Cerpen : Hijab

10 July 2010  
Kategori: Cerpen

2,531 bacaan 9 ulasan

Oleh : sury

“Julia Ratna Binti Nordin……..” kedengaran suara sayup memanggil-manggil namanya sedangkan tiada satu orang pun berada di situ selain dirinya dan kegelapan.
‘aku mengigau ke ni…?’ getus hati Julia. Berkali-kali dia menggosok matanya sekuat hati namun masih juga berada di tempat yang sama. Sesekali, pipinya dicubit kuat tapi keadaan masih lagi sama.
“Julia Ratna jangan sesekali kau kemari dan mencipta petaka… kembali pulang ke tempatmu sebelum kau membina celaka…!!” ujar suara tersebut bertalu-talu memberi amaran sekeras-kerasnya.
“Julia Ratna…bencana..! Julia Ratna…malapetaka..! Julia Ratna, manusia alam maya yang bakal merenggut jiwa yang tak berdosa…!! bencana..!! malapetaka..!!” keadaan menjadi semakin tertekan. Suara perempuan itu terus bergema tidak berkesudahan. Celikkanlah ainun seluas mungkin, namun tiada apa pun yang menerangi suasana. Hanya kegelapan yang menggasak…lemas…!
“jangan mampir…! nyah..! minggir…! jangan hampir…! kau petaka…! kau bencana…!” dahsyat sungguh perjalanan Julia. Dicerca sejeliknya. Apakah natijahnya semua ini. Akibat apa yang sedang ditanggung…? ligat minda Julia bekerja mencari jawapan yang munasabah… namun tiada.. Julia memegang kepalanya yang semakin berat. Rambutnya yang panjang mengurai itu kelihatan begitu kusut sekali.
“mane cahaye…? mane pintu…? mane…?”
“cahaya sedang menjauhi kau wahai perempuan yang tandangnya bukan mendatangkan satu manfaat pun…gelaplah untukmu..!! pulang..!! jangan teruskan perjalanan..! pulang…! bawa petakamu pulang…!!”
“siapakah kau yang sedari tadi mencerca aku seenaknya…?! hebat sangatkah dirimu menggelar aku sebagai pembawa petaka…?! setiap orang membawa takdirnya sendiri…kau tak menggelar sesiapa pun pembawa petaka…atau kau sendiri yang mengundang celaka…!!!” julia amarah. Sakit hatinya diherdik sesuka oleh suara yang tidak berwajah.
‘pengecut…!’ getus hatinya. Bersembunyi di balik gelap.
“aku lihat takdirmu..! aku nampak bawaanmu..! jangan abaikan…jangan abaikan amaranku…! segera pulang….!!” suara itu datang lagi.
” Ratna si Ratna…pembawa petaka…
Hadirnya dia…mengundang bencana…
Dua pemuda…bercerailah nyawa…
Usung keranda…berair mata…” syair merdu yang dialunkan memang mendayu namun teramat menyakitkan hati.
Julia bingung. Bagaimana ingin pulang sedangkan dia langsung tidak mampu mengesan kanan dan kirinya pun.
Tiba-tiba ada cahaya yang amat menyilaukan pandangan ainun yang terbatas. Sesaat kemudian, dapat dirasakan dia tidak dapat bergerak sedikit pun. Melangkah sedikit pun dia tidak betah. Kakinya terbelit sesuatu. Semakin dia meronta, semakin sakit dirasakan kerana belitan itu semakin ketat dan kejap. Dihadapannya tersergan sebuah perkampungan melayu lama. Julia mengamati persalinannya. Berubah, berbaju kurung dan berkain batik serta kain batik terselepang dibahunya menutup kepalanya. Tangannya berusaha keras untuk membuka belitan di kakinya itu. Disisinya ada seorang perempuan yang tegak berdiri dan bermuka sinis.
“tuan hamba…bolehkah tuan hamba membantu hamba…?” julia terperanjat. Dia memegang bibir mugilnya. Percakapannya berubah.
“tidak sekali-sekali aku akan membantu petualang yang membawa petaka..” julia dapat mengecam suara perempuan itu. Dia teringat suara yang acap kali memberi amaran yang sejelik-jeliknya. Rupanya perempuan itu seorang yang cantik namun tiada keayuan yang terserlah. Wajahnya sinis dan bengis.
“maafkan hamba tuan hamba…hamba tak tahu bagaimana hamba boleh tercampak di sini. Bantulah hamba tuan hamba…”
“kau abaikan amaranku…sudah ku khabarkan segera berpatah balik… jangan teruskan perjalananmu..namun apa yang kau lakukan…kau tidak endahkan bukan…? nah…terimalah natijah nan sedang menunggu..selesaikan dengan cermat..kalau tidak petakalah jawabnya…”
“tuan hamba tahukah keadaan hamba tadi…? tuan hamba sekadar memberi amaran..bantunya tidak…apa tuan hamba ingat hamba sengaja mahu meneruskan perjalanan yang hamba sendiri tidak tahu kemana perginya…? kiri dan kanan pun hamba tak tahu…inikan pula mahu berpatah balik…”
“tidak ada lagi yang dapat kau ubah…amaranku yang terakhir…selesaikan dengan cermat…kalau tidak kau yang akan terima bahana…perasaan menyesal yang tidak berkesudahan merupakan satu seksaan sepanjang hayat…perasaan merupakan musuh yang terkuat…Julia Ratna…Sudah dapat ku baca takdirnya..ini adalah amanah ku yang gagal dan kau adalah petualang yang datang..”
Perempuan tersebut langsung tidak mengendahkan permintaan Julia untuk membantunya melepaskan kakinya daripada belitan rotan yang semakin mengetat itu. Kelihatan darah mula mengalir dari pergelangan kakinya itu.
“eh…tuan hamba Cempaka..mengapa sekadar berdiri sambil melihat…mengapa tidak tuan hamba menolong perempuan ini..kakinya berdarah…” ujar seorang lelaki yang segak persis seorang laksamana.
“huh..tuan hamba sahajalah yang membantu perempuan ini memandangkan tuan hambalah mangsanya…” lelaki itu sekadar mengerutkan dahinya sambil melihat Cempaka berlalu pergi dengan amarah.
“mari hamba tolong…rotan ini nampaknya semakin ketat belitannya..inilah rotan hutan tuan hamba..seakan hidup..semakin kita meronta semakin kuat ia membelit…nah..selesai..tapi kaki tuan hamba berdarah..”
“erm…” Julia terasa begitu janggal. Segalanya dirasakan begitu asing. Tiada seorang pun yang dikenalinya.
“erm…hamba Nadim..dan ini Megat…teman hamba…” Julia memandang keduanya. Megat kelihatan begitu sombomg manakala Nadim peramah sekali orangnya.
“maafkan hamba bertanya…siapa nama tuan hamba…?” soal Nadim
“hamba Julia Ratna….”
“indah nama itu..tapi sedikit pelik di pendengaran hamba..hamba gelarkan tuan hamba Ratna ya kalau tidak keberatan…erm..adakah tuan hamba mempunyai keluarga disini…? tuan hamba boleh berjalan…? boleh hamba berdua hantarkan…”
“hamba tak punya sesiapa di sini…barangkali hamba sudah tersesat jauh dari kampung hamba…”
“Nadim…bawa perempuan ini ke rumah..kite temukan dia dengan ibu…”
“boleh berjalan…? luka ini nampak teruk…”
“papah sahaja dia Nadim…”
“tapi…”
“darurat…niatnya menolong…tak siapa melarang…lagipun..aku kan bersama kamu…”
“baiklah…” lalu Nadim memapah Ratna untuk dibawa kerumah.
Perjalanan tidak terlalu jauh. Ketakutan semakin menghilang namun kejanggalan pada diri Ratna masih ada memandangkan dia tidak tahu dimana dia berada. Ketika dia memandang belakang, hanya gelap. Sesaat kemudian kegelapan itu hilang dan dia masih berada di kampung itu.
“Assalamalaikum…ibu…Nadim dan Megat sudah pulang…dan kita ada tamu ibu…”
“cuci kakimu dulu nak sebelum naik kerumah…” Nadim tergelak sendiri. Ratna mengerutka dahi memandang Nadim.
“lucu..itulah pesan ibu sebelum naik kerumah…tak pernah lengai dari ingatannya sedangkan hamba sudah besar panjang…” Ratna tersenyum dan memandang Megat namun ssenyumannya mati melihat wajah Megat yang tidak berperasaan itu.
“Ibu…tolong Nadim bu…ini ada tamu perempuan…dia cedera…”
“sebentar nak…” kelihatan seorang perempuan dalam lingkungan umur 45 tahun muncul di muka pintu.
“ish…kamu ni…Megat…Nadim..anak dara siapa yang kau bawa pulang ini…? nanti anak-anak ibu diserang keluarga si dara ini…” ujar Ibu Melati kepada anak-naknya sambil tangannya menggapai tangan Ratna untuk naik ke rumah.
“hati-hati nak…”
“terima kasih mak cik…”
Kejanggalan seakan datang menggasak pemikiran Ratna. Cara hidup mereka agak berbeza dengan kehidupannya di alam..alam mana lagi? Ini alam maya? Atau bukan maya? Mimpi? Igauan? Ilusi? Benaknya menjerit hebat. Ratna memegang kepala dan mula menangis teresak-esak dan semakin kuat hingga seakan meratapi sesuatu. Ibu Melati terkejut dan segera mendapatkan Ratna di bilik.
“kenapa nak….? kenapa dengan kau…?” Ibu Melati cuba memujuk. Namun Ratna terus menangis dan menangis.
“hamba bingung mak cik…hamba tak tahu hamba di mane mak cik…hamba takut…”
“jangan berbahasa begitu nak..panggil sahaja ibu…jangan takut…di sini kamu selamat nak…jangan risau…anggaplah kite sekeluarga…”
Ratna semakin tenang nampaknya. Dia sudah mula selesa dengan keluarga itu. Walaupun kebanyakan perkara bermain di mindanya…namun dia buntu memikirkan segalanya. Dia megambil keputusan untuk melalui segala yang telah ditakdirkan untuknya. Takdir tidak boleh dibaca. Biar segalanya berjalan, biar jelik sekali pun nanti akhirnya…dia berjanji, dia akan redha walaupun hatinya betul-betul tidak tenang.
” Apa yang dimenungkan…? rindu dengan kampung halaman…?” sapa Nadim yang sememangnya ramah. Ratna sekadar memandang Nadim dengan pandangan kosong. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakan.
” Hamba berjanji. Setelah tuan hamba sihat sepenuhnya…hamba akan hantar tuan hamba pulang ke kampung halaman tuan hamba. Ke pintu rumah tuan hamba..janji…” apa yang di perkatakan oleh Nadim langsung tidak memancing reaksi Ratna. Nadim mula resah. Ratna langsung tidak berminat untuk berbual. Nadim hanya menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dah berhari-hari begitu keadaan Ratna begitu. Kadang – kala Ratna langsung tidak menjamah makanan melayan menungnya itu. Seharian pun dia mampu berteleku di pinggir air terjun Tualang itu. Nadim mengeluh.
” Julia Ratna binti Nordin…” seraya Ratna menoleh kepada Nadim.
” Ratna…aku faham benar apa masalahmu…namun aku masih tak dapat membaca apa takdirnya,,” Ratna mengerutkan dahi mendengar kata-kata Nadim.
” Apa maksud kau Nadim…? apa yang kau tahu tentang ku…?”
” Ratna aku tahu segalanya…Cuma aku tak dapat mentafsir dengan baik…Ratna, aku tahu kau bukan dari kalangan kami…” bulat mata Ratna mendengarkan Nadim. Dia terus berdiri menghadap Nadim.
“Nadim…aku takkan di bunuh kan…??” soal Ratna ketakutan.
“hahaha…Apa sahajalah yang kau repekkan ini Ratna…tak sangka, gadis secantik kau ini tak mampu mengunakan akalnya dengan baik..hahaha…” Ratna sekadar mencebik.
” Kau takkan faham keadaanku Nadim…kau takkan faham ketakutan yang aku rasai bila tanah yang ku pijak ini bukan milikku…rasa terancam tak sudah…walaupun aku tidak dihukum bunuh..tapi nyawaku sudah di hujung tanduk… faham kah kau…?” air mata Ratna sudah mula bergenang. Nadim hanya mendiamkan diri. Langsung tidak berusaha untuk memujuk. Biar Ratna meluahkan apa yang dipendam. Ratna menyiksa semua orang.
“aku tak pasti kenapa aku di sini…? apa aku ada tanggungjawab yang tidak langsai sampai aku dibawa kemari…? Aku bingung..ya..benar katamu..aku tak mampu menggunakan akalku dengan baik…gelap yang kelmarin terus membawa ku ke mari tanpa ada tujuan…”
“setiap yang berlaku pasti ada sebab…kita bukan bijaksana…kita takkan mampu membaca takdir yang ALLAH telah rancang untuk hambanya. Dugaan itu akan meringankan dosa kita…akan mendekatkan kita dengannya. Kita harus merenung kejadian yang berlaku… tapi silap kita adalah…bermenung mencari kenapa kita yang menjadi pilihan untuk menggalas beban yang kita tak mampu ditanggung…ALLAH itu penyayang Ratna..kalau tidak masakan dia hanya memberi dugaan mengikut kemampuan hambanya…aku insaf Ratna..astaghfirullah…” ujar Nadim panjang lebar. Ratna selalu mengagumi ketenangan yang dipamerkan oleh Nadim. Dapat dilihat air mukanya yang menyejukkan pandangan. Terasa bagai perjalanan hidup pemuda ini cukup bersih.
” Assalamualaikum…apa yang kalian bualkan…? apa yang kalian lakukan berduaan disini…?” Ratna terkejut…juga Nadim.
” Waalaikumsalam…oh…Megat..tiada yang kami lakukan. Jarak kami sudah cukup untuk membuktikan segalanya.
” Kau tak perlu jelaskan apa-apa kepadaku Nadim kerana aku adalah orang yang sentiasa mempercayai mu..”
” Terima kasih saudaraku…”
” Tapi harus aku ingatkan kepada kalian…fitnah mampu menghancurkan segala kebaikan..” Nadim hanya tersenyum mendengar pesanan Megat. Memang banyak betulnya nasihat Megat itu.
” Ratna…aku mahu pergi bersama Megat..kalau pun kau mahu berlama-lama disini..pastikan waktu asar nanti kau sudah pulang bersolat dirumah…temani ibu…” Ratna sekadar mengangguk mengiakan. Kedengaran keluhan halus Ratna. Sesekali dia menggelengkan kepalanya. Sebak dengan keadaan namun dia cuba untuk redha. Dia mengurut dada. Galau hatinya tiada siapa yang tahu. Kepada siapa harus dia mengadu tentang resah hatinya. Kepalanya ligat memikirkan apa caranya untuk dia kembali ke dunia asalnya namun dia terus buntu. Tiada jalan penyelesaian. Akhirnya. Dia membawa langkahnya terus pulang ke rumah.
“Assalamualaikum….”
“Waalaikumsalam..cuci kakimu dulu nak sebelum naik ke rumah…” seperti biasa pesanan Ibu Melati. Ratna tersenyum sendiri. Sapaan Ibu Melati sekadar disambut hambar. Rungsingnya terbawa-bawa hingga hilang segala rasa untuk beramah mesra. Rasa bersalah memang ada namun perasaan resahnya lebih menghantui dirinya. Ibu Melati yang faham keadaan Ratna sekadar membiarkan. Biar Ratna tenang sendiri.
Solat merupakan penawar yang paling mujarab untuk Ratna..Teman setia Ratna. Dia leka berlama-lama di atas sejadah. Tidak pernah dia jemu mengulang-ulang ceritanya, memohon diberi petunjuk agar dirinya dapat kembali ke tempat asalnya. Dia akan tenang seketika dan rasa nyaman di hatinya itu akan berlanjutan ketika dia mengaji. Begitulah malam-malam Ratna sepanjang dia berada di situ.
“Ratna..bangun solat subuh nak…” terngiang-ngiang di telinganya suara lembut Ibu Melati. Sebentar dia terlupa. Selalunya, mamalah yang membangunkan dia untuk bersolat subuh. Terpisat-pisat dia bangun mengharapkan mama ada di depannya,namun dia hampa sekali lagi. Dia masih tidak kembali ke rumahnya. Subuh mereka diimamkan oleh Megat dan di akhiri oleh Nadim. Bacaan doa Nadim begitu syahdu. Usai solat subuh. Ratna membantu Ibu Melati. Membasuh pakain. Menjemur pakaian, menyediakan sarapan, sehinggalah ke makan tengahari.
Kelihatan Nadim dan Megat pulang ke rumah.
” Bagaiman hasil hari ini..?”
” Macam Biasa bu..rezeki kita masih cukup untuk semua..”
” Megat..Nadim kalau kamu berdua nak makan, pergilah ke dapur. Ratna sudah hidangkan..”
” Siapa yang masak bu…?” soal Nadim teruja melihat juadah tengaharinya.
” semuanya Ratna yang masak…”
” Pandaikah dia memasak bu..? cukupkah ilmu memasaknya itu…?” soal Megat agak sinis.
” Kenapa dengan kau nak…? rasalah dulu. Jangan pandang orang sebelah mata. Kita tidak akan dapat menilai seseorang dengan melihat dari luaran sahaja. Ibu tengok Megat tidak pernah berbual dengan Ratna. Berbuallah nak biar dia tidak rasa janggal berada di sini. Jangan terlalu dingin dengan orang..” ujar Ibu Melati sambil menggelengkan kepalanya. Dia faham benar anaknya yang satu itu. Terlalu dingin dengan orang dan tidak pandai bergaul. Wajahnya sentiasa bengis tidak berperasaan. Sukar untuk dia mempamerkan senyumannya. Dia Sememangnya kurang senang dengan kehadiran Ratna sejak kali pertama dia melihat gadis itu. Dia sentiasa menidakkan suara-suara kecil hatinya yang asyik memuji-muji gadis itu. Dia tidak senang kerana hatinya gundah kerana gadis itu. Dengan itu, dia sengaja membiarkan jurang antara dia dan Ratna terus begitu. Dadanya sesak menyebut nama Ratna dan dia sememangnya benci dengan keadaan itu.
Petang itu indah dek redup yang menyamankan. Nadim tertoleh-toleh mencari kelibat Ratna. Hendak bertanyakan kepada Megat sudah pasti Megat tidak akan melayan pertanyaannya. Sudahnya, dia mengagak sendiri kemana Ratna. Pastinya di pinggir air terjun Gunung Tualang seperti selalu. Dia perlu bertemu Ratna. Ada banyak perkara ingin dibincangkan dengan Ratna. Dia ingin tahu bagaimana Ratna boleh sampai kemari.
Tibanya Nadim di air tejun Gunung Tualang, dia mencari-cari Ratna. Kelihatan Ratna sedang mengocak-ngocakkan kakinya di gigi air.
” Asslamualaikum… Ratna…”
” Waalaikumsalam…terkejut aku…Kenapa Nadim..?”
” Sudahkah kau ketemu jalan bagaimana untuk kau kembali ke dunia kau, Ratna…?”
” Entahlah Nadim…aku buntu. Aku tidak tahu apa yang perlu ku lakukan…”
” Ratna…bagaimana kau boleh datang ke mari…? apa yang membawa kau kemari…?”
” Sukar untuk khabarkan kepadamu Nadim memandangkan aku sendiri tidak pasti bagaimana aku kemari. Gelap yang membawa aku kemari. Kehadiran aku sebenarnya disedari oleh Cempaka. Dia telah menghalang aku kemari namun langkah tidak berhenti sehinggalah aku sampai ke sini…”
” Apa kaitan kau dengan Cempaka…? kenapa dia menghalang kau ke mari…?”
” Kaitan itulah yang aku kurang pasti…tapi memang Cempaka menghalang keras aku datang kemari. Katanya akan ada perkara buruk yang akan berlaku jika aku sampai ke sini. Sebab itulah dia tidak membantuku tempoh hari…ketika aku cuba melepaskan kakiku dari belitan rotan hutan itu. dia marah denganku..”
” Ini urusan ALLAH…kita tidak berhak mempertikaikan apa-apa pun…mungki Cempaka tersilap percaturan. Tidak mungkin akan ada buruk yang berlaku…”
” Itulah yang disebut-sebut oleh Cempaka. Kata Cempaka, datangnya aku membawa petaka…”
” Segalanya atas izin ALLAH Ratna…anggaplah datangnya sesuatu itu kerana kebaikan…”
” Kita tidak tahu takdir yang ALLAH tentukan…mungkin DIA mengirim Cempaka untuk mengingatkan aku atau kau…mungkin juga Megat dan Ibu Melati…”
” Kita tidak mampu menafsir apa-apa… yang penting redha..”
” Erm…Nadim…bagaimana kau tahu aku bukan dari kalangan kalian…?”
” Aku tahu kau manusia, Ratna… Bezakan atas bibir kita…manusia mempunyai lekuk di situ…mereka dari kalangan aku tidak mempunyai lekuk itu…”
” Kau dari kalangan mana Nadim…?”
” Bunian… kau tahu tentang kami…?”
” Serba sedikit barang kali…antara aku dan kau dipisahkan dengan satu hijab…kehidupan aku dan kau berbeza. Kehidupan aku lebih moden…aku tidak tahu tahun berapakah ini…”
” Moden…? Apakah gerangannya moden itu…? kau sekarang ini berada di penghujung kurun ke 16…”
” Aku berada di abad ke 21…perbezaan yang paling ketara antara kehidupan kita adalah dari segi pakaian dan percakapan. Kehidupan di sini lebih tenang. Kehidupanku penuh dengan hiruk pikuk. Entahlah…sukar untuk aku ceritakan kepada kau Nadim…”
” Aku tahu tentang itu semua Ratna…Manusia akhir zaman…aku tahu bagaimana keadaannya…Ada diriwayatkan dalam risalah bawaan Muhammad. Aku akan cuba mengembalikan kau ke dunia asalmu…kita kena cari semula kegelapan yang membawa engkau kemari…aku berjanji, aku akan membantu kau..”
” Terima kasih…” sejurus ucapan tersebut lahir dari bibir mugil Ratna, Nadim segera berlalu pergi. Bimbang akan fitnah. Dan Ratna, kembali berkeluh kesah. Memaksa akalnya berfikir untuk mencari jalan pulang. Dia mengingatkan kembali datangnya kemari. Dia cuba mengimbas kalau-kalau ada cerita yang dia fahami sebelum dia tercampak ke sini. Cuma kalau ada pun dia ada ke rumah datuk Bahar bersama rakan-rakan yang lain. Di rumah Tok Man, dia ada ternampak sebilah keris luk 13. Seni ukiran pada keris itu sangat halus. Keris itu masih megah, matanya masih kuat tajam.Dia ada bertanyakan tentang sejarah keris itu. Menurut cerita Tok Man keris itu diwarisi turun temurun dari zaman moyang-moyangnya dulu. Tok Man merupakan pemegang untuk generasi yang ketujuh. Entah kan berapa puluh tahun atau mungkin berabad-abad hidupnya keris itu.Keris itu diberi gelaran keris berdarah kerana keris itu telah menjadi penyebab dua orang sahabat karib mati. Mereka bertikam dengan keris yang sama, namun punca pembunuhan itu tiada siapa yang tahu. Tapi itu cerita seminggu yang lepas, hakikatnya cerita itu tidak membantu kerana dia masih lagi tersekat disini. Mengeluh dan mengeluh… Dia jadi marah dengan diri sendiri. Tidak habis-habis mengeluh. Dia benci dengan keadaan.
” Ratna…Pulang..Ibu mencarimu…” Suara garau Megat mengejutkan Ratna. Segera Ratna bangun dari duduknya dan melangkah. Kelihatan Megat mengiringi Ratna. Janggal rasanya berjalan dengan Megat. Tiada suara yang terlontar, sekadar bergumam dalam hati. Megat nampak gemuruh dan sesekali Ratna mengerutkan dahinya. Pelik dengan tingkah Megat. Walaupun Megat tidak pernah mengherdik atau memarahi Ratna, namun anak muda itu terlampau dingin dengan Ratna. Mungkin bukan sahaja dengan Ratna, layanannya sama sahaja kepada perempuan lain. Dingin membeku. Perilakunya itu menampakkan dia lebih berusia daripada umur sebenarnya padahal umurnya sebaya dengan Nadim. Anggaran Ratna mereka berumur dalam lingkungan 25 tahun.
Tiba di perkarangan rumah, Ratna segera memcuci kakinya. Sebelum dia naik kerumah, Megat telah menegurnya terlebih dahulu.
” Ratna…aku ingin berbicara sesuatu dengan kau. Penting. Malam ini, di tempat biasa kau bermenung…” Ujar Megat sambil berlalu. Ratna belum pun sempat memberi kata putus, Megat sudah pun melangkah menjauhi Ratna.

Usai bersolat Isyak, Ratna terkebil-kebil teringatkan permintaan Megat. Ratna memikirkan apakah pro dan kontranya dia berjumpa dengan Megat. Apa manfaatnya sedangkan mereka tidak pernah berbual. Apakah kepentingannya? Ratna terfikir mungkin Megat tahu tentang dirinya seperti mana Nadim. Mungkin juga Megat ada jalan untuk dia pulang ke dunia asalnya. Ratna segera bangkit mendapatkan kain batiknya yang biasanya diselepangkan di atas kepalanya. Dia melangkah ke pintu dengan berhati-hati kerana kalau Ibu Melati mendapati dia ingin keluar pastinya dia tiada alasan yang baik. Nasib menyebelahi kerana ketika dia melintasi kamar Ibu Melati kelihatan Ibu Melati sedang khusyuk mengaji. Dia tidak mahu berlengah. Pelita di tepi tangga segera dicapai. Langkahnya pantas.Kelakuan Ratna itu diperhati oleh Nadim. Nadim mengekori Ratna tanpa Ratna sedar. Dia bimbang dengan keselamatan gadis itu. Dia mengekori Ratna sehingga ke air terjun Tanjung Tualang. Nadim mula pelik. Memang Ratna selalu kesitu namun dia tidak pernah keluar pada waktu malam begini. Kelihatan ada seorang lelaki menanti Ratna di sana. Nadim tidak dapat melihat dengan jelas siapa lelaki tersebut dek gelap yang menghalang.
” Lama tunggu…?”
” Tidak juga…Ku kira kau tidak mahu bertemuku Ratna…” Buntang mata Nadim apabila terdengar suara Megat. Dia tidak pernah tersilap tentang lelaki itu namun dia tidak tahu mengapa Megat ingin bertemu dengan di waktu begini. Nadim menagmbil keputusan untuk terus memasang telinga. Dia tidak mahu ada fitnah melanda saudaranya itu. Mungkin Megat hanya ingin membantu Ratna. Biarlah dia terus berada di situ. Seadainya ada orang kampung mendapati mereka berduaan, sekurang-kurangnya dia boleh jadi penyelamat.
” Ada apa kau ingin bertemu ku Megat…?” Pertanyaan Ratna terbiar sepi sebentar. Megat kelihatan gelisah dan gementar.
” Aku tidak tahu bagaimana ingin memulakan bicara…..”
” Katakan sahaja Megat..Aku bersedia untuk mendengar apa sahaja darimu..”
” Ratna aku tidak pernah mengenali dirimu. Pada mulanya aku tidak menyenangi kedatanganmu ke rumah ku. Aku sememangnya tidak setuju apabila Nadim membantumu tempoh hari. Ketika itu Ingin sahaja aku menyuruh Cempaka sahaja membantumu, bukan Nadim…”
” Aku tahu kau tidak menyenangi kehadiranku… Namun aku bukan sengaja datang kemari. Aku tahu aku tidak di undang dan aku juga tidak mahu jadi tetamu di sini… Tapi mengapa kau seakan benci denganku…?”
” Aku bukan membencimu Ratna… Aku tidak menyenangimu sejak dari mula kerana aku… Aku…….”
” Apa Megat…? Apa alasanmu tidak menyukai aku..?”
” Kerana aku sudah dapat mengagak hatiku… Aku telah jatuh cinta padamu sejak dari mula aku terpandangkan dirimu…” Ratna meneguk liur mendengar pengakuan Megat. Dan Nadim yang memasang telinga seraya meraup muka, gusar.
” Aku tidak pernah mengalami perasaan begini. Aku benci dengan rasa risau tatkala aku tidak dapat melihat wajahmu. Aku gelisah andai aku tidak mendegar suaramu dan perkara yang aku benci tatkala ada rasa sakit apabila aku mendapat tahu kau bersama Nadim. Aku sayangkan Nadim namun hatiku tidak kuat bila terfikirkan kau bersama Nadim walaupun aku mempercayai Nadim sepenuh hatiku…”
” Megat… Aku tidak ditakdirkan untuk sesiapa pun di sini. Tidak kau mahupun Nadim…”
” Tapi mengapa Ratna…? Adakah kau sudah bernikah…? Punya anak dan suami..?”
” Tidak Megat…Aku masih sendiri sekadar punya ibu, ayah dan adik-beradikku…Maafkan aku Megat… Aku pulang dulu…Aku takut kalau-kalau ibu bimbang tentang ketiadaanku di rumah. Aku keluar tanpa izin ibu, Megat. Aku pulang Megat…” Megat terasa tercabar dengan penolakan Ratna itu. walaupun gadis itu berbicara dengan sopan dan lembut namun itu tidak dapat memujuk hati Megat. Terasa maruahnya tercalar hebat oleh gemalainya seorang gadis. Satu tumbukan padu dilepaskan ke bumi beserta amarah yang membuak. Dan Nadim terus berdiam menanti di situ hingga kelibat Megat hilang dari pandangan. Dia berteleku sebentar di atas sebuah batu. Pening memikirkan kejadian yang disaksikan sebentar tadi. Dia kasihan pada Megat. Itu kali pertama hati sahabatnya dicuri namun pencurinya adalah orang yang salah. Nadim mengeluh.

Keesokan paginya rumah Ibu Melati gempar tatkala Ibu Melati mendapati Ratna telah hilang dari biliknya ketika Ibu Melati ingin mengejutkannya untuk bersolat Subuh. Segera Ibu Melati menggerakkan kedua-dua anak bujangnya. Terpisat-pisat mereka berdua bangun. Kelihatan Ibu Melati begitu cemas namun akal mereka masih tidak dapat menangkap apa yang diperkatakan oleh Ibu Melati kepada mereka.
” Megat…! Nadim…! Bangun…! Ratna hilang nak…”
” Apa bu….? Ratna hilang…?” soal Nadim kembali.
” Iya…Ratna hilang…Carilah dia nak…Ibu bimbangkan dia… Dia masih baru di sini. Masih belum kenal sesiapa di sini. Dia hanya kenal kita… Carilah dia nak… Ibu bimbang keselamatan dia..” Ujar Ibu Melati bimbang dengan kehilangan Ratna. Nadim dan Megat bingkas bangun untuk mencari Ratna. Nadim menggesa mindanya untuk memikirkan kemana Ratna akan pergi pada waktu begini. Pada awal pagi yang masih gelap ini tiada tempat yang dituju selain masjid. Kelihatan pelita di tepi tangga teguh di situ tidak berusik. Mana mungkin Ratna boleh berjalan dalam gelap gelita. Megat kelihatan begitu resah. Sesekali dia meluahkan rasa bersalah kepada Ratna. Dia menyebut-nyebut salahnya kepada Nadim tanpa hujung pangkalnya. Nadim yang sedia tahu apa yang berlaku antara Ratna dan Megat sekadar menenangkan Megat dan terus berpura-pura tidak tahu. Mereka buntu untuk mecari Ratna. Hari sudah semakin terang namun Ratna masih tidak dijumpai. Akhirnya mereka berdua pulang ke rumah tanpa Ratna.
” Bagaimana nak…? Ada ketemu Ratna…?”
” Tidak bu…Kami tidak ketemukan Ratna… Selepas Zohor nanti kami cari lagi ya ibu…?’
” Baiklah Nadim, Megat… Cari lah dia. Kasihan dia. Dia bukan ada sesiapa. Dia belum biasa di sini…”

Usai bersolat zohor di masjid, Nadim ingin segera mencari Ratna. Matanya meliar mencari kelibat Megat di sekitar masjid terlebih dahulu. Mereka berdua telah berjanji untuk mencari Ratna bersama-sama. Sudah puas Nadim mencari namun tidak di jumpai. Nadim menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Pening kepalanya, seorang-seorang menghilangkan diri tapi yang pasti, Ratna perlu dicari segera.

Usaha Nadim sia-sia sahaja. Ratna tetap tidak dijumpai. Kebanyakan penduduk kampung tidak mengenali Ratna. Nadim mengeluh dan sesekali beristighfar. Nadim termenung di anak tangga. Hatinya semakin risau. Hidup matinya tidak sesiapa pun yang tahu. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Ratna bukan dari kalangan orang-orang dari Kampung Sentosa. Mungkin Ratna telah kembali ke tempat asalnya tanpa disedari sesiapa. Memikirkan itu hatinya lega.
” Saudaraku Megat, sudah hampir waktu maghrib kau baru pulang. Kamanakah au pergi sepanjang hari ini. Puas aku menacrimu…”
” Aku ke sekitar kampung mencari Ratna tapi aku ketemu. Aku ada bertanyakan pada orang kampung namun tiada siapa yang mengenali Ratna..” Terdengar keluhan dari Megat. Walaupun halus nafasnya namun keluhan itu berat.
” Sabarlah Megat… kemungkinan Ratna itu telah pulang ke kampung halamannya. Kita berdoa sahajalah biar dia selamat hendak-NYA”
” Mungkin benar kata-katamu itu Nadim. Marilah kita masuk, sebentar lagi sudah masuk waktu Maghrib” Nadim mengagguk dan membontoti Megat.

Hari ini sudah masuk empat hari Ratna tiada. Mungkin sudah pulang ke tempat asalnya. Terasa sunyi dan tiada penyeri. Walaupun gadis itu kerap membisu namun Nadim suka memerhati tingkah Ratna yang selalu canggung itu. Geli hatinya teringat akan perkara itu. kelihatan Megat pulang dari kejauhan. Nadim perasan sesuatu yang berubah. Megat selalu tiada di rumah. Kadang kala sepanjang hari. Dia seakan tidak betah tinggal di rumah. Dia akan pulang untuk mandi dan tidur pada waktu malam. Dia menjadi semakin pendiam. Mungkin dia terkesan dengan kehilangan Ratna secara tiba-tiba itu. kalau ditanya kemana perginya, pasti jawapannya tiada kemana-mana kalau ditanya solatnya di mana,masjidlah jawabnya. Jawapannya pasti tidak boleh disangkal. Nadim tidak boleh membiarkan Megat sentiasa dalam kemurungan. Kemurungan itu membiarkan Megat mencipta dunianya sendiri sehingga tidak mengendahkan sesiapa pun di sekelilingnya. Hari ini Megat bersolat Asar di rumah. Dia pastinya akan keluar sejurus usai bersolat. Nadim ingin mengekorinya hingga ke tempat yang biasa dia pergi. Nadim hanya menanti. Kelihatan Megat oantas keluar dari rumah. Nadim menjenguk ke tingkap, untuk memastikan arah yang dituju oleh Megat. Tidak lama kemudian Nadim mula mengekori Megat. Hatinya kurang selesa dengan keadaan. Dia dapat rasa mungkin akan ada sesuatu yng tidak baik berlaku. Dalam perjalanan dia mengekori Megat, dia disergah oleh Cempaka.
” Apa yang kau buat Nadim, terhendap-hendap persis seorang pencuri..?” Nadim mengurut dada. Dia berpaling melihat Cempaka. Sinis sungguh senyumannya.
” Aku ada sesuatu yang perlu aku selesaikan secepat mungkin…”
” Amanah kau kah itu…?”
” Ya…Boleh dikatakan amanah..”
” Baiklah…Aku akan beredar. Aku tidak mahu mengganggumu melaksanakan amanahmu memandangkan kau dan Megat adalah amanahku yang gagal”
” Apa yang kau karutkan ini Cempaka…?”
” Jangan disoalkan kepada aku… Tanyakan saja kepada perempuan pembawa petaka yang celaka itu…!”
” Bawa mengucap Cempaka. Kenapa kau terlalu bencikan Ratna…? Sudahlah Cempaka. Pulang saja. Aku bermohon atas keterlanjuranku yang melukakan hatimu…”
” Tidak Nadim… Kau sedang melukakan hatimu…Assalamualaikum…”
” Waalaikumsalam…” kelihatan Cempaka berlalu pergi.

Nadim meneruskan agendanya. Dia perlu tahu kemana Megat sering pergi. Megat pergi nya bersabar. Langkahnya semakin berhati-hati kerana nampaknya Megat sudah pun tiba ke tempat biasanya. Nadim jadi pelik. Apa yang dilakukan oleh Megat di sebuah rumah usang di hujung kampung ini, di dalam hutan pula. Nadim bersembunyi di belakang sebatang pokok angsana yang besar. Kedengaran Megat membuka pintu rumah tersebut. Megat sepertinya berbual dengan seseorang namun tidak bersahut. Megat acap kali mengherdik tawanannya itu. Nadim menghampiri dinidng rumah itu. kelihatan ada seorang perempuan diikat kaki dan tangannya. Nadim tidak berani mengintai kerana takut kedapatan. Dia hanya memasang telinga.
” Megat… Kenapa kau buat aku begini? Aku tidak sangka begini sikapmu…Aku tidak mahu tidak akan mengahwini kau Megat… Tidak akan…!!” Nadim kenal benar dengan suara itu. Ratna…! Dia mesti menyelamatkan Ratna, namun bukan sekarang. Dia perlukan masa yang sesuai. Dia tidak sangka Megat akan melakukan Ratna begitu hanya kerana Ratna menolak cintanya. Hebat kuasa cinta. Membuatkan manusia hilang akal warasnya. Kedengaran Ratna melawan tidak mahu mengalah walaupun Ratna ditampar oleh Megat berkali-kali. Dia semakin bimbang. Pintu di hempas marah. Megat keluar dari rumah itu. Setelah memastikan Megat betul-betul jauh, seraya Nadim menjengah ke tingkap meminta supaya Ratna diam dan bertenang.
Pintu ditolak. Memang pintu itu langsung tidak berkunci. Kerana itulah Ratna diikat sebegitu rupa. Muka Ratna lebam dan tepi bibirnya bengkak berdarah ditampar Megat. Kasihan sungguh dia melihat keadaan Ratna.
” Ya ALLAH…Nadim…selamatkanlah aku. Aku sudah tidak tahan diperlakukan sekejam ini. Megat terlampau memaksa…”
” Sabar Ratna. Aku sedang menyelamatkan kau. Sabar..” Ikatan di tangan dan kaki Ratna terlampau ketat. Dia mengeluarkan keris di pinggangnya untuk memutuskan ikatan Megat. Selepas dia melepaskan Ratna, seraya dia memimpin tangan Ratna lemah.
” Izinkan aku Ratna…” Ujar Nadim hormat. Ratna sekadar mengagguk memandangkan dia begitu lemah keadaannya. Namun belum sempat mereka melangkah keluar dari rumah usang itu, Megat tiba.
” Nadim…! kau mengkhianati aku, saudaramu…! Serahkan Ratna kepada aku semula…!”
” Sabar Megat. Kau tidak boleh menyiksa Ratna. Di mana sifat kemanusiaan kau? Dayus memukul perempuan. Kemana didikan ibu kau campak?’
” Jangan kau hendak membetulkan apa yang aku lakukan. Dia menginjak maruahku sebagai lelaki ketika aku meminta untuk bernikah dengannya!”
” Walaupun tinggi ke langit kasihmu kepada Ratna, namun kau tidak boleh mengahwininya. Ratna bukan milik dunia kita. Dia manusia Megat. Tidakkah kau perasaan perbezaan antara dia dan kita…?” Tatkala itu, Megat harus setuju dengan Nadim. Dia baru perasan Ratna adalah manusia.
” Ah…! aku tidak kira. Tidak banyak bezanya dia dengan kita…!” Megat semakin tidak puas hati. Dia betul-betul menginginkan Ratna lebih dari segalanya.
” Tidak boleh Megat… Aku perlu membawa ratna keluar dari sini segera. Dia cedera.”
” Baiklah…Kau perlu melalui aku dahulu…Biar mati sekali pun…!”
” Kau pertaruhkan persahabtan kita megat…”
Pertelingkahan berlaku antara mereka berdua. Ratna tidak mampu menghalang. Perit tekaknya menjerit supaya mereka menghentikan perbalahan mereka namun tidak diendahkan. Perbalahan semakin tatkala keris di tangan megat terlepas dek penangan nadim. Megat tetap tidak mahu mengalah. Masih menyerang nadim walaupun tiada senjata. Pertelingkahan itu diperhati dari sejak mula. Ratna terpandangkan sesusuk tubuh di sebatang pokok asam kundang di hadapan rumah itu sedang mengintai. Cempaka! Ratna cuba memanggil Cempaka namun apabila cempaka mendapati ratna sedang memanggilnya, seraya dia menghilangkan diri. Dalam sekelip mata, ratna terpandangkan megat sudah terbaring di lantai berlumuran darah. Keris nadim, Delima luk 13 itu terbenam ke rusuk megat. Sebelum pergi, Nadim sempat meminta maaf dan mengajarkan Megat kalimah Syahadah. Ada sendu di wajah Nadim. Mungkin kesal dengan apa yang terjadi.

Mereka segera melarikan diri. Nadim masih setia memimpin Ratna yang lemah. Nadim sempat bertanyakan Ratna bagaimana caranya untuk menghantar Ratna pulang. Nadim tidak mahu perkara sebegini terjadi lagi. Keanggunan Ratna bisa menggugat lelaki mana pun. Ianya perkara normal tetapi bukan untuk Ratna. Ratna bukan milik dunia Nadim, Megat, waima sesiapa pun dan perkara itu sukar untuk dijelaskan kepada mereka yang tidak mahu menerima hakikat. Contoh terdekat adalah Megat. Sedikit sebanyak Nadim terkilan dengan Megat. Dan dia terus dihambat rasa berdosa kerana telah membunuh sahabatnya sendiri. Sekarang, dalam fikirannya hanya Ibu Melati. Dia rela menerima apa pun hukuman dari Ibu Melati. Hatinya diasak pilu. Inikah padahnya seorang perempuan? Nadim segera menggelengkan kepalanya. Astghfirullah. Dia mengusir jauh prasangkanya dengan ketentuan ALLAH. Dia redha.

Kelihatan Ratna tercungap-cungap. Nadim tidak sampai hati melihat keadaan Ratna. Ratna mengadu dahaga namun tiada sebarang bekalan dibawa bersama. Dia tidak dapat mengagak sebarang kejadian. Nadim membawa Ratna ke perdu pohon ketapang hutan, membiarkan Ratna berehat barang seketika. Nadim juga duduk melepaskan lelahnya. Dia kembali memikirkan apa yang terjadi. Berdosakah dia? Adakah berkali-kali dia meraup mukanya. Terkilan yang dirasakan cukup besar menghempap pundaknya. Ratna mula merasakan penyesalan yang tidak tergambar dengan kata-kata dan dia mula membenarkan kenyataan Cempaka. Memang benar, aku pembawa malapetaka! Getus hatinya.
” Nadim…Aku bermohon ampun denganmu. Aku tidak menyangka kedatanganku mengundang musibah sebegini dahsyat. Ampunkan hidup matiku Nadim. Bagaimana aku harus berdepan dengan ibu? Ini semua salah ku Nadim. Aku yang celaka.” Ujar Ratna tersedu-sedu.
” Astaghfirullah Ratna. Apa yang kau katakan ini Ratna. Tidak waras kah kau? Ini ketentuan ALLAH. Jangan kau menidakkan ini semua. Kau tidak ada hak untuk itu.”
” Aku takut Nadim….”
” Berlindung kepada ALLAH Ratna.”
” Kalian harus berhati-hati denganku. Kalau aku bakal dijemput maut akan ku pastikan aku berteman!” tempik Megat berang. Nadim terkejut namun masih mampu bertenang namun tidak Ratna. Jerit pekiknya membingit.
Perkelahian bermula sekali lagi. Nadim masih lagi menguasai permainan memandangkan Megat sudah cedera dan sudah banyak kehilangan darah. Keris milik Nadim diacu-acu megacah Nadim. Nadim sebenarnya sudah tidak ada hati untuk melawan gerak sahabatnya. Dia hanya mengikut rentak permainan sambil melayan galau hatinya. Dia terkilan dengan tingkah Megat yang masih sombong. Inikah panahan asmara? Asmara atau bisikan iblis laknatullah? Sesekali dia memegang dadanya. Sakit. Itu sahaja rasa yang ada. Permainan semakin perlahan. Megat tidak mamu bergerak setangkas tadi. Nadim pula berusaha memujuk Megat namun hati Megat keras, sekeras Tembaga Suci yang ampuh di tangannya itu.
Tidak semena-mena, Nadim terduduk bertahan lutut. Dia menangis dengan segala sendu yang ada.
” Sudah lah Megat. Aku tidak mahu meneruskan permusuhan yang tidak bermakna ini. Kita akan hancur Megat. Aku amat menghormatimu. Maafkanlah aku yang melukakan hatimu. Tapi percayalah, kau tidak boleh bernikah dengan Ratna.”
” Sememangnya aku sudah musnah Nadim. Hatiku hancur. Dan sekarang aku ingin memusnahkan sesiapa sahaja yang menghalang aku sebagai ganti kemusnahan diriku.”
” Jangan melulu Megat. Itu perinya iblis.”
” Sudahlah Nadim. Aku mencarimu bukan untuk mendengar bicaramu. Bangkit Nadim. Jangan matimu nanti memalukan Pak Siak Ali, guru pencakmu.” Nadim bangkit dan meluru ke arah Megat. Sangkanya Nadim menyerang, keris yang sedia terhunus terbenam tepat ke jantung Nadim. Kedengaran suara Nadim tersekat-sekat memberitahu bahawa dia hanya ingin memeluk Megat. Kali ini Megat pula mengajarkan kalimah syahadah kepada Nadim. Dia seakan baru tersedar. Sakit akibat tikaman keris di perutnya baru terasa. Jernih air mata mengalir di celahan kelopak matanya. Ratna pula hanya tergamam menyaksikan kejadian. Dia semakin bingung. Ratna menghampiri kedua-dua mereka. Megat lemah kerana kehilangan banyak darah manakala Nadim pula, rohnya sudah diangkat ke atas. Ratna menangis teresak-esak disisi mereka.
” Kenapa kau bunuh Nadim kerana aku Megat?”
” Ampunkan aku Ratna. Aku hilang kewarasan Ratna. Aku tidak sedar akan akibat tindakanku ini. Aku memutuskan silaturrahim. Ampunkan aku Ratna, Nadim.” Halus kedengaran suara Megat menyebut ALLAH. Sejurus kemudian, Megat mengiringi Nadim. Kesayuan menyelubungi Ratna. Dia menangis menyalahkan dirinya. Seketika kemudian, Cempaka muncul dengan beberapa orang penduduk kampung. Mereka terkejut dengan kematian dua sahabat itu. Ratna seakan berdendam dengan Cempaka. Dia teramat benci dengan Cempaka. Cempaka sepatutnya cuba menyelamatkan keadaan sebelum menjatuhkan hukum sebagai satu amanah yang gagal.
” Kita minta agar semua berganding bahu menguruskan jenazah Nadim dan Megat.”
” Mereka dibunuh?”
” Mereka bukan dibunuh tapi berbunuhan, kerana ingin meyelamatkan seseorang mereka sanggup menggadai nyawa. Kita harap, cerita ini akan mati disini sahaja. Bukan sesuatu yang baik mengaibkan jenazah. Kita harus menghormati perasaannya Ibu Melati” ujar Cempaka. Ratna jadi pelik. Mereka yang ada hanya akur dengan Cempaka walaupun Cempaka jauh lebih muda daripada mereka.

Keesokan paginya, dua keranda diusung. Megat dan Nadim dikebumikan bersebelahan sebagai simbolik mereka sahabat yang amat akrab. Kematian mereka menjadi buah mulut ramai orang. Ibu Melati tenang menghadapi kehilangan dua orang anak sekali gus. Dia meredhai pemergian anak-anaknya itu. Di sudut hati kecilnya, naluri keibuannya asyik berbisik tentang Ratna. Ada apa dengan anak itu? kematian anak-anakku kerana dia. Namun sedikit pun dia tidak berdendam. Imannya masih teguh walau di uji dengan ujian yang hebat. Sedikit pun tidak goyah.

Di tengah ramai manusia sedang menangisi pemergian Nadim dan Megat, Cempaka mencari Ratna. Matanya dipicingkan supaya mudah mendapatkan Ratna. Di satu sudut paling tersorok, di bahagian dapur, kelihatan Ratna sedang menangis. Cempaka segera mendapatkan Ratna. Lengan Ratna ditarik kasar. Ratna diheret keluar dari rumah itu. Dia di lelar entah kemana. Pertanyaan Ratna langsung tidak berjawab. Permintaan Ratna supaya dilepaskan tidak diendahkan. Ratna di bawa ke satu tempat di hujung kampung. Perjalanan mereka berhenti tatkala mereka sampai di hutan. Kelihatan ada satu ruang kosong yang gelap di celahan pohon-pohon hutan itu.
” Apa lagi hasadmu untukku Cempaka? Tidak puas lagikah kau merancang rencana untukku?” Ratna bertanya sinis.
” Aku sudah mengigatkanmu.”
” Betul kah caramu itu Cempaka? Kaulah punca petaka ini semua. Kau tahu tapi kau tidak cuba menyelamatkan keadaan. Kau berdosa Cempaka”
” Kau pembawa sial Ratna.”
” Cempaka kalau kau Islam, kau patut tahu yang segala ciptaan ALLAH itu hanya yang baik-baik belaka. Barangkali memang kau yang punya angkara mahu mereka berdua mati.” Ujar Ratna mengapikan. Dia benci pada Cempaka. Perempuan itu kejam.
” Janganlah kau menuding jari kepada orang lain.”
” Aku dapat rasakan rasa bersalah yang bersarang di hatimu itu Cempaka. Lebih hebat dari apa yang aku rasa bukan? Kaulah yang menanggung rasa sesal di sepanjang hayatmu Cempaka, memandangkan kau yang tahu segalanya bertindak sebagai pemerhati tanpa melakukan apa-apa. Kau berdosa Cempaka. Setiap masaku yang terbuang disini aku haramkan atas namamu Cempaka. Aku pasti, kalau Nadim dan Megat tahu perkara sebenar pastinya mereka akan membencimu untuk seluruh hidup mereka.” Kelihatan Cempaka menutup telinganya.
” Kaulah petualang yang membawa malapetaka itu Cempaka. Kau menarik aku untuk menjadikan aku punca kepada sejarah yang tidak pernah tercatat ini. Nama bersihmu itu sebenarnya busuk seperti bangkai. Terimalah hakikat.” Kerana tidak tahan dengan kenyataan yang Ratna isytiharkan, Cempaka menolak Ratna ke kawasan gelap di celahan pokok itu. kedengaran jeritan Ratna semakin tenggelam dan hilang.

” Eh, Tok Man..kau Bahar…Nek Limah…” satu-satu wajah dihadapannya ditenung. Minta penjelasan.
” Kau kenapa Julia?” soal Bahar
” Alhamdulillah…” kedengaran suara Tok Man memanjatkan kesyukuran.
” Tok Man…Mereka berbunuh kerana seorang perempuan…!” ujar Ratna penuh penghayatan.
” Tapi kan tok…tak tahu perempuan mana yang salah. Ratna ke Cempaka..hurm…” Bahar terpinga-pinga melihat ulah Ratna atau Julia.
” Tok..tolong lah kawan Bahar ni tok… macam dah gila jek..”
” Woi Bahar. Jaga mulut kau ey. Aku masih waras tau…”
” Bahar..Ratna ditarik semangat Tembaga Suci tadi. Mungkin Ratna dipilih untuk membetulkan kisah Nadim dan Megat” Tok Man dan Nek Limah sekadar tersenyum manakala Bahar terpinga-pinga langsung tak faham.
Nek Limah menyediakan tujuh jenis bunga untuk mandian Julia bagi memulihkan semangat Julia yang dibawa ke zaman Nadim dan Megat selama lapan jam. Pengembaraannya meninggalkan kesan yang mendalam. Untuk mengelakkan dia terbawa-bawa, Tok Man menyuruh Nek Limah memandikan Julia dengan tujuh jenis bunga.

Setelah selesai semuanya, mereka berempat berehat di anjung. Dan Ratna selaku penglipurlara bersedia untuk membetulkan cerita tentang Nadim dan Megat kepada Tok Man dan Nek Limah. Bahar? Biarlah…Dia bukan faham pun. Nek Limah dan Tok Man mendengar dengan khusyuk ceritera yang di hikayat oleh Julia. Watak Julia sebagai Ratna itu tidak dapat di kenal pasti siapa sebenarnya gadis itu. mungkin Julia dipilih kerana persamaan namanya. Tok Man mengambil senaskah buku lama. buku yang usang itu dibelek-belek. Sesekali dahinya berkerut, memikirkan sesuatu barangkali. Nek Limah setia disisinya memerhati. Julia sekadar mendiamkan diri.
” Ini hasil tulisan Cempaka…”
” Cempaka tu memang ada ke tok? Siapa dia sebenarnya?”
” Asal usul Cempaka tidak pernah dikisahkan oleh sesiapa pun waima dirinya sendiri. Moyang-moyang dulu pun tidak pernah mencanangkan siapa Cempaka itu. tapi sekurang-kurangnya sejarah ini terungkai. Kematian mereka hanya diketahui oleh Ibu Melati, Cempaka, Ratna dan beberapa orang penduduk kampung yang memindahkan mayat mereka ke rumah Ibu Melati untuk diuruskan. Sudah perinya Ibu Melati. Semuanya disimpan di dalam hati dibawa mati. Kerana itulah, kami waris yang memegang keris Tembaga Suci luk 13 ini tidak tahu cerita sebenarnya.”
” Tok…Ibu Melati pun tidak tahu perkara sebenar kan…? Tiada siapa yang bercerita dengan Ibu Melati tentang kematian mereka berdua…”
” Mungkin itu yang Julia tertinggal kerana datuk Tok Man dulu ada berkata, selain Ratna dan Cempaka yang mengetahui kisah Nadim dan Megat, Ibu Melati pun tahu kisah sepenuhnya perihal kematian mereka..”
” Siapa yang bagitahu…?” ujar Julia pelik.
” Sebelum Ratna dibawa pergi oleh Cempaka.. Ratna terlebih dahulu menemui Ibu Melati dan bercerita segalanya dengan Ibu Melati..” Julia terasa lega. Sekurang-kurangnya kurang beban yang ditanggung Ratna. Berterus-terang akan mengelakkan dia dari dipersalahkan seratus peratus.
” Apa jadi dengan Cempaka lepas tu Tok..?”
” Musibah ini datangnya bertanda tanya, perginya pula menjadi persoalan kerana kejadian itu menghilangkan empat orang sekali gus pada hari yang sama. Kematian Nadim dan Megat. Ratna yang hilang kerana sudah dipulangkan ke dunia asalnya dan Cempaka hilang entah kemana. Apa yang orang kampung temui hanya lah buku lama ini. Hasil tulisan Cempaka yang di tinggalkan di atas sebuah batu di pinggir air terjun Tanjung Tualang..” buku kecil itu disuakan kepada Julia. tulisannya sudah tidak dapat dibaca lagi. mungkin kerana usianya telah terlalu tua seiring dengan pemengangnya yang silih berganti di sepanjang tujuh generasi itu. Yang masih jelas kelihatan hanya tulisan jawi di penghujung kisah dalam buku itu yang tulisannya lebih besar dari yang lain.
” Aku berdosa dengan seluruh keturunan Megat dan Nadim…” Bibir Julia meniti diatas ayat-ayat itu. Halus jiwanya terusik.
” Tok Man..Nadim dan Megat bukan adik beradik. Jadik susur galur Tok Man dari sebelah siapa? Nadim tak ada keluarga..”
” Tok Man keturunan sebelah Nadim. Nadim ada seorang adik lelaki yang bernama Naim. Dia telah lama meninggalkan Nadim untuk merantau mencari ilmu. Sebelum dia meninggalkan Nadim, dia turut di asuh oleh Ibu Melati. Seminggu selepas kematian abangnya, dia pulang selepas bertahun-tahun tidak pulang. Dia pulang kerana hatinya sudah lama kurang enak mengenai keluarganya di Kampung Sentosa itu. Kepulangannya di sambut oleh berita kematian abang-abangnya. Ibu Melati menyerahkan keris itu kepada Naim. Selepas Naim bernikah dengan Mustika, dia dan isterinya tinggal bersama Ibu Melati memandangkan Ibu Melati tinggal berseorangan..” Kelihatan Julia dan Nek Limah mengangguk faham.

Akhirnya, kisah keris berdarah itu sudah pasti sejarahnya. Yang tidak pasti di sini. Siapakah yang bersalah, Ratna atau Cempaka. Dan di sepanjang riwayat itu dihikayatkan, Bahar tetap terpinga-terpinga langsung tidak faham. Bahar…Bahar.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

9 ulasan untuk “Cerpen : Hijab”
  1. wannisha says:

    wajib dijadikan peringatan pada penulis supaya jangan tenggelam didunia mayanya…

  2. hazel says:

    best cerita ni.. sebab cinta manusia boleh berbunuhan..

  3. nikku says:

    saya x baca abih citer ni…
    scanning aja…

  4. missfiza says:

    hmm…xbpe nk phm la citer ni…huhu~

  5. sury says:

    this is my first…thanx utk komen tu…time kasih all…

  6. nurul17 says:

    sury,cerpen ini sangat berkualiti.jarang saya jumpa penulis macam awak sekarang.awak mengingatkan saya kepada novelis kegemaran saya,Ramlee Awang Murshid ;-) Saya yakin anda akan boleh pergi jauh.teruskan menulis.martabatkan kembali dunia sastera kita.fighting!!! :razz:

  7. sury says:

    nurul17…..!!! Ramlee awang murshid, penulis thriller tu?? best kan die…thanx nrul…bnyk bnde yg sury nk perbaiki…sury xpandai tulis cerite cnte…don forget bg komen y membangun untk setiap karya sury k…baru2 ni ade post cerite banglo puaka tp xmasok lg nmpknye…thanx nurul..thanx all…klu x kberatan jenguk2 la blog sury k…arjunasury.blogspot…thanx…

  8. nurul17 says:

    erm..memang dia best pun :!: especially bagaikan puteri,cinta sang ratu dan hijab sang pencinta :razz: dia seorang yang lain dari yang lain.citer cinta yang dia tulis tak terlalu berat.nurul memang jatuh cinta dengan karya dia :oops: tak sabar nak baca karya sury yang lain..tak pandai tulis citer cinta pun takpe coz tak semua orang suka citer cinta.nurul dah jemu dgn citer cinta yang melebih-lebih :mrgreen: kadang-kadang reality tak seindah kisah dalam novel.try la tulis sal vampires/werewolves pulak.tak sabarnya!!!lau ada masa nurul singgah kat blog sury.coz taun ni nak spm so jadual padat ckit.

  9. sury says:

    hurmmm…nurul telah diangkat menjadi advisor@editor akk..hehe..mne tau nurul leh tlg akk cntikkan lg jln cite klu akk ade mase nak mnulis…thanx a lot…nt akk nk crik karya ramlee awg murshid yg lain2 la…mne tau leh wat rujukan…wat mase ni akk baru ade satu..cinte sufi…gud luck for your spm…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"