Novel : Cinta Dari Istana 10

11 May 2010  
Kategori: Novel

6,348 bacaan 7 ulasan

Oleh : Adah Hamidah

SEPULUH

Bunyi loceng berkali-kali membuatkan aku terpaksa berlari laju menuju ke muka pintu. Apabila pintu aku buka, terpacak Ad di hadapan pagar rumah sambil melambai-lambai tangannya padaku. Mahu tidak mahu, aku terpaksa juga berjalan keluar bagi bertanyakan tujuan kedatangan Ad ke rumah Ra’if. Dengan senyuman yang tidak pernah mati, Ad memandangku. Aku turut tersenyum, sekadar membalas senyuman itu.

“Mahu berjumpa siapa? Abang Arjunakah?” Tanyaku sebaik sahaja sampai di hadapan pintu pagar.

“Nak jumpa Piyalah.”

Terkejut aku mendengar jawapan itu. Mengapa tiba-tiba sahaja Ad ingin berjumpa denganku? Hati bergetar tiba-tiba, tanpa sebarang arahan.

“Eh… silap, Ad nak jumpa dengan abang Ra’if. Tadi petang, dia yang suruh Ad datang rumah. Dia ada kan?” Ad tersenyum lagi, kali ini senyuman itu lebih lebar.

Hilang rasa getar yang tadinya bernadakan resah. Namun hati masih tertanya, mengapa Ra’if memanggil Ad ke rumah? Apa hal yang ingin disampaikan Ra’if. Soalan-soalan yang tidak terjawab itu aku tinggalkan terlebih dahulu di dalam fikiranku. Ada tugas yang lebih penting yang harus aku lakukan sebagai pembantu di rumah itu, iaitu menyambut kedatangan tetamu.

“Oh begitu rupanya, masuklah, nanti Piya panggilkan abang Arjuna!” Aku berjalan seiringan dengan Ad, membawa Ad masuk ke dalam rumah. Apabila Ad mula duduk menunggu di atas sofa, aku segera mendaki anak tangga menuju ke bilik Ra’if untuk menyatakan tentang kedatangan Ad.

Pintu bilik Ra’if aku ketuk perlahan, namun berulang-ulang. Setelah sekian lama, barulah Ra’if membuka pintu biliknya.

“Macam nak roboh pintu ni awak ketuk, kenapa?” Ra’if bersuara, songkok di kepalanya, ditanggalkan.

Melihatkan itu, aku jadi sedar bahawa kelewatan Ra’if membuka pintu barangkali kerana dirinya sedang menunaikan solat. Namun hati jadi marah dengan kata-katanya itu.

Tidak mungkin roboh pintu yang sekeras-keras itu, kalau roboh sekalipun beta mampu membayarnya. Apa Ra’if fikir beta tidak berkemampuan? Marah hatiku.

Sejak Ra’if merejectku tempoh hari, marahku pada lelaki itu timbul semula dan yang paling menyakitkan hati, segala kerja yang aku lakukan sejak kebelakangan ini, semuanya tidak kena pada pandangan mata Ra’if. Ada saja kesalahanku yang sengaja diada-adakannya.

“Ad sudah menunggu abang Arjuna di bawah,” pantas itu aku perkatakan.

“Dah sampai dah? Okey, nanti saya turun. Awak pergi buatkan air!”

Aku mengangguk, menerima kata-kata Ra’if itu sebagai arahan tugas yang harus aku laksanakan. Aku ingin segera ke dapur menyediakan hidangan minuman untuk Ad, tidak mahu Ad menunggu lama. Langkah pantas kuatur untuk turun ke bawah, menuju ke ruang dapur.

“Piya!”

Panggilan Ra’if membuatkan aku yang baru menuruni beberapa anak tangga, kembali menaiki dan mendapatkan Ra’if yang masih berdiri di muka pintu biliknya.

“Buat air teh o dua cawan. Untuk Ad, buat pekat-pekat dan jangan letak gula! Untuk saya, buat macam biasa,” lagi, arahan yang Ra’if berikan. Riak wajahnya bersahaja seperti tiada apa-apa yang tidak kena dengan arahan yang diberikannya itu. Namun, aku dapat merasakan sesuatu yang pelik pada arahan itu.

“Pekat tanpa perlu meletakkan gula? Kalau begitu, bukankah airnya akan berasa pahit abang Arjuna?” Soalku, tidak berpuas hati dengan arahan yang Ra’if berikan.

“Ad tak sihat, cirit-birit. Kita sebagai tuan rumah kena jaga kesihatan tetamu. Dah, jangan banyak tanya, buat aje ikut arahan!” Ra’if masuk ke dalam bilik dan menutup rapat pintunya.

Kini baru aku mengerti maksud disebalik arahan itu, aku tersenyum ketika menuruni anak tangga. Ra’if begitu peka dengan insan-insan disekelilingnya, tidak aku sangka, ada juga sekelumit kemulian di lubuk hatinya. Tidak aku duga, Ra’if sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap orang lain.

Ad bangun, berdiri sebaik sahaja melihat aku menuruni anak tangga. Jadi aku lemparkan senyuman ke arahnya ketika melintasi kawasan ruang tamu itu. Sungguh dia berbudi bahasa, sentiasa menghormati kaum wanita, itu tidak aku nafikan. Ad akan tetap melakukan hal yang sama pada ibu Ra’if. Itulah kelebihan Ad dan aku amat mengaguminya dengan ikhlas.

Dulang berisi air aku tatang penuh berhati-hati, membawanya untuk dihidangkan kepada Ad. Ra’if yang baru saja mengambil tempat duduknya, memandang tepat ke arahku sebelum menyerahkan beberapa buah buku kepada Ad.

“Ni ada beberapa buku rujukan untuk Ad guna bila buat assignment nanti,” Ra’if menyerahkan buku-buku yang tebalnya menyamai kamus. Buku-buku, itu Ad sambut dengan senyuman di bibir.

“Terima kasih bang, menyusahkan abang aje.” Ad membelek sebuah buku di tangannya manakala buku-buku yang lain Ad letakkan sahaja di atas sofa, disebelahnya.

“Untuk Malaysia, Indonesia dengan Brunei, abang rasa rujukan tu dah boleh membantu, tapi Sri Alamar, Ad kena cari kat tempat lain juga, sebab tak banyak maklumat yang abang jumpa.” Ujar Ra’if.

“Tak apalah bang, yang ada ni pun dah cukup banyak. Pasal Sri Alamar tu, nanti saya buat research kat tempat lain. Kalau tak pun, Piyakan ada, boleh tolong. Itupun kalau abang Ra’if tak keberatan.”

Aku yang baru saja hendak meletakkan cawan di atas meja tersentak dengan kata-kata Ad. Merenung mata Ad yang penuh berharap itu, aku memberikan senyuman, tanda berbesar hati untuk memberikan bantuan kepadanya.

Tidak salah rasanya kalau aku membantu lelaki itu, lagipun memang akulah orang yang layak untuk membantunya memandangkan aku merupakan anak jati Sri Alamar. Malah, sepanjang di istana, aku juga ada mengikuti kelas-kelas budaya yang menjadi warisan kepada anak-anak muda bakal penyambung warisan Sri Alamar. Jadinya, pasti tidak menjadi masalah kalau aku menghulurkan pertolongan kepada Ad.

“Kalau Piya tak keberatan, abang tak ada halangan. Tapi, sekarang ni, baik kita minum dulu,” Ra’if serius dengan kata-katanya. Air teh pekat yang baru saja aku letakkan di hadapan Ad, Ra’if angkat semula dan menghulurkannya kepada Ad.

Dengan segera, Ad menyambut cawan yang Ra’if hulurkan dan meneguk terus air di dalam cawan itu. Ra’if pun begitu juga, meneguk air miliknya.

Aku yang baru sahaja hendak berlalu, meninggalkan mereka berdua di situ terhenti serta merta bila melihat air yang diminum Ad tersembur keluar daripada mulutnya. Terkejut aku melihatnya, mengapa pula begitu jadinya?

“Kenapa ni Ad?” Ra’if menyoal bila melihat Ad begitu, mukanya berkerut seribu, seolah-olah menahan sesuatu.

“Tak ada apa-apa bang!” Gagap Ad mengeluarkan bicara itu.

Aku hanya jadi pemerhati di situ, masih berkira-kira, apa yang berlaku pada Ad sebenarnya.

“Ni mesti teh tu pahitkan?” Tanya Ra’if lagi.

“Eh, tak adalah bang,” bidas Ad segera.

“Hmmm… tak payah nak tipu abanglah Ad, abang dah tahu sangat dah. Piya ni mana tahu buat air. Pahit memanjang aje air yang dibuatnya. Belum layak dijadikan calon isteri!”

Aku memandang tajam Ra’if bila dia mengeluarkan pernyataan sebegitu rupa. Mengapa tiba-tiba saja aku yang dipersalahkan, sedangkan aku hanya mengikut arahannya sahaja, bertindak seperti mana yang dimahukannya. Jadi mengapa aku diburuk-burukkan di hadapan Ad. Kejam! Entah apa sebabnya dia ingin bertindak sedemikian.

“Tapi tadi…”

“Dahlah Piya, angkat cawan tu, bawa masuk dapur. Lain kali rasa dulu air tu.”

Ra’if langsung tidak memberikan aku peluang untuk menjelaskan kedudukan sebenar kepada Ad. Rancangan yang diaturnya begitu kemas sehinggakan Ad turut terdiam, pastinya Ad kini membenarkan kata-kata Ra’if. Sakit jiwa ragaku atas apa yang berlaku. Rasa marah pada Ra’if kini sampai pada kemuncaknya, dengan teganya dia mempermainkan puteri sepertiku di hadapan Ad.

Beta tak akan maafkan kamu Ra’if, tunggulah pembalasannya!

Nekad hatiku ingin melancarkan serangan balas. Ra’if semakin melampau sekarang sehinggakan ada kalanya aku merasa jelak dengan perangainya yang mengalahkan budak-budak. Tanpa sebab dan alasan yang munasabah, Ra’if selalu saja sengaja memperlihatkan kebodohanku di hadapan orang lain lebih-lebih lagi ibunya.

Aku benar-benar marah. Kalau pun memang dia tidak ingin disatukan denganku seperti mana yang cuba dirancang oleh ibunya, tidak perlulah dia melakukan begitu. Dia sudahpun menyatakan tentang hal itu kepadaku dan aku tidak pekak dan tuli untuk faham kata-kata dan isi hatinya. Lagipun aku tidaklah begitu bodoh, dengan mudah bersetuju untuk menerimanya sedangkan aku mampu mendapatkan lelaki yang lebih baik daripadanya.

Sekadar rakyat biasa, yang tidak seberapa asetnya, tidak beta hairan akan semua itu. Kehidupan beta di istana 100 kali ganda lebih hebat dan gah! Hati benar-benar marah.

Aku meletakkan cawan kepunyaan Ad kembali ke dalam dulang, kemudian dengan rasa marah yang amat, aku melangkah laju ke dapur. Panas betul rasa hatiku saat itu, hanya tuhan saja yang mengetahuinya. Seumur hidupku, belum pernah aku rasa marah sebegitu, ituah kali pertamanya dan aku amat pasti itu juga bukan kali yang terakhirnya. Cawan di dalam dulang aku letakkan ke dalam sinki dan segera aku membancuhkan air minuman yang baru buat Ad. Kasihan Ad, tidak fasal-fasal, dia menjadi mangsa rancangan Ra’if yang entah apa-apa motifnya.

Ad sudahpun berada di muka pintu bersama buku-buku yang dipinjamkan oleh Ra’if sewaktu aku membawa minuman yang baru kubancuh untuknya. Pastinya dia sudah mahu pulang ke rumahnya. Jika begitu, sia-sia saja aku menyediakan kembali minuman buatnya. Ra’if juga berada di pintu, seolah-olah tidak sabar mahu menghantar Ad keluar.

Muka Ra’if keruh ketika melihat aku membawa cawan masuk ke ruang tamu. Melihatkan wajah Ra’if itu, hatiku jadi kurang senang. Ra’if pastinya tidak menyukai tindakkanku memandangkan dia tidak memberikan arahan itu kepadaku. Sudahlah busuk hati, bakhil pula tu! Marahku dalam diam pada Ra’if.

“Tidak mahu minum dahulu?” Tanyaku pada Ad. Ra’if sedikitpun tidak aku hiraukan, andai dia marah sekalipun aku tidak takut. Dia yang menyusun galur rancangan yang membuatkan aku malu, setidak-tidaknya aku mahu menebus rasa malu itu dan membuktikan bahawa kata-kata Ra’if langsung tidak boleh dipercayai.

Aku berjalan terus membawa cawan berisi air itu ke muka pintu, Ad tersenyum kemudian cawan itu Ad sambut dan menghabiskan air di dalam cawan itu sekelip mata. Puas hatiku bila air itu habis diminumnya. Kini, tiada apa-apa lagi yang ingin aku buktikan pada Ad, semuanya telah jelas dan nyata bahawa aku bukanlah seperti apa yang Ra’if perkatakan.

“Abang Ra’if, kalau tak jadi masalah, boleh tak saya dapatkan nombor telefon rumah ni? Bukan apa, kalau ada perkara yang saya tak faham pasal sastera Sri Alamar, boleh saya tanya pada Piya. Nak telefon handphone Piya, dia tak ada handphonelah pula,” Ad bertanyakan tu ketika menyerahkan kembali cawan yang telah kosong itu padaku.

“Ad ambil nombor handphone abang ajelah, kalau ada apa-apa hal, Ad telefon aje abang,” lama Ra’if mendiamkan diri sebelum membuat keputusan itu.

Ad tersenyum kecil kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya dan menekan punat-punat nombor pada telefon itu seperti yang diberitahu Ra’if.

Bila Ad mengundur diri, aku segera ke dapur menghantar sekaligus membasuh cawan-cawan yang telah digunakan. Ra’if terus saja naik ke biliknya, langsung tidak berkata apa-apa walau sepatah. Maaf pun langsung tidak dia hulurkan atas kesalahannya. Ekspresi wajah yang ditunjukkan Ra’if sudah cukup untuk membuat aku mengerti bahawa dirinya sedang marah dan berada dalam emosi yang kurang sihat, emosi yang hanya akan mematikan sel-sel hidupnya.

Aku pula, tidak mahu mengambil peduli tentang hal itu, sememangnya Ra’if begitu sukar difahami, angin satu badan sehingga menyebabkan ribut taufan melanda tanpa mengira masa. Apa yang lebih merisaukan adalah yang menjadi mangsanya tidak lain dan tidak bukan, akulah orangnya!

DARWISYAH begitu asyik mewarnakan buku yang terlukis pelbagai gambar di dalamnya. Aku duduk betul-betul di sebelahnya, sesekali aku menyusap rambut Darwisyah yang lembut itu. Bukan aku sahaja yang menjadi penemaannya dikala itu, patung beruang kesayangannya turut ada sama di samping Darwisyah. Masih tiada sebarang clue yang boleh membuatkan aku dapat meneka dengan tepat apa keistimewaan anak patung itu? Tiada juga sebarang pembayang yang mampu menyebabkan aku mengheret jawapan yang sering membuatkan aku tertanya-tanya ketika melihat anak patung itu. Apa yang pasti, sudah tentu Darwisyah mempunyai jawapan yang aku cari.

Ketika ibu Ra’if melangkah ke arah kami, hatiku mula rasa kurang sihat. Senyuman yang tersimpul dibibir ibu Ra’if itu membuatkan jiwaku jadi keluh kesah. Ibu Ra’if duduk di antara aku dan Darwisyah, dia mencium lembut pipi cucunya itu sebelum mengalihkan perhatiannya kepadaku. Pandangan jernihnya itu membuatkan rasa rinduku pada ibunda mencengkam kuat. Entah apa keadaan ibunda sekarang?

Maafkan puteri, ibunda. Puteri terpaksa melakukan ini untuk kebaikkan semua! Sengaja hati menjelaskan.

“Piya, pasal hal Ra’if, mak cik harap Piya dapat pertimbangkan. Mak cik tahu permintaan mak cik ini keterlaluan, tapi mak cik tahu, hanya Piya yang boleh membahagiakan Ra’if dan menjaga Puteri dengan baik,” tanganku dipegang erat oleh ibu Ra’if. Sentuhan yang penuh dengan pengharapan.

Jikalau berpeluang, aku juga ingin memenuhi permintaan itu. Tapi apakan daya, aku tidak boleh melakukan itu. Sudah terang-terang Ra’if tidak mahu menerimaku, takkan aku pula terhegeh-hegeh menagih cinta daripada orang yang tak sudi. Lagipun, akukan seorang puteri, pasti jatuh martabatku memberikan cintaku pada rakyat biasa. Alasan-alasan yang aku cipta itu sekadar untuk menyedarkanku bahawa aku tidak boleh sama kali terlibat dengan percintaan yang rumit itu.

“Maaf mak cik, rasanya Piya tidak dapat menunaikan permintaan itu. Lagipun Piya dapat merasakan bahawa abang Arjuna tidak dapat menerima Piya. Piya tidak layak untuk abang Arjuna,” aku bermain dengan kata-kata, agar tidak terlihat aku dengan sengaja menolak cadangan itu.

“Kalau pasal itu, tak payahlah Piya risaukan. Mak cik ada caranya!” Ibu Ra’if cuba menyakinkanku.

“Tidak mengapalah mak cik, Piya yakin, ada wanita yang lebih baik daripada Piya untuk abang Arjuna,” sedaya upaya aku menolaknya walaupun hati berasa galau dengan tindakanku itu.

Seboleh-bolehnya, aku ingin mengatakan ya dan berharap ibu Ra’if akan melakukan sesuatu, agar Ra’if juga dapat merasakan perasaanku padanya ketika ini. Namun aku tidak boleh mementingkan diri, duniaku dan Ra’if terlalu jauh bezanya, dan kekangan ini hanya mampu menjadi faktor penolak kepada cintaku.

“Rancak berbincang, ada apa-apa yang Ra’if tak tahu ke mak?”

Ra’if muncul tiba-tiba, kemunculan yang langsung tidak kena pada tempat dan masanya. Ra’if turut sama mengambil tempat duduk, dan aku kurang senang bila Ra’if ada di situ. Bukannya apa, setiap kali Ra’if ada, setiap kali itulah organ-organ dalamanku mula berhempas pulas, tidak reti duduk diam. Seperti selalu, hati terasa gegaran kuat, mencecah 9.0 sekala richter, jiwa pula berombak besar, sehebat ombak tsunami itu belum aku ambil kira tentang ginjal, paru-paru dan lain-lain organ yang turut memberikan impak yang sama. Sampai bila aku mampu bertahan dengan rasa-rasa itu, aku sendiri tidak tahu.

“Wah, pandainya anak ayah mewarna!” Ra’if melambung-lambung tinggi, memuji anaknya dan Darwisyah tersenyum bangga, menerima pujian daripada ayahnya itu.

“Ra’if, mak ada hal nak cakap dengan Ra’if ni.”

Aku lekas bangun, tidak mahu Ra’if menganggap bahawa apa yang akan diperkatakan oleh ibunya itu, datangnya daripada mulutku. Aku sudah menolak perkara itu berkali-kali, namun aku tidak berdaya melakukan itu berseorangan. Ra’if seharusnya bertegas untuk tidak menerima cadangan itu dengan tekad yang membulat.

“Piya nak pergi mana? Duduk dulu,” arahan daripada ibu Ra’if itu tidak dapat aku engkar. Jadi, aku duduk semula ditempatku.

“Apa halnya ni mak?” Tenang saja wajah Ra’if.

“Minggu depan Puteri cuti seminggukan? Jadi mak rasa, mak nak balik kampung, bawa Puteri dengan Piya sekali. Lama dah mak tak balik kampung, rindu pula pada rumah mak tu.”

Balik kampung! Aduhai… hatiku tidak senang mendengarnya. Pasti di situ rasa lebih tidak selesa. Bagaimana rasanya hidup di kampung? Pasti akan lebih menyusahkan!

“Ra’if tak boleh nak ambil cutilah mak, banyak sangat kerja kat pejabat tu. Lain kalilah kita balik kampung.” Ra’if membantah dan aku amat bersetuju dan senang dengan bantahan yang Ra’if ajukan.

“Apa pula kena mengena dengan Ra’if? Mak nak balik kampung dengan Puteri dan Piya aje, Ra’if kerjalah macam biasa, nak ambil cuti tu, nak buat apa? Mak boleh balik naik bas aje,” ternyata, bantahan Ra’if tidak diterima oleh ibunya.

“Alah mak, rindulah Ra’if pada Puteri nanti.” Ra’if memandangku bila itu dinyatakannya dan aku tertunduk bila melihat anak mata Ra’if tertumpu padaku.

“Bukan lama pun, mak balik tiga hari aje. Dah, kamu jangan nak mengada-ngada. Esok belikan tiket, kalau tidak, siap kamu mak kerjakan!”

Dengan adanya keputusan itu, maka aku terpaksa juga mengikut ibu Ra’if pulang ke kampungnya. Agenda yang berlaku secara tiba-tiba itu, pasti ada rencana disebaliknya. Tidak pasal-pasal, aku terlibat sama.

Mengapalah nasib beta sebegini rupa? Soal hatiku sedih.

LEGA hatiku bila Darwisyah begitu lena sekali. Aku membetulkan selimutnya, selepas itu barulah aku bergerak untuk keluar daripada bilik Darwisyah. Apabila pintu kubuka, aku terserempak dengan Ra’if. Pasti, Ra’if juga baru membuka pintu biliknya dan ingin keluar daripada biliknya itu. Makanya, kami bertembung dan mata kami bertaut sehingga menghasilkan bibit-bibit resah dihatiku. Tidak mahu memandang Ra’if lama, aku segera saja memutuskan pandangan itu dan berjalan untuk turun ke bawah.

“Piya!”

Aku menoleh pantas ke arah Ra’if bila terdengar dirinya memanggilku. Itulah yang akan berlaku bila Ra’if memanggilku, seperti kepalaku dan suaranya mempunyai tarikan magnet yang kuat. Bila terdengar saja panggilan Ra’if, secara automatik, aku akan segera berpaling ke arah Ra’if sepantas kilat. Tapi yang peliknya, kadangkala, aku tetap memandang wajah Ra’if walaupun dia tidak memanggilku. Barangkali sudah menjadi suatu kebiasaan sehinggakan aku terbawa-bawa.

“Tunggu saya kat bawah sekejap!”

Aku menganggukkan kepala, kemudian aku turun ke ruang tamu, menunggu Ra’if di situ. Apa pula yang ingin Ra’if bicarakan kali ini? Aku sudah nekad, kalau Ra’if masih membicarakan hal yang sama iaitu mengingatkanku supaya menolak cadangan ibunya, aku akan menjelaskan bahawa itu sudah aku lakukan.

“Nah!” Ra’if menyerahkan satu bungkusan plastik kepadaku sebaik sahaja dia sampai di ruang tamu itu.

Aku agak terkejut dengan pemberian itu, namun pemberian itu tetap aku sambut. “Untuk Piya?” Aku bertanya sekadar untuk mendapatkan kepastian, benarkah bungkusan itu milikku? Dan apabila Ra’if mengangguk, aku membuka plastik bungkusan itu.

Melihat kotaknya sahaja, aku sudah tahu isinya. Aku tersenyum, Ra’if menghadiahi aku telefon bimbit berjenama nokia. Modelnya 2600 Classic, hatiku tergelak kecil. Tiada apa yang lucu tentang pemberian itu, cumanya, jika difikirkan semula, aku sudahpun mempunyai telefon bimbitku sendiri, sepuluh kali lebih canggih daripada itu. Namun aku bersyukur, sekurang-kurangnya Ra’if prihatin juga pada diriku ini. Tidak sangka Ra’if akan membelikan aku telefon bimbit, pasti kata-kata Ad tempoh hari yang membuatkan Ra’if bersimpati dan seterusnya memberikan telefon bimbit itu padaku.

“Rasa kasih buat abang Arjuna!” Ucapku tanda berterima kasih. Ra’if pula sekadar tersenyum.

“Ni, pula gaji awak untuk bulan ni!” Ra’if menyerahkan pula sampul surat berwarna coklat kepadaku. Kemudian, Ra’if terus ke dapur, mungkin kehausan.

Aku menyambut hasil kerja, penat lelahku itu dengan senyuman yang panjang. Hampir terlupa sudah sampai waktunya untuk aku menerima gaji di rumah itu. Gaji pertamaku, langsung tidak aku usik dan aku akan jadikan itu kenangan yang akan aku simpan sampai bila-bila.

Aku membuka sampul surat itu, tergerak pula hati untuk mengira hasil kerjaku itu. Bukan tidak percaya pada Ra’if, tapi entah kenapa hatiku memberontak untuk membuka sampul itu dan mengiranya. Aku tahu, Ra’if sentiasa menepati janjinya, dia menjanjikan untuk memberikan aku enam ratus ringgit sebulan atas usaha kerasku mengasuh Darwisyah dan Ra’if benar-benar melakukan itu. Pada bulan-bulan yang sebelumnya, aku memang menerima enam ratus ringgit, sedikitpun tidak kurang.

Aku mengira sekali lagi wang yang aku terima itu. Tetapi, masih juga tidak cukup, kurang lagi dua ratus ringgit. Aku menyelongkar sampul surat itu, koyak rabak jadinya, namun tiada satu keping pun yang tertinggal. Jadi, dimana menghilangnya lagi dua ratus ringgit itu. aku tidak berpuas hati, makanya, aku ingin bertanyakan hal itu kepada Ra’if. Kalaupun Ra’if yang memotong gajiku, sekurang-kurangnya aku tahu, atas kesalahan apa gajiku ditolak.

“Abang Arjuna, mengapa gaji Piya pada bulan ini kekurangan dua ratus ringgit?” Segera aku bertanyakan itu kepada Ra’if bila Ra’if keluar daripada dapur. Ra’if kulihat tersenyum, jadi aku tahu, pasti Ra’if tahu tentang kekurangan wang itu.

“Awak ingat, handphone yang saya bagi pada awak tu, saya dapat percuma ke? Saya dah tolong belikan pun dah kira bagus.”

Senang saja Ra’if menjawab pertanyaanku. Rasanya seperti tidak mahu aku memberikan markah penuh kepada jawapan itu. Tiada logiknya langsung! Mana mungkin dengan sesuka hati Ra’if menggunakan wang gajiku, membelikanku telefon bimbit. Aku langsung tidak memintanya apatah lagi mengarahkannya. Jadi ini tidak adil!

Aku yang masih lagi tergamam, tidak mampu membidas kata-kata Ra’if bagi menegakkan keadilan untuk diriku sendiri. Aku sangka, Ra’if begitu baik hati membelikanku telefon bimbit. Rupa-rupanya, wang gajiku yang Ra’if gunakan untuk membelinya. Ingin saja aku mencampakkan telefon bimbit itu ke lantai. Geram! Cukup geram!

“Oh, satu lagi, kad sim handphone tu awak beli sendiri okey, tak sampai hati pula nak potong gaji awak lagi. Tapi pastikan saya dapat nombor awak sebelum awak ikut mak saya balik ke kampung, faham!”

Aku hanya mendengar arahan itu tanpa sebarang kata. Cis! Bedebah, benar-benar melampau si Arjuna ini. Hatiku yang marah menghantar Ra’if yang tersenyum ke biliknya. Rasa seperti ingin saja aku lari dari rumah itu, namun ada sesuatu yang menghalang. Aduh! Hati ini selalu saja begitu, mendesak dan terus mendesak aku untuk tinggal di situ.

Arghhhh!!! Benci! Benci! Benci! Bentak hati, pura-pura meletakkan Ra’if sebagai musuh tradisi. Walhal, sudah mula hanya ada dia di hati.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

7 ulasan untuk “Novel : Cinta Dari Istana 10”
  1. bungaraya says:

    seronok baca novel ni….. :lol:

  2. sofi says:

    adah, bestnyaaaaaa!

    kak sofi nak lagi, cepat sambung ya!

  3. Siti Soleha Yahaya says:

    cemburunya Raif…..
    kelakar pun ada….
    Best…best…. ;-)

  4. Adah Hamidah says:

    Terima kasih pada semua yg m’berikan sokongan
    saya amat menghargainya… :lol: :lol: :lol:

  5. Ilya says:

    Bestlah adah…nice n sweet your story ;-) :mrgreen: :mrgreen:

  6. hafzan sarah says:

    best sgt..ralik baca
    keep it up!!

  7. adila says:

    tahniah buat penulis.best citer ni

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"