
Novel : Akukah Juwita 1
Oleh : SWEET BUTTERFLY
Aku berlari laju, sudah tidak endah andai larianku yang lintang-pukang itu menarik perhatian orang yang memandang dan aku pasti orang yang melihat akan tergelak. Ini kerana aku tiada skill dalam larian pecut, masa sekolah pun selalu saja kalah dan tak pernah terpilih dalam apa-apa acara sukan. Tetapi di saat ini, nyawaku lebih penting, pedulilah apa orang nak kata. Selama ini pun sudah macam-macam orang mengata dan aku peduli apa. Aku terus sahaja berlari masuk ke dalam rumah, pintu dapur yang memang sudah ternganga bagai menjemput kedatanganku itu, aku tutup sedikit. Semput aku dibuatnya, debaran di dada pula masih belum hilang. Ini semua angkara si Jebon, entah apa angin Jebon hari ni, mengamuk tak fasal-fasal. Nasib baik aku sempat lari, kalau tak tentu aku dah merempat kat ICU dek disondol si Jebon.
“Samdol betul si Jebon ni, angin tak, rebut tak, nak mengamuk pulak. Ada hati nak sondol aku, sondolan aku kau tak tahu lagi! ” Bebelku sendiri sambil menjengah di balik pintu. Manalah tahu kalau-kalau Jebon masih mengejarku. Melihat tiada lagi kelibat Jebon aku menghela nafas lega. Ketika itu barulah tapak kakiku terasa pedih lalu aku mengangkat sedikit kaki untuk melihat apa yang tidak kena pada tapak kakiku. Calar balar tapak kakiku kerana selipar yang aku pakai sudah hilang entah ke mana. Aku tak sedar langsung yang tadi aku berlari tanpa selipar, nampaknya aku kena cuci kaki dulu sebelum luka-luka kecil itu diubati.
Ketika aku berpaling, aku tersentak apabila ada makhluk asing yang sedang memandang ke arahku. Gaban! Macam mana dia boleh ada di sini? Bukan Gaban saja, emak si Gabak, Mak Yam dan Emban, anak saudaranya itu pun ada juga? Tapi bila pula si Gaban ni pulang, tak dengar cerita pun. Tak riuh pula kampung ni pasal si Gaban sudah pulang. Tapi yang peliknya kenapa suasana di dalam rumah ini macam bukan suasana di rumahku. Aku tercengang seketika, mungkinkah aku salah masuk rumah. Aku memandang sekeliling, di hujung ruang Pak Aban yang duduk di kerusi malas turut memandang padaku. Pendek kata mereka semua sekarang sedang memandangku kehairanan tanpa suara. Memang sah! Aku salah rumah. Kenapa dalam banyak-banyak rumah dalam kampung ni, rumah si Gaban ni yang aku masuk.
“Err….kita balik dululah, kita dah salah rumah,” ujarku sambil mengundur dan tidak tunggu lama terus saja aku berpaling semula. Bersedia untuk lari sekali lagi. Alahai malunya aku.
“Minah!” Panggilan Mak Yam buat langkahku segera mati. Perlahan-lahan aku menoleh, malu sebenarnya pada mereka semua lebih-lebih lagi pada si Gaban.
“Sini!”
“Kenapa Mak Yam?” Soalku penuh gusar apabila wajah Mak Yam begitu serius sekali. Sememangnya sejak dari dulu aku takut dengan Mak Yam ni, sebab dia garang. Tidak peramah, cakap pun benda yang penting saja. Pendek kata, Mak Yam ni macam guru besar pencen.
“Sinilah, duduk dulu.” Tegas Mak Yam memberi arahan, membuatkan aku tiada pilihan selain menurut. Perlahan-lahan kerusi di hadapan Gaban aku tarik. Si Gaban pula dari tadi tak habis-habis merenungku, macam tak pernah tengok anak dara orang. Masakan di luar negara tu tak ada anak dara yang cun macam aku ni. Ahaks, perasan!
“Nah minum, nampak penat sangat kamu ni. Kamu lari dari siapa? Yang tak pakai selipar tu kenapa?” Pertanyaan Mak Yam buat aku tersengih, lalu aku sambut huluran gelas daripada Mak Yam. Air sirap limau yang membasahi tekakku terasa enak sekali. Malah hanya dengan sekali teguk sahaja, licin air di dalam gelas.
“Jebon mengamuk, tu yang kita lari sampai selipar pun tak tahu tercampak kat mana.” Ceritaku sambil memandang pada Gaban yang kembali menyuap nasi ke dalam mulutnya. Melihat Gaban makan terus buat aku terasa lapar, lebih-lebih lagi ada ikan kurau masak lemak cili api terhidang di atas meja. Macam aku nak bedal saja lauk tu tapi orang tak pelawa. Telan air liur sajalah jawabnya.
“Nah makan dulu, lepas ni Aqil boleh tolong ubatkan kaki kamu tu.” Aku mengangkat kening, macam tak percaya yang Mak Yam mempelawa aku makan sekali. Malah pinggan berisi nasi sudah pun diletakkan di hadapanku. Hai, langkah kanan aku nampaknya. Tak sia-sia Jebon mengamuk!
Cepat-cepat aku cuci tangan, senduk ikan kurau, baca bismillah dan terus makan. Yang lain-lain aku dah tak peduli, malah pandangan si Gaban pun aku tidak endahkan. Bukan aku tak nampak mata si Gaban terbeliak melihat kerakusan aku tapi aku buat tak kisah. Lantaklah kalau nak terjojol biji mata sekalipun, aku tak peduli. Yang penting, kita makan dulu!
Sesekali aku mengerang kesakitan, tenyehan ubat luka memedihkan kulit tapak kakiku dan setiap kali itulah Gaban akan berhenti seketika, memandang padaku sebentar sebelum ditenyehkan lagi ubat luka.
“Sakitlah,” aku mengaduh.
“Tahan ajelah.” Baru kali ini aku mendengar suara Gaban setelah bertahun tak bertegur sapa. Pernah juga Gaban balik waktu cuti semester tapi aku yang selalu lari bila nampak dia. Bukan apa, aku rasa segan dan rendah diri bila hendak berdepan dengannya, maklumlah si Gaban belajar hingga ke luar negara sedangkan aku cuma insan biasa yang tiada apa. Ada diploma pun sampai sekarang masih menganggur. Bukan memilih kerja tapi aku selalu yang tak dipilih selepas sesi temuduga. Hampeh!
Tapi aku tak sangka si Gaban yang dulu aku tengok macam orang tak ada masa depan kini berubah macam seorang pahlawan. Tubuh Gaban yang tegap dan sasa itu buat kita rasa selamat disampingnya. Bukan itu saja malah Gaban semakin kacak, kulitnya pula nampak lebih cerah berbanding dulu, agaknya dia pakai krim pemutih Fair & Lovely tak? Pendek kata Gaban kini memiliki ciri-ciri lelaki idaman. Ni kalau Naja ada, mesti best nak bercerita.
“Kenapa Embam senyum?” Aku terkejut apabila Gaban tiba-tiba bersuara. Aku segera mengalihkan pandangan ke arah Embam yang sedang tersengih memandang kami.
“Habis tu, pelik tengok cik Minah pandang Pak Su sambil senyum sorang-sorang.” Jawapan Embam buat aku terkedu. Kurang asam punya budak! Sejak bila si Embam ni perhatikan aku. Bukankah tadi si Emban ni sedang kusyuk membaca.
“Mana ada?” Aku berdalih sambil buat muka. Gaban hanya memandangku sekilas sebelum mengemas semula kotak ubat. Aku menarik kakiku dan terus saja membelek tapak kaki yang telah biru sana sini. Ubat luka berwarna biru tentu payah nak hilang, mau makan sehari dua. Tapi tak apalah, warna biru tu cuma di tapak kaki, tak ada siapa yang nampak.
“Mak Yam, kita balik dululah. Nak tambat si Jebon tu, karang masuk pulak kebun orang.” Ujarku sebaik melihat kelibat Mak Yam.
“Dah siap ke?” Aku hanya mengangguk, menjawab soalan Mak Yam.
“Aqil, temankan Minah. Mana tahu kalau Jebon mengamuk lagi.”
“Eh, tak apalah Mak Yam. Tak payah susah-susah, kita boleh balik sendiri. Kalau Jebon mengamuk lagi, pandailah kita nak buat apa lepas ni. Jebon tu ingat dia aja yang pandai mengamuk? Mengamuk kita dia tak tau lagi, karang kita sembelih baru tau nasib dia. Raya korban pun tak lama lagi ni,” balasku sambil ketawa. Mak Yam hanya tersenyum, baru kali ini aku rasakan senyuman Mak Yam menawan. Kalau tak mukanya memanjang masam, bila kali terakhir aku lihat dia tersenyum pun aku tak tahu. Hmmm, samalah macam anaknya, payah sangat nak tersenyum macam ada emas dalam mulut.
“Tak apa, aku temankan kau.” Serentak itu aku memandang pada Gaban yang kelihatan bersahaja. Macam tak percaya saja yang dia sudi temankan aku, berat pula hati aku nak membantah niat murninya itu.
“Eloklah tu, hati-hati. Pakai selipar Mak Yam tu.” Aku sedakar mengangguk dan mengekori langkah si Gaban.
“Bila kau balik?” Soalku setelah lama kami membisu. Nak harapkan si Gaban ni bersuara memang payah, sama spesis dengan mak dia. Tapi kalau sudah bersuara menyakitkan hati pula. Sebab itulah dulu aku dan dia pantang bersua, pasti perang mulut akan meletus dan nama bapa jadi bahan ejekan. Tapi itu dulu, sekarang aku tak pasti, adakah si Gaban ni masih begitu atau tidak.
“Semalam.”
“Tak tau pun.”
“Kalau kau tahu pun, kau nak ke sambut kepulangan aku?” Aku mengerling pada Gaban yang kelihatan bersahaja.
“Bukanlah macam tu, selalunya heboh kalau anak kampung ni yang pulang dari luar negara.”
“Apa yang nak dihebohkan?”
“Yalah mereka gembira dan bangga anak kampung kita ni sampai ke luar negara.”
“Apa yang nak dibanggakan sangat, aku pulang dari belajar bukan dari berperang.” Ayat itu buat aku kurang senang. Kita bertanya nak meriahkan suasana tapi tengoklah macam mana si Gaban menjawab. Buat aku malas nak melanjutkan bicara. Akhirnya suasana sepi kembali sehingga kelibat Jebon kelihatan.
“Tu Jebon.” Kata Gaban perlahan dan aku sekadar memandang ke arah Jebon yang sedang memagut rumput di tepi jalan. Aku segera menghampiri Jebon tanpa memperdulikan lagi si Gaban.
“Meh Jebon, kita balik.” Aku menarik tali yang meliliti leher Jebon, namun Jebon tidak mahu bergerak. Geram pula aku dengan Jebon ni, apa hal agaknya hari ini nak meragam. Kalau bukan kerana abah demam, tak ingin aku nak temankan kau hari ni tau tak. Aku baik hati temankan kau, kau bolehlah pulak mengada-ngada. Lalu kepala Jebon aku tepuk perlahan, nak tepuk kuat-kuat tak berani pula takut Jebon mengamuk lagi.
“Aku dengar kau masih menganggur, kenapa?” Soal Gaban mendatar. Aku menoleh memandang pada Gaban seketika. Entah mengapa soalan Gaban buat aku malu sendiri. Lalu aku hanya mendiamkan diri sambil berpura-pura mengajak Jebon pulang.
“Kenapa diam? Kau tak nak jawab soalan aku?” Pertanyaan Gaban buat aku mula rimas. Memang aku tak mahu jawab soalan itu kerana ada beberapa sebab tapi yang pasti Gaban tak perlu mengetahuinya.
“Jebon, cepatlah balik. Janganlah degil!” Marahku pada Jebon yang enggan berganjak. Buat hal betul tau si Jebon ni, kalau tak kerana kau tu berat dah lama aku pikul.
“Mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi? Jebon tu degil macam tuannya,” sela Gaban. Aku segera memandangnya, ayat itu benar-benar mengejutkan aku. Reaksi Gaban pula bersahaja, seolah ayat yang baru dituturkannya itu tidak langsung menyentuh perasaanku. Hai Gaban, kau nak mulakan perang ke? Perang teluk sudah lama ditinggalkan sejak masing-masing sambung belajar. Maka sejak itu tiada lagi ejek-mengejek dan perang mulut antara mereka.
“Heh Gaban! Kau ni memang tak sayang mulut, kan?” Herdikku sambil menahan geram. Jangan salahkan aku bila perkataan Gaban akhirnya meluncur laju dari mulut. Kalau boleh aku tak mahu sebut lagi panggilan itu tetapi memandangkan dia telah memaksa, aku sudah tidak boleh pendamkan lagi. Lantaklah andai dia ingin menyambung kembali perang yang pernah meletus dahulu.
“Gaban? Kau masih nak panggil aku macam tu? Oklah, kalau macam tu. Aku pun tak kisah, Timun!” Jawab Gaban sambil menekan nadanya pada perkataan Timun. Dan dengan selamba pula Gaban boleh lagi tersenyum. Sakitnya hati aku! Aku segera menarik Jebon sekuat tenaga. Mahu cepat-cepat beredar dari situ, tidak mahu lagi mengadap muka Gaban. Jebon akhirnya maju beberapa tapak sebelum berhenti lagi. Buat aku semakin bengang, nak-nak melihat si Gaban yang tak putus tersenyum.
“Aku ingat bila dah lama tak jumpa kau, kau makin berisi, rupanya tidak. Malah makin kudut macam timun kecut.” Sekali lagi Gaban membakar perasaanku. Berani betul si Gaban kutuk aku macam tu. Macamlah dia tu hebat sangat?
“Kudut ke, kecut ke, suka hati akulah! Yang kau tu macam Gaban pencen, tak sedar!” Aku membalas geram. Baru balik dah menyakitkan hati aku. Patutnya bila dah lama tak jumpa boleh berbual mesra tapi ini tidak. Perangai dia memang tak berubah, ada saja modalnya nak kenakan aku. Menyampah betul! Agaknya sudah ditakdirkan yang aku dengan dia tidak boleh berbaik sampai bila-bila.
Gaban menghampiri aku dengan senyuman nakal, lalu menarik tali yang aku pegang. Aku memandang pelik, apa yang dia hendak buat dengan Jebon?
“Tengok ni, macam mana hebatnya Gaban pencen tarik Jebon.” Allahuakhbar! Berlagak betul si Gaban ni! Tetapi benar kata Gaban, Jebon telahpun bergerak, malah tidak perlu dipaksa. Wah Jebon, melampau betul kau ni. Dengan aku bukan main liat lagi tapi dengan si Gaban ni sekali tarik saja kau dah bergerak. Buat malu aku saja.
“Lain kali jangan garang sangat, binatang pun tahu takut apatah lagi kalau manusia.” Aku mencebik, mengekori saja langkah Gaban dan Jebon di hadapanku. Namun jauh di sudut hatiku, ada terselit rasa senang melihat Gaban hari ini. Entah kenapa aku rasa begitu. Pelik betul aku ni.
“Satu lagi, lepas ni makan banyak sikit, biar berisi. Kalau dah macam timun kecut macam mana nak tarik Jebon.” Amboi! Makin menjadi pulak si Gaban ni. Tak boleh jadi ni.
“Gaban, kau tahukan kat mana nak tambat si Jebon ni? Kau pergilah tambat dia.” Aku sengaja mahu kenakan Gaban dengan meninggalkannya dengan Jebon. Banyak sangat mulut, hah, pergilah kau dengan Jebon.
“Kau nak ke mana tu?”
“Aku sakit perut, kau tambatlah dia,” jawabku sambil mengulum senyum. Rasakan!
“Tapi….”
“Terima kasih!” Jeritku sambil melambaikan tangan dan segera mengorak langkah dengan lebih pantas tanpa mempedulikan lagi si Gaban bersama Jebon. Nasib kaulah Gaban, siapa suruh sakitkan hati aku.
Aku jalan melenggang, macam itik pulang petang. Senang hati aku dapat kenakan Gaban.
“Hai, senang hati nampak? Pergi temankan Jebon atau pergi merayap?” Soal emak sebaik aku masuk ke dalam rumah. Aku tidak segera menjawab sebaliknya terus mencapai gelas dan membuka peti sejuk. Air kosong yang sejuk aku tuang ke dalam gelas dan terus minum sehingga habis.
“Jebon tu, buat hal. Mengamuk pulak, sembelih baru tau.” Bebelku sambil melabuhkan punggung.
“Hai, baru sehari abah minta tolong kamu dah merungut?” Tiba-tiba abah bersuara. Abah yang berselubung dengan selimut, jalan perlahan-lahan macam orang baru lepas beranak.
“Yalah, Jebon tu buat malu kita aja. Kita lari macam tak cukup tanah, selipar pun terbang entah ke mana, kalau orang nampak gerentilah kita ni tak berlaki,” ceritaku sambil memandang pada emak dan abah yang tersenyum panjang.
“Abah tu manjakan sangat si Jebon tu. Sayang Jebon lebih dari anak, sebab itu Jebon tu naik lemak. Mengada-ngada nak main pujuk segala. Anak abah ni pun abah tak manjakan macam si Jebon tu.” Luahku perlahan, ada nada rajuk yang sengaja aku buat. Namun ianya tidak meraih simpati abah langsung, malah abah boleh ketawa lagi.
“Nak tahu kenapa abah sayangkan sangat dengan Jebon?” Tiba-tiba emak menyampuk. Aku menoleh dan memandang pada emak yang tersenyum panjang.
“Sebab, cukup masa Jebon tu mendatangkan hasil, sedangkan kau yang diberi cukup makan, pakai, dan pelajaran, masih melanggok tak ada kerja. Menghabiskan beras adalah.” Sambung emak sambil disambut pula dengan tawa abah. Aku mengetap bibir. Geram bukan kepalang. Segera aku bingkas dan berlalu.
“Hah, merajuklah tu. Tak nak makan ke?” Emak melaung.. Dah kenyang! Aku sekadar menjawab dalam hati. Nasib baik dah makan kat rumah Jebon kalau tak, tak jadi aku nak merajuk takut kelaparan pula nanti.













chaiyokkk kak mas..chaiyokkk…
Lawak & Interesting.. Nanti zety komen personally.. ooh.. sbb hero nama akil teringat pulak bf zety yg botak tu.. haha..