Cerpen : Perlumbaan Ke Marikh

29 August 2010  
Kategori: Cerpen

861 bacaan 6 ulasan

Oleh : El Ezekiel

Pemilik nama Marikh, merupakan sebuah dunia yang sangat berbeza dengan bumi tempatku berpijak. Sinonim dengan gelaran tanah merah, itulah destinati kami. Perlumbaan membawa nama Malaysia tidak akan kami mempersia-siakan. Kesempatan ini kami rangkul dan dakap dengan penuh kemas dengan semangat patriotisme yang tinggi, demi menjulang nama anak melayu dan juga Malaysia seperti kami juga mampu bersaing dengan bangsa lain di dunia. Kapal Angkasa Al-Buraq meluncur laju di cerekawala yang dihuni oleh ciptaan tuhan yang sangat mengasyikkan mata.
Tangan kanan Eman sedang erat menggengam secangkir kopi yang dibuat khas menggunakan teknologi terkini, sambil memerhatikan dua orang anak buahnya, Azim dan Masitah sedang mengawal kapal angkasa itu di bahagian kopkit Al-Buraq. Eman, seorang jejaka yang berambut hitam pekat, berjangut nipis di bahagian dagunya baru sahaja menunaikan solat di atas kapal angkasa itu sedang memantau perkembangan kapal angkasa.
“Kawan… bagaimana posisi kita?” soal Eman perlahan sambil meniup-niup kopinya yang panas itu. Masitah bergerak ke arah bahagian komputer canggih abad ke-23 itu lalu memulakan tarian jarinya di atas papan kunci, mencari maklumat yang diperlukan oleh Eman, nahkoda kapal angkasa Al-Buraq.
“Eman… kita berada pada jarak 20 juta batu lagi untuk tiba di Marikh. Alhamdulilah, kita masih mendahului perlumbaan ini. Amerika Syarikat dan Russia sedang mengejar kita dari belakang. Di ikuti oleh Perancis, Iran, China dan Jepun,” jelas Masitah panjang lebar.
“Kalau macam ni, alamatnya lama lagilah kita nak sampai ke sana,” kata Azim sambil mengaktifkan pemanduan automatiknya, lalu memusingkan kerusi rodanya itu menghadap Eman.
Masitah kembali merenung Azim. “Aku rindu keluarga kita…” kata Masitah sambil mengalihkan renungan ke arah skrin gergasi di bahagian kopkit itu. Pada jarak yangs ejauh itu dari bumi, amat mustahil untuk berhubung secara langsung dari bumi. Malaysia tidak punya teknologi yang secanggih itu. Walaupun setiap angkasawan di dalam Al-Buraq saban hari akan merenung skrin hitam itu dengan berharap yang imej Perdana Menteri Malaysia, Datuk Shahrin Ruslan akan menjelma sambil mengukirkan senyuman semangat sambil mengusap tangan berkedutnya. Namun, itu semua ialah sekadar angan-angan yang pastinya tidak akan kesampaian. Mereka harus berpijak di atas realiti, hidup bukan seindah yang disangka, manis bukanlah selamanya dan matahari bukan menyinar sepanjang masa.
“Azim? Kau dah solat?” Eman mengingatkan Azim. Azim tidak menjawab sebaliknya bangkit dari kerusinya dan terus terapung sambil ‘terbang’ ke arah bahagian surau yang disediakan.
“Solat maghrib hari ni, aku ingatkan nak buat berjemaah!” Eman melahirkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Baginya solat itu sangat penting kerana merupakan medium untuk berhubung dengan Yang Pencipta. Walaupun teknologi yang dimiliki oleh Malaysia tidak sehebat Amerika dan Russia, tetapi merupakan sebuah keajaiban apabila Malaysia mampu mendahului perlumbaan tersebut, menongkah segala kemustahilan. Eman percaya resipi kejayaannya itu ialah solat. Tanpa solat, pasti Malaysia hanya akan menjadi bahan tawa dalam perlumbaan itu.
Masih tersemat di ruang ingatan Eman ketika detik Datuk Seri Shahrin Ruslan melahirkan hasratnya untuk membawa Malaysia menyertai perlumbaan ke Marikh di persidangan PBB, lelaki tua itu menjadi bahan tawa serta jenaka orang nombor satu di negara lain. Perdana Menteri Shahrin yang kini dilabelkan sebagai jelmaan Arwah Tun Dr. Mahathir meminta masa hanya selama 5 tahun untuk membuktikan keupayaan anak Malaysia terutama bangsa Melayu. Baginya, pengalah bukan selamanya kalah, pemenang bukan sentiasa menang. Siapa sangka bangsa kerdil seperti kami ini tidak mampu untuk bersaing? Berkat usaha mengumpul genius-genius di serata tanah air, akhirnya Al-Buraq, sebuah kapal angkasa yang diambil nama dari kenderaan yang telah membawa Nabi Muhammad dalam perjalanan Isra’ Mikraj telah dicipta. Mungkin berkat nama Buraq itulah mereka menjadi pendahulu perlumbaan hebat itu, selain dari berkat kepimpinan Eman.
“Baik, tapi kau imamkan, ya?” balas Azim. Eman sekadar mengangguk. Masitah menyelak rambut yang menutup matanya. Eman direnungnya dengan penuh makna, kepimpinan yang digambarkan oleh jejaka itu jelas telah lama mencuri hatinya. Eman, tahukah kau yang sudah lama hati ini menaruh rasa sayang terhadap kau? Kau ialah Prince Charming bagi semua wanita di dunia, malah kau mempunyai ciri-ciri yang didambakan untuk menjadi calon suami yang mithali; beriman, berani serta kacak.
Baru sahaja Eman mahu melangkah pergi dari kopkit itu, skrin lusuh yang sering menjadi tarikan mata kru kapal Al-Buraq tiba-tiba bercahaya, berkelip-kelip lalu menyala. Perdana Menteri Shahrin berada di dalam posisi yang seringkali menjadi bayangan dalam kotak fikiran Masitah.
“Eman! Skrin tu bercahaya!” teriak Masitah penuh keterujaan. Eman lantas menoleh ke arah belakangnya, senyuman mekar di wajah kacaknya itu. Dia lantas ‘berenang’ dalam keadaan terapung mendekati skrin komputer.
“Mas, kau panggil rakan-rakan kita yang lain, katanya yang skrin ini dah berfungsi kembali!” jerit Eman kegembiraan. Andai boleh dia melompat pada waktu iu, tidak akan dia mempersiakan-siakan peluang seperti tadi.
“Kapten Eman Abdullah, lama tak jumpa kamu, ya?”
“Assalamualaikum Datuk,” Eman melontarkan teguran secara berlapik kerana kegopohan Datuk Shahrin yang terus melulu tanpa menguntumkan salam sebelum memulakan bicara. Datuk Shahrin tersenyum, Eman memang tidak pernah berubah. Itulah sikapnya, namun ia sangat menyenangkan semua orang.
“Waalaikumusalam Eman. Bagaimana dengan perkembangan perlumbaan kita?” soal Datuk Shahrin. Senyuman lantas terukir di bibir merah Eman, ada berita gembira untuk diraikan oleh rakyat Malaysia yang tercinta; mereka ialah pendahulu kepada perlumbaan yang bersejarah itu.
“Kita mendahului Datuk!” tutur Eman dengan raut wajah yang berseri-seri. Dalam masa yang sama, semua kru kapal angkasa itu menyertai Eman di kopkit. Zulhelmi, Masitah, Azim, Amirul, Celia dan Azham.
“Bagus! Bagus! Alhamdulilah. Syukur kepada Allah!”
“Datuk…” tutur Zul, jejaka yang berambut hitam pekat, berkaca mata dan berlesung pipit itu sambil tersenyum. “Bagaimana kita boleh memperolehi teknologi canggih yang hanya dimiliki oleh Amerika dan Russia?”
“Berterima kasih pada budak kecil ni!” kata Datuk Shahrin sambil menarik seorang budak perempuan yang berusia dalam lingkungan 16 tahun. Masing-masing terpempang dengan apa yang disajikan; mustahil anak mentah seusia itu mampu menghasilkan sebuah teknologi…
“Hai semua…” kata budak itu sambil mengangkat tangannya.
“Hai…” jawab kru kapal Al-Buraq serentak.
“Saya Setsuna Lee,” gadis itu memperkenalkan diri.
“Bagaimana?”
“Saya telah memanfaatkan gelombang…” Setsuna pun menceritakan apa yang dilakukannya. Ternyata yang gadis itu mempunyai kebijasaan yang sangat cerdas. Apakah dia setaraf Einsteen? Bapa Nuklear dunia? Fikiran Eman mula menerawang jauh, sedang meramalkan masa depan gadis itu. Akhirnya, Eman tersenyum sendirian. Sudah jauh dia berimaginasi.
“Eman… teka. Siapa yang kami bawa untuk berjumpa dengan kamu?” soal Datuk Shahrin, memecahkan lamunan Eman.
“Eh? Siapa Datuk?”
“Memandangkan kamu sebatang kara.. hanya dia…”
“Tak apa, Datuk… saya faham. Zeisha mana?” pantas Eman mengutarakan soalan. Perasaan rindunya pada tunangnya itu sudah membuak-buak. Eman lantas menoleh ke arah rakan-rakannya yang lain, sambil sempat mengenyitkan matanya. Mereka mengerti yang Eman perlukan privasi.
“Yang lain, selepas ni giliran kamu. Eman ketua, saya rasa dia harus diutamakan,” kata Datuk Shahrin lagi. Tiada bantahan, Zeisha lanats berdiri di hadapan skrin manakala Datuk Shahrin meminta permisi untuk pergi dari situ, meninggalkan Zeisha dan Eman bersendirian,
“Abang…” perlahan sekali tutur kata Zeisha, namun matanya sudah berkaca. Air mata kelihatan mahu melimpah keluar. Perasaan sayu lantas menyelinap masuk ke dalam hati Eman. Awak… janganlah menangis.
“Sha…” panggil Eman perlahan. Sayang sungguh dirinya apda gadis itu, akhirnya rindu yang terbukam selama 6 bulan dapat diluahkannya. Matanya perlahan-lahan menyentuh skrin dihadapannya itu.
“Abang sayangkan Sha…” Eman tidak tahu apa yang mahu diungkapkannya pada Zeisha.
“Sha pun abang… abang. Macam mana kat atas sana? Jangan lupa solat tau? Abang ada nakal-nakal tak kat atas sana? Angkasawati semua cantik-cantik Sha tengok,” Zeisha mula menghamburkan ratusan pertanyaan. Tergelak Eman dibuatnya. Sifat Zeisha inilah yang telah membuatkan Eman jatuh cinta, tapi dia tidak kisah.
“Hahahaha. Zeisha ni. Tak berubah langsung. Alhamdulilah keadaan abang kat sini baik-baik aje. Tak adalah abang nak nakal-nakal, sayang…” Wajah Zeisha terus merona merah. “Hanya Nurul Zeisha sahaja pemilik hati abang sampai mati!” tutur Eman sambil mengangkat tangannya, gaya orang bersumpah.
“Abang janji?”
“Janjilah sayang. Hanya Sha yang pernah bertakhta di dalam hati abang…”
***
Zul tampil mengambil gilirannya. Selepas Eman, kini tiba gilirannya untuk melepaskan rindu. Wajah isterinya Bella Jasmine, seorang yang baginya punya kejelitaan mengalahkan bidadari sudah tercegat di hadapan skrin. Anaknya Syazlin dan Syazlan sedang berdiri, setinggi ibu mereka.
“Ayah!” Syazlan yang berusia 17 tahun memanggil ayahnya. Sudah genap bulan hari itu dia tidak menatap wajah kesayangannya itu. Dia mempunyai impian yang lebih tinggi dari ayahnya, jika ayahnya menjejakkan kaki ke Marikh, dia memilih bintang terdekat bumi, Epsilon Eridani.
“Macam mana persedian SPM Syazlan?” soal Zul.
“Alhamdulilah, Lan nak dapatkan semua A. Nak ikut jejak ayah! Lan nak pergi lebih jauh dari ayah. Lan nak jadi seorang angkasawan yang lebih hebat dari ayah!” Berkobar-kobar anak muda itu menyuarakan impiannya di depan idola merangkap ayahnya sendiri. Zul tersenyum melihat telatah anaknya itu. Perhatiannya mula dilarikan pada Syazlin yang sedang menangis di sebelah Bella.
“Kenapa Lin?” soal Zul.
“Rindu kat papa…” Syazlin tidak memanggil Zul sebagai ayah sebaliknya lebih selesa dengan gelaran papa. Syazlin memang terlalu rapat dengan Zul, sejak usia kecil lagi. Dialah yang paling sedih dan murung, juga gembira apabila mendapat tahu bahawa Zul yang merupakan saintis telah terpilih untuk menjadi salah seorang kru Al-Buraq untuk menyertai Perlumbaan Ke Marikh.
“Papa pun rindu kat Lin,” kata Zul sambil tersenyum. Sikap kebapaan yang dimiliki oleh jejaka itu jelas teserlah. Syazlan memandang cemburu.
“Tak habis-habis papa. Anak manja! Lembik!”
“Syazlan!” tegur Bella, yang buat pertama kalinya bersuara. Suara bintang hatinya yang sangat dinatikannya. Dia tahu yang Bella sedang menahan rindu yang bertimbun, bahkan sedang menahan sebak dapat menatap dirinya secara langsung.
“Bella , abang rindukan Bella,” Zul memulakan bicara. Seperti Zeisha, Bella turut tidak dapat menampung lagi empangan air matanya, pecah seperti Zeisha. Syazlin dan Syazlan hanya sekadar memerhatikan ibunya yang memang tabah itu akhirnya tewas kepada air mata. Isteri manakah yang tidak akan menangis apabila terpaksa dengan suami yang pergi membanting nyawa demi negara yang tercinta, juga terpaksa berpisah dengan si suami dalam masa yang lama.
“Abang…” teresak-esak Bella menangis membuatkan Zul tergamam. Sepanjang 18 tahun dia mendirikan rumah tangga dengan wanita itu, tidak pernah dia melihat Bella menangis sebegitu. Dia cuba berlagak tabah di hadapan Bella, namun tidak mampu, air mata jantannya akhirnya tumpah juga.
“Bella, kalaulah boleh, abang nak peluk Bella, nak cium pipi Bella, abang tak akan lepaskan Bella,” Zul menghamburkan rasa hatinya. Bella pula merona merah. Tak tahu malu langsung suaminya itu pada anak-anak.
“Abang ni… malulah sikit kat depan anak-anak!” tegur Bella. Zul tersengih bodoh sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Dia terlupa yang anak teruna dan daranya sedang memerhatikan sandiwara ibu bapa mereka. Syazlan tergelak kecil. Orang tua bercinta pada pandangan matanya sangat menjelikkan. Hahahaha…
***
Azham berdiri di sebelah Eman, di surau di dalam kapal angkasa Al-Buraq, satu-satunya kawasan yang dikhaskan graviti buatan manusia ialah surau dan bilik tidur, bagi memdahkan ibadah dilakukan. Graviti tidak dapat disalurkan ke seluruh kapal angkasa kerana kos yang melambung jutaan ringgit.
“Allahuakhbar… allahuakhbar!” merdu suara Azham mengalunkan azan. Angkasawan lelaki dan perempuan dipisahkan dengan sedepa kain putih. Eman yang tadi sedang kusyuk berzikir pada Allah, diam bagi menghormati azan.
Selepas menghabiskan doa selepas azan, Eman lantas berdiri untuk mengimamkan solat maghrib. Azham kembali ke belakang Eman, menyertai shaf yang lain. Sikap mereka itu mengingatkan kembali kita dengan ilmuan islam yang telah lama meninggalkan kita. Walaupun mereka ialah orang sangat bijaksana dalam sains, tidak pernah sesekali mereka berpaling dari ajaran Allah, yakni Islam. Resipi itulah yang diamalkan oleh Eman.
Gempak! Sedang mereka sedang kusyuk menghadap Sang Pencipta di ala mini, kapal angkasa Al-Buraq terhenti, namun tiada seorang pun dari mereka yang kelihatan terganggu sebaliknya meneruskan solat. Eman pula kelihatan kusyuk mengalunkan ayat Al-Quran, dia ketika itu merasakan betapa kerdilnya dirinya dihadapan Pencipta sehingga segala yang berlaku di sekelilingnya sudah tidak mampu menarik perhatiannya. Pernah suatu ketika, ketika Azham tertinggal sesuatu di surau, dia melihat Eman menangis teresak-esak seorangan di surau, menangisi dosa silamnya. Padanlah Allah mengurniakan sebuah berkah kepaAl-Buraq kerana dipimpin olehs eoranh hambanya yang sangat merendah diri. Walau ada manusia bertakhta di dalam hati Eman, tinggi lagi kedudukan Allah, penciptanya. Walau setingi gunung cintanya pada Zeisha, setinggi arasy cintanya yang dihamparkan pada Allah.
Sebaik sahaja di hulurkan oleh Eman, Celia dan Amirul lantas bangkit, mahu memeriksa keadaan kapal. Eman masih tenang, riak wajahnya kelihatan bersih. Dia menadahkan tangannya, lalu membaca beberapa kerat doa, tidak seperti selalunya. Masitah dan Azim masing-masing menyimpan perasaan tidak enak di dalam diri masing-masing.
Apa sebenarnya sedang terjadi? Eman masih luar biasa tenang, tidak teman-temannya yang lain yang sudah mati akal. Akhirnya, Eman bangkit, seperti mana yang diharapkan oleh mereka.
“Ada apa yang berlaku menyebabkan kapal kita terhenti, Amirul?” soal Eman.
“Ada asteroid kecil sebesar manusia menghentam kapal angkasa kita. Seseorang perlu keluar untuk melakukan pemeriksaan seterusnya membuat kerja pembaikian,” jelas Celia, selepas usai berbincang dengan Amirul.
“Kau tak nak pergi ke, Mirul?” soal Eman. Mirul terdiam, tidak tahu jawapan apakah yang mahu diberikan kepada ketuanya itu. Dia tahu sudah menjadi tugasnya apabila berlaku kerosakan di luar kapal angkasa untuk memperbaiki. Tapi… baru sahaja tadi dia dapat berbual dengan ibunya yang sedang uzur di bumi… dia tak nak…
“Aku tak berani Eman…” jujur sahaja Amirul pada wkatu itu. Dia kenal benar Eman, lelaki itu bukanlah seorang yang panas baran macam Azim. Eman seorang yang penyabar, sesuai dengan tuntutan Islam. Orang sebeginilah yang dicari semua orang.
“Kenapa?” pendek soalan Eman.
“Ibu aku… uzur. Aku takut yang kalau sesuatu terjadi…”
“Tak apa. Kalau macam tu, biar aku yang ke sana, buat tugas kau. Azim, siapkan baju angkasawan dan alat kawalan untuk aku,” pintas Eman lalu terus sahaja memberi arahan. Azim terpempang. Tak akanlah…
“Kau dah gila ke, Eman?” soal Azim.
“Awak.. jangan! Saya dah janji dengan Sha yang…” Masitah terdiam. Perjanjiannya dengan Zeisha hampir sahaja bocor. Eman merenung wajahnya dengan perasaan curiga yang menggila. Masitah sempat menyelak rambut yang menutup matanya. Dia bertentang mata dengan Eman.
“Awak janji apa dengan Zeisha?”
Masitah berjanji yang dia tidak akan membuka mulut. Rahsia Zeisha harus dipegang rapat, amanah Zeisha kepadanya. Eman menghampirinya – dalam keadaan yang terapung. Apa yang disembunyikan oleh Masitah?
“Awak janji apa? Tolong beritahu saya!” Nada suaranya sedikit tinggi, namun kemarahannya. Baginya perbuatan Masitah dan Zeisha itu seakan-akan menikamnya dari belakang.
“Awak.. Zeisha beritahu saya tadi yang dia cuma ada 3 bulan lagi masa untuk hidup. Dia ada ketumbuhan di paru-paru. Dia minta saya jaga awak, dia tak nak awak pun akan pergi secepat dia!” Setelah didesak berulang kali oleh Eman, akhirnya rahsia yang cuba disembunyikan darinya terbongkar jua. Tak akanlah.. Zeisha…
Tangan Eman menggigil. Azim lantas menoleh ke arah Amirul sambil melontarkan pandangan menikam. Tanpa membuang masa, sebuah tumbukan hinggap di pipi Azim. Sebuah lagi dan sebuah…
“Berhenti!” Zul berteriak. Eman sedang tenggelam di dalam dunainya sendiri. Zeisha sakit? Tiga bulan sahaja? Jadi, kemungkinan besar tadi merupakan saat terakhir buat dia berjumpa dengan Zeisha? Tidak… Ya Allah, tolong bangkitkan aku dari ujian kau ini…
Eman ialah anak luar nikah, budak pungutan yang dijumpai di masjid. Anak haram orang panggilnya. Seorang penjaga masjid yang miskin lagi uzur telah mengambilnya dengan besar hati sebagai anak angkat. Teringat lagi bagaimana cerita Pak Hidayat mengenai kisahnya ditemui dalam keadaan yang berlumuran darah dengan kan batik yang bercompang-camping koyaknya. Bahkan tali pusatnya masih ada. Dari usia yang sekecil itu lagi, dia tidak pernah kenal siapa ibu dan ayahnya. Tapi, dia mempunyai pengajaran yang berharga, kesusahan itu diambilnya sebagai pembakar semangat untuk menapak dengan lebih tinggi dalam dunia yang penuh pancaroba ini. Baik sahaja dari sekolah, dia akan membantu ayah angkatnya, Pak Hidayat bekerja mencari besi buruk. Kerja sebagai penjaga masjid tidak memadai untuk menampung belanjawan hidupnya. Namun, tidak pernah sesekali dia melihat Pak Hidayat merungut, bahkan senyuman palsu mampu diukirkan oleh orang tua kerepot itu. Pada usianya mencecah 17 tahun, baru sahaja menghabiskan SPM, Pak Hidayat menyambut pangilan ilahi, pergi ketika usia mencecah 80 tahun. Saat itu, dia menangis semahu-mahunya, namun dia percaya itu ialah ujian untuknya. Sekali lagi tuhan mahu mengujinya dengan berita mengenai bakal menghilangnya satu-satunya orang yang disayanginya di dunia, Nurul Zeisha, gadis yang banyak membantunya sejak zaman perskolahan lagi. Walaupun Zeisha anak orang kaya, perbezaan darjat tidak pernah menghalang dia dari bergaul dengan anak pungut seperti Eman.
Celia tahu benar kisah hidup Eman yang penuh ranjau itu. Dia menangis melihat Eman. Lelaki itu memang seorang yang tabah. Tidak sedikit pun ujian yang tuhan padanya mampu menggoyahkan semangatnya, bahkan membuatkan Eman bertambah kuat. Eman bangkit lalu mengesat air matanya. Dia menghampiri Azm dan Amirul yang sedang bertumbuk itu.
“Sudahlah kamu berdua! Aku yang akan pergi. Jangan risau.. Masitah… sampaikan pada Zeisha kalau dia masih hdiup lagi dan aku akan pergi nanti, aku sayangkan dia!” Masitah terpempang. Azim dan Amirul yang sedang bertumbuk tadi terkesima dengan keputusan ketua mereka itulah. Zul menghampiri Eman lalu meletakkan tapak tangannya di atas bahu Eman.
“Kau serius, kawan?” soal Zul. Eman mengangguk. Dia tekad.
“Tak akanlah secepat ini keputusan yang kau buat?” Zul masih cuba menyakinkan Eman bahawa masa yang digunakan oleh lelaki itu terlalu pendek untuk membuat keputusan sebesar itu. Eman mengangkat tangannya, menepis tangan Zul membuatkan Zul tergamam. Eman benar-benar nekad. Isyarat jarinya ditujukan kepada Azim, membuatkan Azim mengerti yang jejaka itu meminta baju sut angkasawan yang akan digunakan ketika diluar sana. Bergegas Azim ke bilik sut dalam keadaan terapung-apung yang baginya sangat meletihkan buat masa itu. Masitah sempat menangkap air mata yang menitis membasahi pipi Eman. Eman berlalu pergi dari situ, meninggalkan rakan-rakannya yang lain kelihatan lumpuh dengan situasi yang menggamit hati.
***
Eman sedang duduk di atas kerusi di bilik sut, bersendirian sebelum dia sendiri menempah keranda angkasanya. Dia meraup peluh yang membasahi, benarkah keputusan yang diaturnya sebentar tadi? Emosi yang merajai diri tampaknya senjata beracun yang sedang memakan dirinya… Dia tersepit antara jalan yang bercabang. Aku ialah anak Adam yang sangat lemah di alam ciptaannya. Aku kerdil, Ya Allah. Sekuat mana pun aku, aku sangat takut akan kematian itu tuhan.. keindahan dunia belum puas aku kecapi…
Zul masuk ke dalam bilik sut, melihat Eman yang sedang termenung jauh, meneroka imaginasinya sendiri. Senyuman terukir pada wajah jeajaka yang bakal mencecah usia 45 tahun ini. Eman baginya masih muda, mentah lagi untuk menongkah arus dunia yang berpanca ini. Dia duduk di sebelah Eman.
“Anak muda..” Panggilan yang sudah biasa dituturkan untuk membahaskan Eman, membuatkan jejaka itu tersentak. Dia menoleh ke arah Zul, lelaki yang tidak dimamah usia itu, masih awet muda dan kacak. Maklumlah, lihatlah isterinya, bekas model yang cantik jelita.
“Ya?” perlahan suara Eman.
“Kenapa ni? Cerita kat abang… insyaallah abang boleh tolong,” balas Zul.
“Abang… betul ke keputusan yang saya buat ni? Eman melahirkan perasaan curiganya. Dia tidak kisah untuk berkongsi dengan Zul kerana hanay lelaki itulah tempat dia meluahkan apa yang sedang berlaku pada dirinya.
“Ikut kata hati kau… percaya jiwa kau dan banyakkan berdoa pada Allah,” ringkas sahaja jawapan Zul itu. Eman terdiam, lalu tunduk merenung lantai. Peluhnya sekali lagi mengalir di pipi. Tiba-tiba, dai bangkit.
“Kata hati saya memberitahu bahawa Eman ialah nadi serta nyawa kapal ini. Kalau ketuanya pengecut, alamatnya semua akan menjadi ranap kelak. Dia menarik habis zip bajunya lalu keluar dari situ sambil memegang penutup kepalanya. Tangki oksigen, alat kawalan automatiknya di luar kapal angkasa semuanya sudah kelihatan bersedia. Tidak lupa juga fon telinga kecil yang dipakai sebagai alat komunikasi dengan rakan-rakannya yang lain.
Semua mata melihat Eman melangkah dikoridor kapal angkasa yang bergraviti sifar. Sut yang dipakai oleh Eman memberi kuasa graviti buatan manusia untuk membolehkannya berpijak di kawasan yang tidak punya graviti.
“Semoga berjaya..” Azim menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Eman, sedikit berterima kasih apabila ketuanya itu sanggup mengambil alih tugas yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mati. Eman membalas huluran tangan Azim tadi, langsung tidak kelihatan perasaan benci atau dendam pada raut wajah sebaliknya wajah Eman berseri-seri luar biasanya.
Di pintu keluar, rakan-rakan Eman yang lain memerhatikan jejaka itu dengan renungan sayu berbaur simpati. Mereka tahu apabila Eman sudah tekad, tiada apa dapat hentikan lelaki itu kecuali Allah sahaja.
Eman menyarungkan penutup kepalanya yang separa sfera dan diperbuat dari plastik itu.
“Eman, aku sayangkan kau!” teriak Masitah. Biarlah apa yang orang cakapkan, dia tidak mahu Eman pergi tanpa mengetahui bahawa ada orang lain yang menyayanginya. Eman yang baru sahaja berkira-kira mahu melompat keluar tergamam apabila mendega jeritan Maitah itu.. tapi tugasnya lebih penting.
***
Kaki mereka menapak di atas sebuah tempat baru. Masitah sekadar tersenyum sambil menggengam pasir Marikh. Zul melaungkan azan, biarlah dia orang pertama yang melaungkan panggilan suci lagi agung itu di tanah itu.
“Kita dedikasikan kejayaan kita buat Eman Abdullah, semoga beliau bahagia di sana!” kata Azham di hadapan kamera yang bersiaran langsung ke bumi. Azim dan Amirul tersujud di tanah Marikh dalam masa yang sama air mata mereka menitis. Nikmat yang tidak dapat dibayangkan. Perjalanan yang mengambil masa satu tahun setengah akhirnya telah membuahkan hasil.
Eman? Dia terkorban ketika membaiki enjin dari luar kapal angkasa. Enjin siap diperbaiki tetapi sut angkasanya tiba-tiba gagal berfungsi, menyebabkan dia pergi awal. Tempoh tamat sut itu hanya selama dua jam, tetapi Eman telah menggunakannya selama 4 Jam. Celia menangis kegembiraan.
Sejak hari itu, Eman dikenang dalam sejarah sebagai seorang hero dan wira. Dia telah tekad mengatur pengorbanan tinggi bagi menjunjung nama Malaysia di mata dunia. Kebetulan detik mereka tiba di Marikh itu tepat pada hari kemerdekaan negara kita.
“Kami warga kapal Al-Buraq mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan buat penduduk Malaysia, dan tidak lupa juga kepada penduduk dunia. Hari ini, manusia telah membuat lonjakan paradigma dalam meningkatkan lagi keupayaan kita,” Azham, selaku ketua baru Al-Buraq memberikan ucapannya. Seharusnya Zul yang mengambil alih tugas Azham, tetapi lelaki itu menolak.
100 tahun kemudian, tempat di mana mereka menjejakkan kai telah dinamakan sebagai Koloni Eman, kawasan penempatan manusia di Marikh. Nama Eman akan tersemat sebagai muslim sejati.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Cerpen : Perlumbaan Ke Marikh”
  1. siti azreen says:

    wow..
    Sangat kreatif n sangat islamik.. n sangat menyentuh hati..

  2. kay says:

    1 fantasi yg penuh dgn ciri2 keislaman…tahniah!!

  3. iQa says:

    lUv tis stOry..
    tEknOlogi+Islamik..
    a vEry nice stOry
    :razz:

  4. far says:

    sangat bagus!! tahniah buat penulis.. :smile:

  5. aishah91 says:

    :razz: :razz: :razz: :razz:
    bgus3. tak pernah saya baca cerpen fantasi yang islamik macam ni. anda menerapkan nilai2 islam dalam cerpen anda, teruskan berkarya penulis. saya akan sentiasa menantikan karya2 anda yang seperti ini. :smile:

  6. rina says:

    salam,

    klu korang minat cerita psl perlumbaan ke marikh, baca novel Misi Ke Marikh yg berada di pasaran skg karya Nazehran Jose Ahmad..

    pls visit his website: http://www.nazehranjoseahmad.com

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"