Novel : Syurga Di Wajahmu 1

1 April 2010  
Kategori: Novel

7,566 bacaan 5 ulasan

Oleh : Laila Hanni

Desiran angin petang itu bagaikan menggamit, memanggil Idayu untuk menjejakkan kakinya kembali ke tempat itu. Deruan air dari jeram kecil itu bagaikan memanggil-manggilnya. Ah… mana mungkin dia melupakan tempat ini. Terlalu banyak kenangan yang merenggut hatinya berlaku di sini. Dan kenangan-kenangan itu bagaikan tidak mau meninggalkannya. Di sinilah satu ketika dulu, waktu kecilnya dihabiskan bermain-main bersama Montok, kucing kesanyangannya. Di sinilah dulu, petangnya dihabiskan dengan menangkap anak-anak ikan sempilai, puyu dan haruan. Masih dia ingat, bagaimana dia menyusun batu-batu kecil untuk dijadikan empangan bagi mengepung anak-anak ikan tersebut. Lantas Montok yang sentiasa lapar akan mencuri anak-anak ikan tersebut. Dan berkejaranlah dia dengan Montok kerana marahnya kepada kucing itu apabila anak-anak ikan itu dicuri.

Dan….. selepas kehilangan Montok dua tahun kemudian, Idayu masih setia mengunjungi tempat ini. Kawasannya yang agak terlindung dari pandangan ramai itu bagai memberikan ketenangan kepadanya. Di sini jugalah tempatnya dia mengadu segala keluh kesahnya. Ada ketikanya dia ke mari untuk mengelamun….dan ada juga ketika dia ke sini untuk memasang angan-angan. Angan-angan yang tak ada kesudahannya. Sikapnya yang suka menyendiri menyebabkan dia selalunya begitu asyik melayan perasaan. Walaupun bercupak leteran emaknya dengan sikap menyendirinya itu, Idayu bagaikan tidak mengendahkannya. Ah… bukannya dia mengganggu sesiapa. Dia kemaripun bukannya untuk bertemu sesiapa.

Idayu mencecahkan hujung jari kakinya ke dalam air jeram yang mengalir perlahan itu. Dengan segera riak-riak ombak kecil terbentuk. Damai hatinya sedamai riak-riak ombak kecil itu. Dia masih ingat bagaimana dia menemukan tempat ini. Waktu itu emak mengajaknya mengutip pucuk paku di pinggir sungai untuk dibuat lauk tengahari. Dia tidak menyangka langkah-langkahnya pagi itu, akan membawa dia ke sini. Dan sejak itu kawasan yang mendamaikan ini akan menjadi tempat kunjungannya. Ada waktunya dia akan menghabiskan kerja sekolahnya di sini, mentelaah buku-bukunya ketika peperiksaan menjelang, membaca novel yang dipinjam dari perpustakaan sekolah atau hanya berkunjung untuk menikmati kesegaran udaranya. Waktu yang paling digemarinya adalah waktu selepas hujan turun. Sungguh damai dan nyaman udaranya.

Tapi, entah mengapa suasana petang ini dirasakan agak berbeza. Ketenangan yang dirasakan petang ini, tidak seperti biasa. Bagaikan terasa seperti ada yang memerhatikannya. Bagaikan terasa yang tempat ini bukan miliknya seorang ketika itu. Terdetik juga dihatinya, mungkin ada seseorang yang sedang bersembunyi di balik rimbunan pohon-pohon kecil disekelilingnya, memerhatikannya. Tapi… cepat-cepat dimatikan detik hatinya itu. Ah… siapalah gerangannya orang lain yang akan ke mari. Bukankah selama ini hanya aku saja yang ke mari, hatinya berdetik. Sepanjang lima tahu ini tak pernah dia berkongsi tempat ini dengan orang lain kecuali Montok. Dan jika boleh dia tidak ingin berkongsi kedamaian ini dengan orang lain.
Redup petang itu memberi isyarat supaya dia pulang. Sudah hampir dua jam dia di situ melayan perasaannya. Selesai saja solat Asar tadi, dia terus ke situ. Dia tahu, kalau lewat lagi pulangnya, dia akan dileteri emak seperti hari-hari lalu. Suara emak yang damai itu ada ketikanya dapat menyentuh hati gadisnya. Dia sedar, leteran emak itu hanya untuk melahirkan rasa tak puas hatinya dengan sikap Idayu yang suka menyendiri. Mak, Idayu senang begini, getus hatinya.

****

“Idayu…. kemana aje kau ni, senja-senja begini baru balik?” sapa Mak Su Jah. Direnungnya anak gadis itu. Risau hatinya melihat anak dara suntinya itu yang amat suka menyendiri.

“Tak de ke mana mak….” ucap Idayu lembut. Jangan risau mak…. Idayu bukannya buat benda tak elok, getus hatinya. Tapi tidak diluahkan kata-kata itu. Dia hanya memandang sekilas pada emak dan ayahnya yang sedang duduk di beranda rumah pusaka itu. Ayah telah siap mandi dan berpakaian lengkap ke masjid. Sebagai ketua kampung, dia memang tak pernah ketinggalan dari bersolat jemaah di masjid.

“Idayu masuk dulu ye mak… ayah…,” ucapnya sambil berlalu. Langkahnya hanya diikuti oleh sorotan mata ibunya.

“Habis, budak-budak tu nanti nak dok kat sini berapa lama?” kedengaran suara Mak Su Jah bertanyakan kepada Pak Dollah.

“Dua minggu…”

“Abang Lah suruh dia tinggal di rumah siapa?”

“Itulah… mereka tu tak boleh tinggal di rumah kita. Kita ada anak dara. Tak manis nanti anak dara dengan anak teruna tinggal serumah. Sementara ni mereka tinggal di rumah Sahak. Tapi tak sesuai sebab Sahak tu ramai anak. Tak selesa jugak budak-budak tu nanti. Masa tanya Sahak hari tu, dia sanggup aje. Abang pun tak terfikirkan masalah ni dulu. Nantilah, abang tanya Pak Soh. Dia tinggal berdua aje dengan Mak Dah tu. Anak-anak semuanya dah tak tinggal sekali dengan dia. Kalau dia nak, mungkin budak tu boleh tinggal di rumah dia.” Terang Pak Dollah panjang lebar. Susah juga hatinya kerana terpaksa meninggalkan tanggungjawab itu kepada orang lain.

“Nak ke Pak Soh dengan Mak Dah tu terima. Mereka kan orang susah. Kesian pulak nanti kena tanggung dua orang anak muda. Menyusahkan pulak nanti,” sahut Mak Su Jah.

“Tak apa, budak-budak tu bukannya datang saja-saja. Keluarga yang ambik anak angkat ni akan diberi RM 20 sehari untuk seorang anak angkat. Sekurang-kurangnya bolehlah buat belanja mereka. Kalau Pak Soh nak ambik dua-dua, lagilah mudah.” Sahut Pak Dollah.

Perbualan kedua-dua orang tua itu dicuri-curi dengar oleh Idayu. Agaknya tentang program anak angkat dari Hospital Universiti Kubang Kerian yang diceritakan oleh emak semalam, bisik hati Idayu. Menurut emaknya semalam, dua orang pelajar bidang kedoktoran dari HUSM datang untuk buat kajian tentang tahap kesihatan penduduk di kampung Keruak ini. Sepatutnya Pak Dollah yang perlu mengambil tanggungjawab ke atas mereka sepanjang masa mereka di sini. Tapi, mana mungkin ayahnya akan menerima anak teruna tinggal di rumah ini sedangkan anak daranya ada. Pak Dollah seorang yang tegas, terutamanya dalam urusan berkaitan adat melayu dan adab sopan dalam agama. Setiap perlakuan Idayu sentiasa dibawah perhatiannya. Apa sahaja perlakuan yang tidak manis gadis itu akan ditegurnya melalui Mak Su Jah. Idayu tahu, ayahnya sanggup melakukan apa saja demi menjaga maruah agama dan peradaban Melayu. Malah, dirasakan, jika dia melakukan sesuatu perkara yang sumbang ayahnya pasti tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman. Terbayang dia pada watak Tok Penghulu dalam filem P.Ramli, “Sumpah Semerah Padi”. Ya, ayah sememangnya mempunyai perwatakan sebegitu. Tegas dengan pendiriannya dalam hal-hal keagamaan.

Dari kejauhan terdengar sayup-sayup azan Maghrib berkumandang. Pak Dollah bangun dan mula melangkah ke motosikalnya untuk ke masjid. Idayu cepat-cepat beredar ke biliknya untuk mandi dan solat Maghrib. Tak mau dia dilihat mencuri dengar perbualan ayah dan emaknya. Namun di hatinya terdetik, sanggupkah dua anak muda itu tinggal di kampung yang serba kekurangan ini. Dahlah jauh dari kota, kemudahan yang ada hanya di tahap minima. Setakat elektrik dan kemudahan air sahaja manalah cukup untuk mereka yang biasa tinggal di bandar. Sesetengah rumah masih lagi menggunakan perigi kerana tak sanggup mengeluarkan belanja besar dalam mengadakan kemudahan pili air di dalam rumah. Ada sesetengahnya pula mengharapkan bantuan dari pihak kerjaan untuk mengadakan kemudahan itu. Rata-rata penduduk kampung hanya mengusahakan kebun getah dan kebun buah-buahan, selain dari bekerja di ladang kelapa sawit. Kedudukan kampung yang terletak kira-kira 30 km dari bandar Jerteh ini menyukarkan penduduknya untuk keluar bekerja di bandar. Memang ada jalan tar yang baik menyambungkan antara kampung ini ke bandar Jerteh, tapi tak banyak kerja yang mereka boleh lakukan di Jertih. Selain dari kedai-kedai, bandar Jerteh tidak mempunyai banyak daya tarikan pekerjaan. Kebanyakkan penduduk kampung lebih senang mengerjakan kebun dan menghantar hasilnya ke Jerteh untuk dipasarkan. Ah, tak mungkin anak-anak muda yang datang dari bandar itu dapat bertahan lama di kampung ini. Maklumlah, sudah biasa senang. Idayu pelik mengapa mereka memilih kampung terpencil ini untuk membuat kajian. Tak ada kampung lain ke yang boleh mereka pilih.

Bab 2

Persoalan itu diajukan kepada emaknya malam itu. Mak Su Jah hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Alah… ayah kata tempat ini dipilih oleh universiti. Mereka kena buat kajian di banyak tempat. Kawasan bandar, kawasan kampung dan kawasan hulu macam kat sini…” terang Mak Su Jah.

“Emmm… seronok ye mak, dapat masuk universiti. Belajar jadi doktor tu mesti susahkan? Mak rasa Ayu nanti dapat lulus dan masuk universiti tak mak?”

“Ayu rasa macamana? SPM baru ni boleh lulus tak? Ayu kan dah usaha. Kalau ada rezeki, mesti boleh masuk unversiti…”

“Tapi mak, Ayu rasa tak yakin sangatlah… takut lulus, tapi tak capai tahap yang diterima masuk U. Cikgu Harun kata, nak masuk U kena lulus tinggi…,” keluh Idayu sedikit kesal dengan sikapnya yang kurang bersungguh-sungguh sebelum peperiksaan SPM tempohari.

“Itulah… dulu mak selalu cakap, jangan leka sangat. Tapi Ayu buat tak tahu aje. Kita ni dok di kampung, kemudahan belajar kurang. Kalau kita tak usaha sendiri, macamana nak berjaya. Tengok tu, belum keluar keputusan, diri sendiri dah menyesal…”tempelak Mak Su Jah.

Idayu terdiam seketika, menyesali sikapnya yang agak acuh tak acuh dengan pelajaran. Memang dia akui, dia agak leka sebelum peperiksaan SPM akhir tahun lepas. Cuma dua bulan sebelum tarikh peperiksaan barulah dia mula bersungguh-sungguh. Itupun akibat nasihat dari Cikgu Maria, guru pelatih yang datang ke sekolah untuk latihan praktikalnya tiga bulan sebelum peperiksaan SPM. Guru itulah yang banyak menasihati dia dan teman-temannya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita di masa hadapan. Masih ingat lagi kata-kata Cikgu Maria bahawa, tiada siapa yang boleh mengubah nasib diri kita melainkan kita sendiri. Hasil dari nasihat dan usaha gigih Cikgu Marialah, dia dan temah-teman sekelas mula berusaha. Tapi, waktu itu dirasakan agak terlewat kerana terlampau banyak yang perlu dipelajarinya semula. Kalaulah Cikgu Maria datang menjalani latihan praktikalnya lebih awal, tentu dia sudah mulakan usahanya sejak dari awal lagi.
Tapi, apa lagi yang nak dikesalkan. Dia telah buat setakat yang dia mampu. Kini, dia hanya dapat bertawakkal kepada Allah, semuga keputusan peperiksaannya nanti akan dapat menempatkannya ke mana-mana IPTA.

“Sudahlah Ayu, jangan asyik dok berangan aje. Kita tu anak dara. Kalau tak lulus nanti, kawin aje lah…” usik Mak Su Jah sambil tersenyum. Terasa darah naik ke muka,Idayu terus melarikan pandangan matanya dari wajah emaknya. Ah, malunya….

“Ala mak…. Ayu tak naklah kawin lagi. Muda lagi…. baru lapanbelas tahun. ..,” rengek gadis itu manja.

“Ah… mak hari tu enambelas tahun dah kahwin dengan ayah…,” usik emaknya.

“Em.. tak nak lah… Kalau tak lulus, Ayu nak belajar semula, ambik periksa SPM semula, sampai lulus dapat masuk U,” luah Idayu bersungguh-sungguh.

“Amboi, senangnya hati, habistu, nak belajar lagi, mana nak cari duit? Ingat ayah tu banyak sangat duit nak tanggung Idayu ambik SPM semula ?” ungkit Mak Su Jah.

“Biarlah, kalau ayah tak ada duit, Idayu kerja. Pergi Kota Bharu, cari kerja sambilan, lepas tu Ayu belajarlah…”

Tergelak besar Mak Su Jah mendengarkan kata Idayu.

“Hai, kerja apalah yang Ayu boleh buat, hemm…?”

“Buatlah apa-apa pun, Jadi orang gajipun Ayu sanggup… asalkan dapat belajar semula….” rungut Idayu.

Mak SU Jah menghabiskan ketawa yang bersisa. Gelihati dia melihat kesungguhan Idayu ketika itu. Kalaulah kesungguhan itu ada pada anak gadisnya sejak awal tingkatan empat dan limanya dulu, alangkah baiknya.

“Apa-apa pun, kita tunggu keputusan SPM keluar nanti. Ha… masa tu bolehlah buat keputusan….,” rungut Mak Su Jah. Idayu mendengus perlahan. Kekesalan tergambar di wajahnya. Kalaulah dulu lagi dia sedar, tentu sekarang dia lebih yakin dengan kemampuannya itu. Kesal dulu berpatutan, kesal kemudian, apalah gunanya.

****

Mata Hairi terus merenung atap yang tidak ditutupi siling. Dalam kesamaran malam kelihatan beberapa ekor cicak merayap pada kekisi atap rumah itu. Di suasana malam begini, kedinginan menggigit hingga ke tulang hitam. Kalau di waktu tengahari, panasnya bagai berada dalam sauna. Begitulah suasana kampung. Bagaikan tidak percaya yang dia berada di sini. Pada awalnya dia membantah kerana ditempatkan untuk membuat kajian di perkampungan yang agak terceruk ini. Seumur hidupnya dia tidak pernah tinggal di kampung. Berasal dari bandar Pulau Pinang, dia tidak tahu bagaimana untuk hidup di kampung kecil begini, dengan kemudahan yang cukup terhad dan kedudukan yang agak jauh dari bandar besar. Namun, atas nasihat penyelia projek tahun akhirnya dia datang juga ke sini. Mulanya dia difahamkan akan tinggal di rumah tok penghulu kampung, tapi akhirnya dia dan Razlan ditempatkan di rumah abang Sahak yang kurang selesa ini. Malah, mereka hanya diberikan tikar, bantal dan selimut sahaja. Bilik yang hanya ada satu di rumah ini dihuni oleh Abang Sahak, Kak Midah dan anaknya yang bongsu. Terpaksalah dia dan Razlan tidur di ruang tamu ini bersama dua orang anak-anak Abang Sahak yang paling besar, Aiman dan Hamdi. Untuk menukar pakaian pun terpaksa dilakukan di ruang tamu. Rumah kecil ini hanya ada tiga ruang sahaja, ruang tamu, bilik tidur kak Midah dan Abang Sahak dan dapur yang agak luas. Memang betul-betul asas kemudahannya. Bilik mandi tiada, Cuma yang ada ruang yang menempatkan sebuah perigi yang dipagari oleh dinding konkrit separas bahu. Tanpa privasi, dia terpaksa mandi air perigi yang sejuknya hingga ke tulang rawan. Tandas disediakan kira-kira 50m dari pintu dapur. Dia tidak dapat bayangkan kalaulah dibuatnya sakit perut di malam hari, terpaksalah meredah gelap malam untuk ke tandas.

Selama duapuluh lima tahun hidupnya, dia tidak pernah membayangkan sebuah kehidupan yang sebegini daif. Dilahirkan dalam keluarga yang agak mewah, ibunya adalah seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dan ayahnya seorang ahli perniagaan, dia tidak pernah merasakan kesusahan dalam kehidupan. Walaupun ini baru hari keduanya, dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk kembali ke Hospital USM Kubang Kerian, tempat pengajiannya. Belajar di tahun akhir dalam bidang perubatan memaksa dia membuat kajian ke atas penyakit-penyakit yang berkaitan dengan persekitaran. Dan, malangnya dia terpaksa mengkaji kaitan persekitaran terpencil kepada kesihatan penduduknya. Tempat ini pula dipilih oleh penyelianya yang memang gemar membuat kajian di tempat-tempat terpencil begini.

Hairi mengeluh sambil memandang pada Razlan yang lena di sebelahnya. Razlan kelihatan selesa di sini, tidak sepertinya yang merasakan seperti satu beban berada di sini. Mungkin kerana Razlan berasal dari kampung, maka dia tidak merasa terbeban berada di kampung terpencil begini. Walaupun kampung Razlan tidaklah sejauh ini dari bandar dan mempunyai kemudahan asas yang lebih baik, tapi dia sudah biasa dengan kehidupan yang sederhana.

Fikiran Hairi kembali menerawang mengenangkan peristiwa petang tadi. Sewaktu dia meninjau-ninjau kawasan di pinggir sungai belakang rumah Abang Sahak, dia terjumpa sebuah jeram kecil yang terletak di satu kawasan yang agak tersembunyi. Dengan batu-batan yang pelbagai saiz dan pohon-pohon yang pelbagai jenis, kawasan itu dirasakan amat menarik. Yang lebih menarik lagi sedang dia termanggu-manggu di situ, dilihatnya kelibat seorang gadis manis tiba di situ. Terpaku dia melihat raut wajah gadis itu. Orangnya tinggi lampai, berkulit cerah dan sekali pandang dia seakan-akan dapat mengagak bahawa gadis itu berusia dalam lingkungan akhir belasan tahun. Wajahnya tidaklah secantik mana tapi, yang menariknya ialah keayuan dan kelembutannya. Perwatakannya lembut dan agak berlainan sekali dengan gadis-gadis lain yang ditemuinya sepanjang dua hari dia berada di kampung ini.

Gadis itu tidak menyedari kehadirannya menyebabkan lebih mudah untuk dia mengamati perlakuannya yang sungguh ayu. Berbaju kurung dan bertudung, walaupun berada di kawasan terpencil sebegitu. Sesekali dia menyelak kainnya untuk mencecahkan kakinya ke dalam air sungai, menampakkan kaki dan betisnya yang cantik bak bunting padi. Pemandangan yang mengasyikkan itu sedikit sebanyak dapat melegakan hatinya yang agak gundah kerana terpaksa datang ke tempat terceruk sebegini. Dia nekad akan cuba mengenali gadis ini jika ada peluang nanti. Keayuan dan kelembutan yang sebegitu agak jarang ditemuinya sekarang ini. Rata-rata kenalan perempuannya agak agresif dan lincah. Maklumlah, mereka terdidik sebegitu, sebagai bakal doktor yang perlu sentiasa bersedia untuk menjalankan tugasnya nanti.

Pada mulanya ingin sekali Hairi menegur gadis itu untuk memulakan salam perkenalan. Tetapi apabila dilihatnya keasyikan gadis itu pada waktu itu, dia mendiamkan sahaja dirinya. Menikmati sahaja pemandangan menarik yang disajikan di depan mata. Terdetik juga di hatinya kalau-kalau perlakuannya diketahui orang. Tak pasal-pasal pulak nanti dia ditangkap mengintai anak dara orang. Baru saja dua hari di sini dah buat hal. Tapi, dia tidak dapat mengelak dari terus memandang. Dan kedudukannya ketika itu yang berada di sebalik batang pokok besar menyembunyikan dia dari pandangan gadis itu. Mungkin gadis itu dapat merasakan kehadirannya kerana sesekali dia memandang sekeliling, seakan-akan tercari-cari disekitar kawasan tersebut. Tetapi Hairi yakin dia dapat menyembunyikan diri dengan baik.

Agak lama gadis itu termenung sendirian. Sesekali dia tersenyum bagaikan terkenangkan sesuatu. Dan apabila gadis itu melangkah untuk pulang bagaikan ada satu rasa sayu di hatinya, bimbang tidak akan bertemu lagi dengan gadis itu. Untuk menegur dan berkenalan, Hairi merasakan terlalu awal. Tapi, Hairi merasakan terlalu sayang untuk melepasnya pergi begitu sahaja, tanpa dikenali dengan lebih dekat lagi.
Tapi kini, di saat hati ini berbicara sendiri, dirasakan kesal di hati kerana melepaskan gadis itu pergi tanpa mengetahui siapa gerangan empunya diri. Kesal kerana tidak berani untuk menunjukkan diri dan mengambil peluang yang terbentang di depan mata. Siapakah dia gadis itu? Akan bertemu lagikah dengannya? Di mana dapat aku menemuinya lagi? Semua persoalan itu bagaikan tidak terjawab di mindanya. Namun dia nekad, jika bertemu lagi, dia akan memulakan perkenalan. Daya tarikan gadis itu begitu kuat dirasakannya. Seumur hidupnya, Hairi tak pernah tak lena tidur kerana terkenang mana-mana gadis, tapi yang satu ini lain sekali perwatakannya, sehinggakan tak lena tidur dibuatnya. Ah, milik siapakah gadis itu……




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Novel : Syurga Di Wajahmu 1”
  1. tullina says:

    menarik..

  2. fhj says:

    boleh tahan

  3. wild cherry says:

    Best…

  4. Siti Soleha Yahaya says:

    1 permulaan yg menarik… ;-) ;-)

  5. mierah says:

    bez..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"