Cerpen : Cinta Adam dan Hawa

12 September 2010  
Kategori: Cerpen

15,384 bacaan 21 ulasan

Oleh : Nur Suhada

PROLOG
BAK kata pujangga, “Cinta itu mampu melunakkan besi, menghancurkan batu, membangkitkan hati yang mati dan meniupkan segala-galanya terlihat indah.” Seuntai aksara dari madah pujangga pula ada mengatakan, “Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghina diri, tetapi menghembuskan kegagalan. Cinta bukan membawa kita kepada kedukaan, tetapi menitipkan kebahagiaan.” Cinta itu indah persis mutiara yang menyalurkan cahaya yang cerah ke ruang rindu hati kita.
Ya… Cinta itu sememangnya indah. Keindahannya tidak terucap dengan kata-kata. Cinta itu amat mahal takrifnya, itulah yang difitrah oleh Allah SWT kepada hambanya. Cinta itu sukar dilihat pada zahirnya kerana ia adalah suatu anugerah teragung dari Ilahi. Nikmat cinta itu adalah suatu tanggungjawab di mana wujudnya kesetiaan dan kejujuran di dalamnya.
Kita perlu ingat pada yang satu,
Jujur pada yang setia,
Setia pada yang kasih,
Kasih pada yang rindu,
Rindu pada yang cinta,
Cintalah yang menyayangi diri kita…
Aku tersenyum sendirian. Sesekali berbicara tentang hal yang satu ini sememangnya menyeronokkan. Ya, kerana aku juga pernah merasainya. Hati mawarku ini pernah dihinggapi oleh sang kumbang. Taman jiwaku ini pernah diwarnai dengan bunga-bunga cinta. Ladang naluriku pernah disirami dengan air-air kasih yang suci.
Aku menghela nafas panjang. Aku duduk memeluk lutut di bawah pohon kemboja yang terletak di tepi tasik di Taman Saujana. Pandangan mataku terus merenung jauh. Sesekali kuntuman-kuntuman bunga kemboja yang berguguran menampias wajahku. Pawana yang bergemersik damai acap kali menyelimuti tubuhku di rembang petang ini. Jilbabku terkisar liar disentuh desiran bayu yang menguja sukma. Kadang kala, kuntuman kemboja dan dedaun kering turut berlagu diseret bayu semilir.
Kicauan permai sekawan burung yang berterbangan kian mengalun merdu dan tidak segan silu memecahkan kesunyian yang melingkari diri ini. Mataku melingas memandang sekeliling. Tidak ramai pengunjung yang bertandang ke taman rekreasi ini lantaran hari ini bukan hari minggu. Tetapi, bagiku tidak kira hari minggu atau tidak, saban petang aku sering ke sini. Menikmati keindahan karya Agung Maha Pencipta. Merenung hutan semula jadi di sekelilingnya. Memerhati kocakkan air di tasik nan indah. Menghayati kedamaian sukma dan atma dengan melungguh di bawah pohon kemboja.
Sekuntum mawar merah yang baru kupetik di tepi sebuah bangku kayu itu, kuhidu perlahan-lahan. Sememangnya ia harum, tetapi ia tidak seharum bunga mawar merah yang ditanam di sekolahku. Bunga itu bukanlah bunga mawar yang lazimnya subur ditanam di Tanah Tinggi Cameron. Sebaliknya, ia hanyalah mawar biasa yang bersaiz kecil.
Aku jadi sebak tiba-tiba. Sejenak, tanpa disedari manik-manik putih suci menampias pipi. Teringat saja tentang bunga mawar itu, aku pasti dilanda kesedihan yang maha perit. Bukan setakat hari ini sahaja aku menangis, malah sudah dua bulan yang lalu selepas selesainya peperiksaan SPM, juga terputusnya persahabatanku dengan ‘dia’. ‘Dia’ yang pernah aku lukakan hatinya. ‘Dia’ yang tidak pernah aku hargai dengan kehadirannya. ‘Dia’ yang pernah merindui dan mencintaiku. Segalanya tentang ‘dia’.
Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Sebentar, aku menyeka air mata yang kian lebat mengalir. Tidak aku hiraukan pandangan-pandangan manusia di sekeliling. Biarlah aku melayan perasaan sendirian di sini. Biarlah aku hanyut di danau kenangan. Biarlah aku dihujani dengan titisan kesedihan. Biarlah aku dengan duniaku sendiri.
Bunga mawar itu kuhidu lagi. Aku ingat lagi bagaimana pertama kali ‘dia’ cuba mendekatiku. ‘Dia’ datang secara tiba-tiba. Semasa di sekolah segalanya bermula. Aku membiarkan sahaja tubuhku tersandar di batang pohon kemboja. Perlahan-lahan kenangan yang terindah menerpa…

KENANGAN PERTAMA – Sekuntum Mawar Merah

“SETIAP hari kau ambil bunga mawar. Macam manalah bunga kat sekolah kita tak habis.” Itu suara Alya, teman akrabku. Dia menggeleng-geleng melihat aku yang sedari tadi asyik membelek-belek sekuntum mawar merah yang baru kupetik pagi tadi sebelum masuk ke kelas.
Aku tersenyum. “Apa salahnya?” keningku terangkat merenung Alya.
“Tak salah kau kata? Bunga itu ditanam untuk menceriakan sekolah. Tangan kau pulak gatal sangat petik. Wawa… Wawa…” Safiya mencuit hidungku sekilas. “Degil!” Tambahnya lagi.
Aku tersenyum meleret. Lalu, mawar itu kumasukkan ke dalam kotak pensilku. “Sehari, sekuntum aje aku petik,” ujarku perlahan. “Lagipun, aku nak buat aromaterapilah,” kataku bersahaja. Aku melihat teman-temanku dari ekor mataku.
Annis tiba-tiba bersuara, “Aromaterapi apa macam tu? Cik Hawa kita ni memang minah bunga betullah!”
Aku tersengih. Silih berganti aku memandang ketiga-tiga teman baikku itu. Mereka menggeleng-geleng memandangku.
“Apa-apa ajelah,” ujarku sambil menyambung kerja Kimiaku yang belum kusiapkan. Penuh khusyuk aku menyiapkan kerja itu. Tetapi, tiba-tiba…
“Pinjam sekejap,” satu suara kedengaran. Tangan kanannya pantas mengambil bunga mawar itu dari kotak pensilku.
Lantas aku mendongak. Pandangan kami sekilas bertemu. Dia merenungku dengan sesuatu perasaan yang aneh. Tiada senyuman. Tiada aksara. Tanpa sebarang kata, dia terus berlalu. Mengingatkan bunga mawarku yang diambilnya itu, aku pantas mengikutinya. Aku menjadi berang apabila dia tiba-tiba berlari mengelilingi kelas. Dan tanpa disedari aku terus mengejarnya.
Kemudian, dia berhenti di suatu sudut di belakang kelas. Dia tersenyum dan memandangku penuh makna. Aku pula terus memerhatikannya sambil terus memaksa agar mengembalikan bungaku itu. Sepasang matanya yang cantik itu terus merenungku.
Tanpa disangka-sangka, dia menyuakan bunga mawar itu kepadaku seraya berkata perlahan, “Just for you dear.”
Aku agak tergamam dengan perlakuan juga kata-katanya. Pandangan kami bertemu lagi. Sedetik dua masa berlalu sepi. Di saat itu, ada sesuatu yang perlahan-lahan menyentuh hati ini.
Tanpa mempedulikan usikan teman-teman sekelas, aku terus menyambut bunga itu seraya mengucap, “Thank you.” Dan aku terus berlalu apabila tiba-tiba jantungku berdegup dengan kencang!

* * * * *

AKU tersenyum lagi. Itulah kenangan pertama yang tidak pernah aku lupakan. Kenangan manis di mana tanpa diduga dia mula merapatiku. Walhal masa di Tingkatan 4 dahulu, aku tidak berkawan rapat dengannya meskipun kami sekelas. Kenangan terindah itulah yang tiba-tiba tanpa disedari ia menyatukan hati kami. Jiwa kami. Dan perasaan kami.
Aku memejamkan mata untuk seketika. Membiarkan kenangan demi kenangan yang telah berlalu bertandang kembali ke ruang memori ini. Bibirku melorek senyuman…

KENANGAN KEDUA – Puisi Cinta dari Adam

HARI ini Cikgu Salina yang mengajar subjek Biologi itu tidak masuk ke kelas. Cuti sakit katanya. Huh! Senang sekali hati ini tika mendengar maklumat terkini dari ketua kelasku. Aku tersenyum.
Bagi mengisi masa yang terluang, aku berbual-bual dengan Alya. Sambil itu aku membetulkan tanda namaku yang tertanggal di sudut meja. Di kelas, sememangnya guru kelas menyuruh kami menampal nama masing-masing di atas meja. Sebabnya hanya satu, iaitu agar meja masing-masing tidak tertukar.
Kemudian, tiba-tiba Adam mendekatiku. Seperti biasa, dia selalu datang kepadaku dengan diiringi gaya tampannya, senyuman yang manis dan renungan matanya yang acap kali menusuk hati.
Tanpa mempedulikannya, aku terus membuat kerjaku. Alya pula sedang berbual-bual dengan Annis dan Safiya di belakang. Dan dia terus berdiri di situ. Sedetik demi sedetik masa berlalu. Namun, dia masih di situ. Lantas aku mendongak ke atas. Memandangnya. Tanpa diduga, rupanya dia sedang merenungku!
Dahiku berkerut memandangnya. Menghantar pertanyaan.
Dia tersengih. “Tak ada apa.”
Aku mengangguk. Dan aku terus menyambung kerjaku. Perlahan-lahan aku meyapu gam di tanda namaku yang telah tertanggal tadi. Lalu aku menampalnya kembali di sudut meja. Dia pula masih tercegat diam di situ. Masih memerhatikanku. Hatiku kian diterpa kehairanan.
“Add…”
“Cantik tanda nama tu,” belum sempat aku habis menyebut namanya, dia sudah memintas. Aku menggeleng-geleng.
Aku memberanikan diri memandang matanya yang redup itu. “Terima kasih.” Bibirku merekah dengan senyuman.
Tiba-tiba dia tersenyum lebar. Penuh makna. “Rasanya, tanda nama kau itu lebih cantik kalau letak kat meja aku,” dia berjeda sejenak. Anak matanya terus merenungku. “Dan… tanda nama aku pulak tentu lebih elok kalau tampal kat meja kau. Betul tak, Wa?” Dia mengulum senyuman.
Aku terkejut. Apahal lelaki ini?
Kemudian dia terus menambah, “Bila tanda nama kau itu tampal kat meja aku, bila aku tengok spontan aku akan sentiasa teringat pada kau.” Dia tertawa kecil. Pandangan matanya cuba mencari-cari anak mataku yang kusembunyikan.
Aku kian keliru dengan kata-kata juga sikapnya itu. Apa sebenarnya makna yang tersirat di balik diksinya itu? Atau dia sengaja mengusik hati perempuanku? Aku menjelingnya sekilas sambil menggeleng-geleng.
“Apa-apalah, Adam.” Balasku dan aku terus menyambung kerjaku; merapikan tanda nama yang telah siap kutampal sebentar tadi. Entah mengapa, kurasakan agak lambat dan perlahan sekali kerja menampal yang telah kulakukan ini. Walhal, tidak sampai beberapa minit juga sudah selesai sebenarnya. Tetapi, mengapa tangan ini agak menggeletar dan perlahan saat ini? Adakah kerana kehadiran dia yang membuatkan aku resah gelisah begini?
Sudah beberapa minit berlalu, tetapi dia masih di situ. Masih terus memerhatikanku. Aku yang semakin tidak senang duduk terus mengemas apa yang patut, sekadar menyibukkan diri.
Tiba-tiba, dia bersuara perlahan. “Wawa, kau nak dengar puisi cinta yang aku cipta sendiri?” Matanya tunak merenung.
Aku tersenyum sinis. Sejak bila pula dia pandai menulis puisi? Malah, markah Bahasa Melayunya sahaja tidak pernah mendapat A. Di suruh oleh guru untuk membuat ayat pemahaman yang ringkas sahaja sekalipun dia masih terkial-kial. Apatah lagi ingin menghasilkan puisi yang sememangnya memerlukan pemikiran yang kreatif, bahasa yang halus dan indah. Aku hampir tergelak. Namun sempat kutahan di dalam hati.
Lantas aku mengangguk. Aku terus memerhatikannya. Merenung gerak bibirnya yang perlahan-lahan terluah…

Apa yang kucintai
Laksana seorang pria sejati
Yang tulus mencintai kekasihku
Kini, tak henti-hentinya
Aku mencintai…

Apa yang kucintai kini
Akan kucintai hingga akhir hidupku
Kerana cinta dan kasih yang terukir antara kita
Adalah sebutir mutiara suci
Yang paling terindah sekali
Dalam hidupku…

Dia berjeda sejenak. Perlahan nafasnya disalurkan. Matanya yang kukira agak bercahaya itu masih setia merenung anak mataku. Menjamah wajahku. Dan dia kembali menyambung berpuisi tanpa melihat bait-bait puisi di kertas. Aku agak terkesima juga terkedu apabila inderaku ini terus terbuai dengan aksara demi aksara yang terbersit dari luahan bibirnya. Juga dari luahan hatinya mungkin.

Tidak ada sesiapa pun yang akan memisahkan
Dan menghalangi diriku daripadanya
Sesungguhnya aku mencintaimu
Sepertimana sucinya cintaku yang sejati,
Sempurna dan hakiki kepada-Nya…

Sedari tadi aku jadi tertegun, lantas kehilangan diksi. Sukar untuk mempercayai apa yang baru terluah dari ulas bibirnya. Aku akui, indera dengarku tidak pernah dijengah dengan aturan indah kalimah-kalimah yang terangkum di dalam puisi yang telah dibacakan oleh sang pria. Malah, aku juga agak tergamam. Tidak pernah aku melihat dia pandai bermadah juga berinderaloka seperti itu. Bagaimana hati dan fikiran sang lelaki yang sememangnya keras dan teguh bak tembok besar China itu menjadi lembut dan bisa tercetus pemikiran yang agak puitis dan halus?
Aku cuba mengingati kembali bait-bait stanza puisi itu. Menghayati keseluruhan puisi yang dicipta olehnya secara sedalamnya. Ya… kini aku mengerti. Ceritera dan tema utama yang tersisip di landasan puisi itu adalah tentang cinta! Aku memahami akan kepastian makna yang cuba disampaikannya. Ternyata, rupanya dia sedang tersadai di belantara cinta. Hatinya dibawa berterbangan oleh merpati kasih. Sukmanya dititis oleh gerimis rindu. Atmanya sedang ditabur oleh kuntum-kuntum bahagia. Hidupnya kini terlindung di bawah bumantara dan langit gembira!
“Wa… Wawa?”
Hatiku berbicara lagi. Sememangnya, sang pria jika jatuh cinta hatinya akan berubah menjadi lembut dan suci bak salju. Itulah penangan cinta! Cinta secara semula jadi akan menitipkan ilham kretaif di benak sang lelaki. Justeru, tidak hairanlah dia kini tanpa diduga berupaya mencipta diksi demi diksi yang indah. Lalu, benarlah telahanku yang dia kini sedang disinari oleh cahaya mentari cinta! Hatiku tersenyum.
“Hawa!”
Suara yang agak meninggi itu ternyata berjaya menghalangi puput-puput semilir lamunanku dari terus berkelana jauh. Pantas aku memandangnya. Dia mengukir senyuman yang sukar untuk ditafsirkan. Aku diserbu malu lantaran dia mampu menangkap aku sedang mengelamun.
“Mengelamun, eh?” Dia tersenyum meleret. “Hmm… tahulah puisi aku tu sedap sangat”, dia berkata perlahan sambil tertawa.
Aku menjuihkan bibir. “Perasan! Siapa kata puisi kau tu sedap sangat?” aku memulangkan paku buah keras.
Perlahan, keningnya terangkat sebelah.”Eh, kan aku yang cakap tadi? Ada orang lain ke kat sini?” Pandangan matanya dihala ke kiri dan ke kanan. Kemudian, sekali lagi dia memandangku. “Tak ada, kan?” Dia tersenyum.
Aku mencemik. Sambil itu, mata ini sempat meliar memandang ke sekeliling. Mana tahu ada teman-teman sekelas yang sedari tadi memerhatikan kami. Aku berpaling ke belakang, Alya masih bersama Annis dan Safiya. Entah berdiskusi tentang apa. Aku menarik nafas panjang. Mujurlah saat-saat ini teman-teman sekelasku sibuk dengan diri masing-masing dan langsung tidak mengendahkan kami yang kelihatan berdua tika ini. Sementelah pula suasana agak bingit kerana guru tidak masuk ke kelas.
Aku kembali memerhatikan Adam yang masih setia berdiri di hadapanku. “Aku tengok sekarang, kau macam angau aje. Lepas tu, pandai mencipta dan mendeklamasi puisi pulak tu. Kau tengah jatuh cinta, eh?” Soalku sambil tersenyum nakal ke arahnya.
Desahan nafasnya jelas kedengaran. Tangan kananya tiba-tiba dibawa menari-nari di pentas pipinya. Perlakuan spontan yang lazimnya dilakukan olehnya tika memikirkan sesuatu. Pandangan matanya dibiarkan menjangkau jauh ke hadapan.
Aku menongkat dagu di atas meja. Namun, mata ini masih lagi memerhatikannya sambil menunggu butir bicara selanjutnya. Tiba-tiba, dia memandangku kembali. Ada senyuman manis yang terlorek dibibirnya.
“Aku jatuh cinta pada Hawa,” perlahan dia meluahkan aksara.
Aku terkedu. Bukankah itu namaku? Jika aku sedang makan gula-gula, sudah tentu aku akan tercekik. Aku cuba menenangkan perasaan yang mula bergelojak di hati. Barangkali, secara kebetulan nama itu persis namaku. Di dunia ini, bukan hanya aku seorang yang dikenali dengan nama itu. Lalu, tidak usahlah aku terlalu terkejut seperti aku terkena kejutan elektrik. Bukankah sebaiknya begitu?
Aku tersenyum sinis. “Adam… Adam. Dalam hal cinta pun, kau tersangkut pada orang yang mempunyai nama yang sama dengan aku. Tak ada nama lain ke?” Aku menggeleng-geleng.
Dia hanya tersengih.
Aku bertanya lagi. “Orangnya macam mana? Cantik?”
Dia tersenyum. “Tentulah. Macam kau.”
Hah? Aku menelan air liur. Kata-katanya semakin mengusik perasaanku. Juga kian menambah debaran di dada. Tanpa mempedulikan kata-katanya, aku terus bertanya lagi,”Orangnya tentu baik, kan?”
Adam pantas menjawab. “Sudah semestinya. Dia macam kau juga, Wa.”
Aku lagi! Mengapa dengan lelaki ini?
“Kau dah bacakan puisi itu untuk dia?” Soalku apabila teringat tentang puisi itu.
Dia terdiam sejenak. Lalu dia angguk. “Sudah. Baru aje tadi.” Katanya bersahaja.
Aku terkesima. Fikiran ini mula dihimpit dengan persoalan demi persoalan. Bila masa dia keluar? Seingat aku sedari tadi rasanya dia bersamaku. Masih berbual-bual denganku sehingga aku jadi lelah melayaninya. Apabila hal itu kunyatakan padanya, dia beria-ia mengangguk.
“Memanglah aku tak ada keluar dari tadi. Tapi, aku dah bacakan puisi untuk dia.” Balasnya ringkas. Dia tiba-tiba tersenyum penuh erti ke arahku. “Yang kau tanya macam-macam ni, kenapa? Dahlah, Wa. Tak payah nak pening-peningkan kepala kau.”
Tidak kuendahkan bicaranya. Dan dahiku terus berkerut-kerut memikirkannya. Sejenak, aku memandang wajahnya. “Tapi, tadi kau baru aje baca puisi itu depan aku, kan?”
Adam pantas membalas, “Hah! Ingat pun. Tentulah kau orangnya.” Dia tersenyum-senyum seiring dengan seribu makna.
Benarkah apa yang aku dengar? Ayatnya yang terakhir itu seperti merenggut jantungku. Serta-merta aku mendongak memandangnya. Mataku tidak berkelip merenungnya. Mengharapkan pengertian juga penjelasan.
Matanya memanah jauh ke dalam anak mataku. “Betul. Aku jatuh cinta pada Hawa.” Bersungguh-sungguh dia mengiakan.
“Tapi, aku Wawa lah. Bukan Hawa!” Gurauku ringkas, menutup ketidaksenangan sendiri.
Dia tiba-tiba mengambil bunga mawar di mejaku lalu membalingnya ke wajahku. “Sejak bila pulak kau gila dan hilang ingatan, ni? Itu nama samaran aje. Tak gitu Hawa?”
Aku tersengih. Kemudian, aku memandang Adam lagi. Dia masih merenungku dengan pandangan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Aku cuba berlagak selamba. Cuba menenangkan diri walhal debaran di dada kian mencengkam jiwa.
“Ke kau yang dah gila?” Tanyaku selamba. Sekaligus memecahkan kesepian yang tiba-tiba menitipkan sesuatu pengertian tentang sesuatu perasaan yang aneh.
Dia menarik nafas panjang. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluarnya. “Ya. Aku memang dah tergilakan kau.” Dengan senyuman dan pandangan mata yang penuh erti, dia terus berlalu.
Berlalu meninggalkan aku yang kebingungan!

KENANGAN KETIGA – Pertemuan antara Adam & Hawa

PAGI ini pagi nan indah. Alam semula jadi di Taman Saujana yang indah menyambut kedatanganku. Usai meletakkan basikal di tempat yang disediakan, aku terus berjalan-jalan mengelilingi taman ini. Mataku melingas memandang sekeliling. Kabus pagi pada Sabtu yang damai masih menyelimuti pepohon hijau. Titisan embun masih lagi menitis di dedaun kering dan di kuntuman bunga. Pawana berlegar menghembus tiupan sukma damai. Kedinginan yang nyaman menguja atma. Flora yang kehijauan dan berwarna-warni berdiri megah menahan sendu. Sang fauna yang riang menyanyikan lagu-lagu alam menyela kenyamanan.
Aku mendongak ke arah bumantara. Terpesona hatiku tika memandang gerak gerayu sang awan yang berambal-ambalan. Sang mentari perlahan-lahan bersinar riang di ufuk timur lalu mencurahkan cahaya kemilaunya di seluruh pelosok alam. Kicauan permai sekawan burung – merpati, pipit, helang dan segala burung yang ada di angkasa raya berterbangan riang dan damai menggamit mesra. Pepohon yang menghijau seakan-akan menari mengikut alunan depusan pawana yang mendamaikan.
Aku memeluk tubuh tatkala desiran semilir merangkul damai tubuhku. Sesekali, depusan pawana yang lembut menyapa tidak segan-silu mengusik-usik jilbabku. Seakan-akan seperti mengusik indah gemersik kalbuku. Ya Tuhan… alangkah tenangnya hati ini tatkala terdengar alunan dedaun kering yang berkerisikan disentuh sang bayu yang berlegar.
Perlahan-lahan aku mengorak langkah melewati deretan pohon kemboja yang tumbuh subur di kiri dan kanan jalan Taman Saujana. Kuntuman-kuntuman bunga kemboja sesekali berguguran di tanah. Pohonnya yang merimbun pula begitu saujana mata memandang. Hamparan tasik yang tenang dan beralun indah menguja rasa sukmaku. Tidak puas-puas aku mengamati dan menikmati keindahan panorama semula jadi di sini. Ya… sungguh indah.
Aku terus berjalan dan tiba-tiba terhenti apabila…
“Ops!” Sekuntum bunga kemboja tiba-tiba dibaling ke arahku. Tidak sempat kuelak, ia terus terkena wajahku.
Aku terkejut. Segera mataku melingas memandang sekeliling. Mencari-cari seseorang. Mataku terus terhenti apabila terpandangkan seseorang yang berdiri di tepi pohon kemboja yang tidak jauh dariku. Dia tersenyum memandangku.
Aku terkedu. Adam!
Senyumannya tidak kubalas. Aku hanya memandang kosong ke arahnya. Bagaimana dia boleh berada di sini? Bagaimana dia boleh tahu aku berada di sini pada pagi ini? Pertemuan ini dirancang atau secara kebetulan? Hatiku terus diterjah dengan persoalan demi persoalan.
Melihatkan aku yang masih berdiri kaku di situ, dia mula menghampiriku. Aku amati wajahnya juga gayanya. Dia kelihatan santai berjalan dengan sweater hitamnya berserta seluar jean biru. Rambutnya disisir rapi. Wajahnya bersih dan tidak luar biasa jika aku katakan, dia sememangnya kacak dan tampan hari ini. Seperti biasa, dia akan datang kepadaku dengan gaya seorang lelaki yang semula jadi; kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek sweaternya sambil diiringi senyuman manis dan pandangan mata yang bersinar-sinar. Mengapa tiba-tiba aku jadi terpesona dengannya? Argh!
“Kenapa berdiri tegak aje ni? Serupa aku tengok kau macam robot. Kaku!” Dia tertawa kecil. “Terkejut, eh?” Dia tersenyum. Anak matanya terus menerus merenungku.
Aku menjelingnya geram. “Tentulah. Tiba-tiba aje ada orang baling bunga ni kat aku. Teruk betullah!”
Adam tersengih. “Sorry Wa. Aku gurau aje tadi.”
Diksi maaf meluncur dari bibir nipisnya.
Aku angguk. “Apa mimpi pagi-pagi kau datang ni? Sebelum ini tak pernah nampak pun kau kat sini?” Tanyaku hairan.
Spontan, jari tangan kanannya dibawa menari-nari ke pipi. Wajahnya jelas kelihatan dia seperti memikirkan sesuatu.
Aku menggeleng-geleng. “Jawab soalan yang senang itu pun kau nak fikir lagi?” Aku menjelingnya sekilas.
Dia tergelak. “Memang aku jarang datang sini. Tapi, entah kenapa tiba-tiba pagi ni aku tergerak nak pergi sini.” Bicaranya terhenti sejenak. Dia memandang aneh ke arahku. “Rupanya nak jumpa dengan kau,” ujarnya sambil tersenyum penuh makna.
Aku mencemik. Tanpa menghiraukannya, aku terus melangkah ke hadapan perlahan-lahan. Dia pantas mengikutiku dan berjalan beriringan di sisiku. Kami terus berjalan sambil menikmati panorama yang indah, melewati setiap deretan pohon kemboja yang berbunga segar dan riang.
“Cantiknya tempat ni…” pujinya seraya asyik memerhati pohon-pohon kemboja yang tumbuh subur. Sesekali pandangan matanya di hala ke kirinya dan merenung jauh tasik yang berkocak tenang.
“Ya. Memang cantik.” Sesungguhnya aku juga terpesona dengan keindahan ciptaan ALLAH SWT ini. Lukisan karya agung dari Ilahi yang luar biasa. Tidak mampu diungkap dengan kata-kata melainkan ucapan kesyukuran yang terdetik di hati juga yang terluah di bibir.
Pawana pagi yang selalu memahami memeluk erat tubuhku. Kedamaian taman ini begitu mengucup sukma. Keindahan panaroma yang terbentang luas di sekelilingku begitu membuai atma. Lagu-lagu alam yang dimainkan oleh sekawan burung acap kali meruntun kalbu dan nubari.
“Kau seorang aje, Wa?” Soalnya sambil memandang ke arahku.
Tanpa memandang wajahnya, selamba aku membalas. “Taklah. Kan aku berlima ni. Tak nampak ke?”
Adam tergelak. “Kau selalu datang sini?” tanyanya lagi.
Aku mengangguk. “Ya. Selalu.” Dan aku terus berjalan menghampiri pohon kemboja yang berada di penghujung sambil diiringi oleh dia.
“Selalu sangat aku datang sini. Setiap petang dan setiap pagi pada hari minggu.” Kataku ketika kami sudah melungguh di bawah pohon kemboja. “Pokok inilah yang selalu jadi tempat aku bersandar.” Tambahku lagi.
“Kenapa kau suka duduk kat sini?” soal Adam.
Aku menjungkitkan bahu. “Tak tahu,” ujarku perlahan. “Bagi aku, pokok kemboja yang ini lain dari yang lain daripada pokok kemboja yang ada kat sini.”
Dia kalih pandangan ke sisi. “Lain macam mana tu?” Dia berkerut dahi.
Aku tergelak kecil. “Entah. Mungkin sebab pokok ini sentiasa merimbun dan bunga-bunganya agak lebat.”
Adam tersenyum. “Bukan sebab pokok ini tempat yang agak privasy sebab terletak kat hujung?”
Aku tersengih. Kepalaku sejenak berfikir. “Ya, mungkin juga.” Ujarku sambil melihat dirinya dari ekor mataku.
“Cantik tasik itu, kan?” Dia membuang pandangannya ke arah tasik yang terdampar luas.
Aku angguk. Ada senyuman terukir dibibirku. “Sebab itulah aku suka datang sini. Bila aku gembira aku datang ke mari. Begitu juga bila aku aku sedih,” ujarku gembira. “Bila aku duduk di bawah pokok ini sambil merenung tasik, spontan semua kesedihan aku akan hilang dan aku berasa tenang dan damai.”
“Di sinilah syurga buatku, Adam. Tempat yang paling istimewa. Di sinilah tempat sumber ilhamku. Aku tenang dan damai di sini. Kau tahu, tempat ini menyumbangkan keindahan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja yang berlindung di bawah naungannya. Keindahan yang sukar ada di tempat lain,” ucapku meluahkan rasa kekaguman.
Sejenak, aku terdiam seraya menghela nafas panjang. Sesekali aku membetulkan jilbabku yang sebentar terkisar liar dikacau desiran semilir yang damai. Aku kalih pandangan ke sisi. Melihat Adam.
Dia masih seperti tadi. Masih duduk memeluk lutut sambil pandangan matanya tidak lepas dari memerhatikan sang rerama berwarna-warni yang menari rinag dan segar berlegar di pohon bunga di hadapan kami.
Sekilas dia melihatku. “Cantik, kan?” Dia tersenyum.
“Hmm…” gumamku perlahan.
Adam tiba-tiba bertanya, “Wa… apa pendapat kau tentang cinta?” Tunak anak matanya merenungku. Kini, dia santai bersandar di perdu pohon kemboja.
Aku menyepi sebentar. Aku jarang memikirkan tentang hal yang satu itu. Bagiku, ia tidak penting untukku buat ketika ini. Aku mahu menumpukan pada pelajaran yang menjadi perkara utama di waktu bergelar pelajar ini. Berada di alam remaja semestinya hati ini mahu merasa ingin mencintai dan dicintai. Itu sudah lumrah. Namun, selagi bergelar pelajar yang ada segelintirnya bercinta, kita perlu bijak mengatur diri ini dalam menyeimbangkan antara pelajaran dan cinta. Barulah hidup kita tidak tersasar ke persimpangan yang salah. Bukankah begitu?
Aku menarik nafas perlahan. Leka mataku memerhati dan mengamati dua ekor rama-rama yang masih berlegar-legar di pepohon bunga itu. Benakku kian memikirkan tentang persoalan yang diajukan oleh Adam sebentar tadi. Aku cuba menggali dan mencerakin makna cinta yang sebenarnya. Erti kasih yang sebetulnya. Juga maksud rindu yang sedalamnya.
Sekilas, aku kalih pandangan ke sisi. Dia setia merenungku. Sepasang matanya yang redup seolah-olah tulus dan ihklas memandangku. Aku jadi tidak keruan bila melihat senyumannya. Pantas aku mengalihkan pandangan.
Tiba-tiba, dia mengambil sekuntum bunga kemboja lalu dicampaknya ke arahku. Sama seperti yang dilakukan tadi. “Kau ni memang kuat beranganlah!” Dia tertawa.
Tanpa membalas usikannya, aku menjelingnya geram. Apabila melihat aku yang diam tanpa reaksi, dia mengulangi lagi pertanyaannya, “Wawa… aku tanya ni, apa yang boleh kau bagi tahu aku tentang cinta?” Beria-ia dia bertanya. Lukisan wajahnya terpamer warna-warna pengharapan.
Aku menghela nafas panjang. Benakku ligat memikirkan.
“Cuba kau tengok rama-rama yang berwarna-warni itu,” kataku seraya terus merenung rerama yang masih setia menari-nari di bunga yang mengorak kelopak.
Pandangan matanya terus dihalakan ke arah rerama itu. Kemudian, dia memandangku lagi. “Kenapa dengan rama-rama?” Soalnya hairan. Keningnya terangkat.
Aku tersenyum. “Bagi aku, cinta itu laksana rama-rama,” ujarku perlahan. Aku membetulkan posisiku. “Selalu berterbangan tatkala kita cuba mengejarnya. Tetapi, jika kita tidak mengejarnya dan hanya membiarkan sahaja, rama-rama itu pasti akan bebas berterbangan dan menghinggapi pada mana-mana bunga yang disukainya.” Laju sahaja madah yang kucipta sendiri itu meluncur dibibirku.
Dahinya berkerut memandangku. “Maksudnya?” Sudah kuduga soalannya itu.
Aku terdiam sejenak. “Maksudnya… cinta itu tak perlu dikejar. Ia akan datang dengan sendirinya tanpa diminta, tanpa dipaksa, dan tanpa disuruh,” aku berjeda sejenak. Aku memandang wajahnya. “Kalau aku kan, aku ingin menjadi seperti bunga-bunga itu. Bunga yang mekar mengelopak dan hanya membiarkan sang rama-rama merapatinya tanpa diminta.” Tambahku lagi.
Dia tersenyum. Kemudian, keningnya terangkat lagi. “Bunga itu diumpamakan sebagai kau, habis yang rama-rama itu siapa?”
Aku melihat dia dari ekor mataku. “Tentulah seorang lelaki,” balasku.
“Ya. Betul-betul.” Dia mengangguk-angguk.
Aku memeluk tubuh tatkala desiran semilir merangkul erat tubuhku. Kedinginan alam begitu mengucup mesra. Lagu-lagu alam masih lagi damai menari-nari di indera dengarku. Aku mengecilkan pandangan tika mutiara sang mentari perlahan-lahan mencurahkan sinaran kemilaunya membias di tubir mata.
Adam tiba-tiba merenungku. Lama.
Aku jadi terkesima. Apahal lelaki ini? Pantang betul jika ada lelaki yang memandangku sehingga boleh mengundang debaran di dada!
“Hei… kenapa tengok aku macam nak makan orang ni?” Gurauku ringkas, menutup ketidaksenangan sendiri.
Dia tersenyum lebar. “Wa… agak-agakkan, kau boleh tak jadi bunga itu? Dan aku pulak jadi rama-rama yang berwarna-warni itu?” Soalnya sambil meleret ke arah rama-rama yang masih berada di bunga itu.
Dahiku berkerut kehairanan. Ada debar yang menghenyak dada. Namun, pantas aku menenangkan diri tatkala mengenangkan sikapnya yang gemar bergurau senda. Tetapi… mengapa aku lihat ada cahaya yang sepertinya tulus dimatanya? Dia bagaikan tidak bercanda. Tetapi… argh!!!
Aku menghela nafas. “Terpulanglah.” Selamba aku membalas.
Adam tersenyum senang. Tiba-tiba dia membaling lagi bunga kemboja ke arahku.
Aku merenungnya sambil menahan amarah. “Kau dari tadi asyik campak bunga ni kat aku aje. Degil betullah!” marahku sambil kedua-dua belah tangan ini memungut kuntuman bunga kemboja lalu kubaling ke arahnya.
Dia sempat mengelak apabila tiba-tiba dia bingkas bangun dan menjauh dariku. Aku membaling lagi ke arahnya sambil cuba mengejar dia yang pantas berlari. Dia tergelak besar. Sambil berlari-lari pun, Adam masih sempat memungut bunga kemboja yang berguguran lalu dibalingnya lagi ke arahku.
Dan kami terus sambil baling-membaling antara satu sama lain sambil berlari-lari mengelilingi pohon kemboja itu. Ya… kami persis anak kecil yang riang berlari dan berkejaran. Rasa marah yang terpahat di hati tiba-tiba menjadi sebaliknya. Aku menjadi gembira dan bahagia hari ini. Ada sesuatu yang mendekatkan hati kami tika ini.
Hanya pohon kemboja dan hamparan tasik yang menjadi saksi akan kemesraan dan kegembiraan yang terjalin antara aku dan dia di pagi yang permai ini…

KENANGAN KEEMPAT – Memori Tercipta

“ALAMAK!” Aku terkejut bila terpandangkan tayar belakang basikalku yang pancit. Spontan, aku terus mencangkung lalu tangan ini cuba memicit-micit tayar basikal itu. Lembik! Aku mendengus kasar sambil bingkas bangun.
Mataku meliar memandang sekeliling. Suasana di Taman Saujana hening lagi sepi. Betapa tidak, ketika ini adalah waktu tengah hari. Aku sahaja yang beria-ia singgah sebentar ke sini tadi selepas pulang dari sekolah. Tetapi, aku tidak menyangka pula aku akan mendapat dugaan pada hari ini. Ya… sememangnya dugaan itu selalu datang tanpa kita duga.
Aku menghela nafas panjang. Kedua-dua belah tanganku mencekak pinggang sambil terus mengeluh kasar. Aku menjeliing geram ke arah basikalku itu yang tiba-tiba menimbulkan masalah.
Gerimis peluh mula menghujani tubuhku. Cuaca kala ini begitu panas dan bahangnya seakan-akan hangat membakar diri ini. Antara terpaksa dan tidak, aku terus memimpin basikalku perlahan-lahan di bawah terik matahari. Terpaksalah aku memimpin basikal sejauh 2 kilometer untuk sampai ke rumah.
Argh! Aku mendengus lagi.
Sampai sahaja di pintu keluar Taman Saujana, aku berhenti seketika. Nafasku tercungap-cungap menahan keletihan. Aku mengelap peluh yang mula bertamu di dahi. Kemudian, aku sempat melihat jam di tangan.
Pukul 2.30 petang.
Aku mengeluh.
Tiba-tiba kornea mataku terlihat kelibat seseorang yang sedang menunggang basikal dari arah yang bertentangan denganku. “Adam!” aku melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Dia tersenyum dan segera menghampiriku.
Aku menarik nafas lega.
“Kenapa ni?” Soalnya sambil bersilih ganti memandang aku dan basikalku.
“Tayar bocorlah,” balasku sambil memerhatikannya. “Kau baru balik ke?” Soalku hairan apabila melihatkan dia yang masih berseragam sekolah. Sedangkan jam 1.40 tadi kami sudah pulang dari sekolah.
Dia angguk. “Ada perjumpaan kelab tadi. Kemudian, ada kerja yang perlu aku siapkan.” Jelasnya sambil tersenyum.
“Eh! Yang kau tercegat diam ni, kenapa? Pergi letak basikal itu kat bawah pokok tu,” arahnya padaku.
Aku terkesima. Hairan. “Hah? Buat apa?”
Dia mengeluh. “Letak aje kat situ. Petang nanti aku bawa ke kedai Ah Meng. Jangan risau, takkan hilang.”
Dalam terpinga-pinga, aku memimpin basikal ini lalu meletakkannya di bawah pokok yang berhampiran. Kemudian, aku terus mengambil beg sekolahku yang kuletakkan di bakul basikal. Lalu, aku meletaknya di bahu.
“Okey, jom.” Dan aku terus menapak pergi berjalan perlahan-lahan menuruni jalan di Taman Saujana yang agak berbukit.
Adam tiba-tiba menahanku. “Eh, kau nak ke mana?”
Langkahku terhenti. Aku berpaling ke arahnya sambil berkerut dahi. “Baliklah.”
Dia menggeleng-geleng. “Dah, jangan nak mengada-ngada. Mari sini naik basikal dengan aku,” ujarnya bersahaja. Tunak matanya memandangku.
Aku terkedu. Bulat mataku merenungnya. “Seumur hidup aku, aku tak pernah naik satu basikal dengan orang yang bukan muhrim. Aku lebih rela berjalan dari naik basikal dengan kau tau!” aku tetap dengan pendirianku. Pesanan emak agar menjaga adab susila dan batas pergaulan tetap kuingati.
“Ya, aku tahu. Tapi, kali inikan terpaksa. Sudah, jangan degillah!” Adam terus memaksaku.
Aku menggeleng-geleng. “Tak nak,” aku tetap berkeras.
Dia mengeluh. “Wawa, cuaca tengah panas ni.” Redup dia memerhatikanku. “Kalau kau pengsan tengah jalan macam mana?” sekali lagi dia cuba menjeratku. Dia tersenyum sinis.
Aku jadi serba salah. Ya, benar katanya. Jika aku pengsan bagaimana? Tetapi, aku tidak sanggup menaiki satu basikal dengannya. Apa pula kata orang-orang di sekeliling? Ahh! Fikiranku kian bercelaru.
“Wawa, aku tak berniat apa pun. Aku cuma nak tolong kau aje. Dahlah tak payah fikir apa-apa lagi. Cepat naik!” Arahnya lagi kepadaku. Dari sinar matanya jelas terpamer keikhlasan dan pengharapan.
“Cepat!” Adam mendesakku lagi.
Aku jadi kebingungan. Namun, bagai lembu dicucuk hidung, aku terus menghampirinya lalu lambat-lambat aku melabuhkan punggung di belakangnya.
Dia tersenyum meleret. “Pegang akulah. Nanti jatuh aku tak tahu.”
Aku mencemik. “Jangan harap!” kataku bersahaja.
Adam terus tergelak dan perlahan-lahan dia mengayuh basikal meninggalkan Taman Saujana.
Dalam perjalanan, dia tiba-tiba bertanya. “Wa… kau suka lagu apa?”
Hatiku diterpa kehairanan. “Kenapa nak tahu?” Aku menyoalnya kembali.
Adam terdiam sebentar. “Aku nak nyanyi ni. Cepatlah cakap.”
Aku terdiam. Memikirkan sesuatu. “Hmm… lagu Cintamu Mekar di Hati dan Tercipta Untukku.” Ya… sememangnya itulah lagu kegemaranku dari dahulu sehinggi kini. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku begitu menyukai lagu tersebut. Teman-temanku acap kali bertanya dan mereka mengatakan kedua-dua lagu tersebut hanya lagu biasa-biasa sahaja. Entahlah… barangkali lirik lagunya yang indah begitu membuai hati sehingga indera dengarku mudah menerima kemerduan lagu tersebut.
“Kenapa kau suka lagu itu?” persoalannya persis dengan pertanyaan teman-temanku sebelum ini. Adam menoleh sekilas ke belakang.
“Tak tahu.” Aku sememangnya tidak tahu mengapa aku begitu meminati lagu dari kumpulan May dan Ungu itu. Mungkin kerana melodinya yang berupaya membangkitkan ketenangan di hati. Mungkin juga kerana lagunya sungguh bermakna.
“Aku nyanyi, eh?”
Aku menjuihkan bibir. “Kau jangan nak mengada-ngada. Suara kau tak sedap. Nanti hujan!” Begitu bersahaja aku membalas. Aku menahan tawa di lipatan hati. Sekilas sahaja mengalihkan pandangan ke arahnya.
Dia tergelak. “Kau ni teruklah, Wa. Selamba aje kutuk aku.”
Aku tersenyum. “Lainlah kalau kau nyanyi sambil petik gitar. Hah… barulah sedap sikit,” ujarku lagi.
“Kau suka?” soalnya pula.
“Ya.”
“Kenapa?”
“Tak tahu.”
Perbualan kami terhenti setakat itu sahaja. Sementelah dia hanya menyepi, maka aku juga begitu. Lebih seronak rasanya melayan duniaku sendiri. Perlahan-lahan dia terus mengayuh basikal menuju ke rumahku.
Namun, telahanku salah rupanya. Aku fikir dia akan menoktahkan pertanyaannya, tetapi suaranya tiba-tiba memecah kesunyian. “Wa…” Adam memanggilku.
“Hmm…”
Dia terdiam sejenak. Kemudian, “Satu hari nanti boleh aku nyanyikan lagu itu untuk kau?” Perlahan dan mendatar dia menuturkan aksara.
Aku terkedu. Tiada reaksi yang kuberikan padanya. Aku tidak mengiakan juga tidak menindakkan. Hanya membisu seribu bahasa.
Melihatkan dia agak perlahan mengayuh, aku segera bersuara. “Kau ni perlahan sangat kenapa? Sampai esok pun tak sampai kalau bawa basikal macam ni.” Sengaja aku menukar topik untuk melepaskan diri dari persoalannya.
Dia tertawa kecil. “Okey… okey. Tapi, kau peganglah. Nanti kau jatuh tergolek-golek, tau!”
Aku menjelingnya geram. “Kau ni tak belajar agama ke? Haram tahu orang bukan muhrim bersentuh-sentuhan.”
Adam tertawa lagi. Kali ini dia tertawa besar. “Wawa… kau ni dah salah fahamlah.” Katanya seraya diiringi gelaknya yang masih bersisa. “Aku tak suruh pun kau pegang aku, peluk aku. Aku hanya suruh kau pegang belakang tempat duduk aku ni aje!”
Aku tertegun. Terkesima. Benarkah begitu? Aku jadi malu sendiri. Mujurlah aku duduk membelakanginya. Jika tidak, sudah tentu dia dapat melihat wajahku merah diserbu malu.
Adam tergelak besar.
Aku ikut tertawa.
Seluruh sejagat raya tika itu pasti melihat tali ukhuwah yang tiba-tiba terjalin antara kami. Keakraban yang tanpa diduga. Kemesraan yang tanpa disangka. Memori indah yang mula tercipta.

* * * * *

KICAUAN permai sekawan merpati yang indah berterbangan di langit biru mencantas lamunanku. Serta-merta bayangan kenangan bersama Adam hilang dari tubir mata.
Aku menyeka lagi air mata yang semakin deras mengalir. Teringat tentang Adam membuatkan aku acap kali dilanda kesedihan. Jika boleh, aku ingin sekali kembali semula pada kenangan-kenangan terindah itu. Kenangan indah yang selama ini aku anggap tidak ada apa-apa makna buatku. Kenangan manis yang Allah bingkiskan kepadaku agar aku menghargai si dia yang tulus mencintaiku. Tetapi… aku tidak pernah ingin mencari kepastian makna akan semua itu. Tidak pernah!
Aku tidak pernah ingin mengambil tahu mengapa dia acap kali mendekatiku. Di mana ada aku, di situ ada dia. Aku tidak pernah mencuba untuk mengerti mengapa ketika itu dia sering kali bersikap aneh terhadapku. Aku tidak pernah menyelami hatiku dengan sedalamnya mengapa ada sesuatu perasaan aneh dan halus yang lazimnya menyelinap perlahan-lahan tika aku dekat padanya. Malah, aku beria-ia membuang perasaan itu jauh-jauh meskipun ia tetap terpahat di hati. Betapa bodohnya aku!
Aku kembali menebarkan pandangan ke arah tasik yang berkocak tenang. Sekali-sekala aku merenung dua ekor rama-rama yang masih setia menari-nari di bunga itu. Terpandangkan itu, aku jadi teringat kenangan dulu, kenangan di mana aku dan Adam melungguh di bawah pohon ini sambil bersandar menghayati panorama indah. Itulah pertemuan pertamaku dengannya. Malangnya, aku tidak sedikit pun menghargai kehadirannya yang acap kali mewarnai hidupku.
Satu keluhan berat terlontar dari bibirku. Haru hatiku begitu memuncak di dada. Aku bersandar lagi di perdu pohon kemboja. Desiran pawana yang damai tidak pernah jemu bertandang menyelimuti diri yang kian dihimpit tembok kesedihan ini. Aku membiarkan lagi kenangan pahit bak hempedu itu menerpa. Kenangan pahit yang aku cetuskan sendiri!
Air mata mengalir lagi ke pipi…

KENANGAN TERAKHIR – Bunga-bunga cinta layu berguguran

PETANG itu aku duduk bersendirian di tepi tasik Taman Saujana. Sambil itu aku menelaah seketika untuk subjek terakhirku untuk peperiksaan SPM pada hari esok. Kemudian, aku akan bebas berterbangan seperti burung-burung itu! Aku tersenyum sendirian.
“Hai…” satu suara yang agak garau kedengaran.
Pantas aku menoleh. Adam tersenyum nipis memandangku.
Aku terkedu. Dia lagi!
Aku mengeluh perlahan. Sememangnya aku tidak senang dengan kehadirannya. Sementelah aku ingin mengulang kaji, maka aku lebih tenang jika bersendirian. Tambahan lagi, sejak akhir-akhir ini dia agak terlalu dekat denganku. Aku ke sini, dia juga ikut ke sini. Di kelas apatah lagi. Perbualan teman-teman sekolah antara aku dan Adam menerbitkan rasa tidak senang di hati. Sebolehnya, aku tidak mahu dikaitkan dengannya. Apatah lagi jika dikatakan aku dan dia mempunyai hubungan yang istimewa. Sampai bila-bila pun, aku tetap menganggapnya sebagai teman sahaja dan tidak lebih dari itu. Noktah!
“Wa!”
Aku tersentak. Segera lamunanku terhenti. Aku pandang wajahnya.
Dia tersenyum meleret. “Kau ni tak habis-habis nak berangan!” ujarnya sambil menghampiriku. Perlahan-lahan dia duduk agak menjauh sedikit denganku.
“Study ke?”
Aku menjelingnya sekilas. “Taklah. Kan aku tengah basuh baju ni. Tak nampak ke?” selamba aku berkata. Geram aku dengan dirinya. Apakah dia tidak melihat apa yang sedang kulakukan ketika ini? Butakah dia?
Adam tertawa kecil. Dia menggeleng-geleng.
Diam.
Suasana tiba-tiba sepi.
Kemudian, “Esok last exam, kan?” Dia bertanya agak perlahan.
“A’ah,” balasku ringkas.
Satu keluhan kecil tiba-tiba kedengaran. “Selepas ini kita semua pasti akan berpisah, kan? Semua membawa haluan masing-masing.” Suaranya kedengaran agak sayu.
“Ya. Tapi kita akan berjumpa lagi masa nak ambil result nanti,” ujarku tanpa memandang ke arahnya. Pandanganku masih terus meneliti buku rujukan ini.
“Wa…” Dia memanggilku.
Aku melihat dia dari ekor mataku. “Kenapa?”
Dia menyepi seketika. “Hmm… aku ada sesuatu nak bagi kat kau ni,” dia bagaikan teragak-agak menuturkan diksi itu.
Aku pantas menoleh. Dahiku berkerut memandangnya. “Bagi apa?”
Potret wajahnya jelas tertera kebimbangan. Aku memerhati gerak-gerinya. Dia tiba-tiba mengambil sesuatu di belakangnya. Perlahan-lahan dia menyuakan sesuatu kepadaku.
Aku terpana. Tiga kuntum mawar merah!
Redup dia memandangku sambil berkata, “Just for you with… love. Err… Aku mencintaimu, Wa.”
“Apa ni?!” Meninggi nada suaraku. Tajam aku merenungnya. “Apahal kau bagi aku ni?” Aku tiba-tiba menjadi berang dengan Adam.
Wajahnya kelihatan terkejut. Lambat-lambat dia berkata, “Wa… aku cuma…”
Aku segera bingkas bangun. “Cukup! Aku tak nak dengar apa-apa lagi! Aku tengah pening kepala sekarang ni. Esok last exam. Dan kau pulak makin memeningkan kepala aku!” Tinggi aku bersuara. Tiada lagi wajah kemesraan yang sentiasa kutitikan padanya.
Mataku meleret pada mawar merah yang dipegangnya. Pantas aku menghampiri Adam lalu merampas bunga itu. “Apa semua ni? Aku tak suka dengan benda-benda semua ni!” Entah di mana kelembutanku sebagai gadis Melayu yang telah bersemadi di jiwaku selama ini. Aku terus mencampak bunga ke bawah dengan kasar.
Adam tergamam dengan perlakuanku. Dia sedari tadi berdiri tegak memerhatikan aku yang tiba-tiba menjadi kasar.
Aku sedikit pun ridak mempedulikannya, lalu aku terus beredar meninggalkan dia yang terpinga-pinga memandangku.
“Wawa… aku belum jelaskan semuanya!” Dia berteriak memanggilku. Aku mendengar dia perlahan-lahan menapak mengikutiku. Mungkin juga seperti berlari-lari anak.
Aku yang agak emosi ketika itu, terus menaiki basikalku dan terus berkayuh meninggalkannya.
“Wawa!!!”
Aku tidak menoleh lagi. Aku terus melaju…

* * * * *

MALAM itu aku teringatkan Adam. Aku jadi terkedu. Mundar-mandir aku berjalan di kamar tidur dengan diselimuti rasa bersalah yang tiba-tiba kian memuncak. Tergamam dengan apa yang sudah kulakukan padanya lewat petang tadi. Aku tidak menyedari bila air mata ini sudah mengalir perlahan-lahan di pipi. Dan aku masih tidak mempercayai bagaimana aku tiba-tiba boleh menjadi emosi padanya?
Berkali-kali aku beristighfar. Esakanku semakin kuat. Aku merasa serba salah sekali dengan Adam. Aku tidak wajar memarahinya tadi. Mengapa tiba-tiba aku begitu marah padanya? Mengapa baru kini aku sedar setelah aku melukakan hatinya. Ya Tuhan…
Sebenarnya aku tidak berniat pun ingin memarahinya. Jauh sekali ingin melukakan hatinya. Walhal apa yang dilakukannya lewat petang tadi bukanlah sesuatu masalah yang terlalu besar. Dia cuma memberikan bunga mawar merah itu. Ya… mungkin sebagai tanda persahabatan. Dia mungkin tidak bermaksud apa melainkan aku sahaja yang berfikiran yang tidak-tidak. Perihal luahan perasaanya itu pasti dia ingin bergurau sahaja denganku. Benar… dia sekadar mahu bergurau. Bukankah aku sudah mengetahui akan sifat semula jadinya itu?
Lalu, mengapa aku begitu emosi dengannya? Aku sendiri keliru. Fikiranku berkecamuk. Jiwaku merintih. Hatiku menangis. Arghhh!!!
Malam yang kelam itu, aku terus menangis sambil disaksikan oleh bulan dan bintang yang saling bersinar. Perasaan bersalah kian menebal di sukma. Perasaan menyesal kian membelenggu atma. Prahara manakah yang telah menerobos kalbuku sehingga tergamak melukakan hatinya?
Aku mengeluh seraya diiringi air kesedihan yang tidak pernah berhenti dari mengalir di pelupuk mataku ini. Mengalir deras. Sederas hatiku yang deras dihujani dengan air penasaran.
Aku yakin, Adam juga pasti menangis di sana. Dia pasti terluka dengan sikapku. Rasa bersalah dan bimbang terus melintasi ruang legar fikiranku. Adam, maafkan aku!

* * * * *
KEESOKANNYA, aku cuba menguatkan semangat untuk ke sekolah. Untuk menjalani peperiksaan SPM untuk subjek yang terakhir. Juga untuk bertemu dengan Adam. Aku cuba menyembunyikan kekecewaan dan kesedihanku di pandangan mata teman-teman. Biarlah aku sendiri yang merasainya tanpa perlu kuluahkan pada teman-teman.
Di dewan peperiksaan, dia berlagak seperti biasa. Bagai tidak ada apa-apa yang berlaku. Aku menyedari dia sesekali mencuri pandang ke arahku. Apabila aku cuba memberanikan diri untuk melihatnya, pandangan kami bertemu. Kali ini, matanya tidak lagi bersinar seperti selalu. Mata yang sentiasa bercahaya tika memandangku. Entah mengapa, tiba-tiba aku berasa hampa, kecewa dan terkilan.
Meskipun sedang dilanda kesedihan, aku masih mampu menjawab soalan dengan baik. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, setelah sekian lama memerah otak, menahan kantuk di malam hari, belajar tanpa kenal erti jemu, akhirnya selesai juga perjuanganku. Kini, aku bagaikan layang-layang dan sang burung yang bebas berterbangan di angkasa!
Aku teringat dia lagi. Hatiku kembali sayu. Selesainya SPM, maka akan terputuslah jalinan persahabatan yang telah terjalin antara aku dan dia. Selepas ini, dia pasti akan membawa haluannya. Dan begitu juga aku. Jika hal itu terjadi, bermakna kami tidak dapat mencipta kenangan di Taman Saujana lagi. Ya Tuhan… mengapa tiba-tiba aku menjadi hiba?
Semasa di luar dewan, aku sempat memerhatikannya dari jauh. Inkuiriku begitu membuak untuk mendekatinya. Aku ingin sekali memohon maaf kepadanya. Aku benar-benar merasa bersalah dan menyesal dengan apa yang sudah kulakukan padanya lewat petang kelmarin. Tetapi, kaki ini begitu berat untuk melangkah. Bibir ini pula bagaikan kelu dan terkunci untuk menyusun aksara. Lalu, apa yang harus aku lakukan?
Dan aku kian dilanda kesedihan…

* * * * *

“DIA sebenarnya suka kau, Wa. Dia cintakan kau,” itu kata Alya di saat aku meluahkan segala-galanya kepadanya. Aku terpaksa menceritakan padanya lantaran hati ini sudah cukup sarat dengan pelbagai masalah yang kian membelenggu.
Sesekali, Alya menarik nafas. “Semua orang dah tahu yang Adam betul-betul sayangkan kau.” Dia terdiam sebentar. Kemudian, kembali menyambung mengait benang bicara. “Selama ini kau tak perasan ke dia selalu dekati kau? Kau tak ingat kenangan demi kenangan antara kau dan Adam? Dia ikhlas berteman denganmu, Wa. Dia juga tulus mencintaimu. Dari sinar matanya saja aku sudah dapat melihatnya.”
Aku menelinga sahaja, enggan menyampuk. Kubiarkan Alya berkata-kata seorang diri. Dan air mataku semakin lebat mengalir.
Alya memerhatikanku dengan raut wajah yang sayu. Dia berusaha memujuk dan mendamaikan perasaanku. “Sudahlah tu, tak usah menangis lagi.” Alya cuba menenangkan jiwaku yang haru biru. “Kau pun satu, yang kau marah-marah dia sampai macam tu sekali, kenapa? Dia cuma luahkan perasaan dia dan bagi bunga mawar kesukaan kau tu. Sikit pun kau tak hargai, malah kau telah lukakan dan hancurkan hatinya. Kesian dia, Wa.”
Aku ketandusan bicara. Segumpal keluhan tampak rumit kuhela. Wajah Alya yang hitam manis kurenung. Perlahan aku menuturkan bicara. “Aku tak sengaja. Aku betul-betul tak berniat nak marah dia, apatah lagi nak tolak cinta dia. Mungkin aku terlalu mengikut emosi sehinggakan aku bertindak di luar sedar ketika itu.” Tersekat-sekat aku meluahkan kata-kata.
“Sehingga kau sanggup melukakan hati orang yang ihklas mencintaimu, Wa?”
Aku menyepi. Kedua-dua belah tanganku, aku tekupkan ke muka. Masih ada cecair sejuk yang terlunyut di celah-celah jari.
Sebenarnya, aku sudah lama mengetahui yang Adam menyukaiku. Tetapi, aku tidak pernah untuk menghargai kehadirannya. Malah, aku sanggup menolak cinta dan melukakan hatinya sehingga dia berhenti untuk mendekatiku. Betapa jahatnya aku…
Meskipun sejak dahulu lagi aku tahu dia menaruh hati padaku, aku tidak pernah mempedulikannya. Ya, kerana aku hanya menganggapnya sebagai teman biasa. Tidak lebih dari itu. Kerana perasaan itu tidak pernah hadir. Kosong. Biarpun aku tahu, aku sering kali berasa sesuatu yang aneh ketika bersamanya, tetapi aku tidak pernah ingin tahu perasaan apa yang kurasakan tika itu. Malah, aku berusaha menolak perasaan itu jauh-jauh dari dari dasar hati walaupun inisiatifku itu hanya sia-sia.
Dan apabila hal itu kunyatakan pada Alya, dia pantas berkata. “Kau pun sebenarnya sayangkan dia, Wa. Aku tahu. Dari mata kau pun aku dapat melihat.” Dia tersenyum penuh makna.
Fikiranku kian bercelaru. “Aku tak tahu,” jawabku jujur.
Alya tertawa kecil. “Kalau tak, masakan kau menangis tak tentu fasal fikirkan dia. Dulu memanglah kau dah rasa perasaan itu hadir, tapi masalahnya kau tak pernah nak mencari makna akan semua itu. Sekarang, bila Adam dah menjauh, barulah kau sedar yang kau sebenarnya cintakan Adam.”
Kebisuan terus melingkari diri.
“Kau terlalu ego, Wa.” Perlahan dia berkata.
Terkedu aku memandangnya. Pandanganku tajam merenung Alya.
Alya menarik nafas. Dia merenung jauh ke danau yang membiru. “Sebelum Adam, berapa ramai lagi cinta lelaki yang sudah kau tolak?” redup dia menjamah wajah dukaku. “Memanglah aku tahu, pada usia kita yang masih remaja ni, cinta tak penting untuk kita. Yang paling utama adalah pelajaran dan ilmu. Aku tahu itu semua. Tapi kau juga kena hargai perasaan lelaki yang menyayangimu dengan ikhlas, Wa.”
Aku tunduk. Perasaanku kian sebak yang mencengkam jiwa. Aku mengakui kebenaran kata-kata yang Alya tuturkan. Aku memang seorang gadis yang ego. Aku terlalu mementingkan diri sendiri dan tidak pernah mementingkan perasaan insan yang bernama lelaki. Di saat ini, aku acap kali berasa sedih mengingati semua lelaki yang pernah hadir dalam teratak hidupku. Yang pernah menghulur salam kasih ke jendela hatiku. Yang pernah menaburkan bunga-bunga cinta ke taman sukmaku. Aku akui, aku sudah berkali-kali menolak cinta mereka. Ya, kerana aku terlalu ego!
“Dalam banyak-banyak lelaki yang suka kau, aku tengok hanya Adam yang ikhlas dan tulus cintakan kau. Kalau tak kerana insiden itu, mungkin sampai bila-bila pun kau tak akan sedar. Mungkin itulah hikmahnya disebalik semua yang berlaku. Aku harap selepas ini, kau tak akan lukakan sesiapa lagi, terutamanya Adam.” Mendatar dia menuturkan buah bicara. Sesekali, dia mengelus-elus lembut jari-jemariku.
Aku diam tanpa reaksi.
Suasana menjadi hening. Hanya terdengar bunyi esakan kecil. Juga sesekali terdengar air di tasik yang berkocak perlahan.
“Tapikan, yang peliknya.” Alya tiba-tiba bersuara seraya memerhatikanku. “Tak sangka, gadis paling lemah lembut yang pernah aku kenal, tiba-tiba boleh jadi garang macam singa!” Dia tertawa besar. Sekaligus mencetuskan keriuhan suasana yang sedari tadi diselubungi sepi dan duka.
Wajahku semakin masam mencuka. “Kan aku tak sengaja!” bentakku kasar.
“Yalah tu.” Alya tersenyum sinis. “Kau sayangkan Adam, Wa?”
Aku terkedu. Juga kehilangan aksara. Aku tidak mengiakan juga tidak menindakkan. “Aku tak tahu,” jujur aku menjawab. Sememangnya aku benar-benar tidak tahu dengan perasaanku sekarang. Kebuntuan masih berlegar-legar di koridor benakku.
Aku menghela nafas. “Aku merasa bersalah sekali padanya. Aku dah lukakan hatinya, Alya. Mungkin selepas ini dia akan benci pada aku,” tambahku lagi. Tunduk aku memandang rumput yang kehijauan. Ada setitik demi setitik air mata yang menitis.
“Tak mungkin. Aku yakin, sekali Adam sayangkan kau. Tetap selamanya dia menyayangi dirimu, Wa.” Penuh berkeyakinan dia berkata.
“Tak semestinya,” kataku hambar.
Alya mengusap-usap bahuku lembut. “Apa-apa pun…” dia berjeda sejenak. Kemudian, kembali menyambung bicaranya. “Sabar sajalah dengan semua yang terjadi. Yang penting sekarang, kau dah sedar yang kau sayangkan Adam dan dia pun sayangkan kau. Percayalah, Hawa memang ditakdirkan untuk disisi Adamnya. Kalau dah jodoh kau dengan Adam, ALLAH pasti akan temukan kembali kasih kalian.”
Terkejut aku dengan kata-katanya. Lantas aku mendongak lalu membulat mataku memandangnya. “Kau ni dah gilalah, Alya. Apahal pulak cakap fasal jodoh-jodoh ni. Heii… aku muda belia lagilah. Exam SPM pun baru habis! Teruklah kau ni!” Aku menjelingnya geram.
Dia tergelak besar.
Aku hanya mengheningkan diri. Sungguh aku tertegun dengan butir bicaranya yang kian menerawang jauh. Aku tidak terfikir pun sejauh itu. Aku masih remaja, perjalananku masih jauh lagi. Kejayaan dan impianku yang kusemai sejak kecil lagi belum kugapai.
Usai SPM ini, sudah tentu aku akan menyambung pelajaranku di universiti. Di sana kelak, sudah tentu aku akan menemui teman-teman baru. Kemudian, manalah tahu Tuhan akan membukakan pintu hati yang selama ini tidak pernah kubuka untuk menyambut kedatangan lelaki yang hadir bersama cinta. Tetapi… mengapa bayangan dan senyuman Adam terus-terusan menabiri pandanganku?
“Wawa?”
Panggilannya menyentak lamunanku.
“Jauh bermonolog. Kau okey ke?” Tunak Alya memandangku. Tanganku masih digenggamnya erat.
Aku angguk. Kemudian, bersahaja aku melentokkan kepalaku dibahunya. Air mata masih laju mengalir…
Kuntuman-kuntuman bunga kemboja lebat berguguran. Seakan-akan mengerti akan kesedihan yang aku alami saat ini. Aku menghela nafas.

* * * * *

EPILOG
AKU tersedar buat yang kesekian kalinya tatkala angin permai bertiup menggerak-gerakkan jilbabku. Aku menyeka air mata yang mengalir lesu di pipi. Kenangan demi kenangan yang tercipta antara aku dan Adam masih jelas terukir di kanvas memoriku. Melingas mataku memandang sekeliling. Rupanya hari sudah beransur redup ketika sedari tadi aku asyik berteleku dan melungguh di bawah pohon kemboja sambil menyusuri danau kenangan bersama Adam.
Aku menjeling sebentar melihat jam tanganku.
Pukul 4.35 petang.
Aku mengghela nafas. Waktu yang masih ada ini seakan-akan memberiku peluang untuk mengenang kembali memori-memori yang pernah hadir ke dalam hidupku. Aku masih lagi bersandar sambil memeluk tubuh.
Sehingga ke hari ini, aku tidak dapat menipu diriku sendiri bahawa aku sangat merindui Adam. Sangat. Perasaan ini terlalu kuat padanya walhal sampai ke hari ini aku tidak lagi berhubung dengannya. Sejak dua bulan yang lalu, selepas peperiksaan SPM berakhir, aku tidak pernah bertemu dengannya dan aku tidak tahu khabar berita tentang dirinya. Aku dan dia bagaikan terputus hubungan.
Aku tidak tahu dia masih mencintaiku atau sebaliknya. Meskipun berasa was-was dengan perasaan juga dirinya kini, tetapi rasa rindu dan kasih itu masih utuh dan tegar dalam ruang hatiku. Aku sangat merindui Adam. Mengapa aku masih tidak bisa melupakannya? Sedangkan dia pasti sudah melupakan aku.

Rindu itu adalah…
Anugerah dari Allah…
Insan yang berhati nurani…
Punyai rasa rindu…
Rindu pada kedamaian…
Rindu pada ketenangan…
Rindukan kesejahteraan…
Dan juga kebahagiaan…

Aku membiarkan sahaja air mata membasahi pipi. Yang pastinya, hati yang satu ini pasti terkedu dalam sendu yang bergentayangan di mimbar hati kala aku teringat akan memori dahulu. Sejak peristiwa pahit itu, Adam tidak lagi menghubungiku. Malah, pada hari terakhir SPM, dia tidak menemuiku untuk mengucapkan salam perpisahan sebelum kami bercuti. Saban hari, aku menunggu dia di sini. Ya… tempat pertemuan pertamaku dengannya di bawah pohon kemboja di tepi tasik Taman Saujana ini. Aku berharap sangat ingin bertemu dengannya. Aku ingin sekali memohon maaf atas khilafku juga menginginkan dia kembali ke sisiku. Tetapi, penantianku hanya sia-sia. Aku menunggu dia ibarat menanti bulan dan bintang jatuh ke riba.
Namun begitu, aku masih sabar dan tabah menunggunya pada setiap petang di sini. Aku yakin, suatu hari nanti dia pasti akan menemuiku. Aku tidak tahu bila, tetapi sejak akhir-akhir ini aku acap kali termimpikannya. Mengapa, ya?
Sejak kenangan terakhir antara aku dengannya, aku dan Adam semakin menjauh dan jauh. Tetapi, ada sesuatu perasaan aneh yang semakin dekat dan dekat padaku. Aku sudah merasainya ketika aku bersama Adam. Namun, semua itu kubiarkan begitu sahaja tanpa kuselami maknanya. Baru kini, aku mula menyedari dan mencari erti sebenar perihal perasaan aneh itu. Aku baru sedar bahawa selama ini aku mencintainya. Aku baru mengerti bahawa selama ini aku terlalu merinduinya.
Aku menangis lagi. Mengapa baru kini aku mulai sedar akan semua itu? Mengapa di saat Adam perlahan-lahan menjauh pergi dariku, aku mula menyedari akan kehadirannya yang cukup bermakna? Mengapa, Ya Tuhan…
Aku menghela nafas. Dahulu, aku sering berusaha untuk mengejar dan mencari cinta sejati junjungan Tuhan. Aku sanggup menolak cinta sang pria yang ikhlas menghulur. Malah, aku tidak pernah untuk mengerti dan menyedari cinta sejati yang selama ini aku dambakan ada di hadapan mata! Ya… itu Adam. Cuma aku yang buta hati, buta jiwa dan buta fikiran untuk melihat akan kehadirannya. Aku tidak pernah menghargai kasih sayang yang dia titipkan padaku. Aku terlalu ego sehingga tergamak melukakan hati sucinya.
Bila dia ada sisi, aku tidak pernah menghargai. Bila dia sudah menjauh pergi, baru aku merasa yang aku merindui akan kehadirannya. Lalu, benih-benih rindu itu telah bertunas dan tumbuh mekar merimbun menjadi pepohon cinta. Biarpun kini dia tidak lagi menyinari hidupku, tetapi suara hatinya sering berbisik damai bagai dia ada di sisi.
Mulai sekarang, aku ingin menjadi seperti sekuntum bunga yang mekar mengelopak di pohon. Aku akan membiarkan sahaja sang lelaki yang diumpamakan sebagai rama-rama mendekatiku. Menghirup manisnya madu kasihku. Menghidu harumnya bunga rinduku. Menatap indahnya warna-warni bunga cintaku.
Kesilapan lalu tak akan aku ulangi lagi dan aku ingin berubah. Aku tidak mahu menjadi gadis yang ego dan hanya tahu mementingkan diri sendiri. Aku tidak akan terburu-buru untuk mencari cinta sejati lagi. Malah, aku hanya perlu membiarkan cinta itu datang dengan sendirinya, tanpa dipaksa, tanpa diminta dan tanpa disuruh. Seperti mana yang sedang aku rasakan sekarang ini. Aku jatuh cinta pada Adam! Tetapi sayang seribu kali sayang, perasaan itu baru aku sedari setelah Adam mula menjauh pergi dariku. Lalu, bagaimana?
Udara segar di rembang petang yang damai ini kuhela. Mataku sempat melihat seekor pepatung yang sedang berlegar-legar mengenjut-enjut di atas dahan yang menjulai. Kuntuman kemboja sesekali jatuh berguguran.
Adam.
Seuntai nama itu berlagu indah di bibirku.
Sayu membelenggu diri.
Air mata setitik demi setitik menitis lagi.
Berkali-kali aku memujuk hati ini. Sebenarnya bukan salah aku yang menyebabkan semua ini terjadi. Ini sudah takdir Ilahi. Bayangkan, jika tidak kerana peristiwa pahit di mana aku memarahi dan menolak cintanya suatu masa dahulu, sudah tentu sehingga sekarang aku tidak menyedari akan keikhlasan kasih yang dia titipkan padaku. Dan aku pasti tidak mengetahui bahawa aku juga menyayanginya. Merinduinya. Mencintainya.
Barangkali, itulah hikmah yang tersembunyi di balik semua ini. ALLAH mahu aku memberi petunjuk kepadaku. DIA mahu membuka pintu hatiku agar aku menyedari akan kehadiran si dia yang tulus mencintaiku. Si dia yang selama ini suci mengasihiku.
Biarpun Adam tidak lagi bersahabat denganku , aku reda. Meskipun dia tidak lagi hadir ke jendela hidupku, aku juga pasrah. Mungkinkah suatu hari nanti ALLAH akan mempertemukan kami kembali? Pertemuan jiwa kami, perasaan kami dan hati kami?
Semuanya hanya DIA yang menentukan. Apa yang terbaik bagi-NYA, juga terbaiklah bagiku. Sememangnya, perjalanan hidup ini tidak sunyi dari satu pengharapan.
Entah kali yang ke berapa, aku menghela nafas panjang lagi.
Ya Tuhan… mengapa sehingga kini aku masih tidak bias melupakan dia. Bahkan, wajahnya sentiasa menari-nari di pentas memoriku. Lebih aneh lagi, bunga-bunga cinta dan kasih padanya yang mula merimbun di hati tidak pernah kering dan layu. Apatah lagi jatuh berguguran. Malah, ia lebih kuat dan terpahat di relung sukma.
Lihatlah, betapa tulusnya rinduku pada dia.
Lihatlah, betapa sucinya kasihku pada dia.
Lihatlah, betapa agungnya cintaku pada dia.
Adam.
Nama itu berbisik damai di perdu hati. Sehingga ke hari ini, aku masih keliru dengan diriku sendiri. Jiwaku kian merintih. Fikiranku masih bercelaru. Hatiku acap kali menangis. Aku sememangnya tidak mengerti mengapa aku masih tidak bias melupakannya. Sukar sekali untuk menarik perasaan cinta yang kian utuh di ruang hati, jiwa, naluri juga nubari. Walhal aku tidak tahu akan perasaan dia yang sebenarnya kini.
Sejenak, fikiranku dibawa berterbangan oleh merpati kenangan. Perlahan-lahan rentetan kenangan demi kenangan mengisi santapan memoriku. Aku cuba mengingati bagaimana perasaan suci ini boleh bersemadi di hatiku.
Ya, semuanya tanpa diduga dan tanpa disedari perasaan itu hadir dalam hidupku. Tanpa caturan dan kata-kata. Benarlah, cinta itu memang hadir dengan sendirinya. Kadang kala kita tidak menyedarinya. Tetapi, cinta yang tercipta kini, aku hanya pendam jauh di hati dan tidak bisa meluahkan kepadanya. Lantaran dia tiada lagi di sisi dan mungkin kini dia sudah melupakan aku.
Adam.
Bagaimanapun juga, lelaki itu tetap dalam hatiku. Tetap kekal abadi dalam jiwa sampai bila-bila. Tetapi… aku harus melupakannya juga. Harus! Aku tidak perlu menunggunya lagi kerana sampai bila-bila dia tidak akan kembali padaku. Dia bukan yang ALLAH cipta untukku dan tidak akan jadi milik abadiku. Aku perlu terima hakikat itu.
Aku mengeluh. Sejak dahulu lagi, sejak aku mula memahami erti kesedihan, kegembiraan, kebahagiaan juga mengenal erti kasih dan cinta, aku sering membina angan-angan. Ya… harapan dan angan-angan yang indah untuk mengecapi sebuah kehidupan yang bahagia. Tanpa air mata, kesedihan, kelukaan hatta duka nestapa sekalipun. Yang aku impikan hanyalah kasih sayang, kegembiraan dan kebahagiaan.
Aku menyeka air mata yangs semakin deras mengalir. Aku membetulkan posisiku. Kali ini aku duduk memeluk lutut sambil pandangan terus menjangkau jauh ke arah tasik yang berkocak tenang.
Sebentar, aku teringat akan kata-kata Alya lewat tempoh hari.
Katanya, “Wa… dalam kehidupan kita, ALLAH akan bagi satu sahaja peluang dan kesempatan untuk kita berjumpa dengan orang yang benar-benar cinta dan sayang pada diri kita. Sekiranya kita leka, kita akan kehilangannya buat selamanya. Tapi, kita tak pernah tahu siapa orangnya kerana kita sendiri tak pernah sedar dan tak pernah mencuba untuk menghargai kehadirannya. Mungkin setelah segalanya berlalu dan kita dah kehilangannya, masa itu baru kita mula sedar akan kehadirannya yang cukup bererti. Tapi mungkin kita tak berpeluang lagi untuk memiliki dirinya pada saat itu. Jadi, fahamilah dan hargailah perasaan seseorang itu dengan sebaiknya. Terutamanya Adam. Dia benar-benar sayangkan kau, Wa.”
Hatiku sebak mengingatkan kata-kata Alya itu. Benar apa yang diluahkan olehnya itu. Aku harus menghargai cinta yang dihulur oleh lelaki. Aku harus menghargai kehadiran sang lelaki yang acap kali mewarnai lukisan hidupku.
Tentang masalahku ini, kuserahkan jua pada Ilahi. Aku hanya mampu berdoa dan bertawakal kepada-NYA. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Seperti biasa, air mata menitis lagi dan membasahi pipi. Sememangnya hidupku ini sentiasa diwarnai dengan kesedihan dan air mata. Walhal aku hanya mengharapkan hidupku ini sentiasa disinari dengan cahaya kebahagiaan dan kegembiraan. Namun, aku tahu semua yang aku alami ini adalah ujian dari Tuhan. Aku perlu ikhlas dan reda menghadapinya.
Hidup ini perlu bersandarkan pada pepatah, “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.” Biarlah aku merasa kepahitan bak hempedu dahulu sebelum akhirnya aku dapat merasai hidup semanis madu. Biarlah pada detik ini aku acap kali menangis kerana kesedihan sebelum akhirnya nanti aku menangis kerana kegembiraan.
Lamunanku terhenti apabila tiba-tiba indera dengarku dijengah dengan… petikan gitar! Ya… gitar!
Sepantas kilat aku berpaling. Seseorang yang kurindui selama ini memetik gitar sambil perlahan-lahan menghampiriku.
Aku terkedu. Adam! Maha Suci Tuhan!
Aku bingkas bangun dan berdiri di hadapannya. Aku hampir tidak mempercayai dengan apa yang aku lihat sekarang. Aku terus meneliti wajahnya, senyumannya juga matanya yang bercahaya. Ya… sememangnya itu dia. Aku tidak bermimpi. Sungguh, yang dihadapanku ini adalah insan yang selama ini aku cintai.
Ya Tuhan… pertemuan yang KAU aturkan ini benar-benar membahagiakan aku. Selama lebih dua bulan aku menantinya, kini dia kembali pulang teratak hidupku.
Tertegun aku memandangnya. Tanpa kata. Tanpa senyuman. Kami hanya berbicara melalui renungan. Ada air mata perlahan-lahan turun menampias pipi. Sesungguhnya… kehadirannya bagaikan mimpi paling indah buatku. Sukar untuk aku mempercayai bila melihat dia ada di hadapanku.
Adam terus memandangku dengan seuntai senyuman sambil tangannya masih ligat memetik gitar. Perlahan-lahan bibirnya bergerak dan menyanyikan sebuah lagu!

Kau umpama bunga yang mekar di hatiku
Kuharap kau mekarlah selama-lamanya
Kau umpama bintang menyinari hidupku
harap kau terus bersinar…

Aku terpana mendengarnya. Aku jadi teringat akan lagu yang indah itu. Lagu Cintamu Mekar dihati dari kumpulan May. Pantas aku teringat memori suatu masa dahulu. Ya… kenangan yang tercipta ketika dia memboncengku dengan menaiki basikal. Dia ada bertanya dan meminta untuk menyanyikan lagu kegemaranku suatu hari nanti. Kini, tanpa diduga, harapannya itu kesampaian dengan izin-NYA. Dan petang yang permai ini adalah harinya!
Adam terus bernyanyi lagi…

Ketika kau perlukan aku
Sentiasa aku ada disisimu
Ketika kau rindu padaku
Terasa cinta semakin dalam…

Sayang…
Kasihku abadi
Cintamu mekar dihati ini
Kau dalam ingatan
Di sepanjang hayatku
Demi teguhnya cinta
Selama-lamanya…

Aku sangat terbuai dengan suaranya juga gemersik petikan gitar yang dimainkannya. Sungguh… aku terpesona.
Kami saling berpandangan.
Kami saling tersenyum.
Dia tiba-tiba bersuara, “Wa… maafkan aku. Selama ini aku tinggalkan kau macam tu aje.” Penuh tertib dia berkata. Redup dia merenungnya.
Aku sebak dan pantas aku menggeleng. “Bukan salah kau, Adam. Sebenarnya aku yang salah. Aku telah lukakan hatimu. Maafkan aku.” Aku tertunduk. Ada air mata yang bergenang laju. Benar… aku sangat menyesal dengan apa yang telah kulakukan padanya dahulu.
Adam pantas mencelah, “Kau tak salah, Wa. Semuanya dah takdir,” ujarnya lembut. “Lupakan yang dulu dan kita buka cerita yang baru, okey?” dia tersenyum sekaligus membuatkan aku tersadai di belantara keharuan.
Aku mendongak memandangnya. Sepasang matanya yang bersinar-sinar itu kurenung puas. Ternyata, dia memang ikhlas mencintaiku. Segala-galanya terpancar melalui cahaya yang bersinar di matanya.
“Mana kau menghilang selama ni, Adam?”
Dia tersenyum lebar. Tanpa menjawab pertanyaanku, dia lantas bertanya kembali padaku. “Kenapa? Kau rindu ke?”
Terkedu aku mendengarnya. Namun, penuh bersahaja aku menjawab, “Tentulah.”
Adam tertawa kecil. “Kita patut berterima kasih pada Alya, Safiya dan Annis. Kalau tak kerana mereka, aku mungkin tak tahu yang si Hawa tu memang sayangkan Adamnya.” Dia terus berkata sambil pandangan matanya meliar ke tempat lain. Ada senyuman penuh erti di bibirnya. “Kalau bukan mereka juga, kita tak akan berjumpa hari ini”. Tambahnya lagi.
Aku terkesima. Melongo aku memandangnya. Benarkah begitu? Belum sempat aku membalas, tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Pantas aku mengambilnya di dalam beg kecilku di bawah pohon kemboja.
“Assalamualaikum.” Suara di hujung talian kelihatan ceria.
Aku menjawab salamnya sambil berdiri agak jauh dari Adam.
“Wawa! Aku ni Alya.”
“Ya. Aku tahulah.
“Macam mana sekarang? Hati yang sebelum ini rawan dan sembuh, kan?” Alya tertawa riang. Aku terdengar bunyi bingit di hujung talian.
“Siapa tu?” Aku pantas bertanya.
“Safiya dan Annis. Eh, Adam ada kat situ, kan?”
“Ya.” Aku pantas mengiakan. “Dalam diam kau orang berkomplot eh rancang semua ni. Apasal tak bagi tahu aku?”
Alya tergelak besar. “Kau tak payah banyak soallah. Yang penting sekarang Adam dah kembali. Dan kau jangan nak ulang kesilapan dulu. Ingat!” Nada suaranya jelas mengingatkan.
Aku tersenyum. “Okey, bos!”
Tiba-tiba suara Annis pula kedengaran. “Wa, aku ni. Satu pesanan aku, kau tolong jangan tolak cinta dia lagi. Aku dah malas dah nak pujuk-pujuk kau nangis hari-hari bagai nak rak.”
Aku tergelak kecil. Dan aku terus membalas, “Yes, madam!”
Kemudian, Safiya pula yang berada di hujung talian. Pening kepalaku mengenangkan gelagat teman-temanku ini. “Safi ni. Sama macam Alya dan Annis jugak, aku harap sekarang kau tolong cipta kembali cinta kau dan Adam. Jangan sia-siakan dia! Aku pun dah tak sanggup hari-hari nak menadah air mata kau kat besen besar aku ni. Mak aku pun dah bising sebab semua tempayan air kat rumah aku dah penuh dengan air mata cinta kau ni.” Selamba sahaja dia berkata.
Tersengih aku mendengarnya. Belum sempat aku membalas, suara Annis kedengaran lagi. “Kau nanti kalau balik rumah menangis lagi, aku memang tak segan silu campak kau kat Selat Tebrau. Tak pun kita orang campak aje kau kat loji kumbahan air di SAJ tu. Ingat!” Dia tergelak besar.
Aku turut ketawa. “Teruklah kau ni!”
“Wawa, jangan sia-siakan Adam lagi, ya?” Lembut suara Alya kembali menjengah pendengaranku.
Aku tersenyum sambil menjeling sekilas ke arah Adam yang setia menantiku. Dia tersenyum memandangku.
“Alya, terima kasih atas segalanya,” ucapku tulus. Aku sememangnya terharu dengan kebaikan teman-teman baikku ini.
“Sama-sama. Itu dah memang tanggungjawab kami bertiga. Apa-apa pun, harap hari ini hari yang paling terindah dalam hidup kau, ya! Jangan balik lambat dan jaga diri tau,” pesan tulus dari seorang sahabat.
“Baik,” balasku dan aku terus meminta diri.
Aku kembali menghampiri Adam yang kini sedang melungguh di bawah pohon kemboja.
“Alya?” Soalnya ketika aku duduk di sisinya.
Aku angguk. Dan dia tersenyum.
“Wa…” lembut suaranya memanggilku.
Aku kalih pandangan ke sisi. Pandangan yang bertamu benat-benar membuatkan aku berdebar lantas kehilangan aksara.
“Kau masih ingat lagi puisi cinta yang pernah aku bacakan dulu?”
Pantas aku mengangguk. “Sampai bila-bila pun aku tak akan lupa.”
Adam tersenyum. “Sebenarnya puisi itu khas aku ciptakan untuk kau.”
“Tahu.” Sememangnya aku mengetahui, cuma aku yang tidak mahu memahami itu semua.
Dia menjelingku. “Tahu tapi buat-buat tak tahu, eh!”
Aku tertawa. “Aku ingat kau dah lupakan aku.”
Dia menggeleng. “Tempat jatuh lagikan dikenang, ini pula tempat memadu kasih. Lagipun, sampai bila-bila aku tak boleh lupakan Hawa aku kat sini. Kan Hawa memang diciptakan untuk Adam. Tak gitu?” Tersenyum meleret dia memandangku.
Aku tertunduk malu. Hatiku sedari tadi tidak sudah-sudah tersenyum gembira.
“Kau ingat tak tentang sebuah Hadis Rasulullah?” Dia tiba-tiba menyoalku. Anak matanya terus memerhatikanku.
Aku mendongak. “Hadis apa?” soalku tidak tahu. Dahiku berkerut.
Adam tersenyum. “Dengar betul-betul, okey?” Pesannya dan dia terus berbicara tentang sebuah hadis…

“Hawa dicipta dari rusuk kiri Adam.
Bukan dari kepalanya untuk dijunjung,
Bukan pula dari kakinya
Untuk dijadikan pengalasnya,
Tetapi dekat di sisinya
Untuk dijadikan teman hidup,
Dekat dengan lengannya
Untuk dilindungi,
Dan dekat di hatinya
Untuk disayangi.”

Aku terkedu. Sememangnya aku mengetahui akan hadis itu. Sebuah hadis yang menceritakan tentang Nabi Adam dan isterinya, Siti Hawa. Hawa memang diciptakan untuk Adam dan begitulah sebaliknya.
“Tak sangka, kan…” Adam memandangku.
Dahiku berkerut. “Kenapa?”
Dia tersenyum seraya pandangannya dihala ke hamparan tasik. “Secara kebetulan nama kita sama dengan Nabi Adam dan isterinya, Siti Hawa.”
Aku diam tanpa reaksi. Sememangnya aku juga tidak menyangka akan suratan dan kebetulan antara kami dengan dengan penyatuan dua jiwa antara Nabi Adam, manusia pertama yang dicipta oleh ALLAH itu dengan Siti Hawa. Semuanya adalah takdir dari Ilahi.
“Wa…” Adam memanggilku lagi.
Aku kalih pandangan ke arahnya.
Perlahan dan lembut dia membariskan kata, “Aku mencintaimu dengan setulus hati. Boleh kau menjadi mawar yang mekar dihatiku?”
Sekali lagi aku terkedu. Ini adalah kali yang kedua dia meluahkan perasaannya. Air mata yang merembes laju di pelupuk mata tidak mampu kubendung lagi. Sememangnya kalimah itulah yang aku tunggu-tunggu selama ini meskipun dahulu dia pernah mengutarakan kalimah yang sama. Tetapi, situasi kali ini adalah berbeza kerana perasaan cinta padanya sudah bersimpuh di anjung atmaku. Dan hari ini aku sungguh bahagia. Bagaikan ALLAH mengurniakan limpahan rahmat dan cahaya kepadaku.
Tatkala aku meluahkan seuntai aksara, “Ya. Dan aku juga mencintaimu, Adam” Dia memejamkan mata seketika. Sejurus itu, ada manik-manik kaca yang terapung di kolam matanya. Dia bingkas bangun dan mengambil kembali gitarnya. Sejenak dia merenungku dan berkata;
“Kau adalah gadis sempurna dan serba indah yang ALLAH ciptakan buatku, Wa. Maka, dengarlah sebentar lagu kegemaranmu ini. Tercipta Untukku.”
Sejurus itu, dia memetik gitar dan perlahan-lahan menyanyikan lagu itu…

Menatap indahnya senyuman diwajahmu
Membuatku terdiam dan terpaku
Mengerti akan hadirnya cinta terindah
Saat kau peluk mesra tubuhku…

Banyak kata yang tak mampu
Kuungkapkan kepada dirimu…

Aku ingin engkau selalu
Hadir dan temani aku
Disetiap langkah yang menyakiniku
Kau tercipta untukku
Sepanjang hidupku…

Aku terharu. Aku gembira. Aku bahagia. Memori indah yang tercipta ini seakan-akan turut dirasai oleh alam. Depusan pawana yang bergemersik, alunan tasik yang sesekali berkocak, irama burung yang menguja damai serta pepohon bunga kemboja yang menjadi saksi kepada kami berdua.

Mata bertentang mata. Sukma kasih bertaut. Nubari rindu bertamu. Bunga-bunga cinta mekar mengelopak. Dua hati menjadi satu. Kasih mengorak sayang. Sayang menguja rindu. Rindu mengelopak cinta. Cinta yang menyatukan antara Adam dan Hawa.

Bingkisan Kalbu,
Nur Suhada…




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

21 ulasan untuk “Cerpen : Cinta Adam dan Hawa”
  1. kucing comel says:

    best !!!mule2 baca, bosan.bile msuk time kenangan, best jee.perasaan curiosity nk bce meningkat-ningkat.sedap ayt2 dye.msti penulis dye berhati seni nie. =) sungguh, sedap sgt cerita nie !

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"