Cerpen : Dendam

4 July 2010  
Kategori: Cerpen

4,802 bacaan 12 ulasan

Oleh : SONYVAIO

Hariku begitu indah. Cuaca yang cerah dan sekali-sekala langit mendung amat menenangkan fikiran dan jiwaku. Angin lembut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi keceriaan dan ketenanganku pada waktu petang itu. Aku tersenyum lebar menjenguk keluar dari jendela sambil memerhatikan suasana sekeliling yang begitu tenang. Di banglo mewah yang tersergam indah ini, papaku Dato’ Helmi sedang menikmati secawan teh sambil menonton televisyen dan ditemani oleh mamaku Datin Suraya.

“Fulamak, sedapnya teh yang sayang buat ni! Thanks darling…..” puji papaku sambil tersenyum mesra. “Hish, abang ni ke situ pula. Dah tua-tua macam ni pun masih berperangai macam orang muda. Sedarlah diri tu sikit bang, bertaubatlah sebelum terlambat….” balas mamaku selamba. “Hai, nak bermanja sikit pun tak boleh? Ha, anak kesayangan awak tu mana?”, tanya papa pada mamaku Datin Suraya. “Macamlah abang tak tahu perangai budak tu. Mestilah dia dalam bilik sekarang ni bang, tengah buat assignment agaknya tu. Sejak masuk kolej, budak tu dah banyak berubah. Terperap dalam bilik, asyik dengan buku saja. Tak macam dulu, selalu keluar rumah….”, jawab mama meyakinkan papa. “Baguslah tu, taklah awak sunyi sangat seorang-seorang kat rumah ni. Lainlah kalau Zarin dan Zila ada….”, ujar papa.

Tok…tok…tok…Aku terdengar bunyi pintu bilikku diketuk. Aku lantas tersedar dari lamunan. Rupa-rupanya mama mengetuk pintu bilikku beberapa kali. Aku lantas membuka pintu dan berpura-pura menelaah buku. “Zairiey, tengah buat apa tu sayang?”, soal mama padaku. “Oh, mama. Tak ada apa mama, Zairiey tengah siapkan assignment ni, esok dah kena hantar dah. Kalau lambat hantar, bising pula pensyarah kat kolej tu” kataku. “Baiknya anak mama ni. Kalau dah siap nanti, temankan mama pergi shopping ya?”, pujuk mamaku. “Alright mama. No problem!!”, balasku girang. “Macam tulah anak mama. Ajaklah papa sekali”, kata mama. “Mama, nak pemandu hantarkan kitakah, atau kita pergi sendiri?”, tanyaku pada mama. “Tak apa sayang, kan papa nak drive tu?”, ujar mama.

Dalam perjalanan ke pusat bandar, papa memandu kereta Mercedez Benz miliknya. Mama duduk di bahagian depan bersama papa yang sedang asyik memandu, sementara aku duduk di tempat duduk belakang. Hatiku berasa riang tak terkira. Aku amat gembira dapat keluar bertiga sekali-sekala bersama papa dan mama kesayanganku, lebih-lebih lagi pada hari yang begitu istimewa ini. Oops! Lupa pula nak bagitau, hari ni hari ulang tahun perkahwinan papa dan mamaku yang ke-21!!. Aku tersenyum sendirian. “Alahai, bertuahnya kau Zairiey!”, bisik hati kecilku. Sedang aku terpukau dibuai kegembiraan, tiba-tiba, “Ya Allah, Suraya!”, teriak papa. “Abang! Kenapa ni?!”, jerit mama cemas. Aku lantas tergamam panik, “Papa! Kenapa papa?”. Papa yang hilang kawalan menjadi panik kerana brek tidak berfungsi, dan Mercedez Benz yang dipandunya tiba-tiba terlanggar tiang lampu di tepi jalan lalu terbabas! Belum sempat aku meneruskan bicaraku, aku rasa bagai dilontar! Aku terpelanting dan terhumban keluar dari tempat duduk belakang. “Argh!! Urgh!! Papa! Mama!”. Aku mengerang kesakitan. Kesakitan yang ku rasakan tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Seluruh tubuhku menggeletar, perit sekali aku rasakan. Kepalaku berlumuran darah, tercedera kerana terhantuk! Aku tidak dapat menahan air mataku yang berlinangan. Sakitnya bukan kepalang. Aku rasakan ajal maut bakal menjemputku. Apakah yang terjadi pada papa dan mamaku? “Ya Tuhan, janganlah Engkau mencabut nyawaku. Janganlah Engkau mengambil nyawa kedua-dua orang tuaku!”. Badanku semakin lemah, aku dapat rasakan pandanganku semakin kabur dan aku terdengar bunyi siren, cuma aku tak pasti sama ada itu bunyi siren ambulans ataupun kereta polis dan bomba. Aku tak mampu bersuara lagi, hanya sempat memandang kedua-dua papa dan mamaku yang sudah tidak sedarkan diri dan akhirnya aku tidak melihat apa-apa lagi.

Aku membuka mataku perlahan-lahan. Pandangan mataku yang kabur dan samar-samar beransur-ansur terang dan jelas. Aku mendapati sekujur tubuhku terlantar di atas katil hospital. Aku yang baru sedarkan diri mendapati kaki, tangan dan kepalaku masih dalam keadaan berbalut. Aku juga dapat rasakan badanku lemah dan tidak bermaya. “Selamat petang, cik Zairiey dah sedar ya?”. Aku lihat seorang jururawat mendatangiku dan menyoalku. “Cik, papa dan mama saya tak apa-apakah?”, tanyaku. “Bertenang cik Zairiey, papa dan mama cik Zairiey masih dalam keadaan kritikal di wad kecemasan ICU….”, katanya padaku. Aku dapat lihat raut wajahnya menunjukkan rasa simpati padaku. “Saya nak pergi tengok papa dan mama saya!!”, jeritku dengan nada tegas! “Tapi, bertenang cik Zairiey. Cik Zairiey masih dalam keadaan lemah. Lagipun, ibu bapa cik belum sedarkan diri lagi….”, ujarnya. “Apa??”. Aku menangis dan meronta-ronta. Aku lantas bingkas bangun dari katil dan berkejar ke bilik ICU serta-merta. Jururawat yang tergamam itu memekik dan cuba menghalangku, tetapi sudah terlambat! “Berhenti cik Zairiey!”, pekiknya dengan lantang, tapi aku langsung tidak mempedulikan teriakannya. Walaupun badanku terasa lemah, tapi aku tetap memaksa diriku bergegas ke wad ICU dengan segera.

Setibanya aku di wad ICU, kelihatan Zarin dan Zila, dua orang kakakku, menangis tidak berhenti-henti meratapi papa dan mama yang masih tidak sedarkan diri itu. “Kak, kenapa semua ni mesti terjadi? Kenapa kak?”, tangis Kak Zila pada Kak Zarin. Kak Zarin juga tersedu-sedan melihat Kak Zila yang masih menangis. “Akak pun tak tahu, Ila! Akak…Akak pun tak sangka. Akak tak tahu nak buat macam mana lagi !”, tangisnya dengan pilu. Air mataku terus jatuh berlinangan dan bercucuran tidak berhenti-henti. Hatiku bagaikan tersayat, bagaikan dihiris oleh sembilu bisa. Kesedihanku tidak perlu aku ungkapkan lagi. Fikiranku buntu mengenangkan nasib yang menimpa kedua-dua papa dan mama kesayanganku. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan lagi. Aku hanya mampu berdoa. “Ya Tuhan, ujian apakah yang Engkau berikan kepada hambamu ini? Terlalu berat dan besar ujian yang Engkau berikan kepadaku ya Allah. Tabahkanlah hatiku dan berikanlah hambaMu ini petunjuk untuk menghadapi segala ujian yang Engkau berikan kepadaku. Ampunkanlah dosa-dosaku dan dosa-dosa orang kesayanganku. Amin.” “Papa! Mama! Bangun papa, mama!”, tangisku tersedu-sedan. “Kak Rin dan Kak Ila bila sampai?” “Baru saja dik….”, kata kedua-dua kakakku dengan nada sedih. “Apa kata doktor kak? Papa dan mama macam mana?.” “Kata doktor, papa dan mama….dalam keadaan koma….” Ujar Kak Zila dengan teresak-esak. Sebaik sahaja mendengar jawapan dari Kak Zila, aku lantas terpana dan terkesima seketika. Tidak terasa aku terus terduduk di atas lantai wad ICU. Jiwaku lemah, longlai tatkala tidak berdaya untuk menerima kenyataan dan dugaan hidup yang menimpa diriku dan keluargaku. Tidak terasa air mataku bercucuran lagi. Aku hampir tidak dapat menerima kenyataan. Dugaan ini ibarat meragut nyawaku. “Ya Allah, aku rela menggantikan nyawaku dengan nyawa kedua-dua orang tuaku asalkan Engkau menyelamatkan mereka.” Aku rasakan tiada gunanya lagi hidupku ini jika tanpa kedua-dua orang tuaku. Aku tidak tahu, berapa lama lagikah atau sampai bilakah mereka tidak sedar dari koma?

Sementara itu, di sebuah kondominium yang amat mewah, kelihatan seorang wanita yang berpakaian serba hitam sedang asyik menghisap rokok cerut berjenama mahal sambil mundar-mandir ke sana ke mari. Kelibat dan penampilannya tak ubah seperti seorang GRO dan ibu ayam. Lagaknya mengalahkan wanita korporat berprofil tinggi. Kemudian, dia didatangi oleh tiga orang lelaki yang bertubuh sasa dan tinggi lampai. Lelaki-lelaki tegap itu adalah orang-orang upahannya. “Puan, kami dah berjaya laksanakan misi puan! Dato’ Helmi dan Datin Suraya terlantar di ICU! Hahaha….,” gelak mereka berdekah-dekah. “Hahaha! Bagus, bagus! Puas hati aku, puas! Biar dia orang mampus! Hahaha……”, tawanya dengan megah sambil membuang abu rokok cerutnya. “Baru dia orang tahu sapa aku! Ini Puan Azuralah! Aku nak perempuan tu mampus! Aku benci Datin Suraya! Suami aku, Dato’ Helmi melebih-lebihkan dia daripada aku! Aku nak semua harta Dato’ Helmi jatuh ke tangan aku dan anak aku, Zaikiey! Aku nak kau orang intip pergerakan anak-anak madu aku tu…dan, satu lagi tugas kau orang, aku nak kau orang culik anak lelaki madu aku tu , Zairiey! Aku nak anak aku gantikan tempat budak tak guna tu!”, tegasnya dengan geram. “Tapi puan, kalau dia orang syak macam mana? Boleh ke anak puan menyamar sebagai budak tu?”. Orang-orang upahannya seolah-olah tidak begitu yakin dengan rancangannya kali ini. “Jangan jadi bodohlah!”, pekiknya dengan lantang sambil menghembus asap rokok ke muka orang upahannya. “Aku pasti, dia orang tak akan perasan. Muka anak aku, Zaikiey sebiji sama macam muka si Zairiey tu! Aku percaya, Zaikiey boleh dapatkan wasiat tu untuk aku. Aku sayang Zaikiey walaupun dia bukan anak kandung aku. Kalau kau orang berjaya laksanakan tugas ni, aku gandakan lagi upah kau orang semua! Hahaha….”. Dia tertawa dengan penuh bangga dan megah sekali sambil sekali-sekala menghembus asap rokok cerutnya.

Di hospital, tinggal Kak Zarin seorang diri melawat papa dan mama yang masih belum sedarkan diri dari koma. Aku dan Kak Zila dalam perjalanan pulang ke rumah. Kecederaanku beransur-ansur pulih dan doktor mengizinkan aku untuk keluar lebih awal. Aku bersyukur kepada Tuhan yang Esa kerana menyelamatkan aku dari kemalangan itu. “Syukurlah Zairiey dah sembuh. Kita doakan papa dan mama selamat ya, dik?” kata Kak Zila kepadaku. “Baik kak” jawabku dengan selamba. Aku masih lagi bersedih dan sukar melupakan tragedi malang yang telah menimpa keluargaku. “Kita berhenti dulu ya dik? Akak dah tak tahan ni, akak nak pergi ke bilik air kat restoran depan tu. Adik tunggu sekejap dalam kereta, jangan ke mana-mana tahu?” kata Kak Zila padaku. “Okay, tapi akak jangan lama tahu?”, jawabku dengan selamba. Ku lihat Kak Zila pergi ke restoran itu dengan tergesa-gesa. Aku pun mengambil peluang itu untuk relaks dan mendengar lagu. Tanpa disedari, rupa-rupanya aku dan Kak Zila telah diekori oleh Puan Azura dan orang-orang upahannya secara senyap-senyap. Ketika diriku sedang leka berbaring dan mendengar lagu dalam kereta, dengan tidak semena-mena, orang-orang upahan Puan Azura lantas membuka pintu kereta dengan kasar dan menutup mulut serta mukaku. Aku yang begitu terperanjat dan kaget dengan kehadiran mereka yang tak diundang itu, tidak berdaya untuk melawan. Belum sempat aku bangun dari tempat duduk kereta, mereka terlebih dahulu menyerang hendapku. Aku meraung dan meronta-ronta cuba untuk melepaskan diri dari cengkaman mereka, tetapi badanku terasa semakin lemah dan aku kesesakan nafas kerana mukaku ditutup oleh mereka dengan sesuatu seperti kain lembut yang tebal. Aku berasa seperti khayal dan separuh sedar. Tubuhku semakin tidak berdaya menahan cengkaman mereka dan pandangan mataku semakin lama semakin kabur. Semua yang ku lihat menjadi samar-samar. Akhirnya, aku sudah tidak sedarkan diri! Pengsan! Mereka cepat-cepat menanggalkan pakaianku untuk dipakaikan kepada Zaikiey. Tanpa membuang masa, Zaikiey terus mengambil kesemua aksesori yang ku pakai seperti rantai kristal perak yang tertulis namaku “ZAIRIEY” dan jam tangan watchphone3G milikku yang merupakan hadiah dari papa dan mama sempena hari jadiku yang ke-18 tahun. Mereka berjaya membius dan menculikku. “Sayang, cepat masuk dalam kereta Zila! Okay, bertenang, sayang jangan panik okay? Ingat apa yang mummy dah ajar. Mummy percaya Zaikiey boleh berlagak macam Zairiey. Mummy terpaksa pergi dulu, jangan kecewakan mummy.” Puan Azura mengarahkan anaknya Zaikiey untuk berpura-pura dan menyamar sebagai diriku. “Baik mummy!”, angguk Zaikiey dengan begitu yakin. “Cepat bawa budak ni, belah!”, tengking Puan Azura mengarahkan orang-orangnya untuk membawaku pergi dan mereka beredar dari tempat itu dengan segera. Aku ibarat mangsa yang diburu oleh pemangsa, tak ubah seperti seekor ular lemah yang disambar oleh seekor helang rakus yang kelaparan.

Kak Zila yang baru kembali dari restoran berdekatan tempat itu langsung tidak menyedari apa yang berlaku. “Maaf dik, akak terlambat. Nah, akak sempat beli air ni tadi, minumlah.” “Thanks, lepas ni kita nak pergi mana kak?”, tanya Zaikiey yang cuba meniru cara percakapanku dan perlakuanku semirip yang boleh. “Hai, tak kanlah lupa? Kan kita nak balik sekejap? Kepala adik masih sakitkah? Tak kanlah sampai hilang ingatan pula?”, jawab Kak Zila yang sedikit kehairanan dengan pertanyaan Zaikiey itu. “Err….tak adalah kak. Zaik..err..Zairiey dah tak apa-apa, cuma letih sikit saja!”. Zaikiey yang agak gementar itu tergagap-gagap menjawab pertanyaan dari Kak Zila dan cuba mencari alasan yang paling selamat untuknya menukar topik perbualan mereka, demi menyembunyikan penipuan dan penyamarannya agar identitinya yang sebenar tidak diketahui dan tidak disyaki oleh Kak Zila. Sebaik sahaja sampai di rumah banglo kebanggaan keluargaku, Zaikiey terpegun melihat keindahan dan kemewahan rumahku yang ternyata jauh lebih cantik dan lebih mewah daripada kondominium tempat persembunyiannya dengan ibunya Puan Azura. Kedua-dua matanya dengan liar memandang setiap sudut dan ruang yang ada di dalam rumahku. Dia kelihatan seperti mencari sesuatu di rumah itu. “Bilik Zairiey mana kak?”, soalnya. “Hai, tadi adik kata adik tak apa-apa, tak kanlah boleh lupa bilik adik sendiri?”, ujar Zila Zila kehairanan. “Kak, kan doktor cakap akibat kemalangan tu, gegaran pada otak Zairiey ni menyebabkan Zairiey tak boleh mengingat semua perkara”, kata Zaikiey yang cuba meyakinkan Kak Zila yang tertipu itu. “Baiklah, adik berehat dulu, akak nak mandi dan tukar baju. Lepas tu kita makan. Nanti akak masakkan gulai kari kegemaran adik. Oops, lupa pula nak bagi tahu, bilik adik kan sebelah bilik Kak Rin? Pintu yang ada lambang kelab Manchester United tu? Hmm, Zairiey ni mengada-ngadalah, macam orang asing pula kat rumah ni. Dah buang tabiat agaknya. Menyampah!”, kata Kak Zila dengan nada menyindir sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Semasa berada dalam bilikku, Zaikiey meneliti dan menyelongkar semua barang-barang milikku. Dia melihat semua gambarku dan keluargaku. Dia sungguh terkilan dan agak terkejut kerana paras rupa dan raut wajahku ternyata sebiji seiras mirip wajahnya. Dia hampir tidak mempercayainya, tetapi itulah hakikatnya. “Tak mungkin! Semua ni mustahil! Bagaimana mungkin muka si Zairiey tak guna tu boleh menyerupai wajahku hampir seratus peratus? Aku hampir tidak percaya semua ni. Tapi mummy kata, Zairiey lahir sama tarikh dengan aku. Boleh jadi juga rupa kami amat mirip mungkin sebab sama bapa. Apa pula ni?? Hmm, diari Zairiey rupanya! Baik aku baca!”. “Zairiey, dah mandikah? Cepat turun bawah, kita makan sama-sama”. Kak Zila memanggil Zaikiey untuk makan bersamanya sekali. “Baik kak, tunggu sekejap, tengah bersiap ni”, jawabnya yang penuh kepura-puraan itu. “Lepas ni, adik tunggu saja di rumah. Akak nak gantikan Kak Rin jaga papa dan mama, jangan ke mana-mana tahu?”. “Okay, yes madam. No problem! Nona manis, percaya deh sama gue. Semuanya bisa diatur sih, ditanggung beres! Hehe…”, usiknya dalam loghat bahasa Indonesia sambil tergelak kecil. “Akak pergi dulu ya, jaga diri baik-baik ya? Bye!”. “Hati-hati drive, selamat jalan!”, balasnya dengan sinis.

“Baiklah!! Sekarang inilah masanya!! Aku mesti cari wasiat daddy tu! Aku tak akan biarkan Zairiey, Zarin atau pun Zila dapat sebahagian besar harta daddy. Aku akan pastikan Datin Suraya dan anak-anaknya takkan dapat sesen pun dari harta daddy! Never! Hahahaha…….”. Zaikiey tertawa dengan puas kerana dia berjaya memperdayakan Kak Zila dengan sewenang-wenangnya. “Dasar perempuan bodoh! Ilmu saja tinggi, tapi tak punya otak! Hahaha…..”, cacinya dengan penuh kebencian! “Tak sangka, lakonan aku menjadi dan benar-benar berkesan! Aku memang seorang pelakon yang hebat. Sepatutnya aku tercalon untuk memenangi anugerah Oscar sebagai aktor terbaik! Heheheheh….”, tawanya dengan berdekah-dekah sambil memuji diri sendiri. Perasan! Zaikiey pun mengambil peluang dan kesempatan itu untuk mencari wasiat yang disembunyikan oleh papaku Dato’ Helmi. “Di mana wasiat tu agaknya? Akui mesti cari bilik daddy. Kat mana ya? Aku mesti cepat. Dia orang tak boleh tahu, aku mesti berhati-hati. Hmm, banyaknya majalah bisnes daddy ni”. Zaikiey pun menyelongkar semua dokumen dalam bilik papa. Habis semua fail dan dokumen dalam bilik papa bertaburan disepahkannya. Dia begitu teruja dan tidak sabar untuk menjumpai dan membaca wasiat tersebut. “Finally, I found it! Haha! Rupa-rupanya daddy sembunyikan wasiat dalam peti ni. Tapi, macam mana pula mummy boleh tahu kod peti ni? Mummy memang bijak! Nampaknya daddy lebih percayakan mummy daripada betina tu. Alamak, tu macam bunyi kereta. Bahaya! Zarin tentu dah sampai! Baik aku sembunyikan wasiat ni. Mummy pasti bangga dengan aku, heh heh heh…Kau memang bijak Zaikiey!”. Tatkala Zaikiey yang begitu gembira selepas menemui wasiat itu, tiba-tiba….. “Zairiey, adik tengah buat apa tu?”. Terkejut sakan Zaikiey apabila terdengar suara Kak Zarin memanggilnya. “Zairiey tengah relaks kak, penat sikit”, jawabnya spontan. “Oh, kalau Zairiey perlukan apa-apa, panggil akak ya?”. Kak Zarin kemudian masuk ke biliknya. “Wokeh!! Fuh! Hampir-hampir saja tadi! Nasib baik sempat! Apa agaknya dalam wasiat ni eh? Hah? Rumah banglo mewah ni atas nama Datin Suraya? Sial punya ibu tiri! Helmi Enterprise Company? Ni kan syarikat daddy di Sydney? Diserahkan kepada Zarin dan Zila? Cis! Ni tak boleh jadi! Eh? Aku dan Zairiey berkongsi syarikat daddy di Melbourne? Jangan harap!! Menyampah aku!! Tak guna kau Zairiey! Apa? Mummy hanya mewarisi banglo daddy di Brisbane? Semua rangkaian perniagaan daddy diserahkan kepada Zairiey? Tak sangka, daddy betul-betul bersikap tidak adil! Damn! Betul tindakan mummy! Memang patut pun daddy terlantar kat ICU! Padan muka daddy! Aku dan mummy mesti tukar wasiat ni! Damn you daddy! I hate you! Tua keparat tu mesti cepat mampus! Jahanam Datin Suraya! Dia ingat, dia isteri pertama daddy, dia boleh mewarisi semua harta daddy?”. Aku tak akan biarkan semua harta daddy jatuh ke tangan mereka! Tidak, tidak sama sekali!”. Zaikiey yang membaca kandungan wasiat papa itu amat geram dan marah, apabila dia mendapati sebahagian harta papa diwariskan kepada keluargaku, lebih-lebih lagi kepada diriku. Kebenciannya terhadap papa dan mama serta Kak Zarin dan Kak Zila semakin membuak-buak! Dia mencaci dan mengutuk keluargaku serta menyumpah seranah dengan begitu geram! Zaikiey tidak dapat menahan dan mengawal kemarahannya lagi, lantas melontarkan pasu bunga kesayangan mama di atas meja ke dinding! Plang! Apa lagi, pecah dan hancur pasu bunga itu dilemparnya menjadi kepingan-kepingan seramik tajam! Dia seperti sudah kehilangan akal. Begitu memuncak amarahnya sehinggakan pasu bunga yang “tidak bersalah” itu menjadi mangsa untuk melepaskan kemarahannya. Kak Zarin yang tengah tidur di biliknya tiba-tiba terjaga, terbangun apabila terdengar bunyi bising dari bilik papa. Dia kemudiannya bergegas ke bilik papa dan mendapati Zaikiey mengamuk dengan memukul dan menyepak perabot dalam bilik papa. Bersepah bilik papa dibuatnya! “Ya Allah, Zairiey! Kau sudah gilakah? Apa yang kau buat ni hah?!”, tengking Kak Zarin dengan suara lantang. “Mengucap Zairiey, mengucap!”, teriak Kak Zarin sambil memeluk dan cuba menenangkan Zaikiey. “Apa yang dah jadi pada Zairiey? Cakap dik, cakap! Beritahu akak apa masalah Zairiey supaya akak boleh tolong.” Terdiam dan terpaku Zaikiey apabila Kak Zarin menyoalnya sebegitu. Dia merenung wajah Kak Zarin dan tidak berkata sepatah pun. Dia hanya menggelengkan kepalanya. Kemudian, barulah dia bersuara, “Maafkan Zairiey kak. Zairiey terlalu ikutkan perasaan tadi. Tak pasal-pasal pula bilik daddy ni jadi tempat Zairiey lepaskan geram. Akak maafkan Zairiey, ya kak?”, ujarnya memujuk Kak Zarin. “Okay, akak maafkan Zairiey. Tapi, ada syaratnya. Zairiey kena tolong akak kemaskan balik bilik papa ni, ya sayang?”. Kak Zarin berasa hairan melihat perubahan yang berlaku pada sikap dan perlakuan “Zairiey” itu. Perangai “Zairiey” itu tidak seperti Zairiey yang dikenalinya sebelum ini. Dia juga berasa pelik kerana “Zairiey” itu memanggil papanya sebagai “daddy”, padahal sebelum ini “Zairiey” itu memanggil papanya sebagai “papa”. Sebelum ini, Zairiey tidak pernah pun memanggil papa sebagai “daddy”. “Kenapa kelakuan Zairiey tiba-tiba boleh berubah sampai macam ni sekali? Apa yang tak kena dengan budak ni? Dulu, budak ni penyabar, tak panas baran macam ni, entahlah!”, bisik Kak Zarin dalam hatinya. “Agaknya mungkin kerana dia masih tertekan dan masih lagi trauma dengan kemalangan tu. Kesian Zairiey….”, bisik hati kecilnya. Nampaknya sekali lagi Zaikiey menunjukkan lakonan cemerlangnya. Dia berjaya memperdayakan Kak Zarin sebagaimana dia memperdayakan Kak Zila. Dia juga berasa lega kerana Kak Zarin tidak menyedari dan langsung tidak mengetahui bahawa dia berjaya mencuri wasiat papa.

Sementara itu, di dalam sebuah bilik di kondominium mewah Puan Azura, aku yang telah diculik oleh Puan Azura dan kuncu-kuncunya masih berada dalam tahanan mereka. Aku yang dikurung di bilik itu ibarat seperti seekor burung yang ditangkap dan dikurung di dalam sangkar. Aku mula sedar daripada pengsan. Perlahan-lahan aku membuka mataku. Aku mendapati tangan dan kaki diikat dengan ketat. Aku diikat di atas kerusi. Mulutku pula disumbat dengan kapas tebal dan dibalut dengan selotep atau pita pembalut. Aku meronta-ronta dan menjerit cuba untuk melepaskan diri dari ikatan yang ketat itu, tetapi sia-sia belaka. Aku rasa sungguh terseksa! Tidak terasa mutiara-mutiara jernih jatuh hinggap di pipiku. Aku tetap gagal melepaskan diri dari ikatan tali yang bersimpul mati itu. Aku cuba berteriak mengeluarkan suara, tetapi, oleh kerana mulutku masih dibalut, aku hanya mampu mengeluarkan bunyi teriakan yang pelik dan sumbang! “Diam! Aku kata diam, budak keparat! Tak guna kau nak lepaskan diri! Aku tak akan biarkan kau terlepas! Hahaha….”. Puan Azura tertawa sinis dan puas melihat aksi dan usahaku untuk melepaskan diri gagal, sambil menyedut rokok cerutnya dengan lagak yang begitu angkuh. Puan Azura lantas menanggalkan pita pembalut di mulutku dengan kasar! Aku meraung kesakitan. Misai halusku yang tidak begitu jelas kelihatan turut tercabut kerana terlekat pada pita pembalut itu. Kulit bibirku terasa bagaikan terkupas! Pedih sekali aku rasakan. “Arggh!! Sakit!”, jeritku dengan kuat. “Kau sapa hah? Kenapa kau culik aku? Apa salah aku?!”, soalku dengan nada menengking. “Dengar sini baik-baik anak tiriku sayang, hehehe……Aku Azura, Puan Azura, isteri kedua Dato’ Helmi, bapa kau!”, jelasnya padaku dengan memekik. “Kau ingat aku nak percaya cerita karut kau ni kah? Tak mungkin papa aku kahwin lain! Papa aku hanya setia pada mama aku! Tak mungkin kau isteri papa sebab papa aku tak pernah kahwin lagi. Kau hanyalah perempuan murahan yang terdesak menculik anak jutawan. Kau betina gila harta tak guna!”. Pekikku dengan geram. Puh! Aku meludah ke muka Puan Azura serta-merta. “Apa!? Jahanam! Tak guna punya budak, kurang ajar! Ambik ni!”. Pap, pap, pap! Puan Azura menampar mukaku dengan geram. “Jahanam! Berani kau meludah aku? Celaka!!”. “Argh! Adoi!”. Aku mengerang dan menangis kesakitan. “Lebih baik kau bunuh saja aku ni!”, herdikku. “Kau nak sangat mati ya? Nyawa kau dalam tangan aku! Aku yang menentukan ajal kau sekarang, budak hingusan! Sabar, aku nak kau dan keluarga kau terseksa dulu. Lepas tu, barulah kau mampus! Hahahaha…”. Puan Azura seperti sudah hilang akal menampar mukaku bertubi-tubi. Aku yang dalam kesakitan tidak berdaya untuk melawan.

Di rumah Dato’ Helmi, papaku, sekarang tinggal Kak Zarin dan Zaikiey sahaja di rumah itu. Kak Zila pula masih di hospital melawat papa dan mamaku yang masih belum sedar dari koma. “Zairiey, akak pergi dulu, Zairiey relaks kat rumah ya? Jangan ke mana-mana tahu? Akak pergi dulu…”. Kak Zarin pergi ke hospital untuk menemankan Kak Zila menjenguk papa dan mama. “Okay. Baik-baik drive. Bye! Baik aku bawa wasiat ni kepada mummy. Tak sabar rasanya, si Zairiey pasti terkejut dengan rancangan aku dan mummy, hehehe……”, gelak Zaikiey sambil mengucup surat wasiat di tangannya. Sementara itu, di kondominium tempat persembunyian Puan Azura, aku masih dalam keadaan pengsan. Zaikiey mengambil kesempatan untuk keluar dari rumahku selepas pemergian Kak Zarin ke hospital, dan terus bergegas ke kondominium itu dengan segera. “Mummy, ini wasiat yang mummy nak. Zaikiey dah jumpa, mummy!”. “Hehehe…bagus sayang, bagus! Tak sangka anak mummy begitu bijak dan licik macam mummy, haha….”, puji Puan Azura terhadap anak tunggal kesayangannya itu. “Mummy, ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, betul tak mummy? Kalau mummy borek, Zaikiey lagi rintik!! Hahaha…”. Zaikiey tersengih dan tertawa puas apabila mendapat pujian berganda daripada ibunya. “Bagus sayang. Mummy tak salah pilih Zaikiey untuk jayakan misi mummy. Mummy bangga punya anak macam Zaikiey.”. “Thanks mummy, love you so…much!!”, katanya tersenyum girang. Dia pun datang terhegeh-hegeh ke bilik tempat aku dikurung oleh ibunya. “Heh, bangun, bangun! Aku kata bangun, tolol!”, tengkingnya padaku. Zaikiey menyimbah mukaku dengan air sejuk. Aku terkejut lalu terjaga. “Oh? Jadi, kau Zairiey rupanya. Tak sangka aku jumpa kau kat tempat ni, hahaha! Hmm, you looked really alike me! Well, I don’t mind…But, it’s good to be you even for a while! Sekali aku tengok kau, rasa macam tengok cermin. Berkali-kali aku tengok kau, aku tengok diri aku sendiri! Hahaha….”. Zaikiey ketawa berdekah-dekah sambil menghembus asap rokoknya ke mukaku, seolah-olah meniru lagak ibunya yang gemar menghisap rokok cerut yang mahal. “Tak mungkin! Kau pula sapa hah? Kenapa berpakaian macam aku? Penyamar! Kau dan betina tu nak buat apa hah? Dasar penjahat!”. Pekikku dengan sekuat-kuat hati. “Jahanam!! Kau cakap baik-baik sikit, bangsat!”. Zaikiey menampar mukaku dan menghentak kepalaku dengan geram. “Argh!!”, aku menjerit kesakitan. “Ni baru sikit, belum lagi aku dan mummy aku belasah kau dengan lebih teruk lagi!”, ugutnya padaku. “Oh? Jadi kau anak betina tak guna tu ya? Patutlah kau jahat sama macam mak engkau!”, pekikku dengan suara lantang. “Diam! Mulut kau memang lancang! Kau nak mampus ya? Jangan sampai aku hilang sabar dengan kau! Ambik ni!”. “Ergh! Argh…..”, aku mengerang kesakitan. Zaikiey menumbuk mukaku. “Dasar pengecut! Buka ikatan ni, dan bertarung satu lawan satu dengan aku, kalau kau benar-benar seorang lelaki sejati!”, teriakku dengan nada tegas. “Berani kau mencabar aku! Kau akan menyesal!”, tegasnya. Tersirap darahnya oleh rasa tercabar dengan kata-kataku tadi. Apa lagi, diputuskannya dengan serta-merta ikatan di kaki dan tanganku! “Marilah! Kita berlawan secara adil!”, tengkingnya padaku. Tanpa membuang masa lagi, aku terus bangun dan cuba lari, tetapi dia mengacukan pisau belati ke arahku. Dia mengancam untuk membunuhku lalu membaling pisau belatinya ke arahku! Mujurlah aku sempat mengelak, jika tidak, mautlah menjemputku! Tling! Berbunyi pisau belati yang dilontarnya ke arahku terkena dan terlekat di dinding! Aku lantas melemparkan kerusi ke arahnya, tapi malangnya tidak mengenai sasaran! Dia menumbukku dengan buku lima, tapi aku sempat menepis dan menangkap tangannya. Aku pun menolak dan menendang perutnya dengan kasar. Dia tertolak ke dinding dan aku terus meluru ke arahnya dengan segera. Tetapi, belum sempat aku menghadiahkan tumbukan padu ke mukanya, dia memijak kakiku dan aku jatuh tersungkur! Aku ditangkapnya dan dicengkamnya dari belakang! Zaikiey pun mencabut pisau belati yang terlekat di dinding itu dan cuba menikamku, tetapi, “Zaikiey, stop it! Kau nak budak ni mampus kah?”, pekik ibunya Puan Azura. Zaikiey menolakku dan aku tersungkur di depan ibunya! Aku ditampar oleh Puan Azura! Orang-orang upahan mereka lantas mengikatku semula. Tubuhku lemah dan sakit. Aku sudah tidak berdaya lagi. “Mummy, aku dah menyampah tengok muka dia yang sebiji sama macam muka aku ni! Lebih baik kita bunuh dia mummy!”, rayu Zaikiey pada ibunya. “Sabar sayang, sabar. Masa tu akan tiba. Mummy nak sayang sendiri bunuh budak ni nanti!”. “Heh heh heh…Zaikiey sayang mummy!”.

Sementara Puan Azura sedang mengatur rancangannya, dia mengarahkan orang-orangnya untuk bersiap sedia. Dia mahu membalas dendam terhadap suaminya Dato’Helmi dan madunya Datin Suraya, iaitu papa dan mamaku. Dia sangat membenci mamaku dan kami sekeluarga. Dia tidak tenteram selagi dendamnya terhadap keluargaku tidak terbalas! Dia sememangnya seorang ibu tiri yang tamak dan kejam! Sememangnya, dia ingin menamatkan riwayat keluargaku! Mereka bertolak ke hospital dengan segera tanpa pengetahuan Zaikiey. Puan Azura tidak mahu Zaikiey terlibat dengan jenayah yang dilakukannya. Dia membohongi Zaikiey bahawa mereka hanya ingin merampas harta papa, tetapi sebenarnya dia ingin menghapuskan seluruh ahli keluargaku! Puan Azura mengarahkan tiga orang kuncunya untuk mengawasi gerak-geriku yang masih dalam tahanan mereka. Manakala Zaikiey yang sedang berada dalam biliknya sedang membaca diari papa yang dicurinya bersama wasiat papa dari rumahku. Semasa Zaikiey menyamar sebagai diriku, dia tidak sempat membaca diari papa, lalu dibawanya ke kondominium ibunya Puan Azura.

Di hospital pula, Kak Zarin dan Kak Zila melawat papa dan mama yang masih tidak sedarkan diri. Tiba-tiba, papa sedar dan membuka matanya…, “Kak Rin, tengok, papa dah sedar! Syukur alhamdullilah!”, kata Kak Zila terkejut. “Syukurlah. Papa, papa okay? Bertenang papa”, pujuk Kak Zarin. Papa yang mula sedar itu bersuara, “Rin, diari…diari papa dalam bilik papa…” “Eh? Kak Rin, papa! Tengok, mama dah sedar. Ya Allah ya Tuhanku. T erima kasih atas termakbulnya doaku. Aku bersyukur kepadaMu. Amin.”, kata Kak Zila dengan nada bersyukur. “Mama, mama tak apa-apa? Syukurlah mama dan papa selamat. Tadi papa kata tentang diari papa. Kenapa papa?”, soal Kak Zarin dan Kak Zila pada papa. “Bacalah diari papa dalam almari di bilik papa dan mama. Ada perkara yang sangat mustahak yang papa sembunyikan selama bertahun-tahun daripada kamu semua. Rahsia ni amat penting kepada kita semua.” ” Apa maksud papa?”, tanya mereka dengan agak terkejut. “Rahsia apa yang abang sembunyikan daripada Suraya?”. “Suraya, sebenarnya, maafkan abang Suraya. Abang telah berlaku curang terhadap Suraya. Abang telah berkahwin secara senyap-senyap tanpa izin Suraya…”. Papa menangis dengan penuh penyesalan. “Ya Allah, bang…..Suraya tak sangka abang tergamak menduakan cinta Suraya (menangis). Suraya…Suraya tak dapat terima semua ni bang…”, ujar mama yang masih menangis itu. “Maafkan abang Suraya….20 tahun yang lalu, semasa Suraya melahirkan anak kembar lelaki kita, anak kita yang seorang lagi bukannya hilang seperti yang Suraya sangkakan. Tetapi, abang sendiri yang serahkan anak kita tu kepada isteri kedua abang, Azura. Abang kasihan juga pada Azura sebab abang dapat tahu yang Azura mandul dan tak boleh melahirkan anak untuk abang. Abang betul-betul menyesal dengan perbuatan abang, Suraya….maafkan abang. Abang tahu abang banyak berdosa terhadap Suraya….”, rayu papa dengan penuh penyesalan. “Papa…..”. Kak Zarin dan Kak Zila terkilan lalu menangis selepas mndengar pengakuan papa. “Masa tu Zarin dan Zila tak tahu akan hal ni sebab waktu tu mereka masih belajar kat Australia…..”. “Suraya……., Suraya tak dapat terima semua ni bang….”, ujar mama menangis. “Mana anak kita seorang lagi tu bang? Mana?”. Mama menangis bagai nak gila dan tertekan. “Tergamak papa buat mama macam ni. Terhadap Zarin dan adik-adik…”, rintih Kak Zarin sambil menangis dan kesal dengan perbuatan papa.

“Selamat petang, maafkan saya. Dato’ Helmi dan Datin Suraya sudah boleh pulang ke rumah.” “Doktor pastikah?”, tanya Kak Zila. “Sudah tentu, sayang! Heh heh heh….Tangkap mereka! Cepat!”. Perintah Puan Azura dengan tegas! Puan Azura yang menyamar sebagai doktor itu mengarahkan orang upahannya menangkap papa (Dato’ Helmi) dan keluarganya. Tetapi, dalam keadaan yang panik dan mencemaskan, tiba-tiba dengan tidak semena-mena, “Mummy, stop it!”. Zaikiey memekik dan menjerit. Puan Azura yang mengacukan pistol ke arah Dato’ Helmi dan keluarganya menjadi tergamam dengan teriakan Zaikiey. “What?! Zaikiey! Watcha doin’ here? Are you crazy?”, tengkingnya terhadap Zaikiey. “Zairiey! Apa kau buat kat sini? Err, Zaikiey?”. Kak Zarin dan Kak Zila panik dan kehairanan. Mereka menyangka Zaikiey adalah Zairiey. Zaikiey yang telah mengetahui segala-galanya mengenai kebenaran tentang ibu angkat merangkap ibu tiri yang disangkanya ibu kandung yang melahirkannya telah berkejar ke hospital dengan segera. Zaikiey telah terbaca diari papa yang dicurinya bersama dengan wasiat papa. Perasaannya bercelaru dan terpukul dengan kebenaran mengenai identiti sebenar dan hidupnya. “Zaikiey! Stop there and don’t move!”, seru Puan Azura terhadap satu-satunya anak lelaki kesayangannya itu. “Please don’t do something stupid mummy! I already knew everything! Zaikiey dah tahu semuanya mummy! Zaikiey dah terbaca diari daddy!”, tegasnya sambil menitiskan air mata terkilan. Dia menangis kerana berasa pilu yang bercampur geram dan rasa serba salah. Papa, mama, Kak Zarin dan Kak Zila tercengang dan tersentak mendengar pengakuan Zaikiey itu. “Jadi? Hahaha…Jadi, Zaikiey dah tahu segala-galanya ya? Hahaha…”. Puan Azura ketawa berdekah-dekah kerana tembelangnya sudah pecah dan rahsia yang disembunyikannya selama 20 tahun daripada Zaikiey akhirnya terbongkar jua. “Ya mummy. Zaikiey dah tahu segala-galanya. Semua sandiwara mummy, Zaikiey dah tahu. Dan untuk pengetahuan mummy, Zaikiey dah bebaskan adik kembar Zaikiey, iaitu Zairiey. Menyerahlah mummy, bertaubatlah. Kembalilah ke pangkal jalan. Jangan teruskan tindakan bodoh mummy ni. Please mummy, I beg you….Dengar kata Zaikiey, kita mulakan hidup yang baru. Zaikiey merayu pada mummy, Zaikiey sayang mummy…..Walau apa pun berlaku, Zaikiey tetap anak mummy, mummy tetap mummy Zaikiey selamanya. Tiada siapa pun yang mampu mengubahnya….Percayalah mummy…”, tangis si Zaikiey dengan rintihan pilu. “Tidak Zaikiey, tidak sama sekali!!”. Puan Azura memekik dengan begitu tegas! “Mummy betul-betul tak sangka Zaikiey sanggup mengkhianati mummy! Zaikiey telah memusnahkan harapan dan impian mummy! Zaikiey pembelot!”. Tengkingnya dengan penuh kemarahan dan kekecewaan. “Hentikan semua ni Azura!!”, teriak suaminya Dato’ Helmi. “Perempuan tak guna!”, balas madunya Datin Suraya. “Jahanam! Aku akan bunuh kamu semua! Aku tak puas hati selagi dendam aku tak terbalas! Helmi, aku ingatkan kau dah ceraikan perempuan ni, tapi rupa-rupanya tidak! Terimalah ajal kau!”. Puan Azura cuba menembak Dato’ Helmi dan Datin Suraya, tetapi belum sempat dia menekan picu pistolnya, tiba-tiba…, “Maafkan Zaikiey mummy!! Pomm!! Bunyi tembakan pistol bergema di udara. Zaikiey terpaksa menembak Puan Azura dengan pistol lain yang dicurinya dari bilik Puan Azura. Manakala aku yang tiba bersama dengan pasukan polis di hospital itu sudah terlambat apabila mendapati Puan Azura yang menyamar dengan berpakaian doktor itu tersungkur dan rebah berlumuran darah dan mati di tempat kejadian. Dato’ Helmi, Datin Suraya dan anak-anak mereka Zarin, Zila dan diriku sendiri (Zairiey) bersyukur kerana semuanya telah berakhir…..

Zaikiey tidak dapat menerima kenyataan bahawa ibunya Puan Azura mati ditembak oleh dirinya sendiri. Dia juga tidak dapat menerima hakikat bahawa dia merupakan pembunuh kepada ibu yang disayanginya serta disangkanya ibu kandungnya kerana Puan Azura menyayanginya bagai menatang minyak yang penuh. Zaikiey yang tidak dapat menerima tekanan hidupnya telah menjadi gila dan dimasukkan ke hospital sakit jiwa. Di rumah sakit jiwa….., “Mummy! Hehehe…mummy sayangkan Zaikiey, kan? Kan?. Hehehe….”Zaikiey ketawa sendirian. “Tapi, kenapa mummy tinggalkan Zaikiey?”. Dia menangis pula. “Zaikiey rindukan mummy…Yeye! Mummy dah sampai! Hik hik hik…”. Dia memang sudah tidak waras lagi. “Zaikiey sayang, ini mama sayang, bukan mummy….”. Jatuh berlinangan air mata mama melihat keadaan Zaikiey yang amat menyedihkan itu. Hati ibu manakah yang tidak terguris jika melihat keadaan anaknya sebegitu? “Abang…., Suraya betul–betul terkilan bang, kita dah dapat anak kita balik, tapi tak sangka keadaannya jadi macam ni…”. Tersedu-sedan mama, memikirkan nasib Zaikiey yang begitu malang sejak kecil lagi, sejak kami berdua dilahirkan ke dunia ini. “Suraya, sekurang-kurangnya kita tidak pernah lupa, hari ini adalah hari jadi mereka berdua. Mari bagi hadiah kat dia”, kata papa. “Selamat hari jadi, sayang”, ucap papa dan mama. Mereka menangis sambil mengusap rambut Zaikiey yang kusut masai itu. “Selamat hari jadi Zaikiey, err…bang Zaikiey…Selamat hari jadi buat kita berdua….” kataku dengan nada pilu. Tidak terasa, tanpa ku sedari, berlinangan juga air mataku jatuh membasahi pipi. “Selamat hari jadi dik…”, ucap Kak Zarin dan Kak Zila, sedih. “Hari jadi? Hari ni hari jadi Zaikiey? Happy birthday to me, happy birthday to me, happy birthday to Zaikiey, happy birthday to me!! Hehehe…”. Zaikiey ketawa dengan aksi gilanya sambil bertepuk tangan dengan gaya yang menjengkelkan. “Mummy, mummy, mummy!!!”. Zaikiey menutup telinga dengan kedua-dua tangannya dan meronta-ronta sambil menjerit-jerit memanggil arwah ibunya Puan Azura. Staf rumah sakit jiwa bergegas dan membawa Zaikiey ke biliknya dengan segera………….




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

12 ulasan untuk “Cerpen : Dendam”
  1. SONYVAIO says:

    thanx once again guys for all the comments……wow,we have 2307 views till now…..not bad yeah? keep supporting me……should or should not I continue this story for the DENDAM II? JUST WANT TO KNOW YOUR OPINION.,……VOTE YES OR NO??

  2. ady diela says:

    jln cerita menarik tetapi sukar utk difahami sbb tak trsusun..
    keep it up ok..klu ada mase, bace crita sy n give a comment..

    from : ady diela

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"