
Novel : Akukah Juwita 2, 3
3 August 2010
Kategori: Novel
1,231 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : SWEET BUTTERFLY
BAB 2
Berdebar pula dada sebaik tiba di halaman rumah berwarna merah bata. Debarnya makin kuat aku rasakan ketika kaki melangkah setapak demi setapak. Namun kerana sepasang selipar yang telah menjadi pengalas kakiku semalam, aku gagahkan juga kaki yang semakin berat. Masakan mahu dibuat harta selipar yang aku pinjam semalam, nanti orang kata kemaruk pula. Selipar jepun pun nak memunya! Hah, lantak! Aku datang bukan nak jumpa dia, aku datang hanya nak pulang selipar dan kuih bakar yang ku bawa untuk mereka sebagai balas jasa.
“Terjengah-jengah ni kenapa? Oh, nak pastikan tak salah rumah lagi ke?” Tiba-tiba suara itu mengejutkan aku. Aku segera menoleh, Gaban yang berdiri di belakang aku memerhatikan dengan muka selamba. Entah dari manalah dia datang, sedangkan tadi di ruang laman tak ada orang.
“Nak pulangkan selipar.” Ujarku laju macam robot sambil menghulurkan selipar yang telah aku masukan ke dalam beg plastik. Gaban mengerutkan dahi sebelum menyambutnya.
“Yang dalam bekas tu apa? Bau macam kuih bakar?” Aik? Tahu saja Gaban ni yang aku bawa kuih bakar. Tapi aku bawa untuk tuan rumah, bukan untuk dia.
“Ini untuk tuan rumah.” Kataku pendek.
“Akulah tuan rumah.”
“Pembetulan, kau anak tuan rumah.” Aku membetulkan ayat Gaban.
“Alah samalah tu.” Aku mencebik. Ceh! Tak malu betul dia ni, semalam bukan main eksyen, hari ni dengan tak malunya nak merasa juga kuih buatan aku. Melihatkan reaksi Gaban yang macam tak sabar nak merasa kuih bakar aku, bekas berwarna jernih yang menampakkan isi dalamnya aku berikan padanya. Bersinar-sinar wajah si Gaban, macam dapat Ferrari pulak.
“Kirim salam Mak Yam,” pesanku pada Gaban namun tiada sambutan. Gaban terus sahaja masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan aku lagi. Samdol kau Gaban! Dapat kuih terus lupa orang, bukan nak cakap terima kasih ke apa. Hampeh betul!
“Timun!” Langkahku segera mati. Darahku tiba-tiba menyerbu terus naik ke kepala. Pantas aku menoleh, memandang pada Gaban yang tengah tersengih.
“Terima kasih, esok kalau buat lagi hantar sini.” Dengan riangnya Gaban berteriak dan aku hanya mampu menahan rasa kerana tak sempat aku menjawab, Gaban telah masuk semula ke dalam rumah. Hish! Apa punya manusia, orang bagi rezeki dia balas dengan menyakitkan hati. Timun! Benci betul dengan panggilan itu.
“Hah, Minah. Dari rumah Mak Yam ke?” Aku menoleh, Mak Yam yang berdiri di sisi aku tidak perasan langsung bila kehadirannya di situ. Ini semua kerana Gaban yang menyakitkan hati, sampai orang lalu di sebelah aku tak sedar.
“Ha ah, kita pulangkan selipar semalam dan ada sikit kuih bakar untuk Mak Yam,” balasku sambil memaniskan wajah. Nanti kalau anak dara muka masam, kata mak bapak tak tahu ajar anak berakhlak sopan.
“Oh, ya ke? Haa, baguslah tu. Aqil tu dari semalam suruh Mak Yam buat kuih bakar, katanya rindu dah lama tak makan. Ni kamu dah bawakan senanglah Mak Yam.”
“Alah Mak Yam, dia nak makan hasil tangan Mak Yam. Mana boleh sama dengan kita buat, yang kita buat tak berapa sedap.” Sengaja aku merendahkan diri, sedangkan sudah ramai juga orang kampung kata kuih bakar aku sedap. Bukan nak puji diri sendiri atau angkat bakul tapi dah itu kenyataannya.
“Sama aja. Ni, Mak Yam nak bagitau, esok lepas maghrib Mak Yam buat kenduri. Doa selamat untuk Aqil, kamu datanglah ya. Tadi Mak Yam dah bagitau mak kamu tapi takut dia lupa, ingatkan dia tau. Jangan tak datang pula.” Baru hari ini aku lihat Mak Yam ni mesra orangnya, bercakap sambil menyentuh bahuku macam dah berkenan aja nak buat aku jadi menantu. Tapi siapa pulak yang nak kahwin dengan anaknya yang perangai macam hantu tu. Eeeee….selisih!
“Ya lah Mak Yam. Mak Yam tumbang lembu ke?” Usikanku disambut tawa mesra Mak Yam.
“Tak adalah sampai begitu, lainlah kalau dapat menantu nanti,” balas Mak Yam sambil ketawa. Gembira benar aku tengok Mak Yam sejak kepulangan anak kesayangannya itu. Muka tu berseri-seri sungguh macam baru kena pinang saja lagaknya. Suka hati kaulah Mak Yam, asalkan bahagia. Aku saja yang makan hati dengan kepulangan anaknya. Ingatkan tak ada lagi panggilan Timun, rupanya sengketa lama memang tak boleh dipendamkan. Kalau aku tahu Gaban tu mengidam sangat nak makan kuih bakar mau aku letak racun tikus. Biar dia rasa, baru puas hati aku.
“Kenapa muka berkerut seribu tu sayang?” Aku menoleh, sekali lagi aku tidak sedar ada orang yang lalu di sebelah, hingga boleh pula memerhatikan reaksi aku.
“Tak ada apalah,” jawabku acuh tak acuh. Si Halim ni satu lagi, mana aku pergi asyik nampak saja muka dia. Bosan betul aku. Pastu tak sah kalau tak panggil aku sayang, geli betul aku mendengarnya. Tapi bila difikir-fikirkan, sayang tu lebih manis di dengar dari Timun. Namun kedua-dua lelaki itu buat aku menyampah walaupun si Gaban tu sebenarnya tampan dan menarik perhatian.
“Sayang ni, kalau tak marah tak boleh ke?” Tanya Halim lembut tetapi buat aku meluat. Miang betul lagaknya, macam orang kemaruk nak berbini saja. Suruh kahwin dengan Katipah anak Pak Agus tak mahu, kata Katipah tak cun macam aku. Memilih betul, macamlah dia tu handsome sangat. Apek jual sayur pun lagi handsome daripada dia.
“Eee, menyampahlah kau ni. Sayang, sayang! Berapa kali aku nak cakap, aku tak sukalah kau panggil aku macam tu. Tak paham bahasa ke? Ketuk dengan terompah baru tau.” Marahku untuk ke berapa kali pun aku tak tahu. Setiap kali dia panggil aku sayang, setiap kali itulah aku marah padanya. Tapi dia tak pernah serik, nak kata bodoh, SPM lulus juga. Entahlah, spesis apa si Halim ni pun aku tak tau. Tak reti orang tak suka.
“Jangan ketuk dengan terompah, nanti benjol. Ketuklah pintu hati barulah best.”
“Wak lu!” Balasku sambil mengorak langkah. Tak kuasa aku nak layan mamat tiga suku ni.
“Sayang, mimpikan aku dalam mimpimu!” Laung Halim. Aku sekadar mencebik. Tak ingin malah tak sudi langsung nak mimpikan kau. Jangan kata mimpi, bayangan kau pun aku tak nak lihat.
*********
Aku hanya memerhatikan telefon bimbit yang berdering sejak tadi. Nombor yang aku tidak kenali terpamer di skrin telefon buat aku berbelah bagi hendak menjawab panggilan itu. Tak ada sebab aku takut nak menjawab panggilan itu, lagipun aku bukannya orang yang lari dari pemungut hutang tapi sudah serik diganggu dengan panggilan yang tidak dikenali. Bukan sekali dua aku terima panggilan sebegitu, sampai aku rasa macam nak tukar sahaja nombor telefon. Tapi mengenangkan ramai yang dah tahu nombor telefonku, tak jadilah nak teruskan niatku itu. Deringan telefon sudah tidak kedengaran lagi tetapi beberapa saat selepas itu, satu pesanan ringkas aku terima. Sapalah hamba Allah ni. Aku membuka pesanan itu dan secara automatiknya, terus terbeliak mataku melihat pesanan yang aku terima itu.
Timun! Knp x jwb?
Lah, mana Gaban tahu nombor telefonku? Ah, kacau. Tak cukup-cukup dengan siang, sampai malam begini pun masih nak ganggu hidup aku. Aku tak tunggu lama segera aku balas pesanannya.
Ko nak apa Gaban? Menyibuk ganggu orang saja.
Tak lama kemudian Gaban dan aku berbalas pesanan.
Gaban : Ko dah tidur ke? Baru pukul 9. Patutle smpi sekarang tak de orang nak pinang ko.
Aku : Sapa kata aku tido? Aku tgh baca yasin, tak macam ko, jadi antu asyik nak kacau org.
Gaban : Sebab tu ler aku kacau ko, tak de dalam sejarah antu kacau antu.
Aku : Ko nak apa? Ko tak leh tido sebab teringatkan aku ke?
Aku terus saja ketawa mengkekek, rasa lucu pula bila mengusik si Gaban yang konon nampak kental begitu.
Gaban : Perasan! aku bukan nak ngurat ko tapi nak sampikan pesanan. Mak aku nak kuih bakar untuk kenduri esok.
Pantas aku mencebik, padahal bukan aku tak tau yang sejak dari dulu dia taruh perasaan pada aku. Aku saja yang malas nak layan. Tak mainlah cintan cintun orang sekampung! Zuriat tak berkembang, pusing-pusing muka yang sama. Tak lama lepas itu aku membalas lagi pesanannya.
Aku : Suh lah orang lain buat, asal aku lak? Mak @ ko yang nak kuih aku?
Gaban : Perasan lagi. Mak aku ler yang nak. Ko ingat kuih ko sedap sangat ke?
Aku : kalau tak sedap orang tak mintak!
Gaban : lagi-lagi nak perasan! Suka ati ko. Jangan lupa apa yang mak aku pesan.
Aku : tengoklah kalau aku senang.
Dan selepas itu tiada lagi pesanan dari Gaban, mungkin Gaban bosan atau sakit hati nak membalas pesanan aku. Tapi aku puas, dalam pada dia asyik kenakan aku, dia terkena juga. Lebih-lebih lagi kini aku tahu yang dia kemaruk dengan kuih bakar aku. Baru dia tahu, kuih yang aku buat tu sedap. Itu baru kuih bakar, belum yang lain-lain lagi. Mau hari-hari dia tempah tak pun kalau dah tak tahan sangat, dipinangnya aku jadi isteri kerana terpaut dengan masakanku. Kata orang, kunci tawan hati suami, melalui masakan. Masakan isteri kalau sedap, tentu suami tak mahu makan luar. Hahahaha! Aku ketawa sendiri. Berangan sebelum bermimpi.
“Kenapa pulak kau gelak macam tu?” Tanya emak yang berdiri di muka pintu bilik. Aku segera menoleh dan menggeleng.
“Jangan kau buat lagi macam tu, meremang bulu roma mak ni. Macam pontianak!” Kata mak sebelum berlalu. Aku sekadar tersenyum dan melihat lagi pesanan-pesanan yang aku terima dari Gaban tadi.
**********
Ikutkan hati memang tak mahu buatkan kuih bakar yang Gaban minta tapi mengenangkan Mak Yam, aku buatkan juga. Ketika tiba di rumah Gaban selepas maghrib, ramai tetamu telah membanjiri di kediaman itu. Malah siap ada balai, macam orang buat kerja kahwin pula. Tapi apa nak dihairankan kerana keluarga Gaban antara orang yang senang di kampung ini. Malah adik-beradik Gaban semua berjaya, kakak sulungnya berjawatan besar di sebuah institusi kewangan. Abangnya pula seorang pensyarah dan kakaknya yang seorang lagi berkahwin pula dengan seorang arkitek, anak orang berada dengarnya tokoh koprat sebab itu tidak hairan kalau punya firma sendiri. Gaban pula seorang arkitek lanskap, jadi tak hairanlah keluarga Gaban dilimpahi kesenangan, anak-anak berjaya, ibu bapa bahagia. Sedangkan keluarga aku, hanya keluarga biasa saja. Abang aku hanya seorang penyelia di sebuah kilang proses minyak masak, aku pula masih menganggur dan adikku Juriah, masih belajar di kolej swasta. Untung saja abah seorang guru pencen, ada juga duit pencen untuk dibuat belanja. Tapi abangku, Rosman ada juga membantu, walau tak banyak tapi cukuplah untuk kami sekeluarga. Malah belanja Juriah dia juga yang tanggung. Aku mengeluh, melepaskan sesak di dada. Bila agaknya aku boleh membahagiakan keluargaku sepertimana bahagianya keluarga si Gaban.
“Assalamualaikum.” Aku segera mendongak. Gaban yang segak berbaju melayu memandang padaku tidak berkedip. Buat aku terpana seketika, menafsirkan pandangan Gaban yang redup lagi memikat itu. Entah mengapa pandangan Gaban kali ini tidak sama dengan semalam atau kelmarin. Kali ini pandangan itu mengusik hati dan meruntun jiwa, lemas aku jadinya. Segera aku membuka langkah, hendak masuk ke dalam rumah namun tanganku ditarik lembut oleh Gaban. Grrrrr, macam kena karen! Ya Allah, perasaan apa yang melanda diriku tika ini hingga seluruh tubuhku bergetar tatkala Gaban menyentuhku begitu.
“Nak satu, takut nanti tak sempat rasa dah habis pula.” Kata Gaban perlahan. Aku pula segera membuka bekas makanan dan ku hulur padanya. Apalah kuasa si Gaban ni sampai boleh aku menurut dengan mudah kehendaknya padahal tadi aku bercita-cita tak mahu berikan padanya walau secubit.
Gaban mengambil sepotong, bukan sepotong tetapi tangan kirinya mengambil lagi sepotong. Macam budak-budak saja. Dan ketika Gaban melepaskan sebaris senyuman yang manis, aku jadi nanar. Buat aku lupa siapa dia dan diriku, lupa pada perang mulut dan ejekan nakal sebelum ini. Semuanya kerana tingkah Gaban yang berlainan malam ini.
“Nanti kalau ada lebih, tinggalkan sikit ya?” Lembut sekali suara Gaban hingga dalam tidak sedar aku mengangguk setuju. Gaban tersenyum lagi, kemudian melangkah meninggalkan aku yang termangu sendirian.
“Heh, kenapa tak masuk lagi?” Tiba-tiba aku dikejutkan, terpinga-pinga aku seketika. Apa sudah jadi dengan diriku, bagaikan baru tersedar dari pukau.
“Kenapa ni?” Soal emak yang merenung kehairanan padaku. Aku sekadar menggeleng, kemudian cepat-cepat masuk ke dalam rumah. Di ruang dapur, ramai betul kaum hawa sedang berbual mesra sambil tangan ligat membuat kerja. Aku yang baru masuk menjadi tatapan seketika makcik-makcik yang menyedari kehadiranku. Aku sekadar memberi salam dan terus mendapatkan Mak Yam.
“Mak Yam,” panggilku sambil menyentuh lembut bahunya yang sedang melayan tetamu. Mak Yam menoleh kemudian tersenyum lebar.
“Kenapa lambat?”
“Maaflah, hari ni kuih bakar buat hal pulak. Tapi bolehlah dimakan cuma tak sesedap selalu.”
“Tak apalah, Aqil tu bukan kisah sangat yang penting ada kuih bakar. Dia yang nak sangat kuih Minah ni.” Aku mengulum senyum. Hah, kan benar tekaanku. Si Gaban tu yang mengidam sangat kuih bakarku. Eleh, si Gaban nie, kata mak dia yang nak konon. Padahal dia yang dah angau dengan kuih bakar aku.
“Nanti tolong simpankan sikit untuk dia sebelum hidang ya. Takut nanti dia tak sempat merasa pula,” pinta Mak Yam. Aku sekadar mengangguk lalu segera mengasingkan sedikit kuih bakar untuk Gaban. Aku tersenyum sendiri, tak sangka Gaban boleh minat kuih aku. Agaknya kerana itu Gaban bersikap baik padaku tadi, siap beri salam lagi. Kalau tidak jangan kata nak berlembut, nak tersenyum pun payah sekali. Mungkin sudah lama Gaban menanti kedatanganku, mungkin juga hatinya resah melihat aku tidak muncul-muncul. Gaban, Gaban, dah jauh kau merantau, kuih bakar aku juga yang kau tunggu.
BAB 3
Tetamu makin beransur, suasana yang tadi meriah mula surut riuhnya. Aku masih lagi membantu Mak Yam mengemas, malah pinggan mangkuk banyak juga berlambak tidak berbasuh. Mengenangkan pesanan emak sebelum ke mari, aku gagahkan hati membasuh pinggan mangkuk seorang diri. Makcik-makcik dan anak dara yang manis bergaya tadi hanya datang menunjukkan fesyen terkini. Tidak pula mereka suruh anak dara mereka membantu apa yang patut, malah boleh pula mereka berkumpul, asyik bercerita tentang Gaban. Masing-masing asyik dan teruja dengan Gaban. Aku seorang saja yang buat tak endah tapi dalam masa yang sama aku turut mendengarkan perbualan mereka. Ada yang kata, Gaban makin tampan, makin segak, berkarisma, lelaki melayu yang diidamkan dan bermacam-macam lagi. Ada pula yang dah jatuh hati padanya. Alahai, memang malam ini malam Gabanlah. Semuanya memuja dan teruja. Aku hanya tenang dan sibuk membantu apa yang patut. Emak pula tak habis-habis mengerahkan itu dan ini, macamlah kenduri malam ini kenduri di rumahnya. Aku pula macam orang gaji saja.
Tapi dalam sibuk-sibuk tu sesekali pandangan aku dan Gaban bersatu. Gaban kerap memandangku dan aku dapat rasakan sesuatu yang berlainan cuma tak pasti apakah itu. Kemudian kami buat-buat tak nampak sedangkan kami sudahpun bertentang badan. Ah, kenapalah malam ini lain benar perasaanku. Hampir hilang rasa geram dan marahku terhadapnya. Adakah aku yang perasan atau sebenarnya dia yang cuba menarik perhatianku dalam diam. Buang sebentar sifat nakal dan egonya untuk buat aku tenggelam seketika. Gaban, kenapa dengan engkau?
“Tak apa, biar aku angkat. Lagipun berat ni.” Kata Gaban sambil mengangkat sebekas besen yang berisi pinggan yang telah siap dicuci. Aku sekadar memerhati dan ketika Gaban berpaling, cepat-cepat aku mengangkat besen yang kecil berisi cawan pula.
“Sini, biar aku yang buat.” Pinta Gaban. Aku jadi serba salah tetapi aku biarkan sahaja besen dari tanganku disambut olehnya.
“Kau dah makan?” Soal Gaban. Aku sekadar menggeleng. Macam mana aku nak makan, baru saja nak melabuhkan punggung, aku macam artis popular dipanggil ke sana ke mari untuk membantu apa yang patut. Hilang rasa lapar dek kesibukan membuat kerja.
“Marilah makan sekali, lagipun dari tadi kau tak duduk langsung,” ujar Gaban. Apa sudah jadi dengan kau Gaban? Kenapa layan aku begini baik kerana aku takut sekali dengan kebaikan yang kau berikan walaupun memang itulah yang aku hajatkan selama ini. Aku bimbang andai kebaikan yang dihulurkan akan membeli jiwa.
“Hah, mari makan Minah. Kesian, dari tadi tak berhenti buat kerja,” pelawa Mak Yam yang telah menyediakan sedulang makanan. Naik segan pula aku bila aku disuruh makan dengan Gaban, berdua saja pula tu. Ahli keluarga Gaban, mak dan abah aku hanya jadi penonton walau dalam masa yang sama mereka sedang berbual mesra.
“Makanlah,” pelawa Gaban setelah menghulurkan pinggan padaku. Aku pula malu-malu macam pengantin baru. Bila makan berdua dengan Gaban begini buat selera hilang entah ke mana. Masakan yang sedap dan enak pun jadi biasa di mataku. Sudahnya aku hanya makan sedikit, buang bahasa, tak mahu tuan rumah terasa dengan tingkahku. Tapi Gaban lain pula, berselera sungguh dia makan. Hampir habis lauk dalam pinggan dia sental, kalau aku ikut sekali rentaknya tentu tak cukup makanan yang ada itu. Mau berebut pula.
“Sikit saja kau makan? Tak sedap ke?” Tanya Gaban sebaik selesai makan. Huh, hampeh punya Gaban. Dah licin lauk kau bedal baru nak tanya aku.
“Kenyanglah,” jawabku pendek sambil mengemas pinggan kami.
“Kenyang? Makan apa?”
“Makan nasilah.”
“Makan nasi apanya? Tak tercuit pun, patutlah kudut. Nanti kecut siapa yang susah?” Gaban mula kembali pada kejadian asalnya. Ingatkan malam yang indah ini akan berpanjangan, rupanya tidak. Gaban tetap Gaban!
“Apa yang kau nak susah, yang kecut aku bukan kau,” balasku sambil menjeling padanya.
“Aku ni berjiwa penyayang, tak sampai hati tengok orang yang tak cukup makan. Kalau kau kudut macam ni, aku takut, angin tiup kau terus melayang.” Aku mengetap bibir. Mahu saja aku membalas ayatnya itu namun disebabkan kak Anis memanggilku, aku pendamkan saja ayat di dalam hati.
“Minah nak kerja dengan kami?” Tanya Kak Anis. Aku pula ternganga seketika sambil memandang tidak percaya.
“Lagipun kami memang perlukan assistant, alah kerjanya bukannya susah, kerja-kerja admin, buat pesanan barang sambil tu assist team bila ada projek. Macam mana?” Cadangan Kak Anis benar-benar menarik minatku, bukan soal apa yang perlu aku buat tapi bayaran gajinya juga. Boleh tahan lumayan, kira rugi juga kalau ditolak.
“Aqil pun kerja dengan kami sekali.” Ayat kak Anis tuturkan itu yang melemahkan semangatku. Serentak itu aku membuang pandangan pada Gaban yang duduk tidak jauh dari kami. Kenapa mesti ada Gaban? Apakah aku sudah ditakdirkan, akan serumpun dengannya. Tapi nak salahkan Gaban memang tak wajar, syarikat itu kepunyaan abang iparnya dan kak Anis, tentulah adiknya si Gaban tu diberi peluang terlebih dahulu.
“Nantilah kak, kita fikirkan,” balasku perlahan.
“Nak fikirkan apa lagi? Akak dengar Minah dah lama menganggur, tak kan tak puas lagi berehat?”
“Bukan macam tu, tapi,” ayatku mati apabila dipotong oleh Mak Yam.
“Tak payah bertapi-tapi Minah. Bukan senang kak Anis kau ni nak offer macam ni. Padahal anak Maimunah, Rohaya tu sudah lama risik-risik kalau kak Anis kau ni mahukan pekerja.” Aku semakin serba salah, lebih-lebih lagi bila terpandangkan wajah emak yang macam mengharap aku akan terima tawaran itu. Dan saat pandanganku singgah pada Gaban, dia menunjukkan kegelisahan. Apa hal pula Gaban yang gelisah? Dia takut aku terima tawaran itu kerana tidak senang dengan kehadiranku ke?
“Nanti Minah boleh duduk dengan akak, senang sikit.”
“Eh, tak apalah kak. Kalau betul pun kita nak kerja nanti, kita akan duduk dengan Naja.” Cukuplah dengan tawaran kerja tu, tak mahulah aku menumpang dengan mereka, lagipun tentu aku tidak betah kerana si Gaban pasti tinggal sebumbung dengan kakaknya. Mau nanti aku jadi kuli batak Gaban, nanti hari-hari dia suruh aku buat kuih bakar pula.
“Naja mana pulak?” Soal Mak Yam.
“Alah, anak arwah abang Semanlah. Kan kawannya Minah sejak kecil.” Mak tiba-tiba bersuara. Mak Yam mengangguk perlahan, mungkin sudah mula mengingati teman baikku itu.
“Jangan tak jadi tau, kalau boleh akak nak Minah cepat masuk kerja.” Aku sekadar tersenyum bila Kak Anis terus menunjukkan kesungguhannya. Akan ku fikirkan semasak-masaknya malam ini. Aku tak mahu tersalah langkah, tak mahu terlalu mudah menerima pelawaan orang tanpa memikirkan baik buruknya. Lagipun kalau sudah banyak sangat makan jasa orang, susah nanti hendak membalasnya.
************
Sebaik pulang, aku terus merebahkan diri di atas tilam yang tidak berapa empuk. Seluruh tubuh terasa sengal dan sangat letih. Jam di dinding pun sudah menunjukkan ke angka 12. Malam yang ku kira sangat panjang. Aku cuba melelapkan mata, namun otakku ligat berputar, memikirkan tentang tawaran yang ditawarkan oleh kak Anis. Separuh hati, sangat teruja kerana aku pun dah lama menganggur tetapi separuh hati lagi terasa amat berat hendak terima. Semuanya kerana Gaban. Aku meraba-raba di dalam saku baju kurung, apabila telefon bimbitku bergetar menandakan aku menerima pesanan ringkas. Entah dari siapa malam-malam buta begini. Kadang-kadang tu geram juga kerana acapkali menerima pesanan ringkas dari ejen pemberi pinjaman wang segera atau bahasa ringkasnya along. Dalam bahasa cina pula tu. Namun berkerut dahiku seketika kerana pesanan itu bukan dari along, tetapi dari Gaban. Apa dia mahu malam-malam begini?
Mana kau letak kuih bakar?
Aku tersenyum sendiri, lucu kerana Gaban boleh teringat kuih bakar di malam-malam begini. Nampaknya dia mesti pekena kuihku baru boleh tidur barangkali. Aku segera membalas pesanannya.
Dalam gerobok ler.
Namun selepas itu, telefon bimbitku sepi. Mungkin saat ini Gaban tengah melantak dengan lahapnya. Timbul pula niatku hendak mengusiknya lalu satu pesanan aku kirimkan padanya.
Sedapkan kuih yang aku buat smpi kau tercari2-cari
Dan sesaat selepas itu pesananku berbalas, aku membacanya dengan tergelak-gelak.
Sedap agaknya sebab Comot dah bedal dulu. Aku tak dapat makan.
Ada ke patut Comot boleh makan kuih bakar? First time aku dengar seekor kucing makan kuih. Apa punya jenis kucinglah tu. Yang peliknya macam mana Comot boleh dapat kuih bakar tu sedangkan ianya dalam bekas yang bertutup. Hmmm, kesian Gaban. Mesti tak boleh tidur malam, terkenang kuih bakarku. Nasib baik Gaban sempat merasa sepotong dua tadi, kalau tidak pasti ngences!
Kalau nak, kat umah ada sikit.
Kasihan pula aku pada Gaban lagipun aku memang ada simpan sikit kuih itu. Ingat nak buat sarapan esok tapi tak mengapalah kalau aku berikan pada Gaban. Esok kalau aku mahu, aku boleh buat lagi.
Jap lagi aku datang!
Wah, memang betul-betul kemaruk si Gaban ni. Sanggup malam-malam begini datang ke rumahku gara-gara mahukan kuih bakar. Aku segera keluar dari bilik dan ketika melewati bilik mak, aku secara tak sengaja mendengar perbualan mak dan abah.
“Macam padan je Aqil dengan Minah, kan?” Abah bersuara perlahan tapi masih dapat aku dengar dengan jelas. Dan pada itu, hatiku berdebar pula. Mau taknya, tak dapat aku bayangkan kalau Gaban jadi laki. Gamat jadinya, hari-hari terjerit pekik, sorang sebut Gaban sorang lagi panggil Timun!
“Kak Yam tu pulak nampak berkenan aja dengan Minah bang,” emak pula mencelah.
“Agaknya mereka memang suka dengan anak kita tak?” Abah menduga. Aku pula kecut perut. Padanlah Mak Yam bukan main ramah, malah layan aku macam ahli keluarga pula sedangkan dulu mukanya asyik mencuka. Aku terus ke dapur, tak mahu mendengar perbualan mereka lagi. Takut nanti aku yang pengsan pula.
Kuih bakar yang aku simpan, aku masukkan ke dalam bekas. Bekalan untuk si Gaban. Jahat-jahat aku, tak sampai hati pula nak biarkan orang meleleh air liur kerana kuih bakarku. Lagipun berkongsi rezeki akan diberkati. Telefonku berdering dan aku segera menjawabnya kerana aku sudah pasti siapa pemanggilnya.
“Ikut pintu dapur,” arahku sebelum mematikan talian telefon. Lalu pintu dapur aku buka dan Gaban telah berdiri tegak macam penunggu di muka pintu. Terkejut aku dibuatnya. Yang si Gaban boleh sengih aja. Agaknya dia lucu melihat reaksiku.
“Buat terkejut orang aja!” Marahku padanya namun Gaban sekadar mengulum senyum.
“Macam mana Comot boleh makan kuih tu?” Soalku sambil berpaling, menuju ke meja untuk mendapatkan kuih bakar.
“Si Embam yang bagi,” balas Gaban pendek.
“Pandai pulak Comot makan kuih.” Kataku sambil mendekati Gaban.
“Bukan setakat kuih, semua benda ditelan. Tolak batu dan kayu je.” Mesra Gaban melayan pertanyaanku. Mungkin juga kerana mahukan kuihku.
“Nah, nasib baik aku ada simpan sikit.” Aku hulurkan padanya kuih bakar dan Gaban tersenyum dengan riangnya.
“Oh ya, ini untuk kau. Ingat nak bagi tadi tapi lupa, ole-ole dari Australia.” Gaban menghulurkan padaku beg kertas yang sederhana kecil. Aku terkejut kerana Gaban sudi membelikan aku ole-ole dari sana. Tapi kenapa Gaban belikan ole-ole? Aku ni istimewa ke pada dirinya hingga dia masih ingat padaku walau berada di sana.
“Terima kasih,” ucapku, malu-malu kucing dan untuk bertentang mata dengannya saat ini, aku tak mampu. Entah mengapa aku tidak kuat, mungkin kerana rasa terharu atas ingatannya terhadapku.
“Aku balik dulu.” Aku mengangguk dan pantas menutup daun pintu. Semuanya kerana tersangat malu untuk memandangnya lagi. Berbunga-bunga hatiku seolah-olah ada taman yang indah di hadapan mata. Aku segera melangkah dan masuk ke dalam bilik. Dengan pantas tanganku memuntahkan isi yang ada di dalam beg kertas itu. Sehelai skaf berwarna ungu sangat indah dan lembut sekali. Aku tak pasti apa jenis material skaf itu tapi aku boleh samakan ia dengan sehelai sutera. Bau skaf itu juga sangat wangi, seolah bau lavender melekat pada skaf itu. Cantik sungguh hingga aku terus berdiri di hadapan cermin dan cuba melilitkannya di leher jinjangku. Memang sangat cantik dan makin terserlah keayuanku. Kalau Gaban nampak aku ketika ini pasti dia cair. Pasti dia tidak lena tidur dek teringatkan aku yang cun. Aku senyum sendiri, lalu membuka lilitan skaf. Aku berbaring sambil meletakkan skaf di atas muka, merasai kelembutan dan keharumannya. Sangat indah perasaan ini, hanya Tuhan saja yang tahu. Dan entah jam berapa aku terlena aku tidak tahu kerana asyik melayan perasaan.












