
Novel : Pilihan Mama 8
Oleh : Umie Nadzimah
Kalut. Betul-betul kalut hidup aku sekarang ini. Kerja pejabat menimbun-nimbum. Latihan dan kursus pula tidak henti-henti. Jika aku tidak menghadiri latihan, terpaksa pula memberi latihan. Walau bukan tugas utama , aku terpaksa menhabiskan banyak masa untuk latihan, kerana tanpanya, pekerja pekerja bawahan aku akan hilang arah dan matlamat. Fokus mereka dalam bidang jualan perlu dibina dan ditambah dari semasa ke semasa. Target jualan mesti di capai seperti yang telah dirancang . Di sinilah latihan dan motivasi memainkan peranan.
Sebab utama yang menambahkan kekalutan aku ialah Pengurus Latihan syarikat telah berhenti , dan tempanya belum digantikan lagi. Maka segala kerja-kerja berkaitan latihan kurang berjalan dengan lancar. Ada saja masalahnya di sana-sini. Pekerja-pekerja dari jabatan tersebut seperti hilang arah , bila nakhoda mereka tiada. Kadang-kadang membuatkan aku naik angin dengan tiba-tiba. Ada-ada sahaja kelalaian mereka. Lewat menempah bilik untuk sesi latihan, peralatan rosak, dan macam-macam lagilah alasan remeh mereka. Semua perkara remeh –temeh ini yang membuatkan keadaan menjadi huru hara. Serta banyak membuang masa.
Khabarnya, syarikat telah menaikkan pangkat seorang pegawainya yang bertugas di cawangan di London menjadi Pengurus Latihan di sini. Kebetulan pekerja tersebut pun berasal dari Malaysia. Seperti sireh pulang ke gangganglah bunyinya. Aku tidak peduli semua itu. Biar siapa pun orangnya, atau asal-usulnya, yang penting kerja-kerja di sini berjalan dengan terurus.Tidak menyemakkan kepala aku yang sudah sedia berserabut ini.
Kepala berserabut ? Iyaaaaa….memang kepala aku berserabut betul sekarang ini . Hampir-hampir biul rasanya. Minta dijauhkan Tuhan! Di pejabat kerja tidak pernah habis-habis. Sungguh meletihkan ! Di rumah pula, mama pantang melihat muka ku, walaupun sedikit, persoalan tentang gadis pilihan atau bakal isteri mesti menjadi pertanyaannya. Mama tidak salah. Memang hak dia pun untuk menerima menantu . Aku sahaja yang lembab. Pada umur begini pun, masih terkial-kial mencari, sedangkan orang lain yang sebaya sudah pun beranak pinak. Jadi, setiap kali mama mempersoalkan perkara yang satu itu, aku hanya boleh bersabar sahaja. Duhai hati…..bersabaaaarlah, selagi boleh. Akan tetapi, jangan sekali-kali mengatakan sesuatu yang boleh mengguris hati mama. Sekali-kali jangan…
Seperkara lagi yang merunsingkan kepala aku. Julaina. Tidak habis-habis menganggu. Apa yang dikejar dan dicari dari aku , aku kurang mengerti. Aku telah berterus terang padanya, bahawa hubungan dengannya hanya sekadar kawan. Tidak lebih dari itu Namun dia nekad untuk berusaha memiliki ku. Dengan apa cara sekali pun. Itu katanya. Memang betul, dia mengotakan kata-katanya. Setiap hari dia menganggu aku dengan panggilan telefon, baik talian telefon bimbit, maupun talian pejabat . SMS ? Huh! Boleh dikatakan pada setiap lima minit. Hairan aku, bagaimana dia bekerja ? Boleh siap ke kerjanya jika asyik menekan papan kekunci telefon bimbit ? Nasib baik juga dia tidak mempunyai alamat email aku, jika tidak, pasti aku akan membuang masa untuk menekan kekunci padam dalam kotak surat. Tentu setiap hari berates-ratus email akan dihantarnya. Bukannya kena caj, berbanding dengan SMS atau panggilan terus.
Kadang-kadang aku rasa Julaina ini betul-betul berhati kental dan penuh semangat . Atau sedikit tidak betul? Dia tidak jemu-jemu berusaha untuk memenuhi impian dan harapannya. Agaknya…lah!. Tidak mengatakan aku ini bagus sangat, sehingga ada perempuan yang terlalu tergila-gila. Mungkin ada sesuatu kelebihan pada diri ini yang membuatkan dia tertarik. Tubuh badan yang sasa? Sasa ke aku ni ? Ke gimnasium pun jarang sekali, mana nak dapat tubuh badan yang berketul-ketul itu ? Sekadar beriadah tiga kali seminggu untuk mengekalkan kecerdasan badan dan jantung, tidak akan menghasilkan badan sebegitu. Untuk apa aku bina badan sebegitu ? Bidang kerja ku, banyak menggunakan kecerdasan otak dan ketangkasan pemikiran untuk mengeluarkan idea-idea bernas bagi mencapai matlamat jualan dan promosi. Aku bukannya pelakon atau model yang menjadikan tubuh badan sebagai aset untuk meraih pendapatan. Cukup sekadar mempunyai tubuh badan yang sihat, bersih, berpakaian kemas dan beretika. Memadai sesedap mata memandang.
Harta , pangkat dan wang ringgit ? Orang kerja makan gaji seperti aku, walaupun nampak bergaya dan mewah, tidaklah sekaya orang-orang yang berjaya di dalam perniagaan. Sumber pendapatan aku tetap pada setiap hujung bulan. Walau pun gaji aku telah mencapai lima angka, aku tidaklah menggolongkan diriku sebagai golongan yang terlalu berada. Cuma cukup segala-galanya. Tambahan pula aku tiada tangungan seperti adik beradik yang ramai. Aku cuma menanggung diri ku sendiri dan mama sahaja. Untuk kami berdua, sememangnya setiap bulan duit gaji akan banyak berlebihan. Namun, tidaklah pula aku menjadikannya alasan untuk berjoli sana sini, setiap malam.
Jika Julaina memandang kepada harta dan wang ringgit , dia silap. Aku bukan jenis lelaki yang akan menabur harta benda demi perempuan. Tambahan pula perempuan sepertinya. Duit ringgit yang aku cari dari usaha gigih setiap hari, akan aku manfaatkan kepada perkara-perkara yang lebih baik. Untuk perancangan masa depan yang lebih cemerlang, contohnya. Ada tidak ada pun, aku cuma bazirkan sedikit untuk kawan karib kesayangan , Fazli. Setiap bulan dia pasti menagih pinjaman dari saku aku. Namun, aku tidak mengambil kisah sangat samada dia membayar balik atau tidak. Kadang-kadang dia pulangkan, kadang-kadang lebuh begitu sahaja. Tetapi untuk sebuah persahabatan yang telah lama kami bina, aku sentiasa ikhlas. Aku rasa jika wang ringgit yang menjadi ukuran Julaina, suatu hari nanti dia akan pergi kepada orang yang lebih berharta . Aku…..tidaklah sekaya mana.
Sejak akhir-akhir ini mama nampaknya seperti hairan kenapa aku tidak menyahut panggilan telefon yang berdering-dering setiap malam. Membiarkan sahaja ketulan elektronik itu menjerit-jerit seorang diri tanpa diperdulikan. Kadang-kadang aku mematikan bunyi dan membiarkan telefon bergetar-getar sahaja jika ada panggilan. Tidak mahu mama tertanya-tanya. Ada juga aku bercerita tentang Julaina kepada mama. Sedikit sahaja. Dia menasihati aku untuk lebih berhati-hati kerana berbagai-bagai kemungkinan tidak baik boleh terjadi jika kita menolak perasaan orang . Tambahan pula seseorang yang dilihat amat aggresif. Jangan sekali-kali memberikan harapan palsu kepada orang yang begini. Juga tidak boleh terlalu berkeras menolak.
Walaupun boleh dikatakan hari-hari aku dileter mama untuk mendapat pasangan, aku tidaklah terdesak sangat, dengan hanya menangkap muat sebarang perempuan. Tidak sekali-kali.! .Perempuan seperti Julaina bersepah-sepah di luar sana. Petik jari sahaja , ramai yang datang. Bukan aku menghina kaum hawa, tetapi di zaman era moden ini, suatu kenyataan, terlalu ramai perempuan yang begitu. Tidak memikirkan maruah dan tata susila ketimuran untuk mencapai kemahuan masing-masing. Fokus utama gadis-gadis kini kebanyakannya kepada kebendaan. Materialistik! Mungkin sebab itulah juga kebanyakan wanita-wanita cantik dan terkenal, terutamanya dari golongan artis, memilih dato’-dato’ yang berada untuk dijadikan suami. Kebanyakannya hartawan , walaupun tidak sepadan dengan usia. Menjadi isteri nombor dua pun tidak mengapa, malah ada yang menjadi yang ketiga dan yang keempat kepada lelaki tersebut.
Selain Julaina, makcik Zai juga tidak habis-habis mendatangkan masalah. Menambah cabang keserabutan kepala aku . Dia seperti tidak dapat menerima kenyataan yang mama telah menolak untuk berbesan dengannya. Masih tidak berputus asa. . Selalu sahaja datang bertandang ke rumah. Samada bersama-sama anak-anak gadisnya ataupun seorang. Niatnya seperti hendak memujuk mama supaya menerima anaknya. Dulu-dulu ada juga dia datang menziarahi kami, tetapi jarang-jarang sekali. Sekarang ini amat kerap pula , sehingga kami berdua naik rimas !
Satu-satunya sifat makcik Zai yang kami berdua tidak berkenan ialah pada buah mulutnya. Suaranya yang nyaring, disamping terlebih ramah, membuatkan orang yang mendengar amat tidak selesa. Perkara-perkara yang diperkatakan pula tidak membina hati serta mengembirakan perasaan. Kebanyakannya merunsingkan ! Dia juga amat suka mengumpat orang sana-sini. Ada-ada sahaja keaiban orang lain yang hendak diceritakan. Sungguh merimaskan! Nasib baik juga dia datang pada hari-hari aku bekerja, jarang pada hari minggu. Namun, kesian pula pada mama. Terpaksa menghadapinya seorang diri, kemudian disampaikan butir-butirnya ke telinga aku, pada malam hari. Hendak dihalau, tetamu. Saudara sendiri pula. Jika dilayan makin menjadi-jadi. Serabut-serabut …….
Sebagaimana dia mengumpat orang lain pada mama, dia juga menceritakan perihal kami anak-beranak kepada orang lain. Hal ini aku ketahui dari sepupuku sendiri, Yanie. Bermacam-macam cerita yang aku dengar. Ada yang baik , ada yang tidak . Yang tidak betul pun banyak juga. Perkara tidak betul yang paling menggeramkan aku ialah dia mengatakan bahawa aku ini bakal menantunya dan tidak lama lagi akan bertunang dengan Nurul Atikah. Yanie , pada mulanya hanya sekadar bertanya, kesahihan berita tersebut, maka terbongkarlah keseluruhan cerita makcik Zai yang menjaja cerita tidak betul ke sana-sini.
Cerita-cerita palsu makcik Zai ini, aku simpan baik-baik. Tidak mahu mama mendengarnya. Tujuan supaya mama tidak risau atau memikirkan yang bukan-bukan. Walau aku tahu, mama akan mengetahuinya nanti dari mulut orang lain. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia, hati dan otak yang mengawalnya. .Aku rasa memang betul tambahan kepada peribahasa lama ini. Jika hati manusia baik, dia tidak mengatakan perkara-perkara yang tidak baik serta tidak betul. Otak pula mengawal segala tindakan anggota badan. Jika otaknya betul dan baik, tentu tindakan seluruh anggota berjalan dengan baik.
Makcik Zai lansung tidak memikirkan perasaan anak gadisnya. Mesti Nurul Atikah akan merasa malu bila mendengar cerital ini . Gossip-gossip yang mengarut . Sedikit-sebanyak, mesti ada saudara mara yang akan bertanyakan kepada empunya badan sendiri. Pada si gadis. Seperti Yanie bertanyakan aku. Bayangkanlah perasaan dia bagaimana ? Mesti tertekan !
Aku ada juga menelefon Nurul Atikah, seperti yang dijanjikan. Cuma bertanyakan perasaan dia. Betulkah seperti yang dikatakan ibunya yang dia tidak kisah jika dijodohkan dengan aku. Atikah memberi jawapan yang ikhlas dan berterus terang. Rupa-rupanya dia memang sudah ada pilihani sendiri. Sama-sama belajar di universiti dahulu. Akan tetapi dia tidak dapat membantah segala arahan ibunya. Ibunya tidak merestui hubungan mereka berdua. Alasannya, keluarga lelaki tersebut cetek pegangan ugama. Tidak sepadan dengan keluarga mereka. Bertambah-tambah rasa simpati aku terhadap gadis ini. Nasib dia , beribukan orang seperti makcik Zai! Aku menjadi keliru dengan makcik Zai. Sepatutnya dia membetulkan diri sendiri dahulu, sebelum menghakimi orang lain.
Kepada Nurul Atikah, aku juga berterus- terang mengatakan bahawa tidak mempunyai sebarang perasaan terhadapnya. Buat masa ini. Tidak tahu pula nanti-nanti. Mungkin keadaan dan masa merubah perasaan. Jadi, tidak mungkin aku akan menerima jodoh dengannya pada masa sekarang ini. Tidak tahu pula masa akan datang, kerana semua itu urusan Tuhan. Dia faham dan mengerti. Suci hati gadis ini. Amat memahami. Juga tidak pernah mengharapkan apa-apa dari keluarga ku. Berlawanan sungguh dengan sikap yang dipamerkan ibunya. Mungkin genetik yang diwarisinya, kuat dari sebelah bapa, bukan genetik ibu yang becok itu. Mungkin juga perangai sedemikian, bukan penyakit keturunan ? Betul juga, Jika ianya keturunan, mesti mama pun sama. Eeeei……Minta dijauhkan Tuhan! Sesungguhnya , aku amat simpati terhadap Nurul Atikah, diperlakukan begitu. Oleh ibu sendiri, yang mungkin tidak perasan bahawa dengan tidak sengaja telah mengguris hati anak yang pernah dikandung dan dibesarkan sehingga menginjak dewasa.
Sebenarnya, seperkara lagi yang merunsingkan kepala aku, selain Julaina dan makcik Zai, adalah dengan kehadiran Sofia. Nor Sofia Binti Saifuddin, nama penuhnya. Dia adalah seorang eksekutif di tempat aku bekerja. Namun berlainan jabatan. Jika sama jabatan , tentulah akan menjadi orang bawahan aku. Perangai dia gila-gila juga, seperti Julaina, tetapi dengan cara yang berbeza.
Aku tidak kisah jika sakit mentalnya tidak melibatkan nama Muhammad Aiman! Jika dia hendak bunuh diri dengan terjun bangunan pejabat, biarkanlah !. Tidak melibatkan nyawa ku. Jika dia hendak menjerit terlolong macam terlihat hantu raya yang menakutkan, jeritlah ! Hak dia. Bukan guna tenaga aku pun .Tetapi masalahnya sekarang, dia selalu membuat perkara-perkara bodoh dengan mengaitkan nama aku sekali ! Itu yang aku tidak berkenan…..
Kisahnya…….Si Sofia ini telah lama jatuh hati pada aku. Tahap gila-gila. Itu yang dikatakan pekerja-pekerja di tempat ku. Bukan aku yang perasan seorang ! Bermula sejak empat tahun dahulu. Kategori agak lamalah juga. Masa itu, pangkat aku pun tidaklah seperti sekarang. Hanya seorang pengurus biasa. Sejak dulu, berbagai-bagai cara digunakan untuk memikat hatiku . Hadiah pemberian , memang banyak. Hadiah yang bagus, aku simpan sahaja seperti tali leher dan pen. Aku tiada keinginan untuk menggunakannya, biarlah di simpan sebagai kenangan. Hadiah yang aku tidak berkenan, aku beri pada pekerja-pekerja bawahan. Biasanya, Aliah yang menerimanya. Jika barangan lelaki, bererti rezeki suaminya. Paling kelakar, dia juga beberapa kali memberi aku bunga . Jambangan yang cantik. Hah ! Nak buat apa bunga-baunga? Memang cantik di mata, tetapi semak di hati. Daripada dibuang, lebih baik beri Aliah menghiasi rumahnya.
Layanan aku terhadap Sofia, tidak pernah berubah dari dahulu sehingga sekarang. Sama sahaja. Sebagai kawan satu tempat kerja. Saling perlu memerlukan jika ianya berkaitan tugas. Titik. Tidak lebih dari itu. Sesungguhnya, aku tidak pernah menaruh hati, walaupun sedikit terhadapnya. Mungkin cintanya betul-betul suci dan ikhlas. Akan tetapi, jika ikhlas dia perlu melepaskan aku, setelah empat tahun tiada sebarang tindak balas!
Semua pekerja-pekerja di tempat kerja tahu tentang kisah cinta sebelah pihak Sofia. Mula-mula dulu memang hangat diperkatakan. Aku buat-buat pekak telinga sahaja. Tetapi lama-kelamaan, mereka semua sudah lali. Juga setelah mereka mengenali prinsip aku semasa berkerja. Bagi aku, masa bekerja , kena bekerja, tiada sentuhan peribadi!.
Namun , sejak setahun kebelakangan ini, sikap Sofia semakin menjadi-jadi. Dia semakin berani membuat tindakan. Bertambah aggresif. Apa nak dimalukan ? Semua orang sudah maklum ! Tetapi aku tetap aku. Selamba memanjang……
Walau tidak kisah dengan perlakuan Sofia, jauh di sudut hati ada sedikit getaran kerisauan. Risau kemunkinan terjadi perkara-perkara yang tidak diingini. Contohnya di perangkap berkhalwat. Seperti yang berlaku di dalam drama-drama telivisyen, cara mudah memiliki lalaki atau perempuan .
Selain daripada tiga perempuan mengancam di atas, aku tidak mempunyai masalah besar yang lain, yang berkaitan dengan kaum hawa. Ada, tetapi masalah yang biasa-biasa sahaja. Masih dalam kawalan . Bukan di dalam kategori yang menyerabutkan kepala. Bukankah aku ramai kenalan perempuan ? Melalui aktiviti-aktiviti cari dan kenal, dengan tujuan untuk mendapatkan calon menantu mama.














TERBAIK KUTT!!!TERUSKAN USAHA..CAIYOK!!!!