja yang dapat. Kalau sudah diberi makan, kerja-kerja memasukkan mereka ke dalam reban akan jadi tersangatlah mudah.
Sedang asyik menabur nasi, dia menoleh apabila terdengar bunyi enjin kereta dimatikan. Sebuah kereta Proton Waja berhenti betul-betul di bawah pokok rambutan. Senyuman Mak Biah terukir segera. Lekas-lekas dia ke arah paip membersihkan tangannya.
“Assalamualaikum, kak.”
“Waalaikumsalam. Kamu rupanya ya, Mariah.” Sapanya senang. Tangan dihulur segera sebelum disambut dan dicium penuh hormat oleh Kamariah.
“Akak bagi ayam makan ke?.”
“Apa lagi, Mariah. Akak ni pun duduk rumah melangut tak buat kerja, bosan. Abang Rusdi kamu pula asyik sibuk dengan kelas mengajinya tu.” Suaminya itu sejak bersara daripada menjadi guru sekolah menengah, lebih suka mengajar anak-anak kampung belajar membaca al-quran.
Kamariah ketawa kecil mendengarkan leteran besannya. Dia sendiri pula asyik keletihan. Dari pagi hingga ke petang di pejabat. Sampai di rumah pula perlu memasak, mencuci. Memang dia letih. Mujurlah cuma dia dan suaminya yang ada di rumah. Khusyairi sudah bekerja di Sabah. Khuzaimi pula duduk di asrama. Begitu juga dengan Khalisah.
“Eh, akak ni lupa nak jemput kamu naik. Mari naik ke ataslah. Tak elok berbual dekat laman ni aje. Tak hormat tetamu betul.”
“Alah, tak mengapalah, kak.” Kamariah cuba menolak. Dia sebolehnya tidak mahu menyusahkan besannya yang begitu baik ini. Bukan dia tidak tahu, Mak Biah kalau sudah melayan tetamu, tidak sah kalau tak ada minuman dan kuihnya sekali. “Tak usah susah-payah. Saya singgah sekejap aje ni.”
“Apa pula susahnya, Mariah. Jom kita naik dulu. Dekat atas tu ada kipas angin. Sejuknya lain daripada sejuk dekat bawah ni.”
Mahu tidak mahu, Kamariah menurut juga. Mak Biah sudah meniti anak tangga batu dengan pantas. Sunyi sepi ruang tamu rumah besannya agak menghairankan. Semasa dia sampai tadi, dia sudah tercari-cari kereta Myvi Amishah. Namun garaj di tepi rumah ini cuma ada kereta Proton Wira Haji Rusdi.
“Menantu kamu tu ada kerja lebih dekat sekolah, Mariah.” Bagai mengerti pandangan Kamariah, Mak Biah terlebih dahulu memberi penjelasan.
Amishah cuma sempat balik solat dan makan tengah hari sebentar sebelum bergegas kembali ke sekolah. Katanya ada aktiviti ko-kurikulum. Dia sendiri kurang faham sebenarnya perihal aktiviti sekolah walau suaminya sendiri juga pernah berkhidmat sebagai guru.
“Dia tak balik sejak pagilah maksudnya, kak? Tak sempat nak makan?.”
“Balik sekejap. Sempat juga makannya sekejap.”
Keluhan terlepas dari bibirnya tanpa sengaja. Dia sayangkan menantu sulungnya itu. Anak gadis yang sangat ideal dijadikan menantu walaupun tidak menyarung tudung. Selamba tapi sangat pandai menguruskan rumah tangga.
“Kesiannya dia. Dahlah baru kahwin, kena berpisah jauh pula dengan suami. Ini kerja pula menimbun banyaknya.”
“Alah, tak mengapa. Bukannya selalu. Ada aktiviti kokurikulum tu.” Pujuk Mak Biah.
“Kita salah pilih tarikh agaknya ya, kak masa nak nikahkan diorang dulu. Sepatutnya awal-awal cuti sekolah kita dah nikahkan dah. Sekurang-kurangnya dapatlah budak berdua tu berkepit lama sedikit.”
“Mariah.” Mak Biah tergeleng-geleng. Tangan Kamariah digenggam erat penuh kasih. “Semuanya dah ditakdirkan. Dah memang tertulis diorang akan bersatu di hujung cuti tu. Tak apalah. Cuti sekolah nanti, akak suruhlah Mishah ke KK. Jumpa Khusyairi.”
Kalau boleh, mahu saja dia meminta Amishah ke Sabah saban hujung minggu namun apalah sangat duit gajinya hendak dihabiskan berulang-alik naik kapal terbang. Khusyairi pun bukanlah kaya benar. Setakat gajinya sebagai jurutera di sana, boleh bermewah sendiri saja.
“Saya ni bukannya apa, kak.”
“Kenapa?.”
“Yelah. Orang kalau dah duduk berjauhan ni takut kurang kasih-sayangnya nanti. Jauh di mata, takut jauh juga di hati.”
Keluhan Kamariah itu menyentuh juga di hatinya. Kerisauan Kamariah berasas. Memang banyak pasangan yang kedengarannya berpaling tadah bila sudah asyik berjauhan. Jarang-jarang bertemu. Takut di tempat masing-masing nanti, ada insan lain yang lebih banyak memberi perhatian.
“Entahlah, Mariah. Akak ni kalau dengar kata-kata kamu tu, takut juga sebenarnya. Maklumlah budak-budak berdua ni pun muda lagi. Jiwanya lain.”
“Tak ada ke caranya supaya mereka berdua dapat bersatu?.”
“Akak ni tak ada pengaruh, Mariah. Kalau nak pindahkan Amishah ke Sabah, takut nanti Khusyairi kena pindah semula ke sini pula. susah nanti nak bertukar lagi.” Lainlah kalau dia punya hubungan rapat dengan mana-mana orang besar di Pejabat Pelajaran Daerah Lipis.
Khusyairi pula dua kali lebih susah hendak merayu kembali ditugaskan di Pahang ini atau di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya. Kompeninya kekurangan pekerja mahir untuk bertugas di cawangan mereka di Kota Kinabalu sana.
“Sama-sama ajelah kita berdoa, minta keduanya dapat teruskan perkahwinan ni sampai ke akhir hayat. Moga bahagia berdua.”
“Moga-moga kita akan dapat cucu ya, kak.”
“Insyaallah. Itulah doa akak tiap kali solat, Mariah. Mudah-mudahan Allah s.w.t sudilah terima permohonan akak tu.”
“Amin, kak. Lagipun kalau dah ada anak nanti, ikatan tu insyaallah akan jadi lebih eratlah hendaknya.”
“Yelah. Nanti akak bincangkan semula dengan abang Rusdi kamu. Macam mana kalau kita hantarkan Amishah bercuti dekat KK tu. Boleh juga tolong jaga makan pakai suaminya sekejap.” Mak Biah senyum sendiri. Insyaallah kalau setakat sekali pergi, mereka suami isteri masih mampu membelikan tiket kapal terbangnya.
“Betul juga tu, kak. Sambil menyelam, minum air.”
Pokok tak bergoyang kalau tak ada angin…
Selangkah kakinya keluar dari kereta, Khusyairi dikejutkan dengan deringan telefon di dalam poket kemeja. Kelam-kabut langkahnya diatur menuju ke arah tangga sambil mencapai telefon.
“Hello?.” Sapanya tanpa sempat memerhatikan nama si pemanggil.
Anak tangga terus didaki. Rumahnya di tingkat tiga. Ada dua tingkat lagi perlu didaki. Penat memang penat tetapi sekurang-kurangnya ada privasinya yang tersendiri duduk di atas. Kebetulan pula dia cuma duduk seorang.
“Assalamualaikum, Ri.”
Ri? Matanya spontan membulat. Langkah kaki semakin laju mahu cepat sampai. Dalam hidupnya cuma ada seorang manusia yang memanggil namanya daripada Khusyairi menjadi sependek itu.
“Waalaikumsalam. Kejap ya, shah. Tunggu kejap bolehkan?.”
“Lah, aku ganggu kau ke ni? Macam rushing aje?.” Suara Amishah di hujung talian kerisauan sendiri.
Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan. Semakin cepat dia melangkah dan akhirnya terus berlari. Mencapai kunci dan terus memasukkannya ke dalam lubang kunci. Kasutnya dibiarkan saja di luar.
“Okey..okey…cakaplah.” Khusyairi menghempas badan ke sofa. Penat berlari membuatkan nafasnya sedikit sesak.
“Kau buat apa tu? Semacam aje bunyi nafas. Macam orang tengah…”
“Tengah apa?.”
“Hurmm…tak adalah. Harap-harap kau taklah buat benda bodoh macam tu. Tapi aku tak mengganggu kerja kau ke ni, Ri? Macam busylah pula.” Dia tahu Khusyairi bukan bekerja ikut waktu pejabat sepanjang masa. Kerja jurutera macam Khusyairi kadang-kadang kena stay di pejabat sampai malam.
Sengihannya muncul di bibir. Amishah..Amishah…Macamlah dia tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya itu.
Lagi pun dia sendiri masih kenal dosa pahala. Masih tahu halal haram. Kalau pun kesepian, masakan hendak memilih jalan bernoda begitu.
“Jangan risaulah untuk dua-duanya tu.”
“Meaning?.”
“Yelah. Aku tak kerja and aku tak buat benda tu. Aku tahu apa yang kau nak cakapkan tadi.” Ujarnya selamba. Amishah selalu boleh berfikiran negatif begitu padanya. Aku ni nampak gatal sangat ke?
“Baguslah kalau kau tak buat. Tak adalah sia-sia aku percayakan kau, Ri.” Di hujung sana, ketawa kecil Amishah kedengaran perlahan.
“Yalah tu. Kau sihat ke? Dah makan? Sekolah macam mana?.”
“Weik, banyaknya soalan. Tak terjawab wife kau kat sini.”
Mendengar kata-kata lelucon yang dia tahu benar cuma gurauan bagi Amishah itu, hatinya tiba-tiba bergetar. Wife…rindu yang terkabus dek kesibukan beberapa hari ini mula memunculkan diri. Selepas dia kembali ke Sabah ini minggu lepas, baru hari ini mereka dapat berbual di telefon. Kini setelah mendengar suara itu, ada sesuatu di dalam hatinya yang benar-benar teruja.
“Okey, dear. Sorry. Aku ulang balik. Kau sihat tak?.” Khusyairi ketap bibir. Kepalanya perlahan-lahan direbahkan ke sofa.
“Er…sihat. Alhamdulillah. Aku tak makan malam ni sebab petang tadi dah makan dengan kawan-kawan. Kerja dekat sekolah macam biasalah. Sibuk macam selalu. Budak-budak gitu juga. Yang nakal masih nakal, yang bijak masih bijak.”
“Dah makan? Dengan kawan mana?.” Perasaan terujanya sebentar tadi sedikit terganggu mendengarkan berita itu. Bukan niatnya mahu jadi penyibuk. Dia tahu Amishah berkawan baik dengan Najihah seorang tapi disebutnya tadi kawan-kawan. Maknanya bukan hanya Najihah.
Amishah pun bukannya jenis yang lekat dengan perempuan sepanjang masa. Ramai-ramai kawannya sejak kecil, boleh dibilang dengan jari kawan perempuan. Cuma Aida dan Najihah. Selebihnya dia sendiri, Rafiq, Kid, Jimmy, Din, Aliff, Khalid, Andak.
“Dengan cikgu-cikgu sekolah ni juga. Dengan Jie. Ada Ustaz Mahadi, cikgu Ilyas, cikgu Nuraina.”
Khusyairi angguk-angguk. Cuma mengingat bagaimana rupa orangnya yang disebut Amishah. Yang dia kenal cuma Nuraina dan Najihah. Ustaz Mahadi pula suami Nuraina. Jadi Ilyas itu siapa? Guru baru?
“Cikgu Ilyas tu handsome tak?.” Soalnya tiba-tiba dan sebaik saja mendengar jeritan marah Amishah, dia hanya mampu menggigit bibir.
“Apa tanya soalan macam tu? Kau ingat aku nak mengurat cikgu tu ke? mulut tu kenalah insuranskan sikit. Benci tau.”
“Err..”
“Itulah kau. Macamlah kau tak tahu aku memang selalu hang out dengan lelaki. Ada ke pernah aku mengurat diorang? Kita selalu keluar, melepak sama sampai berjam-jam tu, ada aku mengurat kau? Tak ada, kan? Aku cuma berkawanlah. Itu pun salah ke bagi kau? Hah, Ri?.”
“Shah..shah..” Aduh! Kepalanya ditepuk geram. Bila Amishah sudah bercakap tak berhenti-henti begitu, dia tahu Amishah memang sudah cukup geram. “I’m so sorry, babe. Aku tak sengaja. aku main-main aje tu.”
“Hah, lagi satu. Stop calling me dear or what. I’m not your ‘dear’.”
Klik. Talian sudah diputuskan sebelum sempat dia mahu membalas apa-apa. Marah benar Amishah nampaknya.
Senyap sunyi suasana. Perlahan-lahan dia bangun menghidupkan lampu kalimantang di ruang tamu. Letih yang sudah hilang tadi menjelma kembali.
Buruknya lelaki merajuk tapi kenapa yang ini tidak?
Amishah ketap bibir ketat-ketat. Tanpa sedar ada air mata yang terlepas keluar dari empangan. Kepalanya seakan hendak berpusing. Perasaannya turut jadi tidak menentu. Bukan niatnya mahu marahkan Khusyairi. Menyakitkan hati lelaki itu begitu ialah perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya sama sekali.
Lelaki itu ‘suaminya’ tapi apa yang paling menyekat dirinya dari dilukakan sudah tentulah kerana sayangnya pada Khusyairi sebagai best friendnya.
Khusyairi yang manja. Khusyairi yang kadang-kadang dia sendiri terlupa bukan adiknya atau abangnya. Khusyairi yang suka menyakat. Khusyairi yang suka meminjam bajunya. Yang mahu berteman sepanjang waktu. Khusyairi yang baginya macam kembar. Khusyairi yang selalu mengusik. Lelaki pertama yang berani memeluknya sedang masih di sekolah rendah.
Tapi reaksi lelaki itu pada ceritanya tadi betul-betul menyakitkan hati. Tidak payah dijelaskan pun dia tahu sendiri yang Khusyairi cemburu. Tapi perlu apa hendak cemburu? Itu yang dia tidak mengerti.
Mereka bukan berkasih. Yang ada cuma ‘best friend forever’. There’s no lovey-dovey between us.
Ri!!!!!!!!!!!
“Mishah? Boleh mak masuk?.” Ketukan di pintu bersama suara Mak Biah kedengaran.
Dalam kelam-kabut mengelap air mata di pipi, dia bergegas mencapai sapu tangan dan eye liner di atas meja solek sebelum membukakan pintu dengan riak wajah selamba.
“Ada apa, mak?.”
Pandangan mata Mak Biah yang menikam membuatkan resahnya datang lagi. Janganlah emaknya bertanya macam-macam. Eye liner di genggaman sengaja dipusing-pusing. Biar dilihat Mak Biah.
“Setahu mak, malam ni panas biasa saja. Tapi tak sangka pula ya ada gerimis. Mak tak sedar langsung.” Ujarnya dengan lirikan mata nakal. Punggungnya dilabuhkan ke katil yang dibelinya sebagai hantaran kahwin Amishah dan Khusyairi dulu.
Amishah mengalihkan pandangan ke jendela yang masih belum berkunci. “Entahlah, mak. Shah pun tak dengar kalau-kalau hujan ada turun tadi.”
“Memang susah nak dengar kalau hujan di tempat yang sama ya, shah. Hujan di dalam, hujan di luar.”
Gulp. Kali ini dia cuma mampu tersengih. Mak Biah memang pakar bila masuk bab-bab perasaan begini. Susah benar hendak menipu.
“Ada apa sebenarnya mak cari shah?.”
“Mak nak tanya.”
“Nak tanya?.” Matanya membulat besar. “Nak tanya pasal apa, mak? Mak tak ada kirim apa-apa tadi kan?.”
“Ada. Mak kirimkan arahan tadi.”
Sekali lagi matanya membulat. Apa sebenarnya yang dimaksudkan Mak Biah?
“Tak pahamlah, mak. Mak ni mentang-mentanglah bersuamikan bekas cikgu sastera, semuanya nak dimadahkan. Nak berkias. Shah tak paham sasteralah, mak.” Sudahlah Bahasa Melayunya waktu SPM dulu cuma A2. Walaupun bapanya sendiri mengajar subjek yang sama, dia memang tak berminat pun.
“Mak maksudkan arahan mak tadi. Dah kamu telefon suami kamu? Dah bincang dengan dia pasal cadangan mak dan abah tu?.”
“Oh…” cadangan itu? “Err…”
Sorot mata Mak Biah sudah lain macam memandangnya. Kalau anak perempuan tunggalnya ini belum berubah, gaya Amishah itu menandakan dia belum pun bercakap dengan Khusyairi.
“Jangan cakap tak ada kredit nak call si Ri tu. Kalau tak ada, guna telefon rumah.”
Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. “Err..bukanlah, mak. Shah dah call dia tadi. Cuma…”
“Cuma apa?.”
Memang itulah niat sebenarnya menelefon Khusyairi tadi namun disebabkan isu keluar makan yang lebih jadi bahan pertengkaran, akhirnya dia terlupa sendiri. Kalau hendak mendail sekali lagi, malas pula rasanya. Tentu Khusyairi sudah merajuk di sana. Ditelefon pun bukannya dia mahu menjawab.
“Kalau kamu tak nak, biar mak yang call. Mari pinjamkan telefon. Mak dail sendiri.” Mak Biah lekas melingaskan pandangan. Baru saja dia terlihat telefon bimbit berjenama LG Amishah di tepi bantal, Amishah lebih dahulu merebut.
“Yelah, mak. Shah call tapi mak janganlah dengar. Seganlah.”
“Segan apanya? Bukan nak bercinta-cinta. Cakap aje apa yang mak dan abah suruh tu. Minta pendapat dia macam mana.”
Masalahnya kami masih gaduh, mak. Confirm aku kena berlemah-gemalai kalau nak memujuk. Memanglah tak beromantik tapi seganlah. Mak ni…
“Mak, please? Mak keluar ya? Nanti kalau dah habis cakap, shah bagitahu dekat mak. Boleh kan?.”
Mak Biah cuma menjuih bibir. Namun akhirnya dia bangun juga dengan amaran Amishah tidak boleh menipu. Khusyairi mesti ditelefon malam ini juga!
“Okey, mak. Shah janji.”
“Mak pegang janji kau tu.”
“Ya, mak.”
Sebaik sahaja Mak Biah meloloskan diri, pintu segera dikunci dari dalam. Selepas mandi nanti, dia akan terus tidur. Tak ada mood mahu menonton tv malam ini.
Beberapa saat dia merenung telefon di tangan. Amishah menarik nafas dalam-dalam. Bab memujuk Khusyairi, aduh. Memang susah. Kalau ada di depan mata, boleh juga dipeluk atau disentuh rambutnya tapi kalau dalam telefon?
Dalam mencari kekuatan itu tangannya sudah menekan punat mendail nombor yang sama.
p/s : minta maaf sebab x update lama sangat..harap terus sudi membaca..














ermm..mmg dh lme tggu..
okay
ble nak smbg????
adesss…. lama nye nak tunggu next part
(
cerita best tapi jangan la lama sangat sambung .
best3! cepat smbg!