Novel : Hantu Merah 4

5 August 2010  
Kategori: Novel

750 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : Rhimi Ramli

BAB 4: DUA HANTU

Waktu malam di sebuah rumah, kelihatan Ali menekan-nekan butang pada telefon bimbitnya. Nampaknya dia menghubungi seseorang.

Di rumah yang lain pula, kedengaran telefon bimbit berbunyi menandakan ada orang yang memanggil. Seseorang menekan butang hijau bagi menjawab panggilan tersebut. Orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah Amir.

“Helo,” Amir bersuara sebaik sahaja telefon bimbitnya diletakkan pada telinga.

“Helo, Amir. Wei, kau tahu? Deman sudah mati petang tadi,” Ali memberitahu berita yang mengejutkan.

“Kau biar betul, Ali,” Amir tidak percaya.

“Wei, kau tidak tengok berita ke? Ada tersiar di beritalah!” Ali cuba membuat Amir percaya.

“Betul ke?” Amir masih tidak percaya.

“Betullah. Takkan aku mahu tipu. Deman dengan ayah dia sekali,” Ali menyampaikan berita tersebut dengan lebih terperinci.

“Yalah. Aku percaya. Habis itu kenapanya?” Amir tersenyum sinis.

“Kenapa kau tanya? Kau tidak ada rasa bersalah langsung ke? Kita dah banyak aniaya dia,” kata Ali penuh emosi.

“Takkanlah semata-mata sebab dia dah mati kau mahu rasa bersalah. Masa dia hidup, tidak ada pula kau nak rasa bersalah ke, berdosa ke. Kenapa sebab dia sudah mati, baru kau mahu rasa takut, mahu rasa bersalah? Bukannya dia boleh buat apa-apa. Dia sudah mati,” kejam sungguh kata-kata Amir.

“Aku takutlah. Aku tengok di televisyen selalunya orang yang sudah mati kalau roh dia tidak aman, dia akan kacau orang yang menyebabkan roh dia tidak aman. Macam mana kalau roh dia datang nak balas dendam pada kita?” Ali berkata dengan nada yang penuh ketakutan. Amir tertawa mendengar kata-kata Ali.

“Apalah kau ini, Ali. Banyak sangat tengok cerita mengarut di TV, inilah akibatnya,” wajah Amir yang tersenyum mentertawakan rakannya berubah menjadi pucat kerana terpandang sesuatu yang menakutkan.

“Jangan! Jangan!” Amir menjerit dan menangis ketakutan.

“Helo! Amir, kenapa itu?! Apa yang sudah berlaku? Kau janganlah nak takut-takutkan aku!” Ali berasa cemas apabila tiba-tiba saja Amir menjerit.

“Jangan, Deman! Jangan!” Kedengaran Amir menjerit merayu pada ‘Deman’ dalam perbualan itu.

“Deman?!” Ali terkejut mendengar Amir menjerit-jerit merayu pada ‘Deman’. Wajahnya bertukar menjadi pucat. Bukankah Deman sudah mati? Tanya dirinya bersendirian.

Melihat tingkap biliknya terbuka, Ali berjalan cemas ke arah tingkapnya untuk ditutup. Baru saja dia memegang hujung tingkap, kelihatan sepasang tangan berwarna merah tua menyambar lehernya!

Di hospital, kelihatan Mansur sedang baring berseorangan. Kepalanya berbalut dan beransur pulih. Kelihatan mukanya berkerut. Mungkin dia berasa bosan atau pun marah dengan tindakan Deman memukulnya. Tiba-tiba, dia terdengar bunyi tapak kaki.

“Siapa itu?!” dia menjerit bertanya dengan perasaan yang bercampuk-aduk. Perasaan takut dan perasaan cuba menentang rasa takut tersebut.

Bunyi tapak kaki tersebut semakin lama semakin jelas kedengaran. Mansur melihat sendiri pintu biliknya itu dengan rasa cemas. Sememangnya dia seorang yang agak penakut. Dia terkejut apabila melihat orang yang masuk ke dalam biliknya. Orang itu adalah Deman. Deman berjalan ke arah Mansur.

“Deman?! Kau mahu apa?! Kau mahu balas dendamkah?!” Mansur bertanya dengan kasar. Wajahnya jelas menampakkan kemarahan. Namun dia tidak boleh berbuat apa-apa dengan kepalanya yang masih terasa sakit gara-gara perbuatan orang yang sedang melawatnya itu.

“Takkan mahu melawat kau pun salah. Aku mahu minta maaf pasal apa yang aku sudah buat pada kau,” Deman bersuara dengan nada yang biasa.

Timbul rasa bersalah dalam hati Mansur. Tidak dia sangka orang yang dia aniaya selama ini melawat dia. Dia mula teringat kembali semua perbuatan dia selama ini terhadap Deman. Memang teruk sekali penganiayaan yang dilakukannya selama ini terhadap Deman.

“Tidak sangka kau datang melawat aku. Aku pun mahu minta…!!” Belum sempat Mansur menghabiskan kata-katanya, Deman bertindak mencekiknya dengan tangan kirinya yang bertukar menjadi tangan berwarna merah tua, tangan yang sama menyambar leher Ali.

“Melawat kau?! Kubur aku nanti belum tentu kau mahu lawat!” Deman berkata dengan nada yang menakutkan. Seluruh tubuhnya berubah daripada rupa manusia biasa kepada makhluk halus berwarna merah tua.

“Han…..tu……!!” dengan lehernya dicengkam oleh Deman, Mansur berkata sedemikian.

“Nanti kau sampai ke sana, kau tolong sampaikan salam aku pada Ali dan Amir, ya?!”

Di sebuah kampung pada malam yang sama dimana Deman membunuh Mansur, Ali, dan Amir, kelihatan seorang remaja berusia dalam lingkungan awal 20-an berlari cemas seorang diri. Sambil berlari, sekali-sekala dia menoleh ke belakang seolah-olah seseorang sedang mengejarnya.

Lariannya terhenti kerana ‘seseorang’ itu kini sudah berada di depannya. ‘Seseorang’ itu berpakaian serba putih, berambut panjang dan mengilai-ngilai. Terdapat kesan darah pada pakaian putihnya. Siapa lagi kalau bukan pontianak. Ia mengilai-ngilai melihat remaja itu ketakutan sambil terbang mengelilingi remaja tersebut.

“Kenapa kau kacau aku?!” remaja tadi menjerit pada pontianak tersebut dengan perasaan marah dan takut serta mahu menangis.

Pontianak itu tidak menjawab, sebaliknya terus bertindak membunuh remaja tersebut menggunakan kukunya yang tajam sambil mengilai-ngilai. Remaja tersebut menjerit kerana kesakitan dan ketakutan. Jeritannya itu didengari oleh dua orang dewasa yang kebetulan lalu di situ.

Dua orang dewasa tersebut berlari ke arah jeritan yang kedengaran. Apabila mereka sampai ke tempat kejadian, mereka terkejut melihat sekujur tubuh kaku terbaring di tengah jalan berlumuran darah.

Keesokan harinya, majlis pengebumian remaja tersebut diadakan di rumahnya. Kelihatan seorang lelaki dewasa sedang bersedih di luar rumah. Seorang lelaki berusia lebih separuh abad bernama Tok Said datang mendekati lelaki tersebut.

“Sabar sajalah, Dollah. Dah sampai masa dia pergi. Nak buat macam mana,” Tok Said cuba menenangkan lelaki tersebut yang bernama Dollah.

“Saya tak puas hati, tok. Apa salah adik saya? Apa salah isteri saya? Apa salah anak saya tu sampai tergamak pontianak itu bunuh mereka?!” rupa-rupanya Dollah adalah bapa kepada remaja yang menjadi mangsa pontianak itu.

“Entahlah, kita pun tidak tahu apa sebabnya pontianak itu membunuh, terutamanya keturunan kamu,” jelas Tok Said.

“Sekarang ini tinggal saya, dengan anak saudara saya saja,” Dollah meratapi nasibnya yang agak malang.

“Masalahnya, bukan keturunan kamu saja yang menjadi mangsa. Keturunan Majid dan keturunan Hamid pun menjadi mangsa setelah mereka berdua dibunuh oleh pontianak tu.”

“Tidak ada cara ke tok untuk kita hapuskan pontianak tu?” tanya Dollah.

“Susahlah nak cakap. Kita tak boleh nak hapuskannya kerana kewujudannya agak sukar untuk diperjelaskan,” jelas Tok Said.

Perbualan mereka terhenti di situ. Kedua-dua mereka naik masuk ke dalam rumah. Dollah berasa sedih melihat tubuh anaknya yang bersarungkan kain kapan. Telah lama tubuh itu kaku, tidak bernyawa. Sejak semalam. Sejak pontianak yang kejam itu menyebabkannya berlumuran darah.

Pada masa yang sama di bandar, majlis pengebumian Deman dan bapanya turut diadakan. Madi begitu sedih sekali atas kematian satu-satunya teman rapatnya. Dia juga begitu mengasihani nasib rakannya itu yang sering dianiaya dan ditimpa malang sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Beberapa lama berada di situ, Madi mahu pulang ke rumah. Tiba-tiba dia mendapat panggilan telefon. Dia melihat nama pemanggil di skrin telefon bimbitnya dan mengenal pasti bahawa orang itu adalah Senna, salah seorang rakan sekelasnya.

“Helo,” Madi setelah menekan butang hijau pada telefon bimbitnya dan meletakkan alat canggih tersebut ke telinga kanan.

“Helo, Madi,” Senna menjawab kembali.

“Senna, kenapa kau tidak datang ke rumah Deman?”

“Maaflah, aku tidak dapat datanglah. Tidak ada kenderaan,” Senna memberikan alasan dengan nafas yang agak tercungap-cungap.

“Hah, ada apa kau telefon aku? Kenapa kau macam cemas saja?” Madi bertanya tujuan Senna menghubunginya.

“Ya Allah, aku cakap mesti kau tak percaya punya.”

“Apa dia?” Madi bertanya lagi.

“Semalam, Mansur, Ali, dan Amir. Tiga-tiga dah mati semalam.”

“Hah?! Kau biar betul!” Madi terkejut mendengar berita yang disampaikan oleh Senna.

“Betullah, takkan aku nak tipu kau pula!” Senna cuba membuat Madi percaya pada kata-katanya.

“Macam mana pula mereka boleh mati?!” tanya Madi dengan sedikit cemas.

“Aku dengar tiga-tiga kena bunuh. Ali dan Mansur mati sebab kena cekik. Amir ada kesan tikaman pada badan dia. Tapi dengarnya, dia bukan kena tikam dengan pisau. Ada empat kesan tikaman pada badan dia. Muka dia pula ada kesan kena cakar,” terang Senna panjang lebar.

“Peliknya!” Madi meluahkan rasa hairannya tentang kejadian yang berlaku.

“Memang pelik. Sekarang ni polis sedang menjalankan siasatan. Okeylah, nanti kalau aku ada apa-apa berita nanti, aku cakap kat kau. Assalamualaikum,” Senna memberikan ucapan terakhir.

“Waalaikumussalam.” Madi menjawab salam Senna sebelum menekan butang merah pada telefon bimbitnya.

“Deman…siapa yang tolong balas dendam untuk kau? Atau adakah ini satu kebetulan? Atau…,” Madi bingung memikirkan kejadian yang berlaku.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"