Cerpen : Pergimu Bersama Ramadhan

22 August 2010  
Kategori: Cerpen

4,386 bacaan 25 ulasan

Oleh : Riza Saffiya

“Eh, banyak sangat jumlahnya ni abang,” Ashikin menghulurkan duit pemberian Asri. Dia mahu memulangkan semula duit pemberian Asri kerana jumlahnya terlalu besar untuk diterima.

“Ambil Shikin. Abang ikhlas. Gunalah duit itu untuk Shikin memulakan kehidupan baru di universiti nanti,” Asri menjelaskan keikhlasannya. Memang telah diniatkan duit itu untuk kekasihnya yang bakal melanjutkan pelajaran di salah sebuah pusat pengajian tinggi di utara tanahair.

“Yela, kalau nak bagi pun… tak kan sebanyak ini abang. Banyak sangat ni. Shikin ambil separuh, separuh lagi abang simpan. Kata nak pinang Shikin. Bolehlah mula kumpul duit dari sekarang,” bicara Ashikin bernada gurauan.

“Duit nak pinang Shikin dah ada dah. Tunggu lampu hijau dari Shikin je ni.”

Merah padam muka Ashikin bila Asri berkata begitu. Dia tersipu-sipu malu. Baju kurung ‘cotton’ yang dipakainya dikibas-kibas tanpa sebab. Perasaan tak tentu arah mula menerpa. Begitulah keadaannya jika Ashikin merasa malu. Gelabah semacam sahaja.

“Shikin…” Asri yang perasan akan rasa gelabah Ashikin itu cuba menenangkannya.

“Saya, abang” Mata Ashikin bertentangan dengan mata Asri. Ada debaran bila mata kedua-duanya bertentangan sebegitu. Debaran yang sukar hendak diertikan maksudnya. Segera Ashikin mengalihkan pandangannya dari bertentangan mata lebih lama dengan Asri. Ashikin melemparkan pandangannya jauh di hujung kampungnya yang permai itu.

“Abang rasa lama sangat nak tunggu Shikin habis belajar,” Asri memulakan bicaranya.

“Habis tu…?” tanya Ashikin berpura-pura tidak memahami maksud Asri.

“Abang nak suruh mak abang jumpa keluarga Shikin. Lamar Shikin. Kita bertunang dulu sebelum Shikin pergi ke universiti hujung bulan ni,” serius benar bunyi suara yang dilantunkan oleh Asri.

“Mak Shikin tak kan setuju, bang. Awal-awal lagi dia pesan suruh Shikin belajar dulu. Bila dah habis belajar, baru sesuai fikir pasal kahwin.”

“Mak Shikin kata macam tu?”

Ashikin mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Tak mengapalah kalau macam tu. Cuma abang harap, Shikin setia dengan janji kita.”

“Abang tak percaya Shikin ke? Kita dah kenal sejak di sekolah lagi bang. Percayalah, Shikin tunggu abang dan abang pun kena sabar tunggu Shikin habis belajar ya.”

“Empat tahun, Shikin.”

“Iya, Shikin tahu tempoh tu lama. Macam-macam boleh jadi. Yang penting, kita berdoa semoga jodoh kita ada dan kita akan berjaya menempuhi segala dugaan. Shikin tahu abang kuat untuk lalui semua tu.”

Kata-kata itulah yang sering terngiang-ngiang di telinga Asri. Ungkapan yang dilafazkan oleh Ashikin pada 3 tahun yang lepas masih segar diingatannya. Awal pemergian Ashikin, memang dia kerap mengirimkan berita temasuklah pesanan ringkas melalui telefon bimbit. Namun lama-kelamaan, segalanya berkurangan. Ashikin memberi alasan dia terlalu sibuk dengan tugasan pembelajarannya. Asri faham dan Asri tidak sedikit pun menaruh perasaan marah apa lagi hendak menyangka yang bukan-bukan tentang Ashikin. Walaupun Ashikin tidak lagi membalas setiap surat yang dikirimkan oleh Asri, namun Asri tetap mengutuskannya buat Ashikin. Khabar dilayangkan agar kekasih hati tidak melupakan segala harapan yang dirantaikan dari butiran cinta mereka berdua, itulah harapan Asri.

Namun benarlah kata pepatah, air sungai lagikan berubah… inikan pula hati manusia. Asri mula berjauh hati dengan perubahan pada sikap Ashikin terhadapnya. Ashikin sudah mula marah-marah jika Asri menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbitnya. Apa lagi kalau Asri menelefon. Ashikin sudah pandai mengherdik dan melemparkan kata-kata yang tidak enak di dengar. Asri bukan kanak-kanak. Dia merasa malu apabila dikatakan sebagai orang yang tidak faham bahasa. Terasa hidung tak mancung, pipi yang tersorong-sorong.

Iyalah, apalah yang ada pada dirinya jika hendak dibandingkan dengan Ashikin. Bakal graduan pemegang ijazah, sedang dirinya hanya pemuda yang bekerja kampung. Tetapi hinakah dirinya melakukan kerja-kerja kampung? Dia bukan mencuri. Rezekinya dari sumber yang halal. Fitrah manusia… mengukur sesama sendiri melalui harta, pangkat dan rupa. Bukannya membandingkan seseorang dengan amal dan kebajikannya. Asri melepaskan keluhan. Terasa dirinya kini dipandang hanya sebelah mata oleh Ashikin.

************

Hari ini sudah hari ke lima Ramadhan.

“Leha! Leha!” teriak mak Jah, ibu kepada Ashikin.

Mak Leha menoleh ke arah mak Jah. Kelihatan mak Jah berjalan dengan tergopoh gapah menghampiri mak Leha. Telekung yang dipakainya ketika bertarawih tadi masih belum sempat ditanggalkannya.

“Ada apa yang kamu terjerit-jerit memanggil aku ni, Jah?”

“Aku nak cakap sikit ni pasal Asri.”

“Asri? Hah, kenapa pulak dengan anak aku tu?”

“Aku nak kau nasihatkan dia sikit. Janganlah ganggu anak aku yang tengah belajar tu. Shikin mengadu, Asri selalu ganggu dia. Telefon dia tengah-tengah malam. Janganlah macam tu. Anak aku tu masih belajar lagi.”

Mak Leha menundukkan wajahnya ke bawah. Matanya memandang tanah. Hatinya kecewa. Terasa hatinya bila mak Jah berkata begitu. Bukannya dia tidak tahu yang anak mereka berdua itu saling berhubungan sejak mereka di alam sekolah lagi. Tiba-tiba bila anaknya sudah ada rezeki melanjutkan pelajaran ke tempat yang lebih tinggi, begini pula pandangan mak Jah pada Asri.

“Iyalah, Jah. Mintak maaflah kalau macam tu ceritanya. Nanti aku nasihatkan si Asri tu ya. Kau jangan risau.”

“Terima kasih Leha. Aku jalan dulu ya.”

Mak Leha masih terpaku berdiri di situ. Matanya memandang ke arah masjid mencari-cari Asri. Tiada kelihatan bayangnya. Mungkin masih lagi bertadarus sesudah solat sunat tarawih tadi. Mak Leha mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanannya bersendirian. Rumahnya pun bukan jauh sangat dari masjid.

Tepat jam 10.40 malam, barulah Asri sampai di rumah.

“Assalamualaikum, mak.”

“Waalaikumsalam. Tu mak ada buatkan air. Makanlah kuih lebih berbuka tadi. Nanti membazir pula.”

“Mak tak minum sama ke?”

“Mak dah minum dah. Asri, mak nak cakap sikit. Tadi masa mak balik dari masjid, mak Jah ada beritahu sesuatu pada mak.”

“Beritahu apa pulak, mak?”

“Dia mintak kamu jangan ganggu Ashikin.”

“Owh…”

“Ingatlah Asri. Orang dah komplen tu. Makanya faham-fahamlah maksud mereka.”

“Iya, mak. Asri faham.”

Serta-merta hilang selera Asri hendak menjamah baki kuih sewaktu berbuka tadi. Hatinya sedih. Nampak gayanya, kekasihnya kini sudah menganggapnya seperti orang asing. Semakin hari, Ashikin semakin menjauh dari dirinya. Asri dapat merasakan perubahan itu. Asri meninggalkan air dan kuih di meja itu. Dia melangkah menuju ke biliknya.

Asri menghempaskan tubuhnya di atas katil. Dia mencapai bantal lalu dipekapnya menutupi seluruh wajahnya, namun fikirannya tetap menerawang kepada Ashikin. Sampainya hati Ashikin mendera perasaannya begitu. Asri dapat merasakan yang dirinya begitu hina di pandangan Ashikin sekarang ini. Pemuda yang tiada punya apa-apa. Apalagi hendak ke menara gading sepertinya. Itu hanyalah mimpi semata. Asri mengakui kekurangannya. Tetapi salahkan dia meneruskan rasa cintanya terhadap Ashikin. Ashikin sekarang bukan Ashikin yang dahulu lagi. Ashikin sudah jauh berubah. Sudah habis ikhtiar Asri untuk mendapatkan Ashikin yang dahulu. Segalanya telah jelas berubah.

************

Pantasnya waktu berlalu. Diam tak diam, sudah tiba di pertengahan Ramadhan. Mak Leha berselimpuh di atas pangkin. Berteduhkan sebatang pohon ciku, mak Leha duduk mengupas bawang sebagai persediaannya memasak lauk untuk berbuka nanti. Asri menghampiri ibunya. Dia baru selesai mengambil upah menebas di kebun pak Yasin.

“Assalamualaikum, mak.”

“Waalaikumsalam. Kamu dari mana. Lambat kamu balik dari kebun?”

“Selesai tugas di kebun tadi, saya menebas kebun pak Yasin. Dia datang jumpa saya di kebun tadi. Saya risau jugak. Fikir saya, dia nak marahkan saya jangan ganggu anaknya, si Shikin tu. Rupanya dia minta saya bersihkan kebunnya di sebelah kebun kita tu, mak. Lepas tu, dia ajak saya berbuka di rumahnya malam ni. Nak pergi ke tidak ya, mak?” Asri memohon pendapat dari ibunya.

“Kamu sanggup berhadapan dengan mak Jah kamu tu?”

“Saya tak salah, mak. Apa saya nak takut.”

“Kalau begitu, pergilah. Nanti apa pula kata pak Yasin kan. Dikatanya kamu tak sudi pula.”

“Itulah mak. Saya pun fikir macam tu juga. Pasal mak Jah tu, saya ketepikan. Biarlah dia. Dia tak suka saya, itu hak dia. Saya hanya memenuhi undangan berbuka dari pak Yasin.”

“Iya, betullah tu…”

“Mak tak apa ke berbuka sorang-sorang nanti?”

“Eh, tak apa. Pergilah kamu nanti.”

“Oklah, mak. Saya nak sejukkan badan sekejap. Saya masuk dulu ya.”

“Iyalah. Mak pun nak masuk ni. Nak jerang gulai tenggiri dengan kulit rambai. Nanti boleh dijadikan buah tangan sewaktu kamu ke rumah pak Yassin.”

“Baik, mak.”

Keduanya melangkah masuk ke dalam rumah. Asri duduk menghadap kipas angin tua milik keluarganya itu. Terasa dingin sekali apabila angin menyapa dan peluh pun mulai kering. Dia mahu mandi dan selepas itu mahu bersiap hendak ke rumah pak Yasin, harapnya tidak kempunan hendak menjadi mertua. Asri masih menaruh harapan.

Jarum jam sudah menunjukkan pukul 7 malam. 24 minit lagi masuklah waktu berbuka. Asri sudah sampai di pintu pagar rumah pak Yasin. Dia memberhentikan basikalnya. Matanya terpaku memandang ke arah sebuah kereta Myvi putih yang terparkir di halaman rumah pak Yasin. Siapa punya kereta ni, tanya Asri di dalam hati. Asri menyandarkan basikalnya di tiang berhampiran tangga rumah. Bekas yang berisi lauk masakan ibunya tadi dijinjing. Asri melangkah perlahan menghampiri pintu utama.

“Assalamualaikum…” Asri memberi salam.

Senyap.

“Assalamualaikum…” ulang Asri lagi.

Sesusuk tubuh yang tidak Asri kenali muncul di pintu.

‘Waalaikumsalam. Cari sapa…?” lelaki muda itu bertanya kepada Asri.

“Pak Yasin. Pak Yasin ada?”

Seketika muncul pak Yasin.

“Eh, Asri. Naik nak, naik. Pakcik tengah bersiap tadi. Naiklah. Ini kenalkan Hafiz, kawan Ashikin.”

Bagaikan hendak rebah Asri di muka pintu itu bila diberitahu yang lelaki muda itu adalah rakan Ashikin. Tentunya rakan sama belajar di universiti. Rakan atau teman istimewa? Sehingga diundang ke rumah, tentu istimewa lelaki itu pada Ashikin. Asri menghulurkan tangannya bersalaman dengan pak Yasin. Gulai yang dikirimkan oleh ibunya diserahkan di tangan pak Yasin.

“Eh, apa yang susah-susah ni…” kata pak Yasin ketika lauk gulai kiriman ibu Asri tadi dihulurkan.

“Tak ada apa nak bagi pakcik. Inipun kiriman dari mak,” jawab Asri merendah diri.

“Terima kasihlah kalau macam tu. Hafiz, ini kawan sekampung Shikin. Mereka berkawan sejak kecil lagi,” pak Yasin mengenalkan pula Asri kepada Hafiz.

Hafiz dan Asri bersalaman. Menyesalnya Asri menerima jemputan pak Yasin hari ini. Dia benar-benar tidak selesa dengan situasi yang sebegini.

“Duduklah, duduk,” pak Yasin mempelawa kedua-dua orang tetamunya itu duduk di atas kusyen yang sedia tersusun di ruang tamu rumah kampung itu.

Tiba-tiba Ashikin muncul…

“Ayah, makanan dah hidang. Marilah ke dalam.”

“Ha, Shikin. Ni ada kawan lama ni. Tak kan dah tak kenal lagi?”

Ashikin terpukul dengan kata-kata ayahnya. Kata orang, siapa yang makan cili… dialah yang merasa pedasnya! Terpaku Ashikin melihat Asri. Kurus benar Asri. Mukanya cengkung. Matanya seakan terperosok ke dalam. Kenapa kurus benar sehingga begini, desis hati Ashikin. Rasa simpati menjalari seluruh benaknya.

Ashikin menegur Asri. Dia berlagak mesra seolah-olah tidak ada apa yang menghiriskan hati yang berlaku di antara mereka. Bijaknya Ashikin berlakon. Manakala hati Asri semakin pedih apabila dilihat kekasih hatinya kini pulang bersama lelaki lain. Asri merasa rendah diri sangat. Kerdilnya dia di mata manusia yang berada di hadapannya sekarang ini. Apa lagi pada mak Jah. Jelingan dan kata-kata sinis yang dilemparkan oleh mak Jah sudah cukup membuatkan Asri menyedari siapa dirinya. Berkali-kali pula mak Jah memuji Hafiz. Ramah dan mesra sungguh mak Jah melayani Hafiz. Sedangkan Asri? Beginilah nasib orang yang tiada rupa, tiada harta dan pangkat. Sebelah mata pun orang tak pandang!

Selesai berbuka dan menunaikan solat Maghrib berjemaah, Asri meminta diri untuk ke masjid. Dia tidak sanggup hendak berada lebih lama lagi di situ. Hatinya luka berdarah. Pedihnya bagai dihiris belati. Namun siapa yang mengerti akan raungan hatinya yang remuk redam itu. Di kala ini, hanya pada Allah s.w.t. Asri meluahkan segalanya. Tangisnya, ratapnya, rintihannya yang penuh kesayuan… hanya disuakan kepada penciptaNya yang Maha Penyayang.

************

Di masjid, mak Jah sengaja duduk bersebelahan mak Leha. Dia tidak sabar mahu menceritakan perihal anak gadisnya yang pulang membawa orang bandar berbuka di rumahnya tadi.

“Leha, Shikin balik tadi. Lama dah dia tak balik. Terubat rindu aku pada dia.”

“Owh, ya? Dapatlah Asri bertemu Shikin tadi.”

“Iya. Eh, yang aku terperanjat tu kan… Shikin bawak balik kawan lelaki dia. Orang bandar, Leha. Sama belajar, katanya. Macam ada apa-apa je dia orang tu aku tengok…”, mak Jah menerangkan dengan panjang lebar. Riak wajahnya memang menampakkan kegembiraan yang amat.

“Wah, Leha. Shikin pun dah nak habis belajar. Tak lama lagi bermenantukan orang bandar la engkau Jah,” mak Leha memuji. Dia memang faham benar perangai mak Jah. Jangan orang membangkang kata-katanya. Itu pantang mak Jah. Kalau orang memuji, senyum melebar hingga ke telingalah dia. Sebenarnya mak Leha bukan berkenan sangat dengan sikap mak Jah tetapi sudah disebabkan hidup sekampung, perlu berbaik-baik… maka mak Leha mengikut saja rentak mak Jah.

Selesai tarawih, mak Leha segera pulang ke rumah. Dia tahu relung hati anaknya di saat itu. Tadi tentunya Asri melihat sendiri gelagat Ashikin dan kawan lelakinya yang dikatakan dari bandar itu. Mak Leha mengerti sangat bagaimana terlukanya hati Asri. Simpatinya mak Leha. Kalau boleh, sekarang juga dia mahu pinangkan anak dara yang lain untuk Asri. Biar mak Jah pun tahu anaknya juga masih berharga, masih laku.

Lamunan mak Leha terhenti. Terdengar olehnya daun pintu diketuk. Pastinya Asri.

“Mak… mak…” iya memang suara Asri.

“Sekejap mak bukak. Sekejap ya, nak.” Kain baju yang sedang dilipatnya ditinggalkan. Mak Leha bergegas menuju ke pintu. Ditariknya engsel pintu itu.

“Mak dah tidur ke?” Asri bertanya ketika kakinya meniti satu persatu anak mata tangga.

“Belum. Mak tengah lipat kain…”

Asri duduk menyandarkan badannya di dinding papan ruang tamunya itu untuk melepaskan kepenatan. Kayuhannya ketika berbasikal dari masjid tadi terasa berat sangat.

“Penat sangat mak tengok kamu. Pergilah masuk tidur. Mak nak sudahkan melipat kain ni sekejap,” mak Leha menyapa. Memang dilihatnya Asri tidak bermaya. Bukan penat berpuasa atau mengayuh basikal. Mak Leha faham Asri penat melihat Ashikin tadi. Kesian dia…

“Mak tak buat air ke, hauslah mak,” jawab Asri. Dia cuba melindungi dukanya. Duka yang dipendamkannya itu semakin parah. Buktinya peristiwa masa berbuka di rumah pak Yasin tadi. Ashikin benar telah melupakan semua janjinya. Bukan itu saja, Ashikin juga telah melupakan segala kenangan indah antara mereka berdua. Kejamnya Ashikin, raung hati Asri.

“Ada atas meja tu. Minumlah dulu, lepas tu pergi tidur. Mak tengok kamu ni penat semacam je. Mungkin kerana siang tadi kamu bekerja teruk sangat. Dan sekarang, berehatlah,” nasihat mak Leha. Dia memang mengambil berat tentang anaknya yang seorang itu. Asri seorang sahajalah anak yang dia ada. Dialah penawar, dialah racun.

************

Esoknya pagi-pagi lagi Asri sudah ke kebun. Dia lebih suka mengisi masanya di kebun. Sekurang-kurangnya ingatan dia pada Ashikin berkurangan. Luka hati pun tidak terlayan. Hidup… apalah yang hendak dikesalkan kepada keperitan. Sesungguhnya sebelum mendapat kesenangan, perlulah dilalui kepayahan. Tiada guna mengeluh kerana segala liku itulah yang dinamakan kehidupan. Hidup tanpa cabaran, tiada maknanya. Bijak Asri memotivasikan dirinya sendiri. Alhamdulillah, dia selalu memohon pada Yang Esa, agar dikurniakan segala kekuatan. Bukan sahaja kekuatan kudratnya tetapi juga keperkasaan jiwa. Dia amat memerlukan kekuatan hati sekarang ini.

Mak Leha pula awal pagi lagi sudah ke kedai Haji Mat membeli keperluan dapur.

“Leha, tak jadilah kamu berbesan dengan Jah nampaknya,” tegur Haji Mat ketika mak Leha sedang memilih barangan yang hendak dibeli.

“Bila masa pulak saya nak berbesan ni abang Haji. Anak saya si Asri tu, kawan perempuan pun tak ada,” jawab mak Leha menepis persoalan yang baru diujakan oleh Haji Mat kepadanya tadi.

“Aik, dalam kampung ni siapa yang tidak tahu anak kamu dengan anak Yasin tu kan bercinta.”

Wah, umpama wartawan hiburan saja gayanya Haji Mat ni… lirih mak Leha. Dia tersenyum bagi menyembunyikan ketidakselesaannya apabila ayat penyata yang dikeluarkan dari mulut Haji Mat tadi seolah-olah mahukan jawapan kepastian darinya.

“Alah, abang Haji. Bercinta budak-budak. Faham-faham sajalah. Apa kata orang, cinta monyet?” mak Leha menyeringai tersenyum. Senyum yang dibuat-buatnya. Namun di dalam hatinya bergelodak. Mahu saja dia menempik Haji Mat yang suka menjaga tepi kain orang.

“Ehhh, tajuk apa pulak ni Leha. Aku dengar, ada bunyi cinta monyet tu. Macam menarik aje,” korum dah sampai. Mak Som memang kaki gossip di kampung ini. Tanya saja tajuk apa. Semua dia tahu.

“Pasal anak Leha dan anak Jah. Anak Jah si Shikin tu dah ada orang lain,” Haji Mat memberikan tajuk perbincangan kepada mak Som.

“Owh, hal tu. Saya pun dah maklum dah,” Sudah dijangka. Semua hal yang berlaku di dalam kampung ini, rujuk saja pada mak Som.

“Mak Jah sendiri yang beritahu saya semasa di masjid malam tadi. Bulan raya ni khabarnya hendak ditunangkan dengan orang bandar tu. Apa nak buat kan Leha. Dah bukan jodoh anak kamu dengan Shikin tu.”

Mak Leha hanya tersenyum sambil telinganya memasang mendengar kata-kata dari mak Som dan Haji Mat. Benarlah tiada jodoh antara Asri dan Ashikin. Mak Leha pula yang berasa hiba. Hati tuanya tersentuh. Dia semakin mengerti perasaan anaknya sekarang ini. Mungkin Asri juga sudah mengetahui yang Ashikin bakal bertunang dengan orang lain. Boleh pula mak Jah menerima lamaran itu? Katanya dulu, anaknya perlu habis belajar, kemudian barulah difikirkan soal nikah kahwinnya.

Seisi kampung sibuk memperkatakan perihal Ashikin hendak bertunang. Ke mana sahaja mak Leha pergi, pasti terdengar olehnya pasal Ashikin. Mak Leha mulai rimas. Sedangkan Asri mengambil pendekatan untuk berdiam diri sahaja. Dia menganggap orang kampung berhak memperkatakan hal itu. Biarlah mereka mengata, bila tiba satu ketika nanti akan penatlah mereka. Apabila sudah penat, berhentilah mereka nanti. Asri tidak mempedulikan dirinya diperbandingkan dengan Ashikin. Iyalah, Ashikin bakal graduan. Sedang Asri hanya lulusan SPM dan tidak mempunyai pekerjaan yang menjaminkan masa depan, kata orang kampungnya.

Bukanlah Asri tidak mahu mencuba nasib tetapi rezeki sahaja yang belum menyebelahinya. Berbagai borang jawatan kosong telah diisinya namun semuanya tiada jawapan. Lagipun dia tidak sampai hati hendak meninggalkan ibunya yang semakin tua itu keseorangan di kampung. Pernah juga dia terfikir hendak menjadi pekerja kilang di bandar, tetapi kesian pula dia pada ibunya. Hendak dibawa ibunya bersama tinggal di bandar, ibunya pula menolak. Kata ibunya, dia amat menyayangi rumah peninggalan arwah ayah Asri itu.

Petang itu Asri mengambil angin di tempat biasa. Dia duduk menongkat dagu di atas pangkin di bawah pohon ciku. Matanya melihat kebiruan langit yang meluas memayungnya. Dia memang tidak boleh bersendirian begitu. Pasti saja hatinya melayan duka lara yang sedang ditanggungnya di saat ini. Ingatannya menerobos kepada Ashikin. Mengapa sukar sangat hendak melupakan. Mengenal dan menyintai seseorang memang boleh terjadi di dalam satu hari. Tetapi hendak melupakan, seumur hidup pun belum tentu lagi. Asri lantas mencoretkan sesuatu buat Ashikin…

Assalamualaikum Ashikin~

Bagai merpati putih, cinta saya berkelana mencari singgahsana di hati awak. Nyata saya telah menemuinya. Ketika awak telah memiliki cinta saya, awak campakkannya jauh ke dasar laut yang tidak mampu saya selam. Di sana saya tidak mampu melihat cahaya. Awak berikan saya harapan dan akhirnya awak jugalah yang menyalakan api dan membakar saya dalam diam.

Saya sedih sangat bila awak kata awak tidak tahu apa sebenarnya yang awak cari. Tapi jauh di sudut hati ini, saya merasakan awak masih belum cukup dewasa untuk memahami apa itu cinta dan mungkin tidak akan pernah dewasa atau mungkin juga awak belum pernah benar-benar jatuh cinta pada seseorang. Jadi selama ini, siapa saya di hati awak?

Awak…
Awak mungkin jenis perempuan yang boleh menyintai ramai lelaki berkali-kali. Tetapi saya pula seorang lelaki yang percaya bahawa dalam hidup saya hanya ada 1 cinta dan 1 perkahwinan. Kita hidup sekali, mati sekali, menyintai juga sekali. Melangkah pergi meninggalkan awak telah mengambil seluruh kekuatan yang saya ada. Jangan anggap saya tinggalkan awak kerana saya bencikan awak. Bagaimana harus saya membenci, sedangkan setiap hari saya merindui awak. Setiap saat saya mengingati awak. Seumur hidup ini saya mencintai awak.

Awak…
Sebelum saya menghilangkan diri dari dunia awak, ingin saya nyatakan sesuatu yang awak tidak pernah tahu. Kalaulah awak bertanya kepada saya, sedalam mana cinta saya pada awak… inilah jawapan saya – “kalaulah satu hari awak kehilangan suara, saya akan memberikan suara saya agar awak dapat bersuara semula… meskipun waktu itu saya akan bisu buat selamanya. Dan kalau satu hari nanti awak kehilangan hati, saya akan memberikan hati saya kepada awak agar awak dapat hidup selamanya, meskipun waktu itu saya tiada lagi di dunia ini (awak tidak pernah tahu).”

Awak…
Kerana saya mencintai awaklah saya melangkah pergi. Semua demi kebahagiaan awak. Saya doakan satu hari nanti awak akan temui apa yang awak cari. Supaya awak dapat mengetahui bagaimana rasanya terlalu mencintai dan semoga awak takkan pernah terlewat untuk menghargainya.

Awak…
Saya percaya Allah temukan kita kerana ada hikmah di sebalik semua ini. Saya tidak pernah kesal mengenali awak kerana sekurang-kurangnya saya telah bersikap jujur dan ikhlas dengan perasaan saya. Saya juga percaya, andai benar kita punya jodoh… awak pastinya akan kembali kepada saya tetapi saya juga ingin belajar pasrah pada ketentuan Allah, kalaupun awak takkan pernah kembali pada saya, saya akur… mungkin itulah yang terbaik buat kita berdua. Akhirnya, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf di atas segala kesilapan sepanjang perhubungan kita. Doa saya semoga awak terus berbahagia.

Daripada,
ASRI

Ketika warkah terakhir ini sampai di tangan Ashikin, berhamburan airmatanya. Dua hari lagi Ramadhan akan berakhir. Ini bermakna seminggu sahaja lagi Ashikin akan ditunangkan dengan Hafiz. Segala kenangan manis bersama Asri segera menerpa di ingatannya. Ashikin sendiri tidak menyedari mengapa dia begitu kejam terhadap Asri. Adakah kerana ego yang mengawali dirinya.

Sementara itu Asri di rumah sedang membantu ibunya mengemas rumah bagi persediaan hendak menyambut kedatangan bulan Syawal yang indah. Telinganya pantas menangkap bunyi yang keluar dari corong radio lama miliknya itu. Bukan lagu raya, tetapi lagi Kekasihku Di Menara…

Dingin sungguh malam ini
Dan sukar mataku lelapkan
Lalu ku cuba coretkan
Secebis lembaran buatmu

Tidak terkira perutusan
Satupun tiada balasan
Namun ku tak putus harapan
Walau hati ini sudah mula bergoyang

Dapat ku bayangkan kau mula berubah
Bila di puncak menara gading
Sedangkan aku hanya mampu bermimpi
Untuk ke puncak sepertimu

Disebabkan itu kau mencipta jurang
Perhubungan kita mula menjadi renggang
Dan keangkuhanmu kini mula ketara
Memandang aku cuma sebelah mata

Dulu aku bagimu
Jambatan untuk kau ke seberang
Mudah sungguh kau lupakan
Semua jasa-jasaku
Semua pengorbananku untukmu

Asri merasa sebak apabila mendengar lagu yang sedang berkumandang itu. Namun dia akur pada ketentuan. Menyintai tidak semestinya memiliki. Ramadhan sudah hendak berlalu… pergilah kekasihku bersama Ramadhan ini… ku relakan, Asri melirih sendiri. Airmata yang bergenang ditelan bersama seribu kepahitan~

~~ TAMAT ~~


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

25 ulasan untuk “Cerpen : Pergimu Bersama Ramadhan”
  1. fazreen says:

    sedihnye cite ni,,,
    tahniah kpd penulis,,,
    :smile: :smile:

  2. abeel says:

    :oops:
    nice story but not the ending..
    hopefully ade sambungan untk story neyh..
    coz ashikin should have the punishment..
    cam real jewk..
    heeeeeeeeee..
    congrates to the author..

  3. Nana says:

    sedihnye… sme ngan jln citer aq… 4 my love, Mohamad Ramadhan.. moge kau juge bhgie with gurl yg kau pilih… pade pnulis.. good job!

  4. unknown says:

    kita hnya akan mnghargai seseorang tu slepas kita khilangan dia.. this is based on my experience..

  5. Nadia says:

    memang sedih.. Cian Asri.. Tapi, cm tu lar hakikat hidup..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"