Novel : Cinta Tak Terucap 1

30 August 2010  
Kategori: Novel

3,431 bacaan 2 ulasan

Oleh : Zizi Zarith

Bab 1

Dia segera memberhentikan Chevrolet Spark yang dipandunya itu di bawah sepohon jambu yang berbuah lebat. Udara segar bagaikan melambai-lambai justeru membuatkan dirinya ingin segera keluar dari perut kereta. Langkahnya diatur tenang sambil jari-jemari menyisir rambut yang separuh ikal melepasi paras bahu. Dia menanggalkan sunglasses lalu dicampakkan ke dalam kereta yang terbuka sedikit tingkapnya.

Pandangannya dihalakan pada sebuah rumah agam yang sudah usang namun masih utuh berdiri di atas tanah. Kawasannnya tidak berubah kerana sentiasa dijaga rapi. Mesti Pak Said serta isterinya, Mak Pah rajin bertandang ke sini, detik hati gadis yang berusia 25 tahun itu.

Pemilik nama Zuliana Zulkefli itu pernah mendiami kediaman tersebut sebelum mereka sekeluarga berpindah 12 tahun yang lalu. Tempat di mana dia dilahirkan serta dibesarkan. Terlalu banyak kenangan dia di situ. Bak kata orang dulu-dulu, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Tidak mungkin akan dilupakannya walaupun sesaat.

Pandangannya diliarkan ke kawasan persekitaran mencari-cari kelibat pasangan suami isteri itu yang suatu masa dulu pernah menjadi pekebun di rumah tersebut. Ternyata mereka tiada di situ. Kemudian langkahnya dihalakan ke belakang rumah. Dengan berpakaian t-shirt dan berseluar jeans, Zuliana tampak santai. Sesuai untuk aktiviti di kampung halamannya.

Berbeza hidup di bandar, Zuliana lebih selesa dengan cara hidup di kampung. Mudah untuk melakukan perkara-perkara yang disukainya. Jangan tidak tahu, Zuliana pernah masuk ke dalam hutan sehingga lewat malam semata-mata ingin menangkap kelip-kelip yang hanya terdapat di sungai yang berair jernih dan tidak tercemar. Teruk dia dimarahi ibunya tapi dia langsung tidak pernah serik.

Aktiviti tetap dia sewaktu kecil dulu; selalu duduk di atas pokok dan bermain air sungai yang terletak kira-kira 5 meter di belakang rumahnya. Walaupun tidak tahu memanjat tapi dia suka berada pada tempat yang tinggi. Mudah untuk meninjau jika sesiapa mencarinya. Pernah suatu hari dia memanjat pokok mempelam yang berdahan tinggi dan menunggu sesiapa datang mencarinya. Akhirnya dia terlelap di situ sehingga senja.

Tidak ingin dimarahi ibunya seperti selalu, dia segera terjun dari atas pokok itu tanpa memikirkan akibat yang bakal dialaminya. Tapi sungguh ajaib kerana dia tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius. Sehingga sekarang perkara itu masih lagi menjadi misteri pada dirinya dan tidak pernah dia ceritakan kepada sesiapapun.

Zuliana tersenyum sendirian mengingati betapa nakalnya dia 12 tahun lalu. Walaupun bermain keseorangan tapi dia tidak pernah berasa sunyi kerana dia cukup gembira dapat bermain di tempat yang disukainya. Selalu dia berfikir alangkah bertuahnya jika bapa turut menemaninya bermain di situ. Zuliana tiba di tempat yang mempunyai kenangan bagi dirinya. Kelihatan sebatang anak sungai yang jernih mengalir tenang di sebalik batu-batu kecil. Hembusan angin nyaman udara di kampung menampar lembut pipinya yang dioles dengan make up tipis. Dia terasa seperti kembali ke zaman kanak-kanaknya.

Dulu, dia selalu menunggu bapa pulang bekerja dengan menghabiskan waktunya di situ. Jika bapa pulang awal dia akan mengajak bapa untuk menangkapkannya anak ikan sebelum dia melepaskannya kembali ke sungai. Bapa akan bertanya kenapa dia melepaskan anak ikan itu dan Zuliana akan menjawabnya, pasti anak ikan itu turut menunggu bapanya pulang dan merayau-rayau seketika di situ. Bapa sekadar tersenyum dengan celoteh anak sulungnya.

Walaupun tugas bapa menuntut tanggungjawab dan waktu yang tidak menentu, namun bapa tidak pernah tidak mempedulikan mereka sekeluarga. Selalu meluangkan masa bersamanya walaupun dalam tempoh yang singkat. Zuliana memahaminya walaupun dia masih kanak-kanak lagi. Dia pasti bapa melakukan sesuatu yang cukup mulia pada semua orang. Tangkap orang jahat, itulah yang Zuliana fahami tika itu.

Zuliana sedar masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Segalanya telah berubah. Kini dia sudah meningkat dewasa. Namun dia percaya sesetengah perkara tak akan berubah. Walaupun bapa tiada di sisinya lagi, ingatan pada bapanya dan kenangan lalu tidak pernah luput dari ingatannya. Dia benar-benar merindui bapanya, individu yang banyak berjasa dalam hidupnya tapi tidak berkesempatan untuk dia membalasnya. Kiriman doa sahaja yang mampu dia titipkan untuk arwah bapanya di alam sana. Selamanya bapa akan diingati sebagai seorang yang tegas dan penyayang.

Tanpa berlengah, Zuliana lantas menyinsing lengan bajunya, melipat hujung jeans dan terus menerkam ke arah anak sungai di hadapannya. Seperti orang yang pertama kali berjumpa dengan air, begitulah keadaan Zuliana ketika ini. Dia tidak peduli untuk membasahkan pakaiannya asalkan dirinya dapat bermain air di situ. Kedinginan air sungai tersebut langsung tidak menghalang untuk dia berendam lebih lama lagi. Dia memercikkan air pada batu sungai dan tergelak sendiri.

Satu suara sayup-sayup memanggil namanya. Zuliana terleka seketika mengingati masa lalu sambil bermain air di sungai bergegas bangun menuju ke halaman rumah. Zuliana tersenyum menghampiri wanita yang agak berusia itu. Pakaiannya habis basah lencun.

“Ya Allah, kamu ni tak menyempat-nyempat nak terjun dalam sungai tu, sampai basah baju kamu macam ni. Apa nak jadi kamu ni, Zuliana?” bebel wanita berusia itu yang dikenali sebagai Mak Pah. Zuliana hanya tersengih sahaja membalas teguran Mak Pah itu.

“Mana Mak Pah tahu Gee kat sini?” giliran Zuliana pula bertanya. Setahunya dia tidak memberitahu Mak Pah atau sesiapa pun dia ingin balik ke kampung hari itu. Dia sudah biasa melakukan surprise pada semua orang. Hobi, katanya.

“Mak Pah dah boleh agak Zuliana akan datang nanti. Dari tadi asyik aje teringat kamu. Patutlah hati ni tergerak nak datang sini. Memang betul kamu ada kat sini,” ujar Mak Pah riang sambil menyambut huluran tangan Zuliana. Zuliana ingin memeluk Mak Pah tapi bila dilihat keadaan dirinya terbantut hajatnya. Namun Mak Pah langsung tidak kisah malah dia yang menarik tubuh Zuliana merapati dirinya. Terharu Zuliana dibuatnya.

“Mak Pah apa khabar? Wah, tak nampak tua pun. Masih lawa macam dulu,” seloroh Zuliana dengan senyuman nakalnya. Mak Pah kelihatan malu diusik begitu. Zuliana berjalan ke keretanya lalu mengeluarkan beg pakaian dan mencapai tuala untuk mengelap dirinya. Mak Pah sekadar menggeleng kepala melihat ke dalam bahagian belakang kereta Zuliana dipenuhi dengan beg pakaian. Siap dengan kasut dan barang-barang underwear sekali. Berkampung dalam kereta ke gamaknya si Zuliana ni?

“Mak Pah sihat. Marilah ke rumah. Pak Said kamu ke kebun, petik buah. Sekarang musim buah menjadi sangat. Rambutan, manggis, ciku. Buah yang kamu suka tu pun ada,” ujar Mak Pah tanpa dipinta. Dia menyeka peluh dengan hujung lengannya. Bahang matahari terasa perit. Namun senyuman masih terukir di wajah tuanya.

Zuliana hampir terlonjak gembira bila mendengar kata-kata Mak Pah tadi. Dah lama dia tak merasa buah durian kegemarannya. Kalau dia teringin sangat nak makan terpaksa pergi jauh untuk mencari buah itu. Kadang kala harga yang ditawarkan jauh lebih tinngi dari harga pasaran kerana dijual pada luar musim. Bak kata orang-orang tua, langkah kanan dia balik ke kampung hari ini.

“Lama kamu kat sini?” soal Mak Pah tatkala mereka berjalan beriringan menuju ke rumah bekas penjaganya yang terletak beberapa meter dari rumah agam tadi. Kereta dibiarkan saja tersadai di halaman rumah yang tidak berpenghuni. Siapalah yang berani nak mencuri kereta di siang hari, di tengah-tengah kampung pula tu. Mudah saja untuk mengecam kereta yang keluar masuk kerana tidak ramai yang berkereta di kampung itu. Mereka lebih senang menggunakan motosikal dan ada sesetengah menggunakan lori kecil untuk mengangkut hasil tani yang merupakan punca rezeki kebanyakan penduduk di situ. Lagipun, Zuliana kerap kali datang ke kampung tersebut dan ramai yang mengenali dia.

“Kalau dapat cuti panjang, lamalah Gee kat sini. Tapi sekarang tengah sibuk, so dapat cuti hujung minggu sajalah. Kalau boleh hari-hari Gee nak balik sini,” jawab Zuliana seakan mengadu. Dia agak rapat dengan Mak Pah sewaktu kecil memandangkan Mak Pah yang menjaganya sewaktu kecil dulu. Ibunya merupakan guru tadika dan jarang bersamanya. Pada Mak Pahlah kasihnya tumpah sementelah Mak Pah tidak mempunyai anak lagi waktu itu.

“Kamu tu sibuk-sibuk juga, tapi fikirkanlah diri sendiri. Bila lagi nak berumahtangga? Asyik sibuk dengan kerja saja, bila nak maju kalau macam ni?” bebel Mak Pah seperti orang-orang tua. Zuliana termenung seketika, memikirkan ayat Mak Pah tadi. Maju apa yang Mak Pah cakap ni? Kalau bekerja mestilah negara maju, individu pun turut maju juga sebab dapat timba pelbagai pengalaman dan kemahiran. So, maju macam mana yang Mak Pah maksudkan?

Mak Pah bertanya lagi bila dilihatnya Zuliana mendiamkan diri. Zuliana menggesek-gesek telinganya yang gatal secara tiba-tiba. Leceh betul! Kat rumah ibu dah bersyarah pasal benda ni, kat sini pun kena leter juga dengan Mak Pah. Bilalah aku nak aman? Zaman ‘maju’ saya belum tiba lagi Mak Pah, Zuliana berkata-kata dalam hati.

Zuliana lantas memaut lengan Mak Pah. “Ala, Mak Tipah. Gee baru 25 tahun, tak puas lagi nak enjoy. Nanti dah kahwin manalah boleh bebas macam ni, tak boleh nak berkepit dengan Mak Pah lagi. Nak jumpa pun tak boleh agaknya. Kena ikut cakap suami aje,” suara Zuliana lirih diselangi dengan nada manja. Sengaja dia ingin meminta simpati daripada Mak Pah yang terkenal sangat baik dan mudah bersimpati.

“Memanglah orang perempuan dah berkahwin kena ikut cakap suami tapi pilihlah yang bertimbang rasa, saling hormat-menghormati dan memahami, barulah aman rumahtangga.” Cadangan Mak Pah begitu bernas. Zuliana menyokongnya seratus-peratus.

“Kalau Mak Pah ni lelaki dah lama Gee kahwin dengan Mak Pah. Dahlah penyayang, baik pula tu,” Zuliana mengusik lagi. Tak sah kalau tak mengusik Mak Pah. Nasib Mak Pah bukan jenis yang melatah, lagi suka Zuliana mengusik.

“Hish, ke situ pulak kamu ni! Dah, jom masuk dalam rumah, tukar baju kamu kemudian tolong Mak Pah masak. Dah nak masuk tengah hari ni,” arah Mak Pah dengan suara yang sengaja ditegaskan. Zuliana akur dengan berkata ‘Yes, madam,’ dan menuruti langkah Mak Pah ke dapur.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Cinta Tak Terucap 1”
  1. Nur Dara Adalia says:

    hmm…gud starting! best.. :mrgreen:

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"