Novel : Dia Segalanya 7, 8

29 July 2010  
Kategori: Novel

4,829 bacaan 3 ulasan

Oleh : sha ibrahim

BAB 7

Suraya melangkah turun dari biliknya menuju ke dapur, sedar tak sedar sudah sebulan abang-abangnya balik ke tanah air. Seperti yang dijangkakan, dia hanya mampu rapat dengan Alongnya sahaja sedangkan Angahnya seakan-akan mahu mengelak daripadanya. Hanya sekali sekala sahaja mereka berbual. Itupun hanya sekadar bertegur sapa. Dia sebenarnya langsung tak memahami perangai sebenar abangnya yang tengah itu. Kadang kala Faizul menjawab mesra setiap kali dia menegur abangnya itu, tetapi kadang kala Faizul seakan-akan sinis menjawab tegurannya. Seperti ada kesalahan yang dia lakukan yang menyebabkan lelaki itu memarahinya.

Suraya melangkah perlahan di dalam keadaan yang agak gelap dan hanya bertemankan lampu hiasan yang terlekat di dinding rumahnya. Tiba-tiba sahaja dia terasa dahaga yang teramat sangat. Kepalanya pula sedikit pening, sebab itulah dia turun untuk hilangkan rasa dahaganya dan dalam waktu yang sama dia mahu makan ubat.

Suraya terus sahaja menuang air kosong ke dalam gelas yang diambilnya tadi. Air tersebut diteguk perlahan. Kemudian dia mengambil dua biji panadol lantas ditelannya. Dia memejamkan matanya untuk menghilangkan rasa pening kepalanya yang kadang-kadang terasa perit sangat.

“Kau sakit ke?” tiba-tiba terdengar suara garau menegurnya. Suraya terperanjat. Dia terpandangkan seorang lelaki yang bertubuh sasa yang sedang berdiri di muka pintu ruang dapur. Lantas Suraya mencapai towel kecil yang terdapat di bahunya dan terus menutup kepala. Nasib baik dia sentiasa bertemankan towel tersebut sekiranya dia tidak memakai tudung apabila berada di dalam rumah.

Faizul memandang Suraya sambil tersenyum, kenapa gadis itu cukup mengambil kira soal aurat walaupun berada di dalam rumah sendiri. Tetapi yang sebenarnya dari tadi dia memerhatikan gerak geri Suraya. Rambut Suraya yang panjang dan lurus tu sudahpun dilihatnya. Cuma dia sahaja malas nak menegur, dia tahu gadis itu tak berapa biasa sangat dengannya, nanti tak pasal-pasal kalau dia menegur, Suraya terus mematikan niatnya untuk minum di dapur. Jadi dia mengambil keputusan untuk memerhatikan sahaja. Setelah dia lihat Suraya sudah selesai minum dan mengambil ubat barulah dia membuat keputusan untuk menegur.

“Angah buat apa kat dapur malam-malam buta ni?”tanya Suraya dalam nada gugup. Rasa terperanjatnya masih belum lagi hilang. Apa tidaknya, tiba-tiba dia ditegur tanpa salam. Siapa yang tak terkejut?

“Macam kau jugak, nak minum, dalam masa yang sama aku lapar, ingatkan nak cari sesuatu yang boleh dimakan kat dapur ni,”ujar Faizul. Sememangnya perutnya lapar waktu itu. Malam tadi dia pulang agak lewat, terlepas makan malam, bila mamanya menyoal dia dah makan ke belum, dia berbohong dengan menjawab dia dah makan dengan kawan-kawannya dekat luar.

“Apa yang ada, kalau lauk makan malam tadi adalah, Angah nak makan ke, adik boleh tolong panaskan,” Suraya mempelawakan dirinya untuk menolong. Ini sahajalah peluangnya untuk merapatkan kembali hubungannya dengan Angahnya itu.

“Boleh jugak, aku memang lapar giler ni, tapi tak susahkan kau ke? Aku tengok kau macam tak sihat jer!”

“Adik pening sikit jer, mungkin tak cukup tidur, dah makan ubat dah, sekejap lagi ok la, lagipun adik tolong panaskan saja, bukannya perlu masak,” beritahu Suraya sambil membuka peti sejuk yang khas untuk menyimpan makanan sahaja. Semua lauk makan malam yang masih ada dikeluarkan. Yang mana boleh dipanaskan dengan menggunakan microwave, dia terus memasukkan makanan tersebuat ke dalam microwave. Cuma tinggal gulai lemak cili api ikan masin sahaja yang dipanaskan semula dengan menggunakan dapur gas.

Faizul hanya memerhatikan sahaja tingkah laku Suraya. Dia lebih suka memerhati gadis itu daripada berbual. Suraya pun seakan-akan tak biasa dengannya. Dia tahu dia tak pandai nak bergurau senda dengan Suraya seperti yang selalu dilakukan oleh Alongnya. Alongnya mampu membuatkan Suraya ketawa girang, bertepuk tampar, sedangkan dia, tak pernah pun ketawa bersama dengan gadis itu apatah lagi bertepuk tampar. Sentuh tangan Suraya pun dia tak pernah. Kecuali masa kecil-kecil dahulu dia terpaksa memimpin tangan Suraya apabila disuruh oleh mama dan papanya.

“Jadi tadi, Angah bohong degan mama ek dengan mengatakan yang Angah dah makan, sedangkan Angah langsung tak makan lagi kan?” Soal Suraya. Sewaktu Faizul pulang malam tadi, dia sedang menonton dengan ahli keluarganya yang lain di ruang tamu.

“Aku tak nak susahkan mama,” jawab Faizul pendek. Dia melihat Suraya mengangguk faham. Tangan gadis itu pantas sahaja membuat kerja. Satu demi satu lauk yang selesai dipanaskan dihidangkan di atas meja. Cuma tinggal nasi sahaja yang baru selesai dipanaskan dan dicedok oleh Suraya ke dalam pinggan dan diletakkan di hadapannya. Melihatkan hidangan yang terdapat di atas meja, Faizul tersenyum, perutnya yang dari tadi lapar dirasakan makin lapar.

Lantas dia menuju ke singki dan mencuci tangan. Apabila dia kembali duduk di kerusi di hadapan meja makan kecil di dapur, dia melihat Suraya mengeluarkan air oren dari dalam peti ais.

“Angah makan la, adik nak naik atas, adik nak sambung study,” beritahu Suraya tanpa berselindung. Sememangnya tadi dia sedang mengulangkaji pelajarannya. Sejak dia masuk ke tahun akhir dia merasakan beban belajar semakin berat.

“Tadi kau cakap, kau pening, mungkin sebab tak cukup tidur, apa kata kalau kau naik kau tidur, rehatkan badan, dalam masa yang sama boleh rehatkan otak, memang belajar tak salah, tapi jangan melampaui batas, nanti bertambah serius pulak sakit kau tu, belajar kuat macam mana pun, kalau badan dengan otak letih, kau tak dapat jawab jugak bila time exam,” panjang lebar sahaja Faizul menasihati Suraya. Itu adalah berdasarkan pengalamannya. Dulu, dia hanya belajar 4 jam sahaja dalam satu hari. Malah malam dia tak pernah belajar. Dia hanya keluar lepak dengan kawan-kawannya ataupun tidur.

“Ok! Terima kasih, hari ni baru adik rasa yang adik ada seorang lagi abang, selamat malam Angah, nanti bila lepas makan, Angah tinggalkan ajelah, esok pagi Mak Mah boleh cuci,” beritahu Suraya sambil melemparkan senyuman ke arah Faizul dan terus melangkah keluar dari dapur.

“Abang?….kau tak tahu betapa peritnya aku untuk menerima hakikat itu,”bicara Faizul sendirian. Kemudian dia memandang nasi dan laiuk yang terhidang di hadapannya. Dia kembali tersenyum dan terus mengisi perutnya yang diminta untuk diisi sejak dari tadi.

BAB 8

Faizul bangun dari tidur dengan keadaan yang sungguh menyegarkan. Semalam perutnya cukup kenyang diisi sehinggakan sebaik sahaja dia selesai makan tiba-tiba sahaja matanya terasa mengantuk.

Dia membuka sliding biliknya dan berjalan menuju ke balkoni. Matanya terasa sedikit silau kerana cahaya matahari sudahpun naik. Dia mengagak mungkin waktu itu hampir tengah hari. Kenapa tiada sesiapa pun yang mengetuk biliknya untuk mengejutkan dia tidur.

Dia berjalan kembali masuk ke dalam bilik. Kemudian dia masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Dia perlu segera menyiapkan diri kerana selepas makan tengah hari, seseorang akan menjemputnya untuk keluar. Walaupun dia sudah menyesuaikan diri dengan keadaan jalan raya di Malaysia namun dia belum tahu selok belok jalan raya bandar Kuala Lumpur yang agak memeningkan.

Sebaik sahaja selesai menyiapkan diri, Faizul terus melangkah menuju ke tangga dan turun. Dia berjalan menuju ke dapur kerana perutnya mulai terasa lapar kembali dan minta untuk diisi. Kelihatan mamanya bersama orang gaji kesayangan keluarga sedang bertukus lumus untuk menyiapkan makan tengah hari.

“Kenapa mama tak kejutkan Angah?” Faizul bertanya. Datin Rafidah menoleh dan tersenyum. Dia berjalan menuju ke arah anaknya itu yang sudahpun duduk di meja makan yang berada di ruang dapur. Tangannya pantas mencapai cawan dan menuangkan tea panas yang tersedia ada di atas meja dan dihulurkan kepada anaknya. Faizul hanya menyambutnya tanpa banyak soal.

“Bukan mama tak nak kejut tapi pagi tadi sebelum adik ke kampus dia cakap Angah tidur lewat semalam, jadi mama tak naklah kejutkan Angah, takut nanti kalau mama kejutkan Angah awal-awal, Angah marahkan mama pulak,” jawab Datin Rafidah dan terus menyambung semula kerjanya. Dia perlu menyiapkan makan tengah hari kerana suaminya telah memaklumkannya dari awal lagi untuk pulang dan makan tengah hari di rumah.

Faizul mengangguk faham dan terus melangkah menuju ke arah peti ais. Fresh oren yang sudah tersedia ada di dalam peti ais dikeluarkan. Dia mengambil gelas dan terus dituangkan. Kemudian dia kembali duduk di meja makan dan meneguk fresh oren tersebut tanpa sepatah kata. Datin Rafidah yang sempat memerhatikan anaknya itu hanya tersenyum dan menggelengkan kepala. Perangai anaknya yang seorang ini tak pernah berubah. Anaknya itu memang gemarkan air yang sejuk dan dingin. Hanya waktu-waktu tertentu sahaja anaknya itu akan minum minuman panas. Macam manalah tadi dia boleh terlupa dengan kegemaran anaknya yang satu itu.

“Ma, papa balik makan tengah hari ek?”Tanya Faizul.

“Ya, kenapa? Angah nak keluar lagi ke petang ni, anak mama ni nak ke mana lagi, hari-hari keluar…..nanti kalau kerap sangat papa bising,” Datin Rafidah seakan-akan dapat mengagak dengan pertanyaan anaknya itu. Dia tahu anaknya itu sedikit takutkan suaminya. Sekiranya suaminya berada di rumah pasti anaknya itu susah untuk keluar. Bermacam-macam alasan yang terpaksa diberikan untuk mendapatkan kebenaran papanya.

“Jalan-jalan je ma….lagipun boring la duk kat rumah,” rungut Faizul.

“Kalau dah boring sangat kenapa tak ikut Along ke pejabat tolong papa?” Tanya Datin Rafidah sambil memandang tepat ke arah anaknya itu. Faizul terkena dengan alasannya sendiri. Abangnya sudah seminggu mula bekerja dengan papanya. Manakala dia menolak dengan alasan dia masih belum puas untuk berehat.

“Alah, Angah tak puas rehat lagi la mama, lagipun Along kan ada, nanti bila Angah dah sedia Angah pergilah kerja, bukannya Angah tak nak kerja langsung cuma Angah belum bersedia lagi,” jawab Faizul. Sememangnya itu adalah kebenarannya. Dia masih belum puas ‘enjoy’ bersama-sama sahabat lamanya yang sudah lama dia tak berjumpa dan lepak bersama-sama. Dia tahu sekiranya dia mulai bekerja di syarikat papanya sudah pasti rutin hariannya akan dihabiskan di pejabat sahaja. Dia bukan tak berminat untuk menolong papanya cuma dia masih belum bersedia. Dia dengan Alongnya memang minat dengan dunia perniagaan. Mungkin terlalu didedahkan dengan dunia tersebut sejak dari kecil lagi. Sebab itulah setelah tamat sekolah dia dan abang kembarnya bersetuju untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dalan bidang perniagaan.

“Habis tu, sampai bila baru Angah puas enjoy, Angah, kan banyak kali dah mama pesan jangan banyak sangat enjoy, nanti Angah jadi malas tahu tak…cuba Angah tengok Along, dia bukannya tak pernah keluar dengan kawan-kawan dia tapi ada masa-masa tertentu, kalau hari nak suka-suka saja, kelak diri Angah sendiri jugak yang rugi, tak ke mana enjoy tu, sekadar nak mengisi masa lapang bolehla,” bicara Datin Rafidah lembut. Dia terpaksa menggunakan nada yang rendah untuk anaknya yang seorang ini. Bukannya dia tak kenal dengan anaknya yang tengah itu. Anaknya itu cepat sangat melenting sekiranya tersilap tegur. Silap hari bulan kalau tersilap menegur anaknya itu akan memberontak. Dia tahu anaknya yang kedua ini walaupun sudah berusia 25 tahun tetapi perangainya masih belum dapat diteka. Kadang-kadang dia bersifat matang tetapi dalam masa tertentu juga anaknya itu seakan-akan masih remaja yang perlukan layanan yang tertentu.

“Nanti la mama, kalau Angah dah bersedia, Angah akan pergi pejabat papa tu, mama jangan la bimbang, cuma sekarang ni, Angah nak enjoy sikit je lagi, nanti kalau Angah dah kerja dengan papa, Angah mungkin tak ada masa nak lepak dengan kawan-kawan Angah lagi,” jawab Faizul bersahaja lantas menghabiskan sisa minumannya dan bagun melangkah menuju ke ruang tamu.

Datin Rafidah memerhatikan anaknya sambil menggelengkan kepala. Dia berharap sangat kata-kata anaknya itu akan ditunaikan nanti. Bukan dia tak kenal, anaknya yang tengah itu akan memberikan bermacam-macam alasan untuk mengelak dirinya dari terus membebel.

*********

Faizul termenung sendirian di dalam pub yang sering dikunjunginya. Suasana yang agak sunyi bertemankan muzik yang perlahan dan menenangkan membuatkan dirinya teringat kembali peristiwa yang lampau. Gadis yang menemani dirinya tadi meminta diri ke tandas memberikan dirinya peluang untuk mengingati memori lama yang sekali sekala membuatkan dirinya dihantui rasa bersalah yang teramat sangat.

“Angah, adik pun nak satu layang-layang macam tu?” Suraya mulai merengek apabila melihat layang-layang yang baru disiapkan olehnya naik ke udara.

“Tak boleh, kalau kau nak kau buatlah sendiri, ataupun kau suruh saja Along yang buatkan, aku malas,” suaranya agak keras. Suraya hanya mendiamkan diri dan terus memandang ke arah Alongnya dengan wajah sedih.

“Tak apa, kalau Angah tak nak buatkan untuk adik, Along boleh buatkan, lagipun bukan Angah saja yang pandai buat layang-layang Along pun pandai,” Alongnya menjawab sambil memandang tajam ke arahnya. Waktu itu dia hanya memandang Alongnya tanpa sekumit pun perasaan bersalah. Dia tak sukakan Suraya. Suraya terlalu dimanjakan oleh mama dan papanya. Walaupun waktu itu umurnya baru sahaja berusia 12 tahun namun perasaan cemburunya terhadap Suraya makin menjadi-jadi.

“Tak apa lah Along, adik pun bukannya suka sangat nak main layang-layang tu, jom Along, adik nak balik, adik penatlah,” ajak Suraya. Alongnya tanpa banyak soal terus sahaja membawa adiknya pulang. Namun Faizul masih ingat dengan jelas bagaimana Suraya masih sempat mendongak dan memandang layang-layangnya yang masih terbang di udara. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia sangat membenci adiknya itu sedangkan waktu itu dia masih belum mengetahui bahawa Suraya itu bukan adik kandungnya.

“Maafkan aku Suraya, aku sendiri langsung tidak mengerti waktu itu kenapa aku harus bersifat kejam pada kau,” bicara Faizul sendirian. Air matanya hampir jatuh membasahi pipi namun sempat ditahannya. Dia menarik nafas sedalam mungkin untuk menghilangkan rasa sedihnya sebelum kedatangan gadis yang datang bersamanya tadi.

“Joe, apa kata minggu depan kita pergi jalan-jalan kat Genting, nak tak?” Tiba-tiba gadis yang datang bersamanya tadi bertanyakan solan sebelum melabuhkan pungung berhadapan dengannya.

“I don’t think so….. I kena start kerja dengan papa I minggu depan,” jawab Faizul. Bukan dia saja berbohong dengan gadis tersebut tetapi itu adalah kebenarannya. Gara-gara mahu keluar dengan gadis itu dia terpaksa berjanji untuk memulakan kerja dengan papanya mingu hadapan barulah papanya membenarkan dia keluar.

“Alah you kan baru saja balik dari oversea takkanlah you dah nak kerja kot, kita enjoylah dulu ek, Joe bolehlah…. I nak sangat jalan-jalan dengan you kat sana,” rengek gadis itu lagi.

“Reena…bukannya I tak nak, tapi I dah janji dengan papa I, mungkin kita boleh pergi waktu I free, boleh kan?” Pujuk Faizul sambil menggenggam tangan gadis yang dikenalinya sebagai Ereena. Gadis yang ditemuinya semasa di England dulu. Satu-satunya orang luar pertama yang mengetahui kepulangannya ke Malaysia.

“Kalau kita pergi ke sana esok, nak tak?”

“Esok pun tak boleh, I kena buat persediaan sebelum memulakan kerja,” ikhlas Faizul menjawab. Bukan dia sengaja menolak pelawaan gadis itu tetapi dia betul-betul harus membuat persediaan yang secukupnya sebelum memulakan kerja dengan papanya. Dia tak pernah memandang remeh dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Mungkin betul dia memang lelaki yang sukakan kebebasan dan keseronokan namun sekiranya dia diberi tugasan sudah pasti dia akan memikul tanggungjawab tersebut dengan penuh dedikasi. Itulah satu-satunya sikap yang membuatkan dia sering sahaja dapat menyaingi abangnya sewaktu mereka belajar dahulu.

“Tak apalah….tapi promise me, bila you ada masa lapang you temankan I ke sana ok!”

“Ok! I janji!”




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Dia Segalanya 7, 8”
  1. Siti Soleha Yahaya says:

    Best..Best….

  2. salmiah saad says:

    best……xsabar nk beli

  3. ana says:

    best…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"