Novel : Kemilau Karya Kasih 8

11 May 2010  
Kategori: Novel

1,747 bacaan 8 ulasan

Oleh : Noorfadzillah

Bab 8

KIAN berdetik kian mengejar. Kian berdetik dikejar waktu. Langkah-langkah sepasang kakinya semakin kencang melalui di antara celah-celah tubuh warga kota. Meskipun waktu tetap berjalan membiarkan kemampuan menakluk keadaan dia mencuba bersikap santai. Kenangan semalamlah menyuntik semangat dan perjuangannya. Bahawa kemarin adalah pengajaran dan memori yang disimpan dalam lipatan sejarah hidupnya. Besok adalah impian masa kini yang harus diperjuangkan. Melestarikan impian yang hampir tersadung.

Lalu membawa diri yang saling tak mengenali bersama dengan urusan duniawi. Mengejar setiap detik dan kesempatan demi meraih kesuksesan yang menjadi keinginan setiap jiwa. Entah apa yang harus dikejarkan di dunia realiti sedangkan yang lebih kekal adalah di alam sana. Namun bukankah jiwa yang masih dikandung ini harus dibawa meneruskan sisa hidup selagi berkesempatan.

Lantaran ingatannya cukup tajam tentang perbincangan mengenai strategi masa depan syarikat pagi itu. Sepasang matanya layu masih lagi terasa dengan kantuk yang amat berat sekali. Masakan tidak dia begitu leka dengan laman web peribadinya sehinggalah jam tiga pagi. Sesungguhnya kesepian yang menggerogoti jiwa lelakinya begitu merindukan kehadiran isteri tercinta. Mujur dia bisa sedar di ambang subuh pagi tadi. Itulah berkat dari semangat yang terus menghuni sekepal hati Novelis yang terus menyahut cabaran dengan teman seperjuangan.

Pintu lif hampir tertutup laju bagai mengacah hati yang sedang mengejar detik sebelum waktunya. Semakin laju kayuhan kakinya yang kini menghalang bongkah mesin bergerak dengan menekan butang itu. Namun dia tetap ketinggalan hanya membiarkan berlalu begitu sahaja. Bagai desiran angin berlalu tanpa mengendah tubuh merangkul nikmat itu. Keluhan terluah seiring dengan helaan nafas halus. Deria telinganya menangkap suara seseorang yang cukup dikenali memanggil-manggil namanya. Spontan dia berpaling mempamerkan riak wajah sembap dan keletihan. Sejujurnya dia tiada hati untuk berbicara dengan sesiapa pagi itu.

Raut wajah teman baiknya menghantar senyuman sepantas kilat kepada deria pandangannya. Melontarkan pertanyaan tentang kelewatannya yang jarang sekali dia lakukan. Sepasang pakaian sut eksekutif serba hitam dengan tali leher biru menampakkan paras kacak lelaki berwajah cina baba nyonya Melaka itu. Tidak kurang hebat dengan penampilan dirinya yang mengenakan sut pejabat eksekutif jenama Omar Ali. Pandangannya menangkap minuman tin yang merenek-renek air dingin digenggam erat tangan Khalid. Awal pagi lagi lelaki itu membasahkan anak tekak dengan minuman gas. Dia merungut di dalam hati.

“Traffic jamlah.” Mulutnya ternganga sedikit menguap memberikan kepuasan. Segera ditadahkan dengan telapak tangannya sambil mengerling ke arah Khalid meneguk minuman tin itu. Seperti temannya, dia lalu mendongak ke angka-angka mewakili setiap tingkat bangunan itu dengan lampu kelap-kelip menunggu giliran. Mesin bongkah itu bergerak laju membawa jasad yang memerlukan khidmat serba canggih.

“Atau lambat bangun.” Teman baiknya sekadar menduga. Tetap mendongak ke arah yang sama tanpa berkalih ke sisinya.

Senyuman terburai tandanya benar. Mahu tidak lambat bangunnya kalau selepas menunaikan solat subuh tadi dia terlelap kembali. Kelam-kabut dibuatnya hampir saja dia tidak mandi pagi. Sudahnya dia menadahkan paras yang seperti kata Khalid sentiasa menggetarkan hati wanita dengan sisa keletihan. Pintu lif terbuka luas. Mereka berdua masuk bersama dengan tiga penghuni bangunan itu. Khalid yang berdiri di sebelahnya menekan butang angka lima menunggu dengan sabar ke tingkat yang menempatkan pejabat mereka bekerja.

“Kau buat apa semalam?” Pertanyaan Khalid terus disuakan untuknya tetapi bisa didengar seisi lif. Ketika kebisuannya mewakili keletihan yang menghuni dalam dirinya. Ketika suara Khalid tersua hanya untuk dirinya. Ketika paras kacak itu bersembunyi di balik kantuk yang masih ditahan-tahan. Teman baiknya tetap saja ingin mencelah hari-harinya dengan gurauan pagi. Gurauan berbaur 18SG hanya untuk lelaki dewasa membuat kantuknya direnggut dari kesedaran.

Dia menjeling tajam dengan kerutan bertingkat lantas menumpahkan keluhan yang menggeletek hati tegarnya. Sekilas dia menoleh kepada tiga penghuni yang tak dikenali dengan paras mendatar. Tiada senyum. Tiada tawa. Apatah lagi tiada paras yang mempamer sebarang reaksi. Akhirnya dia menggeleng sendiri untuk Khalid yang masih tersenyum-senyam tanpa rasa malu.

Pintu lif terbuka memuntahkan dua sosok lelaki gagah menghala ke pejabat milik Dato Malik tuan punya syarikat Akademi Pengurusan Pena Gemilang. Di tingkat lima itu saja ada 5 syarikat besar beroperasi dipandang sekilas setiap pekerja yang berselisih. Sekali lagi dikalih kepada Khalid yang sedang meneguk minuman gas itu. Rambut Khalid dirapikan dengan gel itu disikat ke belakang sentiasa kelihatan berminyak dan kemas. Sedangkan dia nampak mengancam dengan dagu lekuknya. Langkah mereka selari menuju ke pejabat urusan Akademi Pengurusan Pena Gemilang. Sebuah syarikat perunding latihan, bengkel dan motivasi untuk dunia penulisan. Cukup lama bertahan di kota metropolitan itu dengan tegar dan maju selama lebih dari 20 tahun. Lebih banyak berurusan dengan agensi-agensi kerajaan dan syarikat gergasi swasta.

Seorang pekerja perempuan atau Receptionist itu menyambut kedatangan mereka dengan ucapan selamat pagi kepada kedua lelaki merangkap pekerja emas Dato Malik. Dengan baju kurung berwarna kuning cair dan gaya rambut diikat satu gadis itu kelihatan manis dan ayu. Hubungan antara pekerja di syarikat itu begitu profesional, baik dan mesra. Sheila gadis lepasan SPM sedang menunggu keputusan peperiksaan menjadi pekerja sementara begitu manja dan mencuit hati lelaki mana saja. Namun dia adalah lelaki yang mengenal batas diri setiap kali berkomunikasi dengan gadis yang ditimbang sebagai adiknya.

Senyuman dilontar kemas dengan sopan tetapi mengesankan. Melihat sebuah meja bujur kayu dihiasi bunga plastik digubah dari florist. Ada satu set sofa tempat duduk tetamu sementara sebelum diiringi ke dalam ruangan operasi. Terasa segar dan nyaman dengan bau haruman lavender di ruangan itu. Hanya Khalid terus berlabuh di sisi meja Receptionist itu menggoda gadis polos itu dengan gurauan yang membuat tawa dan senyum Sheila terungkap. Dia menggeleng kepala dengan telatah Khalid tak habis-habis menyakat dan bergurau setiap kali singgah ke meja Sheila.

“Tak ada novel untuk saya ke?” Gadis itu tersengih memandangnya. Riak wajah itu tampak malu-malu kucing. Selalunya pekerja muda itu hanya menyapa dengan ucapan selamat dan senyuman saja. Bila memohon sesuatu kepada dia kelihatan bahasa tubuh gadis itu janggal berkomunikasi dengannya.

Langkahnya terbejat tidak jadi berjalan untuk membuka pintu menghala ke dalam. Sekali gus menghantar mesej ke otak agar berpaling menghadap gadis itu. Khalid yang masih berdiri di samping Sheila hanya memerhatinya. Wajah teman baiknya selamba mendengarkan permintaan gadis itu.

“Sheila nak juga ke?” Soalan itu membuat gadis itu tergelak kecil.

Apakah soalan yang diajukan kedengaran stereotaip atau terlalu bodoh untuk gadis sebijak Sheila? Sedangkan dia sendiri melihat Sheila terlalu mengkagumi karya-karyanya sebelum mengetahui dialah Majnun sebenarnya. Semuanya atas ulah Khalid yang membocorkan rahsia dirinya yang disimpan kemas kerana tidak sukakan publisiti dalam pejabat.

Wajah polos Sheila terpancar girang dan berseri-seri sebaik saja dia berjanji akan membawakan novel baru yang lengkap dengan tandatangannya. Sebenarnya ada apa dengan tandatangan seorang penulis? Dia masih belum mendapat jawapan itu sehingga saat ini. Namun sebagai memenuhi dan memberi kepuasan kepada peminat-peminat Majnun dia turuti saja.

Bukankah senyum Sheila itu ibarat menyemat bintang di ulas bibir itu. Bagai bulan menyimbah cahaya ke paras polos gadis itu. Girangnya ibarat mendengar ayat-ayat puitis. Kebahagiaan Sheila bagai memandang adiknya Farhana yang selayak dipanggil adik.

Bibirnya terpahat dengan senyuman tatkala mendengar ucapan terima kasih Sheila yang tak sudah-sudah. Senyuman yang bisa membuat siapa saja bahagia meskipun tanpa sebab ia dilontarkan. Umpama seberkas cahaya lilin dalam kegelapan menjirus kesangsian mahupun ketakutan diri. Begitulah sebuah senyuman insan hanya akan melenyapkan keraguan dan ketidakyakinan diri.
Dia menyedari dengan kedatangan dua warga syarikat yang baru memasuki ruangan pejabat itu. Ucapan salam sejahtera berbalas antara warga kerja. Khalid sudah bergerak dari sisi Sheila dan mencari bakul sampah yang berdekatan meja penyambut tetamu lalu mencampak tin minuman gas itu ke dalamnya. Seiring dengan itu ucapan salam dan sejahtera saling berbalas dengan rakan sekerja yang keluar masuk dari pintu pejabat sebagai laluan ke ruangan dalam.

“Kalau tak pun Sheila keluar dengan abang dulu baru boleh dapat novel terbaru Majnun. Amacam?” celah Khalid. Ada mata nakal merayap wajah gadis polos yang berusia 18 tahun itu. Sepasang kening Khalid terangkat-angkat mengusik gadis itu. Sheila menjuih mulut tidak setuju terserlah sikap keanak-anakan yang mencuit hati. Khalid tergelak.

Sedangkan dia menggeleng tidak berkenan dengan bunyi ucapan Khalid. Suka sangat Khalid mengusik gadis itu. Namun usikan yang bisa melahirkan senyum dan tawa siapa saja bermakna tiada buah bicara yang menyinggungkan hati. Lantas beroleh keceriaan yang menjadi penawar segala kekusutan. Malah kata penyanyi dangdut Dato M Daud Kilau usik mengusik membawa bahagia.
“Jangan dilayan Khalid tu Sheila nanti dibawanya ke mana-mana pula. Novel tak dapat bala pula yang muncul.” Khalid tergelak besar. Sudahnya dia dan Sheila juga bergabung dalam tawa Khalid.
“Kau ni tak bagi aku peluang nak mengorat Sheila langsung. Lainlah dengan kau memang ada pemuja rahsia,” usik Khalid. Langkah mereka seiring menuju ke ruangan pejabatnya. Namun langkah Khalid membelok terus menuju ke ruangannya.

Sebaik melangkah masuk ke dalam ruang pejabatnya dia meletakkan beg kulitnya di atas meja kerjanya lalu menyalakan alat penghawa dingin meregangkan ketegangan dalam diri. Dikeluarkan beberapa draf kertas kajang untuk dibawakan ke dalam perbincangan nanti. Ngilu dan pedih perutnya minta diisikan. Baru tersedar dia belum bersarapan menjana tenaga dalam tubuh yang kian meragam.
Melihat fail-fail bertimbun di atas meja itu hanya ditatap sepi. Dia harus meneliti isi fail berkenaan yang berkisarkan dengan masa depan syarikat itu. Sebagai perunding dan penasihat syarikat kesibukannya terlalu padat dengan jadual bengkel dan urusan luar. Tambahan pelancaran novel terbarunya juga mendapat permintaan dari serata negeri untuk menaja dirinya membuat promosi yang kebanyakannya adalah syarikat toko buku terbesar. Sejak tiga tahun lalu barulah karya itu lahir seiring dengan kebangkitan semangatnya demi permintaan Kelab Peminat Majnun.

Masuk Khalid ke ruangan pejabatnya tanpa mengetuk pintu. Hanya sekilas dia memandang kedatangan Khalid yang sudah biasa keluar masuk ke ruangan masing-masing. Khalid berlabuh di kerusi hadapan meja kerjanya lalu memaklumkan mengenai perbincangan yang dijalankan bersama Dato Malik, dirinya, Khalid dan ketua-ketua bahagian telah dibatalkan sebentar tadi. Lantaran dia yang ingin mengambil fail di rak belakangnya terbejat sebaik saja mendengar makluman itu. Sudah tentu rasa ingin tahu segera dilahirkan. Bukankah Dato Malik yang paling beria-ia sekali untuk mengadakan perbincangan yang menentukan kemajuan syarikat itu?

Lantas jawapan selamba Khalid tetap saja membalas dengan seloka pagi alias humor tentang majikannya yang beristeri pucuk muda.

“Bini muda nak bersalin kut,” seloroh Khalid lalu tumpah satu tawa dari lelaki itu. Faris Raiyan menggeleng senyum mendengarnya. Satu pejabat sedia maklum kalau Dato Malik mempunyai dua isteri. Malah isteri mudanya itu berusia 20 tahun. Lelaki yang berusia 50 tahun itu hebat mencari madu untuk isteri yang berusia 48 tahun. Dia tidak ingin mengulas lebih lanjut berkenaan dengan dunia poligami.

“Isteri dia mengandung ke?” Faris Raiyan sekadar ingin tahu. Khalid menjongket bahu.

“Aku acah je. Mana aku tahu isteri muda dia mengandung ke tak. Kau ni ambil serius sangatlah.” Khalid menyilang kaki.

“Mereka pun dah berkahwin lebih dari setahun. Boleh jadi juga.”

Hanya sekali saja dia pernah melihat wajah isteri muda Dato Malik. Memang menawan malah paras madu kepada Datin Dahlia yang layak bergelar anak. Datin Dahlia sangat peramah dan rajin mempelawa dia dan Khalid makan di Vila Kesuma Dewi. Malah bukan sekali dua juga wanita yang banyak bercakap dan sering menjodohkannya dengan mana-mana wanita sampai dia alah untuk menerima pelawaan isteri tua Dato Malik lagi.

Malas dia memikir lebih jauh perihal rumahtangga majikannya itu. Hanya Khalid saja yang beria benar menduga-duga pembatalan secara tiba-tiba oleh Dato Malik. Habisnya dia menempelak teman baiknya mengalahkan www.murai.com. Meskipun dia faham bukan itu maksud tujuan kedatangan Khalid. Terlanjur gurauan singkat menjadilah topik berkembang sendiri.

Lantas arah perbualan itu bertukar haluan berkisar tentang bengkel-bengkel penulisan yang akan diadakan Sabah dan Sarawak juga. Menurut Khalid juga dia ada mendengar tentang pelan itu akan dimasukkan secara aktif mulai beberapa bulan ke depan. Jadual itu yang akan dimasukkan dalam perbincangan itu. Penerangan dan perbualan yang sudah berjalan jauh rupanya Khalid berbicara untuk diri sendiri.

Khalid yang sudah berhenti berbicara duduk santai di atas kerusi baldu itu. Sedangkan dia, jasadnya masih duduk diam hanya rohnya saja sedang menelusuri setiap lamunan yang diciptanya. Fikirannya melayang-layang entah ke mana. Kebelakangan ini dia asyik hilang tumpuan. Mengungkap kenangan arwah isteri yang datang dalam waktu yang tidak tepat. Tawa dan senyuman arwah Nurfatihah seolah-olah mengingatkan pesanan terakhir itu.

Khalid mengawang-awang tangannya tanpa dia menyedarinya. Bagaikan berhadapan dengan roh yang bersifat halimunan yang tidak dilihat dengan mata kasar. Akhirnya Khalid mengetuk meja dengan keras. Khayalan itu tergeletek pecah. Meraih kembali riak Khalid yang ditinggal seminit dua tadi.

“Kau ni aku tengok asyik berkhayal saja. Ada masalah ke?” Faris Raiyan mengeluh kecil. Dia menghenyakkan belakang badan ke kerusi baldu itu. Keletihan sejak malam tadi masih lagi menghuni tubuh gagah itu. Lantas kepala digeleng menidakkan pertanyaan Khalid.

Hanya senyum lemah saja yang disuakan bila Khalid mengatakan tiga tahun yang sudah berlalu itu hanya layak dilipat dalam album kenangan saja. Tangan Khalid yang menyentuh ke dada melambangkan hati simbolik kepada album kenangan. Bukankah terlalu mudah berbicara kalau bukan diri sendiri yang mengalaminya.

Lalu sepasang matanya menangkap Khalid mengalihkan tangan ke sisi kepala mewakili otak yang menurutnya harus membuang rakaman kisah sedih itu. Sedangkan dia hanya menarik nafas dalam-dalam membiarkan saja temannya bercakap dalam bentuk falsafah, psikologi atau yang sekutu dengannya. Apa bezanya simpan di dalam hati dan bukan di otak. Bukankah kedua-duanya berkaitan dalam merasa dan berfikir. Umpama lirik lagu dan melodinya. Bagaikan bunga dengan durinya. Begitu juga Adam dan Hawanya. Jadi apa bezanya simpan di dalam hati dan otak. Malas dia ingin berdebat dengan Khalid dan bukan saatnya dia berbual kosong.

Tapi Khalid cukup yakin menduga malah tidak pernah bosan bertanyakan hal yang sama sejak tiga tahun berlalu. Tidak pernah putus asa untuk membangkitkan semangat yang kian luntur. Tidak pernah berhenti mengajukan permintaan yang persis dengan amanat arwah isterinya.

Sudahnya dia tetap diam dan duduk menyandar. Malas juga mengangguk, menggeleng dan mengiyakan kebenaran ucapan teman baiknya. Bukan dia tidak faham dengan sikap Khalid. Sekali dia berbahasa tubuh sudah pasti isu lain ditimbulkan lagi. Malah sudah berbuih mulut Khalid mengesyorkannya untuk mencari pendamping hidup. Kenapa mesti dia yang menjadi persoalannya sedangkan Khalid juga masih bujang dan wajib mencari suri hatinya.

Lalu persoalan tentang mencari pengganti diungkitkan lagi. Ah! Letih kepala otaknya menerima soalan silang kata tentang jodohnya. Khalid mula lagi. Betulkan? Tak perlu dia memikir jauh apa selanjutnya arah perbualan itu. Persoalan yang sama terus diulang-ulang dan ungkit tanpa rasa jemu. Dia cukup masak dengan ucapan selanjutnya. Sudahnya dia mengalihkan topik yang perlahan-lahan menjadi tajuk penting dengan menarik fail yang terletak di dalam tray hitam.

“Cari seseorang yang boleh menyerikan hidup kau. Pendamping seumur hidup. Meluahkan kasih sepanjang masa. Wanita yang sebaik-baiknya. Seorang ibu yang melahirkan anak kau. Isteri. Itu yang perlu kau lakukan.” Ungkapan yang sama. Malah dia boleh mengulang kembali setiap bait-bait kata itu di benaknya. Seolah-olah membaca satu skrip yang sudah dirakam di kotak fikiran. Bukan itu juga satu kenyataan yang cukup stereotaip. Andai saja dia bia melakukan satu hal saat ini. Bosan!!! Ingin diteriak sepuas-puasnya.

Mendengar ajuan kata Khalid saja mengajak mindanya membayangkan wajah ibunya di kampung. Ibu kandungnya dan Khalid dua insan yang istimewa mempunyai harapan yang besar. Satu hajat yang mulia. Namun sukar untuk ditunaikan. Bukan dia masih berkabung. Bukan juga tertutup hati dengan mana-mana wanita. Begitu ramai wanita yang hebat datang dan pergi dalam hidupnya. Wanita bak kelopak mawar lembut dan harum di mata hatinya sangat-sangat istimewa. Namun tak ada yang bisa mencuri hati lelakinya. Khalid tetap saja mengeluh panjang. Nantinya dia menghela nafas.
Bebelan Khalid ibarat ahli keluarganya membuat dia menahan sabar. Sabarnya terus ditatang menahan diri tidak bersuara kerana sekali dia membuka mulut maka akan ada hati yang tersinggung. Diusap hati sendiri. Ditenangkan jiwa yang kian berkocak. Mindanya dikawal fokus kepada hal-hal pekerjaan. Jangan pernah terpancing dengan bebelan Khalid.

Di satu sisi lain dia mensyukuri dengan teman seperti Khalid. Begitu sabar, peka dan bertimbangrasa dalam hubungan pertemanan mereka. Sejak di sekolah menengah hingga saat ini Khalid sahabat nombor satu dalam dunia. Mujur Khalid seorang lelaki kalau perempuan sudah tentu dibuat menjadi isterinya dan sudah beranak pinak dengan ahli keluarga yang kian bertambah saat kini. Dia tersengih sendiri memikirkannya. Usia mereka sebaya hanya membezakan beberapa bulan antara mereka berdua. Layak juga dianggap Khalid sebagai abang kepadanya.

Bebelan Khalid seiring dengan kebisuannya. Menumpukan isi laporan di dalam fail. Meskipun perutnya mulai meragam. Dia masih mampu menahan diri. Membiarkan omelan Khalid tanpa henti bagai si Murai berbicara gosip selebriti. Sering memberi motivasi untuk menyedarkannya. Bahawa satu pintu kebahagiaan yang dikunci selamanya akan membuka banyak lagi jalan kebahagiaan hanya dengan kemahuan hati sendiri saja. Namun acapkali mata hati terus tertuju kepada pintu kebahagiaan yang ditutup saja sehinggakan selamanya terpenjara di ruang yang sama mengurung duka lara yang tak sudahnya.

Dengan kebisuan yang serasi dengan sikap degilnya dia mengeluarkan komputer riba dari dalam beg kerja kulit itu. Mengecas bateri komputer riba dan menyalakannya. Khalid tetap saja membahaskan topik yang sama. Sudah layak sebaris dengan pakar motivasi negara pula. Ah! Boleh migrain dia kalau Khalid tidak ingin menghentikan bebelannya.

“Sekurang-kurangnya kasihankanlah ibu kau. Dia juga benar-benar mengharapkan kau menikah semula. Kalau kau nak aku boleh kenalkan beberapa lagi calon yang aku rasa sesuai dengan selera kau. Kau dengar tak apa aku kata ni?” Khalid mulai diterjah bosan. Dia seolah-olah bercakap dengan tunggul kayu buruk.

“Faris..” Ada nada tinggi.

Dia menghenyakkan badannya ke kerusi baldu hitam itu. Berpeluk tubuh bagai Bouncer yang tidak ingin mendengar sebarang alasan. Melihatkan hal demikian Khalid sudah faham dan sedar akan kebisuannnya. Cukup menjelaskan bahawa dia malas mengulas lebih banyak tentang topik yang sudah beribu kali didengar. Malah sudah banyak kali juga dia jelaskan. Bukan dia tidak ingin berkeluarga. Bukan ingin terus menduda seumur hidup. Maka wajar saja mereka yang tidak memilih pernikahan amatlah dikeji dari kaca mata agama itu sendiri.

‘Orang yang paling buruk di antara kamu adalah para pembujang, dan di antara orang-orang mati yang terburuk adalah orang yang mati dalam keadaan membujang.’ (Hadith riwayat Abu Ya’la dan Thabrani)

‘Nikah itu adalah sebahagian sunnahku maka orang yang tidak mengamalkan sunnahku, dia tidak termasuk umatku.’ (Hadith riwayat Ibnu Jauzi)

Tubuh gagah dengan riak lesu itu berpeluk tubuh dengan erat. Sepasang mata mencerun tajam menatap muka teman baiknya. Membisu lebih baik daripada membuka mulut. Dia pasti Khalid lebih masak dengan perangainya. Itu adalah jawapan untuk semua omelan lelaki itu. Khalid memahami pandangan itu. Malah lebih tepat sudah saatnya dia berhenti berceramah. Lebih baik dia mengubah topik lain. Lantas lelaki itu mengangkat tangan menyerah seiring dengan gelengan kesal. Itu yang dia inginkan dari Khalid.

Begitu jelas dan sengaja ditekankan ayat ucapan terima kasih yang baru diluncurkan dari mulutnya. Itu yang harus dikekalkan oleh Khalid sampai bila-bila. Ini adalah soal hati dan perasaannya bukan sekadar kecewa biasa ketika dia mula-mula menghantar sebuah manuskrip untuk dinilaikan dan ditolak. Ini adalah soal hati yang parah kerana kehilangan insan yang cukup penting dalam hidupnya.

Khalid merengus geram. Masih tidak berpuas hati dengan penerimaannya. Namun dia harus akur selama tiga tahun dia tidak jemu dan kesal dengan nasihat dan dorongan dari temannya. Meskipun dia cukup faham Khalid sudah berbuih mulut dan naik jelak dibuatnya. Namun Khalid adalah teman baik yang terbaik yang pernah dia kenal.

Pintu kamar pejabat diketuk dari luar. Muncul tiga pekerja syarikat itu berada di muka pintu melemparkan salam ayat suci. Dia dan Khalid serentak menyambut mereka dengan membalas ucapan itu kembali. Asrul, Rahim dan Selvam berada di ambang pintu ruang pejabat itu.

Pertanyaan pertama Asrul sekadar ingin tahu sekiranya kedatangan mereka mengganggu waktu kerjanya hanya dibalas dengan gelengan kepala merangkap senyuman di bibirnya. Sekali gus bangkit dari kerusi baldu menyambut jabat tangan yang dihulurkan oleh Asrul. Wajah tiga teman yang sudah memasuki ruangannya membawa maksud besar yang masih samar-samar. Boleh jadi ada urusan pejabat yang ingin dibincangkan bersama.

“Tahniah atas kelahiran novel kau yang terbaru tu.” Sekalung tahniah lahirdari mulut Asrul seorang pegawai pentadbiran yang sudah beristeri dengan lima orang anak lelaki semuanya adalah anak jati Kuala Lumpur.

Ucapan yang sama disusuli Rahim Pembantu Akaun yang mempunyai tubuh kurus dan ketinggian yang sama dengannya masih lagi belum menikah. Jabat tangan yang erat dan bertenaga juga disambut oleh Selvam lelaki India yang paling lama bekerja di syarikat itu sejak berusia 22 tahun lagi dan kini sudah mencecah 42 tahun begitu setia dan komited dengan tugasnya sebagai Pembantu Pengurus Perhubungan Awam. Mengertilah dia kalau ucapan dan jabat tangan yang dihulurkan untuk pelancaran novel terbarunya yang sudah diketahui mereka. Khalid yang masih duduk di kerusi itu memerhati rakan-rakan seperjuangannya.

“Lepas ni kawan kita bertambah-tambah popularlah, Khalid,” usik Selvam melirik senyum kepada teman-temannya.

Teman-temannya itu gelak senang lalu pandangan itu jatuh kepada wajahnya. Saat diamnya yang merangkumi bahasa hatinya meskipun tanpa ungkapan kata dan luahan. Namun hati kecilnya mengandungi rencah persahabatan, fikiran dan hasrat pasti terlahir dengan sukacita yang bermakna dan harga yang tidak perlu dibayar.

“Tak apa Selvam. Kawan popular kita pun tumpang sekakilah.” Tercetus ketawa mereka semua yang kini menjadi riuh sekamar untuk seketika.

“Aku tengok dalam beberapa hari asyik muka kawan kita saja keluar paper. Habislah Akademi Pengurusan Pena Gemilang kena serbu peminat. Nasib baik tak diberitahu kerja kat sini. Kalau tak sudah tentu tunang aku juga rajin datang office.” Rahim berpeluk tubuh berdiri di muka pintu. Sedangkan dia hanya mampu senyum dan menggeleng kepala.

“Betul Faris. Bini aku kat rumah pun asyik dok baca novel kau siang dan malam. Sampai aku kat sebelah dia pun tak dilayannya. Cemburu pun ada. Geram apalagi. Apa mantera kau pakai sampai pukau pembaca-pembaca kat negara ni,” cerita Asrul.

Ada-ada saja ucapan yang diluahkan. Belum sempat dia membuka mulut untuk ke sekian lagi telinganya harus mencerna kata-kata mereka. Hinggakan dia hanya mampu berisyarat bisu dan menggeleng kepala sudahnya senyum-senyam yang menghiasi riaknya. Khalid adalah tukang ketawa menyokong ucapan tiga warga syarikat itu.

Dengan sekali mencelah saja dia berpeluang meluahkan pendapat peribadinya sempat mengusung ucapan terima kasih. Sekurang-kurangnya ada komen positif dan membina yang menyuntik semangatnya. Seperti biasa dia lebih suka menyuakan ucapan rendah diri dan tak pernah menagih populariti yang menjadi bualan antara rakan-rakannya. Bukankah sudah cukup hanya Majnun saja yang dikenali kerana novel-novelnya bukan kerana Faris Raiyan. Meskipun hakikatnya dua nama itu adalah jiwa yang sama.

Lantas Khalid mengangguk-angguk kepala memuji pandangan peribadinya. Sementara Asrul, Rahim dan Selvam amat menyetujui dengan ucapan berbaur rendah diri itu. Sikap Faris Raiyan itulah yang disukainya. Tidak pernah meninggi diri apalagi riak dengan hasil kejayaannya. Ibarat kata pepatah melayu ‘ikut resmi padi makin tunduk makin berisi’. Itulah bidalan kata orang melayu dahulu yang membawa maksud orang banyak ilmu semakin tinggi ilmunya semakin ia merendah diri. Bukannya bermegah sorak dengan kejayaan dan ilmu yang dimilikinya. Mencurahkan hasil nukilan dengan ayat-ayat ikhlas. Barulah hasilnya kelihatan magis dan laris.

Seiring waktu dan kesempatan lima warga syarikat itu terus berjalan sudahnya mengambil beberapa minit, kemudian masing-masing beredar menyambungkan rutin dalam pejabat. Khalid sempat memesan kepadanya tentang makan tengah hari nanti. Dia memang menunggu saat itu kerana perutnya mulai meragam minta diisikan.

Kembali fokus kepada pekerjaannya disapa lagi oleh deringan nyaring dari telefon bimbitnya. Lantas dia meraba-raba atas meja itu dengan mata yang tetap membaca laporan di dalam fail itu. Telefon dijawab dan kedengaran suara wanita yang paling disayanginya. Sosok wanita yang cukup gigih dan tidak pernah mengeluh dalam membesarkan tiga orang anaknya. Membayangkan wanita kesayangannya yang mempunyai berat badan berlebihan itu sering mengenakan baju kurung Kedah dan kain batik bersama dengan anak tudung yang tidak pernah dilepaskan meskipun dalam rumah. Kaca mata sentiasa kemas di atas hidung.

Salam antara mereka saling berbalas. Bertanyakan kabar masing-masing sudah menjadi kebiasaan. Tidak sah rasanya kalau tidak melontarkan pertanyaan seperti itu. Sempat lagi mulutnya menguap luas spontan telapak tangan ditadah kembali. Matanya terasa berat ditambah dengan perut yang masih kosong. Padan dengan muka sendiri kerana terlalu memaksa kemampuan terhad melepasi pada tahap yang berlebihan.

Mana mungkin dia abaikan panggilan dari ibu kandung yang melahirkannya ke dunia itu. Mana mungkin dia berikan alasan apa saja kerana tidak mengiyakan pertanyaan ibunya bahawa dia terlalu sibuk untuk memberi ruang bicara. Mana mungkin rindu ini terhapus untuk wanita yang memberikan air susu badan selama dua tahun.

Dia bangkit dari kerusi baldu itu menuju ke kabinet yang menyimpan deretan fail-fail penting syarikat. Dikeluarkan salah satu fail yang padat dengan laporan penting lalu duduk kembali ke kerusinya. Telefon bimbit yang ditekap dengan bahu kirinya itu bertanyakan gerangan ibu menelefonnya.

“Bukan apa-apa hanya nak ucapkan tahniah untuk anak ibu ni atas kelahiran novel yang baru tu,” ujar ibu.

Dia tertawa kecil. Kalaulah ibu tahu novel itu terinspirasi dari dukungan ibu sejak tiga tahun dia kehilangan sumber ilham. Luahn mutiara kata ibu ibarat embun di gurun gersang Sahara. Memberi setitik cahaya harapan biar dia terus tegar dan bangkit. Dan dalam setiap tulus dan murni hati seorang ibu menjadi satu nikmat dan kekuatan untuk dirinya. Walau apapun yang terjadi hidup harus diteruskan. Ibarat ombak angin di atas hamparan sawah menumbuh subur begitulah meluncurnya ucapan tahniah ibunya dengan nada bertenaga.

Tercetus satu persoalan di benaknya. Sejak bila pula ibunya mengikuti dunia penulisannya. Lalu ibu menjelaskan bahawa Pak Long yang memaklumkan tentang publisiti novel baru yang diluncurkan menerusi surat kabar yang dibawanya kemarin. Menurut ibu gambarnya terpampang jelas dan berwarna cukup tajam daya penglihatan wanita tua itu mengecamnya. Tawa dan girang ibu begitu terserlah mengatakan anak-anak kampung sudah riuh melihat gambar dan ceritanya tersebar luas. Saat ibu lincah bercerita mengenainya sudah cukup menembusi dinding-dinding kalbunya.

Mengiyakan dan membalas seadanya pertanyaan ibu membuat keletihan yang menghuni tubuh gagah itu hilang dalam sekelip mata. Itulah nikmatnya kasih ibu tak mengenal detik dan keadaan sekalipun. Sekali lagi dia tertawa lucu mendengar ibu menyebut kata ‘autogaf’ bukannya ‘autograf’. Diulang lagi dengan menekankan anak tekaknya. Sejujurnya dia tidak menyenangi publisiti meluas yang sudah tersebar di kampungnya. Biarlah dia dikenali kerana dia adalah anak kepada Haji Ashaari. Tetapi bukankah penolakan untuk bertemu dengan anak-anak kampung yang menginginkan autografnya sebagai tidak manis atau biadap. Terlebih lagi ibu yang ingin dia memenuhi permintaan anak-anak kampung itu.

“Insya’Allah kalau tak ada halangan nanti Faris balik kampung hujung minggu ini atau minggu depan. Apa-apa pun Faris akan telefon juga.”

“Elok benarlah tu. Ada hal juga ibu nak cakap ni.”

Dia menarik nafas mewakili rasa hati yang tidak senang dengan bunyi ‘hal’ yang terus dimaksudkan. Dia cukup masak dengan ‘hal’ yang dikatakan itu. Anak siapa pula kali ini yang ingin dijodohkan kepadanya. Sungguh malangnya nasib gadis itu. Ibu. Sudah-sudahlah mencarikan jodoh untuknya. Cukuplah nasihat ibu memberikan kekuatan untuknya. Cukuplah pelukan ibu menjadi penyanggah kerapuhan jiwanya. Tapi cukuplah supaya tak ada lagi percaturan jodoh disuakan kepadanya. Cukup-cukuplah ibu. Faris Raiyan mengeluh. Kedengaran jelas di cuping telinga Hajah Fatimah.

Topik basi dah bermula kembali. Baru sebentar tadi dia cuba bertahan mendengar omelan Khalid. Kenapa topik ini saja yang terus menjadi laris. Biarkan saja novel terbarunya saja yang laris di pasaran. Biarkan saja dia menjalani hidup ini seadanya. Bukankah jodoh pertemuan itu sudah ditetapkan Allah meskipun usaha dan doa tetap dikehendaki sebagai jalan bersama.

Dengan jawapan yang cukup sebal didengar ibunya malah siapa-siapa saja menggunakan kalimat kata ‘satu hari’ pada setiap buah bicara mengenai soal jodohnya. Tentang janjinya yang pasti akan membawa menantu untuk Hajah Fatimah dan memohon restu dari ayah juga. Bersabarlah ibu lambat atau cepat Faris pasti akan mengotakannya. Deria telinganya jelas menyambut keluhan kecil dari ibunya. Dia tersenyum seolah-olah melawan keluh-kesah masing-masing.

“Satu hari nanti tu ibu dah dengar sejak tiga tahun lalu lagi. Perempuan yang macam mana Faris nak lagi. Arwah isteri kamu pun pernah berpesan agar mencari penggantinya. Takkan tak ada satu wanita dalam Malaysia ini yang boleh mengikat hati Faris. Hinggakan anak dara orang, janda berhias, ibu tunggal dah masuk berapa puluh calon dah ibu kenalkan.” Dia menopang dahinya pada telapak tangan dengan menyiku di atas meja. Menahan hati dengan kantuk yang kembali memberatkan sekujur tubuhnya hanya dengan topik itu.

“Ibu sabarlah. Faris banyak kerja juga ni. Nanti Faris akan balik kampung juga. Ibu jaga diri baik-baik. Sampaikan salam dengan semua kat rumah.”

“Mengelaklah tu. Iyalah.” Ibu sudah menarik rajuk.

Dia tertawa kecil. Lucu sungguh ibu ini pandai pula membaca jalan fikirannya.

“Bukan mengelaklah ibu. Memang banyak benda nak kena siapkan ni.”

Kemudian kedengaran suara kakak berebut gagang telefon dengan ibu. Dapat dia bayangkan gagang telefon yang tiada perasaan menjadi mangsa keadaan dua wanita itu. Dia tercuit hati dan senyum mendengar bebelan ibunya untuk seketika. Suara Kak Long Faezah cuba menepis dengan pelbagai karenah.

Laungan suara Kak Long Faezah kedengaran di corong telefon memanggil namanya segera disambut. Membayangkan Kak Long Faezah yang banyak berceloteh dengan loyar buruk yang tak ada penghujungnya. Kakak sosok yang sangat dia hormati dan sentiasa mensyukuri kehidupan yang sederhana. Bahawa hidup adalah senyuman tulus tanpa keluhan.

“Famousnya kamu boleh keluar surat kabar. Kakak ucapkan tahniah dan berbangga dengan Faris,” tutur Kak Long Faezah bersemangat.

Sekali lagi dia membalas ucapan terima kasih tak terhingga kepada kakaknya. Membangkitkan lagi semangat kakak dengan mengatakan wanita beranak kembar seiras itulah nadi uratnya dan tulang belakangnya hingga sampai ke tahap itu. Bukankah membahagiakan kakak dengan ucapan begitu adalah suatu hal yang mulia. Meskipun bukan kakak saja yang terlibat dalam kejayaannya sebagai Novelis yang diberikan jolokan tunggal itu untuknya.

“Ah! Kamu Faris ada-ada saja. Lain kali sebut nama kakak dengan penuh dan jelas. Jangan kata kakak. Sebut Kakak Faezah Binti Haji Ashaari. Biar satu kampung tahu kamu tu adik kakak. Dan kakak adalah kakak kandung kepada penulis Majnun.”

Dia tertawa lucu mendengarnya. Malah kedengaran jelas ibu membebel ucapan kakak yang berlebihan dan perasan mengalahkan penulis novel sebenarnya. Kerinduan terus menarik-narik keinginan kembali ke kampung halaman. Padahal bukan jauh sangat Kuala Lumpur dan Kuala Selangor itu. Pasti gamat seisi rumah kampung itu diacarakan oleh kakak.

“Lain kali Faris akan jelaskan.” Serta merta kantuknya diserap hilang dengan ucapan-ucapan kakak yang mencuit hatinya.

“Ingat tau. Kalau boleh sebutkan nama kampung kita. Biar orang tahu rupanya Faezah anak Haji Ashaari tu kakak penulis Majnun. Masa tu barulah Si Latifah ngongek tu sedar rupanya kenyataan kakak selama ini benar-benar belaka.” Disandarkan badan pada kerusi baldu itu. Makin seronok mengikuti perbualan itu.

Lantas suara ibu beristighfar panjang dan berlagu di belakang sana kedengaran jelas. Dia terus menahan perut ketawa. Begitulah perangai kakak tak kering gusi dibuatnya. Mengalahkan budak kecil tetap dengan humornya. Dia cukup senang dengan sikap Kak Long Faezah yang sering membuat mereka sekeluarga ceria. Dan kini dia berusaha meleraikan perbualan itu dengan menyogok alasan sibuk dan pekerjaan yang sedang menantinya. Kalau sudah berbual dengan kakak boleh masak cuping telinganya.

“Lagi satu jangan lupa nanti balik sini bawakan kakak novel Faris yang baru tu. Kat sini tak dijual lagi.”

“Insya’Allah kak.” Dia kembali merapatkan tubuh ke meja kerja.

“Lima tau.” Terjengil sepasang matanya merangkap tawa yang sedang ditahan dek permintaan kakaknya.

“Nak buat apa banyak-banyak kak?” Nada suara meninggi menekankan betapa dia terkejut dengan permintaan berlebihan Kak Long Faezah.

“Alaaa nak beri kawan-kawan kakak kat kampung juga. Saja nak bagi tengok. Orang putih kata show off.” Tak pasal-pasal suara keriut kakak menahan sakit dek cubitan ibu.
Belum sempat dia meneruskan ucapannya mujur ibu sudah berada di talian. Baru dia dapat menarik nafas panjang.

“Jangan dilayan kak long kamu. Makin menjadi-jadi lorat dia. Dah kalau jadi balik kampung telefon ibu. Assalamualaikum.”
Dia membalas ucapan ayat suci itu seraya tersenyum sendiri mengenangkan perbualan tadi.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

8 ulasan untuk “Novel : Kemilau Karya Kasih 8”
  1. penkomen says:

    lambatnya Sofea ngn Faris nk bertemu =))

  2. Siti Soleha Yahaya says:

    Noorfadzillah….ku terpaku dgn bait2 ayatmu….
    sungguh indah segalanya….
    moga dirimu mengilhamkan lebih byk lg karya di ruangan ini….
    BEST… ;-)

  3. Lyna says:

    Makin lambat nak bertemu makin tertanya2 diri ini. Penulis ni berjaya buat pembaca terus berfikir dan tertanya. Semakin ingin mengikuti cite ini. Good job

  4. Aisyah says:

    Mantap betul gaya penulisan penulis. Padat, tersusun. Feel habis dapat menjiwai setiap ayat itu. Penulis ni memang berbakat sangat dan tak mustahil akan setanding dgn Novelis veteran. P2u harus expose bakat penulis biar pembaca tahu

  5. izzat k says:

    Pertama kali membaca karya ini membuatkan saya dibuai mimpi indah dengan bait-bait ayat yang sungguh puitis.
    Tahniah buat penulis kerana berjaya membuatkan jiwa pembaca semakin asyik.
    Sedikit pertanyaan
    “kakak sosok” yang sangat dihormati………..” adakah ia Kak Faiezah @ ia sekadar ayat biasa.

  6. Noorfadzillah says:

    Terima kasih kpd semu yg memberi komen di atas. Baru skrg ini saya dapat balas komen setelah ada masalah server bbrp minggu dr P2u.
    Menjawab pertanyaan Izzat ~ kakak sosok yang dihormati memang ditujukan kepada kakak kepada Faris Raiyan iaitu Kak Long Faezah.
    Ayat saya ni kadang buat pembaca fikir dua kali agaknya :mrgreen: . Mmg karya kali ini ada unsur sastera dgn penggunaan ayat puitis berat. Semakin teman2 semua mengikuti KKK makin byk akan saya hidangkan ayat2 yg lebih puitis. Insya’Allah. Semoga terhibur

  7. Shanti says:

    Dahsyat. Kalau novel ni keluar sure bestseller. Saya sukakan gaya penyampaian bhs. Sgt menarik. Sgt tersusun. Sgt kemas. Sgt menjiwai. Sesuai dgn jln cite, tajuk dan temanya ttg dunia penulisan. Good Job writer.

  8. Noorfadzillah says:

    Shanti~ TQ doakan saja begitu k :mrgreen:

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"