Novel : Akukah Juwita 6

18 August 2010  
Kategori: Novel

1,048 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : SWEET BUTTERFLY

BAB 6

Bukan senang nak cari kerja di kota besar ini. Walaupun banyak peluang pekerjaan, tapi nak mencari yang halal dan bersesuaian dengan kelayakan, memang payah. Sudahnya aku masih bergelar ‘penganggur terhormat’ di rumah Naja ini. Sebulan di sini, banyak temuduga yang telah aku hadiri. Semuanya mahukan yang berpengalaman. Orang yang baru habis belajar macam aku ni, hanya disenaraikan sebagai simpanan dan jika mereka tiada pilihan lain barulah aku dipanggil bekerja. Ah memang susah! Kalau orang baru tidak diberi peluang bekerja, sampai bila boleh dapat pengalaman. Kadang-kadang naik bosan aku, kan senang kalau awal-awal lagi mereka letakkan saja syarat kelayakan; mesti ada pengalaman kerja. Tidaklah orang baru sepertiku ini membuang masa.
Satu hal lagi, walaupun aku tinggal di apartment yang cantik dan moden, aku masih terasa sepi dan bosan. Tidak seperti di kampung, aku bebas hendak bergerak ke mana saja dan kalau bosan pun aku boleh berjumpa Jebon. Agaknya Jebon bagaimana sekarang? Aku tersenyum, kenapa Jebon yang terlintas di fikiranku saat ini.
“Wah sedapnya, kalau macam ni aku sanggup biarkan kau terus tak ada kerja.” Naja mengejutkanku, pantas aku menoleh padanya yang baru pulang. Belum apa-apa, dia sudah ke dapur melihat apa yang aku masak hari ini.
“Susah-susah kau jadi tukang masak aku aja lah. Tak payah aku makan luar, bukannya sedap pun makanan kat luar tu.” Omel Naja terus mencapai pinggan, menyenduk nasi dan lauk.
“Dah tahu makan luar tak sedap, masaklah sendiri,” ujarku sambil mendekati Naja. Naja mencebik dan segera duduk di ruang makan.
“Aku tak pandai masak, lagipun makan masakan sendiri tak sama sedapnya dengan makan masakan kau. Alah, kau tak payah kerjalah. Setakat makan pakai kau, aku boleh tanggung.”
“Banyaklah kau! Sampai hati kau nak jadikan aku bibik ya?” Usikku sambil menuangkan air ke dalam gelas untuk Naja.
“Bukan bibik tapi pembantu peribadi aku, boleh?” Aku tersenyum dan hanya duduk di hadapan Naja, memerhatikan dia makan. Bukan main berselera Naja makan sampai licin pinggan. Naja bingkas dan berlalu ke ruang dapur. Ingatkan dia ke dapur untuk cuci tangan, rupanya dia tambah lagi makanan dalam pinggan. Hish, hish, hish, apa nak jadi dengan dia ni. Serupa macam Jebon, kerjanya asyik makan tapi Jebon gemuk, Naja pula langsing dan tinggi orangnya tapi kuat makan. Sepatutnya model macam Naja, takut nak makan banyak, ini tidak, selagi apa ada di hadapan mata, semuanya dia sapu. Pelik betul aku, kuat makan tapi badannya tetap kurus juga.
“Aku nak bagitau kau ni, kawan aku punya kawan, nak pakai pekerja. Tak payah interview, kau pergi terus masuk kerja. Lagipun dia orang cuma nak kan kerani. Itupun kalau kau nak ler.” Ujar Naja. Aku tersenyum dan terus mengangguk.
“Naklah apa pula tak nak. Kerani pun tak apa, aku tau sekarang ni bukan senang nak dapat kerja. Kerani pun dah cukup baik.”
“Esok aku hantar kau.”
“Kalau dulu aku berusaha lebih keras sedikit, belajar hingga ke peringkat yang lebih tinggi tentu aku dah berjaya.” Keluhku perlahan.
“Aku ni lebih teruk dari kau, cuma ada SPM je. Boleh juga berjaya, yang penting kita kena berusaha dan rajinlah.” Celah Naja tidak setuju dengan pendapatku.
“Kau lainlah, kau cantik, tinggi, tentulah berebut orang mahukan kau jadi model mereka. Aku ni dah lah tak cantik, ada diploma pun tak boleh cari makan.”
“Apalah kau ni, janganlah macam tu. Ini semua takdirlah. Kalau ada rezeki, suatu hari nanti pun kau boleh juga berjaya. Kau ingat orang yang ada ijazah, PHD semuanya berjaya ke? Kau tengok Siti Nurhaliza dan Mawi tu, berjaya juga walau hanya ada SPM. Malah sekarang kaya raya lagi.” Aku ketawa mendengarkan bicara Naja. Dia orang tu lain, ada bakat menyanyi. Aku ni pulak menyanyi dalam bilik air bolehlah, itupun kalau cicak dengar mau jatuh dari dinding.
“Tapi esok kalau kau dah bekerja, kau kena masak juga tau. Masakan kau sedap, enak, kalau aku tak dapat makan masakan kau tak lengkap hidup tau!” Aku mencebik, tidak termakan dengan pujian Naja itu. Macamlah selama ini Naja membesar dengan masakanku. Lengkap juga hidupnya, ada rumah cantik, kereta besar, boyfriend handsome. Kira cukuplah tu, kalau aku jadi dia, alahai bahagianya.
“Belajarlah masak, esok kalau dah kahwin kan senang.” Ajuku. Naja menggeleng.
“Lambat sikit! Apa guna aku cari boyfriend yang kerjanya memasak?” Balas Naja pantas. Hmm…lupa aku yang teman lelaki Naja seorang chef di hotel terkemuka di Kuala Lumpur ini. Sebab itulah Naja tak kisah langsung nak belajar memasak. Untungnya Naja…..untung aku bilalah agaknya? Masih ada tak jejaka yang masih solo, handsome, baik hati dan bekerjaya di Kuala Lumpur ini. Kalau ada, kan seronok. Hihihihi, menggatal pulak aku. Minah, fokus! Tujuan ke mari nak cari kerja bukan cari jantanlah!

*********

Aku sudah beberapa kali bangun dan duduk. Orang kata, di Kuala Lumpur tidak susah untuk mendapatkan pengangkutan awam tapi sampai sekarang pun aku masih di perhentian bas ini. Pagi ini Naja sepatutnya menghantar aku ke tempat kerja yang diberitahunya semalam. Tetapi disebabkan tiba-tiba dia ada photo shoot awal pagi, maka aku harus pergi sendiri.
Mana teksi ni? Ah, jangan kata teksi, bas pun tak lalu. Malah satu kenderaan pun tak ada langsung. Mogok ke semua orang hari ini tak nak kerja. Aku mengeluh, lalu kali ini aku berjalan, mendekati jalanraya yang lengang. Sambil menantikan teksi, aku memerhatikan sekali lagi jalan yang kosong. Ketika itu terbit di hati, untuk memiliki sebuah kereta. Nanti aku nak kumpul duit beli kereta, kecil pun tak mengapa

asalkan senang hendak membawa aku ke sana ke mari.
Sekali lagi aku melepaskan keluhan dan belum sempat aku hendak berpatah semula untuk melabuhkan punggung di perhentian bas, aku terperanjat apabila disimbahi lopak air yang bertakung di hadapanku.
“Mangkuk!” Aku memekik dan segera mendongak memandang kereta yang baru melepasiku. Kurang ajar betul orang KL ni! Secara spontan aku mencabut kasut yang tersarung di kaki. Kasut itu aku lontar pada kereta tadi yang tidak jauh melepasiku. Puas hatiku apabila balinganku itu terkena pada belakang kereta itu. Aku ni bekas pemain bola jaring, sure mesti kena punyalah! Aku kembali melihat pakaianku yang basah, aku menyapu dan menepis-nepis air lopak yang melekat. Mentang-mentang pakai kereta besar, dah tak nampak orang kat tepi jalan.
“Eee, busuknya. Macam mana ni, takkan nak pergi kerja macam ni? Balik rumah tukar baju? Sempat ke. Hii…geramnya aku, samdol betullah!” Aku membebel dan menyumpah-nyumpah sendirian. Kalau ada orang lain di saat itu, pasti fikir aku sewel. Apa taknya, sambil bercakap sendiri dengan sebelah kaki yang tak berkasut.
“Cantik kasut awak ni, kan?” Satu suara menyapa. Aku mendongak, memandang tepat pada seorang lelaki yang sedang memegang kasut tumit tinggi berwarna merah hati yang aku pinjam daripada Naja.
“Dan kasut yang cantik ni jugalah yang telah mencalarkan kereta saya.” Aku menjenguk pada kereta BMW 3 Series berwarna hitam yang telah berlabuh di bahu jalan.
“Oh ya ke? Jadi marahlah ni?” Soalku sekadar mahu membuatkan lelaki itu sakit hati.
“Eh, tak. Tak marah pun,” balas lelaki itu bersahaja, memang tidak menunjukkan tanda marah langsung. Baguslah, mungkin dia sendiri sudah tahu apa kesalahan yang dia telah lakukan terhadapku.
“Habis tu nak complainlah ni?”
“Saya bukan complain, cuma beritahu saja.” Lelaki itu masih tenang dan aku sudah malas hendak melayan lelaki itu. Padaku sudah seri, lelaki itu dapat habuannya selepas aku jadi begini.
“Bak sini kasut kita,” aku merampas kasar kasutku dari tangan lelaki itu. Aku mengenakan semula kasutku itu dan mula berpaling. Mahu meninggalkan lelaki itu. Buat apa aku mengadap mukanya lagi. Bukan tak handsome, malah kalah Jared Padalecki, hero yang aku minati dalam siri Supernatural. Tapi aku geram teramat sangat ketika ini dan sebelum kepala lelaki itu jadi habuan kasut aku berlabuh, baik aku pergi. Balik rumah dan tukar baju. Hai, lambatlah aku pergi kerja.
“Tak kan nak pergi begitu saja. Macam mana dengan kereta saya tu?” Pertanyaan itu membuatkan aku terbakar. Setelah pakaianku kotor dan busuk, lelaki itu masih mahu berkira soal keretanya. Aku menoleh semula dan kini mula mencekak pinggang.
“Habis tu baju kita yang basah, kotor dan busuk ni macam mana pula?” Balasku sambil merenung tajam pada lelaki di hadapanku itu. Lelaki yang berkaca mata hitam itu sekadar memandang tanpa rasa bersalah.
“Awak tahu tak, kerana awak kita dah jadi macam ni, basah, kotor dan busuk. Sekarang kita terpaksa balik rumah dan tukar baju pulak. Sudahlah hari ini, hari pertama kita masuk kerja. Hari pertama datang lewat, imej kita dah tercemar. Majikan kita tentu anggap yang kita seorang pekerja yang tidak berdisplin. Awak tahu tak semua itu tak ternilai dengan ringgit?” Aku bersuara dengan tegas. Lelaki itu hanya diam dan memandangku sambil menanggalkan cermin mata gelapnya. Alamak, mata dia yang seksi tu mengancam betul! Namun aku tak mudah tergoda.
“Sekarang tak payah nak cakap soal kerugian, fikirlah sendiri ya, kita nak balik!” Sambungku sambil berlalu dengan selamba meninggalkan lelaki itu sendirian. Namun jauh di sudut hati kecilku, cuak juga. Yang aku berani sangat baling kasut pada kereta lelaki itu kenapa? Nasib kau memang baiklah Minah! Tak ke haru kalau yang keluar dari kereta tadi tu samseng, perogol atau pembunuh ke? Ish, aku ni sejak berpindah ke Kuala Lumpur semakin aktif dan berani bertindak drastik. Kalau mak dan abah tahu anak dara dia berperangai macam ni, mau aku dihantar ke pusat pemulihan akhlak!

*********

Aku terpana, tak tahu bagaimana hendak bereaksi ketika ini. Kalaulah aku tahu aku akan bekerja di syarikat ini, sumpah aku tak kan datang. Namun untuk berundur, dah terlambat. Sudah separuh hari aku bekerja, baru aku tahu siapa pemilik syarikat. Itupun setelah aku terpandangkan Gaban dan Kak Anis masuk ke pejabat selepas tengahari. Mereka berdua bukan main gembira lagi dengan kedatanganku tetapi mereka tak tahu yang aku sangat hampa. Hampa kerana seakan terpedaya oleh Naja, teman baikku sendiri. Aku tak sangka dalam diam, Naja dan Gaban berhubung antara satu sama lain.
“Jangan salahkan Naja ya, kesian dia. Kita orang yang pujuk dia supaya suruh Minah datang. Akak harap Minah tak berkecil hati dan dapat bekerja di sini secara professional. Kalau boleh kita jangan campur adukkan masalah peribadi dengan kerja.” Entahlah aku tak pasti adakah selepas ini aku dapat bertindak secara rasional atau tidak. Aku rasa macam tertipu dan betul-betul kecewa kerana Naja tidak berterus-terang. Ketika Kak Anis meninggalkan aku dengan Gaban, aku segera memandang tajam padanya. Gaban hanya memandangku dengan wajah yang kasihan, mungkin tahu aku sedang marah. Aku tidak bersuara malah hanya itulah sekali aku memandang wajah Gaban. Selebihnya aku hanya membatukan diri. Tidak mahu bersuara sedangkan dalam hati ni, tunggu masa nak meletup aja.
“Apa kata kalau kita keluar dan bincang tentang perkara ni.” Gaban bersuara perlahan.
“Keluar? Sekarang waktu bekerja, lagipun waktu rehat dah lepas. Bukankah tadi Kak Anis pesan agar bekerja di sini secara professional. Jangan campur adukkan masalah peribadi dengan kerja?” Balasku dengan sinis. Lantaklah andai Gaban terasa, lagipun aku memang betul-betul tengah geram, marah dan kecewa.
“Ok, kalau macam tu kita bincang petang ni, lepas habis kerja.” Aku segera menggeleng, kemudian bingkas. Wajah Gaban aku tatap seketika.
“Maaflah, petang ni aku ada hal. Lagipun dah tak ada apa yang hendak dibincangkan.” Aku segera berlalu, meninggalkan Gaban. Ya Allah, berkecamuk sungguh perasaanku sekarang ini. Untuk meneruskan tugas, aku sudah tidak mampu lalu aku terus saja ke bilik solat. Setelah menunaikan solat zuhur, barulah perasaanku kembali tenang. Namun cepat-cepat aku bersiap, tidak mahu mengambil masa yang terlalu lama ketika bersolat nanti apa pula kata orang. Walaupun aku kenal baik dengan pemilik syarikat, tapi aku tidak mahu mengambil kesempatan. Tidak mahu membuatkan staf yang lain terasa atau memandang serong padaku.

Bersambung…….


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"