Novel : Apam Balik Nutella 14

12 June 2010  
Kategori: Novel

2,493 bacaan 2 ulasan

Oleh : Hany Nafisya

BAB 14

Selepas menghantar Chairil tadi, dia terus ke situ tanpa melihat jam di tangan. Masuk hari ini, sudah hari kedua pemuda itu terpaksa menaiki motosikalnya ke pejabat. Walaupun dia sentiasa mencebik dan mengomel itu dan ini, dia tetap juga menurut. Kay tersenyum puas. Gembira tidak terkata apabila berjaya membuat si diktator mengikut segala kata-katanya. Bangga beb! Besar sekejap lubang hidung ni!

Pintu masih bertutup rapat. Mana dia ni? Takkan tak datang lagi kot? Dia menggaru kepala. Dia mengerling jam di tangan. Sudah pukul 9 pagi. Takkan aku tersilap haribulan pulak? Dia mengeluarkan telefon bimbitnya lantas mendail nombor insan yang ditunggu.

“Helo, Wan. Di mana kamu?” soalnya sebaik panggilan berjawab.

“Kay? Kau panggil aku Wan aje? Depan si Chairil tu punyalah baik panggil Abang Wan,” balas lelaki itu.

“Itu depan dia. Sengaja aku nak buat dia rasa menyampah. Biar berbulu lubang telinga dia. Kau kat mana? Suruh aku datang pukul 9. Tapi, batang hidung kau pun aku tak nampak. Yang aku nampak sekarang batang tiang elektrik aje.”

Zakwan tersengih sendiri mendengar jawapan Kay. Dari jauh, dia dapat melihat gadis itu sedang tercongok di hadapan studionya. Dia mara ke hadapan.

“Sekejaplah, intan payung. Aku nak sampai dah ni. Yang kau datang awal sangat tu kenapa? Jam aku baru pukul 8.55.”

“Jam aku dah pukul 9 dah. Selepas hantar pak cik tu, aku terus datang sini. Malas nak lepak lama-lama kat pejabat tu. Nanti banyak pulak kerja yang dia suruh aku buat.”

“Kiranya kau mengelatlah ni?” Kedengaran pemuda itu ketawa.

Zakwan menghampiri Kay yang berdiri membelakanginya. Tiba-tiba sahaja dia tersenyum nakal. Bila lagi nak menguji sama ada Kay melatah atau tidak, kan?

“Itu bukan mengelat namanya. Ada ke patut kerja pejabat dia suruh driver dia yang cute ni buat?” luah Kay tidak puas hati. Memang betul pun. Pada pandangannya, kadang-kala Chairil sengaja hendak membalas dendam dengan menyuruhnya membuat pelbagai jenis kerja.

“Cute ke?” soal Zakwan betul-betul di tepi telinga kiri Kay.

Kay segera melompat ke depan. Nasib baik otaknya masih cekap berfungsi. Jika dia menoleh tadi, mahu tercium lelaki itu dibuatnya. Perlahan-lahan dia berpaling.

Zakwan sedang tersengih. Tak melatah pulak budak ni. Ceh! Tak menjadi taktik serang hendapnya.

“Bukan kau yang cakap ke aku ni cute?” gumam Kay.

“Memang aku yang cakap. Kau percaya ke cakap aku?” Dia mengangkat kening. Tangannya segera mencapai kunci dan membuka pintu studionya.

“Antara percaya dan tidak,” balas Kay perlahan. Kalau dicakap percaya, nanti dia pula dikatakan perasan.

“Pak hasanlah kau ni, Kay.”

“Hah? Pak Hasan mana pulak?” soalnya kehairanan.

Zakwan ketawa kecil seraya berkata, “Perasanlah kau, Kay!”

“Dah kau yang cakap. Aku terima ajelah. Orang puji kita, kan?”

“Sudahlah, Kay. Jom, masuk! Ada banyak benda aku nak kena ajar kau. Sementara pekerja aku belum datang lagi ni, senanglah sikit. Takde gangguan.” Zakwan melangkah masuk. Gadis itu mengekorinya di belakang.

“Kita berdua aje ke? Kena tangkap basah nanti!”

“Banyaklah kau punya tangkap basah. Selama ini, aku dengan pekerja aku tak pernah pun kena tangkap. Sudah! Jangan nak banyak songeh. Pergi tukar baju. Aku nak tengok cara kau berjalan. Nanti kalau pakai dress tapi berjalan terkengkang macam lelaki, mahu setahun kau kena gelak dengan si Chairil tu.”

“Yelah, yelah.” Kay masuk ke bilik persalinan sambil mencebik.

* * *

Zakwan menggeleng lagi. Masuk kali ini, sudah lebih sepuluh kali pemuda itu menggeleng tanda tidak berpuas hati dengan persembahannya. Dia sudah penat berulang-alik seperti seorang peragawati.

“Keras sangatlah, Kay. Lembutkan sikit badan tu. Dan yang paling penting, senyum! Jangan lupa tu!” bebelnya.

Kay sekadar mengeluh. Keras sangatkah? Sekali lagi dia berpusing dan berjalan dengan mendada di hadapan pemuda itu.

“Still… too stiff!” Zakwan meraup mukanya. Tidak sangka begitu sukar untuk dia mengubah gaya berjalan Kay.

Kay mencebik. Sungguh! Dia sudah mencuba sedaya-upayanya. Tetapi, masih tidak dapat memuaskan hati pemuda itu.

“Wan, apa kata kau cari aje orang lain? Aku rasa aku tak bolehlah nak buat semua ini. This is so not me!” ujar Kay tiba-tiba. Dia menghempas tubuhnya ke sofa bersebelahan pemuda itu.

“Kay, please… Kau aje yang boleh tolong Chairil. Kau pun tahu perangai dia macam mana, kan? Semua orang takut nak temankan dia. Please…,” rayu pemuda itu. Dia memandang wajah Kay dengan penuh mengharap.

“Kenapa dia jadi macam tu, ek?” Dia turut memandang pemuda itu. Selama ini, dia tertanya-tanya, mengapa pemuda itu sering marah-marah?

“Aku rasa, baik kau tanya dia sendiri. Yang boleh aku katakan sekarang, walaupun dia panas baran, dia baik hati. Dia selalu tolong aku semasa aku susah. He has his own reason for being like that. Banyak perkara yang dia simpan dalam hati. Aku sendiri pun tak tahu semua rahsianya. Well, aku harap kau masih sanggup menjadi teman wanita Chairil even for one night.” Dia menepuk bahu Kay. Dia bangun. Matanya terfokus pada jam yang tergantung di dinding.

Kay diam. Otaknya ligat berfikir. Cuba menimbang kata-kata pemuda itu. Memang pada awalnya dia sangat benci dengan perangai diktator Chairil. Tetapi, setelah hampir sebulan bekerja dengan pemuda itu, dia rasa gembira. Tidak rugi dia menadah telinga setiap hari melayan kerenah pemuda itu. Kehidupan sehariannya dipenuhi dengan gelak ketawa. Sehari mereka tidak bertekak, terasa seperti hidupnya tidak lengkap.

Tambahan pula, dia sepatutnya bersyukur kerana pemuda itu tidak memecatnya. Jika tidak, di mana lagi hendak dicari wang untuk membayar kos membaiki motosikal kesayangannya itu? Masanya hanya tidak sebulan lebih sahaja lagi. Wang yang berjaya dikumpulnya pula belum pun mencapai separuh daripada kos tersebut.

“Okey!” Dia mengangguk.

“Good girl. Kau boleh balik dulu. Lagipun, dah sejam kau berlatih. Esok datang lagi.” Dia menggosok kepala Kay. Habis berserabut rambut gadis itu dibuatnya.

Kay hanya menjerit kecil, “Hei!”

“Morning, boss!” tegur seorang gadis kecil molek.

“Morning, Sasha!” balas Zakwan. Dia tersenyum.

Kay berdehem perlahan. Cukup untuk membuatkan Zakwan berpaling kepadanya dengan renungan tajam.

“Abang Wan, saya balik dulu.” Kay tersengih.

“Haa… jangan lupa tukar baju tu pulak! Kang nanti kau buat free show pulak atas motor tu,” pesan Zakwan.

“Free show?” soal Kay. Dia mengerut dahi.

“Yelah. Kau sedar tak aku pakai dress? Nanti tayang habis kau punya betis yang putih melepak tu,” usik pemuda itu.

Kay tersentak. Betis putih melepak? Bila masa pulak dia tengok? Dia membelek-belek baju yang dipakainya. Takde lubang pun!

Zakwan ketawa. Suka dia mengusik gadis itu.

“Abang Wan sekodeng saya? Perv…!” marah gadis itu.

Zakwan segera mencekup mulut Kay dengan tangannya. Shhh… Niatnya untuk mengusik gadis itu membuatkan dia pula yang kelihatan seperti seorang pesalah. Dia mengerling ke tepi.

Sasha mencebik. Tidak sangka majikannya begitu orangnya. Dia segera berlalu ke pantry.

Kay menolak Zakwan ke belakang. Apa ni? Sudahlah tadi sekodeng aku, ini nak cekup-cekup mulut pulak! Zakwan mengeluh. Tidak fasal-fasal Sasha sudah salah faham dengannya. Silap haribulan, gadis itu akan menghantar surat berhenti kerja pula.

“Kay, sorry. Aku tak sekodeng kau pun. Aku sengaja usik kau aje tadi,” ujarnya perlahan.

“Lain kali, kalau nak usik pun, agak-agaklah! Tengoklah sekarang, aku yakin Sasha dah takut nak datang kerja dengan kau.” Kay menggeleng. Pada pendapatnya, Zakwan berbeza dengan Chairil. Rupa-rupanya, dia silap. Zakwan juga sama sahaja. Bercakap tanpa berfikir natijahnya terlebih dahulu.

“Kalau dia berhenti, kau ajelah datang bekerja dengan aku, Kay. Senang sikit aku nak mengajar kau,” seloroh pemuda itu.

“Amboi… banyak handsome muka kau! Habis, si diktator tu aku nak campak ke mana pulak? Nanti tak fasal-fasal dia datang cekik leher aku kat sini.”

“Alaaa… kaki dia sakit, kan? Bukan dia boleh datang sini pun. Lagipun, dia tu bukan boyfriend kau! Dia takde hak nak halang kau kalau kau nak bekerja di sini.”

“Memanglah dia bukan boyfriend aku. Tapi… kau tu kawan baik dia. Nanti tak fasal-fasal pulak aku menjadi punca kau orang bergaduh. Tak naklah aku!” Kay menggeleng laju. Oh, tidak sanggup!

“Hei! Aku bergurau ajelah. Kalau kau bekerja di sini, meranalah aku.” Dia ketawa.

“Kenapa pulak?” nada suara Kay serta-merta berubah.

“Yelah. Kau tu cantik. Nanti girlfriend aku fikir yang bukan-bukan pulak. Sekali merajuk, aduh… seksa aku nak memujuk.”

Giliran Kay pula ketawa. Aku cantik? Hish… buat lawak antarabangsa betul mamat ni!

“Kau cantik, Kay. Serius! Aku tak tipu! Kau aje yang tak sedar. Kau tunggulah saatnya nanti. Aku akan buktikan kepada kau.”

“Sudahlah, Wan! Kau jangan nak perli-perli aku pulak. Aku sedar aku ni kasar, tak cantik. Si diktator tu pilih aku pun sebab dah terpaksa.” Dia melangkah ke bilik persalinan.

Zakwan mengeluh. Kita cakap betul-betul, dia ingat kita main-main pulak. tunggulah, Kay. Aku akan buktikan. Biar mata Chairil terbeliak tengok kau! Dia tersenyum sendiri.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Apam Balik Nutella 14”
  1. kakinovel says:

    muahahahaha…………….
    x saba nye nk taw cter sterusnye :shock: :shock: :shock: :shock: :shock: :mrgreen: :mrgreen: :mrgreen: :mrgreen:

  2. Nur Dara Adalia says:

    :mrgreen: me too…mmg x sabar!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"