Novel : Tak Mampu Ku Hindari 24

10 March 2010  
Kategori: Novel

10,343 bacaan 37 ulasan

Oleh : Sofi

“Abang bagi Lia tempoh seminggu untuk balik ke rumah. Itu, atau abang akan pastikan Aiman jadi hak abang. Terserah Lia!”

Pendek sahaja isi surat yang ditunjukkan oleh peguam Hisyam namun itu sudah cukup mengharu-birukan hidup Maria semula. Ayat-ayat yang ditulis telah memporak-porandakan fikirannya. Kacau-bilau!

Pokok persoalannya ialah bagaimana Hisyam tahu tentang dirinya? Bagaimana Hisyam boleh mencari dia? Bagaimana rahsia yang ingin disimpan terbongkar? Dan ugutan itu! Kini menjadi kenyataan! Hisyam tahu tentang kewujudan Muhamad Aiman dan lelaki itu mahukan anaknya! Aiman hak dia!

“Encik Zaiful ada kat dalam tak, Jenny?”

“Eh, Puan Maria?? Encik Zaiful ada tapi…..”

Jenny, setiausaha Hisyam tidak dapat meneruskan kata. Dia sedang dalam keadaan terkejut. Tidak menyangka yang baru sahaja bertanya tadi ialah Maria, isteri bos yang dikatakan telah lari meninggalkan suaminya. Kini wanita itu sedang merempuh pintu bilik pejabat Hisyam.

“Alamak, mati aku!” Jerit Jenny sambil menepuk dahi.

“Mati aku!” Ulangnya lagi.

Tentu sahaja dia risau kerana di dalam bilik Hisyam, sedang berlangsung satu mesyuarat tergempar. Ingin menahan Maria tetapi sudah terlambat. Maria sudahpun hilang di sebalik daun pintu!

Dua pasang mata bertentangan. Masa seakan-akan terhenti. Dunia bagai tidak lagi berputar. Dirasakan, hanya mereka berdua sahaja yang ada di situ.

Hisyam yang terlebih dahulu kembali ke alam nyata.

“Assalamualaikum, Lia. Nak jumpa abang, ya? Jenny tak bagitau abang tengah mesyuarat ke?” Soalnya.

“Maafkan saya, tuan-tuan. Saya terpaksa ganggu mesyuarat penting ni. Saya perlu sangat nak jumpa dengan Encik Zaiful, ya. Boleh, kan?” Maria cuba memaniskan kata. Kerutan di dahi Hisyam tidak dipedulikan.

Antara yang hadir ialah Azman, suami Yana (kawan baik Maria) dan encik Amar. Demi melihat Maria, mereka berdua terus sahaja mengajak pegawai-pegawai lain keluar. Sempat juga mereka bertanya khabar dan mengucapkan tahniah kepada Maria. Untuk apa? Tidak Maria fahami!

Bila tinggal berdua, tiba-tiba sahaja bilik yang luas, Maria rasakan sempit. Penghawa dingin tidak lagi nyaman anginnya. Panas dan berbahang dirasakan dirinya. Peluh dingin sedang memercik di dahi. Panahan mata Hisyam amat menakutkan. Entah mengapa, lelaki itu diam seribu bahasa!

Hampir 10 minit suasana hening. Masing-masing tidak mahu memulakan. Tidak tahu apa yang perlu diucapkan. Berbulan-bulan terpisah dan mereka kehilangan kata-kata.

Hisyam melepaskan keluhan. Wajah yang dirindui berada di hadapan matanya kini. Namun seraut wajah itu tidak ceria. Mungkin surat yang dititipkan melalui peguamnya menjadikan Maria sedih.

“Nampaknya Lia dah dapat mesej abang. Tak sampai seminggu dan Lia dah balik. Baguslah kalau macam tu!” Hisyam membuat kesimpulan.

Maria ketawa. Menyindir Hisyam yang terlalu yakin bahawa dia akan pulang. Sampul surat dikeluarkan dari beg. Diletakkan berhati-hati di atas meja suaminya.

“Lia tak akan balik ke rumah tu. Dan Aiman bukan hak abang!” Ujarnya perlahan.

Hisyam terpana.

“Apa? Lia tak nak balik? Aiman bukan hak abang? Habis, kalau dia bukan hak abang, dia hak siapa? Anak sape?” Jerkahnya.

“Apa abang merepek ni? Kenapa tanya Aiman anak sape pulak?” Maria menyoal garang juga.

“Jadi, dia anak abang?”

Aduhai, kalau di sisinya ada belati ketika ini, mahu dibalingnya ke arah Hisyam. Biar lelaki itu mati, fikirnya. Sanggup Hisyam bertanya soalan itu kepadanya? Maria benar-benar marah bila mendengarnya. Suara sinis lelaki itu menyakitkan telinga. Lantas dia menjerit.

“Tentulah dia anak abang! Abang ingat dia anak siapa? Abang ingat Lia ni perempuan yang jahat sangat ke nak tidur dengan semua lelaki yang Lia jumpa?”

Maria merasakan dirinya begitu hina di mata Hisyam waktu itu. Dan dia marah sungguh bila mendengar soalan itu. Apakah lelaki ini ingat aku seperti dirinya? Marahnya berbekam di hati. Dia, yalah! Dalam sekejap masa boleh tidur dengan perempuan lain.

“Kalau dia anak abang, kenapa Lia pisahkan dia daripada abang? Kenapa pisahkan kami? Kenapa pisahkan seorang ayah daripada anaknya? Kenapa pisahkan seorang anak daripada ayahnya? Kenapa?”

Giliran Hisyam pula untuk meninggikan suara.

Maria terpana. Soalan yang memang sentiasa berada di dalam fikirannya, kini bergema daripada mulut Hisyam sendiri. Soalan yang dia sendiri sering tertanya-tanya, kini Hisyam pula mengeluarkannya. Soalan yang dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mencari jawapannya.

Maria merenung seraut wajah yang kurus itu. Memang Hisyam sudah kurus, fikirnya. Mengapa? Makan hatikah? Hai, takkan ada bini cantik pun masih nak makan hati? Maria menggumam sendiri.

“Awak belum jawab soalan abang, Maria!” Hisyam menekan soalannya.

Maria tersedar. Dia menjawab ringkas, “Sebab ayahnya dah ada perempuan lain!”

“Jawapan apa macam itu, Maria? Abang tengah bercakap tentang Muhamad Aiman. Nama dia Muhamad Aiman kan?”

Lama baru Maria mengangguk.

“Lia jangan nak cakap yang bukan-bukan. Abang nak tahu sebab kenapa Lia pisahkan anak abang daripada abang!”

Diam.

“Lia nak balas dendam pada abang?”

“Tidak!”

“Lia sengaja nak sembunyikan dia daripada abang?”

Geleng.

“Habis tu, kenapa?”

Diam lagi.

Hisyam menghampiri Maria. Bahu perempuan itu digoncang sekuat-kuat hatinya.

Maria dapat merasakan kemarahannya. Maria dapat merasakan kesedihannya. Maria dapat merasakan kelukaannya. Dia mendengar Hisyam menjerit kepadanya.

“Kenapa, Lia? Kenapa Lia buat begini kepada abang? Pada rumah tangga kita? Kenapa? Kenapa, Lia?”

Maria semakin sedih. Semua soalan bermula dengan kenapa. Seolah-olah semua perkara yang berlaku adalah kerana dirinya. Kerana salahnya. Kerana silapnya.

Maria bungkam. Sambil menangis dia memberitahu, “Kerana bila Lia tahu Lia mengandung, abang menyampaikan berita perkahwinan abang dengan Salina. Abang begitu teruja nak kahwin lain. Lia tak mahu musnahkan impian abang.”

“Masya-ALLAH!”

Wajah Hisyam kelihatan sungguh terkejut. Dia terduduk di atas kerusi. Matanya memandang tepat ke arah isterinya.

Maria berkata lagi dalam sedu sedannya, “Lagi pun, Aiman hasil dari kemarahan abang pada Lia. Ingat lagi peristiwa tu? Lia tak pernah lupa perbuatan abang pada Lia hari itu. Abang kejam!”

Bulat mata Hisyam memandang wajah Maria. Bila peristiwa dia mengkasari isterinya kembali ke ingatan, wajahnya merona merah. Hati menjadi sedih. Akhirnya dia menuduh, “Kerana itu Lia pergi. Lia nak balas dendam pada abang rupa-rupanya. Dosa abang hari tu dan keinginan abang menikahi Salina menyebabkan Lia nekad meninggalkan abang. Tanpa sebarang berita selama ini.”

Lama suasana membisu sebelum Hisyam menyambung, “Sampai hati Lia! Lia tahu, abang sangat inginkan anak ini tapi Lia sembunyikan dia daripada abang. Sampai hati Lia buat abang macam ini!”

“Lia ingat, ia akan jadi rahsia Lia selama-lamanya.” Maria berbisik namun masih dapat didengari Hisyam.

Sekali lagi Hisyam terpana. Sepasang mata memandang tepat ke arah isterinya.

“Lia, abang suami Lia. Abang berhak tahu! Abang ayahnya!” Dia menjerit.

“Memang abang ayah Aiman. Tapi pada masa tu ayah dia mengkhianati ibunya. Pada masa tu ayah dia dah ada perempuan lain mengisi hidupnya. Jadi, apa perlunya Lia beritahu bahawa Lia sedang mengandung bila kehadiran Lia tidak abang perlukan lagi?”

Marah Maria pula. Melihat Hisyam masih diam, hatinya semakin panas.

“Kenapa buat Lia macam gini? Kenapa paksa Lia balik ke rumah? Abang kan dah ada Salina?” Sindirnya.

“Abang nak anak kita, Maria!”

Maria benar-benar terkejut mendengar kata-kata yang baru Hisyam sebut. Sesak nafas dirasakan. Matanya bulat memandang wajah suaminya. Dia tidak percaya Hisyam sanggup berkata begitu kepadanya. Dia tidak percaya Hisyam seorang yang tamak. Lelaki itu sudah ada Salina tetapi di sini, dia mengatakan dia masih mahukan Aiman! Hati Maria benar-benar sakit mendengar permintaan itu.

“Tidak!” Tanpa sedar dia menjerit.

Jawapan tegas itu benar-benar mengejutkan Hisyam!

“Kenapa tidak?” Soalnya.

Hisyam tidak dapat bersabar lagi. Anak yang bernama Muhamad Aiman itu adalah anaknya. Jeritan Maria tadi sudah benar-benar menaikkan suhu kemarahannya. Sabarnya semakin tipis. Wajah Maria ditatapi. Wajahnya sendiri serius bila dia mengulangi soalan itu.

“Kenapa tidak?”

“Aiman anak Lia! Dia akan tinggal dengan Lia. Dia bukan anak abang!”

Hisyam ketawa dengan kuat.

“Tiba-tiba pulak Aiman bukan anak abang, Lia?”

Maria terkesima. Wajah Hisyam ditatap sambil berkata dengan lemah, “Anggap saja abang tak ada anak dengan Lia. Anggap abang tak ada anak yang bernama Aiman. Abang tak ada hak nak ganggu hidup kami dua beranak! Tolonglah, bang. Izinkan kami hidup bahagia berdua.” Pintanya.

Hisyam menggelengkan kepala.

“Mustahil! Lia isteri abang. Aiman anak kita berdua. Jadi, dia perlu membesar bersama-sama ibu dan ayahnya. Lia tak boleh menafikan haknya sebagaimana Lia ketepikan hak abang. Mana mungkin abang lepaskan Aiman begitu aje? Lupakan dia? Tidak, Maria! Tak mungkin!” balas Hisyam pula.

“Kalau macam tu, Lia nak failkan tuntutan cerai di mahkamah. Lia nak abang ceraikan Lia.”

Maria sudah seperti seorang yang hilang pertimbangan. Dia ketakutan sebenarnya. Dia takut kehilangan Aiman. Dia takut Hisyam akan mengambil Aiman, merampas anaknya itu. Dia benar-benar takut! Wajah Hisyam direnungnya seolah-olah meminta pengertian.

Merah padam wajah Hisyam mendengar permintaan Maria.

“Apa? Cerai? Lia dah gila ke?” soalnya.

“Abang dah ada isteri. Abang dah ada Salina. Abang akan ada anak dengan dia. Tolonglah, jangan dirampas Aiman dari Lia. Lia hanya ada Aiman sahaja sedangkan abang akan ada anak-anak lain dengan perempuan tu. Tolonglah! Jangan pisahkan Lia dengan Aiman. Lia tak ada sesiapa lagi!” Rayu Maria.

Hisyam merapati isterinya. Dia berbisik, “Abang bukan nak rampas Aiman dari Lia. Bila abang cakap macam tu? Abang nak Lia dan Aiman balik pada abang. Dua-dua!”

Maria segera menjauh. Bau haruman yang Hisyam pakai, suara lembut yang digunakan, menyemarakkan rasa yang sekian lama terpendam. Dia bimbang dengan dirinya. Bimbang dia tewas kepada api cinta yang masih membara. Hisyam memang bijak menggunakan kata-kata. Bijak mengambil kesempatan. Pandai memujuk! Dia tidak mahu dikecewakan lagi.

“Lupakan kami, bang. Selama ini abang boleh hidup tanpa Lia, tanpa Aiman. Mengapa tiba-tiba abang hendakkan dia? Kenapa?” soalnya perlahan. Penuh hiba.

“Sebab Aiman anak abang!” Ujar Hisyam keras.

“Abang memang tamak!”

“Maria!”

“Berbulan-bulan abang Lia tinggalkan, tapi abang tetap tak berubah. Abang tetap orang yang sama. Tamak. Pentingkan diri sendiri! Hati Lia ni, sikitpun abang tak peduli.” Rintih Maria.

Hisyam mengambil peluang itu untuk merangkul tubuh isterinya.

“Jangan tuduh abang macam gitu, Lia. Abang…”

Sambil menolak tubuh Hisyam, Maria memintas, “Lia tak tahu macam mana abang jumpa Lia. Lia tak tahu apa perasaan abang pada Lia. Yang Lia tahu, abang nak kan Aiman walau terpaksa bawak Lia masuk balik ke rumah abang. Maknanya, kalau Aiman tak ada, Lia ni pun abang dah tak kenal, kan? Sudahlah, bang! Lia dah penat dengan perangai abang. Tolonglah! Bebaskan Lia. Itu lebih baik buat kita bertiga.”

Hisyam mengepal penumbuk. Kesabarannya sudah di tahap maksimum. Kata-kata Maria menyakitkan hati. Benar-benar membuat dia marah!

“Awak jangan melampau, Maria bt Mustafa! Jangan nak buat yang bukan-bukan. Jangan sekali-kali fikir nak mintak cerai dari abang!”

“Kenapa tak boleh? Kita dah pun berpisah. Kita dah tak ada apa-apa hubungan.”

“Salah siapa tu? Siapa yang meninggalkan rumah? Siapa yang lari?”

“Salahkan Lia, kalau itu menggembirakan abang. Tapi, tolonglah! Ceraikan Lia supaya Lia boleh hidup aman dengan Aiman. Kami tak akan ganggu hidup abang dengan Salina. Percayalah!”

“Maria, Maria! Apa Lia fikir, kalau kita bercerai, abang tak akan tuntut hak penjagaan ke atas Aiman? Lia ingat abang sanggup biarkan anak abang hidup merempat dengan Lia?”

Kata-kata terhenti. Pipi terasa perit. Rupa-rupanya, Maria sudah menamparnya.

“Abang memang melampau!”

Tiba-tiba sepasang tangan Maria dikilas ke belakang. Hisyam tidak mempedulikan wajah sakit isterinya. Dalam hati, dia rasa geram yang teramat. Hatinya terlalu sakit. Kepada Maria dia berkata dengan tegas, “Dengar sini baik-baik, Maria. Abang nak anak abang balik dalam hidup abang. Abang nak Aiman! Abang nak Aiman bersama abang. Tempat dia di sisi abang. Abang ayah dia. Kalau abang tak boleh dapat dia cara baik, abang akan ambil dia cara paksa! Dengar cakap abang ni baik-baik, Lia. Jangan ingat Lia dapat lari dari abang lagi! Kali ini sampai ke lubang cacing, abang akan cari!” Tengkingnya lantas berlalu keluar. Dia ingin menenangkan fikiran. Apa yang terjadi ini di luar kawalannya. Bukan begini yang dia ingini! Bukan!

Kira-kira 5 minit kemudian, setelah hatinya sejuk, Hisyam masuk ke dalam pejabatnya semula. Dia berharap, Maria masih ada. Dia berharap agar segala kekeruhan dapat dijernihkan. Segala kekeliruan dapat diperjelaskan malangnya isterinya sudah pergi. Sekali lagi dia ditinggalkan. Segera Hisyam berpatah balik ke arah pintu.

“Jenny, you nampak Maria, tak?” soalnya lemah.

“Dia baru aje keluar, bos.”

Jenny tidak mahu meneruskan. Wajah kelat Hisyam menakutkannya.

Hisyam berjalan menuju ke arah meja. Dia mencari sesuatu. Puas diselongkar laci malah seluruh permukaan meja sudah bersepah-sepah namun apa yang dicari masih tidak ditemui. Hati terasa cemas. Wajah menjadi pucat secara tiba-tiba. Lia….

“Jenny, kunci kereta kat atas meja I mana?” Soalnya laju. Wajah Jenny diperhati rakus.

“Em…mmm, Puan Maria ambil, bos. Dia kata dia nak pinjam kereta tu kejap. Nanti dia hantar…”

“Masya-Allah!”

Tanpa menunggu, Hisyam berlari ke arah lif.

Novel ini akan berada di pasaran dalam masa terdekat. Insyallah akan menemui peminat di pesta buku antarabangsa di Pwtc pada 19-28 mac 2010


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

37 ulasan untuk “Novel : Tak Mampu Ku Hindari 24”
  1. muzri says:

    bab 25 last di penulisan2u. kerana di terbitkan. Boleh dapatkan di pasaran untuk mengetahui cerita ini selanjutnya

  2. maria says:

    wow..sya suka cerita ini..5 bintang

  3. fairusfaitihani says:

    best…mesti bli nvl nih….x sabo2 rsanya….thniah sofi,,,i give u br********

  4. syamizi azwaza says:

    nak jugak….. blh tau blog x? pening ar, x jumpe cari.

  5. Hani says:

    Salam….
    bagaimana hendak membeli novel ini melalui online?
    Saya hani dari Brunei.

  6. admin says:

    Apabila stok siap di cetak. insyallah hanni. kami akan bagitahu cara pembelian novel

  7. waaaa…….nak jugak!!!!!suke3

  8. norliza bt mohamed says:

    saya suka citer nie..bestlah….dkt kdai buku biasa ada x jual buku nie or hnya dijual ditmpt tertentu shj????

  9. admin says:

    norliza semua tempat ada. Penerbit: Fajar Pakeer. Pengedar : Fajar
    Syarikat terbesar yang menerbit buku ini. syarikat penerbit dan pengedar adalah syarikat sama. So memang akan senang dapat novel ini di kedai-kedai.

    Stok pertama dan di rasmikan di PESTA BUKU ANTARABANGSA di PWTC pada 19-28 Mac 2010. So boleh dapatkan di pesta buku dengan harga diskaun

  10. mawar camelia says:

    waha..besh sgt2!!!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"