Novel : Cantiknya Si Comot 1

2 August 2010  
Kategori: Novel

24,852 bacaan 6 ulasan

Oleh : Miazal Zahra

KICAUAN burung yang berterbangan mencari makanan memeriahkan suasana pagi yang dingin dan nyaman. Dari jendela yang terbuka lebar kelihatan kembang mawar dan berbagai jenis bunga lagi mekar di halaman rumah dua tingkat tersebut. Itulah keistimewaan kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands ini, apa saja yang ditanam pasti akan kelihatan subur walaupun kurang dijaga.

Rosmina menarik nafas dalam-dalam. ‘Hari yang indah,’ bisik hatinya. Dia sudah siap berpakaian untuk ke kebun. Rambutnya yang sudah disikat rapi dikepit dengan sebuah kelip berbentuk rama-rama. Nampak kemas sekali. Beredar dari jendela tersebut sekali lagi Rosmina melihat wajahnya yang sudah siap berdandan dicermin. ‘Emm! Cantik juga.’ Detik hatinya sambil tersenyum sumbing. ‘Cantik? Jangan nak perasanlah, tunggulah sekejap lagi bila sudah sampai dikebun, hilang semuanya. Habis bercomot sana sini.’

Hari ini dia mesti menolong Puteh, pembantunya, memotong bunga-bunga untuk jualan. Ratna dan Mohan tentu akan sibuk di bahagian sayur-sayuran sebab hari ini giliran pengutipan sayur untuk dijual pada pemborong. Selalunya Rathana Veloo yang dipanggilnya Ratna sahaja yang akan menolong Puteh memotong bunga sebelum memulakan kerja dikebun sayur.

“Kak Puteh…., dah siap?” laung Rosmina sambil melihat keliling mencari kelibat kak Puteh setelah tiba di anak tangga paling bawah.

“Sudah Mina. Sekejap saya datang.” Terdengar suara Puteh menjawab dari dapur. Tentu dia sedang menyiapkan bekalan untuk sarapan di kebun nanti. Begitulah setiap hari, mereka akan bersarapan di kebun. Lebih seronok kata Rosmina bersarapan sambil dikelilingi oleh bunga-bunga yang mekar mewangi.

Sebentar kemudian kelihatan Puteh muncul dari dapur di ikuti oleh puan Hanim, ibu Rosmina.

“Ya ALLAH kak Puteh….!” Rosmina ketawa mengekek. Wajah Puteh yang bertompok-tompok putih dan bercomot membuat geli hatinya. “Nama dah Puteh cukuplah, yang muka putih melepak macam tepung gomak ni apasal? Kat kebun tu kak Puteh memang dah putih kalau nak dibandingkan dengan Ratna dan Mohan tu? Banyak sangat stok bedak ye?” usik Rosmina

“Apa yang putih. Saya pakai bedak macam biasa saja? Mina ni kalau tak kenakan saya memang tak sah. Bukan Minalah namanya tu…” cebik Puteh.

“Siapa yang nak kenakan kak Puteh? Tak caya, cuba tengok cermin kat depan tu..” suruh Rosmina sambil menunjuk ke arah cermin besar di ruang tamu.

“Ya ALLAH!” jerit Puteh diikuti dengan ketawa panjang. Rupanya mukanya memang berselepong dengan tompok-tompok putih. Dia sedang menyimpan tepung yang digunakan oleh puan Hanim untuk membuat sarapan tadi bila tepung tersebut tertumpah ke lantai. Tentu secara tidak disedari tepung tersebut telah terkena ke mukanya.

“La… ibu pun tak perasan muka Puteh macam tu tadi.” Giliran puan Hanim pula ketawa bila melihat wajah Puteh. Sikit lagi boleh jadi macam Aziz Satar dalam filem ‘Seniman Bujang Lapuk.’ Puteh cepat membersihkan wajahnya. Boleh lari semua pelanggan kalau nampak wajahnya yang macam tikus jatuh dalam tepung itu. Tak pun ada yang pengsan sebab ingat nampak hantu siang! Nasib baik tak sampai ke kebun dengan wajah macam tu.

Rosmina lantas menyalami ibunya setelah Puteh selesai membersihkan mukanya.

“Mina pergi dulu ibu, dah dekat pukul lapan ni. Nanti tak sempat sarapan pula. Hari ni kan hari Jumaat. Tentu dah ramai pelancong kat sini dari petang semalam.”

“Eloklah tu. Tapi apa-apa pun makan dulu breakfast tu, baru buka kedai. Mina ni bukan boleh sangat, kalau dah kerja tu sampai lupa makan minum.”

“Mina tahulah bu… Mina pergi dulu ye..” jawab Rosmina manja. Pipi ibunya dihadiahkan dengan sebuah ciuman. “Emm cayang ibu. Nanti lunch kalau ramai pelanggan Mina tak balik ye.”

“Yalah,tapi jangan lupa pula suruh si Rathan tu datang ambil makanan. Puteh, ingat tu! Kalau nak harapkan Mina tu, dia tak makan pun tak apa. Nanti kamu yang lain pula yang kebulur.”

“Ya puan,” jawab Puteh yang sentiasa akur akan cakap majikannya itu. Sudah hampir lima tahun dia datang dari Indonesia dan bekerja dengan puan Hanim dan keluarganya. Sudah sebati benar dia dengan perangai keluarga itu, bahkan dia juga sudah dianggap sebagai salah seorang ahli keluarga oleh mereka.

FARID Ammar memerhatikan bangunan lapan tingkat yang sudah siap dibina di hadapannya. Kini dia sudah boleh tersenyum puas. Hasrat keluarganya untuk mendirikan sebuah hotel kini sudah tercapai. Dalam masa tidak sampai dua bulan lagi hotel ini akan mula beroperasi.

Selama ini keluarganya hanya menguruskan beberapa buah rest house yang sederhana sahaja di Tanah Rata dan Brinchang. Dengan terbinanya hotel tersebut kini mereka sudah mampu bersaing dengan hotel-hotel lain seperti Casa de la Rosa, Rosa Pasadena dan Strawberry Park.

Haji Ridzwan, bapa Ammar juga sudah menyerahkan bulat-bulat padanya dalam menguruskan semua hal yang bersangkutan dengan hotel tersebut. Katanya cukuplah dia sekadar mengusahakan rumah rehat yang sudah sedia ada. Urusan rumah rehat tersebut juga mungkin akan diserahkan pada adik perempuannya Farida Amira setelah beliau menamatkan pelajarannya nanti. Cameron Highlands yang sentiasa ramai dengan pelancong asing dan tempatan sememangnya menjanjikan pulangan yang baik dalam bidang perhotelan.

Lamunan Ammar terhenti bila telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi.

“Ammar jangan lupa beli bunga untuk umi nanti. Abah nak ke Ipoh kejap pagi ni.” Terdengar suara Haji Rizdwan dihujung talian memberi peringatan. Hampir saja Ammar terlupa janji pada abahnya untuk membeli bunga untuk hari lahir ibunya hari ini jika tidak diingatkan tadi!

“Pukul berapa abah balik nanti? Jangan lewat sangat bah, nanti merajuk pula permaisuri abah tu, ingat kita semua lupa birthday dia.” Ammar pula mengingatkan Haji Rizdwan akan acara mereka untuk mengadakan jamuan mengejut sempena hari lahir untuk ibunya.

“Lepas sembahyang Jumaat nanti abah baliklah. Keknya nanti abah belikan kat Ipoh sekali. Assalamualaikum.”

Ammar mematikan talian selepas menjawab salam dari abahnya. Bergegas dia ke kereta untuk ke kedai bunga. Memang senang hendak mencari kedai bunga di Cameron Highlands, bersepah-sepah, tetapi susah juga hendak mencari kedai yang menyediakan gubahan bunga. Selama ini pun Ammar tidak begitu memperdulikan kedai-kedai bunga yang ada di situ. Lelaki, biasalah, bukannya minat dengan semua tu.

Berhampiran dengan simpang masuk ke Hotel Strawberry Park Ammar membaca sebuah papan tanda yang tertulis ‘Sweet Senses Garden Farm’. Mungkin di sini ada menjual bunga yang siap digubah, fikirnya. Perlahan keretanya dipandu menyusur ke tepi jalan berdekatan kedai tersebut.

ROSMINA membawa bakul yang penuh dengan bunga-bunga ke luar dari kebun. Tiba di penghujung kebun, tanpa disedari kakinya terpijak bahagian tanah yang licin. Hampir saja dia mencium tanah jika sebelah tangannya tidak cepat menahan dari terus tersembam.

“Aduh Mina… macam mana boleh jatuh?” ujar Puteh yang sedang berjalan dibelakangnya. “Itulah jalannya tidak hati-hati. Ingat boyfriend ya?” Tawanya sudah pecah berderai bila melihat Rosmina yang sudah bercomot dengan percikan air yang bercampur tanah.

“Banyaklah boyfriend kak Puteh! Ni, tanah ni licinlah. Tengok bukan nak tolong, ketawakan Mina pula,” rajuk Rosmina yang sudah mula berdiri. Terkial-kial dia membuka sarung tangan yang sudah kotor berpalit dengan lumpur.

“Tulah, pagi tadi ketawakan kak Puteh.. kan dah kena balik! Kak Puteh tadi masih cantik sebab pakai bedak putih. Mina kenapa pula pakai bedak hitam? Dah habis stok bedak ya….?” usik Puteh memulangkan paku buah keras, masih lagi ketawa.

“Tinggallah bakul bunga tu, nanti kak Puteh bawakan.” Kasihan pula Puteh melihat keadaan Rosmina yang semakin comot dan kotor bila cuba membuang lumpur dimukanya itu. Tanpa banyak bicara Rosmina terus melangkah menuju ke kedai, namun langkahnya terhenti bila tersedar kasutnya yang kotor terkena lumpur.

Kasut tersebut dibuka sambil matanya liar mencari punca air lecak di dalam kebun bunganya itu. Kebun bunga yang sepenuhnya berbumbung itu tidak mungkin dimasuki air jika tidak berlaku kebocoran. Dia mula beredar setelah mengenal pasti tempat yang bocor.

“Kak Puteh, nanti suruh Ratna betulkan bumbung yang bocor tu. Takut esok kak Puteh pulak yang cium tanah, baru tambah cantik muka tu, buat mask…” Pantas lumpur dijarinya cuba dipalitkan ke wajah Puteh. Sampai senget-senget tubuh Puteh, cuba mengelak dari terpalit Lumpur tersebut. Serentak ketawa kedua gadis tersebut berderai lagi. Begitulah selalunya ada saja yang menjadi bahan usikan mereka berdua.

Rosmina menjinjing kasutnya menuju ke paip air untuk dicuci. Di hadapan kedai sudah kelihatan seorang pelanggan sedang menunggu untuk dilayan. Seorang lelaki yang kelihatan tampan dan kemas walaupun dengan rambut yang hampir mencecah bahu. Tanpa membuang masa Rosmina terus meletakkan kasut dan sarung tangannya di satu sudut dan segera mendapatkan pelanggan tersebut, rezeki jangan ditolak!

“Ya encik, boleh saya tolong?” Ramah suara Rosmina melayan pelanggannya itu.

“Err.. saya nak sebuah bouquet…emm..” Tergagap-gagap lelaki di hadapannya itu menjawab membuatkan Rosmina tersenyum. ‘Lelaki… bukan tahu apa-apa pasal bunga,’ fikirnya.
“Encik nak bouquet yang macam mana tu? Untuk siapa and what occasion?” soal Rosmina ramah cuba mencari penyelesaian untuk pemuda tersebut.

“Bunga untuk harijadi, umi saya. Ada apa-apa cadangan…” balas pemuda tersebut sambil matanya tidak lekang memerhatikan Rosmina dari atas ke bawah.

“Aduh Mina… basuh mukanya dulu! Tu comot saja mukanya. Tanpa kasut lagi.” Belum sempat Rosmina memberi cadangan Puteh sudah menghampirinya sambil mengomel-ngomel kurang senang melihat Rosmina melayan pelanggannya dengan muka yang comot dan selekeh.

“Oh…!” kata Rosmina sambil meraba-raba mukanya yang dipenuhi tanah. “Encik tunggu sekejap ye. Kak Puteh tolong berikan gambar sample pada encik ni.” Dengan senyum manis Rosmina meninggalkan lelaki tersebut. Sungguh dia lupa akan keadaannya yang comot akibat terjatuh tadi. Patutlah pemuda tersebut asyik memerhatikannya ke atas ke bawah tadi. Ingatkan sudah berkenan, rupanya sebab lain. Aduh!! Malunya.

Rosmina masuk ke bilik air dan membersihkan dirinya. Dibukanya kemeja lengan panjang yang sudah penuh dengan tanah. Nasib baik masih ada t-shirt dipakai di dalam kemeja tersebut, kalau tidak tentu memakan masa lagi untuk menukar pakaian. Setelah muka dibasuh bersih, rambut yang sudah berselerak pula disisir rapi.

‘Hmm.. baru nampak ayu sikit. Sudahlah Mina jangan nak perasan. Lelaki kat luar tu dah tengokpun muka kau yang bersememe tadi tu, tak adanya dia nak berkenan pun,’ fikirnya tersenyum sendiri. Dia keluar dari bilik air dan masuk ke dalam kedai bunganya untuk mengambil sepasang kasut yang sememangnya selalu diletakkan di situ.

“Encik dah buat pilihan? Ada yang berkenan tak? Kalau encik nak kombinasi lain pun saya boleh buatkan.” Soal Rosmina pada pemuda yang begitu asyik meneliti gambar-gambar contoh gubahan bunga yang diberikan padanya tadi.

“Saya rasa yang ini cantik juga. Tapi bunganya boleh tukar tak?”

“Encik nak bunga apa?”

“Bunga yang besar ni ok, cuma bunga ni saya nak tukar dengan bunga ros. Semua sekali bunga ros, tak nak campur-campur.” Terang pemuda tersebut sambil menunjukkan pada bunga lily dan carnation.

“Boleh. Bila encik nak? Encik nak tunggu siap atau nak saya hantarkan ke rumah pada umi encik?”

“Boleh hantarkah? Kalau boleh elok juga, taklah saya buang masa tunggu kat sini.” Kelihatan riak lega di wajah pemuda tersebut. Baguslah bila tidak perlu tunggu lama di situ. Apalagi bila terpaksa mengadap gadis serabut dihadapannya itu. ‘Boleh dia layan aku dengan muka selekeh dia tu. Ni nasib baik dah okay sikit kalau tidak…! Kalau tidak nak buat apa? Oiii! Anak orang tu ingat sikit!’ detik pemuda tersebut sambil tersenyum di dalam hati.

“Boleh, kalau setakat kawasan Brinchang dan Tanah Rata. Encik nak kami hantar bunga ni kat mana, boleh tuliskan alamatnya kat sini.” Sebuah ‘management diary’ di hulurkan pada pemuda tersebut. “Encik nak letakkan kad lain, atau nak guna kad ini saja?” soal Rosmina lagi sambil memandang pemuda yang sedang menulis di buku tersebut. Jejaka tersebut mendongak melihat kad yang ditunjukkan oleh Rosmina. Hanya sekeping kad biasa yang kecil dan kosong.

“Boleh juga. Awak pilihlah kad apa pun yang sesuai. Berapa harga semuanya?”

“Lapan puluh lima ringgit, free delivery.” Jawab Rosmina setelah menekan-nekan butang di kalkulatornya. “Encik tak nak tulis apa-apa kat dalam kad ini?” Sekali lagi wajah Rosmina dipandang jejaka tersebut, seakan berfikir sesuatu. Tangannya dihulurkan untuk mengambil kad tersebut. Pantas sesuatu ditulis di dalamnya dan kad tersebut dimasukkan semula ke dalam sampulnya.

Rosmina hanya memandang pemuda tersebut. Tidak disangka pemuda yang kelihatan seakan-akan Mat Rock itu sentimental juga orangnya. Beli bunga untuk harijadi ibu… Emmm…!

“Apa yang awak pandang sampai nak keluar biji mata tu? Saya tahulah saya handsome. Nak ajak saya dating?”

Terkejut Rosmina mendengar sindiran tajam lelaki tersebut. ‘Amboi berlagaknya.. dah tu perasan bagus pulak,’ gerutu hatinya.

“Ohh! Sorry. I was just admiring your hair. Nice hair…” Rosmina cuba memaniskan mulutnya. Kalau ikutkan hati mahu dimakinya jejaka perasan tersebut dan ditarik-tarik rambutnya. Namun memandangkan si perasan tersebut adalah pelaggannya disabarkanlah hatinya yang sudah agak mendidih. Maintain…!

“Jangan ingat lelaki tak pandai jaga diri. Sekarang ni ramai lelaki yang metrosexual, kadang-kadang orang perempuan tu yang lebih selekeh lagi!” Sekali lagi kata-kata sinis dihadiahkan pemuda tersebut pada Rosmina. “Ok, jangan lupa hantar sebelum pukul tiga nanti!” Tegas lelaki tersebut memberikan arahan sebelum berlalu.

“Ok, itu encik jangan bimbang. InsyaALLAH saya hantar secepat yang mungkin. Terima kasih, datang lagi ye,” balas Rosmina seramah mungkin setelah menerima bayaran dari pemuda itu. Dalam hatinya berbakul-bakul sumpah seranah yang dihamburkan pada lelaki yang semakin menjadi-jadi menyindir dirinya itu. Perasan!!!

“Hmm! Handsome juga pemuda itu ya? Nampak bergaya. Hai! Mina. Kenapalah kau comot sangat hari ni…!!!” kata-kata Puteh setelah pemuda itu pergi membuatkan Rosmina mencebik, meluat rasa hatinya.

“Tak kisah kak Puteh, comot ke selekeh ke.. janji dia dah beli bunga kita, bukan dia nak tengok kita! Lagipun dengan perangai macam tu… eeee… buat sakit telinga. Dah tu jiwa raga pun boleh parah tau tak. Sombong nak mampus, perasan bagus pulak tu!”

“Mina tadikan renung-renung dia, tentu dia perasan…. Lagipun Minakan sudah dekat dua puluh tiga tahun, sudah boleh cari jodoh..” usik Puteh sambil tersenyum memandang majikannya itu.
“Kak Puteh…, Mina tengok dia bukan sebab berkenan tau, Mina tengok tadi sebab tak sangka orang yang macam tu boleh beli bunga untuk harijadi ibu dia. Yang kak Puteh tu, dah dua puluh tujuh tahun, bila nak kahwin?” kata Rosmina pula membalas usikan Puteh.

“Ya, saya mahu saja kalau pemuda tadi ajak kahwin.” Jawapan Puteh yang selamba membuat kedua gadis tersebut akhirnya ketawa berderai.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Cantiknya Si Comot 1”
  1. Siti Soleha Yahaya says:

    ;-) ;-) ;-)

  2. nad says:

    novel ni ada jual online x kat kakinovel? :|

  3. maria says:

    ;-) :razz: seronok gak lah cite nie. .

  4. esya says:

    not bad for me.. first time baca..
    hope best.. :)

  5. iman nur says:

    hehe , masuk dengan jiwaku ~

  6. alinhaslinda says:

    Sebuah pmulaan yg sgt mnarik utk trus mbaca….. (^__^)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"