
Cerpen : Cintaku yang bersembunyi
Oleh : puteri sihir
Nombor aras di dalam lif sedang bertukar angkanya. Entah mengapa, degupan jantung Zulaika pantas saja, seolah-olah ada seseorang yang bakal ditemuinya di dalam lif itu. Zulaika menunggu dengan setia lif tiba di aras satu. Ada perkara yang ingin dibincangkannya dengan Prof.Faridah, berkenaan perbentangan yang bakal dilaksanakannya esok.
Tiba di aras tiga, pintu lif terbuka. Kakinya terasa menggigil tatkala memandang lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu juga begitu, memandang tepat ke arah matanya yang sudah mula bersinar-sinar. Walaupun mereka berada di fakulti yang sama, namun seboleh-bolehnya masing-masing tak mahu bertemu lagi. Kalau bertembung di kaki lima, cukuplah sekadar memberi kata ‘hai’, dan terus berlalu tanpa sebarang rasa. Pintu lif hampir tertutup kerana dibiarkan terlalu lama. Segera Irwan menghalang pintu lif itu dengan tangannya. Zulaika cuba mengawal perasaannya agar tidak terpamer pada wajahnya. Dia memberi senyuman manisnya yang selalu dikatakan orang dapat melembutkan hati insan yang memandangnya.
“Hmm, Irwan dah habis kelas ke?” tanya Zulaika teragak-agak, tapi dia cuba memberanikan diri menegurnya, agar suasana tidak kelihatan pelik.
Irwan diam, hanya mengangguk. Zulaika turut berdiam setelah soalannya itu tidak mendapat balasan yang baik.
“Satu lif dengan aku pun dah sudi ke?” tiba-tiba Irwan berbicara. Zulaika memandang wajahnya yang kelihatan serius. Sepasang mata milik lelaki itu tidak sudi memandangnya lagi.
“Eh, tak adalah…Mengada-ngadalah kau ni,” jawab Zulaika sambil ketawa kecil. Irwan tersengih.
“Aku sedar, Zulaika…Siapalah aku ni untuk berada satu lif yang sama dengan kau, kan…” bicaranya lagi. Mendengar ayat-ayat sebegitu menyebabkan hati Zulaika mula terasa panasnya. Apa sebenarnya yang dimaksudkannya sehingga mengatakan sebegitu?
“Kau ni, Irwan…Nape cakap macam tu? Kita kan masih kawan,macam dulu,” balas Zulaika. Dia beristighfar saja di dalam hati. Mudah-mudahan Irwan berhenti berbicara sedemikian.
“Betullah cakap kau dulu, Ika. Aku memang tak pernah dapat faham kau,” perlahan saja nadanya. Zulaika terdiam.
“Sampai sekarang aku tertanya-tanya, siapa kau sebenarnya?” tambah Irwan lagi. Lif sudah berada di aras satu. Irwan keluar meninggalkannya. Zulaika terlupa niatnya untuk berjumpa pensyarah. Dia masih tergamam dengan kata-kata Irwan sebentar tadi.
“Maafkan Ika…” bisiknya sendirian.
“Ika!Ika!” panggil sahabatnya, Suhaila. Zulaika masih berjalan perlahan, menuju ke dataran fakulti mereka. Suhaila merasa hairan melihat keadaan kawannya itu.
“Kenapa dengan Ika tu? Aku rasa suara kau dah cukup volumenya..” tanya Farid kepada Suhaila. Mereka sudah lama menunggu kedatangan Zulaika seperti yang dijanjikannya.
“Ada hallah tu kot,” jawab Haikal pula. Haikal meneguk air tehnya dengan bersahaja.
“Baguslah kau, macam faham-faham je. Err, Su, kau pergilah tengok kawan kau tu, risau pula aku. Kan dia dah janji lepas jumpa prof, dia nak makan tengah hari dengan kita. Setahu aku, dia bukan suka mungkir janji,” pinta Farid.
“Yelah…” Suhaila bangun dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendapatkan Zulaika. Zulaika sedang menuruni anak tangga fakulti.
“Ika! Kau nak ke mana?” sapa Suhaila lalu menyentuh bahunya. Zulaika terkejut dan menoleh ke belakang.
“Ika…Kau…Kau nape menangis ni?” terkejut Suhaila tatkala melihat mata Zulaika ditakungi dengan airmata yang bakal menitis ke pipi. Segera Zulaika mengesatnya dengan jari manisnya.
“Err…Tak ada apa-apalah…”
“Kenapa? Mesti ada something ni, sampai tak nak bagitau aku! Prof marah kau ke? Pembentangan kau kena reject ke?” tanya Suhaila gelisah menanti jawapan daripada Zulaika. Selama mereka berkawan, Zulaika memang gemar menyimpan rahsia dan setiap kali mempunyai masalah, dia lebih selesa merasainya sendirian.
“Eh, tak adalah…Aku tak jadi nak jumpa prof. Aku tak berapa sihatlah…Aku nak balik dulu,”
“La, kan kita dah janji nak makan sama-sama. Farid dengan Haikal dah tunggu tu. Jomlah…Kau ni kenapa? Tiba-tiba je tak sihat? Kau ni…buat aku risaulah,” leter Suhaila. Wajah Zulaika kelihatan sedih dan seolah-olah sedang menahan sedih, dan mungkin bila-bila masa saja airmata yang ditahannya itu akan mengalir.
“Ohh…cakap kat diaorang,aku minta maaf banyak-banyak. Lain kali je, k…”
“Tapi…”
“Su…Maafkan aku. Aku nak balik,” pinta Zulaika. Suhaila mengangguk faham. Zulaika membalasnya dengan senyuman, lalu berjalan meninggalkan Suhaila yang masih bimbang dengan keadaan rakannya itu.
“Macamana?” tanya Farid yang sudah membeli makanan. Haikal pula masih menunggu makanan yang dipesannya tiba.
“His…Entahlah…Dia kata dia nak balik. Alasannya, dia tak sihat. Tapi…”
“Kenapa? Dia nazak ke?” sempat Haikal berseloroh. Suhaila menjeling. Haikal tersengih-sengih melihat wajah kawannya yang sedang marah itu.
“Aku risaulah…Macam ada sesuatu yang pelik,” balas Suhaila.
“Haikal, kau boleh tolong aku tak?” tanya Suhaila. Haikal mengangkat keningnya.
“Tolong tengok-tengokkan Ika. Aku tak sedap hatilah,” pinta Suhaila.
“Boleh tu boleh…Tapi makanan aku, macamana?” tanya Haikal pula.
“Nanti malam aku temankan kau keluar makanlah. Makanan kau ni nanti aku bungkuskan,” Farid memberi cadangan.
“Please Kal…Mungkin dia akan ceritakan masalah dia kat kau,” rayu Suhaila.
“Hai,susahlah perempuan ni. Ada masalah sikit, kena pujuk…” leter Haikal lalu bangun meninggalkan mereka. Langkah kakinya pantas. Walaupun dia tidak mengatakannya, namun hakikatnya dia juga bimbang dengan keadaan Zulaika itu. Zulaika…seorang kawan yang sangat memahami perasaan seorang kawan yang lain. Dia selalu menjadi tempat bercerita dan menerima nasihat, tetapi dirinya sendiri pula lebih suka bersendirian ketika mempunyai masalah. Mana ada kawan yang tidak bimbang dengan perangai kawan yang sebegitu?
Haikal memandu motosikalnya. Dia memandu dengan laju sehinggalah dia melihat kelibat kawannya itu. Haikal menarik nafas panjang. Belum sempat dia hendak mendekati Zulaika yang sedang berjalan kaki, seorang lelaki yang sedang bermotosikal sudah merapatinya dahulu. Haikal mematikan niatnya dan memerhatikan dari jauh.
“Siti Zulaika…” panggil Irwan yang sedang mematikan enjin motosikalnya. Zulaika memandang wajah lelaki itu dengan perasaan yang masih sedih, mengingatkan tentang kata-katanya tadi.
“Err, aku minta maaf…Aku mungkin dah tersalah cakap tadi,” pinta Irwan dengan wajah yang sayu.
“Tak apalah, Wan. Tak ada apa-apa.” Zulaika menjawab dalam nada suara yang perlahan.
“Ika!” panggil Irwan sebaik saja melihat Zulaika hendak berjalan meninggalkannya.
“Aku masih sayangkan kau.” Kenyataan itu mengejutkan Zulaika. Langkah kakinya terhenti, lantas dia menoleh ke arah lelaki itu dengan wajah yang hairan.
“Apa maksud kau?” tanya Zulaika.
“Aku tak pernah cakap benda ni kat kau. Tapi setiap kali aku lihat kau bergelak ketawa dan bergembira dengan orang lain kat fakulti, aku rasa sakit hati. Sebab tu aku terkasar dengan kau kat dalam lif tadi. Maafkan aku, Ika. Aku jumpa kau ni sebab aku nak tahu, kau ada tak perasaan yang sama dengan aku?” Pertanyaan Irwan itu membuatkan Zulaika tertunduk, memandang lantai tanah.
“Aku bukan tak suka kau, Wan. Kita pernah rapat setahun yang lalu dan terus terang ketika tu, aku mula sukakan kau. Tapi semakin lama sikap kau semakin buat aku tawar hati,”
“Aku tahu waktu tu kita baru je nak kenal hati budi masing-masing. Tapi aku tak tahu apa salah aku, sampai kau selalu elakkan diri dari aku. Kau berubah…Kau kata aku tak faham kau…kau kata aku suka memaksa dan marah-marah kau. OK, mungkin semua tu betul, tapi aku tak berniat macam tu pun…Mungkin kau terlalu sensitif,” jelasnya.
“Wan, kau memang tak kenal aku siapa waktu tu. Mana taknya, kita baru kenal sebulan, kau dah mula buat perkara yang aku tak suka. Kau suka memaksa aku, padahal aku bukan jenis perempuan yang suka dikongkong. Waktu tu aku fikir, sedangkan kita baru kawan, tapi kau dah buat aku macam tu, apatahlagi kalau kita ada hubungan special? Aku tak suka kebebasan aku disekat dan dipertikaikan. Masa bersendirian dan berahsia sangat penting buat hidup aku,”
“Kenapa kau tak pernah beritahu aku tentang tu?”
“Maafkan aku…Aku rasa aku tak perlu nak jelaskan. Sepatutnya kau sendiri yang faham dan tahu,”
“Patutlah kau asyik mengelak dari aku, tak jawab call aku…Akhirnya, kita dah tak bertegur sapa. Sikap kau tu, buat aku jadi sakit hati dengan kau. Dan sampai sekarang aku masih tertanya-tanya bagaimana sebenarnya perempuan bernama Siti Zulaika.”
“Sekarang kau dah tahu aku perempuan yang macamana?”
“Entahlah Ika…Terus terang, walaupun kita tak berkawan baik macam dulu, tapi aku selalu perhatikan kau. Kau berbeza dengan tanggapan aku selama ni,”
“Aku tak faham,”
“Maafkan aku kalau aku bertanya soalan macam ni, tapi…Kau jenis perempuan yang macamana?” Mendengar pertanyaan Irwan itu membuatkan darah Zulaika berderau. Sakit hatinya melayan lelaki sebegini. Tak disangkanya, selama ini mata Irwan yang memerhatikan setiap gerak gerinya telah membuat tafsiran yag salah tentang dirinya. Kalau ikutkan marahnya, hendak saja dia menampar pipi lelaki itu, tapi dia cuba mengawal amarahnya. Zulaika melangkah meninggalkan Irwan yang masih berdiri di tepi motosikalnya. Zulaika malas hendak menjawab soalan bodoh seperti itu. Biarlah Irwan terus berteka-teki tentang dirinya, ataupun, kalau dia suka, biarlah dia terus berfikir dengan tafsiran yang dilakukan tentang dirinya.
Melihat keadaan mereka dari jauh, Haikal terdiam. Dia memandu motosikalnya dan menuju kembali ke fakulti. Ada kelas yang harus dihadirinya pada pukul tiga nanti.
“Eh, kenapa balik fakulti lagi? Kau dah jumpa Zulaika ke?” tanya Farid yang sedang membuat bayaran di kaunter.
“Tak jumpalah…Mungkin dia naik teksi balik kolej kot,” tipu Haikal dengan wajah yang muram.
“Eh, setahu aku, Zulaika tu suka jalan kaki je. Ke kau tak cari dia?” teka Farid lagi.
“Aku dah carilah. Takkanlah aku tak cari. Dah dia tak ada, aku nak buat macamana. Ala, biarlah. Dia perlukan masa bersendirian kot. Dia kan dah besar, buat apa korang nak risau sangat?” jelas Haikal. Suaranya agak meninggi. Farid hairan melihat kelakuan kawannya itu.
“Ohh…OK,OK..Jangan marah bro,” pinta Farid sambil menepeuk-nepuk bahu Haikal. Haikal tersedar bahawa dia terlalu mengikutkan perasaan marahnya ketika berbicara dengan Farid. Marah? Kenapa pula tiba-tiba dia perlu merasa marah dengan kejadian yang dilihatnya sebentar tadi?
“Wei, kau berangan ke?” sergah Farid. Semenjak kelas bermula, dia sudah memerhatikan Haikal yang duduk di sebelahnya itu. Tidak mencatat nota, dan arah pandangan matanya itu menunjukkan dia tidak fokus.
“His, kau ni…Terkejut aku!” balas Haikal lalu menyelak-nyelak kertas kajangnya yang kosong tanpa catitan. Farid tersenyum.
“Fikir apa? Dari tadi macam ada masalah je. Pasal perempuan ke?”
“Hmm,tak adalah. Baik kau dengar prof cakap apa, nanti aku nak pinjam nota kau, tau,” pesan Haikal. Farid mencebik bibirnya. Sekali lagi dia menjadi mangsa Haikal.
“Apa hubungan diaorang ek? Betullah apa yang aku dengar dulu, diaorang memang pernah ada hubungan…Tapi tak tahu pula aku, hubungan ke arah apa?” dia terus berteka-teki dengan dirinya sendiri di dalam hati.
Pulang ke rumah sewanya, Haikal membuka laman facebooknya. Dia terbaca status yang ditulis oleh Irwan.
“Maaf bukanlah kata yang terbaik, tetapi mengapa kerapkali sayang dilupakan dan digantikan dengan kata maaf?”
Haikal menutup komputer ribanya. Hari ini dia terasa rimas kerana asyik memikirkan tentang Irwan dan Zulaika.
“Kenapa pula aku nak rasa hairan sampai macam ni? Aku dengan Zulaika, bukan ada apa-apa pun. Kitaorang kawan je. Terpulang kat dialah nak berkawan ke nak bercinta ke dengan sapa-sapa pun. Apa kena mengena dengan aku pulak?”marahnya kepada dirinya sendiri.
* * * * * *
“Haikal…” panggil Siti Zulaika sebaik saja melihat kelibat kawannya itu masuk ke dalam perpustakaan. Haikal member senyuman dan duduk di hadapannya.
“Rajin Cik Ika kita,” sindir Haikal. Zulaika ketawa kecil mendengarnya.
“Awak pun…” balasnya lagi. Haikal rasa lega kerana dapat menatap wajah gadis yang sudah seminggu tidak ditemuinya itu. Terasa ingin bertemu, tapi atas alasan apa yang masuk akal untuk bertemu dengan kawannya itu?
Zulaika khusyuk membaca latihan ilmiah yang dipinjamnya itu. Sesekali Haikal yang sedang membaca surat khabar sempat memandang wajah Zulaika. Walaupun Zulaika perasan dengan kelakuannya itu, tapi dibiarkannya saja.
“Jom, makan,” ajak Zulaika lalu menutup buku di hadapannya itu.
“Dah habis baca ke?”
“Sudah…Jom. Hmm, Ika belanja,” ajak Zulaika. Sengaja dia hendak membelanja kawannya itu. Haikal pernah membelanjanya makan, dan sehingga sekarang dia terasa masih berhutang sesuatu, tambahan pula, lelaki itu selalu membantunya.
“OK…” jawab Haikal lalu mereka beriringan menuju ke kafe. Irwan yang sedang makan di dalam kafe hanya memerhatikan mereka berdua. Pada mulanya, Zulaika rasa janggal dengan kehadiran lelaki itu, tapi lama kelamaan dibiarkan saja. Haikal juga berasa lega kerana wajah Zulaika jelas tidak menunjukkan tanda yang dia kurang senang makan berdua di kafe itu.
“Sampai bila aku nak mengelak dari dia? Kita satu fakulti, tiap-tiap hari akan terjumpa juga,” ucapnya di dalam hati.
“Assalamualaikum…” sapa Irwan yang lalu di hadapan mereka. Zulaika terkejut menerima salam itu.
“Waalaikummussalam…Dah makan?” jawab Haikal sambil memberikan senyuman. Irwan mengangkat tangan, tanda bersapa, lalu pergi meninggalkan Zulaika dengan satu pandangan yang tajam. Pasti ada sesuatu yang bermain difikirannya tatkala melihat Zulaika bersama-sama dengan Haikal pula.
“Dia marah ke kita makan berdua ni?” tanya Haikal kepada Zulaika yang sedang teringat dengan kata-kata Irwan kelmarin.
“Hah?Eh, napa pula dia nak cemburu? Biarlah…” jawab Zulaika sambil tersenyum, cuba menolak tanggapan kawannya itu.
“Kalau dia cemburu, saya tak kisah pun…Lagi bagus,” balas Haikal pula. Zulaika terkejut mendengar kata-kata tersebut. Ada sesuatu yang tersirat.
“Esok free?” tanya Haikal. Zulaika menggelengkan kepalanya. Memang dia belum membuat sebarang perancangan untuk hari sabtu esok.
“Jom tengok wayang…Saya belanja. Saya pun tak ada plan apa-apa esok. Hmm, tu pun kalau awak nak,” pelawa Haikal. Zulaika terdiam sambil berfikir. Haikal berharap jawapannya positif.
“Boleh…Awak ambik saya ke, atau saya nak kena pergi sendiri? Saya tak kisah…Lagipun awak belanja kan…” ujar Zulaika.
“Eh, saya ambik…Nanti saya pinjam kereta ayah saya. Betul ni nak join?” tanya Haikal seolah-olah kurang yakin dengan jawapan Zulaika.
“Yelah sayang…” jawab Zulaika selamba sambil menghirup minumannya.
“Sayang?” terdetik di dalam hati Haikal.
Keluar seharian bersama dengan lelaki bernama Haikal membuatkan malam itu Zulaika tidak dapat melelapkan mata. Memang selama ini Zulaika senang berkawan dan berbicara dengan kawannya itu. Tetapi entah mengapa, semalam perasaannya sangat berbeza. Haikal lebih selesa bercerita tentang keluarga, kawan-kawan, dan tentang masalah keluarganya. Sedangkan selama mereka berkenalan di fakulti yang sama, mereka jarang bercerita tentang kehidupan peribadi masing-masing. Banyak masa bersama dipenuhi dengan perbincangan tentang pelajaran dan masalah kampus.
“Hmm, Ika suka lelaki jenis macamana?” tanya Haikal ketika mereka duduk di warung.
Zulaika terdiam, berfikir tentang jawapan yang sesuai dengan soalan tersebut.
“Err, maaflah kalau Haikal tanya soalan macam tu…Tak apalah kalau tak jawab, Haikal tak kisah.”
“Eh, tak apa…Sebenarnya Ika tengah fikir nak jawablah ni,”
“Haik, selama ni tak pernah terfikir ke?”
“Hmm, bagi Ika, lelaki yang berada dalam kehidupan Ika tak perlulah sesempurna mana. Cukuplah kalau dia dapat terima Ika seadanya, dan begitu juga Ika. Ika tak suka dikongkong. Macam Haikal dan kawan-kawan tahu, Ika sangat pentingkan masa bersendirian. Jadi, lelaki yang sayangkan Ika kena hormati kepentingan Ika tu. Kalau tak dapat terima sikap Ika, tak apalah…Mungkin bukan jodoh.” Mendengar jawapan Zulaika itu membuakan Haikal tersenyum.
“Kenapa senyum? Lucu sangat ke?”
“Eh, taklah…Haikal dah agak tu jawapan Ika. So, Ika dah jumpa dengan lelaki macam tu?”
“Hmm, belum…Yang hadir dalam hidup Ika, kebanyakannya tak dapat terima permintaan Ika tu…Susah sangat ke, Haikal?”
“His, taklah susah, cuma mampu menyeksa lelaki tu je.”
“Maksudnya?”
“Maksud saya, lelaki menunjukkan sayangnya melalui perhatian kepada temannya. Mungkin kalau salah faham, lelaki akan terlebih prihatin sehingga dianggap mengongkong. Perempuan pun pelik. Ada yang jenis suka dikongkong. Tapi kebanyakkannya macam Ika, tak suka dikongkong, ertinya perlu ada masa bersendirian. Kalau itu kehendak Ika dalam memilih seseorang dalam hidup, terpulanglah…Dan kalau lelaki pilihan Ika tu betul-betul sayang Ika, mesti dia akan terima awak seadanya.” Mendengar jawapan Haikal itu membuatkan Zulaika sangat lega. Inilah kali pertama dia mendengar nasihat daripada seorang lelaki yang bersetuju dengan pendapatnya itu.
“Haikal salah cakap ke?Maaf…Itu cuma pendapat Haikal je, pendapat salah seorang ahli kaum lelaki,”
“Eh, bukan…Tak ada yang salah. Terima kasih…”
“Terima kasih untuk apa?”
“Tak ada apa-apalah. Haikal pula, macamana? Dah jumpa dengan gadis idaman?”
“Hmm, dulu mungkin pernah jumpa…”
“Habis sekarang?”
“Sekarang semuanya tinggal kenangan je, Ika. Saya kena reject…”
“Haik, pertama kali saya dengar ada orang reject awak…Awak kan rebutan ramai perempuan kat fakulti kita. Bergurau dengan saya,eh?”
“Eh, betulllah…Takkan saya nak tipu awak. Mungkin saya ni bukan citarasa dia. Lama juga saya pujuk hati saya untuk lupakan dia. Dia pun dengar-dengar dah ada pengganti. Tak apalah. Macam awak cakap tadi, tak ada jodoh,” jawab Haikal. Zulaika membalasnya dengan senyuman.
“Mesti orangnya cantikkan?”
“Ada apa dengan kecantikkan wajah, kalau dia mempergunakan anugerah Allah itu untuk menyakiti hati insan lemah seperti saya,”
“Usia kita masih muda. Semua manusia ditakdirkan berpasang-pasangan. Kalau dah ditentukan dia untuk kita, pasti akan bertemu. Cuma tak tahu bila, di mana, dan siapa. Kena bersabarlah…” Haikal membalas senyuman Zulaika itu dengan anggukkan kepala.
Zulaika tersenyum apabila mengingatkan perbualan mereka itu tadi. Haikal… Lelaki yang setahun tua darinya. Dia selalu membantunya dalam pelajaran dan ilmunya selalu menjadi ilmu tambahan untuknya. Senior di fakultinya itu tidak pernah lokek ilmu malah sentiasa merendah diri meskipun pernah tiga kali menerima anugerah dekan. Dia memang berbeza dengan senior-senior yang lain, sikapnya sentiasa membantu dan ramah terhadap pelajar yang tidak sebaya dengan umurnya.
Telefon bimbit Zulaika berbunyi. Dia menjawab salam yang dihulurkan oleh Haikal.
“Napa tak tidur lagi?” tanya Haikal. Dia juga tidak dapat melelapkan matanya, alasannya kerana terlebih minum air kopi.
“Tengah berfikir…” jawab Zulaika, terus terang.
“FIkirkan sapa? Saya ke?” tanya Haikal jujur. Sememangnya dia berharap agar Zulaika sempat memikirkan tentang dirinya. Sememangnya gadis itu penyebab dia tidak dapat tidur. Walaupun mereka hanya sekadar kawan, namun dia tertarik dengan pembawaan diri gadis itu. Dia ada prinsip hidupnya tersendiri dan tak pernah menyusahkan sesiapa. Tetapi dia menyimpulkan Zulaika seorang perempuan yang berdikari meskipun hatinya agak sensitif. Sejujurnya, dia sudah mula berminat hendak mengenali hati Zulaika dengan lebih mendalam.
“His, perasannya,”
“Yelah…Mungkin awak sedang fikirkan tentang Irwan?”
“Irwan? Kenapa pula sebut nama dia ni?”
“Hmm, maafkan Haikal. Tapi saya teringin nak tahu hubungan awak dengan dia,”
“La, saya dengan dia kan kawan sefakulti. Tu je…”
“Saya tak rasa begitu mudah. Jangan awak fikir saya tak dengar apa-apa gosip,”
“Ada orang bergosip tentang saya dengan dia ke? ”
“Ada…”
“Pasal apa?”
“Saya tak nak dengar dari mulut orang lain. Alang-alang nak tahu, baik saya tahu kebenarannya dari pemilik cerita kan,”
“Hmm, kami kawan biasa je,”
“Takkan tak sudi bercerita dengan saya, Anggaplah saya ni teman bercerita. Saya janji takkan bagitau sapa-sapa,”
“Kenapa beriya-iya nak tahu ni? Kisah saya tak sehebat dan tak menarik macam kisah awak,”
“Saya nak tahu…Tapi kalau awak tak nak cerita, tak apalah. Terpaksalah saya terus berteka-teki…” Zulaika diam dan tidak menjawab soalan itu. Sukar bagi dirinya untuk bercerita tentang kisah hidupnya kepada sesiapa, termasuklah kawan yang dipercayainya seperti Haikal. Hanya Suhaila, teman baiknya itu saja yang banyak mengetahui rahsia hidupnya, dan juga tentang Irwan. Baginya, tak apalah kalau dia mendengar cerita itu melalui orang lain, jangan dia yang membongkarnya. Zaman sekarang, banyak gosip yang boleh diterima hanya melalui mulut orang.
“Maafkan Haikal…Haikal mungkin dah keterlaluan. Tak apalah, Haikal tak kisah. Tak penting pun kan…Yang penting, apapun yang pernah berlaku antara Ika dengan Irwan, Haikal harap semuanya baik-baik saja sekarang.”
“Maafkan Ika. Ika belum bersedia untuk membongkarnya. Tapi tak payahlah fikirkan sangat, sebab kami kawan je. Forever…”
Larut malam, Haikal masih menatap muka komputer riba kesayangannya. Sekejap dia melayari laman web facebooknya, dan sekejap-sekejap dia beralih kepada tugasan latihan ilmiahnya. Banyak lagi kajiannya yang masih belum diteliti dan diperbetulkan.
“Salam…Sibuk ke Encik Haikal?” Pertanyaan melalui Yahoo Mail yang diterimanya daripada Irwan itu agak mencurigakan. Mana tidaknya, tak pernah mereka berbual di talian internet.
“Tengah kemaskini tugasan,” balas Haikal seperti berbual dengan kawan sefakulti. Walaupun mereka tidak berada di tahun pengajian yang sama, namun Haikal mudah berbicara dengan mereka.
“Maaflah mengganggu…”
“Tak apalah. Kenapa? Ada benda yang kau nak tanya aku ke?”
“Hmm, kau macam memang tunggu soalan dari aku je. Atau kau dah dapat agak?”
“Eh, tak expect pun… Kalau nak tanya apa-apa, terus terang jela. Aku tak kisah,”
“Mungkin kalau aku boleh tanya kau pasal Zulaika…”
“Zulaika? Kenapa dengan dia?”
“Straight to the point, apa pendapat kau tentang dia?”
“Hmm, dia baik-baik je. Baik dijadikan teman,”
“Itu je ke?”
“Yup…Kenapa? Kau ada pandangan yang berbeza tentang dia ke?”
“Memang ada. Tapi mungkin kau je yang tak perasan tentang itu,”
“Silakanlah. Mana tahu aku tak sedar tentang itu,”
“Pada aku, dia bukan perempuan yang baik. Hanya pandai berpura-pura dengan senyuman dan kelembutan dia je. Tapi itu pandangan ikhlas aku,”
“Kenapa kau tafsirkan dia sebegitu? ”
“Aku lebih lama kenal dia berbanding kau. Jadi hati-hatilah, ya,”
“Aku tak berapa faham. Kenapa kau buruk-burukkan dia sampai macam tu? ”
“Aku bukan sengaja nak memburuk-burukkan, tapi cuma nak kau berhati-hati. Aku tengok, kau rapat dengan dia. Mungkin kau tak perasan, selain kau, dia juga rapat dengan lelaki lain kat fakulti. Macam aku cakap, dia tu, nampak je baik, sopan, tapi kalau kau faham, itu cuma taktik kotor untuk dapatkan perhatian dari semua orang,”
“Oh…Macam tu ke. Tapi aku tak percaya. Maaflah ya,”
“Terpulang kat kau. Mungkin kau mangsa seterusnya selepas aku,”
“Kau pernah jadi mangsa? Dia buat apa kat kau?”
“Terus terang, dia pernah rapat dengan aku, tapi bila aku dah sayang. Dia permain-mainkan aku pula,”
“Kalau macam tu, takziah aku ucapkan untuk kau. Tapi InsyaAllah, aku takkan menjadi mangsanya. Terima kasih atas peringatan kau tadi, OK.”
Haikal menggelengkan kepalanya, tanda hairan dengan penjelasan Irwan itu. Lelaki itu jarang menegurnya di fakulti apatahlagi hendak berbual lama. Tapi, melalui penjelasan dan peringatannya tentang Siti Zulaika, jelas dia masih terguris dengan perbuatan perempuan itu terhadapnya.
“Nak aku percaya? Mungkin aku seorang lelaki yang masih waras dan tahu membezakan antara nasihat dan dengki,” bisik Haikal sendirian. Dia tidak pasti dengan perbuatan Zulaika terhadap Irwan, tapi agakannya, gadis itu pernah menjadi idamannya tetapi sayangnya ditolak begitu saja. Berdasarkan sikap dan pendirian Zulaika, Haikal pasti sikap Irwan merupakan puncanya menolak cinta lelaki itu.
* * * * * *
“Dia burukkan Ika macam tu sekali?” marah Suhaila selepas mendengar cerita daripada Haikal. Farid yang turut bersama mereka juga berasa tidak puas hati dengan Irwan. Lelaki itu memang sudah melampau kerana sengaja menyebarkan fitnah yang mampu mencemarkan nama kawan mereka.
“Relaxlah…Jangan cepat melenting. Kalau ikutkan perasaan, aku pun ada rasa nak tumbuk dia atau sumpah seranah dia. Tapi bila difikirkan balik, apa gunanya?”
“Tapi kalau kau buat macam tu, sekurang-kurangnya dia serik! Dia dah melampau. Mentang-mentanglah si Zulaika tu diam dan sabar je dengan perangai dia, senang-senang je dia nak pijak kepala kawan baik aku tu! Tak guna! His, geramnya aku!” marah Suhaila lagi.
“Boleh kau bagitau aku, apa sebenarnya yang dah berlaku antara diaorang tu? Sampai sanggup Irwan cakap macam tu kat aku?”
“Hmm, sebenarnya kisah diaorang tu dah lama berlalu. Barangkali Ika pun dah lupa. Bagi aku, Zulaika nak cerita pasal hubungan dia dengan Irwan dulu pun dah kira bersyukur. Sekurang-kurangnya dia tak pendam masalah, dan macam sekarang ni, korang tahu juga kebenarannya. Kalau aku tak tahu kisah diaorang, mungkin kau pun mudah percaya dengan cakap Irwan.” Haikal mendengar kisah hubungan Zulaika dan Irwan dengan teliti. Baru kini dia mengerti.
“Aku harap korang tak salah anggap dengan Zulaika. Dia memang peramah dengan sesiapa pun, tapi taklah sampai berniat nak menggoda dan menyakiti hati sesiapa. Dia bukan perempuan yang Irwan gambarkan tu. Sebagai kawan baik, aku lebih kenal hati budi dia.” Penjelasan Suhaila itu membuatkan perasaan Haikal memberontak hendak menemui Siti Zulaika dan Irwan. Tapi sayangnya, pada hari ini Zulaika tiada kelas di fakulti mereka.
“Kau nak kemana?” tanya Farid sebaik saja Haikal menggapai topi keledarnya.
“Err, aku nak cari Ika,” jawabnya.
“Untuk apa?”
“Untuk…Aku pun tak tahu. Tapi yang aku sekarang, aku mesti jumpa dia,” tegasnya. Suhaila dan Farid saling berpandangan.
“Haikal sangat mengambil berat tentang Zulaika, ” jelas Suhaila kepada Farid selepas Haikal hilang dari pandangan.
“Kau fikir tak apa yang aku fikir?” tanya Farid pula.
“Maksud kau, Haikal sukakan Ika?” Farid mengangguk.
“Aku rasa diaorang secocok. Walaupun Haikal tak pernah tunjukkan depan kita, tapi aku tahu dia selalu risaukan Ika. Dan aku dapat rasa, Ika pun sukakakan Haikal. Sepanjang aku berkawan dengan dia,inilah kali pertama aku tengok Ika nak jawab telefon dan keluar sama-sama dengan lelaki, tau,”
“Kalau macam tu, aku haraplah Haikal cepat-cepat luahkan perasaaan dia. Kalau tak, takut melepas. Lagipun Haikal tu kau tahu-tahu jelah, jadi rebutan!”
“Kalau jodoh, tak ada apa nak dibimbangkan,” jawab Suhaila sambil membalas senyuman kawannya itu.
“Dah fikirkan hal yang aku cakap kat kau kelmarin?” tanya Irwan yang mendekati Haikal yang sedang menghidupkan enjin motosikalnya.
“Tentang apa ek? Lupalah,” sengaja Haikal berpura-pura lupa. Sakit hatinya memandang wajah Irwan yang penuh hipokrit dan berperasaan hasad dengki itu.
“Kau buat-buat lupa, atau tak percaya?”
“Kalau aku kata aku tak percaya, macamana?”
“Kau akan menyesal…”
“Semenjak pertama kali aku berbual dengan dia, dan seterusnya jadi kawan dia, aku tak pernah terlintas nak menyesal. Puas hati?” Pengakuan Haikal itu membuatkan dia bertambah geram. Lelaki ini benar-benar degil!
“Kau pernah menyesal ke sebab sayang kat Zulaika?” tanya Haikal.
“Memang aku menyesal. Dia bukan perempuan baik yang aku pernah sangka dulu. Kalau aku tahu dia suka mempermain-mainkan perasaan orang, aku takkan sayangkan dia.”
“Kau tahu kenapa kau rasa dia dah mempermain-mainkan perasaaan kau?Hmm, sebabnya, kau tak cuba nak faham dia dulu. Kau tak cuba hormat perasaan dan kehendak hidup dia. Dan aku rasa ketika kau cakap yang kau sayang dia, sebenarnya kau tak fikir masak-masak.” Kenyataan Haikal itu membuatkannya terdiam. Wajah Haikal yang serius itu menunjukkan lelaki itu benar-benar telah jatuh cinta dengan gadis yang pernah diidamkannya itu.
“Jadi kau betul-betul sayangkan dia?” tanya Irwan.
Haikal menganggukkan kepalanya sambil tersenyum,”aku harap dia boleh terima sayang aku ni. Tapi kalau tak, apalah yang aku boleh buat. ” Haikal menepuk bahu Irwan lalu meminta diri untuk beredar. Irwan pula rasa bersalah dengan perbuatannya terhadap Zulaika dan menabur pula fitnah kepada perempuan itu. Sedangkan selama ini, Zulaika bukanlah seperti yang digambarkannya itu. Mungkin perasaan tidak puas hatinya terhadap Zulaika menyebabkan dia bertindak keterlaluan.
“Saya nak jumpa awak sekejap. Boleh?” tanya Haikal kepada Zulaika melalui panggilan telefon.
“Ada apa ya?”
“Ada benda saya nak bagitau awak,”
“Nak jumpa kat mana?”
“Saya dah kat depan pagar kolej awak ni,”
“Sekejap, saya siap…”
Sepanjang perjalanannya menuju ke pagar kolejnya, jantungnya berdebar-debar hendak bertemu Haikal. Dia merasa hairan apabila secara tiba-tiba lelaki itu hendak menemuinya sedangkan dia boleh menjelaskannya di dalam telefon saja. Tiba di pagar, dia melihat Haikal tersenyum sambil berdiri di tepi motosikalnya.
“Ada apa yang penting sangat sampai tak boleh cakap kat telefon?” tanya Zulaika yang sudah mendekatinya.
“Saya sukakan awak…” jelas dan cepat Haikal meluahkannya.
“Hah?”
“Saya sukakan awak…” ucap Haikal sekali lagi. Zulaika tergelak.
“Saya seriuslah,”
“Ye…Tapi janganlah direct sangat macam ni. Segan saya,” jawab Zulaika sambil menahan gelaknya. Haikal tersenyum malu.
“Saya pun sukakan awak,” balas Zulaika.
“Betul ke? Tak bergurau?”
“Taklah. Awak dah banyak bersabar dan bertahan untuk sampai ke tahap ni. Saya nampak semua tu. Terutamanya selepas apa yang awak tahu tentang hubungan saya dengan Irwan. Terima kasih Haikal,, sebab percayakan saya. Terus terang, saya terharu,” ucap Zulaika. Ada airmata yang semakin bertakung di dalam matanya. Dia rasa sedih dengan perbuatan Irwan yang menabur fitnah kepada Haikal. Bukan itu saja, dia rasa bersalah terhadap Haikal kerana terpaksa menyusahkan lelaki itu dengan melayan kerenah Irwan.
“Berterima kasih kat Suhaila kerana dia seorang sahabat yang baik,” balas Haikal.
“Saya bukan perempuan yang sempurna, seperti perempuan-perempuan yang awak pernah kenal atau dekat,”
“Ini bukan soal kesempurnaan. Tapi berkenaan hati dan perasaan. Awak sangat istimewa buat saya. Kehidupan awak, prinsip awak, kehendak awak, dan pembawaan diri awak, membuatkan saya jatuh sayang.” Mendengar pujian Haikal itu membuatkan Zulaika tersenyum dan menghapus airmatanya yang hampir hendak mengalir itu.
Ya Allah…Jika dia memang diwujudkan di hadapan mataku untuk memberi sebuah kehidupan yang membahagiakan, aku terima takdir yang telah Kau tentukan ini. Dan aku bukan mengharapkan perhatian yang melampau atau sayang yang mencurah, tetapi cukuplah sekadar dia mampu setia dan mengambil berat tentang diriku. Semoga sepanjang dia mengenali dan memahamiku ini, dia dapat menerima setiap kekurangan dan kelemahanku. Mudah-mudahan juga aku sudah bersedia untuk menerima dirinya yang seadanya, tanpa rasa sesal atau curiga. Dia memberikan aku kasih sayang yang mengubat rinduku kepada insan, dan semoga janganlah engkau takburkan atau membuat aku leka. Sesungguhnya aku mahukan kebahagiaan di dunia ini, berterusan hingga ke akhirat kelak. InsyaAllah…
Nukilan doa dari Siti Zulaika buat renungan Muhammad Haikal dan sekalian manusia.













best3..teruskan berkarya!!!
criter ni real punyer ka..?
emm…real ke ni beb..??
cite ne bt0l2 kew …
kl0 bt0l zulaika 2 awk la en …
cerita ni real k??mcm tol j
selebetnye cite dia

thniah writer….
congrate..!!i luv it..
aaaah macam luahan hati jer…ok
best3
