Novel : Terlanjur Mencintaimu 5, 6

28 July 2010  
Kategori: Novel

26,915 bacaan 15 ulasan

Oleh : Syamnuriezmil

Bab 5

Hari ini cuaca sangat baik tetapi Johan malas mahu ke laut. Dia rasa baik dia habiskan masanya ke kandang kambing dan kebunnya. Putik durian hari ini bercambah banyaknya. Boleh dijual kepada pemborong nanti. Semalam juga rezekinya bertambah lagi. Kambingnya beranak seekor. Ada dua lagi dalam proses untuk melahirkan. ‘Alhamdulillah… ‘ bisik hati Johan.

“Johan, atuk kamu panggil ke depan.” Jerit Lutfiah. Johan terus membuka pintu biliknya dan pergi ke ruang tamu.

Syaifullah sedang duduk dengan secawan kopi di tangannya dihirup.
Johan lantas duduk bertelingkuh di depan Syaifullah.

“Atuk nak bagi kamu sesuatu sempena majlis perkahwinan kamu nanti. Atuk rasa kita tidak perlulah bergantung pada harta Tok Din untuk majlis ini. Nanti depa kata kita takdak duit pula. Ini atuk ada simpan sikit-sikit.” Buku bank Syaifullah bertukar tangan.

“Tak apalah atuk. Untuk majlis tu termasuk hantarannya, duit Johan kumpul-kumpul tu masih ada. Ini duit atuk. Habuan sakit dan keperluan atuk nanti.” Niat di hati untuk majlisnya bersama Intan. Tapi apa kan daya, Intan pergi menjauhkan diri. Johan memberi kembali buku bank Syaifullah.

“Itu atuk sudah ada Johan. Ini untuk kamu. Atuk dah niatkan. Duit ini terkumpul hasil keuntungan syarikat STH selama ini. Tiada siapa tahu Johan termasuk arwah ayah kamu. Semua atuk simpan senyap. Belilah rumah dan kereta untuk kamu Johan. Atuk tak nak kamu harapkan apa-apa harta Tok Din. Anggaplah ini rasa terima kasih atuk pada kamu kerana menunaikan permintaan Tok Din.” Ujar Syaifullah panjang lebar. Buku bank itu bertukar tangan. Johan menilik buku bank itu. Nama akaunnya tertera nama Johan. Johan membuka helaian buku tersebut. Terlopong Johan melihat baki yang tinggal.

“Atuk! Ni boleh buat kita jutawan tuk! Kalau ada ini, kenapa kita masih duduk macam orang miskin?” Johan terkejut. Baki akaunnya sudah melebihi 7 angka!

Syaifullah tersenyum. “Walaupun kita ini hidup macam ni, kita masih boleh makankan. Kita tidak kebulurankan? Secara tidak langsung, kita menginsafi apa yang kita ada kan? Itu yang atuk mahu dalam keluarga kita. Tidak senang sangat sampai lupa diri, tidak miskin sangat sampai mengemis.” Ulas Syaifullah. Kopinya di hirup lagi.

“Ibu nak tanya sikit pada Johan. Tadi pagi ibu pergi ke kedai, jumpa dengan makcik Halijah. Dia kata kamu dengan Intan bergaduh?” Tiba-tiba datang Lutfiah mencelah. Terus dia duduk di sebelah Syaifullah. Johan sedikit tersentak.

“Ayah janganlah minum kopi ayah oii… Nanti darah tinggi ayah naik tak turun-turun.” Bebel Lutfiah lagi.

“Secawan saja Yah oii.. bukan nya satu gelen! Kalau ayah mati pun, mata ayah pejam rapat. Johan pun dah nak kahwin.”

“Ayah jangan nak merapulah ayah! Hah, Johan apa kena kamu dengan Intan? Apa kamu dah buat dengan dia?”

“Johan cakaplah Johan nak kahwin tapi bukan dengan dia. Johan cerita pasal wasiat Tok Din tapi dia tak mahu dengar. Johan dah call, dia tak mahu angkat, dah mesej, dia tak mahu balas sampai jumpa dia kat rumah pun, dia tak mahu jumpa Johan.” Ujar Johan.

“Kalau betul kamu dengan Intan sudah serius, kenapa kamu terima kahwin dengan Tengku Hanis!” tanya Lutfiah tidak puas hati. Hati Johan pun tidak tahu! Johan merasakan lebih dekat dengan Tengku Hanis walaupun lebih lama bersama dengan Intan. Johan betul-betul kecil hati dengan tuduhan Intan kepadanya kelmarin sewaktu mereka berjumpa.
Syaifullah hanya mengeleng kepala melihat menantunya. Semalam tidak mahu bising, hari ini pula nak bising. Setahu Syaifullah, Intan pun Lutfiah tak berapa suka. Hari ini sibuk pula dengan Intan.

“Sudahlah Yah, Johan kan sudah buat keputusan. Kamu ni dengan Intan dulu pun bukannya kamu suka sangat, Intan itulah Intan inilah. Sekarang Johan nak kahwin dengan Tengku Hanis, kamu cari Intan balik! Kamu ni sebenaqnya tak nak lepaskan anak kamu ni, udahlah tu Yah, dia dah berumoq!” bebel Syaifullah balik.

Lutfiah mencebik. “Lebih baik Intan, duduk dekat sini aja. Kalau Tengku Hanis, Johan kena pindah sana pula!” ujar Lutfiah. Johan tergelak. Ibunya baru meluahkan rasa, selama ini dia ingat ibu hanya bersetuju sahaja.

“Ibu kalau ibu mahu, jom kita semua pindah KL. Ibu akan dekat dengan Johan. Johan pun tak susah hati ingat ibu di sini, Johan pula di sana. Macam mana atuk?” cadang Johan. Dulu bukan dia tidak pernah cadangkan, tetapi Syaifullah berdegil tidak setuju.

“Sungai Petani dengan KL bukannya jauh. Kalau rindu kita datang sana. Kalau depa rindu dengan kita, depa balik mai sini. Hang toksah risau lah Yah!” Syaifullah bangkit dari tempat duduknya.

Lutfiah mencebik lagi. Geram betul dengan ayah mertuanya. Ada sahaja jawapan bagi semua persoalannya.

“Ibu… Johan sayang dengan ibu. Keputusan yang Johan buat itu semua untuk keluarga kita. Johan janji selalu balik sini. Johan juga akan selesaikan semua perkara dengan Intan. Jadi, ibu jangan risau ya. Johan pun sudah pesan dengan Ismail tolong tengok-tengokkan atuk dan ibu sepanjang peninggalan Johan.” Johan memeluk Lutfiah. Ditenang-tenangkan ibunya yang kerisauan.

******

Johan cuba menghubungi lagi Intan. Namun Intan tidak juga membalas panggilannya apatah lagi pesanan ringkas yang dikirimkan. Kadang-kadang Johan rasa muak dengan perangai Intan yang kebudak-budakkan. Ismail pernah kata dengan Johan, banyak lagi wanita lain, kenapa Intan yang dipilihnya? Johan pun tidak pasti bagaimana itu terjadi. Ini semua gara-gara Intan di ambil menjadi adik angkatnya sewaktu Intan kematian bapanya. Mungkin kerana Intan selalu rujuk kepadanya dalam apa hal sahaja pun, mereka jadi rapat bukan seperti adik dan abang tetapi sebagai sang kekasih.

Johan pun tidak sedar bila! Johan pun tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada Intan, jauh sekali meluahkan perasaan. Bagi Johan, kalau ada jodoh dia bersama Intan, ya… dia akan redha. Tapi kalau dengan yang lain pun, Johan tak kisah juga! Makna kata, betul lah kata-kata Intan tempoh hari, Johan hanya menganggap Intan tu bukanlah sebahagian daripada dirinya. Kalau betul lah Intan itu dianggap seperti kekasihnya, rancangan untuk menjadikan Tengku Hanis sebagai isterinya itu pasti dibantah sekeras-kerasnya! Ini tidak terjadi… Johan bingung!

Bertambah bingung lagi Johan apabila dia melakukan solat istikharah setelah dia menerima wasiat itu. Wanita di dalam mimpinya betul-betul persis Tengku Hanis Zulaikha yang dijumpai semalam. ‘Apakah itu jodoh aku, Ya Allah?’ Banyak kali persoalan itu timbul di benaknya, dan banyak kali juga mimpi wajah yang sama timbul dalam tidurnya.
Johan sengaja mendail nombor telefon yang diberikan Tengku Zahariah semalam. Nombor telefon Tengku Hanis, bakal isterinya. Di dail-dail banyak kali, semuanya tidak di angkat, semuanya masuk ke dalam mesej!
‘Jodoh aku dengan singa rupanya, kenalah aku jinak-jinak kan!’ bisik hati Johan.

Semalam bertemu dengan Tengku Hanis, Johan tidak boleh lena. ‘Mahu jatuh hati dengan puteri cantik dari kayangan tu yang kasar lagi bengis… MasyaAllah!’ Tetapi Johan di dalam dirinya bertekad, kalau Tengku Hanis merupakan jodoh terbaik buat dirinya, dia akan menjaga rumah tangga itu sebaiknya, dan tidak lupa menuntut apa yang patut dituntut Johan dan keluarganya sebelum ini. Johan bukannlah berdendam, cuma rasa ingin tahu itu betul-betul membuak-buak! Kalau benar apa yang Syaiffullah kata, Johan terima, kalau sebaliknya… Johan tidak pasti apa yang akan dibuat nanti. Mungkin biarkan sahaja… Johan tidak tahu!

‘Entahlah… kenapa aku terjerat dalam situasi seperti ini???’

Bab 6

Tengku Zahariah hari ini banyak temujanji. Dari satu butik ke satu butik pengantin, Tengku Zahariah lawati. Naik putus urat kaki Tengku Hanis mengekori Tengku Zahariah. ‘Sekarang ini siapa yang nak kahwin, aku ke mummy?’ gerutu hati Tengku Hanis.

“Mummy, nenda kan baru sahaja meninggal. Kubur pun masih merah lagi. Takkan cepat sangat kita nak buat majlis kahwin? Kenduri untuk nenda sahaja pun baru selesai.” Tanya Tengku Hanis. Semua ini terjadi begitu cepat baginya. Dia masih belum lagi bersedia untuk semua ini.

“Kan nenda bagitahu tempohnya dalam masa 3 bulan. 3 bulan bukannya cukup untuk kita buat majlis perkahwinan sayang. Lagipula, yang pergi kan tetap pergi. Mummy senang hati betul dengan keputusan Johan. Tidak mummy sangka dia tu sopan betul orangnya. Sejuk hati ibu dia tu mengandungkan dia.” cerita Tengku Zahariah panjang lebar. Matanya dan senyumannya betul-betul menggambarkan kegembiraannya.

Tengku Hanis menjuih bibir bila teringat kata-kata Tengku Zahariah sewaktu perjalanan pulangnya ke Kuala Lumpur.

“Cepatlah sayang. Nanti kedainya tutup!” Tengku Zahariah menyentak lamunan Tengku Hanis. Ditarik-tarik tangan Tengku Hanis, tidak sabar.

“Sekarang baru pukul 12 tengah hari. Apa yang tutupnya?” ‘Peliklah mummy ni!’ Bentak hati Tengku Hanis.

Tengku Hanis bergegas mengikut Tengku Zahariah masuk ke sebuah butik pengantin mewah. Kalau ikutkan hati Tengku Hanis, dia mengimpikan majlis perkahwinan yang ringkas tetapi meriah. Kalau boleh majlis dalam taman. ‘Arghh… itu kalau aku dengan lelaki cinta sejatiku! Dengan Johan… jauh sekali mahu aku bermimpi!’ bentak hati Tengku Hanis.

“Warna apa yang Hanis hendak? Kalau nikah, mummy rasa patutnya warna putih. Nanti resepsinya warna pink, ok? Hanis putih, Johan juga putih kulitnya. Mummy rasa pink cantik sangat!”

“Err… bukankah kita patut tanya Johan dulu, baru kita pilih?”

“Mummy dah call Johan pagi tadi. Dia kata apa yang Hanis pilih, itu yang dia pilih. Dia tak kisah. Dia juga cakap, apa bajetnya pun tak apa. Ayah Hanis kata buat satu kenduri sudah. Johan pun setuju.”

‘Amboi… mummy call Johan? Mummy ada nombor Johan? Aku yang bakal isterinya ini pun tak ada nombor telefon Johan! Eleh… kalau tak bagi pun tak apa! Banyak duit Johan nak support semua… Bukan dia cuma tauke kambing ke?’ detik hati Tengku Hanis.

“Ikut suka mummylah. Hanis tak kisah. Asal jangan warna hijau sudahlah!” ‘Nanti jadi pokok pula!’ bebel Tengku Hanis.
Sepatutnya membeli belah untuk majlis perkahwinan adalah yang dinanti-nantikan bagi pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga. ‘Aku?! Sangat malas…’

“Okay, mummy puas hati betul dengan jahitan bajunya. Mummy ingat mummy ambil pakej dengan butik ini lah. Nanti mummy call Johan untuk fitting baju. Lagipun, Johan kata dia nak ke KL next week. Elok sangatlah tu!” ujar Tengku Zahariah sambil tersenyum. Tengku Zahariah mengusap-usap kepala Tengku Hanis. “Tak sangka anak mummy yang manja ni sudah nak berkahwin!”

“Aduh mummy ni…” Tengku Hanis binggung. ‘Apalah yang Johan dah buat dengan mummy sampai mummy over excited sangat-sangat ni! Tak control langsung!’

“Ini ke Puan Sri?” tanya pembantu kedai itu.

“Saya suka yang ini, kejap ya.” Jawab Tengku Zahariah. “Hanis, pergi try yang ini dulu. Mummy nak try imagine you in that dress, sayang. Common.. cepat bangun!” suruh Tengku Zahariah. Tengku Hanis mengerling geram! ‘Berapa banyak baju ni?? Tadi dah try, sekarang try lagi!’ bebel hatinya. Itulah, orang tak seronok nak kahwin, semua depan mata jadi semua tidak menarik baginya.

“Biar saya tolong…” Pembantu itu mengambil baju gaun panjang, gaun untuk potong kek katanya. ‘Rasa nak potong kepala Johan adalah!!’ Geram Tengku Hanis.

Tengku Zahariah mengeleng kepalanya melihat kerenah anak tunggalnya itu. ‘Pening-pening pun anak aku juga, kalau tak mahu kahwin pun, kena paksa juga! Kalau Hanis nak tengok mummy merempat.’ Tengku Zahariah jadi sayu. Perkataan ‘merempat’ itu tidak pernah terfikir di dalam hidupnya selama puluhan tahun ini sejak berkahwin dengan Tengku Hishamuddin, dia dilimpahi kemewahan! Kalau kena merempat… macam manalah agaknya hidup Tengku Zahariah? Tengku Zahariah malas mahu memikirkan itu, apa lagi Johan sudah bersetuju untuk berkahwin, Tengku Zahariah tidak mahu lambat-lambat membuat persiapan! Kalau boleh semalam setuju, hari ini sudah kahwin! Dia mahu Tengku Hanis cepat-cepat dapat anak sebelum tempoh dalam wasiat yang diberikan ayah mertuanya tamat.

Tengku Hanis keluar dengar pakaian gaun berwarna putih, panjang sehingga 3 orang flower girl lah kena angkat!

“So… boleh mummy imagine?” tanya Tengku Hanis. Sengaja dia memerli Tengku Zahariah.

Tengku Zahariah tersenyum. “Cantik sangat anak mummy ni! Macam princess. Ingat tak Hanis suka betul jadi princess masa dekat kindergarden dulu?”

“Mummy silap anak kot! Mana ada Hanis jadi princess lah mummy, Hanis kan jadi prince!”

“Ya ke? Ish… tak adalah. You look so lovely! Tak sabar nak beritahu ayah! Ayah Hanis sure suka sangat, sebab Hanis cantik sangat!” Puji Tengku Zahariah. Tengku Hanis mengerut dahi, ‘apa yang cantiknya? Biasa je aku tengok… Mummy ni yang lebih-lebih ni!’

“Mummy suka, tapi Hanis tak mahu! Berat gila lah mummy, mahu terjatuh Hanis nanti! Siapa yang malu nanti? Mummy kan??”

Tengku Zahariah terdiam. ‘Tak suka juga… kena cari lain pula!’
Tengku Hanis terfikir-fikir. ‘So… daripada mummy menyusahkan hidup aku, lebih baik aku menentukan apa yang aku mahu dalam majlis perkahwinan aku sendiri! Here we come… tunjuk minat sikit Hanis! Seperti kau akan berkahwin dengan Anuar Zain! Bestnya! Wahh…okay, minat sudah mari…’ bisik hatinya.

“Okay mummy, listen! What I want is…” Tengku Hanis mula menyatakan apa yang di inginkan di dalam majlis perkahwinannya. Dari segi baju, pelamin, makanan sehinggalah ke cenderahati yang akan diberikan kepada tetamunya nanti. Tengku Hanis juga telah memilih kad jemputannya sendiri. Basically, 100% adalah daripada idea Tengku Hanis.

Tengku Zahariah tersenyum sepanjang hari. Akhirnya Tengku Hanis termakan jerat Tengku Zahariah! Kalau Tengku Zahariah tidak berbuat begitu, Tengku Hanis akan jadi malas seperti tadi. ‘Masakan nak kahwin, boleh malas hendak berbuat keputusan! Yelah, walaupun terpaksa berkahwin, mesti ada angan-angan juga!’

“Kenapa Hanis?” Tiba-tiba Tengku Hanis nampak terganggu. Tengku Hanis geram, nombor yang sama juga naik di dalam telefonnya, ‘siapa entah! Tak tahu ke, orang duk sibuk ni!”

“Entah! Siapa telefon ni? Kacau betul!” Tengku Hanis menutup terus telefon bimbitnya.

Tengku Zahariah mengelengkan kepalanya, entah dari mana menurun perangai keras hati, kepala batu Tengku Hanis, Tengku Zahariah pun tidak tahu! ‘Rasa dari Tengku Hasanuluddin! Mungkin…’ detik hatinya!

******

Semalaman Johan cuba lagi menghubungi Intan. Intan betul-betul tidak mahu penjelasan dari Johan. Akhirnya di kedai runcit Pakcik Hussin, mereka terserempak. Intan memang tidak boleh lari ke mana-mana. Mahu tidak mahu dia terpaksa mengikut Johan ke pantai.

“Abang nak Intan tahu, keputusan yang abang buat itu bukanlah sebab abang pentingkan diri sendiri. Abang punya sebab sendiri Intan macam yang abang cakap dekat Intan dulu.” Johan terus membuka bicara hal itu, dia malas mahu beralas-alas lagi. Kalau berkias pun, bukannya Intan tahu!

“Dia cantik ke?”

“Siapa?”

“Bakal isteri abang lah!” suara Intan sedikit keras.

“Cantik atau tidak itu bukan persoalannya Intan. Intan boleh tak jangan lari dari abang? Intan sanggup tunggu abang kan? Sanggup dalam tempoh 2 tahun ke?” tanya Johan. Dia boleh agak jawapannya daripada kerutan dahi Intan.

“Abang ni gila ke apa? Abang dah nak kahwin, apa gunanya Intan lagi? Kalau abang nak ajak Intan kahwin, jangan mimpi Intan nak bermadu dengan dia. Intan tak mahulah, Intan tak sanggup!” jawab Intan. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Abang ada buat perjanjian dengan dia. Perkahwinan ini hanya atas nama sahaja dan tak ada meaning pun Intan! Dia dah beri syarat pada abang, banyak syaratnya! Kami kahwin sebab nak penuhi wasiat sahaja Intan.” Johan menjelaskan lagi.

“Abang ingat ini cerita novel ke bang? Kahwin paksa lepas tu tercinta isteri sendiri. Ini Intanlah abang. Intan tak mahu tunggu abang. Lagipun Intan dah buat keputusan, Intan nak masuk kolej jururawat kat Alor Setar tu. Lusa boleh masuk daftar. Intan harap abang bahagia. Mana tahu ada hikmah. Intan nak abang lupakan Intan sebab Intan sudah mulai lupakan abang! Jangan cari Intan lagi. Assalamualaikum!” Intan terus berlari meninggalkan Johan kesedihan. Intan malas untuk berkata-kata lagi. Cukuplah di sini, dia mahu lupakan Johan, walaupun sebenarnya dia tidak boleh!

‘Arghh… Intan! Kenapa Intan degil sekali!’ rintih Johan.
Malam selepas kejadian dia berjumpa dengan Intan, Johan tidak boleh lelapkan mata. Masih terngiang-ngiang kata-kata Intan di telinganya. ‘Kahwin paksa lepas tu tercinta isteri sendiri…’

‘Intan banyak sangat baca novel! Mana mungkin aku bisa bercinta dengan gadis kaya yang sombong lagi bongkak itu. Sudahlah garang, bercinta dengannya sangat menakutkan! Patutlah tak ada boyfriend…’ ujar Johan dalam hatinya.

Intan! Putus sudah harapan, putus sudah kasih dan sayang. ‘Ayah! Johan berkorban untuk ayah demi ibu, Johan akan cari kenapa keluarga kita terpinggir macam ini.’ janji Johan tekad.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

15 ulasan untuk “Novel : Terlanjur Mencintaimu 5, 6”
  1. amani says:

    best glerrrrr!!!!beli jgn xbeli!:-)

  2. zema says:

    alah… ayah saye sruh tggu sabtu ni, sbb sabtu cuti. :(
    saye bru je bab 1 tadi, mmng best!!!!

  3. azlin iman says:

    best sangat2!!!!
    senyum ms bc novel ni.

  4. ashira-safiah says:

    Bestnya…..

  5. tieyqah fieynazs says:

    ceritanya sanggat menarik dan sanggat seronok apabila membacanya

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"